ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Wednesday, November 02, 2022

 karya Zurinah Hassan. 


Andai bekerja sepenuh daya

itulah jalan menuju jaya


andai berusaha penuh percaya

jalan yang gelap disuluh cahaya


Andai bekerja setulus niat

akan dinilai sebagai ibadat


andai pekerjaan kurang cermat

akan tersasar dari matlamat


Andai bulat tekad dan azam

tentu bekerja penuh iltizam.


Andai peluang disia-sia

menanggung sesal sepanjang usia


andai hanya mengharap upah

hasil kerja tidak bertambah


andai hanya mengharap ganjaran

tidak bermutu hasil keluaran


andai segera baiki yang rosak

banyak kerugian dapat dielak


andai melepas batuk di tangga

mutu kerja tidak terjaga


Andai ikut rasa yang malas

di situ banyak peluang terlepas


kalau bermusyawarah bekerjasama 

banyak kebaikan dikecapi bersama.


Andai pekerjaan memberi manfaat

pahalanya menjadi bekal akhirat


Kalau bekerja  dengan teliti

hasilnya pasti memuaskan hati 


Tolak rasuah bersihkan hati

itulah namanya berintegriti. 


dipetik dari buku PUISI MELAYU TRADISIONAL (PANTUN, SYAIR, GURINDAM, NAZAM SELOKA). 





Sunday, October 30, 2022

Ucaptama dalam sidang WACANA PANTUN MELAYU di IPG , KAMPUS BAHASA MELAYU, KUALA LUMPUR., pada 26.10.2022 
BOLEH dikatakan bahawa pantun adalah bentuk puisi  tradisi yang paling popular berbanding sub genre puisi tradisi yang lain termasuk Syair, Gurindam, Seloka, Nazam dan lain-lain




Pantun ialah karya Kreatif yang memiliki komponen penting iaitu PEMIKIRAN dan PERASAAN. Pantun adalah warisan bangsa yang dikagumi di seluruh dunia dan diiktiraf sebagai karya sastera yang unik dan bermutu. Sebelum wujud aksara dan penulisan, pantun telah pun dicipta dan disebarkan melalui tradisi lisan. 












Friday, October 28, 2022

 

SAYA DAN PANTUN.


Saya berkenalan dengan sastera melalui pantun yang didengar di  radio yang dipancarkan dari stesen Singapura. Pada masa itu belum ada Angkasapuri.. Saya mengenal syair juga kerana suka mendengar rancangan radio seperti Bangsawan di Udara.

 

Boleh dikatakan  semua lagu Melayu asli menggunakan pantun sebagai senikata atau lirik. Saya sangat suka mendengar lagu. Itulah sahaja hiburan yang dapat saya ikuti pada masa itu. Sebagai anak perempuan saya  tidak lasak bermain di luar lalu duduk di rumah sendirian mendengar lagu dan menyalin senikata lagu yang kebanyakannya terdiri  dari pantun.

 

Lagu Melayu asli menggunakan pantun sebagai lirik (dulu lebih disebut senikata). bahkan orang-orang tua seperti nenek saya  menyamakan menyanyi sebagai berpantun

 

Contoh:

 

Seri Mersing lagu Melayu

Dikarang orang zaman dahulu

Hati runsing bertambah pilu

Mengenang nasib untung badanku

 

Sayang Sarawak sungainya sempit

buah berangan lambung lambungan

hendak ku bawa perahuku sempit

tinggal intan tinggal junjungan

 

Pagi pagi pergi ke ladang

Hendak menyemai si benih padi

Betapa tinggi gunung Ledang

Tinggi lagi hajat di hati.

 

 

Keadaan tidak seperti sekarang. Buku dan bahan-bahan bacaan tidak mudah didapati. Dalam situasi yang sama, saya mengenal sajak juga melalui radio . Saya ingat biasanya ketika saya sudah berbaring di tempat tidur, ayah saudara atau abang sepupu buka radio.  Saya dengar sajak Usman Awang ke Makam Bonda selalu dibaca di radio..Pada masa itu tidak disebut deklamasi. Bahkan saya tidak pernah mendengar perkataan deklamasi hingga mungkin pada tahun 70han. Ini menunjukkan peranan suara  peranan suara dan nada amat penting. Seseorang mengenal puisi melalui pengucapan. Dia suka atau  tidak suka bergantung kepada cara bacaan, dan pengucapan yang didengarnya.

 

Hal ini wajar kerana pantun dan puisi2 tradisi kita adalah oral literature atau sastera lisan. Ia disebar melalui suara.  Paling banyak mendengar dari ibu yang mendodoi waktu menidurkan kita. Di kampung saya tiada permainan rakyat seperti dikir barat, di Kelantan dan rodat di pantai timur. Mungkin ada persembahan di luar rumah, mungkin oleh Persatuan belia.tetapi sebagai anak gadis, jarang dapat turut menyaksikan acara-acara di luar.

 

Mengenai pantun sebagai tradisi lisan ini banyak diperkatakan oleh SN Prof Muhammad Haji Salleh.

 

 

Lihat bukunya Ghairah Dunia dalam Empat Baris. . ITBM 2016.

 

 

Selain pantun, ada  syair, gurindam, nazam, seloka teromba. Sebenarnya banyak lagi tetapi yang disebut tadi adalah puisi yang masih dikenali malah dan dikarang pada zaman ini,

 

 

 PANTUN

 

Pantun ialah Warisan bangsa yang dikagumi di seluruh dunia, dan telah mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai warisan dunia..

 

Pada masa ini ialah sub genre puisi tradisi yang paling popular di antara puisi warisan berbanding syair, seloka, gurindam , nazam dan sebagainya. Kerana pantun mudah disisipkan sebagai senikata lagu dan dinyanyikan setiap masa.Pantun tersebar luas melalui pelbagai media, selain lirik lagu, majlis perkahwinan , majlis rasmi dan pelbagai acara kemasyarakatan. Pesta pantun anjurkan oleh pelbagAI agensi, sekolah-sekolah dan IPT sehingga peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

 

 

Orang kampung pun berpantun secara spontan. Terutama di Johor mesti pantuh dalam majlis perkahwinan atau majlis hantaran. Tujuan hiburan . Pernah dengar agak menghiburkan.

 

Satu dua tiga empat

Anak ikan sudah lompat

Kain hantaran sudah dilipat

Jangan disangka kuih lepat.

 

 

NILAI ESTETIKA DALAM PANTUN.

 

Agak ramai  yang boleh mengarang pantun tetapi kurang nilai estetika. Apakah yang dianggap asal abab ialah pantun.   

 

Sebagai hasil seni pantun mengandungi pemikiran dan perasaan.

 

Keindahan atau estetika pantun adalah jalinan yang harmonis antara pemikiran dan perasaan. Kata2 dalam pantun memberi kesan bunyi /audio

dan kesan penglihatan/visual. Terengar eru terlhat indah. Apt mebayangkan keindahan

 

kesan visual dari lukisan pemandangan, tak semestinya pemandangan indah dan kesan audio rima, asonansi, aliterasi.

 

Rima Cuma sebahagian dari estetika. Pemikiran mesti tinggi. Estetika makna

 

Ada dua kategori pantun. Pantun2 spontan untuk pertandingan termasuk dondang sayang.T boleh diharap berutu ttnggi kerana perlu cept. Asalkan berima

 

 

 

GAYA BAHASA DALAM PANTUN.

 

Pantun adalah puisi, justeru itu menggunakan bahasa puisi atau  puitis,

 

Cara menyampaikan makna agar berkesan menggunakan metafora, personifikasi , simile dan hiperbola.

 

Contoh metafora

Buah langsat kuning mencelah

Keduduka tidak berbunga pagi

Sudah dapat gading bertuah

Tanduk tidak berguna lagi

 

Gading bertuah adalah metafora kerana yang dimaksudkan ialah bukan mendapat gading gajah, tetapi sesuatu atau seseorang yang lebih baik, dan kerana itu tidak menghargai apa yang kurang baik.

 

Simile:

Berburu ke padang datar

Dapat rusa berbelang kaki

Berguru kepalang ajar

Bagai bunga kembang tak jadi.

 

Hiperbola

Buah jering di atas para

Dibawa budak sambil beerlari

Keringlah laut Selat Melaka

Barulah saya mungkirkan janji.

 

Anafora (ulang di awal baris) untuk penegasan.

Yang kurik kundi

Yang merah saga

Yang baik budi

Yang indah bahasa.

 

Kalau subang sama subang

Kalau sanggul sama sanggul

Kalau hilang sama hilang

 

Kalau timbul sama timbul.

 

 

Gambaran dalam pembayang dan maksud ada budaya

BUDAYA TEMPATAN.

 

 

 

 

 

 PANTUN, CABARAN DAN HALATUJU 

 

Perkembangan teknologi mempengaruhi kehidupan, termasuklah bidang penulisan dan sastera. Sebelum tiba computer malah sebelum manusia menulis, pantun telah berkembang secara lisan.

 

Computer memudahkan proses penulisan dan memendekkan proses pracetak. Sayangnya sekarang ,  kata orang, masyarakat  sudah kurang  membaca buku lagi.

 

Tetapi sastera bukan terhad kepada buku. Pantun turut berkembang dengan perkembangan media baharu..

 

Sastera tidak mati bahkan semakin berkembang kerana media baharu sangat membantu. Misalnya Dewan Bahasa dan Radio Klasik menyiarkan pantun yang segera dibalas oleh netizen. Oleh itu menampakkan minat sedang berkembang.

 

Ada grup watsup dan telegram yang fokus kepada pantun. Di Singapura terdapat kumpulan  PANTUNISM.

 

 

Di Malaysia antara kumpulan yang diwujudkan ialah Telegram  UJANA PANTUN MELAYU

 

Grup Ujana Pantun Melayu ditubuhkan pada April 2017 oleh Tan Cl seorang peminat pantun dan juga guru Subjek Bahasa Melyu. Tujuan utama untuk mengumpulkan pendidik dan peminat yang berhasrat untuk meluahkan perasaan berdasarkan isu semasa. Ahli kumpulan sekarang 560 yang aktif menyumbang.  Peserta dari Malaysia, Singapura, Brunei. Ada juga beberapa orang dari New Zealand dan Australia. Mereka juga mengadakan perbincangan mengenai isu2 bahasa dan sastera.

 

Antara pemantun yang rajin ialah YEO KIM KEE. Beliau menulis:

 

Tanah hanya sekangkang kera

Manakan boleh jadikan ladang

Pantun papa tidak seberapa

Tidak fasih bahasa pun kurang.

 

 

 

 

Ismail Hussain

Gadis seberang teman di maya

Kurang nyata latar semasa

Hati orang orang yang pnya

Manakan dapat kita memaksa.

 

Hati kepingin hendak ke Tawau

Menunggu Isnin hari cutinya

Walaupun angin diperlukan wau

Di tangan pemain hidup matinya

 

 

Selain itu terdapat Shamsuddin Puteh, Ghazali Lateh.

 

 

 

 

 

 

Saturday, October 15, 2022

 

ADAKAH PANTUN MESTI BERIMA ABAB?

Jawapan: Tidak.

Kebanyakan pantun berima abab. Tetapi rima abab bukan syarat wajib pantun. 

Syarat wajib pantun ialah ada pembayang dan ada maksud. Ada pantun berima aaaa, namun ia boleh dianggap sebagai pantun yang baik atau bernilai estetika


contoh pantun berima aaaa


Lama sudah tidak ke ladang

      Tinggilah rumput dari lalang

Lama sudah tidak kupandang

      Rasa hati bertambah bimbang


Pergi memetik buah delima

   Hendak makan bersama-sama

Budi tuan kami terima

    Jadi kenangan selama-lama


Anak Raja berkirim surat

    Dari Timur pergi ke Barat

Kalau cukup dengan syarat

     Tidaklah badan jadi melarat.


Pukul gendang pukul gong

    orang berdendang di atas panggung

hendak terbang bukannya burung

    hendak berenang bukannya sotong.

Semua rangkap  di atas ialah pantun kerana baris 1 dan 2 ialah pembayangdan baris 3 dan 4 ialah maksud, tanpa mengira skima rima aaaa atau abab. Dua baris 1 dan 2 memperkatakan hal-hal yang berlainan dari baris 3 dan 4. 

Kalau dicari di dalam khazanah pantun tradisi, kita akan temui pantun aaaa yang juga indah dan mengandungi pemikiran yang tinggi. 

Rima memberi nilai estetika kepada Pantun. Tetapi itu hanya estetika pada aspek bunyi. Estetika Pantun bukan hanya terletak pada unsur bunyi atau rima. Selain rima, pantun yang bermutu tinggi memiliki estetika bahasa dan estetika makna.

Bahasa dalam pantun bersulam perlambangan dan metafora untuk menyampai makna. Estetika Makna terdapat dalam pemerian pemikiran, pengajaran dan falsafah.

CINTAI PANTUN MELAYU.





Friday, October 07, 2022

 




PAK KADUK PULANG KE KAMPUNG adalah kumpulan puisi saya yang terkini. Kumpulan ini diterbitkan oleh syarikat sendiri yang dinamakan Kuali Hitam, satu nama yang dipilih oleh anak-anak, sempena sebuah sajak saya yang mereka gemari.
Mengapa saya menerbit sendiri setelah begitu lama bergantung kepada syarikat besar? Ada beberapa hal yang dipertimbangkan. Sebab utama ialah tidak mahu menunggu lama. Berapa tahun? Dengan birokrasi dan beberapa lapis mesyuarat jawatankuasa, tiga tahun pun sudah dikira cepat, sedangkan saya sudah 73 (tua sungguh kan?). Bukan nak salahkan mereka, dah begitu cara kerja, apa nak dikata.
Jadi saya memutuskan untuk terus menerbit buku-buku puisi sendiri. Biar kecil, tidak sampai 50 buah sajak . Eloklah diterbitkan segera selagi hal-hal yang diperkatakan masih relevan. Bila menulis saya mahu berkomunikasi dengan masyarakat. Kalau panjang umur dua tiga tahun lagi, boleh terbit yang baharu.
Adakah saya mengharap keuntungan?.
Sesungguhnya keuntungan bukan keutamaan. Memang mencetak buku agak mahal sekarang apatah lagi kerana kita mencetak dengan bilangan yang kecil. Tetapi bagi penulis seperti saya, dapat menerbitkan sebuah buku baharu adalah satu kepuasan dan kebahagiaan yang sudah mencukupi. Kalau ada keuntungan ia adalah bonos dan lebih untuk generasi muda yang mengusahakan penerbitan ini.
Terlintas juga di fikiran saya bahawa masa depan penerbitan (dan dengan itu masa depan penulisan kreatif) berada di tangan penerbit-penerbit di luar arus perdana dan birokrasi. Dalam era digital dan serba pantas ini adakah penerbitan yang memakan waktu bertahun-tahun itu masih sesuai? Mungkin masih perlu untuk buku teks dan ilmiah, tetapi sastera kreatif dan perkembangan penulis-penulis muda, akan lebih bersemarak dan aktif di tangan penerbit-penerbit kecil.
Ini sekadar lontaran pendapat.Penerbit bersama SHE

Wednesday, October 05, 2022

Pak Kaduk Pulang ke Kampung ialah kumpulan puisi Sasterawan Negara Zurinah Hassan yang ke 9.Buku ini memuatkan 46 buah sajak, yang pada keseluruhannya tentang kehidupan semasa.

Petikan prakata:

Dalam Pak Kaduk Pulang ke Kampung, saya merakam peristiwa dan suasana yang terlihat
di sekeliling kita. Terlalu banyak yang telah dan sedang berlaku yang perlu dicatat
menjadi rakaman zaman. Saya merakamannya dalam puisi dan saya menyaksikan
seniman lain, merakamnya dalam ciptaan seni masing-masing.

Hal-hal yang berlaku itu, ada yang mengingatkan saya kepada Pak Kaduk. Dia adalah
antara watak lama yang hidup kembali pada zaman digital ini dalam bentuk dan gaya yang
berbeza. Kisah Pak Kaduk ialah kisah kerugian yang menimpa bangsa. Raja mewakili
golongan pembesar yang dari dahulu hingga sekarang pandai menipu. Mereka sanggup
membiarkan rakyat hidup menderita dalam kemiskinan, asalkan dapat memuaskan nafsu
haloba. Penonton-penonton yang menyaksikan acara sabung ayam adalah golongan rakyat
yang terus bersorak sepanjang masa. Mereka mengejek Pak Kaduk yang menukar
ayam,tetapi tidak akan terus menyokong pemerintah yang zalim.
Banyak perkara yang terjadi . Banyak yang berlaku di luar dugaan malah di luar
pemahaman. Banyak yang mengecewakan dan tidak seperti yang pernah diimpikan.
Misalnya generasi yang berusaha belajar hingga ke universiti kerana diinspirasi oleh
kejayaan generasi terdahulu, berkeliaran menjadi pemandu grab .