ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Sunday, June 14, 2020

MENULIS PUISI MODEN (SAJAK)



Puisi sebagai Karya sastera mengemukakan Pemikiran melalui sentuhan emosi.Sebuah karya sastera yang bermutu adalah  jalinan yang harmonis di antara penggunaan bahasa, gaya penceritaan dan subjek yang disampaikan

Langkah menulis puisi:
1.    Menentukan ISI atau pemikiran
2.    Membina bentuk atau gaya pengucapan.
ISI ialah  apa yang hendak disampaikan. Isi adalah pemikiran yang akan menentukan tema seperti  ketuhanan, kemasyarakatan, kasih sayang, Seorang penyair akan menulis puisi tentang sesuatu yang difikirkannya penting. Oleh yang demikian Puisi adalah paduan atau gabungan sesuatu yang penting dan bahasa yang puitis.
BENTUK ialah bagaimana isi itu disampaikan. Alat yang digunakan untuk membentuk puisi ialah BAHASA.  Bahasa itu mestilah disusun atau digunakan dengan cara yang istimewa supaya memenuhi syarat atau ciri-ciri sebuah puisi.
Cara penyair menggunakan bahasa dikenali sebagai Gaya Bahasa yang menjadi identiti seorang penyair.
CIRI-CIRI SAJAK YANG BAIK.( NILAI ESTETIKA DLM PUISI) 
Sebagai rumusan boleh disimpulkan ciri-ciri bahawa puisi yang baik ialah:
·         Mengandungi Isi yang baik dan bermanfaat kepada pembaca
·         Merangsang Pemikiran dan Perasaan.
·         Menggunakan perkataan yang ekonomis, iaitu sedikit perkataan memperkatakan banyak perkara.
·         Setiap patah perkataan menjalankan fungsi bagi membawa maksud.
·         Gambaran yang mudah dibayang dan digambarkan

Ciri-ciri  Bahasa puisi.
Bahasa Puisi adalah susunan kata-kata yang istimewa untuk:
·         menyampaikan makna: melalui  Perlambangan (Metafora, Simile dan Personifikasi.)
·         menerbitkan kesan bunyi atau irama melibatkan unsur rima (rima akhir, rima awalan, dalaman) , asonansi dan aliterasi, ulangan perkataan , bilangan sukukata pada setiap baris dan bilangan baris pada setiap rangkap. Unsur bunyi lebih terikat dan teratur di dalam puisi tradisional. Namun begitu kesan irama  menambah nilai puitis dan estetika di dalam puisi moden di samping memperdalam maksudnya. 
Puisi mengguna perkataan yang ekonomis dan tidak membazir. Tidak membazir bermaksud menggunakan sedikit perkataan untuk menyampaikan banyak perkara. Bahasa Puisi mengandungi perasaan atau mudah menyentuh hati pembaca dan mengajak  pembaca turut merasa dan berfikir tentang apa yang ditulis.
Contoh pembinaan Bahasa Puitis.  
Penyair mahu menceritakan tentang seseorang yang hidup di dalam kesusahan dan terpaksa bekerja kuat.
Ayat pertama:
“Dia orang susah yang hidup dalam kemiskinan dan terpaksa bekerja keras”.
 Ayat ini bukan bahasa puisi kerana ia adalah satu kenyataan yang  tidak ekonomis kerana menggunakan banyak perkataan.
Ayat kedua:
“Dia menjalankan kehidupan”.
Ayat ini tidak  dapat menggambarkan apa-apa tentang orang yang diceritakan. Semua orang menjalani kehidupan dan tidak diketahui  adakah dia kaya atau miskin, bahagia atau menderita.
Ayat ketiga:
“ Dia melayari kehidupan” 
Ayat ini lebih hampir kepada bahasa puisi kerana Penyair menggambarkan kehidupan sebagai satu pelayaran. Dengan berkata demikian penyair memberi  banyak maklumat tentang hidup dan kehidupan. Penyair memberi gambaran bahawa dunia adalah umpama sebuah lautan dengan ombak dan badainya. Setiap orang mesti melayari kehidupan dengan hati-hati. Namun begitu ungkapan ini tidak memberi pertunjuk tentang keadaan dan perasaan orang yang digambarkan. Dia mungkin seorang saudagar kaya yang belayar dengan kapal besar atau seorang nelayan dengan perahu kecil.
Ayat ke empat:“Dia mendayung hidupnya”.
Ayat ini adalah bahasa puisi. Hanya dengan tiga patah perkataan Penyair menggambarkan bahawa hidup adalah satu pelayaran dan manusia berada di dalam perjalanan, sungai atau lautan. Dengan berkata dia mendayung hidupnya Penyair memberi maklumat tentang seorang yang terpaksa belayar dengan perahu kecil dan terpaksa terus mendayung agar tidak tenggelam atau hanyut di tengah lautan.. Kata mendayung membawa  gambaran bekerja kuat dan  berusaha. 
Ayat ke empat ini mengandungi unsur emosi  Rasa atau emosi yang tergambar dalam  ayat ini ialah sedih dan  susah kerana terpaksa menghadapi cabaran ombak dengan hanya menggunakan perahu kecil. Di sini juga terselit keinginan atau azam untuk pergi ke sebuah tempat bagi mendapatkan sesuatu. Hal ini melambangkan azam untuk meneruskan kehidupan. Keadaan daif ini menimbulkan perasaan kasihan di kalangan pembaca.

5 comments:

  1. Tabik kanda.
    Ambo copy & paste ko kelas puisi ambo dengan pelajar Patani.

    ReplyDelete
  2. Salam. Mohon izin kongsi bahan untuk mengajar anak2 murid. T.kasih tuan.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum puan. Saya baru cuba berjinak-jinak dalam penulisan sajak. Sudikah kiranya puan melihat karya saya jika sesuai untuk diketengahkan..

    ReplyDelete
  4. Terbaik SN Dato Zurinah Hassan. Mohon digunakan untuk huraian dalam rencana sastera. Wassalam.

    ReplyDelete
  5. YBhg Dato, mohon disalin untuk kegunaan rujukan penulisan rencana sastera dan bengkel penulisan. Terima kasih.

    ReplyDelete