ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Sunday, May 03, 2009

VARIASI LAGU SYAIR MELAYU

ANTARA SELENDANG DELIMA DAN GURINDAM BANGSAWAN


Saya sering juga membaca syair. Namun penglibatan saya hanyalah sebagai seorang pengamal. Sepanjang penglibatan itu saya mengutip serba sedikit pengetahuan yang ingin saya kongsikan bersama. Pada masa ini kita mengetahui bahawa ada beberapa variasi irama yang digunakan untuk membaca syair. Sepintas lalu, kita mendengar pelbagai irama. Namun begitu kebanyakan bacaan adalah berdasarkan melodi yang sama tetapi berlainan cara dan lenggoknya.
Setakat ini ada 3 lagu yang agak terkenal yang dilabelkan sebagai:
1- Irama Selendang Delima,
2- Irama Dandan Setia
3- Irama Narasi
Walaupun mudah mengesan asal usul perkataan syair tetapi tidak mudah mengesan asal usul irama yang digunakan untuk menyanyikan syair. Bagaimanakah ketiga-tiga melodi itu mendapat nama? Tidak logik jika kita mengatakan bahawa melodi Selendang Delima adalah untuk membaca Syair Selendang Delima sahaja dan Dandan Setia untuk membaca syair Dandan Setia.. Tidak mungkin masyarakat dahulu sebegitu spesifik dan sistematik sedangkan mereka langsung tidak spesifik di dalam perkara lain. Siapakah yang memberikan nama-nama tersebut .Apa pula maksud narasi? Adakah narasi bermaksud naratif?
Irama Selendang Delima adalah irama yang lebih dikenali kerana irama ini tersebar luas melalui radio, khasnya melalui rancangan Bangsawan di Udara terbitan Radio Malaya yang dipancarkan dari Singapura pada zaman-zaman sebelum merdeka. Soalnya sejak bilakah irama Selendang Delima ini digunakan?
Kita juga mengetahui bahawa pada zaman dahulu bacaan syair diadakan semalam-malaman . Adakah pembaca syair menggunakan irama Selendang Delima?. Sukar untuk membayangkannya. Irama Selendang Delima memang merdu dan mendayu tetapi mengambil masa yang panjang, iaitu hampir 1 minit untuk 1 rangkap dan selepas beberapa rangkap ia akan menjadi monotonous. Orang ramai yang datang berduyun-duyun adalah khalayak yang buta huruf yang mahu mendengar cerita yang terungkap di dalam syair-syair yang dibaca. Mereka mencari hiburan daripada kisah-kisah kehidupan putera puteri cantik di istana yang indah. Itu adalah jalan ’escapism’ daripada realiti kehidupan seharian mereka. Irama Selendang Delima tidak dapat megisi keperluan untuk menyampaikan maklumat dan membangkitkan suspen dan sebagainya. Saya lebih percaya tukang syair membaca versi irama syair yang lebih pendek dan ringkas atau hanya membaca dengan lagu dan rentak yang kita dengar dari penglipur lara. Ini lebih munasabah untuk membawa cerita yang panjang dan bertahan hingga ke jauh malam malah hingga ke pagi.
Besar kemungkinan irama syair versi Selendang Delima itu adalah hasil ciptaan kumpulan Tijah Dean Opera yang mendapat slot rancangan Bangsawan di Udara. Tijah atau Miss Tijah dan Din atau Mr.Dean adalah suami isteri yang juga penyanyi piring hitam.Irama yang mendayu-dayu ini digunakan oleh narator dan sangat sesuai untuk membangkitkan mood cerita penglipur lara dan khayalan yang penuh sedih pilu dan pujuk rayu percintaan.
Irama Syair Narasi dikenali juga sebagai Syair Sarawak kerana ia dikatakan popular di Sarawak. Ada kemungkinan ia juga berkembang di pentas bangsawan kerana kumpulan bangsawan dari Singapura mengembangkan sayap ke Sarawak seawal tahun 1930 (Rahmah Bujang,1975:40).
Sesuatu persembahan bangsawan memerlukan pembaca syair sebagai penggerak cerita. Melodi syair Selendang Delima terus berkumandang di radio dan digemari oleh masyarakat di Malaya, Riau dan kawasan Sumatera Barat yang dapat menerima siaran Bangsawan di Udara persembahan Tijah Dean Bangsawan. Hal ini cuba ditandingi oleh kumpulan bangsawan yang menjadi pesaing mereka iaitu kumpulan Bintang Timur yang diketuai oleh Bakar M. Ini diakui oleh Seniman Negara Rahman B, anak kepada Bakar M, dalam satu perbualan dengan saya di kampus Akademi Seni Kebangsaan (sekarang ASWARA). ”Kami mencari irama yang lain daripada syair itu”. Mereka telah menggubah irama yang berlainan yang mereka namakani gurindam bangsawan. Gurindam bangsawan biasanya dibaca oleh Rohani B penyanyi utama kumpulan Bintang Timur yang juga adik kepada Rahman B.
Pada peringkat awal penciptaannya, Irama Gurindam Bangsawan tidak dapat menandingi populariti irama Selendang Delima yang tersebar melalui Bangsawan di Udara . Tetapi kira-kira sepuluh atau lima belas tahun kebelakangan ini irama Gurindam Bangsawan telah mendapat tempat yang penting. Ia diketengahkan oleh KEKKWA dan RTM dan digunapakai dalam acara-acara rasmi negara terutama yang bersangkutan kesenian dan pelancongan. Hal ini terjadi berikutan kedudukan dan peranan Seniman Negara Rahman B dan Rohani B yang kembali aktif dalam acara kesenian. Rahman B menjadi menjadi guru bangsawan di ASWARA dan menghidupkan kembali bangsawan Melayu di ASWARA dan di Istana Budaya. Bangsawan arahan Rahman B tidak menggunakan variasi irama Selendang Delima tetapi variasi gurindam bangsawan.
Walaupun Irama ini dinamakan Gurindam atau Gurindam Bangsawan, tetapi lirik yang disampaikan ialah syair, iaitu 4 baris serangkap dengan skima rima a a a a.. Kita mudah memahami mengapa kumpulan Bintang Timur menamakannya ’gurindam’ iaitu supaya kedengaran berlainan daripada syair Selendang Delima yang sudah sinonim dengan Tijah Dean Bangsawan. Hal ini menambahkan kekeliruan kerana penggunaan istilah gurindam dan syair secara wewenang.
Perkara ini pernah disentuh oleh Prof Mohd.Taib Osman bahawa orang Melayu, terutama dalam kebudayaan Melayu zaman silam tidak begitu berhati-hati tentang definisi sesuatu perkara sehingga payah hendak kita buat definisi yang jitu tentang bentuk-bentuk puisi Melayu lama (1975:131). Perkara ini berterusan hingga ke hari ini. Cuba lihat lagu-lagu popular ini: Gurindam Jiwa (dari filem Melayu, Cathay Keris), Seloka (.Aziz Jaafar dan Normadiah ), Nazam Lebaran (Siti Nurhaliza), Nazam Berkasih (Syura), Ghazal untuk Rabiah (M.Nasir dan Jamal Abdillah), Dikir Puteri (Nor Aniza Idris), Syair Si Pari-pari (Zamani). Di samping itu Amaruzati Nor Rahim memberi tajuk sajaknya Nazam Kecintaan (Mutiara Pertiwi:13-14) Ini adalah contoh bagaimana terminologi puisi tradisi itu digunakan sewenang-wenangnya walaupun senikata yang dinyanyikan tidak menepati tajuknya.
Bidang puisi tradisi sering mengelirukan. Hal ini disebabkan:
1- Tiada rakaman yang telah dibuat. Oleh itu kita tidak dapat memastikan secara ilmiah, irama manakah yang lebih asli.
2- Tidak adanya pengawalan hakcipta. Antara ciri penting sastera tradisional ialah ia diwarisi dan disebarkan melalui tradisi lisan dan bersifat kolektif dan dianggap kepunyaan bersama. Sebuah karya boleh ditokok tambah atau diubahsuai. Seseorang mungkin menamakan karangannya sebagai Gurindam dan menciptanya dalam bentuk gurindam dua baris. Karangannya itu ditokok tambah oleh orang lain selepasnya sehingga menukar struktur menjadi empat baris, tetapi masih mengekalkan nama yang asal.

JUMPA LAGI INSYAALLAH


8 comments:

  1. Salam.

    Maklumat ini menarik. Terima kasih kerana sudi berkongsi maklumat.

    Wassalam.

    ReplyDelete
  2. Salam, Puan Zurinah,
    Maklumat ini cukup menarik. Kalaulah dimasukkan sama video/audio dendangan syair-syair itu tentu akan lebih bermanfaat.

    ReplyDelete
  3. Salam, izinkan saya memanggil bonda. Jangan tidak tahu sayembara deklamasi tahun ini akan ditambah kategori syair dengar cerita. Tidak tahulah sejauh mana kesahihannya. Jemput lawat blog saya ya bonda yang dirahmati Allah....

    ReplyDelete
  4. Masa zaman remaja dolu, saya kerap mewakili sekolah dlm pertandingan Syair.

    Maklumat yg diberi amatlah menarik. Sayugia diharapkan agar dapat melampirkan bersama isi kandungan syair2 tersebut.

    Terima kasih.

    ReplyDelete
  5. Salam..
    Kak Zurinah.. Saya agak kurang pasti irama selindang delima mana satukah yang diterima pakai dalam pertandingan deklamasi syair tahun ini, 2009. Ada yang mendendang irama selendang delima ala lagu asli, ada ala mengaji, ada ala dangdut. Saya dendangkan selendang delima seperti ibu saya dendangkan ketika saya kecil, beliau syairkan Syair Siti Zubaidah bertulisan jawi. Irama itu hanya melayakkan saya mendapat tempat ketiga peringkat negeri Sabah. Mohon respon akak.
    Terima kasih.

    ReplyDelete
  6. salam..

    pn, sy nk tanya...ade x video lagu ataupun mp3 lagu syair irama siti zubaidah..sila emailkan pd sy: biha_chubby93@yahoo.com

    ReplyDelete
  7. sya mencari syair sarawak.adakah puan mpunyai rakamannya?sya dgr irama syair tu lebih sedap dripd irama yg biasa kita dgr...

    ReplyDelete
  8. saya mencari minus one syair yang tradisional

    ReplyDelete