aku poskan cerpen lama untuk tujuan simpanan dan bacaan sesiapa yang belum membca atau terjumpa.
KERONGSANG BERLIAN WAN
TEMPAWAN
OLEH: ZURINAH HASSAN
(Dewan Sastera)
Aku tidak pernah melihat sendiri bagaimana cantiknya
kerongsang berlian kepunyaan Cik Puan Wan Tempawan. Aku cuma tahu tentang kerongsang itu daripada cerita-cerita nenekku. Kata nenek, batu berliannya berkerlip-kerlipan,
diikat kemas oleh emas bermutu tinggi . Kerongsang
tiga sederet itu, tersemat di baju kebaya labuh Wan Tempawan, menambah
seri wajah wanita bangsawan yang sememangnya sangat rupawan. Kilauan permata dan pancaran emas semakin
menyerlahkan raut wajah dan membangkitkan cahaya kulit sang pemakai yang putih berseri.
Namaku Umar. Aku lahir di dalam warga marhain dan memang tidak berminat dengan kerongsang yang selalu
digambarkan oleh nenek. Aku cuma
mendengar sekadar untuk melayan nenek bercerita tentangnya. Aku faham, dalam usianya yang sudah di pinggir
senja, nenek hanya mampu melayan kenangan terhadap masa lalunya. Dia merasa lega kalau ada cucu untuk dilawan
bercakap. Anak-anak dan cucu-cucu yang lain semakin sibuk dengan urusan masing-masing. Akulah yang selalu duduk-duduk dengannya di
beranda sambil menghadap ke sawah yang terhampar
dan , menghirup udara petang yang segar. Aku mendengar sambil menyapu minyak
angin dan memicit-micit betis dan
lututnya yang dikatakannya semakin keras
dan kejang itu.
Seingat aku nama Cik Puan Wan
Tempawan tidak pernah lekang dari
mulut nenek. Itulah nama seorang wanita bangsawan yang pernah hidup di negeri kelahiranku. Mujurlah aku meminati sejarah dan pernah membuka buku besar yang terpamer di Muzium Negeri. Buku yang diberi jodol Titisan Kerabat itu boleh dirujuk untuk mendapatkan maklumat mengenai salasilah keturunan diraja. Aku
dapati yang Cik Puan Wan Tempawan adalah cucunda Al Marhum Sultan Abdul Samad.
Wan Tempawan lahir pada tahun 1875 dan mangkat pada tahun 1945. Dia berkahwin pada tahun 1893 dengan Tunku Tajuddin dan beroleh empat orang anak. Aku pun tidaklah terlalu berminat untuk
menghafal nama anak-anaknya. Lagipun aku boleh mengetahui semua maklumat itu
daripada nenek.. Nenekku tidak jemu jemu
menggambarkan perihal kecantikan dan kebaikan Wan Tempawan. Nenek selalu
menyebut-nyebut nama-nama putera dan puterinya.
Walaupun seluruh tubuh nenek semakin lemah, ingatannya masih kuat. Dia masih boleh menggambarkan keadaan rumah itu dengan kamar-kamarnya dan anjung yang menganjur ke
halaman Dia masih boleh menggambarkan dapur yang selesa tempat dia dan kawan-kawannya menyediakan
makanan untuk keluarga diraja.
Kalau hendak dikirakan rumah itu tidaklah sebesar mana.
Rumah-rumah orang sekarang jauh lebih hebat dari apa yang digambarkan oleh
nenek. Tetapi pada masa itu orang yang mampu mendirikan rumah batu, sudah
dianggap terlalu kaya.
Sudah tentu nenek mengingati rumah besar itu kerana di rumah
itulah juga nenek dilahirkan pada tahun 1900.
.
“Nenek, kita ni rakyat biasa. Kita orang kampung dari
keturunan petani miskin. Bagaimana nenek boleh dilahirkan di rumah besar itu?”
Nenek memang suka kalau aku atau sesiapa saja mengajukan
soalan sedemikian. Ini akan memberi peluang dia membuka cerita lagi. Dia tidak
jemu mengulang cerita yang telah berulang
kali dikisahkan. Mengikut cerita nenek, semasa Baginda Sultan mengadakan perayaan untuk
mengahwinkan cucundanya, orang-orang kampung dipanggil ke istana untuk membuat kerja-kerja. Kawasan istana menjadi penuh sesak. Kerja tak
berhenti siang malam. Ada yang mengukur kelapa, ada yang menumbuk cili. Ibu
kepada nenek , iaitu moyangku yang bernama Kalsom, yang ketika itu berumur
lima belas tahun telah dibawa ke istana
untuk membantu. Majlis perkahwinan berlangsung tujuh hari tujuh malam. Cucunda Sultan yang
naik pelamin itu tidak lain dan tidak bukan ialah Wan Tempawan yang kukisahkan
di sini.
Konon ceritanya permaisuri raja sangat berkenan melihat
tingkah laku moyang Kalsom. Dia mengajak,(atau memerintah) moyang Kalsom supaya terus tinggal di istana. Dipendekkan cerita, moyangku pun tinggallah di situ. Bila rumah
besar Wan Tempawan telah siap, moyang Kalsom turut berpindah. Moyang Kalsom kemudiannya dikahwinkan dengan
seorang pekerja istana dan lahirlah
nenek ke dunia. Nenek dibesarkan di rumah Wan Tempawan sehingga moyang Kalsom kembali ke kampung atas sebab sebab tertentu. Di
kampung itu mereka meneruskan kehidupan
sebagai petani biasa.
Begitulah cerita nenek kepadaku, dan kepada jiran-jiran. Orang-orang kampung kami begitu kagum. Mereka tidak dapat dapat membayangkan bagaimana mewahnya
rumah itu. Rumah-rumah di kampung semuanya kecil. Kebanyakannya beratap nipah
bahkan berdinding papan , hanya rumah penghulu yang besar.
Pada tahun 1980 aku belajar di Pulau Pinang. Di sana aku menyertai kumpulaan yang menamakan diri mereka
mahasiswa sosialis. Suatu hari aku hampir
memarahi nenek. “Nenek selalu memuji-muji keluarga di raja, Nenek
agung-agungkan mereka . Nenek bangga mengatakan Permaisuri Sakinah suka kepada
moyang Kalsom dan mengambil dia sebagai anak angkat.
Tapi nenek tak tau itu
semua helah golongan feudal. Nenek tidak
sedar yang mereka
hanya menjadikan moyang Kalsom dan nenek
juga, orang suruhan atau orang gaji yang tidak berbayar. Mereka kata nak buat anak angkat , tapi
sebenarnya itu semua menipu semata-mata. Rakyat seperti kita hanya dijadikan
hamba abdi”
Tetapi mujurlah aku berfikir dua kali. Aku tidak jadi meluahkan semua itu. Terfikir pula, apa
salahnya aku membiarkan nenek dengan
kenangannya. Biarlah hatinya tenang tanpa mengetahui hakikat sebenar. Mengapa
aku harus mencalarkan hatinya. Dia pun tidak akan hidup lama lagi di dunia ini.
Aku pun sedar bahawa dia
menganggap peluang untuk tinggal di
rumah besar berpagar itu satu tuah baginya. Di situ lebih baik daripada tinggal di kampung, di dalam pondok buruk yang bergegar bila hujan lebat. Apa salahnya
mereka memasak dan melayan kaum keluarga bangsawan walaupun tidak dibayar . Setidak-tidaknya
di situ rezeki mereka terjamin. Mereka
dapat makan pagi dan petang.
Aku juga tahu betapa peritnya menjadi petani. Aku membesar di
dalam keperitan dan kesengsaraan itu. Di
universiti aku belajar tentang
kemiskinan di luar bandar Para petani hanya beroleh sedikit wang bila padi dijual
setahun sekali. Ramai petani yang teperangkap di dalam hutang. Ramai petani
yang terpaksa berhutang untuk meneruskan
kehidupan. Mereka berhutang bila ada sakit demam dan kematian. Mereka juga
berhutang untuk mengadakan kenduri perkahwinan anak-anak.
Tidak ada jalan lain melainkan hutang. Mereka boleh pergi ke bandar. Di sana ada ceti,
ada tauke Cina, ada India Muslim yang
bersedia memberikan hutang dengan senang
hati. Tidak perlu menulis kertaskerja. Tidak perlu menunggu berbulan-bulan.
Bawa sahaja geran tanah untuk jadi sandaran. Bila padi dituai, padi itu dijual
kepada orang yang memberi hutang dengan harga yang sangat murah. Bagaimana
kalau padi tidak menjadi? Bagaimana kalau banjir melanda atau kemarau
memanjang? Jawabnya mudah sahaja, geran tanah tidak dikembalikan dan tanah yang
dipusakai pun bertukar tangan.
Bila mengenang nasib petani yang
malang, aku semakin marah. Semangat anti feudal dan anti kapatalis semakin
membara di dadaku.. Tetapi agak aneh juga kerana kawan baikku adalah seorang berketurunan fuedal iaitu Tengku Amir Amjad.
. Mungkin kerana Tengku Amir ialah
peninggalan anak cucu fuedal yang
langsung tidak berjiwa fuedal , jauh sekali dari menunjukkan apa-apa lagak
fuedalnya. Gaya hidupnya tidak berbeza dari mahasiswa-mahasiswa yang lain. Tidur bangun dan berkubang di dalam buku-buku
bersama kami. Dia menyanyi-nyanyi, melalak dan melawak seperti kawan-kawan lain. Sekali pandang tidak siapa yang
akan menyangka bahawa anak muda yang berambut panjang berjeans lusuh itu adalah
keturunan diraja.
Semasa di tahun akhir Tengku Amir mengikut aku balik ke kampung. Pada
masa itu nenek sudah uzur benar. Katanya seluruh sendi sendinya bagaikan di
cucuk –cucuk jarum. Bila dia tahu yang temanku itu bernama Tengku Amir , nenek dengan mentaliti fuedalnya mulalah bertengku dan
berpatik. Nenek mula mengeluarkan segala bahasa di raja yang tak pernah kudengar selama ini. Geli juga hatiku.
Bila diberitahu yang Tengku
Amir berasal dari bandar diraja negeri
kami, semakin berminatlah nenek. Nenek
bertanya pelbagai pertanyaan dan semuanya dijawab dengan baik oleh Tengku Amir
kerana dia juga seorang anak muda yang berbudi bahasa dan tahu mengambil hati
orang tua-tua.
Nenekku pun mula rancak bercerita tentang masa lalunya. Aku
lihat nenek merasa terhibur kerana ada
orang yang menjadi pendengarnya. “ Nenek dulu memang tinggal lama di sana. Nenek dulu duduk di rumah Mak Wan Tempawan. Suami dia Tengku Tajuddin pegawai besar. Tengku pernah dengar ke?”
“Apa pula tak pernah dengar. Wan Tempawan dengan Tengku Tajuddin
tu moyang saya. Ayah saya Tengku
Iskandar cucu Wan Tempawan lah”.
“Ya ke.? Ya Allah gembiranya hati nenek dapat berjumpa dengan
Tengku. Syukurlah Tuhan nak pertemukan kita. Mak Wan dengan anak-anaknya semua
baik terhadap nenek”.
Pertemuan dengan Tengku Amir menjadi episod nostalgia bagi nenek pada
petang itu. Walaupun aku tidak bersetuju dengan mentaliti fuedalnya, aku mula
bersyukur kerana membawa Tengku Amir pulang dan membawa keceriaan pada wajah nenek.
Selepas konvokesyen, aku dan Tengku Amir mula berkhidmat di bandar
diraja Nenek sudah pun pulang ke pangkuan Ilahi. Tengku Amir menjadi pegawai perancang bandar dan aku memegang
jawatan Penolong Pegawai Daerah. Pejabat
kami di bangunan yang sama iaitu di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri yang
tersergam indah di pinggir bandar. Pejabat Tengku Amir di tingkat sepuluh dan
pejabatku di tingkat dua. Kami terus berkawan rapat.
Untuk merancang pembangunan Tengku Amir memerlukan maklumat
tentang kedudukan tanah di bandar diraja dan persekitarannya. Semua maklumat
itu tersimpan di pejabatku. Di situ
tersimpan fail mengenai status dan nama
nama pemilik tanah sejak beberapa dekad. Beberapa kali ketika kami keluar makan
atau bersiar-siar pada waktu malam, Tengku
Amir selalu mengeluh, “ Sedihnya Umar, kau lihat tak ada lagi tanah di dalam
bandar yang dimiliki oleh orang Melayu. Di sana dulu semasa aku kecil ada juga
rumah-rumah Melayu. Sekarang semua sudah hilang. Tanah-tanah yang berdekatan
dengan bandar pun bertuankan orang lain. Hairannya tanah-tanah ini dulu
berstatus Tanah Simpanan Melayu. Mana pula perginya ratusan ekar yang pernah
dimiliki oleh kaum kerabat diraja?”
“ Betul juga. Nenekku pun pernah bercerita keluargamu ada
tanah yang luas di sana sini” . Kataku tanpa niat untuk menambahkan kesedihan
Tengku Amir.
“Ayahku pun selalu bercerita . Satu dekad yang lalu ,
tanah di sini luas tak bertuan. Seorang kerabat diraja berhak memohon tanah.
Berekar-ekar tanah diberi percuma kepada
kaum kerabat di raja. Tapi di mana tanah-tanah itu sekarang?. Tengku Amir
menggenggam erat tangannya penuh dendam dan geram.
Pagi itu aku dan Tengku Amir
berbincang di bilik mesyuarat Pejabat Daerah. Perbincangan itu diadakan
berikutan ada permohonan untuk mendirikan sebuah pasar raya terbesar di satu kawasan.
Aku sudah pun meminta kakitangan pejabat
mengeluarkan fail fail yang mengandungi
maklumat yang diperlukan . Kami meneliti fail-fail sambil menghirup kopi
yang telah disediakan. Peta lengkap kawasan yang sedang menjadi fokus
perbincangkan sudah terhampar di atas meja bercermin tebal.
Hampir lima minit ,
kuperhatikan Tengku Amir tidak
mengangkat mata dari peta itu. Mendung
duka sedang bergantungan di wajahnya.
Amir sedar aku memerhatikannya dengan penuh tandatanya. Dia
menjawab persoalanku. “Kau tengok ini Umar, di sinilah rumah keluargaku dahulu. Sekarang
menjadi milik orang lain yang bukan sebangsa dengan kita”
Tengku Amir menunjukkan kepada kawasan yang dimaksudkan.
Fahamlah aku mengapa wajah Tengku Amir dilanda kesedihan. Di situlah dahulu terletaknya
rumah besar di dalam pagar yang diceritakan oleh nenekku. Di situlah dahulu tinggal Cik Puan Wan Tempawan dan kaum
kerabatnya seperti yang disebut-sebut
oleh nenekku hingga ke akhir hayat.
Selama ini kami telah sedia maklum bahawa rumah dan kawasan
sekitarnya telah tergadai kerana hutang yang tidak dapat dibayar. Apakah jenis
hutang itu dan berapakah jumlah sebenarnya tidaklah begitu jelas. Di pejabatku
juga tersimpan fail harta pusaka
termasuk urusan jual beli, pindah milik dan lelong melelong tanah. Kami
mengambil keputusan untuk meneliti fail-fail berkenaan. Tengku Amir inginkan
butir-butir yang sah tentang perjalanan
tanah di pinggir bandar yang
tidak lagi menjadi milik keluarganya itu. Aku memanggil pembantuku dan meminta
fail-fail rekod lelongan tanah.
Kami sedia maklum betapa banyaknya tanah yang tergadai kerana
hutang. Orang-orang kampungku juga kerap berhutang. Hasil padi hanya boleh
dituai setahun sekali. Kadang-kadang malang yang datang, ada
kemalangan atau penyakit yang menimpa ahli keluarga. Di kala itu duit
sudah kehabisan sedangkan anak-anak mesti
makan.. Jadi tak ada cara lain selain
berhutang.Sampai sekarang pun orang kampungku berhutang. Tetapi aku tidak arif
pula mengapa golongan bangsawan ini berhutang”
Kata Amir, “Ada golongan syeikh-syeikh Arab yang licik. Mereka
berbaik-baik dengan wanita-wanita bangsawan seperti nenekku. Pada mulanya syeikh
syeikh ini bercakap tentang agama. Lama kelamaan pujuk suruh beli barang-barang kemas. Wanita-wanita ini mudah
tertarik apatah lagi semuanya boleh didapati dengan berhutang. Lagipun apa pula
kata orang, wanita bangsawan tak pakai gelang dan rantai, tak pakai kain sutera,
tak buat majlis kenduri besar-besaran. Semua
mesti sesuai dengan status.
Wanita-wanita bangsawan ini kebanyakannya tidak berpelajaran.
Tidak tahu membaca, menulis dan mengira. Kaum wanita beginilah yang jadi sasaran pemuitang Semuanya diserahkan kepada pemuitang
lalu senanglah mereka ditipu. Hutang piutang dibuat tanpa surat hutang dan tanpa saksi.
Dengan hati yang sebu kami menyelak beberapa surat cara
permohonan penukaran nama hakmilik
tanah. Surat surat itu dibuat oleh Syeikh Bajunid, Ceti Karuppiya dan
orang-orang yang senama dengan mereka. Semua tanah adalah milik wanita kerabat.
Senarai harta menunjukkan 53 orang
wanita Melayu kebanyakannya kerabat telah kehilangan tanah kerana berhutang.
Ada fail mengenai seorang Ceti bernama Narayanan yang meninggalkan
harta pusaka yang dinilai oleh Pejabat Setem sebayak 350 ribu. Hampir semua
harta itu diperolehi dari aktiviti memberi hutang kepada orang Melayu. Peminjam
biasanya memerlukan modal untuk perniagaan, melabur dalam saham , membina
rumah, mengadakan kenduri perkahwinan anak-anak dan membeli barang-barang
kemas.
Ada catatan bertarikh 4 Jun 1939, kerajaan membenarkan mahkamah
melelong tanah Tunku Katijah untuk menyelesaikan hutangnya kepada Ceti Karuppan.
Tengku Katijah telah menggadai tanahnya seluas
lima relong. Oleh sebab tanah itu belum dijadikan Tanah Simpanan Melayu, Karuppan
memohon membelinya dengan harga RM 300
sahaja. Bayangkanlah betapa tinggi nilainya sekarang kerana ia terletak di
kawasan elit bersebelahan Dewan Undangan
Negeri.
Akhirnya kami mendapat maklumat yang
dicari-cari. Fail itu menceritakan
segalanya tentang perjalanan hutang piutang moyang Tengku Amir. Tidak lain dan
tidak bukan beliau ialah Cik Puan Wan
Tempawan yang menjadi idola nenekku itu.
Di situ ada sepucuk surat
bertarikh 10 Jun 1938 .
Penulisnya ialah Syeikh Abdullah
Al-Tawaff yang memohon kepada kerajaan negeri untuk melelong
tanah milik Wan Tempawan kerana Wan Tempawan tidak dapat menyelesaikan hutang
kerongsang berlian yang bernilai 400 ringgit. Pada masa itu belum disebut RM.
Kami sedar nilai 400 pada zaman itu jauh
lebih tinggi dari sekarang.
“Kau tengok ni Umar,
perangai Syeikh ini . Dia diam sahaja bila nenekku tidak bayar hutang
bertahun-tahun. Dia sengaja buat macam tu supaya boleh mengaut untung daripada kadar bunga yang dikenakan.
Ujung-ujung dia membuat aduan kepada kerajaan.
Masa tu susahlah. Tak ada surat, tak ada bukti. Kerajaan pun tak boleh
nak tolong nenekku”.
Syeikh Al-Tawaf telah mendapat persetujuan mahkamah untuk
melelong tanah Wan Tempawan. Tanah itu pada asalnya dikurniakan kepada beliau
oleh Kerajan Negeri atas kedudukannya sebagai cucu Sultan. Mengikut peraturan
hanya orang Melayu sahaja yang boleh membelinya. Setelah beberapa lama, tiada
orang Melayu yang mampu membeli, maka Pak Syeikh membuat rayuan lagi agar
lelongan dibuka kepada orang bukan Melayu. Dengan hal yang demikian tanah
itupun terlepaslah kepada seorang saudagar China dari Pulau Pinang. Kini di kawasan
itu sudah terdiri sebuah menara yang menempatkan sebuah pasaraya terbesar di
kota kami dan beberapa tingkat ruang pejabat
yang disewa oleh syarikat-syarikat besar.
Aku percaya kerongsang berlian yang termaktub di dalam surat permohonan
itu adalah kerongsang berlian Wan Tempawan yang sering diceritakan oleh nenek
sepanjang hayatnya.
No comments:
Post a Comment