ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Tuesday, October 08, 2019

 Teori Pengkaedahan Melayu adalah sebuah teori yang dikemukakan pada tahun 1989.Oleh itu, Teori Pengkaedahan Melayu boleh digolongkan sebagai teori baru jika dibandingkan dengan teori-teori lain yang datang dari luar, contohnya Teori Stilistik, Semiotik, Intertekstualiti, Feminisme, Strukturalisme, New Historisme, Sosiologi, Psikologi, dan Psikoanalisis. Teori Pengkaedahan Melayu ini adalah hasil usaha seorang sarjana tempatan, iaitu Prof. Datuk Dr. Hashim Awang, dalam usaha mencari kaedah yang lebih sesuai untuk mengkaji karya-karya tempatan. Mengikut Hashim Awang teori ini mengandungi rumusan, atau formula, yang berupa prinsip-prinsip umum tentang karya atau teks sastera, dan amalan-amalan yang berkaitan dengan kesusasteraan Melayu, di mana pembentukannya adalah bertunjangkan realiti kehidupan dan keagamaan penghasil sastera (Hashim Awang, 2002:2).
Keperluan Teori Tempatan
         Sudah sekian lama sarjana dan pengkritik tempatan menggunakan teori-teori luar untuk mengkaji atau menilai hasil sastera tempatan. Pada keseluruhannya teori-teori yang digunakan ini diasaskan di Barat. Mengikut Md. Salleh Yaapar (2002:xii-xiii) keadaan ini berlaku kerana negara-negara Timur telah dijajah begitu lama oleh kuasa-kuasa Barat. Penjajahan ini telah mengakibatkan amalan kesusasteraan konvensi, pemikiran dan perkembangan di negara Barat diterima sebagai rujukan dan ikutan negara-negara rantau ini. Tumpuan perhatian dalam hampir semua perkara yang berkaitan dengan penghasilan dan penghayatan kesusasteraan terus diberikan kepada negara-negara di benua Eropah dan Amerika. Selaras dengan itu, maka hampir semua yang timbul dan dikembangkan di sana, daripada kritikan baru, psikoanalisis, dan strukturalisme, hingga kepada pascastrukturalisme, dekonstruksi, dan kesusasteraan feminis, diterima dan diikuti, malah seringkali dianggap bersifat sarwajagat dan bermutu tinggi. Md. Salleh Yaapar juga menegaskan bahawa:
pengalaman manusia Barat itu kuat terikat dengan nilai-nilai dan iklim budaya mereka yang tersendiri. Justeru itu, ia tidak semestinya bersifat sarwajagat atau sesuai untuk manusia lain di tempat lain. Apatah lagi yang dirujuk dan diterima itu hanyalah pemikiran, teori, dan amalan kesusasteraan Barat daripada kategori moden dan pascamoden, manakala unsur-unsur pemikiran, teori, dan amalan daripada warisan Barat tradisional dan yang lebih bersifat kerohanian telah ditinggalkan, sedangkan unsur-unsur daripada warisan itulah yang lebih banyak analogi dan pertalian dengan khazanah di rantau ini (2002:xiv).

         Pada akhir abad ke-20, para sarjana mula mendapati bahawa tidak semua teori sastera Barat boleh digunakan untuk mengkritik sastera Melayu. Mereka mula mendapati bahawa ada aspek teori yang menimbulkan masalah. Hal ini terjadi kerana teori-teori itu berlandaskan ciri-ciri sejarah, agama, dan kebudayaan yang tidak sesuai, malah bertentangan dengan sastera Melayu. Misalnya terdapat penulis teori yang dipengaruhi oleh agama Kristian dan Yahudi dalam melahirkan konsep-konsep mereka. Ada pula teori-teori yang menentang semua agama, umpamanya yang ada kaitan dengan pandangan falsafah Friedriche Nietzsch, bahawa Tuhan itu tidak ada dan sudah lenyap. Unsur-unsur kebudayaan dalam teori-teori sastera mungkin juga akan menimbulkan masalah jika konsep-konsep yang dipinjam oleh pengkritik berasal daripada kajian masyarakat Barat dan bukan daripada kajian masyarakat Melayu Nusantara atau negara-negara Timur amnya.
         Antara pandangan terawal daripada sarjana tempatan tentang ketidaksesuaian teori Barat ialah daripada Ismail Hussein. Hujah Ismail Hussein ini telah disampaikan di dalam Ucapan Tahunan Royal Asiatic Society Malaysian Branch yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 27 Februari 1966. Ucapan ini kemudiannya diterbitkan dalam bentuk buku dengan judul The Study of Traditional Malay Literature oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, 1974. Beliau telah melontarkan rasa kecewanya terhadap penggunaan kaedah Barat yang dianggapnya tidak sesuai dan kurang tepat dalam kebanyakan kajian yang dilakukan terhadap kesusasteraan Melayu, khususnya kesusasteraan tradisional. Antara lain, Ismail Hussein menegur kritikan Winstedt terhadap epik agung, Hikayat Hang Tuah, yang menurut Winstedt tidak mempunyai nilai sejarah sebaliknya hanya rentetan peristiwa yang berunsur khayalan. Kecaman ini tidak sepatutnya berlaku kerana Hikayat Hang Tuah adalah sebuah karya sastera dan bukan sebuah tulisan sejarah. Segala peristiwa dalam Hikayat Hang Tuah sebagaimana di dalam karya klasik Melayu yang lain adalah merupakan lambang atau sindiran tajam, yang mencerminkan ketinggian pemikiran dan ketinggian nilai estetika yang kurang difahami oleh sarjana dari luar. 
         Sebuah lagi tulisan Ismail Hussein bertajuk  “Masalah Pensejarahan Sastera Melayu Baru”  dimuatkan di dalam majalah Penulis, April-Ogos, 1970. Dalam tulisan tersebut beliau menegaskan tentang keperluan mewujudkan kaedah sendiri dalam penulisan sejarah kesusasteraan Melayu moden. Pandangan Ismail Hussein ini dipersetujui oleh sarjana lain. A.Teeuw  menegaskan bahawa sastera Nusantara, khususnya kesusasteraan Melayu, harus memiliki teori dan kaedah pengkajian sendiri kerana kesusasteraan ini memiliki ciri-ciri dan sifat-sifat istimewa yang harus dilihat daripada kaca mata orang-orang Melayu sendiri. Menurut A.Teeuw, persoalan utama ialah isi sebenar karya kesusasteraan Melayu itu yang mungkin tidak terdapat dalam kesusasteraan bangsa lain (1981: 5-8).
        
         Pandangan seterusnya diberikan oleh Umar Junus dalam tulisan artikelnya. Umar Junus  menganggap bahawa teori kesusasteraan yang berkembang di Barat adalah umpama penjara bagi pengkaji sastera tempatan. Beliau menyatakan bahawa ”kita berada dalam penjara teori kesusasteraan yang berkembang di Barat” (1991:16).
Jika pergantungan terhadap teori Barat itu satu penjara, maka ia mestilah dihapuskan, dan kita mampu untuk melakukannya. Pandangan positif ini dilontarkan oleh Kassim Ahmad. Beliau berpendapat bahawa sarjana tempatan mampu mengemukakan teori yang lebih baik dan lebih sesuai daripada teori yang diambil dari Barat, dengan syarat kita mestilah yakin dengan kebolehan sendiri. Menurut Kassim, ”Tidak ada sebab untuk menyatakan daya fikir dan daya kreatif kita kurang daripada orang Barat. Syaratnya pemikiran kita mestilah dibebaskan daripada segala bentuk tahyul dan khurafat. Salah satu tahyul itu ialah rasa rendah diri kepada kuasa manusiawi, baik dari Barat atau Timur” (1992:9).
   Mana Sikana turut memperkatakan tentang beberapa kekurangan teori Barat di dalam mengkaji sastera tempatan. Menurut Mana Sikana (1991: 8-11):
1)     Ada teori yang sudah terlalu lama dan tidak berkembang lagi seperti pendekatan sejarah dan moral.
2)     Ada teori-teori yang digunakan sudah terlalu dominan dan hampir membeku seperti pendekatan formalistik.
3)     Terdapat juga teori yang telah mengalami perubahan dan perkembangan, seperti teori psikoanalisis dan sosiologi.
4)     Ada teori yang sudah kurang berfungsi untuk menganalisis karya-karya sastera Melayu yang baru.

         Bertolak daripada kekurangan yang diperkatakan di atas, Mana Sikana telah mengemukakan pendapat dan cadangan ke arah pembinaan teori sastera tempatan. Beliau menyarankan supaya prinsip-prinsip Islam dijadikan asas pembentukan sebuah teori tempatan. Cadangan tersebut diperincikan di dalam bukunya Kritikan Sastera-Pendekatan dan Kaedah (1986).
Keperluan teori tempatan turut menjadi perbincangan di peringkat serantau.  Mengikut Chong Ah Fok (2005:23), pada akhir abad ke-20 para sarjana Melayu di Malaysia, Indonesia, dan Brunei Darussalam, telah mula menyuarakan pandangan mereka untuk mencari teori sastera sendiri. Keperluan ini disebabkan ada teori yang kurang sesuai dengan hasil karya tempatan, khususnya karya sastera Melayu, dan sesetengahnya sudah agak lama dan perlu diperbaharui. Penulis Brunei yang turut menyuarakan pendapat tentang ini ialah Yahya M.S.
               Menurut Sahlan Mohd Saman (1999) terdapat beberapa teori kritikan yang diketengahkan oleh sarjana tempatan. Antaranya ialah ”Teori Sastera Islam” yang diutarakan oleh Shahnon Ahmad pada tahun 1977, ”Puitika Sastera Melayu” yang diasaskan oleh Muhammad Haji Salleh, ”Teori Pendidikan Estetik Daripada Pendekatan Tauhid” dihasilkan oleh Mohamad Affandi Hassan, ”Pendekatan Kritikan Islam” oleh Mana Sikana, dan ”Teori Takmilah” yang dibina oleh Shafie Abu Bakar. Sahlan membincangkan isi setiap teori yang dikemukakan oleh setiap tokoh tersebut.
Sehubungan dengan itu, Hashim Awang turut  menampilkan pandangan beliau. Hashim Awang berpendapat bahawa:


“Tidak semua teori kritikan sastera dari Barat itu dapat dikatakan sesuai untuk diterapkan dalam pelaksanaan kritikan sastera di negara kita. Paling jelas ialah teori-teori yang didasarkan kepada pandangan atau gagasan Karl Marx, dan beberapa konsep tertentu dari psikoanalisa dan agama Kristian, yang memiliki banyak unsur-unsur yang bertentangan dengan pandangan hidup dan kepercayaan agama (Islam) masyarakat kita” (1983: 8). 

                        Melalui Syarahan Perdana di Universiti Malaya, Hashim Awang menyuarakan pandangannya bahawa Sastera Melayu mempunyai nilai-nilai dan keunikan tersendiri. Sastera Melayu terhasil oleh adanya pandangan hidup, kebudayaan, dan kepercayaan masyarakat Melayu sendiri, yang ternyata amat berbeza dengan masyarakat Barat. Oleh itu ia perlu dinilai atau dikaji daripada kaca mata pengkaedahan tersendiri juga. (Hashim Awang, 1997:12)

Sunday, September 29, 2019

Puisi  Melayu  tradisional adalah pusaka bangsa yang sangat berharga. Di dalamnya terkandung mutiara kata dan susunan madah yang membuktikan kebijaksanaan atau kearifan nenek moyang kita. Puisi Melayu tradisional adalah Institusi PENDIDIKAN dalam masyarakat Melayu
Khazanah kesusasteraan tradisional mengandungi Pantun, Syair, Gurindam, Seloka, Nazam,  (sekadar menyebut jenis-jenis yang lebih terkena). Setiap satu mempunyai bentuk/struktur, isi dan fungsi masing-masing dan mempunyai pemikiran yang tinggi dan  falsafah yang berupa nasihat dan pedoman untuk masyarakat .

PANTUN
Di antara sekian banyak puisi warisan, boleh dikatakan Pantun adalah bentuk yang paling popular  dan hidup subur pada masa ini.  Pantun tersebar luas melalui pelbagai media seperti lirik lagu, majlis perkahwinan, majlis rasmi dan pelbagai acara kemasyarakatan. Sering juga diadakan pertandingan berbalas pantun baik di peringkat sekolah hingga ke peringkat kebangsaan.  Pantun bukan sahaja disiarkan dalam majalah ilmiah dan budaya  seperti Dewan Budaya, Dewan Sastera dan Pelita Bahasa malah dalam majalah-majalah jenaka dan komik seperti  Ujang dan Din Lawak.
Dalam puisi tradisi penggunaan unsur alam sangat penting. Orang Melayu tidak mengkritik secara terus terang tetapi Menyamakan sesuatu dengan alam. Kata ‘pantun’ bererti menyamakan, mengumpamakan “kami sepantun telur itik, kasihan ayam maka menjadi’.
Misalnya Laut.
Secara keseluruhannya laut digunakan di dalam pantun untuk menggambarkan perjalanan hidup manusia. Menempun hidup disamakan dengan mendayung perahu atau melayari bahtera di lautan. Manusia akan menempuh pelbagai peristiwa, suka dan dukia, bahaga dan sengsara umpama pelbagai perkara yang ditemui di dalam pelayaran. Cabaran dan dugaan yang dilalui digambarkan sebagai ombak, gelombang, badai dan batu karang yang mengganggu perjalanan. Setiap orang perlu berhati-hati di dalam hidupnya sepertimana seorang pelaut mesti berhati-hati di tengah lautan. Kehidupan yang hancur disamakan dengan kapal yang karam.
Laut adalah cabaran yang mesti ditempuh oleh seorang yang telah dewasa seperti mana yang dinyatakan di dalam pantun ini:
Rumah kecil tiang seribu
Rumah besar tiang sbatang
Kecil2 ditimang ibu
sudah besar ditimang gelombang

Pantun ini sering diselitkan di dalam lagu2 rakyat atau nyanyian kanak-kanak. Melalui pantun ini orang2 tua menydiakan minda anak2 untuk menempuh alam kedewasaan . ia menyedarkan bahawa dalam hidup ini tidak boleh selamanya berharap atau bergantung kepada ibubapa dan orang lain. Juga adalah tanggungjawab ibu menimang atau member kasih sayang dan tunjuk ajar sesukupnya kepada si anak ketika ia masih kecil. Bila meningkat dewasa anak mesti dilepaskan untuk pergi mencari penghidupannya sendiri. Tibalah waktunya untuk brdikari. Keluar membina kehidupan biasanya melibatkan perjalanan menyeberang lautan . segala susah payah akan dialami baaikan menempuh gelombang di tengah lautan.
 Angin barat gelombang barat
Barat ditiup siangin timur
Tidak dirintang muatan sarat
Akibat laut tempat berkubur

PRIHAL MEMBUAT PILIHAN DAN MENENTUKAN PRIORITI.Orang tua menasihati agar kita berpada-pada di dalam segala segi. Kalau mahu selamat mestilah  menjaga batas dan sempadan. Hidup adalah umpama pelayaran maka belayarlah dengan bekalan yang mencukupi dan  bawalah hanya yang diperlukan.
Orang yang berjaya dan selamat adalah mereka yang bijak membuat pilihan.Sudah dikatakan bahawa hidup adalah pelayaran, maka pilihlah yang terbaik dan yang diperlukan sahaja untuk dibawa.  Terlalu banyak muatan yang tidak diperlukan akan menyebabkan perahu karam di lautan. Orang Melayu menasihati dengan pantun:
Tuai padi antara masak,
     Esok jangan layu-layuan;
Intai kami antara nampak,
     Esok jangan rindu-rinduan.

TUMBUHAN Bunga kembang tak jadi dan pohon tidak berbuah
Berburu ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Bagi bunga kembang tak jadi

Cahaya redup menyegar padi
Ayam berkokok mengirai tuah
Jika hidup tidak berbudi
Umpama pokok tidak berbuah.

Ilmu yang tidak diamalkan/bagi pohon tidak berbuah.Orang Melayu menghargai ilmu.dan  Budi

GURINDAM
Berisi nasihat dan pedoman hidup.
GURINDAM DUA BELAS ( CIPTAAN RAJA ALI HAJI).

Raja muafakat dengan menteri
Seperti kebun berpagar duri

Betul hati kepada raja
Tanda jadi sebarang kerja

Hukum adil atas rakyat
Tanda raja beroleh inayat

Kasihkan orang yang berilmu
Tanda rahmat atas dirimu

Hormat akan orang pandai
Tanda mengenal kasa dan cindai
  • pemikiran dan falsafah
Terdapat pemikiran dan falsafah pengarang tentang kepimpinan dan kenegaraan yang dipadatkan di dalam dua baris ini. Pada pemikiran pengarang, keteguhan dan kedaulatan sebuah negeri bergantung pada pemimpin yang adil dan juga rakyat yang setia.
  • Keindahan bahasa (penggunaan simile, metafora,perlambangan)
Bahasa diperindah dengan penggunaan simile “bagaikan kebun dipagar duri”. Kebun melambangkan kesuburan dan kemakmuran, sumber makanan dan rezeki rakyat. Kebun yang berpagar duri berada di dalam keadaan terpelihara dan tidak mudah diganggu oleh musuh. Pagar berduri merujuk kepada ketahanan dan keselamatan negara tersebut akibat dari raja yang bermuafakat dengan menteri. Dalam ungkapan ‘mengenal kasa dan cindai”  terdapat penggunaan metafora atau perlambangan. Kasa dan cindai tidak sama dari mutunya.Kasa adalah kain yang kasar sedangkan cindai adalah halus dan indah buatannya.Keduanya digunakan sebagai lambang atau ukuran kepada taraf dan nilai di dalam kehidupan.
  • Pemikiran yang tinggi
Terdapat pemikiran tinggi tentang nilai ilmu. Ungkapan “Mengenal kasa dan cindai” merujuk kepada kebijaksanaan atau daya intelek. Syarat untuk menjadi bijak itu mestilah dahulu hormat akan orang yang pandai. Pemimpin dan rakyat mesti menuntut ilmu dan menghargai orang-orang yang berilmu. Ini juga bermaksud raja mesti meminta nasihat daripada orang yang pandai di dalam menjalankan urusan negeri dan di dalam menyelesaikan segala masalah yang timbul.

SELOKA
Seperti kebanyakan puisi tradisional yang lain, ciri-ciri seloka boleh dikenali melalui isinya dan tujuan ia dikarang. Seperti yang diketahui umum, gurindam digubah untuk menyampaikan nasihat dan panduan, Nazam digunakan untuk menyampaikan kisah dan puji-pujian terhadap Allah dan Nabi Muhammad s.a.w., teromba merupakan puisi yang menyampaikan perbilangan adat dan peraturan bermasyarakat, manakala mantera adalah jampi serapah yang bertujuan mengubat pesakit. Seloka pula dikarang untuk menyampaikan kritikan dan sindiran terhadap sesuatu kepincangan yang berlaku di dalam masyarakat. Kritikan dan sindiran ini amat tajam dan disampaikan secara berlapik dan berkias dalam nada bergurau.
Melalui seloka akan terpancar budaya masyarakat Melayu tradisional yang tidak mengkritik secara berterus terang tetapi secara halus. Kata-kata yang digunakan di dalam seloka adalah lambang-lambang yang mengandungi makna yang tersirat. Seperti kebanyakan karya di dalam khazanah Melayu tradisi, kita tidak mengetahui siapakah pengarang sebenar sesebuah seloka. Namun dari seloka yang kita warisi, terbukti bahawa pengarang seloka adalah pemikir yang amat tajam pemerhatiannya terhadap alam dan masyarakat di sekeliling. Mereka peka terhadap segala yang berlaku dan menjalankan tanggungjawab bagi menyampaikan teguran dan kritikan. Pengarang seloka menggunakan perbandingan dan tamsilan seperti perumpamaan, metafora, simile dan personifikasi yang kaya dengan imej alam. Imej-imej alam ini perlu ditafsir untuk mengetahui maksud sebenar seloka.
Warisan Melayu telah meninggalkan sejumlah seloka untuk dihayati. Untuk mengenal seloka dengan lebih dekat kita akan menganalisis tiga buah seloka yang paling terkenal di dalam masyarakat Melayu iaitu:
1.    Seloka Pak Kaduk,
2.    Seloka Pandai Pak Pandir
3.    Seloka Mak Si Randang

Ketiga-tiga seloka di atas adalah berdasarkan cerita rakyat atau cerita jenaka yang terkenal di dalam sastera Melayu. Pak Kaduk dan Pak Pandir merupakan watak-watak yang ditimpa malang. Nasib malang itu adalah akibat daripada kebodohan mereka sendiri. Mereka telah melakukan perbuatan-perbuatan yang merugikan diri sendiri. Seloka Mak Si Randang adalah berdasarkan cerita rakyat masyarakat Minangkabau yang mengisahkan seorang ibu yang terlalu pemurah dan sanggup memberikan segala yang ada kepada orang lain. 

Seloka Pak Kaduk
Aduhai malang Pak Kaduk
Ayamnya menang kampung tergadai
Ada nasi dicurahkan
Awak pulang kebuluran
Mudik menongkah surut
Hilir menongkah pasang
Ada isteri dibunuh
Nyaris mati oleh tak makan
Masa belayar kematian angin
Sauh dilabuh bayu berpuput
Ada rumah bertandang duduk

Seloka ini boleh dikatakan rumusan kepada cerita jenaka Pak Kaduk.. Daripada seloka ini tergambar kehidupan masyarakat Melayu tradisional yang bergantung sepenuhnya kepada alam. Di sini kita menemui watak Pak Kaduk yang sentiasa dirundung malang. Mengikut seloka ini, nasib yang tidak beruntung ini ialah kerana dia tidak pandai mengatur hidupnya mengikut peraturan alam. Pada pandangan orang Melayu keberuntungan dan kebahagian adalah apabila seseorang dapat hidup secara harmoni dengan alam. Melakukan sesuatu yang bercanggah atau berlawanan dengan alam akan mengundang pelbagai masalah.
Pada masa dahulu, sungai adalah jalan perhubungan. Manusia menggunakan sungai sebagai laluan untuk ke sana ke mari. Seloka ini menggambarkan perjalanan pak kaduk ketika hendak ke hulu dan ke hilir. Pak Kaduk telah mudik atau mendayung perahu ke arah hulu ketika air surut. Perbuatan ini adalah tindakan yang tidak bijak dan bercanggah dengan kejadian alam. Sepatutnya Pak Kaduk mudik ketika air pasang kerana air yang sedang pasang akan membantu menolak perahunya dan mempercepatkan perjalanannya. Sebaliknya ketika hendak ke hilir Pak Kaduk telah memilih ketika air pasang sedangkan perjalanan dari hulu ke hilir lebih mudah dilakukan ketika air surut kerana air sungai yang mengalir ke muara akan membantu menarik perahu ke arah hilir. Maka pengarang seloka ini mengejek kelakuan Pak Kaduk yang Mudik menongkah surut /Hilir menongkah pasang .
Seloka ini juga mengecam Pak Kaduk yang telah membunuh isterinya sedangkan isterinya telah memberi sokongan kepadanya selama ini. Di dalam hidupnya manusia memerlukan hubungan dengan alam dan hubungan dengan manusia lain. Alam persekitaran dan kampung halaman. Hubungan dengan manusia lain diperlihatkan dengn hubungan isteri. Citra keluarga memberi penekanan kepada faktor sentiman keluarga, kasih sayang dan hubungan kekeluargaan sebagai contoh citra keMelayuan. Kerana dosa dan kesalahannya Pak Kaduk menerima balasan. Dia nyaris mati oleh tak makan. Kita juga mendapat gambaran tentang apa yang berlaku pada Pak Kaduk. Angin telah mati ketika dia hendak belayar, (Masa belayar kematian angin.Sauh dilabuh bayu berpuput). Hal ini memperlihatkan alam juga seolah-olah tidak mahu bekerjasama dengan Pak Kaduk setelah dia melakukan dosa membunuh isterinya itu.
Selain Pak Kaduk, watak Pak Pandir juga terkenal di kalangan masyarakat Melayu. Kebodohan Pak Pandir diungkapkan melalui seloka ”Pandai Pak Pandir”

Pandai Pak Pandir
Anak dipijak,dagang dijinjing
Kucing dibunuh, tikus dibela
Harta habis, badan tergadai
Mendengar gelagak dagang
Tak sedar bertelanjang
Mendengar guruh di langit
Air tempayan dicurahkan
Mulut kena suap pisang
Buntut kena cangkuk onak
Gunting makan di hujung
Pak Pandir juga yang menanggung
Apa didengar gelagat dagang
Gelagak rambutan jantan
Orang berbunga dia berbunga
Orang berbuah dia haram
Kilat memancar hujang tak lalu
Awak juga berkecundangan

Seloka di atas adalah perihal kelakuan Pak Pandir yang salah pertimbangan dan sering membuat kerja-kerja yang tidak sepatutnya dilakukan. Pak Pandir berbuat baik tidak pada tempatnya. Dia berbuat baik dengan menjinjing dagang tetapi  berlaku kejam dengan perlakuannya “memijak”  anak sendiri. Dia telah membunuh kucing iaitu sejenis binatang yang dikaitkan dengan kemanjaan tetapi telah membela tikus iaitu sejenis haiwan yang boleh merosakakan kesihatan dan harta benda. Kerana kebodohan dan kebaikannya yang melampau itu, Pak Pandir mudah ditipu. Dia mudah percaya kepada orang asing (Mendengar gelagak dagang,Tak sedar bertelanjang) Akibatnya, harta habis,badan tergadai. Pak Pandir juga sering mengambil risiko tanpa berfikir panjang. Hal ini digambarkan melalui peribahasa Mendengar guruh di langit,Air tempayan dicurahkan. Ternyata dagang yang dijinjingnya adalah penipu yang licik yang berpura-pura baik Hal ini dijelaskan melalui ungkapan mulut kena suap pisang,Buntut kena cangkuk onak,dan gunting makan di hujung Pak Pandir juga yang menanggung Apa didengar gelagat dagang Gelagak rambutan jantan Orang berbunga dia berunga Orang berbuah dia haram Kilat memancar hujang tak lalu
Awak juga berkecundangan
Sebahagian besar dari maksud Seloka Pandai Pak Pandir disampaikan melalui peribahasa. Oleh itu ia menunjukkan dengan jelas hubungan yang rapat antara seloka dan peribahasa. Di sini terdapat sekurang-kurangnya empat ungkapan yang merupakan peribahasa yang terkenal.
  1. Mendengar guruh di langit air tempayan dicurahkan,
  2. Mulut kena suap pisang,buntut kena cangkuk onak,
  3. Gunting makan di hujung
  4. Gelagak rambutan jantan, orang berbunga dia bebunga. orang berbuah dia haram


Mak Si Randang
Baik budi emak si Randang
Dagang lalu ditanakkan
Tiada kayu rumah diruntuh
Anak pulang kelaparan
Anak dipangku diletakkan
Kera di hutan disusui
Dagang pergi awak terhutang
Beras habis padi tak jadi
Awak juga kecundangan
Menceritakan tentang emak si Randang yang berbudi kepada orang lain hingga sanggup berbuat apa sahaja walaupun perbuatan itu merugikan dan merosakkan diri dan keluarga sendiri. Emak si Randang terlau ekstrim di dalam menjamin kesejahteraan orang dagang. Perbuatan melampau ini adalah bertentangan dengan pepatah Melayu yang berbunyi ”Buat baik berpada-pada”. Agama Islam juga menyarankan kita bersederhana di dalam segala perkara. Emak si Randang telah menanak nasi untuk menjamu si dagang . Kebodohannya dilihat apabila dia  sanggup meruntuhkan rumah untuk mendapatkan kayu bagi menyalakan api. Nasibnya sangat malang kerana dagang yang dijamu itu ternyata bersikap pelahap yang menghabiskan semua makanan tanpa meninggalkan sedikitpun baki. Ini dibuktikan apabila anak atau si Randang pulang tidak ada apa yang boleh dimakan, Nasi yang dimasak habis dimakan oleh si dagang. Perbuatan mak si randang itu umpama menyusukan anak kera dan membiarkan anak sendiri kehausan/ Hal ini digambarkan di dalam ungkapan, Anak dipangku diletakkan Kera di hutan disusui . Mak si Randang juga menanggung hutang  kerana membeli makanan. Nasib semakin malang kerana padi tidak menjadi pada musim itu sedangkan beras telah habis ditanak untuk menjamu dagang yang lalu. Setelah kenyang, si dagang telah pergi tanpa meninggalkan apa-apa hadiah sebagai saguhati. Hal ini menunjukkan perangai si dagang yang tidak mengenang budi. Hal ini juga menyalahi ajaran Islam yang mengatakan dengan jelas bahawa seorang ibu dan bapa adalah wajib memberi makan atau nafkah kepada anak dan tanggungannya . Islam juga mengajar bahawa sedekah kepada ahli keluarga adalah lebih tinggi pahalanya dari sedekah yang diberikan kepada orang yang bukan dari kalangan kaum kerabat.
PTiga buah seloka di atas telah digunakan untuk mengkritik golongan yang tidak membuat atau menjalankan urusan dengan betul. Apa yang amat menarik ialah ungkapan-ungkapan yang berupa sindiran dan kiasan itu tidak hanya tepat untuk mengkritik masyarakat zaman dahulu. Lebih penting ianya terus relevan dengan situasi semasa. Pada masa ini masih ada golongan atasan yang terlalu menjaga kepentingan ’orang dagang’ hingga melupai atau mengabaikan kebajikan rakyat asal. Pada masa ini terdapat ramai orang yang menanggung kerugian kerana mengharapkan keuntungan yang belum tentu. Isi seloka ini perlu difahami dan dijadikan pengajaran dan iktibar kepada setiap golongan masyarakat

Saturday, September 28, 2019


Lazimnya apabila kita mengatakan atau menyebut perkataan “insan” maka maknanya ialah manusia. Jadi apabila membicarakan menginsankan manusia membawa makna manusia itu tidak cukup manusia dan perlunya langkah-langkah untuk memanusiakan manusia.
Ini bererti juga ada sifat-sifat yang mesti ada pada diri seorang manusia supaya dia menjadi insan.
Apakah sifat2 seorang insan yang bukan hanya seorang manusia?
Insan itu berfikir dan merasa. Memiliki dua komponen penting, fikiran dan perasaan.
Bahkan dalam bahasa Melayu fikir dan rasa itu sangat hampir. Apabila berkata rasa ia sudah merangkumi kata fikir. Dalam bahasa Melayu kita sering berkata ‘saya rasa’ bukan saya fikir. Sebenarnya rasa itu sudah bermakna fikir atau membawa pengertian fikir. Seseorang  tidak merasa tanpa berfikir. Contohnya saya merasa bimbang terhadap masa depan bangsa kita. Ayat ini sudah bermaksud yang dia telah berfikir tentang masa depan bangsa, berfikir tentang situasi yang mencabar bangsanya. Dalam BI I think and I feel itu mungkin benda yang berasingan.
Maka kita kata insan itu bererti mempunyai pemikiran dan perasaan.
Perasaan seperti sedih, suka, simpati, kagum terhasil dari pemikiran.
Hubungan Bahasa dan Sastera dalam Menginsankan Manusia
Bagaimana dan apa hubungan bahasa dan sastera dalam menginsankan manusia?.  Hubungan bahasa dan manusia sangat erat.  Di dalam kitab suci Al Quran kejadian manusia diceritakan bersama yakni seiring dengan kejadian bahasa.  Umpamanya dalam Surah Ar Rahman
Dalam bahagian pertama surah ini – Allah menjelaskan bahawa Allah memberi kita Al-Qur’an, Ini juga membawa erti Bahasa itu diturunkan sebelum dijadikan manusia.
Allah memulakan surah ini dengan memperkenalkan sifatNya ar-Rahman, kerana dalam surah ini akan disebut berkali-kali pemberian yang diberikan kepada makhluk. Kemudian Allah akan tanya balik: “manakah nikmat Allah yang kamu tidak mengaku?”
Arrahman,

عَÙ„َّÙ…َ الْÙ‚ُرْءآنَ

Dialah yang mengajarkan Al-Qur’an.

Ini diikuti dengan
Ayat 3

Ø®َÙ„َÙ‚َ الْØ¥ِنسٰÙ†َ

Dialah yang telah menciptakan manusia; –


Di sini dilihat bahawa pengajaran Al Quran itu didahulukan daripada kejadian manusia. Ini menunjukkan sebelum menjadikan manusia Allah telah menjadikan Al Quran terlebih dahulu,

Allahlah yang menciptakan insan dari tidak ada kepada ada.
Kata الْØ¥ِنسَانَ diambil dari kata dasar انس yang bermaksud ‘kasih sayang’. Manusia ada kelebihan ini. Allah menjadikan manusia yang seperti ini. Manusia boleh memberi sayang dan memerlukan sayang juga. Binatang tidak ada keperluan ini. Mereka hidup macam itu sahaja.
Oleh kerana itu Al-Qur’an juga mengajar manusia sifat kasih sayang. Al-Qur’an itu bukan sahaja kitab tentang hukum halal dan haram sahaja tapi juga mengandungi ajaran bagaimana berurusan dengan manusia yang lain. (human relations).
Satu lagi pendapat mengatakan bahawa kata dasar الْØ¥ِنسَانَ itu adalah dari perkataan nasiya – lupa. Memang tidak dinafikan manusia itu memang mudah lupa. Maka sebab itulah kita amat memerlukan peringatan sentiasa. Maka itulah sebabnya Al-Qur’an itu adalah peringatan kepada kita. Sampaikan salah satu nama bagi Al-Quran itu adalah الذكرى –

عَÙ„َّÙ…َÙ‡ُ الْبَÙŠَانَ

Dia lah yang telah mengajar manusia berkata-kata.
 ‘Bayan’ dari kalimah ب ÙŠ Ù† yang antara lain bermaksud ‘menjelaskan’. Ia adalah kebolehan untuk menyampaikan apa yang ada dalam akal kita. Untuk membolehkan manusia memahami Al-Qur’an yang disampaikan,
 Allah telah memberikan manusia kebolehan berkata-kata dan memahami konsep yang kompleks. Inilah yang dikatakan diajar kepada Nabi Adam a.s. apabila baginda diajar ‘asma’.
Sekali lagi Allah menggunakan kata ‘mengajar’ dalam ayat ini. Kali ini Allah telah khususkan bahawa yang diajar adalah ‘manusia’ dalam ayat ini. Ini adalah kerana masdar ‘hu’ dalam perkataan عَÙ„َّÙ…َÙ‡ُ  itu merujuk kepada manusia, seperti yang telah digunakan dalam ayat sebelumnya.
Tapi dalam mengajar Al-Qur’an, Allah tak sebut ‘siapa yang diajar’. Tapi dalam mengajar berkata-kata, Allah cakap ajar kepada ‘manusia’. Tidak disebut yang Al-Qur’an ini diajar kepada manusia, atau kepada nabi, atau kepada Jibrail dan sebagainya. Ini adalah kerana Al-Qur’an itu bersifat universal. Pengajaran Al-Qur’an itu bersifat menyeluruh. Pengajaran Al-Qur’an boleh dimanfaatkan oleh banyak jenis makhluk. Itulah salah satu lagi dari rahmah Allah. Ia terbuka kepada semua sekali. Sesiapa sahaja yang Allah mahu, Allah akan beri.
Tapi tidak semua makhluk diberikan dengan kebolehan berkata-kata. Allah beri kita (manusia) kebolehan berkata-kata dan faham perkataan ini adalah supaya kita boleh belajar Al-Qur’an.
ADAM DIAJAR NAMA-NAMA BENDA.

Allah menjadikan manusia pertama yang diberi nama Adam. Ternyata sebelum terciptanya Adam telah ada makhlok-makhlok lain seperti malaikat dan iblis. Allah SWT mengajar kepada Adam nama-nama benda yang berada di alam semesta., Hal ini dilakukan untuk  menghilangkan anggapan rendah para malaikat terhadap Adam dan menyakinkan mereka akan kebenaran hikmat-Nya menunjuk Adam sebagai penguasa bumi. Allah memperaga benda-benda itu di depan para malaikat seraya bertanyakan apakah benda-benda itu, jika malaikat benar merasa lebih mengetahui dan lebih mengerti dari Adam.”
Dalam Surah al-Baqarah 2:31
2:31
“Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar”.”
Para malaikat tidak berdaya memenuhi tentangan Allah SWT untuk menyebut nama-nama benda yang berada di depan mereka. Mereka mengakui ketidak-sanggupan mereka.

Ayat ini menunjukkan bahawa ketinggian sifat Adam (atau sifat manusia) ialah kerana mereka berkebolehan dalam menyebut nama-nama benda yang juga selaras dengan  kemampuan berbahasa

Satu lagi ayat tentang manusia dan bahasa ialah:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikan itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.  (AR RUM:22)

Wednesday, September 25, 2019

(Zurinah Hassan, Bangi, Penerbit UKM, 2010)
Buku ini berasal dari tesis  bertajuk ‘’ Puisi Melayu Moden: Kajian Teori Pengkaedahan Melayu’’ yang dikemukakan untuk memperolehi ijazah Doktor Falsafah, 2008. Aspek yang dikaji oleh Zurinah ialah pendekatan firasat dan dakwah serta bagaimana unsur-unsur alam mengandungi siratan makna menuju kepada kebesaran Allah. Unsur alam yang difokuskan ialah tumbuh-tumbuhan, haiwan, laut dan unsur waktu, seperti pagi, senja dan malam. Sebanyak 82 buah puisi Melayu dikaji dalam tesis ini. Menurut Zurinah, sejak dahulu karya sastera Melayu, termasuk puisi dan hikayat dicipta dengan menggunakan bahasa kiasan dan perlambangan yang diambil dari unsur-unsur alam. Sastera Melayu juga dihasilkan dengan tujuan membawa kebaikan kepada masyarakat dengan menyampaikan mesej-mesej yang positif, selaras dengan ajaran agama Islam. Objek-objek alam seperti laut, sungai, alam fauna dan flora menjadi medium untuk menyampaikan mesej ini. Dalam kajiannya, Zurinah menggunakan Pendekatan Firasat (dari Pengkaedahan Alamiah) dan Pendekatan Dakwah (dari Pengkaedahan Agama) yang ada dalam prinsip-prinsip Pengkaedahan Melayu. Zurinah mengkaji aspek penggunaan bahasa atau gaya pengucapan penyair. Puisi-puisi yang dipilih ialah puisi-puisi yang membawa mesej yang jelas, terutama berunsur dakwah dan menyeru ke arah kebaikan.

PETIKAN BAB PENGENALAN.
Alam amat penting di dalam proses kreatif seorang penyair. Penyair sering merenung alam. Daripada renungan itu penyair menemui makna kehidupan yang dilalui oleh manusia. Misalnya gunung yang tinggi akan mengingatkan kepada harapan dan cita-cita yang juga tinggi. Pulau yang jauh, mengingatkan kepada impian yang tidak mudah dicapai. Rama-rama yang terbang, mengingatkan kepada masa remaja yang indah dan penuh keriangan. Bagi penyair Islam, setiap objek alam yang dilihat adalah tanda kebesaran Allah. Penyair Islam  menemui makna  kewujudannya sebagai makhluk Allah. Pengertian itulah yang menjadi intipati kepada puisi-puisi yang dihasilkan. Ini bermakna sebahagian besar puisi adalah reaksi kreatif seorang penyair setelah berinteraksi dengan alam dan menginterpretasi objek-objek alam.  


Penyair sering menggunakan unsur alam di dalam karya mereka. Unsur alam yang digunakan di dalam puisi amat banyak dan pelbagai. Sebagai contoh ialah laut, gunung, pohon-pohon, sungai, bintang, matahari, embun, hujan, ribut, pelbagai jenis haiwan, dan lain-lain. Semua ini merupakan objek alam fizikal yang dapat dilihat, didengar, disentuh, dan dirasai melalui pancaindera manusia. Alam fizikal ini merupakan satu lapisan daripada seluruh alam yang dicipta Tuhan. Lapisan yang  lain ialah alam metafizikal atau alam ghaib yang merupakan bahagian alam yang sepenuhnya berada di dalam kelebihan ilmu Allah.
Pada umumnya penyair menggunakan unsur alam fizikal dengan dua tujuan,  iaitu:
1.        sebagai latar belakang kepada peristiwa yang digambarkan, dan
2.        sebagai sumber perlambangan.

Cara yang pertama, iaitu sebagai latar belakang atau latar tempat kepada sesuatu peristiwa, bertujuan untuk membangkitkan suasana yang sesuai dengan peristiwa yang digambarkan. Sebagai misalnya hujan turun ketika terjadi sesuatu peristiwa yang menyedihkan. Hujan dengan air yang menitis dikaitkan dengan tangisan, seolah-olah seluruh alam turut sama berduka dan bersimpati dengan kesedihan watak.

Cara penggunaan unsur alam yang kedua ialah sebagai sumber perlambangan. Penyair menggunakan unsur alam untuk menyampaikan isi puisi. Alam menjadi perantara bagi membawa makna sebenar. Ini bermakna objek-objek alam menjadi kata-kata yang tersurat, bagi memperkatakan sesuatu makna yang tersirat.
Unsur alam juga adalah tanda kebesaran Allah seperti yang tersebut di dalam ayat yang bermaksud:
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, dan pada kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; dengan demikian juga pada air hujan yang Allah turunkan dari langit, lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang-binatang, demikian juga pada peredaran angin dan awan yang tunduk kepada kuasa Allah, terapung-apung di antara langit dan bumi, sesungguhnya pada semua itu ada tanda-tanda keesaan Allah bagi kaum yang menggunakan akal fikiran.     
                                                      
(Surah al-Baqarah, ayat 164).

Di dalam ayat di atas, Allah SWT menerangkan bahawa setiap kejadian alam adalah tanda kebesaran Allah yang mencipta segala-galanya. Manusia diminta menggunakan akal fikiran untuk memerhati kejadian di langit dan di bumi kerana segalanya adalah tanda-tanda yang mengandungi makna tentang keesaan Allah. Di antara unsur alam yang disebut di dalam ayat di atas ialah:
§     pertukaran malam dan siang (waktu)
§     kapal-kapal yang belayar di laut
§     tumbuh-tumbuhan
§     pelbagai jenis binatang-binatang
Dengan berpandukan ayat di atas, pengkaji memilih empat unsur alam tersebut. Oleh itu tesis ini akan menumpukan kepada unsur pertukaran malam dan siang (waktu), laut dan perjalanan laut, tumbuh-tumbuhan, dan pelbagai jenis binatang.
Objektif Kajian
1.    Mengkaji unsur-unsur alam, iaitu tumbuh-tumbuhan, laut, haiwan, dan peredaran waktu di dalam puisi-puisi Melayu. Unsur alam ini diteliti daripada penggunaan kata-kata yang merupakan objek alam yang disebut di atas, sebagai lapisan tersurat untuk menyampaikan makna tersirat, iaitu maksud sebenar yang ingin dinyatakan oleh penyair.
2.    Mengkaji sejauh mana unsur dakwah ditemui di dalam puisi-puisi yang dikaji. Unsur dakwah ini dikaji dengan melihat maksud puisi, pemikiran dan sikap penyair, serta cara pengucapan dan gaya bahasa yang digunakan dalam menyampaikan maksud puisi. Maksud sesebuah puisi mestilah berupa mesej atau seruan ke arah kebaikan. Pemikiran dan sikap penyair mestilah menyokong nilai-nilai Islam dan tidak bertentangan dengan akidah serta ajaran Islam. Dari segi cara pengucapan dan gaya bahasa, khasnya di dalam penggunaan perlambangan daripada unsur alam, dapat dirujuk kepada penggunaan misal perbandingan atau amthal yang terdapat dalam kitab suci Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad saw. 
3.    Bertujuan membandingkan penggunaan objek alam oleh beberapa orang penyair Malaysia. Melalui kajian perbandingan ini, akan diperlihatkan persamaan dan perbezaan cara penyair-penyair menggunakan objek-objek alam fizikal untuk menyampaikan makna yang tersirat.
4.    Bertujuan menilai kesesuaian Teori Pengkaedahan Melayu di dalam mengkaji puisi-puisi Melayu moden, terutama yang menggunakan unsur-unsur alam. Justeru itu kajian ini akan dapat membuktikan kesesuaian teori yang dihasilkan oleh sarjana tempatan atau sarjana Melayu bagi mengkaji hasil karya sastera tempatan. 



Tuesday, September 24, 2019


P. Ramlee adalah seniman Melayu yang dikenali sebagai Seniman Agung. Beliau bukan sahaja terkenal dan diterima di negara kelahirannya iaitu Malaysia (sebelum 1969 dipanggil Persekutuan Tanah Melayu dan Malaya) bahkan dianggap sebagai seniman Nusantara. Filem-filemnya mendapat tempat di hati rakyat Malaysia, Indonesia dan seluruh kepulauan Melayu. Lagu-lagunya menjadi nyanyian segenap lapisan masyarakat di seluruh Nusantara, dari pelbagai peringkat usia.  Boleh dikatakan P.Ramlee adalah tali pengikat perasaan seluruh warga Nusantara. Misalnya seorang lelaki berusia empat puluh dan seorang anak muda di Kedah melagukan Dendang Perantau bila terkenangkan kampung halaman dan pada hari raya.  
Dengan kedudukan ini P Ramlee dikatakan telah mencapai tempat yang penting dalam sejarah perkembangan filem Melayu. Adil Johan, 2018, ms.4 menulis bahawa P.Ramlee. merupakan seorang pelakon, penyanyi, pengarah filem dan penggubah lagu yang meninggalkan impak besar kepada pembinaan identiti budaya Malaysia dan Singapura  Filem-filemnya masih ditayangkan di televisyen, lagu-lagunya masih diperdengarkan di stesen radio dan karya-karyanya boleh diakses di beberapa laman sesawang, termasuk Youtube. Karya-karyanya diapresiasi melalui pelbagai bentuk intepretasi dan gubahan semula. Enfiniti Production misalnya telah mementaskan P.Ramlee: The Musical, sebuah pementasan bersifat biografi dengan stail Broadway pada skala yang besar pada tahun 2007. Pementasan ini mendapat sambutan yang meriah, malah mendapat perhatian penaja-penaja korporat dan dipentaskan semula beberapa kali.

Pada tahun 2015 pula, Perdana Menteri ke-6 mengumumkan bahawa Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) akan dinaikkan ke taraf universiti dan ditukar namanya ke Universiti P.Ramlee. Sempena sambutan kemerdekaan Malaysia yang ke-62, rantaian panggung wayang Tanjung Golden Village telah menayangkan semula filem-filem P.Ramlee di panggung mereka yang terpilih dalam promosi Gemilang Vibes. Hal ini bertujuan mengembalikan nostalgia menonton karya-karya seniman agung ini di layar besar. Di Malaysia, sememangnya seniman ini telah mencapai tahap ikon dan tidak dapat dipisahkan dari kehidupan masyarakat.Sumbangannya diiktiraf tidak sahaja kepada dunia perfileman malah kepada masyarakat dan budaya bangsanya. Karya-karya beliau sewajarnya diterokai untuk mendalami mesej dan pemikirannya. Sumbangannya patut dinilai dan dikupas secara ilmiah dan objektif. Kajian terperinci wajarlah dijalankan untuk melihat sejauh mana peranan, sumbangan dan pengaruh pemikirannya terhadap dunia perfileman dan kesannya terhadap masyarakat.

            Skrip filem yang dihasilkan oleh P. Ramlee boleh dianggap satu produk budaya unggul yang memberi pengaruh besar kepada masyarakat Malaysia. Produk budaya unggul dapat dihuraikan sebagai satu produk yang bukan bersifat hiburan semata-mata. Sebaliknya produk budaya seperti ini mempunyai nilai-nilai yang dapat menambahbaik sesebuah masyarakat melalui mesej-mesej dan pemikiran-pemikiran baru, seperti yang ditunjukkan melalui skrip filem P. Ramlee. Walau bagaimanapun, sehingga kini, kebanyakan tulisan yang dihasilkan mengenai tokoh ini lebih bersifat kenangan yang berunsur sentimental dan nostalgia, atau ulasan-ulasan yang popular. Nilai-nilai pengajaran, pemikiran dan kritikan sosial dalam karya-karya Allahyarham masih banyak yang belum dirungkai.  Tidak dinafikan terdapat banyak kertas kerja, buku, simposium dan seminar yang mengkaji ketokohan, bakat dan nilai-nilai seni yang ditonjolkan oleh Allahyarham, namun sayangnya tidak ramai pula yang mahu tampil ke depan bagi menyebarluaskannya kepada masyarakat.

Terdapat banyak tulisan yang berupa sanjungan terhadap ketokohan beliau dalam dunia filem dan muzik. Kebanyakannya menganggap P. Ramlee adalah tokoh paling penting dalam perfileman Melayu. Beliau dikatakan memiliki bakat yang masih belum boleh ditandingi oleh sesiapa pun. Misalnya, beliau dianggap sebagai lagenda yang tidak dapat dicariganti seperti yang dinyatakan di dalam lagu “Lagenda” nyanyian Sheila Majid (1990, EMI Malaysia).  P. Ramlee telah mendapat pengiktirafan negara dengan pengurniaan gelaran Tan Sri (1990) dan pingat kebesaran Ahli Mangku Negara (1963). Persatuan SENIMAN mengurniakan kepada beliau gelaran Seniman Agung (1978) dan Universiti Malaya mengurniakan ijazah Kehormat Doktor Seni Persembahan (2005).

            Tidak ada seorang pengarah filem Melayu setakat ini yang watak-watak ataupun dialog dari filem mereka yang mencapai status ikonik sebagaimana P. Ramlee. Watak-watak dan dialog dari filem beliau banyak yang dirujuk atau dipetik untuk menggambarkan situasi atau fenomena tertentu dalam masyarakat. Sebagai contoh, orang yang kedekut digelar Haji Bakhil berdasarkan watak ‘Haji Bakhil’ dari filem Labu Labi.  Jika ada pemuzik yang bermain saksofon, pemuzik tersebut akan popular dengan panggilan Kassim Selamat, berdasarkan watak dari filem Ibu Mertuaku. Menurut Syed Khairuddin Aljunied, ada beberapa ungkapan dialog daripada filem P.Ramlee telah  masuk ke dalam Bahasa Melayu sebagai peribahasa atau kata bidalan baharu (2005). Sjafrial Ariffin, seorang pengkaji dari Indonesia pula menyatakan ‘’Namun tetap pada muzik-muzik dan filem-filem mereka terdapat warna semenanjung yang tidak dapat saya kukuhkan; khas Melayu atau khas P.Ramlee. Atau siapa tahu dalam hal ini sudah ada kesepakatan bahawa khas Melayu adalah seperti yang dibuat dan dipelopori oleh P.Ramlee’’ (2003, ms.276).

Tidak keterlaluan jika dikatakan P. Ramlee itu filem Melayu (Malaysia) dan filem Melayu itulah P. Ramlee.  Oleh yang demikian, sudah sepatutnya karya-karya beliau diterokai untuk mendalami pemikiran yang terdapat di dalamnya. Sumbangannya patut dinilai dan dikupas secara ilmiah dan objektif. Filem P. Ramlee boleh dianggap satu produk budaya unggul yang memberi pengaruh besar kepada masyarakat Malaysia. Dalam konteks kajian ini, skrip filem adalah juga sebahagian daripada bahan sastera yang menjadi wadah bangsa Melayu.



Sumber utama: Syarahan umum oleh Raihani Mohd Saaid (mantan Pensyarah Aswara), "Mengenali Pemikiran Seni Tan Sri P.Ramlee"  di Galeri Seni Shah Alam, 28 November 2018