ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Wednesday, September 25, 2019

UNSUR ALAM DALAM PUISI MELAYU

(Zurinah Hassan, Bangi, Penerbit UKM, 2010)
Buku ini berasal dari tesis  bertajuk ‘’ Puisi Melayu Moden: Kajian Teori Pengkaedahan Melayu’’ yang dikemukakan untuk memperolehi ijazah Doktor Falsafah, 2008. Aspek yang dikaji oleh Zurinah ialah pendekatan firasat dan dakwah serta bagaimana unsur-unsur alam mengandungi siratan makna menuju kepada kebesaran Allah. Unsur alam yang difokuskan ialah tumbuh-tumbuhan, haiwan, laut dan unsur waktu, seperti pagi, senja dan malam. Sebanyak 82 buah puisi Melayu dikaji dalam tesis ini. Menurut Zurinah, sejak dahulu karya sastera Melayu, termasuk puisi dan hikayat dicipta dengan menggunakan bahasa kiasan dan perlambangan yang diambil dari unsur-unsur alam. Sastera Melayu juga dihasilkan dengan tujuan membawa kebaikan kepada masyarakat dengan menyampaikan mesej-mesej yang positif, selaras dengan ajaran agama Islam. Objek-objek alam seperti laut, sungai, alam fauna dan flora menjadi medium untuk menyampaikan mesej ini. Dalam kajiannya, Zurinah menggunakan Pendekatan Firasat (dari Pengkaedahan Alamiah) dan Pendekatan Dakwah (dari Pengkaedahan Agama) yang ada dalam prinsip-prinsip Pengkaedahan Melayu. Zurinah mengkaji aspek penggunaan bahasa atau gaya pengucapan penyair. Puisi-puisi yang dipilih ialah puisi-puisi yang membawa mesej yang jelas, terutama berunsur dakwah dan menyeru ke arah kebaikan.

PETIKAN BAB PENGENALAN.
Alam amat penting di dalam proses kreatif seorang penyair. Penyair sering merenung alam. Daripada renungan itu penyair menemui makna kehidupan yang dilalui oleh manusia. Misalnya gunung yang tinggi akan mengingatkan kepada harapan dan cita-cita yang juga tinggi. Pulau yang jauh, mengingatkan kepada impian yang tidak mudah dicapai. Rama-rama yang terbang, mengingatkan kepada masa remaja yang indah dan penuh keriangan. Bagi penyair Islam, setiap objek alam yang dilihat adalah tanda kebesaran Allah. Penyair Islam  menemui makna  kewujudannya sebagai makhluk Allah. Pengertian itulah yang menjadi intipati kepada puisi-puisi yang dihasilkan. Ini bermakna sebahagian besar puisi adalah reaksi kreatif seorang penyair setelah berinteraksi dengan alam dan menginterpretasi objek-objek alam.  


Penyair sering menggunakan unsur alam di dalam karya mereka. Unsur alam yang digunakan di dalam puisi amat banyak dan pelbagai. Sebagai contoh ialah laut, gunung, pohon-pohon, sungai, bintang, matahari, embun, hujan, ribut, pelbagai jenis haiwan, dan lain-lain. Semua ini merupakan objek alam fizikal yang dapat dilihat, didengar, disentuh, dan dirasai melalui pancaindera manusia. Alam fizikal ini merupakan satu lapisan daripada seluruh alam yang dicipta Tuhan. Lapisan yang  lain ialah alam metafizikal atau alam ghaib yang merupakan bahagian alam yang sepenuhnya berada di dalam kelebihan ilmu Allah.
Pada umumnya penyair menggunakan unsur alam fizikal dengan dua tujuan,  iaitu:
1.        sebagai latar belakang kepada peristiwa yang digambarkan, dan
2.        sebagai sumber perlambangan.

Cara yang pertama, iaitu sebagai latar belakang atau latar tempat kepada sesuatu peristiwa, bertujuan untuk membangkitkan suasana yang sesuai dengan peristiwa yang digambarkan. Sebagai misalnya hujan turun ketika terjadi sesuatu peristiwa yang menyedihkan. Hujan dengan air yang menitis dikaitkan dengan tangisan, seolah-olah seluruh alam turut sama berduka dan bersimpati dengan kesedihan watak.

Cara penggunaan unsur alam yang kedua ialah sebagai sumber perlambangan. Penyair menggunakan unsur alam untuk menyampaikan isi puisi. Alam menjadi perantara bagi membawa makna sebenar. Ini bermakna objek-objek alam menjadi kata-kata yang tersurat, bagi memperkatakan sesuatu makna yang tersirat.
Unsur alam juga adalah tanda kebesaran Allah seperti yang tersebut di dalam ayat yang bermaksud:
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, dan pada kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; dengan demikian juga pada air hujan yang Allah turunkan dari langit, lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang-binatang, demikian juga pada peredaran angin dan awan yang tunduk kepada kuasa Allah, terapung-apung di antara langit dan bumi, sesungguhnya pada semua itu ada tanda-tanda keesaan Allah bagi kaum yang menggunakan akal fikiran.     
                                                      
(Surah al-Baqarah, ayat 164).

Di dalam ayat di atas, Allah SWT menerangkan bahawa setiap kejadian alam adalah tanda kebesaran Allah yang mencipta segala-galanya. Manusia diminta menggunakan akal fikiran untuk memerhati kejadian di langit dan di bumi kerana segalanya adalah tanda-tanda yang mengandungi makna tentang keesaan Allah. Di antara unsur alam yang disebut di dalam ayat di atas ialah:
§     pertukaran malam dan siang (waktu)
§     kapal-kapal yang belayar di laut
§     tumbuh-tumbuhan
§     pelbagai jenis binatang-binatang
Dengan berpandukan ayat di atas, pengkaji memilih empat unsur alam tersebut. Oleh itu tesis ini akan menumpukan kepada unsur pertukaran malam dan siang (waktu), laut dan perjalanan laut, tumbuh-tumbuhan, dan pelbagai jenis binatang.
Objektif Kajian
1.    Mengkaji unsur-unsur alam, iaitu tumbuh-tumbuhan, laut, haiwan, dan peredaran waktu di dalam puisi-puisi Melayu. Unsur alam ini diteliti daripada penggunaan kata-kata yang merupakan objek alam yang disebut di atas, sebagai lapisan tersurat untuk menyampaikan makna tersirat, iaitu maksud sebenar yang ingin dinyatakan oleh penyair.
2.    Mengkaji sejauh mana unsur dakwah ditemui di dalam puisi-puisi yang dikaji. Unsur dakwah ini dikaji dengan melihat maksud puisi, pemikiran dan sikap penyair, serta cara pengucapan dan gaya bahasa yang digunakan dalam menyampaikan maksud puisi. Maksud sesebuah puisi mestilah berupa mesej atau seruan ke arah kebaikan. Pemikiran dan sikap penyair mestilah menyokong nilai-nilai Islam dan tidak bertentangan dengan akidah serta ajaran Islam. Dari segi cara pengucapan dan gaya bahasa, khasnya di dalam penggunaan perlambangan daripada unsur alam, dapat dirujuk kepada penggunaan misal perbandingan atau amthal yang terdapat dalam kitab suci Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad saw. 
3.    Bertujuan membandingkan penggunaan objek alam oleh beberapa orang penyair Malaysia. Melalui kajian perbandingan ini, akan diperlihatkan persamaan dan perbezaan cara penyair-penyair menggunakan objek-objek alam fizikal untuk menyampaikan makna yang tersirat.
4.    Bertujuan menilai kesesuaian Teori Pengkaedahan Melayu di dalam mengkaji puisi-puisi Melayu moden, terutama yang menggunakan unsur-unsur alam. Justeru itu kajian ini akan dapat membuktikan kesesuaian teori yang dihasilkan oleh sarjana tempatan atau sarjana Melayu bagi mengkaji hasil karya sastera tempatan



No comments:

Post a Comment