ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Tuesday, September 24, 2019

SENIMAN AGUNG P.RAMLEE


P. Ramlee adalah seniman Melayu yang dikenali sebagai Seniman Agung. Beliau bukan sahaja terkenal dan diterima di negara kelahirannya iaitu Malaysia (sebelum 1969 dipanggil Persekutuan Tanah Melayu dan Malaya) bahkan dianggap sebagai seniman Nusantara. Filem-filemnya mendapat tempat di hati rakyat Malaysia, Indonesia dan seluruh kepulauan Melayu. Lagu-lagunya menjadi nyanyian segenap lapisan masyarakat di seluruh Nusantara, dari pelbagai peringkat usia.  Boleh dikatakan P.Ramlee adalah tali pengikat perasaan seluruh warga Nusantara. Misalnya seorang lelaki berusia empat puluh dan seorang anak muda di Kedah melagukan Dendang Perantau bila terkenangkan kampung halaman dan pada hari raya.  
Dengan kedudukan ini P Ramlee dikatakan telah mencapai tempat yang penting dalam sejarah perkembangan filem Melayu. Adil Johan, 2018, ms.4 menulis bahawa P.Ramlee. merupakan seorang pelakon, penyanyi, pengarah filem dan penggubah lagu yang meninggalkan impak besar kepada pembinaan identiti budaya Malaysia dan Singapura  Filem-filemnya masih ditayangkan di televisyen, lagu-lagunya masih diperdengarkan di stesen radio dan karya-karyanya boleh diakses di beberapa laman sesawang, termasuk Youtube. Karya-karyanya diapresiasi melalui pelbagai bentuk intepretasi dan gubahan semula. Enfiniti Production misalnya telah mementaskan P.Ramlee: The Musical, sebuah pementasan bersifat biografi dengan stail Broadway pada skala yang besar pada tahun 2007. Pementasan ini mendapat sambutan yang meriah, malah mendapat perhatian penaja-penaja korporat dan dipentaskan semula beberapa kali.

Pada tahun 2015 pula, Perdana Menteri ke-6 mengumumkan bahawa Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) akan dinaikkan ke taraf universiti dan ditukar namanya ke Universiti P.Ramlee. Sempena sambutan kemerdekaan Malaysia yang ke-62, rantaian panggung wayang Tanjung Golden Village telah menayangkan semula filem-filem P.Ramlee di panggung mereka yang terpilih dalam promosi Gemilang Vibes. Hal ini bertujuan mengembalikan nostalgia menonton karya-karya seniman agung ini di layar besar. Di Malaysia, sememangnya seniman ini telah mencapai tahap ikon dan tidak dapat dipisahkan dari kehidupan masyarakat.Sumbangannya diiktiraf tidak sahaja kepada dunia perfileman malah kepada masyarakat dan budaya bangsanya. Karya-karya beliau sewajarnya diterokai untuk mendalami mesej dan pemikirannya. Sumbangannya patut dinilai dan dikupas secara ilmiah dan objektif. Kajian terperinci wajarlah dijalankan untuk melihat sejauh mana peranan, sumbangan dan pengaruh pemikirannya terhadap dunia perfileman dan kesannya terhadap masyarakat.

            Skrip filem yang dihasilkan oleh P. Ramlee boleh dianggap satu produk budaya unggul yang memberi pengaruh besar kepada masyarakat Malaysia. Produk budaya unggul dapat dihuraikan sebagai satu produk yang bukan bersifat hiburan semata-mata. Sebaliknya produk budaya seperti ini mempunyai nilai-nilai yang dapat menambahbaik sesebuah masyarakat melalui mesej-mesej dan pemikiran-pemikiran baru, seperti yang ditunjukkan melalui skrip filem P. Ramlee. Walau bagaimanapun, sehingga kini, kebanyakan tulisan yang dihasilkan mengenai tokoh ini lebih bersifat kenangan yang berunsur sentimental dan nostalgia, atau ulasan-ulasan yang popular. Nilai-nilai pengajaran, pemikiran dan kritikan sosial dalam karya-karya Allahyarham masih banyak yang belum dirungkai.  Tidak dinafikan terdapat banyak kertas kerja, buku, simposium dan seminar yang mengkaji ketokohan, bakat dan nilai-nilai seni yang ditonjolkan oleh Allahyarham, namun sayangnya tidak ramai pula yang mahu tampil ke depan bagi menyebarluaskannya kepada masyarakat.

Terdapat banyak tulisan yang berupa sanjungan terhadap ketokohan beliau dalam dunia filem dan muzik. Kebanyakannya menganggap P. Ramlee adalah tokoh paling penting dalam perfileman Melayu. Beliau dikatakan memiliki bakat yang masih belum boleh ditandingi oleh sesiapa pun. Misalnya, beliau dianggap sebagai lagenda yang tidak dapat dicariganti seperti yang dinyatakan di dalam lagu “Lagenda” nyanyian Sheila Majid (1990, EMI Malaysia).  P. Ramlee telah mendapat pengiktirafan negara dengan pengurniaan gelaran Tan Sri (1990) dan pingat kebesaran Ahli Mangku Negara (1963). Persatuan SENIMAN mengurniakan kepada beliau gelaran Seniman Agung (1978) dan Universiti Malaya mengurniakan ijazah Kehormat Doktor Seni Persembahan (2005).

            Tidak ada seorang pengarah filem Melayu setakat ini yang watak-watak ataupun dialog dari filem mereka yang mencapai status ikonik sebagaimana P. Ramlee. Watak-watak dan dialog dari filem beliau banyak yang dirujuk atau dipetik untuk menggambarkan situasi atau fenomena tertentu dalam masyarakat. Sebagai contoh, orang yang kedekut digelar Haji Bakhil berdasarkan watak ‘Haji Bakhil’ dari filem Labu Labi.  Jika ada pemuzik yang bermain saksofon, pemuzik tersebut akan popular dengan panggilan Kassim Selamat, berdasarkan watak dari filem Ibu Mertuaku. Menurut Syed Khairuddin Aljunied, ada beberapa ungkapan dialog daripada filem P.Ramlee telah  masuk ke dalam Bahasa Melayu sebagai peribahasa atau kata bidalan baharu (2005). Sjafrial Ariffin, seorang pengkaji dari Indonesia pula menyatakan ‘’Namun tetap pada muzik-muzik dan filem-filem mereka terdapat warna semenanjung yang tidak dapat saya kukuhkan; khas Melayu atau khas P.Ramlee. Atau siapa tahu dalam hal ini sudah ada kesepakatan bahawa khas Melayu adalah seperti yang dibuat dan dipelopori oleh P.Ramlee’’ (2003, ms.276).

Tidak keterlaluan jika dikatakan P. Ramlee itu filem Melayu (Malaysia) dan filem Melayu itulah P. Ramlee.  Oleh yang demikian, sudah sepatutnya karya-karya beliau diterokai untuk mendalami pemikiran yang terdapat di dalamnya. Sumbangannya patut dinilai dan dikupas secara ilmiah dan objektif. Filem P. Ramlee boleh dianggap satu produk budaya unggul yang memberi pengaruh besar kepada masyarakat Malaysia. Dalam konteks kajian ini, skrip filem adalah juga sebahagian daripada bahan sastera yang menjadi wadah bangsa Melayu.



Sumber utama: Syarahan umum oleh Raihani Mohd Saaid (mantan Pensyarah Aswara), "Mengenali Pemikiran Seni Tan Sri P.Ramlee"  di Galeri Seni Shah Alam, 28 November 2018


No comments:

Post a Comment