ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Wednesday, October 05, 2022

MENULIS PUISI TRADISI DAN MODEN.

 



Antara soalan yang sering ditanya kepada saya ialah:  Apakah perbezaan dalam menulis puisi tradisi, (seperti  pantun dan syair) dan menulis puisi moden, iaitu sajak.


JAWAPAN SECARA RINGKAS:

Persamaan antara keduanya ialah kita mesti ada sesuatu yang hendak ditulis dan kemampuan menggunakan bahasa dengan baik.Semua puisi mempunyai ciri-ciri yang ketara dan berbeza daripada prosa.  Zaaba mengatakan bahawa Puisi ialah karangan berangkap yang disusun berkerat-kerat'. 

Perbezaan  yang penting antara Puisi Tradisi dengan Puisi Moden  ialah puisi tradisi mempunyai ciri-ciri tertentu dari segi bilangan baris dalam serangkap, bilangan sukukata pada setiap baris dan skima pada bunyi atau rima . Pantun mempunyai pembayang dan maksud, 

Puisi Moden (Sajak) tidak mempunyai ciri-ciri seperti ini. Ia lebih  bebas,  tidak tertakluk pada bilangan baris, bilangan sukukata dan skima rima tertentu. 

ADAKAH INI BERMAKNA MENULIS PUISI MODEN LEBIH MUDAH DARIPADA PUISI TRADISI? 

Tidak, sekali-kali tidak.  Bahkan ada kalanya menulis Puisi Tradisi menjadi  lebih mudah. Dalam menulis Pantun seseorang perlu mengadakan pembayang dan maksud dan menentukan baris pertama berima dengan baris ketiga dan baris  kedua berima dengan baris keempat. Contoh:

Tanam pinang rapat-rapat

biar senang puyuh berlari

jika dipinang, pinang tak dapat

kupujuk-pujuk kubawa lari.


Maka jadilah dia  pantun

Manakala untuk menulis syair harus memastikan sukukata setiap baris adalah berima aaaa. Maka dapatlah serangkap syair. 

Tetapi di dalam menulis sajak, pertama ialah menentukan apa yang hendak ditulis. Maksudnya yang penting ialah PEMIKIRAN. Seorang penyair akan menulis sesuatu yang penting, berfaedah dan dapat mengajak pembaca berfikir. Pemikiran yang dibawanya adalah sesuatu yang  belum dikemukakan oleh penyair lain sebelumnya. Kita ambil contoh kisah Hang Tuah Hang Jebat. Kisah ini telah mencetuskan pelbagai ilham dan telah ditulis oleh pengarang-pengarang zaman kita. 

Saya sendiri menulis beberapa buah sajak, antaranya ialah "Korban Hang Tuah" dan "Jebat yang Tidak Jadi Menderhaka". Selama ini kita telah membaca tentang Hang Tuah yang dikatakan bukan wira sebenar kerana sanggup membunuh kawan yang membela keadilan. Namun dalam Korban Hang Tuah saya membawa persoalan, apakah Hang Tuah boleh mengingkari perintah raja kalau sudah disuruh berbuat sesuatu. Lebih dari itu, Hang Tuah takut penderhakaan Hang Jebat akan menjejas sistem beraja dan kalau terjadi begitu, bagaimana keadaan bangsa dan negara pada masa depan. 

Sajak Jebat Tidak Jadi Menderhaka membawa persoalan kalau Jebat tidak menderhaka, Hang Tuah  tidak akan dipanggil pulang ke Melaka dan dia mungkin dilupai begitu sahaja.







DI PESTA BUKU MELAKA, 2. 10.2022.



No comments:

Post a Comment