ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Saturday, October 15, 2022

MENGHAYATI PANTUN MELAYU

 

ADAKAH PANTUN MESTI BERIMA ABAB?

Jawapan: Tidak.

Kebanyakan pantun berima abab. Tetapi rima abab bukan syarat wajib pantun. 

Syarat wajib pantun ialah ada pembayang dan ada maksud. Ada pantun berima aaaa, namun ia boleh dianggap sebagai pantun yang baik atau bernilai estetika


contoh pantun berima aaaa


Lama sudah tidak ke ladang

      Tinggilah rumput dari lalang

Lama sudah tidak kupandang

      Rasa hati bertambah bimbang


Pergi memetik buah delima

   Hendak makan bersama-sama

Budi tuan kami terima

    Jadi kenangan selama-lama


Anak Raja berkirim surat

    Dari Timur pergi ke Barat

Kalau cukup dengan syarat

     Tidaklah badan jadi melarat.


Pukul gendang pukul gong

    orang berdendang di atas panggung

hendak terbang bukannya burung

    hendak berenang bukannya sotong.

Semua rangkap  di atas ialah pantun kerana baris 1 dan 2 ialah pembayangdan baris 3 dan 4 ialah maksud, tanpa mengira skima rima aaaa atau abab. Dua baris 1 dan 2 memperkatakan hal-hal yang berlainan dari baris 3 dan 4. 

Kalau dicari di dalam khazanah pantun tradisi, kita akan temui pantun aaaa yang juga indah dan mengandungi pemikiran yang tinggi. 

Rima memberi nilai estetika kepada Pantun. Tetapi itu hanya estetika pada aspek bunyi. Estetika Pantun bukan hanya terletak pada unsur bunyi atau rima. Selain rima, pantun yang bermutu tinggi memiliki estetika bahasa dan estetika makna.

Bahasa dalam pantun bersulam perlambangan dan metafora untuk menyampai makna. Estetika Makna terdapat dalam pemerian pemikiran, pengajaran dan falsafah.

CINTAI PANTUN MELAYU.





No comments:

Post a Comment