ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Wednesday, September 28, 2022

RELEVANKAH SASTERA DALAM PERKEMBANGAN ARUS GLOBAL PAMERAN MAYA DAN BUAL BICARA

 RELEVANKAH SASTERA DALAM ARUS GLOBAL MASAKINI


Moderator:  Pada pandangan Dato', adakah sastera mempunyai peranan yang penting dalam kehidupan manusia? 
Jawapan:  Sastera mempunyai peranan yang penting dalam kehidupan kerana sastera adalah ciptaan seni yang menggunakan bahasa, Sastera dicipta dengan bahasa oleh itu penciptaan sastera akan meningkat dan memperbaiki bahasa itu sendiri. Kita sedia maklum pada adatnya, sesuatu itu akan menjadi lebih baik jika selalu digunakan.Sebaliknya andai tidak digunakan atau jarang digunakan ia akan berkarat dan rosak.  Contohnya, kita disarankan supaya selalu bersenam supaya bertambah sihat kerana otot yang sering digunakan akan berada dalam keadaan yang baik.

Begitulah bahasa kita, bahasa perlu diperbaiki sepanjang masa agar dapat digunakan secara optima.  Manusia adalah ciptaan Allah yang paling canggih dan teratas kerana manusia memiliki bahasa. Hanya kepada manusia, Allah kurniakan bahasa. 

Hidup kita memang tidak boleh lari daripada menggunakan bahasa. Manusia menggunakan bahasa setiap hari kerana manusia mesti berkomunikasi atau berhubung antara satu sama lain. . Bahasa adalah satu keperluan dalam kehidupan. Hari ini kita berseminar dalam talian kerana manusia telah mencipta pelbagai peralatan sehingga anda di Pulau Pinang boleh berbual seperti kita duduk bersemuka. Tetapi apakah gunanya alat-alat canggih ini jika kita tidak mempunyai bahasa untuk merangkai kata-kata, menyusun maklumat atau mencurahkan perasaan. 

Oleh itu kita perlu memelihara dan memperbaiki bahasa. Hal ini dapat dicapai dengan penciptaan karya sastera.


Moderator: Orang dalam bidang teknikal nampaknya tidak memerlukan sastera. Betulkah? 

Memang benar kita tidak mahu semua orang menjadi sasterawan.  Bidang teknikal juga sangat penting dalam membina tamadun bangsa. Seperti yang saya katakan tadi, semua orang perlukan bahasa untuk berkomunikasi, tidak kira sama ada dia orang teknikal atau tidak. 

Nah, soalnya sekarang, tidak kira samaada seorang doctor, atau seorang jurutera, mekanik, jutawan siapa saja, akan menghadapi pelbagai masalah dalam hidup. Masalah ini dapat diatasi dengan pemikiran yang matang dan bijaksana. Salah satu cara mematangkan fikiran dan mengatasi kemelut kehidupan ialah dengan belajar daripada pengalaman orang lain. Hal ini dapat dipelajari melalui karya sastera dan falsafah.

Saya ingin memetik sebuah sajak yang saya tulis sempena menyambut 20 tahun Universiti Malaysia Perlis:

Pendidikan bukan semata kemahiran teknikal.
Tapi pembinaan minda cekal,
pemupukan budi dan akal.
Falsafah dan sastera membina minda kritis
keupayaan menganalisis dalam era penuh krisis.
Revolusi industri menghidangkan canggih peralatan
dan kuasa rangkaian
namun tanpa rasa dan bahasa
komunikasi terhenti dan mati di hujung jari
(petikan sajakku SETELAH TERBINA KEYAKINAN)
sempena sambutan 20 Tahun Universiti Malaysia Perlis.














No comments:

Post a Comment