ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Friday, October 07, 2022

PUISI ZURINAH HASSAN; PAK KADUK PULANG KE KAMPUNG.

 




PAK KADUK PULANG KE KAMPUNG adalah kumpulan puisi saya yang terkini. Kumpulan ini diterbitkan oleh syarikat sendiri yang dinamakan Kuali Hitam, satu nama yang dipilih oleh anak-anak, sempena sebuah sajak saya yang mereka gemari.
Mengapa saya menerbit sendiri setelah begitu lama bergantung kepada syarikat besar? Ada beberapa hal yang dipertimbangkan. Sebab utama ialah tidak mahu menunggu lama. Berapa tahun? Dengan birokrasi dan beberapa lapis mesyuarat jawatankuasa, tiga tahun pun sudah dikira cepat, sedangkan saya sudah 73 (tua sungguh kan?). Bukan nak salahkan mereka, dah begitu cara kerja, apa nak dikata.
Jadi saya memutuskan untuk terus menerbit buku-buku puisi sendiri. Biar kecil, tidak sampai 50 buah sajak . Eloklah diterbitkan segera selagi hal-hal yang diperkatakan masih relevan. Bila menulis saya mahu berkomunikasi dengan masyarakat. Kalau panjang umur dua tiga tahun lagi, boleh terbit yang baharu.
Adakah saya mengharap keuntungan?.
Sesungguhnya keuntungan bukan keutamaan. Memang mencetak buku agak mahal sekarang apatah lagi kerana kita mencetak dengan bilangan yang kecil. Tetapi bagi penulis seperti saya, dapat menerbitkan sebuah buku baharu adalah satu kepuasan dan kebahagiaan yang sudah mencukupi. Kalau ada keuntungan ia adalah bonos dan lebih untuk generasi muda yang mengusahakan penerbitan ini.
Terlintas juga di fikiran saya bahawa masa depan penerbitan (dan dengan itu masa depan penulisan kreatif) berada di tangan penerbit-penerbit di luar arus perdana dan birokrasi. Dalam era digital dan serba pantas ini adakah penerbitan yang memakan waktu bertahun-tahun itu masih sesuai? Mungkin masih perlu untuk buku teks dan ilmiah, tetapi sastera kreatif dan perkembangan penulis-penulis muda, akan lebih bersemarak dan aktif di tangan penerbit-penerbit kecil.
Ini sekadar lontaran pendapat.Penerbit bersama SHE

No comments:

Post a Comment