Dalam usaha menulis rencana ini saya
teringat satu adegan dalam filem Seniman Bujang Lapok (arahan P.Ramlee, 1961) .
Adegan itu ialah ketika Ramlee, Sudin dan Aziz pergi ke studio Jalan Ampas
untuk meminta kerja sebagai pelakon filem. Sudin mendekati Pengawal Keselamatan (Jaga) yang bertugas, memanggilnya ”hoi, hoi” untuk bertanya sesuatu.
Jaga (seorang Singh) tidak menjawab
tetapi kemudian merungut ”Nama saja Melayu, sedikit bahasa pun tak ada”. Mereka merasa malu dan Ramlee berkata ”Betul
kata Singh itu, bahasa menunjukkan bangsa tau”.
Walaupun dialog ini dituturkan di
dalam filem komedi, ia sebenarnya mempunyai makna dan implikasi yang penting.
Dialog ”nama saja Melayu, sedikit bahasa pun tidak ada” menunjukkan bahawa si
Jaga sangat terkejut dengan perangai Sudin yang tidak menunjukkan ciri-ciri
keMelayuan kerana pada anggapannya (dan anggapan umum) orang Melayu biasanya
bertutur dengan bahasa yang baik dan sopan.
Ramlee menjawab ”Bahasa menunjukkan
Bangsa” . Apakah maksud kata-kata ini? Bahasa menunjukkan Bangsa menunjukkan
adanya hubungan yang sangat rapat antara
bahasa dan bangsa yang menuturkannya. Cara seseorang menggunakan bahasa
mencerminkan pemikiran dan perilakunya. Cara seseorang memahami sesuatu
perkataan juga bergantung kepada pengalaman bangsanya yang berlainan daripada
bangsa-bangsa lain. Misalnya seorang Melayu
memahami perkataan ’dunia’ tidak sama seperti dia memahami
perkataan ’world’ . Bila menyebut
’dunia’ dia akan membayangkan dunia yang fana yang bertentangan dengan akhirat
yang abadi. Tetapi bila menyebut world dia mungkin membayangkan pelbagai negara
yang ada di dalam peta dunia.
Keindahan, kehalusan dan pemikiran
Melayu terpancar di dalam bahasanya. Umumnya
keindahan bahasa dapat dilihat di dalam penggunaan Bahasa Figuratif. Sesuatu
ayat atau prasa di klasifikasikan sebagai figuratif apabila terdapat perkataan yang
membawa makna lain daripada makna biasa yang telah diterima oleh massa atau
makna yang berbeza daripada yang diberikan oleh Kamus. Bahasa
figuratif digolongkan sebagai bahasa
kiasan.(Harun Mat
Piah,1981:224) atau secara umum disebut juga sebagai bahasa berbunga.
Karya-karya sastera Melayu baik
karya tradisional atau karya-karya moden memperlihatkan penggunaan Bahasa figuratif
. Bahasa figuratif lebih diasosiakan dengan puisi baik puisi tradisional
atau puisi moden. Penelitian terhadap penggunaan bahasa di dalam pelbagai jenis
puisi Melayu seperti pantun,
syair,seloka, gurindam, teromba, maupun peribahasa Melayu telah dapat
menyerlahkan kekreatifan dan ketinggian pemikiran bangsa Melayu. Dengan
menggunakan bahasa yang figuratif orang Melayu telah menyebarkan falsafah pemikiran
dan ilmu pengetahuan,
Bahasa
adalah wadah yang menampung fikiran yang dinyatakan di dalam karya sastera. Sebuah
karya sastera terdiri dari ‘isi’ dan ‘bentuk’. Isi sebuah karya bermaksud
mesej, tema, pemikiran, perasaan, ide dan gagasan yang ingin disampaikan oleh
pengkarya. Yang dimaksudkan dengan ‘bentuk’ ialah wadah atau perantaraan yang
digunakan untuk menyampaikan isi. Perantaraan bagi penyair ialah bahasanya.
Cara penyair menggunakan bahasa disebut sebagai gaya bahasa. Gaya bahasa
seorang penyair memperlihatkan identiti seorang penyair atau ciri yang
membezakannya dari penyair-penyair lain.
Para sarjana mengakui hubungan yang
rapat di antara bahasa dan karya sastera. Bahasa di dalam sastera digunakan
dengan cara yang khusus seperti pendapat Steiner (1972) “Sastera adalah bahasa,
tetapi bahasa dalam keadaan penggunaan yang khusus” Boleh dirumuskan bahawa
bahasa di dalam sastera digunakan dengan cara yang istimewa. Cici-ciri
keistimewaan ini lebih terkesan lagi di dalam puisi. Penggunaa bahasa di dalam
puisi lebih bertujuan untuk menyentuh emosi pembaca.
Hal ini dikui oleh Bakar Hamid
“Adalah menjadi anggapan umum bahawa ucapan puisi bertujuan untuk membangkitkan
perasaan dan kerana itu dialamatkan kepada emosi dan imaginasi sedangkan ucapan
prosa lebih bertujuan untuk menyampaikan berita dan lantaran itu ditujukan
kepada intelek. Pada dasarnya dapatlah diterima bahawa puisi lebih mementingkan
unsur-unsur emosi dan imaginasi dari prosa’ (A.Bakar Hamid 1966)
Dalam perkataan Terry Eagelton
“Karya sastera itu memperkaya dan mengubah makna-makna yang diberikan oleh
kamus” (Eagelton, 1988:112) Di dalam ayat figuratif terdapat penggunaan gaya
bahasa seperti metafora, simile,
personifikasi, hiperbola, sinekdoki, Pars pro toto- totem pro parte-metonimi
atau diselitkan dengan simpulan bahasa.
·
Metafora- menyebut sesuatu dengan
maksud yang lain
·
Simile- membandingkan sesuatu
dengan yang lain.
·
Personifikasi- memberi sifat-sifat
manusia kepada objek-objek yang tidak bernyawa
·
Hiperbola- menerangkan tentang
sesuatu dengan cara yang berlebih-lebihan yang tidak logik jika pengertiannya
diambil secara harfiah,
·
Pars pro toto- menyebut sebahagian
dengan maksud keseluruhan.
·
Totem pro parte-menyebut keseluruhan
dengan maksud sebahagian.
·
Metonimi – menyebut sesuatu objek
dengan maksud sesuatu yang lain, yang berkait rapat dengannya. Misal sasterawan
itu sangat tajam penanya
Penelitian terhadap puisi Melayu
tradisional termasuklah pantun,
syair, seloka, gurindam, nazam. akan menyerlahkan penggunaan Bahasa Figuratif
. Pada umumnya, pantun dan syair lebih terkenal dan sangat jelas dari segi ciri dan strukturnya. Manakala
jenis-jenis yang lain lebih dikenali melalui isinya dan tujuan ia dikarang. Secara
ringkas :
·
Gurindam : menyampaikan nasihat dan panduan,
·
Nazam: menyampaikan kisah dan puji-pujian terhadap Allah
dan Nabi Muhammad s.a.w.,
·
Teromba: menyampaikan perbilangan adat dan peraturan
bermasyarakat,
·
Seloka : menyampaikan kritikan dan sindiran terhadap
sesuatu kepincangan yang berlaku di dalam masyarakat.Kritikan dan sindiran ini
amat tajam dan disampaikan secara berlapik dan berkias dalam nada bergurau.
Selain puisi, penggunaan Bahasa
Figuratif juga sinonim dengan Peribahasa. Peribahasa mencerminkan struktur sosial bangsa Melayu lama, sikap,
aktiviti kehidupan serta falsafah hidup yang dianuti. Peribahasa memancarkan
hati budi orang Melayu, sikap dan perwatakan (Wilkinson, 1947) tentang alam dan
kehidupan yang mereka tempuhi.
Penggunaan peribahasa akan lebih memperindah gaya pengucapan dan
menimbulkan daya tarikan.Ungkapan atau rangkaian perkataan yang telah tetap
tersimpul atau terbuku dengan susunan yang khas
dipakai dengan erti yang khas atau telah diterima oleh masyarakat.
Bahasa
Puisi di Luar Puisi
Oleh kerana penggunaannya yang
meluas di dalam puisi, maka bahasa figuratif sering dirujuk sebagai Bahasa Puisi.
Namun adalah tidak tepat jika kita
menganggap bahawa bahasa figuratif hanya terbatas di dalam puisi sahaja. Malah
kita menggunakan bahasa figuratif di dalam percakapan seharian dan di dalam tulisan
tulisan yang bukan puisi, misalnya berita dan rencana di dalam akhbar.
Justeru itu juga adalah tidak benar
untuk menganggap bahawa Bahasa yang digunakan di dalam puisi adalah terlalu
asing daripada bahasa yang digunakan sehari-hari.
Sebenarnya bagai penulis puisi saya
sering diajak ber’gaduh’ oleh orang-orang
yang secara terang terangan mengatakan mereka tidak suka puisi dan tidak suka
penyair. Mereka bertanya apakah gunanya
penyair menggunakan bahasa figurative seperti metafora yang kata mereka
menyukarkan pemahaman. Kata mereka, “penyair tidak mengambil highway tetap
jalan yang lebih panjang” Nah bukankah mereka juga menggunakan metafora?
Bahasa Figuratif dalam Percakapan seharian
Bahasa bahasa figuratif ini
digunakan walaupun di dalam percakapan seharian. Adalah perkara biasa
apabila seseorang berjumpa dengan kawan yang jarang-jarang ditemui untuk berkata “Kau ni ke mana tenggelam timbul,
tenggelam timbul”. Ini adalah bahasa figuratif . Bila tidak kelihatan di
samakan dengan keadaan tenggelam dan bila dia dapat ditemui keadaan timbul. Ini
adalah bahasa figuratif kerana tidak mungkin orang yang kita maksudkan atau
kawan itu hidup di dalam air.
Bahasa
Figuratif dalam tulisan kewartawanan
Penulisan kewartawanan juga
memerlukan bahasa figuratif. Pada umumnya penulisan di dalam media massa yang sasarannya adalah masyarakat
umum dari semua lapisan dan latarbelakang pendidikan. Ia berbeza dari jurnal
akademik atau majalah-majalah sastera (umpamanya Dewan Sastera) yang mempunyai
audien tertentu iaitu golongan akademik dan penulis dan peminat sastera yang
khusus.
Adalah perkara biasa menemui
ungkapan yang berupa metafora dan ciri-ciri bahasa figuratif yang lain di dalam
akhbar. Ini membuktikan bahawa bahasa figuratif sentiasa diperlukan
untuk menyampaikan maksud dengan lebih berkesan. Bahkan boleh dikatakan bahawa
akhbar memainkan peranan di dalam mencipta dan memperluaskan penggunaan bahasa
figuratif. Pada masa ini muncul metafora baru seperti pengundi hantu, banjir
kilat, syarikat gergasi, perhimpunan raksasa, akar umbi dan lompat parti.
Ayat-ayat yang biasa ditemui ialah
seperti “Kuala Lumpur dilanda banjir kilat”. Di dalam ayat ini banjir merujuk
kepada keadaan banjir biasa tetapi kilat tidak bermaksud kilat yang menyabung
di langit tetapi merujuk kepada kecepatan banjir itu berlaku. Terjumpa juga tajuk berita “Aceh bermandi darah” sebagai tajuk berita tentang kekacauan di
Aceh. Frasa ini adalah hiperbola kerana tidak mungkin seluruh Aceh dilumuri
atau dimandikan dengan darah. Terbaca juga kenyataan “Negara Islam bercakaran sesama sendiri” yang
merupakan penggunaan personifikasi. Objek yang tidak bernyawa iaitu negara
digambarkan melakukan perbuatan sebagai objek bernyawa iaitu bercakaran.Dalam bahasa tidak figuratif
ia berbunyi negara Islam bersengketa sesama sendiri. Frasa lain ialah seperti
‘pertemuan empat mata’ untuk menyatakan perbincangan biasanya di antara Ketua
Negara yang
diadakan secara tertutup. Ini adalah penggunaan pars pro toto, iaitu menyebut
sebahagian (empat mata) dengan maksud keseluruhan orang-orang yang terbabit.
Di
bawah ialah contoh-contoh yang dapat dikutip dari akhbar:
1- ‘Azizulhasni dihantui kecederaan lutut’ (Utusan Malaysia, 21 Julai 2008)
Ayat
di atas adalah tajuk kepada berita tentang seorang pelumba basikal yang bimbang
tidak dapat mengambil bahagian di sukan
Olimpik kerana lututnya cedera ketika menjalani latihan di Sepanyol. Perkataan dihantui adalah metafora untuk
menggantikan perkataan takut dan bimbang. Hantu ialah sesuatu yang ditakuti. Ia
mempunyai hubungan dengan ketakutan yang dirasai oleh Azizulhasni.
2- ‘ICC
berat
sebelah kata Liga Arab’. (Utusan Malaysia ,
21 Julai 2008)
Tajuk berita ini
menerangkan resolusi yang dikeluarkan oleh Negara-negara Arab yang mengkirtik
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang tidak bersikap adil. Ungkapan ‘berat
sebelah’ ialah peribahasa yang bermaksud tidak bersikap adil dan saksama
3- Eto
dapat lampu hijau (Utusan Malaysia, 21 Julai 2008)
Tajuk
ini adalah mengenai pemain bola sepak Barcelona yang dibenarkan merundingkan
perpindahannya dari kelab itu. Lampu hijau adalah objek yang dikaitkan dengan
mendapat kelulusan atau kebenaran untuk berbuat sesuatu. Ia diistilahkan sebagai metonimi iaitu menyebut
sesuatu objek untuk memperkatakan sesuatu yang lain yang ada kaitan dengannya.
4- Liverpool palit arang di muka MU ( Berita Minggu, 14 September 2008)
Tajuk berita ini
menggambarkan keadaan pasukan bola sepak Manchester United yang telah
dikalahkan oleh Liverpool. Penulis menggunakan simpulan bahasa “ palit arang di muka” bagi menguatkan maksud
memberi malu.
5- Entah
berapa ribu jam masa rakyat dihabiskan untuk bertekak dan berbalah mengenai hal dalam kain orang politik- (Mingguan Malaysia 13 Julai 2008
Ayat ini dipetik dari
rencana mantan Mufti Perlis Dr.Mohd Azri Zainal Abidin yang memperkatakan
tentang hal ehwal politik semasa khasnya pelbagai skandal yang dikaitkan dengan
pemimpin politik. Hal dalam kain merujuk
kepada pelbagai isu atau cerita yang bersifat peribadi
6- Hari
ini Sukan Olimpik ke 29 menyingkap
tirainya- ( Sinar Harian, 8 Ogos
2008).
Ayat ini memberi
maklumat bahawa sukan olimpik 29 telah bermula.Permulaan itu digambarkan dengan
ungkapan menyingkap tirai. Umum
mengetahui bahawa tidak mungkin adanya tirai dalam upacara pembukaan olimpik.
Ia adalah metonimi iaitu penyebutan sesuatu objek yang dikaitkan dengan sesuatu
perkara.
7-
MB Perak Hanya Boneka
(Utusan Malaysia 21 Julai 2008),
Ayat di atas merupakan tajuk surat yang disiarkan
dalam ruangan Forum.Penulis ini memberi pendapat bahawa Menteri Besar Perak
tidak dapat menjalankan tugasnya dengan baik, sebaliknya hanya mengikut arahan
orang-orang tertentu.
8-
England Kian Terdesak (Mingguan
Malaysia 11 November 2007)
Petikan di atas adalah
tajuk berita tentang skuad bola sepak England yang menghadapi masalah untuk
menang. Di sini terdapat penggunaan Totem pro parte iaitu menyebut keseluruhan
England dengan maksud pasokan bola sepaknya sahaja.
9- “Perdana
Menteri berkata gabungan Pembangkang tidak pernah satu pun berjaya kerana
masing-masing bersikap talam dua muka” (
Utusan Malaysia 6 Disember 2010)
Di sini dilihat bagaimana Perdana Menteri
telah menggunakan peribahasa dalam ucapannya
Sasterawan Melayu telah
mencipta karya sastera dan menyatakan reaksi mereka terhadap kejadian di
sekeliling dengan menggunakan pelbagai perlambangan dari objek alam. Hal ini
menepati kehendak Islam kerana berkata dengan terus terang adalah sesuatu yang
tidak menepati kehendak Allah SWT seperti mana yang telah dijelaskan melalui
ayat yang bermaksud “Allah tidak suka
kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk
mendedahkan kejahatan orang)” (An-Nisa’:48)
Bahasa figuratif bukan sahaja terhad
kepada puisi atau karya-karya sastera yang lain. Penggunaannya di dalam akhbar menunjukkan
bahawa bahasa figuratif diperlukan oleh semua pihak untuk memberi kekuatan
kepada kenyataan yang disampaikan. Penggunaan metafora, simile, personifikasi,
dan sebagainya di dalam akhbar boleh dijadikan penunjuk atau indikator bahawa gaya bahasa figuratif
adalah diterima dan diperlukan oleh
masyarakat.
No comments:
Post a Comment