ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Tuesday, October 07, 2014

saya ada menjalankan sedikit kajian tentang penglibatan wanita dalam penulisan puisi. Berikut ialah rencana yang pernah disiarkan dlm Dewan Sastera awal 2014.

WANITA TAMAN PUISI
Oleh Zurinah Hassan

Tulisan ini menyingkap penglibatan penyair wanita di dalam lapangan puisi tanah air. Tumpuan rencana ialah kepada penyair wanita yang lahir dan berkarya selepas tahun 1990han hingga ke tahun 2013 dengan tujuan mengemaskini maklumat yang ada.

Catatan terawal puisi yang ditulis oleh wanita ialah sebuah sajak  Hasnah Brahim dalam Lidah Benar, 22 April 1930. (Lim Swee Tin,2002:117). Seterusnya pada tahun 1936 seorang penyair wanita yang bernama Zainun Nasir menyiarkan puisinya yang bertajuk “Perempuan Mesti Bangun” dalam majalah Al-Hikmah, 7 Mei 1936. Setelah itu nama-nama yang dapat dikesan ialah Perawan Kampung dengan sajak “Bunga Terpedaya” (Warta Ahad, 3 Mac 1940), Kalthum Awang dan Wok Jamilah.

Kehadiran penyair wanita lebih dirasai selepas zaman pendudukan Jepun dan selepas era Malayan Union dengan kemunculan sajak-sajak yang ditulis oleh Mariam Abdul Ghani, Fatimah Othman, Wanita Kampung, Hafsah Perak, Siti Aishah, Kamariah Johor dan Normah Kamarudin. Nama yang penting seterusnya ialah Ibu Zain, Salmi Manja. diikuti oleh Anis Sabirin. 

Salmi Manja dan Anis Sabirin muncul sebagai penyair wanita yang aktif  berkarya seiring dengan pengarang-pengarang ASAS 50. Puisi-puisi Salmi Manja dan Anis Sabirin turut dimuatkan di dalam antologi Puisi Baharu Melayu (1942-1960) selenggaraan Ali Haji Ahmad, 1966, bersama penyair-penyair yang dianggap penting pada masa itu termasuk Masuri S.N., Tongkat Warrant, A.Samad Said, Noor S.I., M.Ghazali, A.S.Amin, Kassim Ahmad, Suhaimi Haji Muhammad, Nahmar Jamil dan Jihati Abadi.  

Pada pertengahan tahun enam puluhan taman puisi diserikan oleh  sederetan nama-nama  seperti Maimoonah Haji Omar, Rahimah M.Y, Noraini Shahrin, Azizah Shahrin, Halimah Haji Ahmad, Aina M, Maznah Ali. Nama-nama ini sering  menghiasi ruangan puisi akhbar-akhbar mingguan seperti Utusan Zaman, Mingguan Malaysia dan Berita Minggu dan majalah-majalah bulanan seperti Mastika dan Dewan Masyarakat.

Namun begitu karya penyair-penyair wanita ini boleh dikatakan kurang mendapat  perhatian. Hampir tidak ada rencana, kritikan, resensi atau esei yang mengkaji secara mendalam hasil karya penyair wanita lebih lebih lagi di majalah atau jurnal yang berprestij seperti Dewan Bahasa. Pengkaji dan pengkritik puisi lebih menumpukan perhatian kepada  penyair-penyair lelaki seperti Usman Awang, A. Latiff Mohidin atau A. Samad Said.  Kalau ada pun nama penulis wanita disebut ialah  di dalam rencana-rencana yang lebih bersifat popular (malah hampir berunsur sensasi ) menyentuh perkara-perkara di luar karya itu sendiri. Segala pandangan itu boleh dirumuskan sebagai berikut:
1.    Karya penulis wanita tidak setanding atau kurang bermutu jika dibandingkan dengan penulis lelaki.
2.    Penulis-penulis wanita tidak kekal lama, mereka akan hilang setelah berumah tangga.
3.    Penulis wanita tidak menulis tentang isu-isu yang penting atau isu-isu dunia dan kemasyarakatan. Tulisan mereka hanya berlegar di sekitar hal-hal rumah tangga (membuktikan bahawa isu rumah tangga dianggap perkara yang remeh temeh)


Public opinion (Pendapat umum) tentang kerendahan mutu karya-karya penulis wanita mula berubah pada awal tahun 1970-an. Perubahan ini dibawa oleh Hadiah Sastera Malaysia yang mula diwujudkan pada tahun 1971. Dunia sastera seolah-olah terkejut apabila beberapa orang penulis wanita tersenarai sebagai pemenang. Ini membuka mata bahawa penulis wanita tidak boleh dipandang ringan.

Penyair wanita dan karya yang menang pada tahun 1971 iaitu tahun pertama Hadiah Sastera Malaysia diwujudkan ialah Halimah Haji Ahmad (Di Kamar Sewaan), Nor Aini Muhammad (Mengerti),  Hanum Ain (Bujang Tua), Aina M (Entah Mengapa), Zurinah Hassan (1971 dan Bahawa Aku Pernah Hidup) . Tahun 1972 menyaksikan kemanangan Zanariah W.A.Rahman melalui sajak Gunung Payung Nama Lagunya dan pada tahun 1973, Zaihasra muncul dengan sajak Lautan Di Waktu Subuh.

Sejak itu karya karya penyair wanita mula dibicarakan dengan lebih mendalam, terutama karya yang memenangi Hadiah Sastera.  Misalnya, Abdullah Tahir mengulas sajak ‘Mengerti’ karya Nor Aini Muhammad. Mengikut Abdullah Tahir (1977: 73) “ada usaha penyair menggunakan atau menterapkan suatu filsafat baru dalam sajak ini” Baris-baris puisinya harus direnung dan diteliti untuk menghayati pemikirannya yang tajam.

Lelaki itu
Adalah kekasih yang paling kau kasihi
Adalah musuh yang paling kau benci.

Pada tahun 1982, Dewan Bahasa dan Pustaka (dbp) memberi penghargaan dengan menerbitkan sebuah kumpulan khas sajak-sajak penyair wanita. Antologi yang dimaksudkan ialah Kembang Melati  yang diselenggarakan oleh Suhaimi Haji Muhamad dan Pyan Husein. Ia memuatkan karya tujuh orang penyair wanita iaitu Salmi Manja, Anis Sabirin,  Maimoonah Haji Omar, Zurinah Hassan, Nor Aini Muhammad, Siti Zainon Ismail dan Zaihasra.  Kembang Melati merupakan satu-satunya  kumpulan puisi penyair wanita yang pernah diterbitkan oleh dbp. Selepas itu terbit kumpulan  Mustika Diri  (dbp 1994) kelolaan Ahmad Kamal Abdullah dan Siti Aisah Murad. Walau bagaimanapun Mustika Diri tidak terhad kepada puisi. Ia melibatkan penulisan dalam semua genre iaitui puisi, cerpen, drama dan esei sastera. Penulis puisi wanita dan bilangan sajak yang terdapat di dalam Mustika Diri  ialah Habsah Hassan (6), Hasnah Ibrahim,(3), Khadijah Hashim, (1), Mahaya Mohd Yassin (10), Maimon Rahman ( 2),  Mariam Omar (3), Maznah Ali (4),Norzeha Kasbi (6), Radziah M.Zin (3), Ratnawati Jamil ( 3), Rogayah A.Hamid (2), Sairah Haji Antin (2), Salmi Manja (3), Salmiah Ismail ( 2), Siti Zainon Ismail (2), Siti Zaleha M.Hashim (5), Sitti Hadiah Haji Abd Mutalib (20, Zaiton Ajamain (6), Zakiah Bahari (2), Zanariah Wan Abdul Rahmadn (2), Zurinah Hassan (5).

Malangnya, selepas Kembang Melati tidak ada lagi usaha yang dijalankan  untuk menerbit  antologi puisi wanita sedangkan terdapat antologi yang menghimpunkan cerpen dari penulis wanita iaitu Hawa, dbp, 1984. dan Bunga Gunung, Berita Publishing,1982. 

Setakat ini enam orang penulis wanita telah diangkat untuk menerima SEA Write Award Tetapi hanya Siti Zainon dan Zurinah Hassan menerima untuk penulisan puisi. Yang lain, iaitu Adibah Amin, Zaharah Nawawi, Khadijah Hashim, Azmah Nordin adalah penulis novel dan cerpen.

Penyair Wanita Generasi Baru
Bagaimana kedudukan wanita di dalam taman puisi pada tahun tahun terakhir ini?. Seperti yang dapat dilihat beberapa nama yang mengisi Kembang Melati dan Mustika Diri sudah lenyap atau jarang ditemui lagi di persada puisi tanah air. Akhir akhir ini telah timbul persoalan tentang  kurangnya wanita yang menulis puisi atau menjadikan puisi sebagai genrenya yang utama. Persoalan itu menjadi topik perbincangan di dalam beberapa forum.  Akhbar Berita Harian, 12 Mach 2013 membicarakan  isu bahawa wanita tidak lagi menulis puisi.di dalam rencana berjudul “Wanita dan Puisi”.   

Mengikut rencana tersebut tidak ada lagi nama wanita yang serius menulis puisi selepas tahun 2000., Katanya, ''genre puisi seolah-olah tidak mempunyai daya tarikan berbanding novel. tidak sekuat tahun 70-an yang melahirkan Zurinah Hassan,Siti Zainon Ismail dan Allahyarhamah Zaihasra. Kebanyakan kertas kerja juga tidak menyebut kehadiran penyair wanita,berbanding penulis wanita yang menulis dalam genre cerpen dan novel''.

Mengikut rencana itu lagi, kekurangan ini, antara lain, disebabkan wanita lebih cenderung untuk menulis novel terutama novel remaja dan popular  yang mendatangkan pendapatan lumayan.  Mengikut laporan Berita Harian,  3 Februari 2011, pengarang wanita terutama pengarang angkatan baru  mendominasi novel remaja dan novel popular . Puisi adalah satu lapangan yang tidak memberi faedah kewangan. Semakin kurang orang yang mahu bersungguh-sungguh di dalam puisi.  Jika demikian bagaimanakah masa depan puisi itu sendiri? Hal ini agak membimbangkan kerana tiada pelapis yang meneruskan kesinambungan penulisan puisi,

Tiadakah lagi penyair wanita yang menjadikan puisi sebagai tulisan utama mereka selepas Siti Zainon, Zurinah Hassan, Zaihasra, Zaiton Ajmain, Salmiah Ismail dan Siti Zaleha M Hashim.  Kali terakhir situasi ini diberi tumpuan ialah pada Hari Puisi Nasional, ke 14, anjuran Gapena yang berlangsung di Seremban , 1999, yang bertemakan “Puisi, Kewanitaan dan Alaf Baru”.  Antara kertaskerja yang dibentang ialah “Penyair penyair Wanita Malaysia” oleh Rahman Shaari dan “Penyair Wanita Generasi Baru” oleh Lim Swee Tin.  Lim Swee Tin memberikan nama-nama penyair wanita baru dan  mengangkat beberapa nama termasuk Raihani Mohamed Saaid sebagai penyair wanita yang berpotensi.  

Daripada rekod dan maklumat yang diperolehi terdapat beberapa  penyair wanita yang telah muncul pada tahun tahun 1980han, 1990han dan  selepas tahun 2000 walaupun sebahagian besar daripada mereka  tidak begitu aktif menulis. Nama-nama yang dapat dikumpul ialah:

1980-han
Amaruzati Noor Rahim
Asmira Suhadis
Anismas AR
Haryatie Ab.Rahman
Rafflesia Darlina
Norazimah Abu Bakar
Rosmiaty Shaari
Rositah Ibrahim hsku 2011.
Rosnani Ahmad
Rosani Hiplee
1990-han
Azridah Ps Abadi
Hazama Harun
Kathirina Susanna Tati
Norgadis Labuan
Aflieza Arshad
Raihani Mohd.Saaid.
Nor Zaiton Hanafi
Zaiton Ahmad
Shasha Shakierah
Zaleha Ahmat
Selepas tahun 2000
Dayana Chacooo
Raja Rajeswari Seetha Raman
Dayangku Mastura
Hani Salwa
Nissa’Yusof
Ainunl Muaiyanah Sulaiman.
Rabiatul Adawiyah Abdul Samad
Teratai Abadi

Penglibatan wanita di bidang puisi dapat ditinjau dengan melihat beberapa aspek iaitu Penerbitan antologi perseorangan serta hadiah dan anugerah penulisan yang telah dimenangi.


Antologi Perseorangan
Di dalam rekod yang ada, antologi perseorangan penyair wanita tidak terbit sehingga 1974, iaitu Sesayup Jalan (Zurinah Hassan).  Anis Sabirin yang muncul lebih awal tidak menerbitkan antologi sajak walaupun telah muncul dengan antologi cerpen Dari Bayang ke Bayang (1966), manakala Salmi Manja lebih terkenal dengan beberapa buah novel. Antara antologi puisi penyair wanita Malaysia yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka nya ialah Nyanyian Malam(Siti Zainon Ismail, dbp 1996), Bagai Layang-layang (Zaiton Ajamain,dbp 1990), Dalam Pelarian I (Zaihasra, dbp 1977, Kepada Sahabat (Salmiah Ismail dbp 1993), Perjalanan Mencari Kekasih, (Nor Aini Muhammad dbp 1997), Suara Hati (Mahaya Mohd Yassin, dbp 1993),

Antologi Perseorangan Selepas tahun 2000 (tidak mengambil kira antologi puisi kanak-kanak dan remaja)
1.    Siti Zaleha M Hashim, Kristal di Laut Bulan. Hadiah kategori buku.2006/2007
2.    Rosani Hiplee, Sari Rahsia Terindah,  dbp 2007 ,
3.    Rosani Hiplee, Cinta Perempuan yang Cantik,  dbp 2011,
4.    Rosmiaty Shaari, Dari Hitam Putih Menjadi Zarah, Iman Creative, KL 2011.
5.    Raihani  Mohd Saaid, Terminus A Quo, Rumah Buku Rania,2011.
6.    Siti Zaleha M. Hashim,  Kapal Kertas Dan Lautan Api , ITBM 2012
7.    Ida Munira Abu Bakar, Kumpulan Puisi Cenderahati Kasih.ITBM 2013
8.    Rositah Ibrahim, Bunga Di Atas Meja ITBM  2013
9.    Noor Ainna Abd. Hamid , Syair Puteri,  ITBM 2013
10. Norjana Mohd Adnan,  Mahagar , ITBM ITBM 2013
11. Rosmiaty Shaari Kembali Kepada Fitrah ITBM 2013
12. Ramlah Bt Abd Rasid Perahu ITBM 2012
13. Raihani Mohd Saaid, Sidang Kultus,  ITBM 2013
14. Hani Salwah Bt Yaakup, Tentang Pertanyaan ITBM 2013


Hadiah dan Anugerah
Kedudukan penyair wanita juga boleh diukur daripada  hadiah atau anugerah yang diterima di bidang penulisan. Hadiah paling berprestij (selepas Anugerah Sastera Negara) ialah  Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM). Hadiah yang juga menjadi impian penulis ialah Hadiah Sastera Kumpulan Utusan. Di samping itu dunia sastera turut diwarnai oleh hadiah-hadiah negeri, yang paling aktif ialah Johor (Hadiah Sastera Darul Takzim), Sabah (Hadiah Sastera Sabah dan Terengganu (Hadiah Sastera Darul Iman). Malangnya tidak ada negeri2 lain yang menganjurkan anugerah secara konsisten.

Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM).
Dari senarai panjang pemenang-pemenang HSPM sejak tahun 2000 terdapat pencapaian wanita yang membanggakan.
1.    Hadiah Kategori Buku:
Siti Zaleha M Hashim, Kristal di Laut Bulan. Hadiah kategori buku.2006/2007
Hadiah Puisi Eceran
2.    Mahaya Mohd Yassin “Jati Diri" 2000-2001.
3.    Raihani Mohd Saaid, “Malam Terakhir Nadim”,  2002/2005
4.    Siti Zainon Ismail “Cebisan Nota Akhir Laila, Malam Tanpa Bulan di Bukit Gombak”,  2004/2005
5.    Raihani Mohd Saaid “Selepas Menonton Puteri Gunung Ledang”,  2004/2005
6.    Zaiton Ajamain “Catatan Panjang Tentang Suami Skizo Dan Wanita Skizofernik”,  2006/2007.
7.    Raja Rajeswari Seetha Raman, 2006-2007.
8.    Mahaya Mohd Yassin "Wanita dan Laut" 2006-2007.
9.    Raihani Mohd Saaid “Negeri itu Antonius” 2008/2009
10. Rosani Hiplee, “Perempuan Cahaya” 2008/2009
11. Raihani Mohd Saaid  “ Pidato Itu Brutus” 2012
12. Ainunl Muaiyanah Sulaiman “Mimipi dari Sebuah Lukisan Ilusi


Hadiah Sastera Kumpulan Utusan.
Selain HSPM terdapat Hadiah Sastera Kumpulan Utusan yang meriah dengan kemenangan wanita di bidang novel remaja dan cerpen. Sesekali terdapat nama-nama wanita yang meraih hadiah di bidang puisi. Mereka termasuklah Raihani Mohd Saaid dengan puisi “Sajak Anum Kepada Jebat” 2007, dan “Terminus A Quo, 2011. Di samping itu nama yang membanggakan ialah Rositah Ibrahim yang meraih HSKU 2011 melalui sajaknya “Kembali ke Gema Dikir”,
KembalikeGemaDikir

Usia telah membawa
Kau kembali ke daerah lama
Mencari jejak-jejakpurba
Terhapus oleh jalar kota
Menyirati desa.

Angin kampungmu telah kehilangan
Irama masasilam
Kaurindu
Pada malam gempita
Oleh dikir laba
Berembun dini
Dipukau asyik
Pak yong melentikjemari.

Usiatelahmengaliharah
Membawakaukedaerahpusaka
Rositah Ibrahim

Hadiah Puisi Numera.
Rosmiaty Shaari ‘Risalah Melayu” Hadiah Utama Numera 2014

Sayembara Menulis Novel, Cerpen dan Puisi ITBM, PENA,BERITA HARIAN
Tiga puluh karya telah dipilih menerima hadiah. Di antaranya terdapat tiga kumpulan puisi penyair wanita iaitu Tentang Tanya oleh Hani Salwa, Sidang Kultus oleh Raihani Mohd Saaid dan Perahu karya Ramlah Abdul Rashid.

Selain dari itu, satu sayembara yang wajar disebut di sini ialah Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena yang dianjurkan dalam usaha Gapena untuk mencari sajak-sajak yang sesuai dibaca di dalam Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan yang telah diadakan sejak tahun 1984.Sayembara tersebut turut menyaksikan keunggulan  penyair-penyair wanita termasuk Amaruszati Noor Rahim yang muncul dengan sajaknya “Nazam Kecintaan”’ Hasidah Disan (Di Wajahmu, Bonda), Jariah Taha (Di Tanah Merdeka dan Pada Malam Kemenangan Ini), Raihani Mohd. Saaid (Istana Kemerdekaan dan Kota Anak Generasi), Sairah Haji Antin (Epilog Sang Pemimpin).

Melihat situasi penerbitan buku dan anugerah yang diadakan , maka bolehlah dirumuskan bahawa terdapat beberapa orang penyair wanita generasi muda yang aktif dan memperlihatkan potensi di dalam persada puisi tanah air. Beberapa orang yang dapat dicatatkan di sini ialah:
.
Rosani  Hiplee,

Anak kelahiran Kuching, Sarawak. Penerima Hadiah Karyawan Harapan Negeri Sarawak tahun 2000, Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak tahun 1996 (puisi), 2007 (puisi) dan 2010 (puisi & esei kritikan sastera), dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2009/2010 (puisi eceran).

Karya-karya beliau pernah disiarkan di akhbar dan majalah tempatan dan nasional seperti Utusan Sarawak, Utusan Borneo, Berita Minggu, Berita Harian, Dewan Siswa, Dewan Sastera, Tunas Cipta, Karya, Dewan Bahasa, Dewan Budaya, Pelita Bahasa, Dewan Masyarakat, Tamadun Islam, Jendela Sarawak dan penerbitan berkala lain malah banyak juga yang sudah diantologikan.Sari Rahsia Terindah (2006) dan Cinta Perempuan yang Cantik (2011), merupakan dua buah kumpulan puisi beliau yang sudah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rosmiaty Shaari,
Rosmiaty telah menerbitkan antologi perseorangan Kembali Kepada Fitrah ITBM, 2013
Dari Hitamputih Menjadi Zarah, Iman Creative, KL 2011. Beliau memenangi Hadiah Utama Puisi Numera, 2014.. kumpulan Dari Hitamputih Menjadi Zarah telah dilancarkan dan dibicarakan di Pusat Dokumentasi HB Jassin,

Hani Salwah Yaakup
Hani Salwah adalah mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) 2001 anjuran Dewan Bahasa & Pustaka (DBP). Mula menulis dalam genre cerpen. Karya beliau pernah disiarkan di dalam antologi Tunas Karyawan 3, Edusystem Sdn Bhd, Antologi 12!, Kelab Alumni MPR, Antologi Gema Membelah Gema, BAHASA Sabah, Karyawan 2011, Persatuan Penulis Nasional (PENA), Tunas Cipta, Mingguan Malaysia dan Berita Minggu. Berpengalaman menulis lirik, puisi, artikel, skrip untuk rancangan radio.

AINUNL MUAIYANAH SULAIMAN
            Karya beliau seperti cerpen dan puisi pernah disiarkan dalam akhbar dan majalah seperti Berita Harian, Mingguan Malaysia, Harian Metro Tunas Cipta, Dewan Sastera, Dewan Bahasa, Dewan Siswa, Fokus, URTV, Mutiara Minda dan Pentas. Puisinya dimuatkan dalam antologi Takah Lima Puluh (PENA, 2011), Karya Sasterawan 2011 (PENA, 2011), Koleksi Puisi (Balai Seni Visual Negara, 2012). Sebuah cerpennya dipilih untuk Antologi Cerpen Indonesia-Malaysia (ITBM, 2013). Buku pertamanya berjudul Sepetang di Kafe Biblioholic diterbitkan oleh JS Adiwarna, 2013. Puisinya "Mimpi dari Sebuah Lukisan Ilusi" pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012 dalam kategori puisi eceran.

RAIHANI MOHD SAAID
Penulis ini dinamakan oleh Lim Swee Tin sebagai penyair wanita generasi baru yang terpenting,  dalam kertaskerjanya  “Penyair Wanita Generasi Baru” (dibentangkan di Hari Puisi, 1999 di Seremban). Beliau adalah peserta MPR 1997.  Sajaknya tersiar di Berita Minggu, Dewan Sastera, Mingguan Malaysia, Dewan Budaya, Tunas Cipta.
Antara pencapaiannya dalam puisi ialah  : memenangi Sayembara Puisi Esso-Gapena, 1994.  HSPM 2004/2005,  2008/2009  , 2012 , HSKU 2007, 2011 dan Sayembara ITBM,PENA, BERITA HARIAN 2013.
penutup

Semoga taman puisi kita terus berbunga mekar dengan penyertaan penyair-penyair wanita baru bagi meneruskan perjuangan yang telah direntas oleh generasi sebelumnya. 

Saturday, October 04, 2014


24 dan 25 September aku di Johor Baru. Ingatan dan kenangan masih segar pada kawan2 dan seminar yang diadakan. Seminar JOHOR DALAM PERSURATAN MELAYU itu diadakan di Institut Perguruan Temenggong Ibrahim.  Di bawah ini petikan dari kertaskerjaku "Sumbangan Johor DAlam Perkembangan Puisi Melayu Moden".


PENYAIR JOHOR SELEPAS USMAN AWANG DAN  ZAM ISMAIL.
 Sehingga kini Johor melahirkan ramai penyair seperti nama-nama yang telah disebut di atas, yang sudah tentu tidak dapat dinyatakan semuanya di sini.  Saya berhasrat untuk menyebut  hanya beberapa buah sajak yang telah meninggalkan kesan kepada saya sebagai pembaca. Bagaimana sesebuah karya sastera meninggalkan kesan? Kesan ditinggalkan oleh Pemikiran yang berjaya mengusik perasaan. Seperti mana yang diketahui sebuah karya kreatif kerana mengandungi dua komponen iaitu Pemikiran dan Perasaan. Pemikiran adalah mesej dan gagasan yang hendak disampaikan oleh Penyair diadun  oleh gaya pengucapan atau bahasa.   Isi yang hendak disampaikan tidak akan wujud tanpa pemikiran. Untuk menghasilkan sebuah puisi yang baik, seorang penyair mestilah memiliki keberanian untuk mengemukakan sesuatu idea dan pemikiran baru dan bersedia untuk melakukan inovasi dan pembaharuan. Penyair harus memiliki kebijaksanaan dengan penuh kesedaran dan bergerak dalam landasan keilmuan. Saya ingai menyentuh beberapa buah puisi tanpa berlandaskan mana-mana teori secara ketat (rigid)

Saya teringat sebuah sajak berjodol SESAL ORANG MELAKA yang ditulis oleh Irwan Abu Bakar. Saya telah beberapa kali membicarakannya termasuk di dalam buku “Catatan Perjalanan Seni Zurinah Hassan” (itbm 2013)

Terus bertikam dua pahlawan
pahlawan Melayu pembela Melaka
mana gagah mana perkasa
kami bertelagah di bawah rumah.

Mati seorang ditikam rakan
seorang lagi layu terkilan
terbunuhlah dua pahlawan Melayu.

Sesalnya kami orang Melaka
menanggung dosa di bawah rumah
tidak berguru mengurus sengketa
tamak menjaga perut sendiri
dua pahlawan dibiarkan mati.

           (Irwan Abu Bakar, Dewan Sastera, Oktober 1997)



Islah Melayu karya Shapiai Muhammad Ramly

Semangatmu telah terjun ke kutub kutub
Belayar mengelilingi dunia
Merenangi selat Inggeris
Mengharung angkasa menawan everest
Siapa tidak kenal Melayu
Politiknya berpupurkan resah
Bagaimana menjatuhkan lawan
Bukan bagaimana memerintah.
Benarlah
Yang membunuh Hang Nadim bukan raja
Tetapi Melayu
Yang membunuh Jebat bukan Tuah
Tetapi Melayu
Kerismu itu
Pamor bisa hasadnya
Membunuh Melayu sendiri

Bahasamu itu
Hanya bahasa perpaduan
Bukan lagi bahasa ilmu
Sasterawan itu
Tersembunyi di bawah lipatan
Malu-malu
Tanahmu itu
Bukan lagi tanah ketuanan Melayu
Kini sudah diratakan
‘untuk dijual”.

(Kelarai Kehidupan, 2013, Dewan Bahasa dan Pustaka: 66)

            Dua sajak di atas berkisar dari kebimbangan melihat situasi semasa bangsa Melayu. “Sesal Orang Melaka”  adalah tulisan Irwan Abu Bakar seorang Professor  Kejuruteraan kelahiran Segamat yang lebih dikenali kerana penglibatannya dengan sastera maya atau e sastera. Kedua duanya memperlihatkan bagaimana Sejarah dan  legenda mempengaruhi pemikiran pengarang-pengarang semasa.  Hikayat lama yang dibaca atau didengar semasa kecil  meninggalkan kesan dan dipendam di dalam fikiran dan diingat kembali bila berhadapan dengan situasi semasa.  Lalu Penyair  menulis cerita baru yang manyangkut cerita lama itu. Dengan kata lain Pengarang semasa  telah menggunakan cerita-cerita lama  untuk memberi makna kepada isu-isu semasa. Pembinaan jalur pemikiran seperti ini menyangkut Teori Interteks dan Historisisma antara lain, telah dihuraikan oleh Mana Sikana di dalam beberapa tulisannya.  Hal ini juga merujuk kepada pembacaan sebagai sumber penting pemikiran puitis.  Sebuah buku atau karya yang telah banyak memberi rangsangan kepada pembenihan karya ialah buku Sejarah Melayu. Edisi yang popular ialah yang diusahakan oleh W.G.Shellabear (Siri Kajian Sastera Fajar Bakti). Edisi ini  lebih banyak dibaca dan digunakan mungkin kerana bukunya tidak tebal dan lebih mudah didapati untuk bacaan santai berbanding dengan karya-karya warisan yang lain seperti Hikayat Raja Pasai atau Hikayat Hang Tuah..

             Irwan Abu Bakar telah menggunakan peristiwa tragis pertikaman Tuah-Jebat. Peristiwa pertikaman ini bukanlah perkara baru dalam penulisan kreatif semasa tetapi yang menariknya dalam sajak ini ialah Penyair ini tidak membesarkan pencarian wira atau makna setia dan durhaka seperti yang mendasari beberapa karya kreatif sebelum ini. Sebaliknya Irwan Abu Bakar menggunakan episod ini i untuk menyatakan tentang pemimpin yang berpecah belah dan rakyat yang leka menonton perbalahan itu.  Sajak ini tidak menggambarkan pertikaman itu tetapi lebih banyak mengisahkan perihal orang-orang Melaka yang menonton di bawah istana.

            Dalam sajak “Islah Melayu”, Shapiai Muhammad Ramly menggambarkan situasi yang menggerunkan tentang keadaan  masa depan Melayu yang tergugat. Walaupun pada zahirnya bangsa Melayu dan bangsa Malaysia sedang melakukan penjelajahan ke tempat-tempat mencabar seperti “ terjun ke kutub kutub, belayar mengelilingi dunia, merenangi Selat Inggeris, Mengharung angkasa dan menawan Everest. Namun itu semua tidak dapat melindungi kecatatan sebenar di bidang politik dan perpaduan yang luntur. Kata Penyair, “ siapa tidak kenal Melayu/ Politiknya berpupurkan resah/ bagaimana menjatuhkan lawan /Bukan bagaimana memerintah.”

            Seperti Irwan Abu Bakar,  Shapiai juga membina pemikirannya dari  kisah Sejarah Melayu. Yang ketara di dalam sajak ini ialah  episod Singapura di langgar todak, budak yang dibunuh kerana kecerdikannya dan pembesar-pembesar yang menghasut Sultan  Beginilah caranya Melayu membunuh Melayu sehingga ke masa kini.  Melayu membunuh bangsa Melayu dan Bahasa Melayu,  tanah yang dibangga-banggakan sebagai tanah pusaka, bukti ketuanan Melayu sedang “diratakan untuk dijual” . Ketika itu para sasterawan mengawal suara atau diam membisu. Lalu dirumuskan bahawa yang membunuh Nadim, Jebat dan segala yang bergelar Melayu adalah hasad dengki Melayu itu sendiri.  

            Seorang lagi yang mahu disentuh di sini ialah Nazim  Mohd Subari ,  penulis puisi moden dan tradisional yang tekun. Kumpulan puisinya ialah Gambus Tandus (PPJ, 1998) Serunai Damai (Penerbitan Pustaka Nusa, 2003), Harga Budi (Penerbitan Pustaka Nusa, 2009) Harga Maruah (Penerbit Mentari, 2013) dan Sawah di Tengah Kota (Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, 2014). Pada tahun 2009, beliau menerima Hadiah Cipta Karyawan Muda Johor sempena Hadiah Sastera Darul Takzim ke-7.

DI GERAI MASA

Berkunjung ke gerai masa
di penghujung zaman ini
kulihat ada manusia
berebut menjadi pembeli
pada mimpi tak pasti
pada angan tak berkesudahan
pada kata-kata tak bermakna.
                                       

Dalam keriuhan
aku termangu menghitung kerugian
dari setiap saat yang mengalir
dari setiap waktu yang berlalu
manusia diterpa debu
di persimpangan jalan keliru.


Masa bagai tiada harganya lagi
lebur di tangan peleka
luntur di bibir pendusta
sirna di abad penuh pesona.


Memenangi Hadiah Penghargaan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005.
(Sawah di Tengah Kota, ITBM, 2014)

Pemikiran dalam puisi ini adalah hasil renungan Nazim tentang keadaan manusia yang semakin mengejar atau dikejar oleh masa pada zaman ini. Tajuk sajak ini merupakan sebuah metafora yang menarik iaitu ”gerai masa” yang membawa pengertian dan menggambarkan ’masa’ sebagai komoditi yang boleh dijual beli. Sudah pasti ini adalah bentuk ’sindiran’ kepada manusia yang meremehkan  masa dan tidak menghargainya sedangkan Waktu atau Masa sangat penting dan  manusia diminta menghargai waktu. Di dalam kitab suci Al-Quran terdapat sekian banyak ayat yang menyeru manusia untuk menghargai masa. Manusia diingatkan supaya merenungi kejadian peredaran waktu yang dicipta oleh Allah. Segala kejadian yang dicipta oleh Allah mempunyai makna dan memberi iktibar bagi orang yang mahu berfikir, seperti yang terkandung di dalam ayat yang bermaksud; “Allah menukarkan malam dan siang silih berganti, sesungguhnya yang demikian mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang celik matahatinya iaitu berfikir (Surah An-Nur, ayat 44).      

Telaga Insani
(Shamsuddin Othman)


Aku rumput
Engkau embun
Kita berdakapan
Saat subuh berlabuh
Menitipkan zikir dan rindu
Ke kebun insaniahku.

Tapi tahukan engkau
Tika matahari
Tumbuh di dahan waktu
Kita terpaksa berpisah
Pada garis kesal
Yang tak berjawapan

Aku rumput
Engkau embun
Ada resah menyapa
Tika terik matahari
Menghadiahkan selembar hangat
Dan kita tiba-tiba dahagakan rindu
Titis dingin telaga
Yang membening
Di sujud kesal.
(Taman Maknawi  itbm 2014).


Seorang lagi penyair berbakat besar dan berpotensi ialah Shamsuddin Othman. Dan saya sangat tertarik dengan sajak Telaga insani di atas. Tarikan itu ialah kerana penggunaan unsur alam yang dapat menyampaikan makna dan membangkitkan suasana. Kata kata yang digunakan membawa imej yang bukan saja segar di pandangan tapi membawa kesan sentuhan.  Dengan kata lain kata-kata yang membawa kesan visual dan kesan rasa. Telaga, embun, subuh adalah kata-kata yang membawa rasa  kesejukan. Ini ditambah dengan suasana teduh dari Rumput dan kebun. Maka sesuai pula bagi menggambarkan kasih sayang dengan kata  berdakapan. Namun sebagai sebuah ‘cerita’ ia melalui ‘konflik’ dan konflik itu didatangkan oleh kehangatan matahari. Matahari tumbuh di dahan waktu bersama  kehidupan yang terus mengalami pertumbuhan dan perubahan. Unsur emosi digambarkan pula dengan rasa ‘rindu’ dan ‘kesal’. Namun semuanya mencari jalan pulang dengan ‘bersujud’ kepadaNya.

           Telaga Insani dimuatkan dalam antologi yang memenangi tempat ketiga Sayembara ITBM. Telaga Insani, seperti sajak-sajak lain di dalam antologi ini adalah adunan unsur alam dan unsur dakwah yang merupakan dua komponen penting dalam puisi Melayu moden dan tradisi. Pada keseluruhannya, puisi-puisi merupakan cetusan idea daripada  renungan penyair terhadap alam yang membawa makna kehidupan,  khasnya makna kewujudan dirinya sebagai hamba Allah SWT dan juga  peranan serta tanggungjawabnya sebagai khalifah Allah di bumi ini. 
          


Thursday, October 02, 2014

BAHASA FIGURATIF  PEMANIS BICARA

Oleh: Zurinah Hassan. 
RENCANA ini disiarkan di Dewan Sastera, Oktober 2011 hlm.  24- 28

Dalam usaha menulis rencana ini saya teringat satu adegan dalam filem Seniman Bujang Lapok (arahan P.Ramlee, 1961) . Adegan itu ialah ketika Ramlee, Sudin dan Aziz pergi ke studio Jalan Ampas untuk meminta kerja sebagai pelakon filem. Sudin mendekati  Pengawal Keselamatan (Jaga)  yang bertugas,  memanggilnya ”hoi, hoi” untuk bertanya sesuatu. Jaga (seorang Singh)   tidak menjawab tetapi kemudian merungut ”Nama saja Melayu, sedikit bahasa pun tak ada”.  Mereka merasa malu dan Ramlee berkata ”Betul kata Singh itu, bahasa menunjukkan bangsa tau”.
Walaupun dialog ini dituturkan di dalam filem komedi, ia sebenarnya mempunyai makna dan implikasi yang penting. Dialog ”nama saja Melayu, sedikit bahasa pun tidak ada” menunjukkan bahawa si Jaga sangat terkejut dengan perangai Sudin yang tidak menunjukkan ciri-ciri keMelayuan kerana pada anggapannya (dan anggapan umum) orang Melayu biasanya bertutur dengan bahasa yang baik dan sopan.
Ramlee menjawab ”Bahasa menunjukkan Bangsa” . Apakah maksud kata-kata ini? Bahasa menunjukkan Bangsa menunjukkan adanya hubungan yang sangat rapat  antara bahasa dan bangsa yang menuturkannya. Cara seseorang menggunakan bahasa mencerminkan pemikiran dan perilakunya. Cara seseorang memahami sesuatu perkataan juga bergantung kepada pengalaman bangsanya yang berlainan daripada bangsa-bangsa lain. Misalnya seorang Melayu  memahami perkataan ’dunia’ tidak sama seperti dia memahami perkataan  ’world’ . Bila menyebut ’dunia’ dia akan membayangkan dunia yang fana yang bertentangan dengan akhirat yang abadi. Tetapi bila menyebut world dia mungkin membayangkan pelbagai negara yang ada di dalam peta dunia.


Keindahan, kehalusan dan pemikiran Melayu terpancar di dalam bahasanya.  Umumnya keindahan bahasa dapat dilihat di dalam penggunaan Bahasa Figuratif. Sesuatu ayat atau prasa di klasifikasikan sebagai  figuratif apabila terdapat perkataan yang membawa makna lain daripada makna biasa yang telah diterima oleh massa atau makna yang berbeza daripada yang diberikan oleh Kamus. Bahasa figuratif  digolongkan sebagai bahasa kiasan.(Harun Mat Piah,1981:224) atau secara umum disebut juga sebagai bahasa berbunga.

Karya-karya sastera Melayu baik karya tradisional atau karya-karya moden memperlihatkan penggunaan Bahasa figuratif . Bahasa figuratif lebih diasosiakan dengan puisi baik puisi tradisional atau puisi moden. Penelitian terhadap penggunaan bahasa di dalam pelbagai jenis puisi Melayu  seperti pantun, syair,seloka, gurindam, teromba, maupun peribahasa Melayu telah dapat menyerlahkan kekreatifan dan ketinggian pemikiran bangsa Melayu. Dengan menggunakan bahasa yang figuratif orang Melayu telah menyebarkan falsafah pemikiran dan ilmu pengetahuan,
Bahasa adalah wadah yang menampung fikiran yang dinyatakan di dalam karya sastera. Sebuah karya sastera terdiri dari ‘isi’ dan ‘bentuk’. Isi sebuah karya bermaksud mesej, tema, pemikiran, perasaan, ide dan gagasan yang ingin disampaikan oleh pengkarya. Yang dimaksudkan dengan ‘bentuk’ ialah wadah atau perantaraan yang digunakan untuk menyampaikan isi. Perantaraan bagi penyair ialah bahasanya. Cara penyair menggunakan bahasa disebut sebagai gaya bahasa. Gaya bahasa seorang penyair memperlihatkan identiti seorang penyair atau ciri yang membezakannya dari penyair-penyair lain.

Para sarjana mengakui hubungan yang rapat di antara bahasa dan karya sastera. Bahasa di dalam sastera digunakan dengan cara yang khusus seperti pendapat Steiner (1972) “Sastera adalah bahasa, tetapi bahasa dalam keadaan penggunaan yang khusus” Boleh dirumuskan bahawa bahasa di dalam sastera digunakan dengan cara yang istimewa. Cici-ciri keistimewaan ini lebih terkesan lagi di dalam puisi. Penggunaa bahasa di dalam puisi lebih bertujuan untuk menyentuh emosi pembaca.
Hal ini dikui oleh Bakar Hamid “Adalah menjadi anggapan umum bahawa ucapan puisi bertujuan untuk membangkitkan perasaan dan kerana itu dialamatkan kepada emosi dan imaginasi sedangkan ucapan prosa  lebih bertujuan untuk  menyampaikan berita dan lantaran itu ditujukan kepada intelek. Pada dasarnya dapatlah diterima bahawa puisi lebih mementingkan unsur-unsur emosi dan imaginasi dari prosa’ (A.Bakar Hamid 1966)
Dalam perkataan Terry Eagelton “Karya sastera itu memperkaya dan mengubah makna-makna yang diberikan oleh kamus” (Eagelton, 1988:112) Di dalam ayat figuratif terdapat penggunaan gaya bahasa seperti  metafora, simile, personifikasi, hiperbola, sinekdoki, Pars pro toto- totem pro parte-metonimi atau diselitkan dengan simpulan bahasa.
·         Metafora- menyebut sesuatu dengan maksud yang lain
·         Simile- membandingkan sesuatu dengan yang lain.
·         Personifikasi- memberi sifat-sifat manusia kepada objek-objek yang tidak bernyawa
·         Hiperbola- menerangkan tentang sesuatu dengan cara yang berlebih-lebihan yang tidak logik jika pengertiannya diambil secara harfiah,
·         Pars pro toto- menyebut sebahagian dengan maksud keseluruhan.
·         Totem pro parte-menyebut keseluruhan dengan maksud sebahagian.
·         Metonimi – menyebut sesuatu objek dengan maksud sesuatu yang lain, yang berkait rapat dengannya. Misal sasterawan itu sangat tajam penanya

Penelitian terhadap puisi Melayu tradisional termasuklah  pantun, syair,  seloka, gurindam, nazam.  akan menyerlahkan penggunaan Bahasa Figuratif . Pada umumnya, pantun dan syair lebih terkenal dan sangat jelas  dari segi ciri dan strukturnya. Manakala jenis-jenis yang lain lebih  dikenali  melalui isinya dan tujuan ia dikarang. Secara ringkas :
·         Gurindam : menyampaikan nasihat dan panduan,
·         Nazam: menyampaikan kisah dan puji-pujian terhadap Allah dan Nabi Muhammad s.a.w.,
·         Teromba: menyampaikan perbilangan adat dan peraturan bermasyarakat,
·         Seloka : menyampaikan kritikan dan sindiran terhadap sesuatu kepincangan yang berlaku di dalam masyarakat.Kritikan dan sindiran ini amat tajam dan disampaikan secara berlapik dan berkias dalam nada bergurau.
Selain puisi, penggunaan Bahasa Figuratif juga sinonim dengan Peribahasa. Peribahasa  mencerminkan  struktur sosial bangsa Melayu lama, sikap, aktiviti kehidupan serta falsafah hidup yang dianuti. Peribahasa memancarkan hati budi orang Melayu, sikap dan perwatakan (Wilkinson, 1947) tentang alam dan kehidupan yang mereka tempuhi. Penggunaan peribahasa akan  lebih memperindah gaya pengucapan dan menimbulkan daya tarikan.Ungkapan atau rangkaian perkataan yang telah tetap tersimpul atau terbuku dengan susunan yang khas  dipakai dengan erti yang khas atau telah diterima oleh masyarakat.
Penulis  ingin menyentuh salah satu cabang puisi tradisional iaitu seloka. Seloka tidak mempunyai struktur yang khas seperti pantun atau syair. Mengikut Zaaba,  seloka ialah karangan berangkap yang memakai pertentangan bunyi hujung (rima) yang tiada tetap. Bilangan baris pada sebuah seloka adalah tidak terhad dan bilangan baris pada satu rangkap juga tidak menentu. Seloka juga tidak mempunyai skima rima yang tetap. Oleh itu boleh dikatakan seloka lebih mirip kepada ciri free verse iaitu bentuk puisi moden yang dikenali sebagai sajak pada masa ini.
Walaupun tidak diketahui siapa pengarangnya, namun dari seloka yang kita warisi, terbukti bahawa pengarang seloka adalah pemikir yang amat tajam pemerhatiannya terhadap alam dan masyarakat di sekeliling. Mereka peka terhadap segala yang berlaku lalu menyampaikan teguran dan kritikan. Pengarang seloka menggunakan perbandingan dan tamsilan seperti perumpamaan, metafora, simile dan personifikasi yang kaya dengan imej alam yang perlu  ditafsir untuk mengetahui maksud sebenar sesebuah seloka.
Salah satu seloka ialah seloka Pak Pandir. Pak Pandir merupakan watak yang ditimpa malang, sama seperti nasib Lebai Malang, Pak Kaduk dan Mat Jenin Nasib malang itu adalah akibat dari kebodohan mereka sendiri. Mereka telah melakukan perbuatan-perbuatan yang merugikan diri sendiri. Begitu juga  seloka Mak Si Randang adalah berdasarkan cerita rakyat masyarakat Minangkabau yang mengisahkan seorang ibu yang terlalu pemurah dan sanggup memberikan segala yang ada kepada orang lain. 
Kebodohan Pak Pandir diungkapkan melalui seloka ”Pandai Pak Pandir”
Pandai Pak Pandir
Anak dipijak,dagang dijinjing
Kucing dibunuh, tikus dibela
Harta habis, badan tergadai
Mendengar gelagak dagang
Tak sedar bertelanjang
Mendengar guruh di langit
Air tempayan dicurahkan
Mulut kena suap pisang
Buntut kena cangkuk onak
Gunting makan di hujung
Pak Pandir juga yang menanggung
Apa didengar gelagat dagang
Gelagak rambutan jantan
Orang berbunga dia berbunga
Orang berbuah dia haram
Kilat memancar hujang tak lalu
Awak juga berkecundangan

Pengucapan Seloka ini diperteguhkan dengan peribahasa dan ciri-ciri  bahasa figuratif  untuk menyampaikan kisah Pak Pandiri yang kerana kebodohan dan kebaikannya yang melampau itu, mudah ditipu. Sifatnya yang mudah percaya kepada orang asing itu digambarkan melalui:Mendengar gelagak dagang,Tak sedar bertelanjang. Akibatnya, harta habis,badan tergadai. Pak Pandir juga sering mengambil risiko tanpa berfikir panjang. Hal ini digambarkan melalui peribahasa Mendengar guruh di langit,Air tempayan dicurahkan. Ternyata dagang yang dijinjingnya adalah penipu yang licik yang berpura-pura baik Hal ini dijelaskan melalui ungkapan mulut kena suap pisang,Buntut kena cangkuk onak,dan gunting makan di hujung Pak Pandir juga yang menanggung. Kehidupan yang tidak berhasil dikiaskan pula kepada  rambutan jantan Orang berbunga dia berunga Orang berbuah dia haram.
Bahasa Puisi di Luar Puisi

Oleh kerana penggunaannya yang meluas di dalam puisi, maka bahasa figuratif sering dirujuk sebagai Bahasa Puisi. Namun adalah tidak tepat  jika kita menganggap bahawa bahasa figuratif hanya terbatas di dalam puisi sahaja. Malah kita menggunakan bahasa figuratif di dalam percakapan seharian dan di dalam tulisan tulisan yang bukan puisi, misalnya berita dan rencana di dalam akhbar.
Justeru itu juga adalah tidak benar untuk menganggap bahawa Bahasa yang digunakan di dalam puisi adalah terlalu asing daripada bahasa yang digunakan sehari-hari.
Sebenarnya bagai penulis puisi saya sering diajak ber’gaduh’ oleh  orang-orang yang secara terang terangan mengatakan mereka tidak suka puisi dan tidak suka penyair.  Mereka bertanya apakah gunanya penyair menggunakan bahasa figurative seperti metafora yang kata mereka menyukarkan pemahaman. Kata mereka, “penyair tidak mengambil highway tetap jalan yang lebih panjang” Nah bukankah mereka juga menggunakan metafora?
Bahasa Figuratif dalam  Percakapan seharian
Bahasa bahasa figuratif ini digunakan walaupun di dalam percakapan seharian. Adalah perkara biasa apabila  seseorang  berjumpa dengan kawan  yang jarang-jarang ditemui untuk  berkata “Kau ni ke mana tenggelam timbul, tenggelam timbul”. Ini adalah bahasa figuratif . Bila tidak kelihatan di samakan dengan keadaan tenggelam dan bila dia dapat ditemui keadaan timbul. Ini adalah bahasa figuratif kerana tidak mungkin orang yang kita maksudkan atau kawan itu hidup di dalam air.
Bahasa Figuratif dalam tulisan kewartawanan
Penulisan kewartawanan juga memerlukan bahasa figuratif. Pada umumnya  penulisan di dalam  media massa yang sasarannya adalah masyarakat umum dari semua lapisan dan latarbelakang pendidikan. Ia berbeza dari jurnal akademik atau majalah-majalah sastera (umpamanya Dewan Sastera) yang mempunyai audien tertentu iaitu golongan akademik dan penulis dan peminat sastera yang khusus.
Adalah perkara biasa menemui ungkapan yang berupa metafora dan ciri-ciri bahasa figuratif yang lain di dalam akhbar.  Ini membuktikan  bahawa bahasa figuratif sentiasa diperlukan untuk menyampaikan maksud dengan lebih berkesan. Bahkan boleh dikatakan bahawa akhbar memainkan peranan di dalam mencipta dan memperluaskan penggunaan bahasa figuratif. Pada masa ini muncul metafora baru seperti pengundi hantu, banjir kilat, syarikat gergasi, perhimpunan raksasa, akar umbi dan lompat parti.  
Ayat-ayat yang biasa ditemui ialah seperti “Kuala Lumpur dilanda banjir kilat”. Di dalam ayat ini banjir merujuk kepada keadaan banjir biasa tetapi kilat tidak bermaksud kilat yang menyabung di langit tetapi merujuk kepada kecepatan banjir itu berlaku.  Terjumpa juga tajuk berita “Aceh bermandi darah”  sebagai tajuk berita tentang kekacauan di Aceh. Frasa ini adalah hiperbola kerana tidak mungkin seluruh Aceh dilumuri atau dimandikan dengan darah. Terbaca juga kenyataan “Negara Islam bercakaran sesama sendiri” yang merupakan penggunaan personifikasi. Objek yang tidak bernyawa iaitu negara digambarkan melakukan perbuatan sebagai objek bernyawa  iaitu bercakaran.Dalam bahasa tidak figuratif ia berbunyi negara Islam bersengketa sesama sendiri. Frasa lain ialah seperti ‘pertemuan empat mata’ untuk menyatakan perbincangan biasanya di antara Ketua Negara yang diadakan secara tertutup. Ini adalah penggunaan pars pro toto, iaitu menyebut sebahagian (empat mata) dengan maksud keseluruhan orang-orang yang terbabit.
Di bawah ialah contoh-contoh yang dapat dikutip dari akhbar:
1-     ‘Azizulhasni dihantui kecederaan lutut’ (Utusan Malaysia, 21 Julai 2008)
Ayat di atas adalah tajuk kepada berita tentang seorang pelumba basikal yang bimbang tidak dapat mengambil bahagian  di sukan Olimpik kerana lututnya cedera ketika menjalani latihan di Sepanyol. Perkataan dihantui adalah metafora untuk menggantikan perkataan takut dan bimbang. Hantu ialah sesuatu yang ditakuti. Ia mempunyai hubungan dengan ketakutan yang dirasai oleh Azizulhasni.
2-    ‘ICC  berat sebelah kata Liga Arab’. (Utusan Malaysia, 21 Julai 2008)
Tajuk berita ini menerangkan resolusi yang dikeluarkan oleh Negara-negara Arab yang mengkirtik Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang tidak bersikap adil. Ungkapan ‘berat sebelah’ ialah peribahasa yang bermaksud tidak bersikap adil dan saksama
3-    Eto dapat lampu hijau (Utusan Malaysia, 21 Julai 2008)
Tajuk ini adalah mengenai pemain bola sepak Barcelona yang dibenarkan merundingkan perpindahannya dari kelab itu. Lampu hijau adalah objek yang dikaitkan dengan mendapat kelulusan atau kebenaran untuk berbuat sesuatu. Ia  diistilahkan sebagai metonimi iaitu menyebut sesuatu objek untuk memperkatakan sesuatu yang lain yang ada kaitan dengannya.
4-    Liverpool palit arang di muka MU ( Berita Minggu, 14 September 2008)
Tajuk berita ini menggambarkan keadaan pasukan bola sepak Manchester United yang telah dikalahkan oleh Liverpool. Penulis menggunakan simpulan bahasa  “ palit arang di muka” bagi menguatkan maksud memberi malu.
5-    Entah berapa ribu jam masa rakyat dihabiskan untuk bertekak dan berbalah mengenai hal dalam kain orang politik- (Mingguan Malaysia 13 Julai 2008
Ayat ini dipetik dari rencana mantan Mufti Perlis Dr.Mohd Azri Zainal Abidin yang memperkatakan tentang hal ehwal politik semasa khasnya pelbagai skandal yang dikaitkan dengan pemimpin politik. Hal dalam kain merujuk kepada pelbagai isu atau cerita yang bersifat peribadi

6-    Hari ini Sukan Olimpik ke 29 menyingkap tirainya- ( Sinar Harian, 8 Ogos 2008).
Ayat ini memberi maklumat bahawa sukan olimpik 29 telah bermula.Permulaan itu digambarkan dengan ungkapan menyingkap tirai. Umum mengetahui bahawa tidak mungkin adanya tirai dalam upacara pembukaan olimpik. Ia adalah metonimi iaitu penyebutan sesuatu objek yang dikaitkan dengan sesuatu perkara.
7-      MB Perak Hanya Boneka (Utusan Malaysia 21 Julai 2008),
Ayat di atas merupakan tajuk surat yang disiarkan dalam ruangan Forum.Penulis ini memberi pendapat bahawa Menteri Besar Perak tidak dapat menjalankan tugasnya dengan baik, sebaliknya hanya mengikut arahan orang-orang tertentu.
8-      England Kian Terdesak  (Mingguan Malaysia 11 November 2007)
Petikan di atas adalah tajuk berita tentang skuad bola sepak England yang menghadapi masalah untuk menang. Di sini terdapat penggunaan Totem pro parte iaitu menyebut keseluruhan England dengan maksud pasokan bola sepaknya sahaja.
9-    “Perdana Menteri berkata gabungan Pembangkang tidak pernah satu pun berjaya kerana masing-masing bersikap talam dua muka” ( Utusan Malaysia 6 Disember 2010)
 Di sini dilihat bagaimana Perdana Menteri telah menggunakan peribahasa dalam ucapannya
Sasterawan Melayu telah mencipta karya sastera dan menyatakan reaksi mereka terhadap kejadian di sekeliling dengan menggunakan pelbagai perlambangan dari objek alam. Hal ini menepati kehendak Islam kerana berkata dengan terus terang adalah sesuatu yang tidak menepati kehendak Allah SWT seperti mana yang telah dijelaskan melalui ayat yang bermaksud “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang)” (An-Nisa’:48)
Bahasa figuratif bukan sahaja terhad kepada puisi atau karya-karya sastera yang lain. Penggunaannya di dalam akhbar menunjukkan bahawa bahasa figuratif diperlukan oleh semua pihak untuk memberi kekuatan kepada kenyataan yang disampaikan. Penggunaan metafora, simile, personifikasi, dan sebagainya di dalam akhbar boleh dijadikan  penunjuk atau indikator bahawa gaya bahasa figuratif adalah  diterima dan diperlukan oleh masyarakat.