ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Saturday, October 04, 2014

SUMBANGAN JOHOR DALAM PERKEMBANGAN PUISI MELAYU MODEN


24 dan 25 September aku di Johor Baru. Ingatan dan kenangan masih segar pada kawan2 dan seminar yang diadakan. Seminar JOHOR DALAM PERSURATAN MELAYU itu diadakan di Institut Perguruan Temenggong Ibrahim.  Di bawah ini petikan dari kertaskerjaku "Sumbangan Johor DAlam Perkembangan Puisi Melayu Moden".


PENYAIR JOHOR SELEPAS USMAN AWANG DAN  ZAM ISMAIL.
 Sehingga kini Johor melahirkan ramai penyair seperti nama-nama yang telah disebut di atas, yang sudah tentu tidak dapat dinyatakan semuanya di sini.  Saya berhasrat untuk menyebut  hanya beberapa buah sajak yang telah meninggalkan kesan kepada saya sebagai pembaca. Bagaimana sesebuah karya sastera meninggalkan kesan? Kesan ditinggalkan oleh Pemikiran yang berjaya mengusik perasaan. Seperti mana yang diketahui sebuah karya kreatif kerana mengandungi dua komponen iaitu Pemikiran dan Perasaan. Pemikiran adalah mesej dan gagasan yang hendak disampaikan oleh Penyair diadun  oleh gaya pengucapan atau bahasa.   Isi yang hendak disampaikan tidak akan wujud tanpa pemikiran. Untuk menghasilkan sebuah puisi yang baik, seorang penyair mestilah memiliki keberanian untuk mengemukakan sesuatu idea dan pemikiran baru dan bersedia untuk melakukan inovasi dan pembaharuan. Penyair harus memiliki kebijaksanaan dengan penuh kesedaran dan bergerak dalam landasan keilmuan. Saya ingai menyentuh beberapa buah puisi tanpa berlandaskan mana-mana teori secara ketat (rigid)

Saya teringat sebuah sajak berjodol SESAL ORANG MELAKA yang ditulis oleh Irwan Abu Bakar. Saya telah beberapa kali membicarakannya termasuk di dalam buku “Catatan Perjalanan Seni Zurinah Hassan” (itbm 2013)

Terus bertikam dua pahlawan
pahlawan Melayu pembela Melaka
mana gagah mana perkasa
kami bertelagah di bawah rumah.

Mati seorang ditikam rakan
seorang lagi layu terkilan
terbunuhlah dua pahlawan Melayu.

Sesalnya kami orang Melaka
menanggung dosa di bawah rumah
tidak berguru mengurus sengketa
tamak menjaga perut sendiri
dua pahlawan dibiarkan mati.

           (Irwan Abu Bakar, Dewan Sastera, Oktober 1997)



Islah Melayu karya Shapiai Muhammad Ramly

Semangatmu telah terjun ke kutub kutub
Belayar mengelilingi dunia
Merenangi selat Inggeris
Mengharung angkasa menawan everest
Siapa tidak kenal Melayu
Politiknya berpupurkan resah
Bagaimana menjatuhkan lawan
Bukan bagaimana memerintah.
Benarlah
Yang membunuh Hang Nadim bukan raja
Tetapi Melayu
Yang membunuh Jebat bukan Tuah
Tetapi Melayu
Kerismu itu
Pamor bisa hasadnya
Membunuh Melayu sendiri

Bahasamu itu
Hanya bahasa perpaduan
Bukan lagi bahasa ilmu
Sasterawan itu
Tersembunyi di bawah lipatan
Malu-malu
Tanahmu itu
Bukan lagi tanah ketuanan Melayu
Kini sudah diratakan
‘untuk dijual”.

(Kelarai Kehidupan, 2013, Dewan Bahasa dan Pustaka: 66)

            Dua sajak di atas berkisar dari kebimbangan melihat situasi semasa bangsa Melayu. “Sesal Orang Melaka”  adalah tulisan Irwan Abu Bakar seorang Professor  Kejuruteraan kelahiran Segamat yang lebih dikenali kerana penglibatannya dengan sastera maya atau e sastera. Kedua duanya memperlihatkan bagaimana Sejarah dan  legenda mempengaruhi pemikiran pengarang-pengarang semasa.  Hikayat lama yang dibaca atau didengar semasa kecil  meninggalkan kesan dan dipendam di dalam fikiran dan diingat kembali bila berhadapan dengan situasi semasa.  Lalu Penyair  menulis cerita baru yang manyangkut cerita lama itu. Dengan kata lain Pengarang semasa  telah menggunakan cerita-cerita lama  untuk memberi makna kepada isu-isu semasa. Pembinaan jalur pemikiran seperti ini menyangkut Teori Interteks dan Historisisma antara lain, telah dihuraikan oleh Mana Sikana di dalam beberapa tulisannya.  Hal ini juga merujuk kepada pembacaan sebagai sumber penting pemikiran puitis.  Sebuah buku atau karya yang telah banyak memberi rangsangan kepada pembenihan karya ialah buku Sejarah Melayu. Edisi yang popular ialah yang diusahakan oleh W.G.Shellabear (Siri Kajian Sastera Fajar Bakti). Edisi ini  lebih banyak dibaca dan digunakan mungkin kerana bukunya tidak tebal dan lebih mudah didapati untuk bacaan santai berbanding dengan karya-karya warisan yang lain seperti Hikayat Raja Pasai atau Hikayat Hang Tuah..

             Irwan Abu Bakar telah menggunakan peristiwa tragis pertikaman Tuah-Jebat. Peristiwa pertikaman ini bukanlah perkara baru dalam penulisan kreatif semasa tetapi yang menariknya dalam sajak ini ialah Penyair ini tidak membesarkan pencarian wira atau makna setia dan durhaka seperti yang mendasari beberapa karya kreatif sebelum ini. Sebaliknya Irwan Abu Bakar menggunakan episod ini i untuk menyatakan tentang pemimpin yang berpecah belah dan rakyat yang leka menonton perbalahan itu.  Sajak ini tidak menggambarkan pertikaman itu tetapi lebih banyak mengisahkan perihal orang-orang Melaka yang menonton di bawah istana.

            Dalam sajak “Islah Melayu”, Shapiai Muhammad Ramly menggambarkan situasi yang menggerunkan tentang keadaan  masa depan Melayu yang tergugat. Walaupun pada zahirnya bangsa Melayu dan bangsa Malaysia sedang melakukan penjelajahan ke tempat-tempat mencabar seperti “ terjun ke kutub kutub, belayar mengelilingi dunia, merenangi Selat Inggeris, Mengharung angkasa dan menawan Everest. Namun itu semua tidak dapat melindungi kecatatan sebenar di bidang politik dan perpaduan yang luntur. Kata Penyair, “ siapa tidak kenal Melayu/ Politiknya berpupurkan resah/ bagaimana menjatuhkan lawan /Bukan bagaimana memerintah.”

            Seperti Irwan Abu Bakar,  Shapiai juga membina pemikirannya dari  kisah Sejarah Melayu. Yang ketara di dalam sajak ini ialah  episod Singapura di langgar todak, budak yang dibunuh kerana kecerdikannya dan pembesar-pembesar yang menghasut Sultan  Beginilah caranya Melayu membunuh Melayu sehingga ke masa kini.  Melayu membunuh bangsa Melayu dan Bahasa Melayu,  tanah yang dibangga-banggakan sebagai tanah pusaka, bukti ketuanan Melayu sedang “diratakan untuk dijual” . Ketika itu para sasterawan mengawal suara atau diam membisu. Lalu dirumuskan bahawa yang membunuh Nadim, Jebat dan segala yang bergelar Melayu adalah hasad dengki Melayu itu sendiri.  

            Seorang lagi yang mahu disentuh di sini ialah Nazim  Mohd Subari ,  penulis puisi moden dan tradisional yang tekun. Kumpulan puisinya ialah Gambus Tandus (PPJ, 1998) Serunai Damai (Penerbitan Pustaka Nusa, 2003), Harga Budi (Penerbitan Pustaka Nusa, 2009) Harga Maruah (Penerbit Mentari, 2013) dan Sawah di Tengah Kota (Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, 2014). Pada tahun 2009, beliau menerima Hadiah Cipta Karyawan Muda Johor sempena Hadiah Sastera Darul Takzim ke-7.

DI GERAI MASA

Berkunjung ke gerai masa
di penghujung zaman ini
kulihat ada manusia
berebut menjadi pembeli
pada mimpi tak pasti
pada angan tak berkesudahan
pada kata-kata tak bermakna.
                                       

Dalam keriuhan
aku termangu menghitung kerugian
dari setiap saat yang mengalir
dari setiap waktu yang berlalu
manusia diterpa debu
di persimpangan jalan keliru.


Masa bagai tiada harganya lagi
lebur di tangan peleka
luntur di bibir pendusta
sirna di abad penuh pesona.


Memenangi Hadiah Penghargaan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005.
(Sawah di Tengah Kota, ITBM, 2014)

Pemikiran dalam puisi ini adalah hasil renungan Nazim tentang keadaan manusia yang semakin mengejar atau dikejar oleh masa pada zaman ini. Tajuk sajak ini merupakan sebuah metafora yang menarik iaitu ”gerai masa” yang membawa pengertian dan menggambarkan ’masa’ sebagai komoditi yang boleh dijual beli. Sudah pasti ini adalah bentuk ’sindiran’ kepada manusia yang meremehkan  masa dan tidak menghargainya sedangkan Waktu atau Masa sangat penting dan  manusia diminta menghargai waktu. Di dalam kitab suci Al-Quran terdapat sekian banyak ayat yang menyeru manusia untuk menghargai masa. Manusia diingatkan supaya merenungi kejadian peredaran waktu yang dicipta oleh Allah. Segala kejadian yang dicipta oleh Allah mempunyai makna dan memberi iktibar bagi orang yang mahu berfikir, seperti yang terkandung di dalam ayat yang bermaksud; “Allah menukarkan malam dan siang silih berganti, sesungguhnya yang demikian mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang celik matahatinya iaitu berfikir (Surah An-Nur, ayat 44).      

Telaga Insani
(Shamsuddin Othman)


Aku rumput
Engkau embun
Kita berdakapan
Saat subuh berlabuh
Menitipkan zikir dan rindu
Ke kebun insaniahku.

Tapi tahukan engkau
Tika matahari
Tumbuh di dahan waktu
Kita terpaksa berpisah
Pada garis kesal
Yang tak berjawapan

Aku rumput
Engkau embun
Ada resah menyapa
Tika terik matahari
Menghadiahkan selembar hangat
Dan kita tiba-tiba dahagakan rindu
Titis dingin telaga
Yang membening
Di sujud kesal.
(Taman Maknawi  itbm 2014).


Seorang lagi penyair berbakat besar dan berpotensi ialah Shamsuddin Othman. Dan saya sangat tertarik dengan sajak Telaga insani di atas. Tarikan itu ialah kerana penggunaan unsur alam yang dapat menyampaikan makna dan membangkitkan suasana. Kata kata yang digunakan membawa imej yang bukan saja segar di pandangan tapi membawa kesan sentuhan.  Dengan kata lain kata-kata yang membawa kesan visual dan kesan rasa. Telaga, embun, subuh adalah kata-kata yang membawa rasa  kesejukan. Ini ditambah dengan suasana teduh dari Rumput dan kebun. Maka sesuai pula bagi menggambarkan kasih sayang dengan kata  berdakapan. Namun sebagai sebuah ‘cerita’ ia melalui ‘konflik’ dan konflik itu didatangkan oleh kehangatan matahari. Matahari tumbuh di dahan waktu bersama  kehidupan yang terus mengalami pertumbuhan dan perubahan. Unsur emosi digambarkan pula dengan rasa ‘rindu’ dan ‘kesal’. Namun semuanya mencari jalan pulang dengan ‘bersujud’ kepadaNya.

           Telaga Insani dimuatkan dalam antologi yang memenangi tempat ketiga Sayembara ITBM. Telaga Insani, seperti sajak-sajak lain di dalam antologi ini adalah adunan unsur alam dan unsur dakwah yang merupakan dua komponen penting dalam puisi Melayu moden dan tradisi. Pada keseluruhannya, puisi-puisi merupakan cetusan idea daripada  renungan penyair terhadap alam yang membawa makna kehidupan,  khasnya makna kewujudan dirinya sebagai hamba Allah SWT dan juga  peranan serta tanggungjawabnya sebagai khalifah Allah di bumi ini. 
          


No comments:

Post a Comment