BAHASA FIGURATIF PEMANIS BICARA
Oleh:
Zurinah Hassan.
RENCANA ini disiarkan di Dewan Sastera, Oktober 2011 hlm. 24- 28
RENCANA ini disiarkan di Dewan Sastera, Oktober 2011 hlm. 24- 28
Dalam usaha
menulis rencana ini saya teringat satu adegan dalam filem Seniman Bujang Lapok
(arahan P.Ramlee, 1961) . Adegan itu ialah ketika Ramlee, Sudin dan Aziz pergi
ke studio Jalan Ampas untuk meminta kerja sebagai pelakon filem. Sudin mendekati
Pengawal Keselamatan (Jaga) yang bertugas, memanggilnya ”hoi, hoi” untuk bertanya sesuatu.
Jaga (seorang Singh) tidak menjawab
tetapi kemudian merungut ”Nama saja Melayu, sedikit bahasa pun tak ada”. Mereka merasa malu dan Ramlee berkata ”Betul
kata Singh itu, bahasa menunjukkan bangsa tau”.
Walaupun dialog
ini dituturkan di dalam filem komedi, ia sebenarnya mempunyai makna dan
implikasi yang penting. Dialog ”nama saja Melayu, sedikit bahasa pun tidak ada”
menunjukkan bahawa si Jaga sangat terkejut dengan perangai Sudin yang tidak
menunjukkan ciri-ciri keMelayuan kerana pada anggapannya (dan anggapan umum)
orang Melayu biasanya bertutur dengan bahasa yang baik dan sopan.
Ramlee menjawab
”Bahasa menunjukkan Bangsa” . Apakah maksud kata-kata ini? Bahasa menunjukkan
Bangsa menunjukkan adanya hubungan yang sangat rapat antara bahasa dan bangsa yang menuturkannya.
Cara seseorang menggunakan bahasa mencerminkan pemikiran dan perilakunya. Cara
seseorang memahami sesuatu perkataan juga bergantung kepada pengalaman
bangsanya yang berlainan daripada bangsa-bangsa lain. Misalnya seorang Melayu memahami perkataan ’dunia’ tidak sama seperti
dia memahami perkataan ’world’ . Bila
menyebut ’dunia’ dia akan membayangkan dunia yang fana yang bertentangan dengan
akhirat yang abadi. Tetapi bila menyebut world dia mungkin membayangkan pelbagai
negara yang ada di dalam peta dunia.
Keindahan,
kehalusan dan pemikiran Melayu terpancar di dalam bahasanya. Umumnya keindahan bahasa
dapat dilihat di dalam penggunaan Bahasa Figuratif. Sesuatu ayat atau prasa di
klasifikasikan sebagai figuratif apabila
terdapat perkataan yang membawa makna lain daripada makna biasa yang telah
diterima oleh massa atau makna yang berbeza daripada yang diberikan oleh Kamus.
Bahasa
figuratif digolongkan sebagai bahasa
kiasan.(Harun Mat
Piah,1981:224) atau secara umum disebut juga sebagai bahasa berbunga.
Karya-karya
sastera Melayu baik karya tradisional atau karya-karya moden memperlihatkan
penggunaan Bahasa figuratif . Bahasa figuratif lebih diasosiakan dengan puisi
baik puisi tradisional atau puisi moden. Penelitian terhadap penggunaan
bahasa di dalam pelbagai jenis puisi Melayu seperti pantun, syair,seloka, gurindam,
teromba, maupun peribahasa Melayu telah dapat menyerlahkan kekreatifan dan
ketinggian pemikiran bangsa Melayu. Dengan menggunakan bahasa yang figuratif orang
Melayu telah menyebarkan falsafah pemikiran dan ilmu pengetahuan,
Bahasa adalah wadah yang menampung fikiran
yang dinyatakan di dalam karya sastera. Sebuah karya sastera terdiri
dari ‘isi’ dan ‘bentuk’. Isi sebuah karya bermaksud mesej, tema, pemikiran,
perasaan, ide dan gagasan yang ingin disampaikan oleh pengkarya. Yang
dimaksudkan dengan ‘bentuk’ ialah wadah atau perantaraan yang digunakan untuk
menyampaikan isi. Perantaraan bagi penyair ialah bahasanya. Cara penyair
menggunakan bahasa disebut sebagai gaya bahasa. Gaya bahasa seorang penyair
memperlihatkan identiti seorang penyair atau ciri yang membezakannya dari
penyair-penyair lain.
Para
sarjana mengakui hubungan yang rapat di antara bahasa dan karya sastera. Bahasa
di dalam sastera digunakan dengan cara yang khusus seperti pendapat Steiner
(1972) “Sastera adalah bahasa, tetapi bahasa dalam keadaan penggunaan yang
khusus” Boleh dirumuskan bahawa bahasa di dalam sastera digunakan dengan cara
yang istimewa. Cici-ciri keistimewaan ini lebih terkesan lagi di dalam puisi.
Penggunaa bahasa di dalam puisi lebih bertujuan untuk menyentuh emosi pembaca.
Hal
ini dikui oleh Bakar Hamid “Adalah menjadi anggapan umum bahawa ucapan puisi
bertujuan untuk membangkitkan perasaan dan kerana itu dialamatkan kepada emosi
dan imaginasi sedangkan ucapan prosa lebih
bertujuan untuk menyampaikan berita dan
lantaran itu ditujukan kepada intelek. Pada dasarnya dapatlah diterima bahawa
puisi lebih mementingkan unsur-unsur emosi dan imaginasi dari prosa’ (A.Bakar
Hamid 1966)
Dalam
perkataan Terry Eagelton “Karya sastera itu memperkaya dan mengubah makna-makna
yang diberikan oleh kamus” (Eagelton, 1988:112) Di dalam ayat figuratif
terdapat penggunaan gaya bahasa seperti
metafora, simile, personifikasi, hiperbola, sinekdoki, Pars pro toto-
totem pro parte-metonimi atau diselitkan dengan simpulan bahasa.
·
Metafora- menyebut sesuatu dengan maksud yang
lain
·
Simile- membandingkan sesuatu dengan yang
lain.
·
Personifikasi- memberi sifat-sifat manusia kepada
objek-objek yang tidak bernyawa
·
Hiperbola- menerangkan tentang sesuatu dengan
cara yang berlebih-lebihan yang tidak logik jika pengertiannya diambil secara
harfiah,
·
Pars pro toto- menyebut sebahagian dengan maksud
keseluruhan.
·
Totem pro parte-menyebut keseluruhan dengan maksud
sebahagian.
·
Metonimi – menyebut sesuatu objek dengan
maksud sesuatu yang lain, yang berkait rapat dengannya. Misal sasterawan itu
sangat tajam penanya
Penelitian
terhadap puisi Melayu tradisional termasuklah
pantun, syair, seloka, gurindam,
nazam. akan menyerlahkan penggunaan
Bahasa Figuratif . Pada umumnya, pantun dan syair lebih terkenal dan sangat
jelas dari segi ciri dan strukturnya.
Manakala jenis-jenis yang lain lebih dikenali melalui isinya dan tujuan ia dikarang. Secara
ringkas :
·
Gurindam : menyampaikan nasihat dan panduan,
·
Nazam: menyampaikan kisah dan puji-pujian terhadap Allah
dan Nabi Muhammad s.a.w.,
·
Teromba: menyampaikan perbilangan adat dan peraturan
bermasyarakat,
·
Seloka : menyampaikan kritikan dan sindiran terhadap
sesuatu kepincangan yang berlaku di dalam masyarakat.Kritikan dan sindiran ini
amat tajam dan disampaikan secara berlapik dan berkias dalam nada bergurau.
Selain puisi,
penggunaan Bahasa Figuratif juga sinonim dengan Peribahasa. Peribahasa mencerminkan struktur sosial bangsa Melayu lama, sikap,
aktiviti kehidupan serta falsafah hidup yang dianuti. Peribahasa memancarkan
hati budi orang Melayu, sikap dan perwatakan (Wilkinson, 1947) tentang alam dan
kehidupan yang mereka tempuhi.
Penggunaan
peribahasa akan lebih memperindah gaya
pengucapan dan menimbulkan daya tarikan.Ungkapan atau rangkaian perkataan yang
telah tetap tersimpul atau terbuku dengan susunan yang khas dipakai dengan erti yang khas atau telah
diterima oleh masyarakat.
Penulis ingin menyentuh salah satu cabang puisi
tradisional iaitu seloka. Seloka tidak mempunyai struktur yang khas seperti
pantun atau syair. Mengikut Zaaba,
seloka ialah karangan berangkap yang memakai pertentangan bunyi hujung
(rima) yang tiada tetap. Bilangan baris pada sebuah seloka adalah tidak terhad dan
bilangan baris pada satu rangkap juga tidak menentu. Seloka juga tidak
mempunyai skima rima yang tetap. Oleh itu boleh dikatakan seloka lebih mirip
kepada ciri free verse iaitu bentuk
puisi moden yang dikenali sebagai sajak pada masa ini.
Walaupun tidak
diketahui siapa pengarangnya, namun dari seloka yang kita warisi, terbukti
bahawa pengarang seloka adalah pemikir yang amat tajam pemerhatiannya terhadap
alam dan masyarakat di sekeliling. Mereka peka terhadap segala yang berlaku
lalu menyampaikan teguran dan kritikan. Pengarang seloka menggunakan
perbandingan dan tamsilan seperti perumpamaan, metafora, simile dan
personifikasi yang kaya dengan imej alam yang perlu ditafsir untuk mengetahui maksud sebenar sesebuah
seloka.
Salah satu seloka ialah seloka Pak
Pandir. Pak Pandir merupakan watak yang ditimpa malang, sama
seperti nasib Lebai Malang, Pak Kaduk dan Mat Jenin Nasib malang itu adalah
akibat dari kebodohan mereka sendiri. Mereka telah melakukan
perbuatan-perbuatan yang merugikan diri sendiri. Begitu juga seloka Mak Si Randang adalah berdasarkan
cerita rakyat masyarakat Minangkabau yang mengisahkan seorang ibu yang terlalu
pemurah dan sanggup memberikan segala yang ada kepada orang lain.
Kebodohan Pak
Pandir diungkapkan melalui seloka ”Pandai Pak Pandir”
Pandai Pak Pandir
Anak dipijak,dagang dijinjing
Kucing dibunuh, tikus dibela
Harta habis, badan tergadai
Mendengar gelagak dagang
Tak sedar bertelanjang
Mendengar guruh di langit
Air
tempayan dicurahkan
Mulut
kena suap pisang
Buntut kena cangkuk onak
Gunting makan di hujung
Pak Pandir juga yang menanggung
Apa didengar gelagat dagang
Gelagak rambutan jantan
Orang berbunga dia berbunga
Orang
berbuah dia haram
Kilat
memancar hujang tak lalu
Awak
juga berkecundangan
Pengucapan Seloka ini diperteguhkan
dengan peribahasa dan ciri-ciri bahasa
figuratif untuk menyampaikan kisah Pak
Pandiri yang kerana kebodohan dan kebaikannya yang melampau itu, mudah ditipu. Sifatnya
yang mudah percaya kepada orang asing itu digambarkan melalui:Mendengar gelagak dagang,Tak sedar
bertelanjang. Akibatnya, harta habis,badan tergadai. Pak Pandir juga
sering mengambil risiko tanpa berfikir panjang. Hal ini digambarkan melalui
peribahasa Mendengar guruh di langit,Air
tempayan dicurahkan. Ternyata dagang
yang dijinjingnya adalah penipu yang licik yang berpura-pura baik Hal ini
dijelaskan melalui ungkapan mulut kena
suap pisang,Buntut kena cangkuk onak,dan gunting makan di hujung Pak Pandir juga yang menanggung. Kehidupan
yang tidak berhasil dikiaskan pula kepada rambutan jantan Orang berbunga dia berunga Orang berbuah dia haram.
Bahasa
Puisi di Luar Puisi
Oleh
kerana penggunaannya yang meluas di dalam puisi, maka bahasa figuratif sering
dirujuk sebagai Bahasa Puisi. Namun adalah tidak tepat jika kita menganggap bahawa bahasa figuratif hanya
terbatas di dalam puisi sahaja. Malah kita menggunakan bahasa figuratif di
dalam percakapan seharian dan di dalam tulisan tulisan yang bukan puisi,
misalnya berita dan rencana di dalam akhbar.
Justeru
itu juga adalah tidak benar untuk menganggap bahawa Bahasa yang digunakan di
dalam puisi adalah terlalu asing daripada bahasa yang digunakan sehari-hari.
Sebenarnya
bagai penulis puisi saya sering diajak ber’gaduh’ oleh orang-orang yang secara terang terangan
mengatakan mereka tidak suka puisi dan tidak suka penyair. Mereka bertanya apakah gunanya penyair
menggunakan bahasa figurative seperti metafora yang kata mereka menyukarkan
pemahaman. Kata mereka, “penyair tidak mengambil highway tetap jalan yang lebih
panjang” Nah bukankah mereka juga menggunakan metafora?
Bahasa Figuratif dalam Percakapan seharian
Bahasa
bahasa figuratif ini digunakan walaupun di dalam percakapan seharian. Adalah
perkara biasa apabila seseorang berjumpa dengan kawan yang jarang-jarang ditemui untuk berkata “Kau ni ke mana tenggelam timbul,
tenggelam timbul”. Ini adalah bahasa figuratif . Bila tidak kelihatan di
samakan dengan keadaan tenggelam dan bila dia dapat ditemui keadaan timbul. Ini
adalah bahasa figuratif kerana tidak mungkin orang yang kita maksudkan atau
kawan itu hidup di dalam air.
Bahasa
Figuratif dalam tulisan kewartawanan
Penulisan
kewartawanan juga memerlukan bahasa figuratif. Pada umumnya penulisan di dalam media massa yang sasarannya adalah masyarakat
umum dari semua lapisan dan latarbelakang pendidikan. Ia berbeza dari jurnal
akademik atau majalah-majalah sastera (umpamanya Dewan Sastera) yang mempunyai
audien tertentu iaitu golongan akademik dan penulis dan peminat sastera yang
khusus.
Adalah
perkara biasa menemui ungkapan yang berupa metafora dan ciri-ciri bahasa figuratif
yang lain di dalam akhbar. Ini membuktikan
bahawa bahasa figuratif sentiasa
diperlukan untuk menyampaikan maksud dengan lebih berkesan. Bahkan boleh
dikatakan bahawa akhbar memainkan peranan di dalam mencipta dan memperluaskan
penggunaan bahasa figuratif. Pada masa ini muncul metafora baru seperti
pengundi hantu, banjir kilat, syarikat gergasi, perhimpunan raksasa, akar umbi
dan lompat parti.
Ayat-ayat
yang biasa ditemui ialah seperti “Kuala Lumpur dilanda banjir kilat”. Di dalam
ayat ini banjir merujuk kepada keadaan banjir biasa tetapi kilat tidak
bermaksud kilat yang menyabung di langit tetapi merujuk kepada kecepatan banjir
itu berlaku. Terjumpa juga tajuk berita
“Aceh bermandi darah” sebagai tajuk berita tentang kekacauan di
Aceh. Frasa ini adalah hiperbola kerana tidak mungkin seluruh Aceh dilumuri
atau dimandikan dengan darah. Terbaca juga kenyataan “Negara Islam bercakaran sesama sendiri” yang
merupakan penggunaan personifikasi. Objek yang tidak bernyawa iaitu negara
digambarkan melakukan perbuatan sebagai objek bernyawa iaitu bercakaran.Dalam bahasa tidak figuratif
ia berbunyi negara Islam bersengketa sesama sendiri. Frasa lain ialah seperti
‘pertemuan empat mata’ untuk menyatakan perbincangan biasanya di antara Ketua
Negara yang diadakan secara
tertutup. Ini adalah penggunaan pars pro toto, iaitu menyebut sebahagian (empat
mata) dengan maksud keseluruhan orang-orang yang terbabit.
Di
bawah ialah contoh-contoh yang dapat dikutip dari akhbar:
1- ‘Azizulhasni dihantui kecederaan lutut’ (Utusan Malaysia, 21 Julai 2008)
Ayat
di atas adalah tajuk kepada berita tentang seorang pelumba basikal yang bimbang
tidak dapat mengambil bahagian di sukan
Olimpik kerana lututnya cedera ketika menjalani latihan di Sepanyol. Perkataan dihantui adalah metafora untuk
menggantikan perkataan takut dan bimbang. Hantu ialah sesuatu yang ditakuti. Ia
mempunyai hubungan dengan ketakutan yang dirasai oleh Azizulhasni.
2- ‘ICC
berat
sebelah kata Liga Arab’. (Utusan Malaysia ,
21 Julai 2008)
Tajuk berita ini menerangkan
resolusi yang dikeluarkan oleh Negara-negara Arab yang mengkirtik Mahkamah
Jenayah Antarabangsa (ICC) yang tidak bersikap adil. Ungkapan ‘berat sebelah’
ialah peribahasa yang bermaksud tidak bersikap adil dan saksama
3- Eto
dapat lampu hijau (Utusan Malaysia, 21 Julai 2008)
Tajuk
ini adalah mengenai pemain bola sepak Barcelona yang dibenarkan merundingkan
perpindahannya dari kelab itu. Lampu hijau adalah objek yang dikaitkan dengan
mendapat kelulusan atau kebenaran untuk berbuat sesuatu. Ia diistilahkan sebagai metonimi iaitu menyebut
sesuatu objek untuk memperkatakan sesuatu yang lain yang ada kaitan dengannya.
4- Liverpool palit arang di muka MU ( Berita Minggu, 14 September 2008)
Tajuk berita ini
menggambarkan keadaan pasukan bola sepak Manchester United yang telah
dikalahkan oleh Liverpool. Penulis menggunakan simpulan bahasa “ palit arang di muka” bagi menguatkan maksud
memberi malu.
5- Entah
berapa ribu jam masa rakyat dihabiskan untuk bertekak dan berbalah mengenai hal dalam kain orang politik- (Mingguan Malaysia 13 Julai 2008
Ayat ini dipetik dari
rencana mantan Mufti Perlis Dr.Mohd Azri Zainal Abidin yang memperkatakan
tentang hal ehwal politik semasa khasnya pelbagai skandal yang dikaitkan dengan
pemimpin politik. Hal dalam kain merujuk
kepada pelbagai isu atau cerita yang bersifat peribadi
6- Hari
ini Sukan Olimpik ke 29 menyingkap
tirainya- ( Sinar Harian, 8 Ogos
2008).
Ayat ini memberi maklumat
bahawa sukan olimpik 29 telah bermula.Permulaan itu digambarkan dengan ungkapan
menyingkap tirai. Umum mengetahui
bahawa tidak mungkin adanya tirai dalam upacara pembukaan olimpik. Ia adalah
metonimi iaitu penyebutan sesuatu objek yang dikaitkan dengan sesuatu perkara.
7-
MB
Perak Hanya Boneka (Utusan Malaysia 21 Julai 2008),
Ayat di atas merupakan tajuk surat yang disiarkan dalam
ruangan Forum.Penulis ini memberi pendapat bahawa Menteri Besar Perak tidak
dapat menjalankan tugasnya dengan baik, sebaliknya hanya mengikut arahan
orang-orang tertentu.
8-
England Kian Terdesak (Mingguan
Malaysia 11 November 2007)
Petikan di atas adalah tajuk
berita tentang skuad bola sepak England yang menghadapi masalah untuk menang.
Di sini terdapat penggunaan Totem pro parte iaitu menyebut keseluruhan England
dengan maksud pasokan bola sepaknya sahaja.
9-
“Perdana Menteri berkata gabungan Pembangkang
tidak pernah satu pun berjaya kerana masing-masing bersikap talam dua muka” ( Utusan Malaysia 6
Disember 2010)
Di sini dilihat bagaimana Perdana Menteri
telah menggunakan peribahasa dalam ucapannya
Sasterawan Melayu telah mencipta karya
sastera dan menyatakan reaksi mereka terhadap kejadian di sekeliling dengan
menggunakan pelbagai perlambangan dari objek alam. Hal ini menepati kehendak
Islam kerana berkata dengan terus terang adalah sesuatu yang tidak menepati
kehendak Allah SWT seperti mana yang telah dijelaskan melalui ayat yang
bermaksud “Allah tidak suka kepada
perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk
mendedahkan kejahatan orang)” (An-Nisa’:48)
Bahasa
figuratif bukan sahaja terhad kepada puisi atau karya-karya sastera yang lain. Penggunaannya
di dalam akhbar menunjukkan bahawa bahasa figuratif diperlukan oleh semua pihak
untuk memberi kekuatan kepada kenyataan yang disampaikan. Penggunaan metafora,
simile, personifikasi, dan sebagainya di dalam akhbar boleh dijadikan penunjuk atau indikator bahawa gaya bahasa figuratif
adalah diterima dan diperlukan oleh
masyarakat.
No comments:
Post a Comment