ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Tuesday, July 07, 2020

SUMBER IDEA UNTUK PUISI


PERHUBUNGAN DAN PERBUALAN
Antara soalan yang sering ditanya oleh anak-anak sekolah yang membuat kajian  ialah bagaimana mendapat idea untuk menulis puisi.Idea datang dari pelbagai sumber.  Idea juga boleh datang dari perhubungan atau perbualan dengan orang-orang di sekeliling sama ada keluarga, jiran tetangga atau orang-orang yang ditemui di jalanan. Pada tahun 80han saya menghasilkan sajak “Untuk Hidup Bersama”, Catatan untuk Siti”, “Satu Percakapan Singkat Dengan Teman Seniman”, “Satu Cerita Cinta”, “Yang Pasti”, “Catatan Untuk Suami”.
Saya tertarik dengan sebuah sajak karya Leo A.W.S. yang terhasil daripada perhubungannya dengan kawan dan jiran. Sajak itu berjodol “Baju Melayu Yang Berwarna Kuning Kulit Langsat” yang sangat menyentuh hati. Di dalam sajak itu Penyair menceritakan kunjungannya ke rumah sahabat ayahnya, Pak Mat Pulut, seperti mana biasa yang dilakukan  setiap kali berhari raya di kampung kelahiran.
Keistimewaan sajak ini ialah elemen emosi yang terselit dengan begitu indah sekali. Pak Mat Pulut memakai baju Melayu berwarna kuning langsat.Mengikut Penyair, itulah baju raya yang dipakai oleh Pak Mat Pulut tahun demi tahun. Terdapat nada kesedihan dan kesayuan yang disulam dengan baik melalui imej baju yang sudah kelihatan semakin lusuh membawa erti  tidak ada keceriaan lagi di dalam hidupnya. Ada sesuatu yang menyedihkan dan ini terbukti apabila penyair menyebut tentang anak perempuannya yang tidak lagi balik ke rumah selepas berkahwin.
Siti Zaleha Hashim mengungkap erti kekeluargaan dan kasih sayang ibu dalam sajaknya ’Seorang Ibu Pesannya Berpanjangan”. Penyair menggambarkan suatu suasana penuh kesayuan ketika ibu menghantar anak di lapangan terbang. Anak itu sedang melangkah pergi ke luar negara untuk menuntut ilmu.
.
.Seorang Ibu Pesannya Berpanjangan
(Untukmu Firdaus Ramzan)
Ketika aku melihat kau pergi. Air mata yang kusimpan
mengalir laju di dalam hati, tiada siapa pun tahu
pesawat yang membawa kau menerbangkan
semangatku sama. Masa tidak dapat ditahan kau pun dewasa
menjadi anak muda dan aku mesti tabah
melepaskan kau melangkah jauh mencari kunci
membuka pintu ilmu untuk jalan hidupmu sendiri

Kutulis puisi ini untukmu anakku
kukirim doa dan kusimpan semua rindu
seorang ibu pesannya berpanjangan kerana
kasih sayangnya merentasi masa dan sempadan.

Puisi ini mengingatkan kepada “Pujangga Dunia Kecil” karya Siti Zaleha dalam  antologi Kristal di Laut Bulan di mana Penyair mengungkap tentang kasih sayang dan alam rumahtangga dengan indah sekali. Mesej atau pemikirannya ialah perlakuan ibu dan ayah sangat mempengaruhi dan akan dicontohi oleh anak-anak. Oleh itu ibu dan ayah wajar menjaga kelakuan mereka. Kasih sayang ibu ayah akan meninggalkan kenangan manis kepada anak-anak, dan begitulah sebaliknya. Di dalam sajak ini Penyair menggunakan imej Bulan yang menjadi bertambah jingga/ mengintai di tepi jendela (ketika gembira) dan bulan menjadi kelabu (ketika berduka). Kata Penyair Kitalah pujangga/ sebuah dunia kecil bernama keluarga dalam ertikata keindahan sebuah rumahtangga dan kebahagiaan keluarga dicorakkan oleh anggota keluarga itu sendiri. Pada pendapat Penyair  perlakuan ayah dan ibu amat besar pengaruhnya terhadap pembentukan peribadi dan jiwa anak-anak.
Setelah masuk ke alam rumah tangga saya selalu berfikir dan mempersoalkan kedudukan  sebagai kekasih, sebagai isteri, dan  sebagai ibu.
Saya juga mencari makna  dari hubungan suami isteri. Pemikiran yang melintas tidak jauh berbeza dari pengertian yang dahulu bahawa manusia itu tetap individu yang terpisah, iaitu tetap memiliki kelainan.  Jadi kita yang telah dijodohkan tidak perlu terlalu bertanya tentang hal yang rumit iaitu yang menyangkut perasaan menusia.
Catatan untuk Siti
Melahirkanmu anakku
Adalah melahirkan kembali diriku
Suatu kejadian yang mengalahkan keajaiban
Duhai…semakin kalahlah aku dengan ketakjuban

Rasanya aku perlu meminta maaf
Mengheretmu kepada dunia
Dan tidak dapat menjanjikan apa-apa
Sekadar catatan dari kesilapan-kesilapanku
Yang mengajar
Bahawa harta seorang perempuan adalah namanya
Penyelamat seorang perempuan adalah imannya

Anakku
Dalam ciptaan yang Maha Besar
Kita adalah kecil
Tetapi jangan sekali-kali
Memperkecilkan diri sendiri

Saya didatangi rasa ketakjuban ketika pertama kali menjadi ibu. Banyak perkara baru yang membuka kesedaran.  Hanya seorang perempuan yang dapat merasakan bagaimana keajaiban yang berlaku di dalam rahimnya. Mengandung dan melahirkan anak adalah satu kejadian yang ajaib yang menyedarkan saya tentang kuasa Allah yang menjadikan segalanya. Saya berpesan kepada anak, bahawa di dalam ciptaan alam yang maha luas kita adalah kecil namun begitu jangan memperkecilkan diri dan peranan kita terutama sebagai khalifah Allah di dunia ini,  Oleh kerana anak saya perempuan maka saya mewariskan padanya apa yang dikutip sepanjang perjalanan sebagai seorang perempuan.  Seorang perempuan melalui banyak kepayahan dan amat bergantung kepada  pertolongan Allah.  
Yang Pasti.
Kau mungkin bukan lelaki terbaik
Tapi buat perempuan sepertiku
Mungkin tidak ada yang lebih baik
Darimu
Aku mungkin tidak mendapat segala-galanya
Tetapi dengan keadaan begini
Aku tidak meminta
Yang lebih lagi

Usahlah bertanya apakah aku bahagia
Aku pun tidak menyoal tentang perasaanmu
Kerana kadang-kadang bila terlalu mahu memasti
Orang jadi semakin ragu
Terlalu berbicara dan banyak menganalisa
Orang jadi semakin tidak tahu


Aku mungkin kurang pasti
Tentang apa yang telah kukatakan
Tapi yang pasti
Kita tidak perlu terlalu pasti

Hubungan suami-isteri telah melahirkan sajak “Yang Pasti”. Intipati dari sajak ini ialah tidak siapa dapat mengetahui dengan pasti tentang perasaan walaupun orang yang dekat dengan kita.
Hubungan diri dengan suami, seperti dengan sesiapa pun tetap  misterius dan berahsia, kerana kita tidak dapat membaca hati sesiapa pun. Oleh yang demikian biarkan sahaja setakat yang terdaya oleh perasaan. Di dalam sajak “Suatu Cerita Cinta” saya merumuskan bahawa kadang-kadang kita perlu melupakan cinta dan belajar untuk hidup bersama”.


No comments:

Post a Comment