ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Sunday, July 12, 2020

PANTUN: ANTARA PEMBAYANG DAN MAKSUD. Seseorang menghantar watsapp bertanyakan mestikah dua baris pertama pantun mempunyai hubungan dengan dua baris kedua yakni bukan sekadar untuk mendapatkan rima. 
Jawapan saya: 2 baris pertama ialah pembayang. Fungsinya  memBAYANGkan  apa yang akan berlaku pada dua baris akhir. 
Pembayang yang baik tidak boleh lari dari MAKNA dan SUASANA dalam maksud. Jika dua baris maksud  membawa keadaan  cemas atau  suasana cemas, maka dua baris pembayang mesti ada suasana yang sama.
Namun begitu, ciri-ciri ini hanya ada dalam pantun yang baik sahaja. Bukan semua pantun dapat digolongkan sebagai baik atau  Sempurna. 
Antara pantun yang diminta saya ulas: 

Kusangka nanas di tengah padang 
Rupanya pandan yang berduri
Kusangka panas hingga ke petang
Rupanya hujan di tengah hari.

Suasana dan makna dalam pembayang adalah sama dengan maksud iaitu harapan yang  kecewa.. Apa yang disangka tidak menjadi kenyataan. Yang diharap ialah nanas yang boleh dimakan, rupanya bukan, Ia hanya pokok pandan yang seperti nanas tapi tiada buahnya. Kusangka panas hingga ke petang. Yang diharapkan ialah keadaan yang baik dan selesa tetapi kecewa di pertengahan kerana pada tengahhari hujan telah turun. 

Budak-budak mendayung perahu
Sambil berdayung sambil bermain
macam mana bunga tak layu
Embun menitis di tempat lain

Pantun ini membawa maksud kekasih yang tidak setia, tidak serius tidak bersungguh-sungguh menyebabkan cinta tidak kekal yang dilambangkan sebagai bunga layu. Dua baris pembayang juga membawa gambaran keadaan tidak bersungguh-sungguh iaitu sambil berdayung sambil bermain. 
Sambil berdayung sambil bermain menunjukkan tiada konsentrasi kepada kepada tugas yang satu. Buat sambil lewa,  Ini sesuai dengan dua baris maksud yang mengisahkan kekasih yang tidak tertumpu atau setia kepada  satu sahaja.   Akhirnya membawa kecewa. 

Tuai pada antara masak
Esok jangan layu layuan
Intai kami antara nampak 
Esok jangan rindu-rinduan.

Pantun ini menasihati agar mengambil berat akan kekasih selagi ada masa dan peluang. Si kekasih memberi nasihat agar selalu mengintai , dalam ertikata selalu menjenguk, melihat keadaannya.  Pantun ini membawa pesanan supaya jangan sesekali mengambil ringan dan terlalu yakin bahawa hubungan akan terus berjalan dengan baik tanpa dipupuk dan dijaga. Pembayang “tuai padi antara masak” mengingatkan pesawah supaya bersedia menuai padi ketika padi “antara masak”, maknanya, ada yang sudah kekuningan dan ada yang kehijauan. Jika ditunggu semuanya masak, adalah dibimbangi padi akan layu sebelum sempat habis dituai. Kedua pembayang dan maksud memberi penekanan kepada penggunaan masa dan peluang.

No comments:

Post a Comment