ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Wednesday, May 13, 2020

ZURINAH HASSAN: APA KATA ORANG LAIN.


 APA KATA MEREKA TENTANG ZURINAH

Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh, di dalam bukunya, An Anthology of Contemporary Malaysia Literature,DBP.1988 : 362, .  “the really vocal and individual woman poet is a rare person.  Her poems not only show that she is a different woman from other woman writers but also a person who finds in poetry the opportunity to speak out her innermost soul without the decorum of the past literary practices”

Mana Sikana meletakkan Zurinah Hassan sebagai di antara empat orang penyair yang terbaik di Malaysia di samping Muhammad Haji Salleh, Kemala dan Baha Zain.  Menurut Mana Sikana Muhammad Haji Salleh  adalah di antara penyair terbaik Malaysia. Ini diikuti dengan Kemala, Baha Zain dan Zurinah Hassan. Zurinah Hassan sebagai penyair terbaik, justeru di kalangan penyair wanita dialah yang paling terkemuka dan puisi-puisinya menjadi lambang kelembutan wanita Melayu”, Mana Sikana “Penyair-Penyair Terkemuka Malaysia: Analisis Puitika Tekstual, Perisa (Jurnal Puisi Melayu)  Bil. 3.1995:56)

Shafie Abu Bakar memberi pandangan bahawa Zurinah Hassan sesungguhnya mempunyai kedudukan yang kukuh di dalam perpuisian tanah air, bukan sahaja sebagai penyair wanita terbaik di dalam persajakan moden, tetapi salah seorang penyair terkemuka tanah air sebaris bersama Usman Awang, Kassim Ahmad, Latiff Mohidin, Muhammad Haji Salleh dan Kemala. (Shafie Abu Bakar, Perjalanan Kualiti Persajakan Melayu dalam  Peradaban Melayu (1997:163-166)

Sasterawan Negara Usman Awang  menganggap Zurinah penyair wanita berbakat besar yang lahir selepas Anis Sabirin. ( Usman Awang, Ismail Ahmad Titian Zaman, Dewan Bahasa dan Pustaka: 97). Akhbar The Star, melaporkan: “Literary Laureate Usman Awang says “Zurinah has made a significant contribution to Malay literary development. She brings meaning to the Malay language, breathes life into her words. Her use of language is captivating, poetic and harmonious “.(The Star, 30 Jun 1988).

Sasterawan Negara Shahnon Ahmad berpendapat “Zurinah Hassan adalah penyair wanita yang besar bakatnya. Nada dan irama puisi-puisi Zurinah amat lembut dan manis terutama puisi puisi sepinya. Ini disebabkan pemilihan kata-katanya yang amat sesuai dengan gerakan sumber alam yang menjadi imej puisi-puisinya.  ( Shahnon Ahmad “Sastera sebagai Seismograf Kehidupan”, Dewan Bahasa dan Pustaka 1993: 226).

Arbak Othman menegaskan bahawa kekuatan karya puisi ZH diukur berdasarkan dua faktor, iaitu nilai estetik yang tinggi dan kualiti yang mengangkat puisi-puisinya sebagai genre puitik yang meningkatkan kesan pada aras kesedaran pembaca. Puisi-puisi yang  beliau cipta berhasil mengekalkan kesatuan fikiran dalam sifatnya yang indah.  Idea-idea yang diungkapkan kelihatan tersusun, menyentuh perasaan dan logik.  Kata-kata dalam diksi dibentuk dalam susunan yang berseni.  Unsur rasa dan emosi paling kuat memberikan sifat kepada puisi yang dicipta.  Puisi dibentuk dengan menggunakan gaya yang tersendiri dengan kata-kata yang sesuai dan relevan dengan mesej yang disampaikan. Kebanyakan puisi beliau berhasil membentuk mesej yang berkesan.  Kata-kata yang digunakan menyentuh perasaan dan akal budi.(“Idealisma Budaya dan Jatidiri Bangsa yang Tercalar” kertaskerja Seminar Bersama Tokoh Penulis Tanah Air, Zurinah Hassan, UKM. 23 Nov.2011)

Rahman Shaari menulis untuk blurb buku Puisi Melayu Tradisional: Pantun, Syair, Gurindam, Nazam, Seloka , Pekan Ilmu Publication 2012 “ Zurinah Hassan ialah penyair Malaysia yang telah mencapai kecemerlangan. Beliau juga merupakan sarjana Kesusasteraan yang berwibawa.”

No comments:

Post a Comment