Sasterawan Negara Usman Awang menduduki tempat yang penting dalam sejarah kesusasteraan Melayu dan perkembangan pemikiran masyarakat. Beliau adalah penyair yang mempopularkan genre sajak yang sebelum ini tidak mendapat tempat dalam kesusasteraan Melayu. Beliau adalah penulis yang dianggap paling diminati oleh khalayak, di samping menjadi penulis yang mendapat pengiktirafan di luar negara. Antara lain Usman Awang dilantik menjadi Pengerusi Persahabatan China-Malaysia, Penerima SEA Write Award (Anugerah Penulisan Asia Tenggara 1982), Ijazah Doktor Kehormat Persuratan (1982), Anugerah Sastera Negara (1983), Zamalah Sastera Penulis Terkenal/Veteran (1985), Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Perak dan Anugerah Penyair Johor (1995). Usman Awang diiktiraf di peringkat antarabangsa dengan begitu banyak karya-karya yang diterjemah ke bahasa lain. Antara lain, pada tahun 1988 dijemput melawat China dan berpeluang menyertai International Visitors Programme di Amerika Syarikat. Usman Awang sejak zaman awal kedatangannya ke Singapura dan faktor-aktor intrinsik dan extrinsik yang membawa kepada kemunculannya sebagai tokoh sastera yang terpenting. Awang telah mendapat tempat di hati pembaca bagi sajak-sajaknya dan kejayaan
ini merupakan satu jasa kepada puisi Melayu moden.kerana dengan itu masyarakat
mulai menggemari sajak yang sebelum itu tidak mendapat perhatian. Kepentingan
Usman di dalam kesusasteraan Melayu moden ialah sebagai orang yang mula2
mempopularkan bentuk sajak di Malaysia. Popular yang membawa erti menjadikan
sajak sebagai sesuatu yang dikenali dan digemari
Karyanya banyak diterjemahkan ke pelbagai bahasa.
Sajaknya Ke Makam Bonda.
Pada pandangan saya inilah sajak
Melayu yang pertama diterima dan diminati oleh masyarakat. Mereka yang berusia
60 atau 65 tahun ke atas tentu pernah mendengar sajak ini dipersembahkan di radio
dan di pentas. Biasanya ia dipersembahkan dalam bentuk yang dipanggil tablo
atau pentomen. Dalam persembahan ini sajak akan dibaca atau dideklamasi oleh
seorang deklamator manakala beberapa orang lagi akan melakonkan aksi seperti
yang terdapat dalam sajak tersebut. Saya sendiri
pernah mendengar sajak ini didendangkan dalam lagu Gurindam Bangsawan oleh
Rohani B dalam satu acara puisi di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dalam tahun
1980an.
Mengatakan sajak ini adalah sajak
pertama yang mendapat tempat di kalangan khalayak samalah maksudnya dengan
mengatakan bahawa Usman adalah penyair pertama yang diterima masyarakat atau
dengan kata lain, Usman adalah orang pertama mempopularkan bentuk sajak dalam
kesusasteraan Melayu moden.
Kekerapan sajak ini dan
sajak-sajak Usman yang lain dipentaskan telah ditulis oleh Adibah Amin “Usman’s poems were and are among the
best-known and best loved works in modern Malay literature. In the 1950’s and
early 1960’s especially they were
frequently read, recited, acted and broadcast” (Adibah
Amin The New Straits Times. Selasa 6
Jun 1976).
Ini juga membawa Usman Awang
menduduki tempat yang unik sebagai Penyair yang telah mencapai tahap
kemasyhuran dan kepopularaan sehingga menjadi satu institusi di Malaysia (Ismail
Hussein, 1972). Istilah popular digunakan dengan erti dikenali dan digemari
ramai. Kedudukan Usman sebagai sasterawan yang popular dan masyhur boleh diukur
dari tulisan tulisan.mengenainya yang tersiar di akhbar dan majalah terutama pada
tahun-tahun enam puluhan dan tujuh puluhan . Walaupun tulisan itu merupakan tulisan-tulisan
di akhbar dan bukan kajian ilmiah tetapi relevan untuk memberi gambaran umum terhadap kedudukan Usman.
Aspek popular inilah
juga yang telah ditekan oleh Adibah Amin ketika menulis mengenai enam orang
sasterawan, termasuk Usman Awang yang menerima Hadiah Pejuang Sastera dalam tahun 1976. Adibah
menganggap Usman sebagai “the best
loved” atau penyair yang disayangi dan diminati ramai. (New Straits Times. 6 Jun 1976).
Seorang
lagi kolumnis sastera pada tahun-tahun 1970an ialah Cheah Boon Keng. Beliau juga mendapati bahawa hal paling menarik
mengenai Usman ialah kenyataan bahawa dia adalah penyair Malaysia yang paling
dikenali dan mendapat penghargaan di luar negara. Hal ini terdapat di dalam
tulisan Cheah Boon Kheng “International Recognition for
Malaysia’s Best Known Poet”, Sunday Mail
26 Oktober 1969.
Tidak dinafikan keadaan
ini menimbulkan komen-komen yang sinis. Imej sebagai sasterawan yang popular
ini menyebabkan Yahaya Ismail memanggilnya VIP dalam Sastera Melayu Yahaya
Ismail menulis di dalam kertas kerjanya yang dibincangkan di Alor Setar sebagaimana
yang dilaporkan oleh Mohd. Yusof Hassan, Mingguan Malaysia, 19 Mei 1974.
Pada pendapat Yahaya, Usman dan kawan-kawannya seperti Keris Mas dan
A.Samad Ismail diperteguhkan oleh kedudukan mereka sebagai pemegang saluran
penerbitan atau sebaran am. Mengikut
Yahaya, tokoh tokoh ini sejak berpindah
ke Kuala Lumpur semakin teguh kedudukannya bila masing-masing memegang
jawatan-jawatan di lapangan kesusasteraan dan sebaran am. Usman Awang dan Keris Mas bertugas di
Bahagian Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka manakala A.Samad Ismail sebagai pengarang sebuah akhbar
yang terkemuka.
Jikalau Yahaya
memanggil Usman seorang VIP maka Muhammad Affandi
Hassan memberi gelaran celebrity. Hal
ini terdapat dalam tulisannya “Beberapa
Pandangan dan Saranan tentang Teori dan Praktik dalam Kesusasteraan Melayu
moden”, Dewan Sastera Jun 1973. Mengikut
Muhammad Affandi Hassan celebrity adalah mereka yang dihidupkan oleh media
masa.
Seorang pengulas bernama
Mukhtar Ismail juga menulis tentang kepopularaan di
bawah tajuk “Usman penyajak paling
popular”. Berita Minggu, 21 Januari
1973.
Pengaruh Usman bukan sahaja terbatas
di kalangan masyarakat Melayu tetapi jika dibandingkan dengan
pengarang-pengarang Melayu yang lain, beliau telah mendapat perhatian yang
lebih luas di kalangan masyarakat Tionghua. Kelana CM menulis tentang ini dalam rencana
bertajuk “Uda dan Dara Kesayangan Masyarakat Tionghua” Berita
Minggu 27 Julai 1964.
Sanjungan masyarakat China terhadap
Usman terus disebut oleh Lee Ban Chen, (Malaysiakini, 6 Disember 2001) setelah
Usman meninggal dunia.
Usman Awang
mendapat tempat yang istimewa di kalangan pembaca kaum Cina kerana penguasaan
bahasanya yang indah dan menarik. Kekayaan mesejnya yang pelbagai dan
berlandaskan nilai-nilai kemanusiaan yang universal dan melintasi batasan
ras, serta penyatuan realisme
(isi/mesej) dengan romantisme (bentuk/penyampaian) begitu harmonis dan unik
sekali.
Lee, sebagaimana ramai yang lain terpesona dengan kata-kata
yang pernah dilafazkan oleh Usman,
“ Musuh orang Cina bukan
orang Melayu, dan musuh orang Melayu juga bukan orang Cina. Musuh bersama kita
ialah kemiskinan, ketidaksetaraan dan penindasan”.
Kesuburan dan ketahanan
Usman juga menjadi tumpuan di dalam tulisan Ismail Hussein ketika menulis kata
pengantar bagi antologi pertama Usman, Gelombang
(O.U.P Kuala Lumpur 1961) Ismail Hussein menganggap Usman sebagai lambang
ASAS 50 yang lahir bersama sama dengan lahirnya badan kesusasteraan itu dan
menjadi pendokongnya yang paling terkemuka. Mengikut Ismail Hussein aspek yang
penting dan menarik tentang Usman ialah dia bukan sahaja diterima oleh pembaca
Melayu tetapi membina khalayaknya di kalangan masyarakat Tionghua. Ini dapat dibuktikan dengan melihat betapa
banyak sekali jumlah sajak, cerpen dan dramanya yang diterjemahkan ke Bahasa
itu. Ismail Hussein juga melihat yang Usman mempunyai kesuburan yang
tidak pernah pudar, dan ini baginya satu hal yang agak menghairankan apabila di
dalam tahun-tahun itu seorang demi seorang teman-teman seangkatannya lenyap
daripada gelanggang kesusasteraan Melayu baharu (Ismail Hussein. Kata pengantar
kepada antologi Gelombang. Hal vii).
Usman bukan sahaja berjaya
mencapai kemasyhuran nama di negaranya, malah kewujudannya mendapat perhatian
juga di luar negara. Bambang Soebendo dari Indonesia menganggap Usman sebagai
perintis sastera Melayu moden (Bambang Soebando. “Usman
Awang Perintis Sastera Malaysia Moden. Harian Sinar Harapan. 29 Mac 1975. Ini
adalah kali pertama seorang penulis Malaysia diberi fokus di akhbar Indonesia
itu. Selain itu seorang sarjana sastera
dari Russia, Boris Parnickel memberitahu Shahnon Ahmad dia sangat tertarik dengan
novel Tulang2 Berserakan dan sedang
menterjemahkannya ke Bahasa Russia semasa Shahnon menemuinya sebagaimana
tulisan Shahnon Ahmad menulis tentang
lawatannya ke Russia di Berita Minggu,
28 Oktober 1973.
Setelah berjaya mengumpul
peminat yang ramai, Usman tidak mengalami kesukaran untuk mendapat dana atau bantuan
bagi menjayakan pementasan drama Uda dan Dara.
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bersedia menyumbang bantuan
sebanyak 10 ribu ketika drama itu dipentaskan di Panggung Experimen Universiti
Malaya pada bulan Disember 1972. Ini adalah jumlah yang dianggap lumayan pada
ketika itu dan sukar diperolehi oleh pihak lain. Berita Harian menganggap sumbangan 10 ribu dari KKBS sebagai
memulakan satu usaha besar.
(Berita Harian 4 Nov. 1972).
Penerimaan baik dari masyarakat
inilah yang memberanikan pihak Oxford Universiti Press menerbitkan kumpulan
perseorangannya, Gelombang, dalam
tahun 1961. Menerbitkan sebuah kumpulan perseorangan bukanlah sesuatu yang
mudah pada masa itu dan hingga beberapa tahun kemudian. Dalam satu temubual
dengan Oxford Universiti Press di pejabat penerbitan itu di seksyen 13 Petaling
Jaya pada 27 Januari 1977, beliau
memberitahu bahawa Gelombang telah
dicetak sebanyak satu ribu naskah dan telah habis dijual. Beliau berterus terang menyatakan bahawa
pihaknya lebih berminat untuk menerbitkan buku-buku pelajaran daripada
buku-buku sastera kreatif kerana pasarannya lebih terjamin. Kedinginan sikap
penerbit diperkatakan oleh pengarang majalah Dewan Sastera.
“Selama ini hanya boleh dihitung dengan jari
sebelah tangan saja penyair-penyair yang puisi-puisinya diterima oleh penerbit
untuk dibukukan. Sedangkan tahun-tahun kebelakangan ini kita melihat begitu ramai
penyair yang berbakat dengan hasil puisinya yang telah dimuatkan di
akhbar-akhbar dan majalah-majalah. Tetapi pasaran puisi lebih rendah daripada
harga hampas kelapa, maka ia bertaburanlah di bawah-bawah tangga kehidupan”.
Dewan Sastera Mei 1971.
Sungutan tentang
kesukaran menerbitkan kumpulan sajak dan rasa tidak puas hati kerana kurang
mendapat perhatian diperturunkan di atas bagi menunjukkan bahawa sajak sebagai
satu pengucapan kesusasteraan belum digemari. Di dalam keadaan seperti ini
adalah menarik untuk melihat bagaimana Usman Awang dapat menembusi tembok dan
mencapai kemasyhuran.
Usman dan karya karya
beliau diangkat ke persada antarabangsa kerana beliau turut merakamkan
peristiwa dan membela nilai kemanusiaan sejagat. Jasa, sumbangan fikiran dan
keindahan bahasa beliau dihargai melalui beberapa Anugerah yang diterima dari
dalam dan luar negara. Antaranya beliau telah dilantik sebagai Pengerusi
Persahabatan China-Malaysia 1991 menerima SEA Write Award 1982, Ijazah Doktor
Kehormat Persuratan 11 ogos 1982, Anugerah Sastera Negara 1983, Zamalah Sastera
Penulis Terkenal Veteran 1985, Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Dari Perak,
Anugerah Penyair Johor 1995. Usman Awang diiktiraf di peringkat antarabangsa
dengan begitu banyak karya-karya yang diterjemah ke bahasa lain. Antara lain,
pada tahun 1988 dijemput melawat China dan berpeluang menyertai International
Visitors Programme di Amerika Syarikat.
Kertas ini menyorot
kedudukan Usman Awang sejak zaman awal kedatangannya ke Singapura dan faktor-faktor
intrinsik dan extrinsik yang membawa kepada kemunculannya sebagai tokoh sastera yang terpenting.
Faktor Extrinsik (Faktor Luaran)
Usman Awang bukanlah
penulis pertama di Malaysia yang menulis dalam bentuk sajak, tetapi adalah
penyair pertama yang mendapat sambutan yang meluas. Sajak telah tersiar sejak 1934
dan Muhammad Yassin Makmur atau Pungguk umumnya
diterima sebagai pelupor sajak moden di Malaysia sementara Usman hanya mula
menulis dalam tahun 1948. Sajak atau
puisi moden diulas oleh Ali Ahmad
sebagai “telah menyimpang daripada puisi Melayu yang lama dalam
berbagai-bagai aspeknya, sama ada bentuk, semangat, pemandangan suasana atau
lainnya. (Ali Ahmad, Puisi Melayu (Zaman Permulaan) Dewan Bahasa dan Pustaka, 1965, hal
xiii)
Hal in ditambah oleh Ismail
Ahmad yang menulis “Dalam puisi itu
mulai lahir fikiran yang individual terhadap masyarakat, politik, ekonomi dan
sosial secara luasnya” (Ismail Ahmad, “Perlambangan di dalam
sajak-sajak zaman permulaan: Di Sekitar Pemikiran Kesusasteraan Malaysia 1957-1972.
Dlm Anwar Ridhwan, Dbp 1976 Hal.64),
Di peringkat awal
adalah sukar untuk menengahkan bentuk ini, dan penulis-penulis yang mendahului
Usman tidak berpeluang meningkat ketahap kemasyhuran seperti beliau. Selepas
tahun 1938 bila Muhammad Yassin Makmur menamatkan perkhidmatannya dengan Majalah Guru, majalah itu tidak lagi
memainkan peranan penting dalam menyiarkan sajak-sajak. Mengikut Ali Ahmad
terdapat penekanan ke atas puisi baru dan majalah Guru kembali menyiarkan puisi jenis lama yang amat dangkal dan
tidak bermutu dari segi seni puisinya. (Ali Haji Ahmad xvii.) Bentuk baru itu belum diterima oleh masyarakat
kerana ia dianggap menyimpang dari bentuk tradisional yang telah sebati dengan
jiwa masyarakat Melayu sejak berkurun-kurun lamanya.
Peringkat seterusnya ialah
zaman pemerintahan Jepun 1941-1945. Zaman ini juga tidak memberi peluang yang
baik untuk pertumbuhan sajak-sajak Melayu. Apabila Jepun
memerintah terdapat sekatan terhadap penyiaran karya-karya sastera seperti yang
ditulis oleh Ali bin Haji Ahmad; “Serba serbi tersekat dan terkongkong oleh
keadaan masa perang dan oleh kekuasaan fasis Jepun. Kebebasan mengeluarkan
perasaan dan fikiran boleh dikatakan tiada sama sekali. Segala sesuatu yang
dikeluarkan mestilah sealiran dan sesuai dengan kehendak-kehendak Jepun” (Ali
Ahmad Perintis Sajak-sajak Melayu, Penerbit Fajar Bakti hlmn viii). Sajak-sajak
juga tidak dapat disiarkan dengan bebas melainkan sajak-sajak yang dianggap
mengandungi propaganda pro-Jepun ataupun yang meluahkan perasaan permusuhan
terhadap British seperti yang terdapat dalam sajak di bawah
Hiduplah Malai Baru
Asap
yang gelap di udara
Berubah
menjadi terang cuaca
Menandakan
Malai tumbuh bahagia
Tersebabkan
terlepas dari bahaya.
(oleh
Tanpanama)
Penulis2 sajak zaman Jepun termasuklah Ibrahim Ali,
Rashid Taha, Sharif Sukar dan Masuri SN. Penyiaran sajak dimulakan di Berita Malai pada 9 Ogos 1944
(Rosmera dalam Anwar Ridhwan 1976 hal 73). Di antara mereka hanya Masuri
SN yang menulis secara konsisten sepanjang hayatnya.
Walau bagaimanapun, Pendudukan Jepun telah mempengaruhi pemikiran dan
kesusasteraan. Zaman ini menumbuhkan sikap anti British dan menyalakan semangat
patriotisma di kalangan rakyat. Penentangan terhadap Malayan Union telah
menyemarakkan semangat rakyat untuk membangun negara dan bahasa Melayu. Para
cerdik pandai dan masyarakat umumnya memberi
perhatian kepada bahasa dan sastera sebagai saluran untuk menyatakan
hasrat membebaskan diri daripada British dan segala rupa penjajahan.
Penaklukan Jepun yang
menyekat perkembangan kesusasteraan dengan pelbagai tapisan itu penting pula
dari segi lain. Ia telah menjadi peristiwa sejarah yang melahirkan transisi
sikap dan kelakuan di kalangan masyarakat tempatan.. Di samping kesan-kesan
yang serta merta terjadi pula ekoran-ekoran penting dalam perkembangan ekonomi,
sosial dan kebudayaan rakyat Malaya. Pertembungan
dengan kebudayaan dan pemikiran Jepun mempunyai implikasi terhadap pemikiran
dan sikap pemimpin-pemimpin kebangsaan dan rakyat seluruhnya. Ini mempengaruhi
terutamanya soal-soal politik penjajahan, nasionalisma dan semangat ke
Nusantaraan.
Pergolakan politik ini mempengaruhi
pula kesusasteraan., Pada waktu ini tumpuan yang lebih diberikan kepada bahasa
dan sastera. Selepas tahun 1948 terdapat
beberapa cerdik-pandai telah beralih kepada bidang kesusasteraan. Ini
semua bermakna suasana sangatlah menggalakkan bagi perkembangan kesusasteraan.
Undang2 Darurat yang diistiharkan pada bulan Jun 1948 mengakibatkan tokoh2
politik seperti Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestamam, Dr.Burhanuddin yang dulu aktif dalam politik mengalihkan
perjuangan ke jurusan penulisan (Syed Husin Ali,
“Pertubuhan-pertubuhan bahasa dan sastera Melayu di Singapura selepas perang
dunia kedua-khususnya Asas 50. (Latihan Ilmiah Jabatan Pengajian Melayu,
Universiti Malaya 1950).
Singapura muncul
sebagai pusat penerbitan dan pusat pertembungan ilmu. Diantara 1945 hingga 1958
terdapat 14 buah syarikat- syarikat penerbitan termasuklah akhbar seperti Utusan
Melayu dan Mingguan Melayu. .Ramai
anak muda yang merantau ke sana untuk mencari pekerjaan terutama mereka yang
berkecenderungan di dalam lapangan
penulisan dan penerbitan. Di antara mereka termasuklah Usman Awang..
Penyertaaan Usman ke dalam
Asas 50 memberikan media terpenting dan berpengaruh. Asas 50 menduduki tempat yang paling penting dalam sejarah
perkembangan bahasa dan kesusasteraan Melayu. Seperti kata Syed Husain Ali,
“ kepada Asas 50 telah diberikan oleh sejarah kesempatan yang tidak
diberikan kepada badan-badan lain dan angkatan-angkatan yang terdahulu
daripadanya dan kesempatan itu telah digunakan dengan sebaik-baiknya oleh Asas
50”. Pemimpin Asas menjadi orang-orang
yang disanjung oleh masyarakat.
Zaman lima puluhan adalah
tahun2 yang padat dengan perjuangan. Masyarakat menjadi emosional dan gemarkan slogan-slogan
perjuangan. Memetik pendapat Ismail Hussein “tahun-tahun lima-puluhan merupakan
kemuncak perkembangan dan perjuangan nasionalisma Melayu. Di dalam zaman yang
politikal seperti ini masyarakat amat emosional dan terpengaruh oleh
slogan-slogan. Dan kaum sasterawan yang berkecimpungan di dalam pergolakan
zaman seperti itu juga tidak dapat lari daripada hakikat ini. (Ismail Hussein Sastera dan Masyarakat, Pustaka Zakry
Abadi. KL 1974. Hal 11).
Usman Awang menulis sajak-sajak perjuangan di samping
sajak-sajak kasih sayang dan romantis. Sajak-sajak seperti Jiwa Hamba, Langit
Tinggi, Aliran Hidup, Aku Sedar, Pesanku, Sinar Pagi, Tanah Air, Isi Tak
Berganti , Pahlawan Tanah Air.dan banyak lagi mudah menyentuh perasaan rakyat
yang sedang bersemangat patriotis.
Faktor
Intrinsik: Unsur Tradisi Dalam Puisi Usman Awang.
Di samping suasana
di sekelilingnya yang merupakan faktor-faktor ekstrinsik terdapat juga faktor
instrinsik iaitu sifat-sifat dalaman sajak-sajak itu sendiri. Puisi Usman mudah
mendapat tempat di hati masyarakat
kerana:
·
Kebiasaan menulis dalam empat baris
serangkap yang mirip pada bentuk pantun dan syair
·
Sering mementingkan rima pada
sajak-sajaknya
·
Unsur bunyi seperti aliterasi dan
asonansi.
·
Perlambangan yang tradisional dan
mudah dimengertikan
·
Pemilihan kata-kata yang ringan dan
biasa
·
Penceritaan yang banyak bertolak dari
perlukisan alam semula jadi yang indah.
Mengenai ciri-ciri
kepantunan pada sajak-sajak Usman Awang telah banyak diperkatakan. Unsur-unsur
puisi tradisional dan mudah menjadikan sajak-sajaknya diminati. Khalayak masih di tingkat pemahaman dan menolak
sajak yang sukar difahami. Sebuah rencana Berita
Minggu 21 Januari 1973 menulis tentang hal ini di bawah bertajuk ‘Sajak2
Usman Berkesan Sebab Mudah”
Dengan kebiasaan kepada
pantun dan syair, masyarakat jadi kurang tertarik pada sajak-sajak bebas yang
tidak langsung mementingkan unsur-unsur bunyi. Rima yang terdapat pada sajak2
Usman itu menyebabkan sajak-sajaknya popular di majlis-majlis deklamasi , Seperti
kata Adibah Amin yang dipetik di atas, pada tahun lima puluhan sajak sajak yang sering dibaca ialah ke Makam
Bonda, Bunga Popi.
Ali Ahmad dalam kertaskerja Simposium Sajak 1967 menulis bahawa Usman
terus mengekalkan harmoni pantun di dalam sajaknya. Bentuk tradisi adalah
faktor yang mempopular sajak-sajak Usman, Sifat tradisional bukan saja pada
bentuknya tetapi tema kemasyarakatan dan semangat perjuangan. Hal ini disokong
oleh Ismail Hussein yang menulis, “Jikalau
sekiranya kita teliti kepopularaan Usman yang kini hampir menjadi sebagai satu
institusi di Malaysia, maka ini adalah akibat daripada sikap tradisionalnya dan
sikap stereotypenya, iaitu bertentangan dengan sikap individualistis penyair
moden yang lain. Usman membangkitkan semula dialek Melayu lama, iaitu di dalam
pengolahan kata-katanya dan melanjutkan sikap perjuangan yang kolektif dan
stereotaip yang dengan sendirinya membangkitkan semula respon tradisional itu. Ismail Hussein “Pengkajian Akademik Kesusasteraan Malaysia
dalam Seminar Kesusasteraan Nusantara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan
Gapena, April 1972.
Kata Ismail Hussein
lagi, jika seorang penyair ingin membentuk satu puisi rakyat di dalamnya satu
masyarakat yang rata-ratanya masih konservatif dan terikat kepada tradisi maka
a tidak ada jalan lain daripada menggunakan unsur-unsur tradisional yang mudah
dimengerti. Penyair Usman memilih jalan ini. Dengan mengeksploitasikan unsur2
puisi-puisi dan bahasa Melayu lama, dengan menggunakan tema kerakyatan, dia
melahirkan puisi-puisi yang menarik dan cepat berkesan.
Contoh yang ingin
dikemuka di sini ialah sajak Pak Utih
Punya satu isteri mahu dakap sampai mati,
Lima anak mahu makan setiap hari,
Teratak tua digayuti cerita pusaka,
Sebidang tanah tandus untuk huma.
Kulit tangan tegang belulang,
Biasa keluarkan peluh berapa saja,
O, pak Utih, petani yang berjasa.
Tapi malaria senang menjenguk mereka,
Meski dalam sembhayng doa berjuta,
Dan Mak utih biasa panggil dukun kampung,
Lalu jampi mantera serapah berulang-ulang.
Betapa Pak Dukun dan bekalan pulang,
Wang dan ayam dari diikat bersilang.
ii
Di kota pemimpin berteriak-teriak
Pilihan raya dan kemerdekaan rakyat,
Seribu kemakmuran dalam Negara berdaulat,
Jambatan mas kemakmuran sampai ke akhirat.
Ketika kemenangan bersinar gemilang,
Pemimpin atas mobil maju ke depan, dadanya
terbuka,
Ah, rakyat tercinta melambaikan tangaan mereka.
Di mana-mana jamuan dan pesta makan,
Ayam panggang yang enak di dewpan,
Datang dari desa yang dijanjikan kemakmuran.
Pak Utih masih menanti dengan doa,
Bapak-bapak pergi ke mana di mobil besar?
Usman
sebenarnya mengaku bahawa dia berusaha secara sedar untuk mendekatkan
sajak-sajaknya kepada masyarakat. Beliau bukan sahaja menggunakan unsur-unsur
puisi tradisional malah turut mengajukan
ciri- ciri ini sebagai satu cara pengucapan sajak. Beliau pernah menulis “Kita harus insaf bahawa
sajak bukan cerpen bukan novel yang mempunyai banyak peluang dan kesempatan
baik dalam penerbitan mahupun dalam sambutan masyarakat. Dunia moden sekarang
dikuasai pedagangan dan pasaran tiap pihak harus berjuang merebut tempat dalam
kehidupan manusia dan demikianlah sajak harus kita perjuangkan untuk memperoleh
tempat di kalangan masyarakat.
Dengan
tujuan yang sama UA meneruskan penglibatannya di dalam majlis-majlis pembacaan
puisi dan sebagainya untuk mencari pelbagai cara mendekatkan sajak kepada
masyarakat.
Pengiktirafan
antarabangsa memberikan peluang kepada Usman mengunjungi negara-negara luar
termasuk China, Russia, Jepun, Korea dan Amerika Syarikat. Usman diundang oleh Persatuan
Penulis Rusia untuk menghadiri sebuah Pertemuan Penulis Antarabangsa di Moscow di
mana Usman bertemu dengan beberapa orang sarjana sastera Nusantara seperti
Parnikel, Pogadaev dan Sikorsky. Usman diundang membaca sajak `Suara dari Pusara’ di Institut
Kesusasteraan Dunia dan mendapat pengiktirafan oleh khalayak di situ.
Usman
juga sudah lama popular di antara penduduk keturunan Cina Malaysia. Oleh kerana
sifat terbukanya, Usman telah dipilih
sebagai President Persatuan Persahabatan Malaysia-China, dan telah beberapa
kali ke negeri China untuk mengadakan perbincangan
termasuk mengusahakan penerbitan karya dan terjemahan. Sewaktu Presiden China Jiang Zhemin berkunjung ke
Malaysia Usman telah dijemput untuk bertemu dengannya.
Usman
turut memperjuangkan hak kemanusiaan untuk
Palestin. Beliau bergaul rapat dengan wakil Palestin di Malaysia serta mengadakan
pertemuan dan ceramah supaya wakil Palestin ini dapat menerangkan situasi dan
dilema mereka.. Sebagai mengiktiraf sumbangnanya Usman pernah diterbangkan ke
Algeria untuk sidang Parlimen Pertama
Palestin, dan pada hari pertamanya
membaca sajak `Salam Benua,’ yang dipuji oleh Arafat sendiri, kerana
sentimen negara dan penentangan terhadap perampasan tanah mereka (Muhammad Haji
Salleh.Seorang Penyair Sebuah Benua Rusuh 2017)
Selain
itu Usman pernah menghadiri Seminar Kesusasteraan Malaysia di School of
Oriental and African Studies, 1992. Beliau membaca puisi di Malaysia Hall dan
South Bank.dan dramanya `Matinya Seorang Pahlawan’ juga dipentaskan . Selain itu karya-karyanya turut
diterjemahkan dan dipelajari di Korea Selatan, Belanda, Peranchis, Italy dan Czekoslovakia.
Hal ini menyentuh perasaan penyair-penyair lain seperti Lim Swee Tin yang menulis sajak
Penyair di Sepanjang Zaman, 1995.
Telah lebih
empat dasawarsa kini
Kau titiskan
tinta emasmu
Untuk seni atas
nama kebenaran sejata
Kau dikenali
bukan Cuma di rumah sendiri
Di seberang
benua turut namamu merata
Pelbagai Bahasa
kini memindah percik renungmu
Di Korea Selatan
terhimpun suara bicara
Selain Russia
Italy Danish Peranchis Czekoslovakia
Turut merenung
Mutiara kata
Sama mendengar
bening suara
Lim Swee Tin
Kesimpulan
Demikianlah kedudukan Usman Awang sebagai penyair yang
telah diterima oleh masyarakat. Kejayaannya ialah kejayaan berkomunikasi dengan
masyarakat tempatan dan dunia luar dalam bentuk pengucapan yang diterima dan
difahami mereka. Dia telah muncul sebagai penyata masalah kehidupan dan impian
masyarakat Melayu terutama pada tahun lima puluhan yang sedang mencari kekuatan
dan identiti bangsa. Pandangannya sederhana selaras dengan peribadinya yang
sederhana. Dia bukan ahli sosiologi yang dapat menganalisa masalah2 sosial dan
bukan ahli falsafah yang memberikan pemikiran yang mendalam tentang kehidupan malah
dalam kelembutannya dia tidak menyeru kepada rakyat dengan kepercayaan kepada keupayaan manusia
untuk memperbaiki taraf kehidpan sendiri dan kewujudan kuasa yang adil sebagai
penyelesai yang muktamad. Dia juga cuba memberi harapan dan identity kepada rakyat
jelata dengan menunjukkan kepada kemurniaan nilai-nilai hidup iaitu budi bahasa
dan kasih sayang yang ada di antara mereka dan hampir lenyap dari kalangan
orang atasan. Pandangan-pandangan yang sederhana inilah yang telah memberi
kekayaan kepada kesusasteraan dan Bahasa Melayu sehingga mencapai tarafnya hari
ini. Tulisan-tulisan inilah yang dalam banyak hal menghidupkan jiwa rakyat dari
rasa terbelenggu sebagai persediaan
untuk kehidupan dalam sebuah negara demokrasi baru.
Rujukan:
1. Ali Ahmad,1965 Puisi Melayu (Zaman Permulaan) Dewan
Bahasa dan Pustaka,
2. Anwar Ridhwan (peny) 1976. Di Sekitar Pemikiran Kesusasteraan Malaysia
1957-1972, Dewan Bahasa dan Pustaka,
3. Bambang Soebando. “Usman Awang Perintis Sastera Malaysia Moden. Sinar
Harapan. 29 Mac 1975.
4. Ismail Hussein “Pengkajian Akademik Kesusasteraan Malaysia dalam Seminar
Kesusasteraan Nusantara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan Gapena, April 1972.
5. (Ismail Hussein Sastera dan Masyarakat, Pustaka Zakry Abadi. KL 1974.
Hal 11).
6. Muhammad
Haji Salleh.2017. Seorang Penyair Sebuah
Benua Rusuh , Kuala Lumpur. Gerakbudaya.
7. Usman
Awang, Gelombang, 1961, Kuala Lumpur. Oxford Universiti Press.
8.
Zurinah Hassan, Sasterawan
Negara Usman Awang edisi kedua, Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka
2006.
Penyair
di Sepanjang Zaman
Telah lebih empat
dasawarsa kini
Kau titiskan tinta
emasmu
Untuk seni atas nama
kebenaran sejata
Kau dikenali bukan cuma
di rumah sendiri
Di seberang benua turut
namamu merata
Pelbagai Bahasa kini
memindah percik renungmu
Di Korea Selatan
terhimpun suara bicara
Selain Russia Italy
Danish Peranchis Czekoslovakia
Turut merenung Mutiara
kata
Sama mendengar bening
suara
Lim Swee Tin, 1995.
Lim Swee Tin, 1995.
No comments:
Post a Comment