ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Saturday, May 23, 2020


 Contoh Penggunaan bahasa yang                      
                                       menyedihkan
Rimbun pauh di permatang
Di situ tempat kita bertemu
Dekat dan jauh sudahlah datang
Semoga dapat menimba ilmu

Terima kasih kepada pihak penganjur pertemuan bicara ilmu hari ini kerana memberi penghargaan kepada saya untuk merasmikan pertemuan ini. Sebagai seorang yang menulis di dalam Bahasa Melayu dan dikurniakan Anugerah dan gelaran Sasterawan Negara saya amat berbangga dan menyokong sebarang usaha untuk membantu masyarakat khasnya pelajar-pelajar dalam penggunaan Bahasa Melayu untuk penggunaan bahasa setiap hari apatah lagi dalam memenuhi kehendak peperiksaan seperti SPM.

Sejujurnya saya katakan yang saya telah agak ketinggalan dalam silibus pembelajaran dan perperiksaan hari ini. Ianya tentu jauh berbeza dari apa yang kami hadapi sekitar 50 tahun yang lalu. Namun begitu sebagai rakyat Malaysia tidak pernah meninggalkan perjuangan meninggikan martabat bahasa Melayu dan oleh kerana itu menyokong dan dengan apa cara yang termampu akan menyokong usaha-usaha seperti ini demi perjuangan meninggikan martabat  bahasa.

Perjuangan ini telah  digerakkan serentak dengan perjuangan membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan; dan tercapai dengan termaktubnya, Artikel 152 dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang menyebut “Bahasa Kebangsaan Negara  ini ialah Bahasa Melayu
Sebagai  bahasa kebangsaan sebuah negara yang berdaulat, bahasa Melayu berperanan / berfungsi sebagai bahasa rasmi negara, bahasa perpaduan, bahasa pengantar, bahasa ilmu, bahasa urusan perniagaan dan bahasa komunikasi.

Pemahaman terhadap fungsi bahasa Melayu akan mendorong kita untuk mempelajari, menghayati, menguasai, dan menggunakannya dengan berkesan. Selain itu, sebagai rakyat Malaysia akan berasa bangga terhadap bahasa kebanggaan negara kerana bahasa ini merupakan lambang jati diri dan kedaulatan negara. Bahasa kebangsaan ialah bahasa yang dapat memperlihatkan identiti nasional seperti negara-negara lain di dunia ini Setiap negara yang merdeka perlu memiliki bahasa kebangsaan yang dapat melambangkan identiti bangsa dan negara tersebut.

Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Perpaduan digunakan sebagai bahasa lingua franca dari zaman Sriwijaya hingga hari ini, bahasa Melayu telah berperanan sebagai alat perpaduan. Pada masa Sriwijaya berkuasa, kemudian diikuti pula oleh Kesultanan Melayu Melaka dan Kesultanan Johor-Riau, bahasa Melayu telah menjadi alat perpaduan yang menyatupadukan suku-suku bangsa di Nusantara.
Penerimaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan oleh semua kaum adalah suatu tanda bahawa mereka menerima konsep bahasa Melayu sebagai bahasa yang dapat menyatupadukan masyarakat Malaysia. Mereka menerima bahawa bahasa Melayu patut dipelajari oleh semua kaum agar mereka dapat berkomunikasi dengan baik antara satu sama lain. Oleh itu, mata pelajaran bahasa Melayu diwajibkan kepada semua pelajar pada semua peringkat sekolah, sebaik sahaja bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan Malaysia. Oleh itu, bahasa Melayu bertindak sebagai alat yang menghubungkan penutur-penutur daripada berbagai-bagai bangsa dan berupaya untuk menyatupadukan bangsa yang dikenal sebagai bangsa Malaysia.Komunikasi ini boleh berbentuk lisan atau tulisan
Mengenal karya sastera
daripada tingkatan 1 hingga tingkatan 5 bahawa, “Melalui komponen KOMSAS, diharapkan minat membaca, keseronokan membaca, dan penghayatan terhadap bahan sastera dapat dipupuk”. 

Kaum penulis dan sasterawan seperti saya sudah tentu bersyukur kerana bahan sastera dijadikan komponen penting dalam Bahasa Melayu yang dikenali sebagai  KOMSAS Berdasarkan matlamat yang diutarakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (2003), KOMSAS juga merupakan satu platform kepada pelajar untuk mereka melakukan apresiasi sastera.

Tahniah kepada penganjur yang menganjurkan suatu pertemuan seperti ini untuk memandu pelajar-pelajar menghayati dan cara-cara yang betul untuk memahami dan membedah karya. Penghayatan dan pemahaman karya sastera dalam bentuknya Puisi atau Prosa adalah relevan untuk masa kini dan masa hadapan.  Ia adalah bidang yang dapat dapat melembutkan jiwa, menyentuh perasaan dan membuka pemikiran. Apa2 sahaja  yang melembutkan jiwa adalah sangat diperlukan demi menyelamatkan manusia atau insan pada masa kini dan masa hadapan. Segala kejadian yang berlaku hari ini memperlihatkan bahawa sifat keinsanan dan ihsan sudah terhakis sehingga sanggup  membuang sisa beracun merata-rata hingga membunuh orang-orang yang tidak berdosa. Bayangkan bayi-bayi dan orang tua yang menyedut udara beracun itu. Kita tertanya apakah mereka tidak punya keluarga, ibu bapa, tak ada anak yang menyedut udara yang sama. Peristiwa menembak orang-orang yang sedang solat Jumaat di New Zealand menghiris hati kita dan semua umat Islam di dunia.
Bintang tujuh sinar berseri
Bulan purnama datang menerpa
Ajaran guru hendaklah cari
Mana yang dapat jangan dilupa

Pergi ke hulu membuat pagar
Jangan terpotong batang durian
Cari guru tempat belajar
Agar tidak menyesal kemudian


Dengarlah ini suatu kisah
Suatu tempat sangatlah indah
Dahulunya cuma paya dan hutan
Di negeri Selangor darulehsan

Tanah rendah selalu terbenam
Sebelum padi dapat ditanam
Diteroka oleh sahabat berenam
Lalu dinamakan Sabak Bernam

Tercatat di dalam buku sejarah
Sultan Ibrahim dan Raja Haji
Di sini berkubu menentang penjajah
Sejarah kita patutlah  kaji

Sabak Bernam menjadi  masyhur
Hingga datang  ke zaman sekarang
Rakyat rajin tanah pun subur
Kebun dan sawah berselang-selang

Ada homestay Sungai Dorani
Rumah di pinggir sawah padi
Tinggal bersama rakyat berbudi
Mengenal resam hidup bertani


Di pinggir pantai di waktu petang
Orang bermain layang-layang
Di waktu malam bulang pun terang
Membakar ikan mencicah kerang

Indah pandangan di waktu senja
Matahari terbenam merah jingga
Panaroma di tepi muara
Mengadap laut Selat Melaka

Ikan kering ikan segar
Atau diternak di dalam sangkar
boleh pilih di pasar-pasar
atau ke Sungai Air Tawar

Kelip kelip kusangka lampu
Kunang kunang Kampong Kuantan
Lampu terbang beribu-ribu
Maha indah ciptaan Tuhan.

Ada terpamer di muzium tani
Pelbagai alat menanam padi
Lesung kayu lesung kaki
Sejarah bangsa bertradisi

Bermain wau di tepi pantai
Di situ angin bertiup segar
Pohon kelapa bagai melambai
Di pantai Bagan Nakhoda Omar

Kata orang sedap mee udang
Juga udang goreng tepung
Laut yang luas dapat dipandang
Pantai indah menggamit pelancong

Ikan siakap ikan ketuka
Cicah kicap bawang dan cuka
Enak dimakan di gerai terbuka
Sambil memandang Selat Melaka

Ada juga terdengar kabar
Seorang bernama Puan Hashimah
Diseluruh negara sudah tersebar
Usahawan kuih dari rumah

Pergi memancing naik bot
Kelong paradise di tengah laut
Kaki pancing selalu sebut
Ikan yang besar mintalah sangkut

Kerepek ubi kuah pecal
Kuih kering sedaplah sungguh
Semua ini ada dijual
Di Sg. Leman parit tujuh

Hutan simpanan sungai karang
Redup alam berpohon rendang
Pelbagai jenis burung enggang.
Kicau burung menyambut datang

Wahai tuan yang  baik budi
Menyambut kami mesra sekali
Terima kasih daun keladi
Panjang umur berjumpa lagi

Jagalah daerahmu ayuhai tuan
Jangan disia siakan segala kemajuan
Baik2 membuat pilihan
Negari yang satu digadai jangan

Sabak Bernam nama daerah
Pusaka moyang tanah yang indah
Jangan terantuk baru tengadah
Tersalah pilih  sesal tak sudah

Hanya itu saya bersyair
Bukanlah niat menunjuk mahir
Dengar dengarlah  nasihat fakir
Memilih pemimpin biar berfikir

Sunday, May 17, 2020

Rencana ini merupakan ucapan yang telah disampaikan di Sekolah Menengah Raja Mahadi, Klang sebagai acara sambutan Hari Kebangsaan 2018. Acara meriah ini berlangsung di Dewan Sekolah pada 30 Ogos 2018.




Pada waktu dan ketika ini rakyat Malaysia sedang sibuk menyambut Hari Kemerdekaan, Kita mendengar lagu yang bertemakan dan memuji tanahair. Tapi apakah erti perkataan kemerdekaan itu.
Mengapa kita menyambut merdeka dan apa erti merdeka.  Mereka kata semakin lama merdeka itu hilang ertinya. Generasi muda semakin lama semakin tidak tahu apa erti merdeka.
Sebenarnya merdeka bukanlah satu hari untuk bersuka ria, Bercuti semata-mata,
Merdeka bukanlah hari untuk merayakan sesuatu. Lebih2 lagi bukanlah hari untuk bersuka ria. Walaupun orang kita mungkin sangat mementingkan aspek festival, Kita berarak di depan stadium merdeka,
 Ingatlah wahai generasi muda akan makna sebenarnya. Inilah harinya kita Berjaya menolak
Pemerintahan orang asing. Dan mula memerintah sendiri.  Hari untuk mengenang perjuangan yang Panjang. Hari untuk mengingati bahawa suatu masa dahulu kita pernah dijajah oleh bangsa lain. Kita mesti insaf. Satu masa dahulu bangsa Eropah dpernah menjajah kita. Mereka menawan Melaka pada tahun 1411.
Mula2 Portugis, kemudian Belanda, Inggeris, Datang pula Jepun. Di negeri2 sebelah utara, diserang oleh Siam.
Semua bangsa penjajah berlaku kejam terhadap rakyat tempatan.  Portugis merantai dan memaksa orang Melayu meruntuhkan masjid untuk diambil batu batanya untu membina Kota Melaka atau kubu melindungi mereka dari serangan musuh.
Jepun: kekejaman Jepun banyak diceritakan. Di sebelah utara bangsa Siam melakukan segala yang tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Kedah  seperti yang kita dapat baca dalam buku2 sejarah dan buku2 sastera.
Tentu kita tidak mahu hidup di bawah pemerintahan orang lain. Bukan sahaja menyiksa dari segi fizikal tetapi adalah memalukan, tidak bermaruah, pengecut kalau kita membiarkan diri dipaksa oleh orang lain. Kita mahu bebas dan merdeka.
Lalu orang2 tua kita yang berani BANGUN MENENTANG PENJAJAHAN.  Pahlawan2 kita yang berani bergadai nyawa untuk mengembalikan kedaulatan negara. Dalam sejarah kita belajar tentang tokoh2 yang berkorban nyawa. Kemerdekaan adalah hari untuk mengenang semua itu. Kemerdekaan adalah kisah yang amat Panjang.
Janganlah kita lupa. Dan yang lebih penting JANGAN DIPERSIASIAKAN PENGORBANAN  orang2 tua kita.Mereka telah bermati=matian. Maka wajiblah kita hargai kemerdekaan ini. Berdosalah kita kalau kita mempersia-siakan.  Mereka telah berkorban agar generasi muda dapat bergerak bebas dan membangun sebagai bangsa yang merdeka.
Tapi sayangnya ada yang telah melupai semua itu. Bahkan setelah tiada lagi bangsa asing yang menyiksa kita, kita pula yang menyiksa diri sendiri. Bagaimana? Dengan mengambil dadah lalu jasmani dan rohani terkulai layu seperti sampah yang tidak berguna. Amat menyedihkan ada pula yang sengaja terlibat dalam lumba haram yang bukan sahaja merbahaya bahkan meragut nyawa atau cacat anggota selama-lamanya. 
Kota Kuala Kedah masih berdiri
tapi aku tidak akan berlama di sini
sebelum aku pergi kutinggalkan pesan ini:
setelah tiada lagi musuh asing
yang menyeksa anak negeri
janganlah segala anak Melayu
menzalimi diri sendiri.
Cucuku
Bacalah catatan di kota Kuala Kedah
Sebelum kau dimakan sumpah
(Dewan Sastera Disember 2011)
ADAKAH MASIH RELEVAN? Semangat patriotism atau tema cintakan negara dan bangsa ini  relevan sampai bila-bila.  Patriotisme tidak hanya terhad kpd perjuangan menuntut kemerdekaan atau untuk melawan penjajah. Patriotisme dalam pengertiannya yang sebenar ialah sikap mengasihi negara , rasa bangga terhadap negara,  bersemangat untuk melakukan sesuatu yang baik untuk negara dan warganya. Hal ini termasuklah melakukan perkara2 yang baik untuk diri sendiri. Bekrja dan berusaha untuk memajukan diri sendiri. Misalnya anak2 muda yang cintakan negara dan cintakan diri sendiri tidak akan terlibat dengan dadah, tidak akan terlibat dengan lumba haram sehingga mengakibatkan kemalangan yang membunuh diri sendiri atau cacat sepanjang hayat.

PENJAJAHAN tidak bererti penaklokan bangsa asing ke atas bangsa kita .  Tapi penaklokan boleh berlaku dengan pelbagai cara seperti melemahkan jiwa, penjajahan minda dan budaya. Oleh itu kita perlu menyebar semangat patriotisma. Dengan semangat patriotism kita membangun kesedaran untuk mengasihi bangsa dan negara.  Dengan kata yang mudah  orang yang mengasihi bangsa dan negaranya tidak akan melakukan perkara-perkara yang tercela mencederakan saudara seagama sebangsa. Hal ini lebih penting lagi dalam masyarakat berbilang kaum.

Selain itu, semangat patriotisme juga dapat menjadi pemangkin kepada kemajuan negara. Dengan wujudnya semangat patriotisme, rakyat akan bekerja kuat agar dapat menyumbang ke arah pembangunan negara. Semangat patriotisme akan menjadikan keadaan negara aman damai dan ini akan mendorong leblh ramal pelabur asing membuka perniagaan di Malaysia. Sesungguhnya, kedatangan pelabur asing ini akan membuka peluang pekerjaan, menaikkan lagi taraf hidup rakyat dan seterusnya negara kita akan terus maju.

2) Setiap orang boleh menjalankan peranan yang berlainan mengikut kebolehan masing2. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan untuk menyemarakkan semangat kebangsaan. Sudah tentu peranan.  ini berbeza mengikut kebolehan dan kemampuan masing-masing. . Dalam bidang sastera, salah satu kegiatan yang dijalankan ialah mengadakan Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan.  Acara ini diisi dengan pertandingan membaca sajak yang dijalankan dari peringkat daerah, peringkat negeri dan seterusnya peringkat kebangsaan. Pertandingan itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan terutama dari kalngan anak muda. Apa yang menarik ialah peserta2 diwajibkan mmbaca sajak-sajak yang bertemakan patriotism. Ini bererti bait-bait sajak yang menyuarakan kemerdekaan akan bergema dan didihayati di seluruh pelusuk negara. Sudah tentu hal in I memberi impak dan menanam semangat cintakan negara. Paling menggembirakan kita ialah bila acara itu disertai oleh pelbagai kaum tidak terhad kepada peserta Melayu semata-mata. Maka muncullah nama2 deklamator yang terkenal seperti Yeo Hock Lim, Buck Lee T.P.  Serigaring Lim yang tidak kurang handal dari peserta2 Melayu. Ada beberapa nama . Mereka menyertai sejak tahun 80han.
4) Langkah yang boleh diambil ialah membanyakkan karya2 yang menyemai semangat cinta kepada negara, bangsa dan agama termasuk diri sendiri. Hal ini lebih berkesan jika ditanam sejak usia muda iaitu di sekolah2 atau pra sekolah. Ia boleh disemarakkan melalui lagu-lagu dengan senikata yang menyalurkan semangat kebangsaan.
5. Kita mempunyai ramai penulis2 yang sedar akan kepentingan bangsa dan bahasa. Misalnya jika timbul sesuatu isu yang mengelirukan masyarakat, mereka akan bertindak bersama untuk menyatakan perasaan mereka misalnya dalam antologi bersama seperti Cakar Nanar yang menyuarakan kepentingan bahasa yang diterbitkan oleh NUMERA dan juga  PENA.
6. Adakah rakyat mempunyai semangat patriotism yang kukuh? Semangat di kalangan rakyat perlu diperteguhkan lagi. Seperti yang dikatakan di atas cara terbaik ialah memulakannya dari kecil. Adakan pertandingan membaca sajak patriotic di kalangan kanak-kanak. Begitu juga menulis sajak di kalngan kanak-kanak. Sastera sangat penting dalam membentuk jiwa manusia.  Kata2 yang berima mempunyai impak kepada pendengar. Jika tidak penting tentu Allah SWT tidak menurunkan ayat2 Al-Quran yang mengandungi ayat2 yang berima dan mengandungi metafora atau perlembangan yang indah.
Karyawan telah mengambil beberapa langkah yang dapat dilakukannya. Katakan sayembara deklamasi puisi hari kebangsaan. Senikata lagu yang mengandungi seruan untuk mengasihi negara.

Sastera Melayu moden yang berkembang  sejak perkembangan awalnya dilihat didokong oleh penulis2 yang juga pejuang kemerdekaan. Mereka adalah orang2 yang sedar akan kedudukan sebagai bangsa yang dijajah. Kesedaran inilah yang menyebabkan mereka menulis. Pada keseluruhannya penulis2 dahulu ada sesuatu yang hendak diperjuangkan. Tujuan mereka menulis adalah untuk menyedarkan rakyat Untuk bangun dari dijajah. Mereka mengambil tugas mereka dengan bersungguh-sungguh. Tapi sebelum itupun sastera adalah alat pembentukan jiwa bangsa. Sastera ada hubungan rapat dalam menyemarakkan jiwa merdeka. Sastera membentuk peribadi insan dan membentuk pemikiran. Kita bermula dengan pantun2 yang didengar sejak kecil.
Jika kita lihat pada tahun 1940-an dan 1950-an, negara kita sedang memperjuangkan kemerdekaan dan golongan penulis ketika itu dilihat begitu komited pada perjuangan untuk mencapai kemerdekaan. Harun Aminurrashid, menulis novel Panglima Awang, untuk merakam kisah orang Melayu bernama Panglima Awang yang mengikut Ferdinand Macgellan belayar mengelilingi dunia. Selain novel2 yang memaparkan keperwiraan orang Melayu terdapat majalah2, seperti majalah Qalam dan Mastika termasuk majalah  Fesyen, yang memuatkan  artikel yang menyeru ke arah kemerdekaan.

Saturday, May 16, 2020

Sasterawan Negara Usman Awang menduduki tempat yang penting dalam sejarah kesusasteraan Melayu dan perkembangan pemikiran masyarakat.  Beliau adalah penyair yang mempopularkan genre sajak  yang sebelum ini tidak mendapat tempat dalam kesusasteraan Melayu. Beliau adalah penulis yang dianggap paling diminati oleh khalayak, di samping menjadi penulis yang mendapat pengiktirafan di luar negara. Antara lain Usman Awang dilantik menjadi Pengerusi Persahabatan China-Malaysia, Penerima SEA Write Award (Anugerah Penulisan Asia Tenggara 1982), Ijazah Doktor Kehormat Persuratan (1982), Anugerah Sastera Negara (1983), Zamalah Sastera Penulis Terkenal/Veteran (1985), Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Perak dan Anugerah Penyair Johor (1995). Usman Awang diiktiraf di peringkat antarabangsa dengan begitu banyak karya-karya yang diterjemah ke bahasa lain. Antara lain, pada tahun 1988 dijemput melawat China dan berpeluang menyertai International Visitors Programme di Amerika Syarikat.  Usman Awang sejak zaman awal kedatangannya ke Singapura dan faktor-aktor intrinsik dan extrinsik yang membawa kepada kemunculannya  sebagai tokoh sastera yang terpenting.  Awang telah mendapat tempat di hati pembaca bagi sajak-sajaknya dan kejayaan ini merupakan satu jasa kepada puisi Melayu moden.kerana dengan itu masyarakat mulai menggemari sajak yang sebelum itu tidak mendapat perhatian. Kepentingan Usman di dalam kesusasteraan Melayu moden ialah sebagai orang yang mula2 mempopularkan bentuk sajak di Malaysia. Popular yang membawa erti menjadikan sajak sebagai sesuatu yang dikenali dan digemari 

Karyanya banyak diterjemahkan ke pelbagai bahasa. 


amai.




Sajaknya Ke Makam Bonda. 
            Pada pandangan saya inilah sajak Melayu yang pertama diterima dan diminati oleh masyarakat. Mereka yang berusia 60 atau 65 tahun ke atas tentu pernah  mendengar sajak ini dipersembahkan di radio dan di pentas. Biasanya ia dipersembahkan dalam bentuk yang dipanggil tablo atau pentomen. Dalam persembahan ini sajak akan dibaca atau dideklamasi oleh seorang deklamator manakala beberapa orang lagi akan melakonkan aksi seperti yang terdapat dalam sajak tersebut. Saya sendiri pernah mendengar sajak ini didendangkan dalam lagu Gurindam Bangsawan oleh Rohani B dalam satu acara puisi di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dalam tahun 1980an.
            Mengatakan sajak ini adalah sajak pertama yang mendapat tempat di kalangan khalayak samalah maksudnya dengan mengatakan bahawa Usman adalah penyair pertama yang diterima masyarakat atau dengan kata lain, Usman adalah orang pertama mempopularkan bentuk sajak dalam kesusasteraan Melayu moden.
            Kekerapan sajak ini dan sajak-sajak Usman yang lain dipentaskan telah ditulis oleh Adibah Amin  “Usman’s poems were and are among the best-known and best loved works in modern Malay literature. In the 1950’s and early 1960’s especially they were  frequently read, recited, acted and broadcast” (Adibah Amin The New Straits Times. Selasa 6 Jun 1976). 
            Ini juga membawa Usman Awang menduduki tempat yang unik sebagai Penyair yang telah mencapai tahap kemasyhuran dan kepopularaan sehingga menjadi satu  institusi  di Malaysia (Ismail Hussein, 1972). Istilah popular digunakan dengan erti dikenali dan digemari ramai. Kedudukan Usman sebagai sasterawan yang popular dan masyhur boleh diukur dari tulisan tulisan.mengenainya yang tersiar di akhbar dan majalah terutama pada tahun-tahun enam puluhan dan tujuh puluhan . Walaupun tulisan itu merupakan tulisan-tulisan di akhbar dan bukan kajian ilmiah tetapi relevan untuk memberi gambaran umum  terhadap kedudukan Usman.
            Aspek popular inilah juga yang telah ditekan oleh Adibah Amin ketika menulis mengenai enam orang sasterawan, termasuk Usman Awang yang menerima Hadiah Pejuang Sastera  dalam tahun 1976. Adibah menganggap Usman  sebagai “the best loved” atau penyair yang disayangi dan diminati ramai. (New Straits Times. 6 Jun 1976).
            Seorang lagi kolumnis sastera pada tahun-tahun 1970an ialah Cheah Boon Keng.  Beliau   juga mendapati bahawa hal paling menarik mengenai Usman ialah kenyataan bahawa dia adalah penyair Malaysia yang paling dikenali dan mendapat penghargaan di luar negara. Hal ini terdapat di dalam tulisan Cheah Boon Kheng “International Recognition for Malaysia’s Best Known Poet”, Sunday Mail 26 Oktober 1969.
            Tidak dinafikan keadaan ini menimbulkan komen-komen yang sinis. Imej sebagai sasterawan yang popular ini menyebabkan Yahaya Ismail memanggilnya VIP dalam Sastera Melayu Yahaya Ismail menulis di dalam kertas kerjanya yang dibincangkan di Alor Setar sebagaimana yang dilaporkan oleh Mohd. Yusof Hassan, Mingguan Malaysia, 19 Mei 1974.
            Pada pendapat  Yahaya,  Usman dan kawan-kawannya seperti Keris Mas dan A.Samad Ismail diperteguhkan oleh kedudukan mereka sebagai pemegang saluran penerbitan atau  sebaran am. Mengikut Yahaya,  tokoh tokoh ini sejak berpindah ke Kuala Lumpur semakin teguh kedudukannya bila masing-masing memegang jawatan-jawatan di lapangan kesusasteraan dan sebaran am.  Usman Awang dan Keris Mas bertugas di Bahagian Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka manakala  A.Samad Ismail sebagai pengarang sebuah akhbar yang terkemuka.
            Jikalau Yahaya memanggil Usman seorang VIP maka Muhammad Affandi Hassan memberi gelaran celebrity. Hal ini terdapat dalam tulisannya  “Beberapa Pandangan dan Saranan tentang Teori dan Praktik dalam Kesusasteraan Melayu moden”, Dewan Sastera Jun 1973. Mengikut Muhammad Affandi Hassan celebrity adalah mereka yang dihidupkan oleh media masa.
Pengaruh Usman bukan sahaja terbatas di kalangan masyarakat Melayu tetapi jika dibandingkan dengan pengarang-pengarang Melayu yang lain, beliau telah mendapat perhatian yang lebih luas di kalangan masyarakat Tionghua. Kelana CM menulis tentang ini dalam rencana bertajuk “Uda dan Dara Kesayangan Masyarakat Tionghua”  Berita Minggu 27 Julai 1964.
            Sanjungan masyarakat China terhadap Usman terus disebut oleh Lee Ban Chen, (Malaysiakini, 6 Disember 2001) setelah Usman meninggal dunia. 
Usman Awang mendapat tempat yang istimewa di kalangan pembaca kaum Cina kerana penguasaan bahasanya yang indah dan menarik. Kekayaan mesejnya yang pelbagai dan berlandaskan nilai-nilai kemanusiaan yang universal dan melintasi batasan ras,  serta penyatuan realisme (isi/mesej) dengan romantisme (bentuk/penyampaian) begitu harmonis dan unik sekali.
Lee, sebagaimana ramai yang lain terpesona dengan kata-kata yang pernah dilafazkan oleh Usman,
“ Musuh orang Cina bukan orang Melayu, dan musuh orang Melayu juga bukan orang Cina. Musuh bersama kita ialah kemiskinan, ketidaksetaraan dan penindasan”.

            Kesuburan dan ketahanan Usman juga menjadi tumpuan di dalam tulisan Ismail Hussein ketika menulis kata pengantar bagi antologi pertama Usman, Gelombang (O.U.P Kuala Lumpur 1961) Ismail Hussein menganggap Usman sebagai lambang ASAS 50 yang lahir bersama sama dengan lahirnya badan kesusasteraan itu dan menjadi pendokongnya yang paling terkemuka. Mengikut Ismail Hussein aspek yang penting dan menarik tentang Usman ialah dia bukan sahaja diterima oleh pembaca Melayu tetapi membina khalayaknya di kalangan masyarakat Tionghua.  Ini dapat dibuktikan dengan melihat betapa banyak  sekali jumlah sajak, cerpen  dan dramanya yang diterjemahkan ke Bahasa itu.  Ismail Hussein juga  melihat yang Usman mempunyai kesuburan yang tidak pernah pudar, dan ini baginya satu hal yang agak menghairankan apabila di dalam tahun-tahun itu seorang demi seorang teman-teman seangkatannya lenyap daripada gelanggang kesusasteraan Melayu baharu (Ismail Hussein. Kata pengantar kepada  antologi Gelombang. Hal vii).

            Usman bukan sahaja berjaya mencapai kemasyhuran nama di negaranya, malah kewujudannya mendapat perhatian juga di luar negara. Bambang Soebendo dari Indonesia menganggap Usman sebagai perintis sastera Melayu moden (Bambang Soebando. “Usman Awang Perintis Sastera Malaysia Moden. Harian Sinar Harapan. 29 Mac 1975.  Ini adalah kali pertama seorang penulis Malaysia diberi fokus di akhbar Indonesia itu. Selain itu  seorang sarjana sastera dari Russia, Boris Parnickel memberitahu Shahnon Ahmad dia sangat tertarik dengan novel Tulang2 Berserakan dan sedang menterjemahkannya ke Bahasa Russia semasa Shahnon menemuinya sebagaimana tulisan  Shahnon Ahmad menulis tentang lawatannya ke Russia di Berita Minggu, 28 Oktober 1973.

            Setelah berjaya mengumpul peminat yang ramai, Usman tidak mengalami kesukaran untuk mendapat dana atau bantuan bagi menjayakan pementasan drama Uda dan Dara.  Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bersedia menyumbang bantuan sebanyak 10 ribu ketika drama itu dipentaskan di Panggung Experimen Universiti Malaya pada bulan Disember 1972. Ini adalah jumlah yang dianggap lumayan pada ketika itu dan sukar diperolehi oleh pihak lain. Berita Harian menganggap sumbangan 10 ribu dari KKBS sebagai memulakan satu usaha besar.
(Berita Harian 4 Nov. 1972).
            Penerimaan baik dari masyarakat inilah yang memberanikan pihak Oxford Universiti Press menerbitkan kumpulan perseorangannya, Gelombang, dalam tahun 1961. Menerbitkan sebuah kumpulan perseorangan bukanlah sesuatu yang mudah pada masa itu dan hingga beberapa tahun kemudian. Dalam satu temubual dengan Oxford Universiti Press di pejabat penerbitan itu di seksyen 13 Petaling Jaya pada 27 Januari 1977,  beliau memberitahu bahawa Gelombang telah dicetak sebanyak satu ribu naskah dan telah habis dijual.  Beliau berterus terang menyatakan bahawa pihaknya lebih berminat untuk menerbitkan buku-buku pelajaran daripada buku-buku sastera kreatif kerana pasarannya lebih terjamin. Kedinginan sikap penerbit diperkatakan oleh pengarang majalah Dewan Sastera.  

“Selama ini hanya boleh dihitung dengan jari sebelah tangan saja penyair-penyair yang puisi-puisinya diterima oleh penerbit untuk dibukukan. Sedangkan tahun-tahun kebelakangan ini kita melihat begitu ramai penyair yang berbakat dengan hasil puisinya yang telah dimuatkan di akhbar-akhbar dan majalah-majalah. Tetapi pasaran puisi lebih rendah daripada harga hampas kelapa, maka ia bertaburanlah di bawah-bawah tangga kehidupan”.  Dewan Sastera Mei 1971.

            Sungutan tentang kesukaran menerbitkan kumpulan sajak dan rasa tidak puas hati kerana kurang mendapat perhatian diperturunkan di atas bagi menunjukkan bahawa sajak sebagai satu pengucapan kesusasteraan belum digemari. Di dalam keadaan seperti ini adalah menarik untuk melihat bagaimana Usman Awang dapat menembusi tembok dan mencapai kemasyhuran.

            Usman dan karya karya beliau diangkat ke persada antarabangsa kerana beliau turut merakamkan peristiwa dan membela nilai kemanusiaan sejagat. Jasa, sumbangan fikiran dan keindahan bahasa beliau dihargai melalui beberapa Anugerah yang diterima dari dalam dan luar negara. Antaranya beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Persahabatan China-Malaysia 1991 menerima SEA Write Award 1982, Ijazah Doktor Kehormat Persuratan 11 ogos 1982, Anugerah Sastera Negara 1983, Zamalah Sastera Penulis Terkenal Veteran 1985, Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Dari Perak, Anugerah Penyair Johor 1995. Usman Awang diiktiraf di peringkat antarabangsa dengan begitu banyak karya-karya yang diterjemah ke bahasa lain. Antara lain, pada tahun 1988 dijemput melawat China dan berpeluang menyertai International Visitors Programme di Amerika Syarikat.
            Kertas ini menyorot kedudukan Usman Awang sejak zaman awal kedatangannya ke Singapura dan faktor-faktor intrinsik dan extrinsik yang membawa kepada kemunculannya  sebagai tokoh sastera yang terpenting. 

            Faktor Extrinsik (Faktor Luaran)
            Usman Awang bukanlah penulis pertama di Malaysia yang menulis dalam bentuk sajak, tetapi adalah penyair pertama yang mendapat sambutan yang meluas. Sajak telah tersiar sejak 1934 dan   Muhammad Yassin Makmur atau Pungguk umumnya diterima sebagai pelupor sajak moden di Malaysia sementara Usman hanya mula menulis dalam tahun 1948.  Sajak atau puisi moden diulas oleh Ali Ahmad  sebagai “telah menyimpang daripada puisi Melayu yang lama dalam berbagai-bagai aspeknya, sama ada bentuk, semangat, pemandangan suasana atau lainnya. (Ali Ahmad, Puisi Melayu (Zaman Permulaan) Dewan Bahasa dan Pustaka, 1965, hal xiii)
            Hal in ditambah oleh Ismail Ahmad yang menulis  “Dalam puisi itu mulai lahir fikiran yang individual terhadap masyarakat, politik, ekonomi dan sosial secara luasnya” (Ismail Ahmad, “Perlambangan di dalam sajak-sajak zaman permulaan: Di Sekitar Pemikiran Kesusasteraan Malaysia 1957-1972. Dlm Anwar Ridhwan, Dbp 1976 Hal.64),

            Di peringkat awal adalah sukar untuk menengahkan bentuk ini, dan penulis-penulis yang mendahului Usman tidak berpeluang meningkat ketahap kemasyhuran seperti beliau. Selepas tahun 1938 bila Muhammad Yassin Makmur menamatkan perkhidmatannya dengan Majalah Guru, majalah itu tidak lagi memainkan peranan penting dalam menyiarkan sajak-sajak. Mengikut Ali Ahmad terdapat penekanan ke atas puisi baru dan majalah Guru kembali menyiarkan puisi jenis lama yang amat dangkal dan tidak bermutu dari segi seni puisinya. (Ali Haji Ahmad xvii.) Bentuk  baru itu belum diterima oleh masyarakat kerana ia dianggap menyimpang dari bentuk tradisional yang telah sebati dengan jiwa masyarakat Melayu sejak berkurun-kurun lamanya.
            Peringkat seterusnya ialah zaman pemerintahan Jepun 1941-1945. Zaman ini juga tidak memberi peluang yang baik untuk pertumbuhan sajak-sajak Melayu. Apabila Jepun memerintah terdapat sekatan terhadap penyiaran karya-karya sastera seperti yang ditulis oleh Ali bin Haji Ahmad; “Serba serbi tersekat dan terkongkong oleh keadaan masa perang dan oleh kekuasaan fasis Jepun. Kebebasan mengeluarkan perasaan dan fikiran boleh dikatakan tiada sama sekali. Segala sesuatu yang dikeluarkan mestilah sealiran dan sesuai dengan kehendak-kehendak Jepun” (Ali Ahmad Perintis Sajak-sajak Melayu, Penerbit Fajar Bakti hlmn viii). Sajak-sajak juga tidak dapat disiarkan dengan bebas melainkan sajak-sajak yang dianggap mengandungi propaganda pro-Jepun ataupun yang meluahkan perasaan permusuhan terhadap British seperti yang terdapat dalam sajak di bawah

Hiduplah Malai Baru
Asap yang gelap di udara
Berubah menjadi terang cuaca
Menandakan Malai tumbuh bahagia
Tersebabkan terlepas dari bahaya.

(oleh Tanpanama)


            Penulis2 sajak zaman Jepun termasuklah Ibrahim Ali, Rashid Taha, Sharif Sukar dan Masuri SN. Penyiaran sajak dimulakan di Berita Malai pada  9 Ogos 1944

(Rosmera dalam Anwar Ridhwan 1976 hal 73). Di antara mereka hanya Masuri SN yang menulis secara konsisten sepanjang hayatnya.
            Walau bagaimanapun,  Pendudukan  Jepun telah mempengaruhi pemikiran dan kesusasteraan. Zaman ini menumbuhkan sikap anti British dan menyalakan semangat patriotisma di kalangan rakyat. Penentangan terhadap Malayan Union telah menyemarakkan semangat rakyat untuk membangun negara dan bahasa Melayu. Para cerdik pandai dan masyarakat umumnya memberi  perhatian kepada bahasa dan sastera sebagai saluran untuk menyatakan hasrat membebaskan diri daripada British dan segala rupa penjajahan.
            Penaklukan Jepun yang menyekat perkembangan kesusasteraan dengan pelbagai tapisan itu penting pula dari segi lain. Ia telah menjadi peristiwa sejarah yang melahirkan transisi sikap dan kelakuan di kalangan masyarakat tempatan.. Di samping kesan-kesan yang serta merta terjadi pula ekoran-ekoran penting dalam perkembangan ekonomi, sosial dan kebudayaan rakyat Malaya.  Pertembungan dengan kebudayaan dan pemikiran Jepun mempunyai implikasi terhadap pemikiran dan sikap pemimpin-pemimpin kebangsaan dan rakyat seluruhnya. Ini mempengaruhi terutamanya soal-soal politik penjajahan, nasionalisma dan semangat ke Nusantaraan.
            Pergolakan politik ini mempengaruhi pula kesusasteraan., Pada waktu ini tumpuan yang lebih diberikan kepada bahasa dan sastera. Selepas tahun 1948 terdapat  beberapa cerdik-pandai telah beralih kepada bidang kesusasteraan. Ini semua bermakna suasana sangatlah menggalakkan bagi perkembangan kesusasteraan. Undang2 Darurat yang diistiharkan pada bulan Jun 1948 mengakibatkan tokoh2 politik seperti Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestamam, Dr.Burhanuddin  yang dulu aktif dalam politik mengalihkan perjuangan ke jurusan penulisan (Syed Husin Ali, “Pertubuhan-pertubuhan bahasa dan sastera Melayu di Singapura selepas perang dunia kedua-khususnya Asas 50. (Latihan Ilmiah Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya 1950).
            Singapura muncul sebagai pusat penerbitan dan pusat pertembungan ilmu. Diantara 1945 hingga 1958 terdapat 14 buah syarikat- syarikat penerbitan termasuklah akhbar  seperti Utusan Melayu dan Mingguan Melayu. .Ramai anak muda yang merantau ke sana untuk mencari pekerjaan terutama mereka yang berkecenderungan di dalam lapangan  penulisan dan penerbitan. Di antara mereka termasuklah Usman Awang.. 
            Penyertaaan Usman ke dalam Asas 50 memberikan media terpenting dan berpengaruh. Asas 50 menduduki  tempat yang paling penting dalam sejarah perkembangan bahasa dan kesusasteraan Melayu. Seperti kata Syed Husain Ali,
“ kepada Asas 50 telah diberikan oleh sejarah kesempatan yang tidak diberikan kepada badan-badan lain dan angkatan-angkatan yang terdahulu daripadanya dan kesempatan itu telah digunakan dengan sebaik-baiknya oleh Asas 50”.  Pemimpin Asas menjadi orang-orang yang disanjung oleh masyarakat.
            Zaman lima puluhan adalah tahun2 yang padat dengan perjuangan. Masyarakat  menjadi emosional dan gemarkan slogan-slogan perjuangan. Memetik pendapat Ismail Hussein “tahun-tahun lima-puluhan merupakan kemuncak perkembangan dan perjuangan nasionalisma Melayu. Di dalam zaman yang politikal seperti ini masyarakat amat emosional dan terpengaruh oleh slogan-slogan. Dan kaum sasterawan yang berkecimpungan di dalam pergolakan zaman seperti itu juga tidak dapat lari daripada hakikat ini. (Ismail Hussein Sastera dan Masyarakat, Pustaka Zakry Abadi. KL 1974. Hal 11).
            Usman Awang  menulis sajak-sajak perjuangan di samping sajak-sajak kasih sayang dan romantis. Sajak-sajak seperti Jiwa Hamba, Langit Tinggi, Aliran Hidup, Aku Sedar, Pesanku, Sinar Pagi, Tanah Air, Isi Tak Berganti , Pahlawan Tanah Air.dan banyak lagi mudah menyentuh perasaan rakyat yang sedang bersemangat patriotis.

Faktor Intrinsik: Unsur Tradisi Dalam Puisi Usman Awang.

Di samping suasana di sekelilingnya yang merupakan faktor-faktor ekstrinsik terdapat juga faktor instrinsik iaitu sifat-sifat dalaman sajak-sajak itu sendiri. Puisi Usman mudah mendapat tempat di hati  masyarakat kerana:
·         Kebiasaan menulis dalam empat baris serangkap yang mirip pada bentuk pantun dan syair
·         Sering mementingkan rima pada sajak-sajaknya
·         Unsur bunyi seperti aliterasi dan asonansi.
·         Perlambangan yang tradisional dan mudah dimengertikan
·         Pemilihan kata-kata yang ringan dan biasa
·         Penceritaan yang banyak bertolak dari perlukisan alam semula jadi yang indah.

            Mengenai ciri-ciri kepantunan pada sajak-sajak Usman Awang telah banyak diperkatakan. Unsur-unsur puisi tradisional dan mudah menjadikan sajak-sajaknya  diminati.  Khalayak masih di tingkat pemahaman dan menolak sajak yang sukar difahami. Sebuah rencana Berita Minggu 21 Januari 1973 menulis tentang hal ini di bawah bertajuk ‘Sajak2 Usman Berkesan Sebab Mudah”

            Dengan kebiasaan kepada pantun dan syair, masyarakat jadi kurang tertarik pada sajak-sajak bebas yang tidak langsung mementingkan unsur-unsur bunyi. Rima yang terdapat pada sajak2 Usman itu menyebabkan sajak-sajaknya popular di majlis-majlis deklamasi , Seperti kata Adibah Amin yang dipetik di atas, pada tahun lima puluhan  sajak sajak yang sering dibaca ialah ke Makam Bonda, Bunga Popi.

            Ali Ahmad dalam  kertaskerja  Simposium Sajak 1967 menulis bahawa Usman terus mengekalkan harmoni pantun di dalam sajaknya. Bentuk tradisi adalah faktor yang mempopular sajak-sajak Usman, Sifat tradisional bukan saja pada bentuknya tetapi tema kemasyarakatan dan semangat perjuangan. Hal ini disokong oleh  Ismail Hussein yang menulis, “Jikalau sekiranya kita teliti kepopularaan Usman yang kini hampir menjadi sebagai satu institusi di Malaysia, maka ini adalah akibat daripada sikap tradisionalnya dan sikap stereotypenya, iaitu bertentangan dengan sikap individualistis penyair moden yang lain. Usman membangkitkan semula dialek Melayu lama, iaitu di dalam pengolahan kata-katanya dan melanjutkan sikap perjuangan yang kolektif dan stereotaip yang dengan sendirinya membangkitkan semula respon tradisional itu. Ismail Hussein “Pengkajian Akademik Kesusasteraan Malaysia dalam Seminar Kesusasteraan Nusantara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan Gapena,  April 1972.
            Kata Ismail Hussein lagi, jika seorang penyair ingin membentuk satu puisi rakyat di dalamnya satu masyarakat yang rata-ratanya masih konservatif dan terikat kepada tradisi maka a tidak ada jalan lain daripada menggunakan unsur-unsur tradisional yang mudah dimengerti. Penyair Usman memilih jalan ini. Dengan mengeksploitasikan unsur2 puisi-puisi dan bahasa Melayu lama, dengan menggunakan tema kerakyatan, dia melahirkan puisi-puisi yang menarik dan cepat berkesan.
            Contoh yang ingin dikemuka di sini ialah sajak Pak Utih

Punya satu isteri mahu dakap sampai mati,
Lima anak mahu makan setiap hari,
Teratak tua digayuti cerita pusaka,
Sebidang tanah tandus untuk huma.

Kulit tangan tegang belulang,
Biasa keluarkan peluh berapa saja,
O, pak Utih, petani yang berjasa.

Tapi malaria senang menjenguk mereka,
Meski dalam sembhayng doa berjuta,
Dan Mak utih biasa panggil dukun kampung,
Lalu jampi mantera serapah berulang-ulang.

Betapa Pak Dukun dan bekalan pulang,
Wang dan ayam dari diikat bersilang.

        ii

Di kota pemimpin berteriak-teriak
Pilihan raya dan kemerdekaan rakyat,
Seribu kemakmuran dalam Negara berdaulat,
Jambatan mas kemakmuran sampai ke akhirat.

Ketika kemenangan bersinar gemilang,
Pemimpin atas mobil maju ke depan, dadanya terbuka,
Ah, rakyat tercinta melambaikan tangaan mereka.

Di mana-mana jamuan dan pesta makan,
Ayam panggang yang enak di dewpan,
Datang dari desa yang dijanjikan kemakmuran.

Pak Utih masih menanti dengan doa,
Bapak-bapak pergi ke mana di mobil besar?





            Usman sebenarnya mengaku bahawa dia berusaha secara sedar untuk mendekatkan sajak-sajaknya kepada masyarakat. Beliau bukan sahaja menggunakan unsur-unsur puisi tradisional malah turut  mengajukan ciri- ciri ini sebagai satu cara pengucapan sajak.  Beliau pernah menulis “Kita harus insaf bahawa sajak bukan cerpen bukan novel yang mempunyai banyak peluang dan kesempatan baik dalam penerbitan mahupun dalam sambutan masyarakat. Dunia moden sekarang dikuasai pedagangan dan pasaran tiap pihak harus berjuang merebut tempat dalam kehidupan manusia dan demikianlah sajak harus kita perjuangkan untuk memperoleh tempat di kalangan masyarakat.
            Dengan tujuan yang sama UA meneruskan penglibatannya di dalam majlis-majlis pembacaan puisi dan sebagainya untuk mencari pelbagai cara mendekatkan sajak kepada masyarakat.  
            Pengiktirafan antarabangsa memberikan peluang kepada Usman mengunjungi negara-negara luar termasuk China, Russia, Jepun, Korea dan Amerika Syarikat. Usman diundang oleh Persatuan Penulis Rusia untuk menghadiri sebuah Pertemuan Penulis Antarabangsa di Moscow di mana Usman bertemu dengan beberapa orang sarjana sastera Nusantara seperti Parnikel, Pogadaev dan Sikorsky. Usman diundang  membaca sajak `Suara dari Pusara’ di Institut Kesusasteraan Dunia dan mendapat pengiktirafan oleh khalayak di situ.   
            Usman juga sudah lama popular di antara penduduk keturunan Cina Malaysia. Oleh kerana sifat terbukanya,  Usman telah dipilih sebagai President Persatuan Persahabatan Malaysia-China, dan telah beberapa kali ke negeri China untuk  mengadakan perbincangan termasuk mengusahakan penerbitan karya dan terjemahan. Sewaktu Presiden China Jiang Zhemin berkunjung ke Malaysia Usman telah dijemput untuk bertemu dengannya.
            Usman turut memperjuangkan hak kemanusiaan untuk  Palestin. Beliau bergaul rapat dengan  wakil Palestin di Malaysia serta mengadakan pertemuan dan ceramah supaya wakil Palestin ini dapat menerangkan situasi dan dilema mereka.. Sebagai mengiktiraf sumbangnanya Usman pernah diterbangkan ke Algeria untuk  sidang Parlimen Pertama Palestin, dan pada hari pertamanya  membaca sajak `Salam Benua,’ yang dipuji oleh Arafat sendiri, kerana sentimen negara dan penentangan terhadap perampasan tanah mereka  (Muhammad Haji Salleh.Seorang Penyair Sebuah Benua Rusuh  2017)
            Selain itu Usman pernah menghadiri Seminar Kesusasteraan Malaysia di School of Oriental and African Studies, 1992. Beliau membaca puisi di Malaysia Hall dan South Bank.dan dramanya `Matinya Seorang Pahlawan’ juga  dipentaskan . Selain itu karya-karyanya turut diterjemahkan dan dipelajari di Korea Selatan, Belanda, Peranchis, Italy dan Czekoslovakia. Hal ini menyentuh perasaan penyair-penyair lain seperti Lim Swee Tin yang  menulis sajak  Penyair di Sepanjang Zaman, 1995.

Telah lebih empat dasawarsa kini
Kau titiskan tinta emasmu
Untuk seni atas nama kebenaran sejata
Kau dikenali bukan Cuma di rumah sendiri
Di seberang benua turut namamu merata
Pelbagai Bahasa kini memindah percik renungmu
Di Korea Selatan terhimpun suara bicara
Selain Russia Italy Danish Peranchis Czekoslovakia
Turut merenung Mutiara kata
Sama mendengar bening suara

Lim Swee Tin

Kesimpulan
Demikianlah kedudukan Usman Awang sebagai penyair yang telah diterima oleh masyarakat. Kejayaannya ialah kejayaan berkomunikasi dengan masyarakat tempatan dan dunia luar dalam bentuk pengucapan yang diterima dan difahami mereka. Dia telah muncul sebagai penyata masalah kehidupan dan impian masyarakat Melayu terutama pada tahun lima puluhan yang sedang mencari kekuatan dan identiti bangsa. Pandangannya sederhana selaras dengan peribadinya yang sederhana. Dia bukan ahli sosiologi yang dapat menganalisa masalah2 sosial dan bukan ahli falsafah yang memberikan pemikiran yang mendalam tentang kehidupan malah dalam kelembutannya dia tidak menyeru kepada rakyat  dengan kepercayaan kepada keupayaan manusia untuk memperbaiki taraf kehidpan sendiri dan kewujudan kuasa yang adil sebagai penyelesai yang muktamad. Dia juga cuba memberi harapan dan identity  kepada rakyat jelata dengan menunjukkan kepada kemurniaan nilai-nilai hidup iaitu budi bahasa dan kasih sayang yang ada di antara mereka dan hampir lenyap dari kalangan orang atasan. Pandangan-pandangan yang sederhana inilah yang telah memberi kekayaan kepada kesusasteraan dan Bahasa Melayu sehingga mencapai tarafnya hari ini. Tulisan-tulisan inilah yang dalam banyak hal menghidupkan jiwa rakyat dari rasa terbelenggu  sebagai persediaan untuk kehidupan dalam sebuah negara demokrasi baru.

Rujukan:
1.    Ali Ahmad,1965  Puisi Melayu (Zaman Permulaan) Dewan Bahasa dan Pustaka,
2.    Anwar Ridhwan (peny) 1976. Di Sekitar Pemikiran Kesusasteraan Malaysia 1957-1972, Dewan Bahasa dan Pustaka,
3.    Bambang Soebando. “Usman Awang Perintis Sastera Malaysia Moden.  Sinar Harapan. 29 Mac 1975. 
4.    Ismail Hussein “Pengkajian Akademik Kesusasteraan Malaysia dalam Seminar Kesusasteraan Nusantara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan Gapena,  April 1972.
5.    (Ismail Hussein Sastera dan Masyarakat, Pustaka Zakry Abadi. KL 1974. Hal 11).
6.    Muhammad Haji Salleh.2017. Seorang Penyair Sebuah Benua Rusuh , Kuala Lumpur. Gerakbudaya.
7.    Usman Awang, Gelombang, 1961, Kuala Lumpur. Oxford Universiti Press.
8.     Zurinah Hassan, Sasterawan Negara Usman Awang edisi kedua, Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka 2006.



  




Penyair di Sepanjang Zaman 
Telah lebih empat dasawarsa kini
Kau titiskan tinta emasmu
Untuk seni atas nama kebenaran sejata
Kau dikenali bukan cuma di rumah sendiri
Di seberang benua turut namamu merata
Pelbagai Bahasa kini memindah percik renungmu
Di Korea Selatan terhimpun suara bicara
Selain Russia Italy Danish Peranchis Czekoslovakia
Turut merenung Mutiara kata
Sama mendengar bening suara

Lim Swee Tin,  1995.