ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Friday, March 27, 2020

ALAM DAN PEMIKIRAN DALAM LIRIK LAGU





Penggunaan unsur alam sebagai latarbelakang atau sebagai perlambangan dapat  membangkitkan suasana yang sesuai dengan peristiwa yang digambarkan serta makna. dan pemikiran dalam lirik lagu.

Penggunaan perlambangan dapat dilihat dalam beberapa buah lirik lagu.
MENARUH HARAPAN. (Lirik Habsah Hassan)

Sepanjang perjalanan ini
Lembah dan lurah kulewati
Ketenangan yang kucari
Belum kutemui
Menghimpun doa bertahun
Mencari pepohon yang rimbun
Bertemu dahan yang rapuh
Tempat kuberteduh
Dulu aku sendiri
Kini aku sendiri
Hadapi hidup ini
Susah senang diriku
Tiada tempat kumengadu
Seperti burung kepatahan sayap
Di hati kecil ku menaruh harapan
Selagi hidup belum sudah
Aku akan terus melangkah
Kuyakin rahmat buatku
Di hadapan menunggu.


Lirik “Menaruh Harapan” menggambarkan perjalanan seseorang yang bersendirian mencari ketenangan dan kebahagiaan yang dikatakan belum ditemui. Perjalanan ditempuh dengan tabah tanpa rasa putus asa.  Lirik ini menggunakan perlambangan dari unsur tumbuh tumbuhan. Mencari kasih sayang diumpamakan sebagai mencari pepohon rimbun. Kegagalan untuk menermui apa yang dicari disifatkan sebagai bertemu “dahan yang rapuh”. 

Seterusnya terdapat simile  “seperti burung kepatahan sayap”. Simile burung adalah tepat bagi menggambarkan suatu keadaan tidak berdaya dan tidak bebas untuk melakukan sesuatu yang diumpamakan seperti burung yang tidak lagi dapat terbang kerana kehilangan sayap.
            Nilai estetika lirik ini juga terdapat pada pemikiran yang diajukan bahawa seseorang mesti terus melangkah tanpa rasa putus asa. “Aku akan terus melangkah” menyatakan peribadi yang tabah berikhtiar dengan penuh harapan kerana yakin bahawa Allah tidak akan mensia-siakan ikhtiar dan doa hambaNya. Ketabahan dan keyakinan ini adalah selaras dengan ajaran Islam bahawa setiap makhluk wajib berikhtiar dan tidak  berputus asa dari rahmat Allah, menepati maksud ayat ‘janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah”(Surah Yusuf ayat 12..
DEDAUN MASA
(Lirik oleh M.Nasir)

Dedaun masa
Berguguran satu satu
Lambang hidup insan
Meniti rangkaian
perjuangan
pahit getir kehampaan

Tapi itu hanyalah ujian
Esok kan datang kedamaian
Dan sinar mentari
menyerlah hidupmu
Tabahkan hati mu
Oh insan

Dedaun masa
Berguguran satu satu
Lambang hidup insan
Meniti rangkaian
perjuangan
untuk hidup bahagia.


Sebuah lagi lagu yang menggunakan perlambangan dari unsur tumbuhan ialah “Dedaun Masa”. (lirik oleh M.Nasir). Tajuk lagu adalah metafora Dedaun Masa. Penulis lirik menggunakan daun bagi menggambarkan masa atau hari hari yang dihadapi oleh setiap manusia. Daun  menghadap  tiupan angin dan akan gugur ke bumi. Tiupan angin adalah cabaran yang dihadapi manusia yang dirumuskan sebagai “meniti rangkaian perjuangan”. Daun daun akan gugur begitu juga umur manusia akan semakin berkurangan. Dari segi pemikiran, lirik ini mengutarakan bahawa kehidupan itu adalah perjuangan dan menyarankan tiap insan harus  gigih menghadapinya. Saranan yang sama dibawa oleh lirik Menaruh Harapan.

            Sebuah lagi lirik yang padat dengan gambaran alam ialah Aku Hanya Pendatang (lirik Habsah Hassan ) yang mengisahkan  cinta yang hilang. Dalam lagu ini juga perlambangan yang dominan ialah unsur tumbuhan. Aku kembali mencari  suatu tempat yang dahulunya ditumbuhi pohon-pohon rimbun. Sesampai di situ didapatinya tiada lagi pohon yang menghijau. Semuanya kekeringan. Tiada ada sesiapa yang menyambutnya dengan senyuman.  Keadaan alam adalah sangat berbeza.

Aku bagai seorang pendatang
Ke sempadan yang mengasingkan
Sedang dulu di sini aku bermesra denganmu

Kedatangan tiada sambutan
Dan senyuman tiada balasan
Langkah kaki sampai di sini terhenti

( korus )
Ku mencari
Kembali pohon hijau nan rendang
Di situlah kita berteduh
Dan sungainya
Bertali arus air mengalir

Bagai takkan berakhir
Dijadikan perlambangan
Tanda setianya percintaan
Dua insan

Perjalanan di tanah gersang
Tanpa sungai dan pohon rendang
Kau dan aku demikian diibaratkan

Unsur alam digunakan bagi membuat perbandingan antara masa bercinta dan masa berputus cinta. Waktu bercinta adalah daerah yang dipenuhi pohon pohon hijau yang rendang dengan sungai mengalir menandakan kesuburan. Akhirnya apabila perasaan cinta telah berubah daerah yang sama menjadi “tanah gersang tanpa sungai dan pohon rendang”.

Selain tumbuh tumbuhan, penulis lirik juga menggunakan perlambangan dari unsur waktu, peredaran hari (pagi, petang, malam, siang) , cuaca (panas, hujan, mendung) peredaran musim (panas sejuk gugur dan musim bunga). Penggunaan ini dapat dilihat jelas dalam lirik Isabela nyanyian kumpulan Search. Penulis lirik dikenali sebagai Bob.  

ISABELA
(lirik oleh Bob)
Isabella adalah
Kisah
 cinta dua dunia
Mengapa kita berjumpa
Namun akhirnya terpisah
Siang jadi hilang
Ditelan kegelapan malam

Alam yang terpisah
Melenyapkan sebuah kisah…
Terbayang lambaiannya
Salju terbakar kehangatan
Dunia di penuhi
Warna berseri bunga cinta
Kita yang terlena
Hingga musim berubah
Mentari menyepi
Bernyalalah api cinta
Dia Isabella
Lambang cinta yang lara
Terpisah kerana
Adat yang berbeda
Cinta gugur bersama
Daun daun kekeringan
Haluan hidupku
Terpisah dengan Isabella
Tapi aku terpaksa
Demi cintaku Isabella
Moga dibukakan
Pintu hatimu untukku
Akan terbentang jalan
Andainya kau setia
Oh! Isabella….
            Perlambangan yang dominan dalam lirik ini ialan unsur peredaran hari dan perubahan musim yang memberi kesan visual dan deria rasa seperti sejuk dan panas. Isabella adalah lirik naratif iaitu lirik yang mengandungi cerita. Cerita yang dikisahkan ialah pertemuan dan percintaan dua insan dari dunia  yang dikatakan mempunyai “adat yang berbeda”. Pertemuan yang indah digambarkan sebagai “dunia berseri bunga cinta” Kehangatan perasaan dimunculkan melalui gambaran yang menimbulkan deria rasa iaitu “salju terbakar kehangatan” yang juga merupakan satu hiperbola. Perbedaan adat itu telah memisahkan mereka. Kesedihan dan rasa kehilangan  itu diumpamakan  “Siang jadi hilang/ Ditelan kegelapan malam”  .  Tenggelam dalam keasyikan bercinta adalah seperti  “terlena hingga musim berubah”.  Perasaan cinta mengatasi segalanya sehingga mengatasi sinar matahari itu sendiri. “mentari menyepi bernyalalah api cinta”. Apabila cinta menjadi lara kerana perpisahan yang diakibatkan oleh “adat yang berbeda” keadaan ini digambarkan sebagai cinta “gugur bersama daun daun kekeringan”.
            Lirik lagu Isabela ini dipilih untuk dianalisis bukan sahaja kerana unsur alam yang digunakan tetapi dikemukakan sebagai contoh sebuah lirik lagu yang mengalami gangguan dari segi plot dan penceritaan. Perjalanan cerita agak mengelirukan. Kisah dimulakan dengan pertemuan dengan seseorang yang bernama Isabella, pertemuan membungakan cinta dan mereka terpaksa berpisah kerana adat yang berbeza. Tetapi setelah dikatakan terjadi perpisahan terdapat pula baris-baris yang mengandungi harapan ”moga dibukakan pintu hatimu untukku” dan ”akan terbentang jalan kiranya kau setia”. Penceritaan terganggu. Selepas menggambarkan perpisahan, lirik menyatakan harapan semoga ”dibukakan pintu hati untukku” dan , seolah-olah cinta itu belum terjadi.
           Lagu Senandung Anak Laut adalah contoh yang baik perbezaan antara penulisan kreatif dan penulisan deskriptif. Dalam bentuk tulisan deskriptif ia akan berupa sebuah berita mengenai ribut yang berlaku di Laut China Selatan dan seorang nelayan telah hilang. Tetapi dalam bentuk penulisan kreatif, iaitu lirik lagu, peristiwa itu diekspressi dengan memasukkan gambaran suasana alam. Suasana yang alam yang digunakan ini menceritakan keadaan hidup nelayan yang daif dan berfungsi untuk membina perasaan yang intensif.  .
            Lagu dimulakan dengan gambaran seorang nelayan dalam sebuah biduk di laut China Selatan.  Burung camar hinggap di jejarinya yang dikatakan sedang bermimpi.   Bermimpi juga berkait dengan  tertidur, keletihan memberi gambaran nelayan sudah berhari-hari berada di laut. Mimpi juga dikaitkan dengan harapan nelayan tentang untung nasibnya. Mimpinya  adalah  tentang duyung, satu unsur fantasi dan tentang untung, satu unsur reality kehidupan yang dihadapi Bermimpi tentang untung nasib dipadankan dengan biduk yang hanyut satu keadaan yang sering dikaitkan dengan untung yang akan timbul atau tenggelam. Keadaan alam seterusnya ialah langit yang mendung dan laut yang  bergoncang bererti ribut telah turun. Dan yang bergoncang adalah biduk dan kehidupan nelayan Nelayan tidak dapat mengawal biduk lalu dikatakan “biduk sesat haluan” Nelayan hanya dapat berserah dan bertawakal dan dia tidak dapat berbuat apa apa kerana Sang mentari terlindung pantai tak kelihatan. Dari sini  lagu ini beralih menceritakan  seorang ibu sedang menyusu bayi yang kehausan dalam pondok kecil beratap rumbia. Segala galanya menekankan kepada kedaan kemiskinan hidup dan harapan untuk anak yang sedang menangis. Baris “Ufuk timur hilang dari pandangan”  adalah gambaran alam yang menutup segala harapan.

Burung camar hinggap di jejari 
Seorang nelayan sedang bermimpi
 
Mimpi tentang duyung mimpi tentang untung
 
Biduk hanyut dibawa ombak Laut China Selatan
 

Dalam mimpi berkata sang duyung
 
Wahai nelayan kau anak laut
 
Disini tempatmu disini rezekimu
 
Pengorbanan yang kau lakukan ada balasannya
 

Mega mendung laut pun bergoncang
 
Nelayan tersentak biduk sesat haluan
 
Sang mentari terlindung pantai tak kelihatan
 
Tawakal jalan akhirnya
 

Dalam pondok kecil beratap rumbia
 
Seorang ibu memandang hari muka
 
Sambil dia menyusukan bayi yang kehausan
 
Ufuk timur hilang dari pandangan
 

Wahai anak yang sedang menangis
 
Mungkin kini kau tak mengerti
 
Bila kau dewasa dan pandai nanti
 
Pengorbanan ayahmu sayang jangan kau lupakan

AKAR DAN BUMI

Sebuah lagu yang penuh nasihat dan bernada sinis ialah Akar dan Bumi yang dipopularkan oleh kumpulan Amok. Pada keseluruhannya lagu ini menempelak golongan yang tidak mahu berusaha sendiri dan hidup mempergunakan orang lain. Hal ini adalah berbeza dari golongan yang berusaha sendiri , walaupun rendah mereka akan mengecap kejayaan untuk jangka masa yang panjang. Maksud inilah yang mahu disampaikan dengan imej kelapa bali yang akarnya mencengkam bumi.
Penulis membandingkan kelapa bali dengan dedalu yang tumbuh rimbun dan tinggi dengan cara menumpang pada pokok lain. Si dedalu merasa sombong kerana ketinggiannya lalu lupa pada bumi yang rendah. Kelapa bali yang mencengkam bumi dengan akarnya sendiri adalah simbol individu yang berperibadi , berbeza dengan seorang yang mempergunakan orang lain. Akhirnya kelapa bali tetap teguh mencengkam bumi sedangkan dedalu akan mati bila pokok yang dipanjatnya mati.


Tinggi-tinggi kelapa bali
Kental berdiri akar di bumi
Walau bermusim di terik mentari
Tidak sekali lupakan diri
Bila menari dongak ke langit
Langkah mu sumbang salahkan bumi
Silap sendiri tak dipeduli
Terbiar sudah membuta tuli
Baru tengadah menyesal diri
Ikutkan rasa kelak binasa
Kerasnya hati membawa mati
Pentingkan dosa sumpah bertakhta
Megah ilusi mejadi mimpi
Panasnya diri bagai dibakar api
Tinggi-tinggi kelapa bali
Walaupun tinggi kental berdiri
Tidak pernah lupa diri
Tidak pernah megah diri
Mencengkam akar di bumi
Rimbun-rimbun daun dedalu
Tinggi di atas sombongkan diri
Pandang langit lupa bumi
Menumpang menunggu mati

Tinggi-tinggi kelapa bali
Kental berdiri
Akar di bumi
Walau bermusim di terik mentari
Tidak sekali lupakan diri
Bila menari dongak ke langit
Langkah mu sumbang salahkan bumi
Silap sendiri tak dipeduli
Terbiar sudah membuta tuli
Baru tengadah menyesal diri
Ikutkan rasa kelak binasa
Kerasnya hati membawa mati
Pentingkan dosa sumpah bertakhta
Megah ilusi mejadi mimpi
Panasnya diri bagai dibakar api
Tinggi-tinggi kelapa bali
Walaupun tinggi kental berdiri
Tidak pernah lupa diri
Tidak pernah megah diri
Mencengkam akar di bumi
Rimbun-rimbun daun dedalu
Tinggi di atas sombongkan diri
Pandang langit lupa bumi
Menumpang menunggu mati

Kesimpulan: penciptaan lirik lagu kontemporari memperlihatkan usaha untuk menerapkan pemikiran dan falsafah hidup melalui metafora dan perlambangan dari unsur alam seperti tumbuh tumbuhan, peredaran hari dan perubahan musim juga laut dan cuaca. Ada lirik yang berjaya mencapai nilai puitis, tetapi sebahagiannya masih kurang jelas dan tidak memperlihatkan kesatuan idea yang ingin disampaikan.

LIRIK CERMINAN BUDAYA

Terdapat lirik lagu yang mencerminkan ketinggian nilai-nilai budaya seperti Hati Kama yang ditulis Hairul Anwar Harun, nyanyian Noraniza Idris dan Siti Nurhaliza.
Mengindang-ngindang padi huma
Mengindang dalam tampaian
Memandang-mandang Hati Kama
Memandang-mandang dalam renungan
Mendengar lagu ini kita terbayang dua orang gadis yang sedang mengindang atau menampi padi. Ketika menampi itu lalu seorang yang menarik perhatian kerana pekerti dan tingkah lakunya.Mengindang-ngindang padi bererti menampi-nampi untuk mengasingkan yang bernas dari yang hampa, yang beras dan yang antah. Perbuatan mengindang adalah simbolis dari memilih antara baik dan yang buruk. Malangnya generasi muda tidak lagi mengenal indang atau nyiru, malah tidak dapat menghayat ketinggian falsafah yang terdapat padanya.Peribahasa Melayu berkata, “Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan” Ini bermaksud setiap pemberitan hendaklah ditampi, ditapis dan dnilai kalau-kalau ia mengamdungi sesuatu muslihat. Jangan terus menerima tanpa diselidiki. 


Keindahan lirik juga terletak kepada metaforanya. Di dalam puisi tradisional, terutama pantun, kita melihat bagaimana orang Melayu menyatakan perasaan atau pemikiran mereka melalui lambang dari unsur alam.
Unsur ini didapati dalam lirik lagu Melayu asli dan lagu lama. Laut, sungai, gunung, rimba dan pohon membawa pengertian tertentu. Hati orang mungkin berubah dikatakan begini:
            Anak punai anak merbah
            Terbang turun buat sarang
            Anak sungai lagikan berubah
            Inikan pula hati orang
            ( Lagu Mengapa Dirindu nyanyian Saloma)

Ambil saja satu aspek alam iaitu bunga-bungaan. Pelbagai ungkapan terbit dari pelbagai jenis bunga untuk menyatakan perasaan. Bunga tanjung, misalnya, menggambarkan seorang yang tinggi ini dikaitkan pula dengan kesombongan. Lihat lirik lagu Bunga Tanjung:
            Bunga tanjung putih berseri
            Kembang jelita harum baunya
            Gagah sungguh pohonmu berdiri
            Tegap rimbun gagah perkasa
            Harum jelita di bunga suci
            Idaman dara gadis rupawan
            Sangat sombongnya bungamu menari
            Melenggang lenggok di hujung dahan.

Bunga yang berwarna putih seperti bunga melur, menjadi lambang kepada kesucian dan keaslian seorang gadis yang sederhana. Ini digunakan oleh P Ramlee di dalam lagu Bunga Melur. Bunga teratai dikatakan menjadi teman kepada musafir lalu. Metafora bunga ini kembali digunakan oleh Hairul Anuar. Di dalam lagu Cindai kita temui imej bunga yang ‘gugur’ sebelum berkembang dan di dalam lagu Hati Kama ada pantun yang berbunyi:
            Mendengar suara lela lebur
            Bertentangan mata panah arjuna
            Terbayang senyuman bunga gugur
            Siapa gerangan bagaikan betara.

Demikian kehebatan ‘seseorang’ yang digambarkan oleh lirik ini. kehebatan ini diceritakan melalui perbandingan dan perlambangan. Lela (sejenis besi) boleh lebur oleh suaranya dan bunga gugur dengan senyumannya.
Seterusnya untuk menggambarkan perasaan si gadis, penulis lirik ini menggunakan perlambangan yang indah iaitu ‘terbayang senyuman bunga gugur’. Perasaan kasih ini digambarkan dengan cara bersopan santun, jauh sekali dari membabitkan hubungan fizikal di luar batas kesusilaan. 

UNSUR DAKWAH. 
Usaha yang terpuji juga datang dari kumpulan rap seperti kumpulan Ahli Fikir dan Too Phat. Moga-moga dalam keghairahan anak-anak muda dengan irama rap mereka akan memahami apa yang disampaikan oleh Ahli Fikir melalui lagu Samseng( (menyelar golongan yang menunjuk-nunjukkan kekuatan fizikal) Begitu jugaToo Phat dengan lagu Alhamdulililah yang mengingatkan manusia supaya jangan kufur terhadap nikmat Allah kerana:
Sebesar rumah bermula dengan sekecil bata. Boleh hilang dalam sekelip mataUcaplah Alhamdulillah bukannya sukarKerna semana kaya atau besarTetap Allahuakbar...
Lagu ini menyeru semoga para seniman dan manusia seluruhnya sentiasa sedar bahawa kreativiti yang dimiliki adalah kurniaan dari Allah SWT. Dan dia akan ditanya tentang bagaimana bakat dan kreativiti itu telah dipergunakan. Inilah yang terselit dalam lirik lagu rap Too Phat, Alhamdulillah.
Bakat dikurnia jangan disalahgunaJangan kufur nikmat yg diberi percumaGuna kelebihan untuk khidmat bersamaJagalah nama. ..

No comments:

Post a Comment