Saturday, March 21, 2020
Roslan
Madon bukan sahaja terkenal di Malaysia, malah di seluruh Nusantara. Dia
ditabalkan sebagai Raja Syair. Dia ada gelaran Maestro Syair dan entah apa
lagi. Walaupun beliau boleh menyanyi, berlakon, mengarah, menulis skrip tetapi
saya lebih mengingatinya sebagai pendendang syair yang tiada duanya. Mulai sekitar
tahun 2000, Roslan Madon semakin aktif dan bersinar-sinar dalam lapangan ini. Persembahannya sangat dengan iringan muzik dan sebagainya.. Saya hanya tahu
satu atau dua lagu sahaja, sedangkan beliau boleh mengalunkan entah berapa
versi lagu syair
Saya merasa
bertuah dapat turut serta ke Brunei pada
tahun 2013. Kami ke sana atas nama Kembara Menyusur Syair. Saya amat menghargai dan tetap mengenang
hari-hari di Brunei. Rombongan kami tinggal di sebuah homestay di
Kampung Ayer dan dibawa menyusur sungai yang penuh lagenda. Kami membuat
persembahan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Kami mengadakan perbincangan dengan
Muzium Brunei terutama mengenai Syair Rakis. Kami bertemu dan menjalin hubungan
yang semakin erat dengan penggiat seni dan teater Brunei termasuk Pehin
Orangkaya Ibnu Abdir Rahim penulis dan penerus tradisi syair Brunei.
Tetapi
yang paling membahagiakan kedatangan di atas nama Majlis Teater Pahang itu
mendapat perhatian daripada istana Brunei yang mengutus salam dan cenderahati
untuk rombongan.
Di Malaysia Roslan Madon tiada duanya.. Dia cukup unik. Biasanya kerja-kerja penyelidikan dilakukan oleh orang-orang akademik berbekalkan dana atau grunt penyelidikan yang lumayan.. Bukan tidak ada ahli-ahli akademik yang mengutip data syair tetapi masih disimpan dalam fail rahsia. Berbeza dengan Roslan Madon . Dia merentas daratan, meredah lautan kadang-kadang dengan perbelanjaan sendiri Dialah yang mencari dan kemudian dengan bakat kesenimanannya mengalunkan irama di pentas puisi tradisi. Dia merakam dan mengabadikan di you tube untuk dikenali seluruh dunia. Dia sendiri membimbing generasi muda mewarisi bakat bersyair.
Monday, March 02, 2020
Bunga telang
di dalam dulang
Buah
bidara di atas para
Unimap
terbilang tambah cemerlang
Pembina
negara yang sejahtera
Tampak
gagah kuda sekawan
Di tengah
padang tangkas berlari
Unimap
melangkah menjana kemajuan
Amanah di
pegang ikhlas berbakti
Negeri
Perlis Indera Kayangan
Negeri
beraja berpaksi Islam
Demi uniMap
university kesayangan
Mari
bekerja penuh iltizam
Dari
Kangar ke kota Medan
Terbang
menyeberang Selat Melaka
Walau
melayar tanpa sempadan
Jangan
terbuang adat pusaka
Tanam
halia tanam pandan
Tumbuh di
laman menghijau segar
Walaupun
dunia tanpa sempadan
Teguh
iman menjadi pagar
Pantun-pantun di atas saya cipta dengan ikhlas untuk
dipilih oleh Naib Canselor Universiti Malaysia
Perlis (UniMap) Prof Ir. Teknologis R
Badlishah Ahmad yang berhasrat memasukkannya di dalam ucaputama tahunan
2020. Sejujurnya saya sendiri kagum
dengan minat Naib Canselor dan komitmen sebuah universiti kejuruteraan untuk
mendampingi sasterawan negara.
Saya terharu kerana telah dipilih
oleh UniMap sebaga ikon sastera mereka dengan melantik saya sebagai Professor
Adjung, menyampaikan watikah perlantikan yang dianugerahi sendiri oleh
Tuanku Raja Muda selaku Canselor Universiti.
dalam satu majlis pada 29 Oktober 2019.
Perlantikan ini bukan hanya sebuah gimik politik. Saya yakin ia lahir
daripada keikhlasan seorang Naib Canselor yang memegang prinsip bahawa
kejuruteraan mestilah membawa kesejahteraan kepada seluruh insan. Pada 23 Ogos
2019, Prof Ir. R Badlishah Ahmad
menyampaikan syarahan khas.sempena 100 hari memegang jawatan Antara yang
menarik dan ingin saya petik ialah pandangan dan pendirian beliau bahawa
Pendidikan di UniMap, tidak harus terhad
atau berfokus kepada aspek ilmu teknikal sahaja. Beliau berkata “Aspek
pemikiran manusiawi perlu juga dipupuk. Salah satu cara yang dapat dilakukan
ialah melalui aktiviti berpusatkan sastera dan falsafah. Melalui Pendidikan falsafah dan pembacaan
hasil sastera saya pasti pelajar akan dapat meneliti kehidupan dan melatih
pemikiran kritis dan analisis logik selain memahami kepelbagaian pemikiran
melalui pengalaman orang lain”. Ini diikuti dengan pengumuman perlantikan
Sasterawan Negara UniMap dan meminta agar perlantikan itu dioptimumkan dengan
aktiviti-aktiviti yang melibatkan pelajar dan staff dari pelbagai bidang.
Apakah perlunya seorang Sasterawan Negara dilantik untuk mendampingi
sebuah universiti, lebih-lebih lagi universiti kejuruteraan seperti UniMap? Di manakah relevannya sastera pada zaman
digital ketika dunia menghadapi ledakan Revolusi Industry 4.0. Kehidupan
sedang bertumpu di skrin telefon bimbit sehingga pasaran buku terjejas.
Untuk menjawabnya kita
harus kembali melihat keperluan manusia sendiri. Setiap manusia memerlukan
manusia lain. Oleh itu mereka perlu berkomunikasi dan alat komunikasi
terpenting ialah bahasa.
Hari ini
komunikasi dipermudah dan dipercepat
oleh peralatan atau peranti.
Tetapi betapa canggih pun peralatan dan bertenaganya kuasa rangkaian, jika
tersalah memilih perkataan akan membawa padah. Kata pepatah Melayu sebab pulut
santan binasa, sebab mulut badan merasa. Emel dan segala media sosial hanya
merupakan wahana untuk menghantar wacana. Maklumat atau arahan harus turun
dengan bahasa yang tersusun. Minda haruslah mengaturnya terlebih dahulu sebelum
jari bergerak laju
Syarikat syarikat gergasi memerlukan internet untuk menyebar iklan dan
promosi. Dunia hiburan juga berkembang
di dalam talian, mengambil alih siaran dari stesyen television konvensional. Pelbagai
filem, animasi, dokumentari dapat
dinikmati di hujung jari. Tetapi semua itu bermula dengan penulisan skrip yang memerlukan
bakat dan kreaviti yang tidak mungkin ditukarganti oleh sebarang mesin automasi.
Skrin telefon dan komputer menjadi penjalin kerjasama
yang menguntungkan dunia, di samping menjalin ukhwah antara rakan dan saudara
mara. Namun ia juga membawa jenayah siber.
Jenayah siber berleluasa di peranti tetapi berpunca dari hati. Lalu hati perlu dilentur dengan keindahan dan
kelembutan. Keunggulan peradaban akan terbina dari jiwa yang
ikhlas, minda yang jelas, sebelum jari jemari bergerak pantas.
Seperti kata NC UniMap aspek pemikiran manusiawi dapat dipupuk melalui
pembacaan karya sastera yang mengajar nilai kasih sayang. Demikianlah kearifan
yang terkandung dalam program Sasterawan di Universiti seperti yang telah
dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
UnMap melangkah gagah dan cemerlang
setiap langkah berpaksikan kesejahteraan
dan keinsanan.
Seperti yang disampaikan dengan semangat yang nyata
tetapi dalam nada dan suara yang tenang,
ucaputama yang berjudul
“MENERAJUI KECEMERLANGAN UNTUK KESEJAHTERAAN INSAN “
UNIMAP Bermurah hati menyediakan satu sudut di Perpustakaan sebagai SUDUT SASTERAWAN NEGARA yang telah dirasmikan oleh Tuanku Canselor .












































