ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Saturday, October 27, 2018


HAK CIPTA: UNTUNG RUGI SASTERAWAN MALAYSIA 
Oleh ZURINAH HASSAN.(rencana ini telah disiarkan di Dewan Sastera)


Barangkali saya melangkah kaki ke dunia penulisan dan penerbitan (pada akhir tahun enam puluhan) dengan persepsi yang salah atau telah diberi maklumat yang tidak tepat  oleh penulis-penulis yang lebih awal. Saya beranggapan bahawa sebuah sajak atau cerpen yang saya tulis menjadi milik saya walaupun ia  mungkin  tersiar di akhbar seperti   Utusan Zaman, Mingguan Malaysia, Berita Minggu atau majalah Mastika, Dewan Bahasa dan Dewan Masyarakat (yang kebanyakannya tidak membayar).  
Seorang penyair sudah tentu gembira bila sajaknya disiarkan di akhbar walaupun tidak ramai yang membaca atau melihatnya dan esoknya akhbar itu menjadi paper lama.  Hanya jika beruntung sajak yang sama mungkin dikutip oleh mana-mana penyusun dan dimasukkan ke dalam antologi bersama yang  kerap diterbitkan suatu ketika dahulu. Antologi puisi bersama merupakan koleksi puisi beberapa orang penyair memuatkan sajak-sajak yang  biasanya telah terbit di pelbagai media.  mempunyai tema tertentu ataupun tidak, bergantung kepada konsep buku yang disusun. Mereka akan menulis surat kepada penyair meminta izin. Dengan anggapan bahawa pengarang berhak atas karyanya maka dengan mudah  penyair menandatanagni persetujuan. 
Penyusun antologi ialah pengkaji dan sarjana seperti  Ali Ahmad,  Ahmad Kamal Abdullah
( Kemala),  Dharmawijaya, Rahman Shaari dan  A.Wahab Ali. Dengan cara itu terbitlah sejumlah antologi bersama misalnya Titian Zaman (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979),  Bunga Gerimis  (Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986)  Himpunan Sajak (Dewan Bahasa dan Pustaka,1981-. Bintang Mengerdip (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984) , Malaysia dalam Puisi , (Dewan Bahasa dan Pustaka 1984),  Di Penjuru Matamu (1975), Puisi Sepanjang Zaman,
( Dewan Bahasa dan Pustaka 1988). Lagu Kehidupan (Dbp.1982),  Mustika Diri (Dbp1994), Lukisan Zaman (Marwilis Publisher 1991). Selain usaha  para sarjana, terdapat  juga pelbagai antologi yang diterbitkan  oleh Persatuan-persatuan penulis di seluruh negara. 
Kita juga dapat berbangga dengan antologi yang menggabungkan penyair-penyair di peringkat antarabangsa khasnya Nusantara. Antara lain ialah Puisi-puisi Nusantara. (Dewan Bahasa dan Pustaka 1981) disusun oleh Ahmad Kamal Abdullah (Kemala). Dengan terbitan antologi bersama ini, puisi-puisi Melayu juga dapat diketengahkan ke peringkat antarabangsa melalui terjemahan seperti yang diusahakan oleh Muhammad Haji Salleh melalui buku The Pupeteer’s Wayang,  (DBP, 2009)  dan Emas Tempawan/Burnished Gold (DBP, 2006)
Penerbitan antologi puisi, cerpen dan drama ini merupakan sumbangan yang besar kepada perkembangan sastera Melayu. Kumpulan-kumpulan  ini memberi manfaat khasnya untuk pembelajaran di sekolah dan kajian di institusi pengajian.  Antologi seperti ini juga sangat besar peranannya dalam mendokumentasi  perkembangan puisi tanahair. Misalnya kumpulan Puisi Sepanjang Zaman, susunan Dharmawijaya, memberi maklumat yang jelas tentang sejarah dan perkembangan penulisan puisi di Malaysia. Khalayak mendapat pengetahuan  siapakah penyair-penyair penting dalam sejarah sastera tanahair. Kumpulan Mustika Diri pula mendokumentasi perkembangan penulis wanita Malaysia dalam pelbagai genre iaitu puisi, skrip drama, esei, cerpen. Penyair gembira kerana akan mendapat beberapa ratus atau puluhan rm dan sajak yang dikarang dengan susah payah  itu akan menemui lebih ramai pembaca melalui antologi berkaitan.
Penerbitan antologi berjalan lancar tanpa banyak kerenah kerana penyair bebas untuk memberikan kebenaran. Dengan cara ini sebuah sajak boleh terbit di dua buah antologi atau lebih tanpa sebarang gangguan dari mana-mana penerbit. Seingat saya tiada kekecohan  kerana kalau ada pun peraturan mengenai hakcipta, tidak ada pihak yang terlalu mengambil berat mungkin kerana sebuah sajak tidak mendatangkan rm yang banyak kepada mana-mana pihak.
Suasana ini sudah berubah. Tiba-tiba penyair mendapati bahawa sajaknya bukan miliknya seorang tetapi dimiliki bersama oleh penulis dan penerbit asal yang menerbitkan karyanya. Penulis mula diingatkan untuk menyemak kembali tentang peraturan hakcipta. Ada dua perkara penting yang ditangkapi.
1-      Hak cipta sebuah karya dimiliki bersama oleh pengarang dan penerbit . Pegangan ini berkuatkuasa dari saat buku diterbitkan sehingga 50 tahun selepas pengarang meninggal dunia. Ini adalah berdasarkan akta yang termaktub dalam konvensyen Bernes 1886.  
2-      Adalah menjadi kesalahan meniru atau menerbitkan kembali sesebuah karya  orang lain khasnya yang telah dikbukukan atau diterbitkan oleh sesebuah penerbitan.


Sejak bilakah perkara hakcipta ini ditegaskan ? Seingat saya perkara hakcipta ini sangat diambil berat dan ditegaskan dengan munculnya KOMSAS atau Komponan Sastera dalam Bahasa Melayu yang diajar di sekolah-sekolah pada tahun 2000. Terasa seperti ada gerakan penguatkuasaan selepas tarikh tersebut. Penerbitan antologi bersama seolah-olah terhenti. Kalau ada pun usaha menyusun antologi, penyusun2 akan  meminta penyair menghantar sajak-sajak kepada mereka dan sajak-sajak itu mestilah baru dan belum pernah disiarkan di mana-mana untuk mengelak sebarang masalah berbangkit ekoran hakcipta.  
Lalu yang menonjol sekarang ialah antologi yang digunakan sebagai teks KOMSAS (komponen sastera) untuk kegunaan di sekolah-sekolah. terbitan Kementerian Pendidikan. Antologi KOMSAS memuatkan karya-karya yang dipilih oleh satu Panel pemilih. Karya-karya itu dikutip dari pelbagai buku atau penerbitan yang telah terbit di Malaysia. Menjelang munculnya KOMSAS  riuhlah orang  bercakap yang penulis akan menerima royalti yang banyak jika ada karyanya dipilih.  KOMSAS terlaksana pada tahun 2000. Buat pertama kali penulis kreatif, yang karyanya terpilih dikatakan akan menerima royalti dalam jumlah yang belum pernah dinikmati oleh penulis lebih lebih lagi penulis  puisi sebelum ini.
KOMSAS membawa harapan tetapi Penulis kemudian hampa bila   pembayaran royalty tidak disampaikan terus kepada mereka tetapi kepada penerbit yang menerbitkan buku di mana karya itu diambil. Hal ini dilakukan kerana penerbit asal ditegaskan  turut memegang hak cipta  sesebuah karya dan kerana itu berhak menerima royalti. 
Penulis tambah kecewa lagi kerana tidak disebut di mana-mana nisbah pembahagian antara penerbit dan penulis. Oleh itu setelah menerima wang dari Kementerian Pendidikan,  Penerbit bebas untuk memberi mengikut suka hati mereka malah ada yang menganiaya penulis dengan membolot semua wang royalti.
Saya pun keliru. Dari pemahaman saya yang telah terlibat dalam antologi bersama selama ini, perkiraan royalti adalah berdasarkan jualan buku dan kemudian dibahagikan dengan jumlah karya yang ada dalam buku tersebut. Misalnya sebuah antologi berjudul Mawar Merah (hanya judul rekaan ) memuatkan 10 buah puisi. Royalti hasil jualan Mawar Merah   ialah 100 ribu. 100 ribu ini dibahagi dengan 10 karya tentulah satu karya 10 ribu. Maka Kementerian Pendidikan akan menghantar kepada penerbit asal 10 ribu untuk sebuah puisi dalam Mawar Merah.  Kalau Penerbit  membahagi samarata dengan penulis, masing masing  mendapat 5 ribu. Ini juga bererti semua penulis yang ada sebuah karya dalam Mawar Merah  akan mendapat royalti yang sama.  Tetapi ini tidak berlaku. Bila penulis yang ada karya dalam sebuah buku membandingkan pendapatan mereka, mereka dapati mereka tidak mendapat jumlah yang sama. Maka timbullah tandatanya dan curiga akan keikhlasan penerbit.
Inilah yang berlaku misalnya kepada  Amaruzati Noor Rahim. Cerpen Amaruzati  bertajuk “Tanggar Amanat” telah tersiar di sebuah akhbar pada 7 Disember 2003. Cerpen itu memenangi Hadiah Sastera akhbar tersebut lalu diantologikan. Dari antologi ini cerpen beliau telah  dipilih untuk buku KOMSAS, Dirgahayu Bahasaku kegunaan Tingkatan 5, 2010-2015.  Bila sampai waktunya, pembayaran royalti pun dihantar oleh Kementeria Pendidikan kepada syarikat tersebut. Mengikut Amaruszati dia hanya menerima royalti setelah berkali-kali menghubungi syarikat itu setelah mengetahui kawan-kawan yang lain telah menerima royalti mereka. Jumlah yang diterima, oleh Amaruzati ialah  Rm 2ribu. Ini sangat mengecewakan kerana kawan-kawan lain  mendapat jauh lebih banyak.   Kata Amaruszati ini jauh berbeza daripada  Siti Hajar Mohamad Zaki yang mendapat royalti hampir 20ribu dari cerpen yang tersiar dalam antologi yang digunakan sebelum Dirhagahayu Bahasaku. Walaupun royalti Siti Hajar adalah dari buku yang berlainan namun Amaruzati tidak menyangka ianya akan jauh berbeza, memandangkan kedua buku tersebut sama-sama dijual untuk KOMSAS.
Penulis prolifik Aminah Mokhtar juga menghadapi keadaan yang  lebih buruk lagi kerana menurutnya sehingga sekarang dia tidak pernah mendapat satu sen pun habuan royalti dari karya-karya yang dimuatkan dalam antologi Kementerian Pendidikan itu. Puisinya “Sesekali Pesakitku”. Disiarkan dalam antologi  Anak Global, 2010 untuk Tingkatan 4 dan 5.Sementara itu dua karya lagi dipilih pada 2016 iaitu puisi “ Kolek Bonda”.  yang termuat dalam antologi untuk  Tingkatan 4 dan 5.  Cerpennya Gerhana Manusia juga dihimpunkan dalam antologi Langit Gemilang untuk Tingkatan 4 dan 5 masih belum mendapat apa-apa bayaran. Di samping mereka Abdul Hadi Yusof juga mengadu menghadapi nasib yang sama.

Penulis terpaksa menerima kenyataan bahawa mereka berkongsi royalti dengan penerbit yang lebih awal menyiarkan karya mereka. Tetapi mereka berpendapat alangkah baiknya jika Kementerian Pendidikan menghantar royalti kepada penulis dan penerbit secara berasingan. Jika terlalu sukar berbuat demikian, tidak bolehkah Kementerian menetapkan pembahagian antara penerbit dan penulis, seelok-eloknya samarata 50-50. Cara pembahagian ini juga anih. Misalnya sajak saya Mahsuri diambil dari buku yang diterbitkan oleh sebuah penerbit.  Saya namakannya di sini Penerbit Kedua. Royalti diberi kepada Penerbit Kedua  dan Penerbit Kedua mahu memberi kepada saya 12 peratus dari royalti yang diterima daripada Kementerian Pendidikan. Apakah hak mereka untuk membolot 88 peratus? Langkah Kementerian ini dianggap anih kerana sebelum itu sajak Mahsuri sudah terbit dalam antologi perseorangan saya Pujangga Tidak Bernama, terbitan Dewan Bahasa. Bagaimana pula kedudukan Penerbit Kedua  yang mengambil daripada Dewan Bahasa tanpa kebenaran dan apa-apa bayaran.
Dengan adanya KOMSAS tiba-tiba semua pihak terlalu tegas mengenai peraturan hakcipta. Penyair yang berhasrat menerbitkan sajak-sajaknya dalam kumpulan perseorangan telah diminta mengemukakan surat izin terbit dari pelbagai akhbar dan majalah di mana sajak-sajaknya telah disiarkan buat pertama kali. Ini mendatangkan kesukaran andainya ada sajak yang terbit 30 tahun yang lalu dan dilupai tarikhnya. Ada pula akhbar yang tidak memberi jawapan walaupun disertakan sampul surat berstem. Inilah yang dialami oleh Aladin Mohamad seorang penyair veteran yang gigih dari Melaka. Penerbitan antologinya tergendala oleh syarat-syarat yang demikian. Mohamad Helmi Ahmad juga merasa hairan mengapa seorang kawannya diwajibkan  untuk meminta kebenaran dari majalah padahal majalah itu diterbitkan sendiri oleh penerbit yang sedang menerbitkan kumpulannya. Mereka tertanya-tanya bagaimana kalau akhbar itu tidak memberi persetsejuan?.  Jika akhbar tidak berhak, mengapa  mengenakan  syarat yang menyukarkan itu.
Perkara seterusnya ialah berkaitan pegangan hak cipta. Hakcipta dipegang bersama oleh pengarang dan penerbit untuk tempoh selama mana karya itu diterbit dan lima puluh tahun setelah penulis meninggal dunia.  Klausa yang termaktub dalam konvension hakcipta Berne 1886 itu diapplikasi oleh penerbit terbesar iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka. Klausa ini telah menguntungkan seniman di dunia hiburan. Kabarnya karya-karya senikata lagu ciptaanAllahyarham Loloq masih menerima bayaran sekitar belasan ribu sebulan . Tetapi apakah kesan Akta tersebut kepada bidang penulisan?. Setakat ini belum terdengar ada penulis yang menikmati royalti sebegitu banyak yang dapat ditinggalkan untuk pewaris. Sebaliknya Akta tersebut dilihat mendatangkan lebih banyak  kesusahan dan kesukaran berbanding keuntungan.
Apakah rasional penerbit turut memegang hakcipta dan turut berhak atas royalti? Sebab yang diberikan ialah supaya jika ada mana-mana pihak melakukan kesalahan seperti menerbitkan kembali hasil karya penulis, maka penerbit boleh bertindak untuk membela penulis, kononnya sebagai badan yang lebih besar mereka akan lebih kuat untuk bertindak sedangkan penulis sebagai individu dianggap lebih lemah untuk bertindak sendirian.
Ini mengembalikan kita kepada klausa seterusnya, iaitu sebuah karya tidak boleh ditiru dan diterbitkan semula tanpa izin pemegang hakcipta. Akta ini dengan jelas melindungi hak pengarang. Tetapi sejauh mana pengarang boleh menuntut haknya. Sebelum mendapat pembelaan sudah tentulah pengarang menanggung beban membuktikan bahawa karya tersebut benar-benar karangannya yang asli. Adakah ini mudah dilakukan. Cuba lihat kes yang pernah berlaku.  
Seorang penulis, Elias Idris (64 tahun) menonton Astro Ria. Sebuah filem berjudul Bohsia, terbitan syarikat Yusof Haslam iaitu Skop Production sedang ditayangkan. Elias terkejut kerana mengikut beliau seluruh cerita dan jalan cerita begitu banyak persamaan dengan novelnya Aku Bohsia.
Elias yakin filem  itu disalin daripada ceritanya sendiri. Beliau cuba menemui Yusuf Haslam tetapi tidak dilayani. Langkah seterusnya ialah menyaman Skop Production menamakan Shamsul Yusuf sebaga defendan pertama. Elias nekad untuk melalui pelbagai kerumitan, mengorbankan masa dan wang yang tidak sedikit untuk mendapatkan keadilan di mahkamah.
Segalanya berakhir dengan kekecewaan. Elias kalah dan menanggung kerugian.  Skop Production kemudian mengenakan saman fitnah terhadap Elias. Skop menang dan Elias diperintahkan membayar rm 100k kepada Yusof Haslam
Pihak Skop Production menafikan sebarang peniruan dan mengaku semuanya adalah idea asal panel skrip mereka sendiri. Adakah Skop Production telah membuat penipuan? Allah sahaja yang tahu perkara sebenar. Kes ini diperturunkan di sini untuk menunjukkan adalah tidak mudah bagi seorang pengarang membuktikan bahawa sesebuah karya itu adalah karya beliau yang asal. Pihak yang didakwa nampaknya tidak sukar untuk menafikan dan mengatakan bahawa segala persamaan adalah kebetulan
 Seperkara lagi, jika  benar pengarang dan penerbit adalah pemegang hakcipta bersama sebuah karya, tidak terdengar pula pembabitan penerbit buku dalam kes Aku Bohsia ini.
Satu lagi kes yang ada kaitan ialah kes novel Hartini karya Aziz Afkar. Pengarang dan penerbit telah memfail saman terhadap syarikat Erma Fatima yang mengadaptasi novel Hartini tanpa meminta kebenaran terlebih dahulu. Mengikut balu Aziz Aftar Puan Kamariah Awang saman bersama penerbit dan pengarang itu telah ditolak oleh mahkamah kerana mahkamah berpandangan yang menanggung kerugian dari segi kewangan ialah penerbit. Aziz tidak mengeluarkan modal. Jadi walaupun memerah otak dia tidak rugi. Saman dimenangi oleh Creative Enterprise dan mahkamah memerintahkan Erma membayar kepada creative enterprise sejumlah wang ( Dan mengikut balu pengarang, penerbit tidak memberi apa2 kepada mereka). Tetapi yang menjadi persoalan, mengapa pengarang diketepikan kalau dia sama-sama memiliki hakcipta ke atas karyanya.
Kes Hartini membawa kita ke senario seterusnya, iaitu yang bersabit dengan adaptasi karya sastera khasnya novel ke filem dan drama. Pembikinan filem  berdasarkan novel atau adaptasi telah berlaku sejak dulu termasuk oleh penerbit gergasi di Hollywood. Senarai novel yang difilemkan terlalu panjang untuk disebut, termasuklah karya-karya sastera klasik seperti Jane Eyre (Charlotte Bronte) Wuthering Heights  (Emile Bronte), A Farewell to Arms (Ernest Hemingway) dan karya besar yang meruntun perasaan seperti The Good Earth karya Pearl S.Buck. Di sini kita tertunggu-tunggu untuk menyaksikan siri filem yang bertolak dari novel Hamka misalnya Di Bawah Lindungan Kaabah, Tenggelamnya Kapal Van der Wijck
Perbezaannya, hakikat bahawa filem itu didasarkan kepada novel akan diperbesarkan. Bahkan ia akan melariskan filem dan juga novel tersebut. Oleh itu penulis novel dan pembuat filem sering bersedia untuk bekerja sama. Tetapi mengapakah hal seperti ini belum terjadi di Malaysia. Bahkan ada percubaan untuk membuatnya secara “curi-curi”. Hak penulis diketepikan seperti yang laku kepada Hartini. Perkara ini juga menghairankan seorang yang meminati  novel  dan juga drama terbitan Erma Fatima. Beliau menulis dengan penuh emosi di blognya hartiniomar. blogspot. Beliau mengeluh alangkah baiknya kalau Erma Fatima memohon keizinan untuk mengadaptasi novel Hartini. Alangkah baiknya jika Erma Fatima bekerjasama dengan Aziz Afkar dalam melukis watak, membentuk dialog dan membina suasana. Dia percaya dengan cara demikian, drama dan novel itu akan bertambah popular, tidak disekat penyiarannya dan beliau akan dapat menontonnya lagi dan lagi.
Senario yang dibentangkan di atas memperlihatkan bahawa terdapat bahagian-bahagian dalam Akta Hak Cipta yang masih mengelirukan penulis. Jika penulis dan penerbit dikatakan pemegang bersama hak cipta mengapakah Aziz Afkar diketepikan dalam kes saman Hartini. Kesukaran untuk membuktikan adanya plagiat terhadap karya asal seperti dalam kes novel Aku Bohsia juga menunjukkan akta ini masih sukar untuk melindungi hak penulis. Di samping itu Akta Hakcipta di bawah Convention Berne menyukarkan penerbitan antologi bersama malah antologi perseorangan yang menyebabkan banyak sajak tidak dapat diterbitkan kembali.  Di Malaysia Akta ini telah meletakkan penulis dalam keadaan mudah dianiayai bila penerbit asal diberikan hak untuk membahagikan royalti mengikut perkiraan mereka sendiri seperti yang berlaku dalam kes KOMSAS. Hal yang berlaku bukanlah disebabkan kelemahan Hakcipta tetapi kerana penerbit asal yang tidak jujur. Perkara ini sepatutnya diambil berat oleh Kementerian Pendidikan. Kementerian itu sewajarnya  menyampaikan royalti bahagian penulis terus kepada mereka.  Segala yang berlaku juga membuktikan bahawa klausa dalam Akta Hakcipta  mengikut Konvensyen Bernes yang memperuntukkan pegangan bersama oleh Pengarang dan Penerbit sehingga selepas 50 tahun kematian pengaran, masih belum tiba masanya untuk dikuatkuasakan di Malaysia.



Friday, October 05, 2018



Terhibur membaca komen di fb "Sungguh, kini ramai yang boleh menulis novel. Lambakan novel di pasaran membuktikannya malah ada yang tersenarai sebagai novel terlaris. Namun membaca novel HATIMU AISYAH tukangan SN Zurinah Hassan, saya berpendapat novel-novel itu tidak dapat menandingi novel ini. Tidak banyak penulis wanita yang boleh merakam adat, budaya dan kepercayaan masyarakat dalam bentuk karya kreatif.(*Terima kasih Sharifah Umamah Al-Edrus ).

Seterusnya salin tampal dari status beliau.
Membaca HATIMU AISYAH membuatkan saya tidak hanya melihat watak Aisyah dalam novel yang dikarang oleh SN Datuk Dr. Zurinah Hassan justeru saya melihat watak Aisyah dalam diri ibu dan juga almarhum nenek saya yang meninggal pada tahun 1989 pada usia 80 tahun. Meski pun saya dibesarkan di bandar dan jauh daripada pengaruh adab dan adat kampung yang dibentuk oleh orang-orang tua dahulu namun saya terasa tempiasnya juga. Budaya yang sudah terbentuk dalam diri almarhum nenek dan ibu telah cuba dibentuk pula dalam diri adik beradik saya. Apabila saya berkahwin, watak Aisyah itu juga saya lihat ada pada mentua saya.

Periuk belanga dan pinggan mangkuk mesti dicuci bersih-bersih malah jangan sampai nampak cap jari. Melipat baju mesti diurut-urut baju itu supaya kemas. Dalam kalangan wanita Johor, menjahit baju kurung mesti menggunakan jahitan tulang belut. Menjahit mengunakan mesin tandanya pemalas. Cili atau bahan berempah mestilah digiling menggunakan batu giling. Menggunakan ‘blender’ katanya pemalas dan masakan tidak sedap. Membasuh baju menggunakan mesin katanya tidak bersih.

Begitu juga ketika majlis perkahwinan atau kenduri-kendara. Banyak pantang larang yang mesti dipatuhi. Mesti begitu begini, jangan begitu begini. Apabila saya menghadiri majlis perkahwinan hari ini, melihat pengantin yang santai di atas pelamin malah tidak segan untuk bergurau dengan saudara mara dan rakan taulan, malah pasangan pengantin juga saling mengusik, sering mengingatkan saya pada pengantin sewaktu saya kecil dahulu. Pengantin dulu apabila berada di atas pelamin sangat malu malah tidak terangkat mukanya untuk menatap wajah tetamu apatah lagi menatap wajah pasangan sendiri. Kalau ada benda yang pecah atau melihat sesuatu yang aneh seperti ada burung puyuh bertenggek di atas bumbung, maka berbagai-bagai tafsiran dibuat.

Banyak adat ,kebiasaan dan kepercayaan ini semakin memudar apabila kebanyakan anak-anak perempuan mahupun yang lelaki mula mendapat pendidikan tinggi. Begitu juga apabila banyak peralatan yang memudahkan kerja dan kemudahan elektrik dan air mendekati masyarakat, secara perlahan-lahan budaya dan kebiasaan masyarakat dulu berubah. Generasi nenek dan ibu saya yang rata-ratanya suri rumah perlahan-lahan menerima perubahan (walau pun ada kalanya beliau kurang senang dengan perubahan itu melalui kata-kata dan raut wajahnya). Nenek saya terutamanya, perubahan sedikit sebanyak di sana-sini menjadi kejutan baginya.

Boleh dikatakan generasi saya dan ibu saya sangat beruntung kerana berada dalam peralihan ini. Melihat kelangsungan hidup masyarakat dari wajah hitam putih ke wajah warna-warni. Maka novel HATIMU AISYAH yang merakam adat, kebiasaan dan kepercayaan orang-orang tua dahulu dan bagaimana anak perempuan dididik adalah sesuatu yang sangat berharga untuk dihayati oleh generasi yang hidup dalam zaman yang serba mahu cepat dan mudah. Adat dan kebiasaan yang baik dan tidak menyalahi hukum agama sebaik-baiknya diwarisi kerana ia akan menggambarkan budaya Melayu pada sebarang zaman sementara adat dan kebiasaan yang merugikan dan menyusahkan sebaiknya disimpan dalam lipatan sejarah.

Watak Aisyah masih saya lihat dalam diri ibu saya yang masih hidup dan kini berusia 86 tahun. Beliau lebih selesa hidup sendiri namun pada masa yang sama amat gembira jika anak dan cucunya datang berziarah. Katanya setiap kali dia melihat dan mendakap anak-anaknya yang sudah pun beranak-pinak, dia sentiasa melayangkan ingatannya sewaktu kami masih kecil. Ingatan itu sangat menghiburkan hatinya. Oleh itu apabila saya membaca bab 25 dan 26, hati saya benar-benar sebak. Membaca watak Aisyah itu sebenarnya membaca watak orang tua dan nenek moyang kita yang mahu membentuk peribadi anak dan cucu-cicitnya mengikut acuan Melayu.

Sungguh, kini ramai yang boleh menulis novel. Lambakan novel di pasaran membuktikannya malah ada yang tersenarai sebagai novel terlaris. Namun membaca novel HATIMU AISYAH tukangan SN Zurinah Hassan, saya berpendapat novel-novel itu tidak dapat menandingi novel ini. Tidak banyak penulis wanita yang boleh merakam adat, budaya dan kepercayaan masyarakat dalam bentuk karya kreatif. Oleh itu saya sangat kagumi Datuk Dr. Zurinah Hassan yang ditabalkan sebagai Sasterwan Negara ke 13.

“Matanya terpaut pada sarang burung yang tersangkut di celah-celah dahan. Sarang burung itu sudah beberapa minggu ada di situ. Aisyah telah memerhati seekor burung terbang ke dahan itu membawa sehelai jerami kering yang tersangkut di paruhnya. Jerami kering itu ditinggalkan di celah dahan dan ia terbang semula untuk kembali dengan sehelai jerami kering lagi.Setelah dua tiga hari ia tekun menjaring, terbinalah sebiji sarang.Di sarang itulah burung itu bertelur dan kemudian duduk mengeram. Telur-telur itu telah pun menetas dan mengeluarkan anak-anak burung yang kecil.

“Burung itu menjaga anak-anaknya dengan amat berhati-hati. Setiap hari ia terbang mencari ulat atau biji-biji padi. Ulat atau biji padi itu dibawanya pulang dan disuapkan ke mulut anak-anak kecil yang sentiasa mengangakan mulut dan riuh minta disuap.

Apabila bulu pada tubuh anak-anak burung itu telah penuh, si ibu bersedia pula untuk menjalankan satu lagi tanggungjawabnya yang sangat penting iaitu mengajar anak-anaknya terbang. Bukan mudah mengajar mereka terbang. Si anak kadang-kadang jatuh dan mengalami kesakitan. Namun si ibu tetap tabah menjalankan tanggungjawabnya untuk mengajar mereka erti kedewasaan. Dewasa bererti berhadapan dengan segala kemungkinan, jatuh dan mengalami kesakitan.

Si ibu tetap tabah mengajar anak-anaknya terbang walaupun sedar dengan pengetahuan itu anak-anaknya akan terbang jauh meninggalkannya. Walaupun sedar dengan pengetahuan itu, ia akan berjauhan dengan segala yang disayanginya.

Seperti burung itu, Aisyah telah membina kehidupan. Dia telah melepaskan anak-anaknya untuk membina kehidupan masing-masing. Dia telah menjalankan tanggungjawabnya. Dia berasa nyaman dan lega apabila menyedari yang dia telah menjalankan amanah dan tanggungjawabnya dengan baik.’
Petikan dari bab 26, HATIMU AISYAH.


Saya menghabiskan bacaan ini dengan air suam yang bergenang di kelopak mata.

Tuesday, September 18, 2018


PEMBINAAN METAFORA DALAM BAHTERA BAHASAKU.
Oleh Zurinah Hassan
Adi Badiozaman Tuah, Bahtera Bahasaku.Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka,2016.
Metafora:  Kamus Dewan memberi erti metafora sebagai “Pemakaian kata-kata yang menyatakan sesuatu makna atau maksud yang lain daripada makna biasa atau makna sebenar perkataan yang berkenaan.” Mengikut Owen Thomas (1969) metafora ialah “ A means of expressing one thing in term of another” atau yang diterjemahkan oleh Rahman Shaari sebagai “pernyataan sesuatu dengan menyebut yang lain (Rahman Shaari: 1993:1).
METAPHORE:
meta dan phore . Meta bererti perrtukaran atau peralihan (sense of change of position or condition) dan Phore bermaksud pembawa atau bearer Di sini maksudnya perubahan dan peralihan yang telah berlaku kepada makna perkataan disebabkan penggunaan sesuatu perkataan yang menjadi Pembawa peralihan tersebut.
Perbandingan dua perkara yang berlainan atau berbeza, tetapi mempunyai persamaan hanya di dalam konteks yang dibandingkan. Sebagai contoh, pulau dan impian adalah dua perkara yang berbeza, tetapi mempunyai persamaan di dalam konteks kedua-duanya adalah jauh dan memerlukan usaha penyair untuk sampai ke sana. Dari kaitan ini terciptalah metafora‘pulau impian’ Metafora telah digunakan sejak awal sejarah kehidupan manusia. Manusia menggunakan metafora untuk memberi keterangan tentang sesuatu yang abstrak atau sesuatu konsep yang baru dan sukar untuk diterangkan. Cara yang terbaik ialah mengaitkannya dengan sesuatu perkara yang konkrit , atau fenomena yang dikenali dan mudah difahami oleh masyarakat.
Metafora juga terbentuk dengan adanya tindakan untuk membandingkan sesuatu konsep atau abstraksi dengan sesuatu yang konkrit dan lebih dekat atau lebih dikenali oleh masyarakat. Objek alam merupakan sumber metafora yang terpenting (Zurinah Hassan, 2001). Penyair amat akrab dengan alam seperti laut, sungai, gunung, awan , hujan dan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan. Sehubungan dengan itu, H.B. Jassin pernah menulis, “Seniman yang halus perasaannya sangat rapat hubungannya dengan alam sekitar. Dalam angan-angannya alam itu hidup juga dan tumbuh-tumbuhan, batu-batu dan bunga-bungaan baginya ialah makhluk yang bernyawa (H.B.Jassin. 1968:114) 
Penciptaan puisi dengan penggunaan alam sebagai metafora ini adalah merupakan penciptaan yang berlandaskan Al-Quran, kerana kitab suci Al-Quran juga diturunkan dengan mengandungi perumpamaan dan misal perbandingan terutama yang dikaitkan dengan unsur-unsur alam. Al-Quran menggunakan perlambangan atau Amsal yang diertikan sebagai “menyerupakan sesuatu dengan sesuatu yang lain dan mendekatkan sesuatu yang abstrak dengan sesuatu yang inderawi (konkrit)” (Ahsin W. Al-Hafidz, 2005:24). Kitab suci Al-Quran juga diturunkan dengan keindahan ayat-ayat yang mengandungi metafora dan misal perbandingan daripada objek-objek alam. Bahkan, Allah SWT berfirman dengan jelas tentang penggunaan unsur
 Bahtera Bahasaku yang menjadi judul kumpulan ini adalah sebuah metafora yang mengumpamakan bahasa sebagai perjalanan menaiki bahtera dan tentunya menempuh laut yang berombak dan badai. - perjalanan diri dan perjalanan kehidupan.
Alam amat penting di dalam proses kreatif
Proses kreatif telah berlaku melalui pertemuan penyair dengan alam, iaitu melalui proses interaksi, interpretasi, dan integrasi dengan alam.
Memberikan anggota tubuh badan manusia
Ia merangkak
Dengan lidah terjulur
Dengan dada penuh nanah
Dan menyanyi
(sajak Sungai Kelang, Latiff Mohidin)

Memberikan sifat-sifat yang lazimnya ada pada manusia spt penyayang, sabar, pengasih,cemburu, setia kpd objek alam
Pantaiku Shamsuddin Jaafar
Senja ini kita bertemu
Panmtaiku yang setia
Selamanya aku mengenangmu dalam mimpi
Betapa kesetianmu tak berubah
Dharmawijaya (peny>) Lafu Kehidupan 1983:230)

melakukan perbuatan manusia, misalnya sekelopak bunga menanti fajar pagi di dalam sajak “Pengemis” oleh T.Alias Taib.
Dari peluhnya
Terpercik harapan
Bagai sekelopak bunga
Menanti fajar pagi.

Maarof (peny.) Bahasa Alam 1983:82)
Teratai
Suatu malam
teratai ditanam
dalam tenteram

suatu subuh
teratai tumbuh
penuh angkuh

suatu senja
teratai dibelai
penuh mesra

suatu waktu
teratai layu
tiada sedu.
Kuala Tatau 71

Puisi ini dengan jelasnya membicarakan tentang teratai. Pada rangkap 1 pembaca mendapat maklumat teratai ditanam di tengah malam Maklumat ini mungkin sahaja merujuk kepada bunga teratai yang literal. Teratai ditanam, teratai dibelai dan akhirnya teratai layu. Ia ditanam, tumbuh dan kemudian layu. Hal ini adalah proses yang biasa. Namun begitu rujukan literal  beralih beralih menjadi rujukan  metaforikal.  Tetapi”meta” kepada rujukan  berlaku dan pembawa meta tersebut berada pada rangkap kedua  iaitu  perkataan “angkuh”.  Sifat angkuh ialah sifat manusia sedangkan bunga teratai tidak memiliki sifat-sifat tersebut. Maka apabila tiada logika berlakulah metafora. Dua unsur alam yang mendominasi perkembangan puisi ini ialah unsur tumbuhan, ( teratai) dan unsur peredaran hari iaitu malam, subuh dan senja.. Di sini terdapat pemberian sifat manusia kepada teratai iaitu angkuh. Teratai melalui peredaran hari hingga ke senja bila ia dibelai penuh mesra. Namun suatu waktu teratai layu tiada sedu. Teratai yang tumbuh harus berhadapan dengan proses kelayuan. Ini berlaku pada suatu waktu atau bila2 waktu yang tidak dinyatakan atau disebut secara spesifik samada siang atau malam, subuh atau petang, Rujukan metafora yang dibawa oleh kata “angkuh” dihubungkan dengan sifat fizikal bunga tersebut yang cantik dan  cenderung kepada kesombongan. Setelah teratai beralih kepada rujukan metaforikal dengan kata angkuh maka seluruh rujukan yang lain seperti menanam, tumbuh, peredaran hari malam, subuh dan senja juga beralih kepada rujukan metaforikal. Sajak ini juga mengandungi elemen perasaan seperti “harapan” iaitu harapan si penanam dalam menumbuhkan teratai, kasih sayang yang disampaikan melalui “membelai”.. Namun  Teratai yang tumbuh menghadapi saat layu. Kelayuan itu adalah akibat daripada sifat angkuh .
Penggunaan waktu seterusnya ditemui dalam “Kedatanganku” (4)
suatu senja
aku datang bertandang
darah bergulung
hati kosong
dada terbuka
terketar rasa
meminta-minta
Perjalanan hari yang disejajarkan dengan perjalanan diri terdapat dalam sajak Malam ( 51) dan Malam II (55). Dalam Malam ,  waktu malam menjadi waktu yang memberi kebebasan untuk  berimaginasi dan mengekspressi  dengan lebih kreatif.  Namun begitu perkiraan utama ialah kepada “waktu yang singkat dan terhad yang menuntut seseorang untuk cepat bertindak.

kerana tanpa pamitan
kuketuk pintu kamarmu
..............................
menari dan menyanyi
mencari dan mengejar bayang sendiri
dari sudut ke sudut
di atas sebuah pentas kosong
tanpa muzik dan lagu
tanpa pengarah dan penonton

Penyair mentafsir   erti kesingkatan perjalanan  malam. Di sini berlaku proses interpretasi (mentafsir). Proses pembinaan metafora berlaku dengan memberi unsur perasaan kepada malam, iaitu sifat setia. “malam, dalam dakap setianya “
Penyatuan atau integrasi antara perjalanan malam dan perjalanan diri disebut pada baris:
dengan kesementaraan kehadiranmu
dan keterhadan ruang pergerakanku


Malam 11
semakin terasa keterasingan diri
di tengah-tengah dasarmu
bila subuh sudah begitu hampir
dan jawapan belum juga ada
bagi soalan bisu yang lama itu juga
tentang erti kewujudan, cinta dan rindu
satu kembara yang tidak pernah menemukan ketetapan
kerana keterhadan ruang dan daya fikir
apabila terpenjaranya jasad dan perasaan
di kamar usang dan sempit ini
dan jawapan belum juga ada
bagi soalan bisu yang lama itu juga
tentang erti kewujudan, cinta dan rindu
kerana keterhadan ruang dan daya fikir
apabila terpenjaranya jasad dan perasaan
di kamar usang dan sempit ini

di tengah-tengah lautan sepi
yang dan semakin menjadikan diri lebih terasing
dalam hilir mudik gerak arus kali waktu
bila sampai di perhentian ini
masih belum juga mempunyai kekuatan
untuk menjadikan dirimu seorang teman
buat berbicara dan bermesra.


Lagu Malam (16
lihat itu bulan pucat
sepi menghantu di kejauhan sana
bebayang hitam daunan menari

MALAM BUTA
ada mimpi tua
di pondok tua
pada malam buta
tidak bersayap
merebah mimpi di atas atap.

Selain sajak-sajak yang disebut di atas, unsur waktu terdapat di dalam sajak-sajak lain . Dalam Puisi (53) “Katakanlah Malam Sepi Ini di Manakah Puncanya Rindu Ini di Manakah Akhirnya (54).
Citra perjalanan juga terdapat dalam sajak Dalam Perjalanan  (27), membawa gambaran perjalanan diri. Penyajak memperkatakan tentang perjalanan dan hubungan yang “terlalu payah” dalam perjalanan semakin jauh terasa kau tidak akan hilang seakan bayang sendiri Citra perjalanan dibina dengan imej mengejar kaki yang berlari dari ruang ke ruang, ke muara dan pulau.
Antara sajak yang agak lama saya kenali ialah  Tasikmu Tidak Akan Berkocak (40).
Waktu Senja di Pantai Aku Mencari Erti Kewujudan (43)
“Waktu Senja di Pantai Aku Mencari Erti Kewujudan II” (44)  
kira kau mahu tahu juga
sekembalimu nanti
dari perjalanan yang jauh
yang aku tahu hampir menemui noktahnya
pasti sekali di sini
telah kupesan pada laut, kerikil dan pasir
untuk menyanyikan puisi rinduku

kira kau masih mahu tahu juga
mengapa pelabuhan terlalu sepi
dan aku tidak ada menantimu
untuk menghadiah sekalung bunga
mengertilah
penantian yang terlalu lama dan amat menyeksa
telah membunuh kepercayaan
dan menghancur hati seorang perempuan.


Sajak Pencarian 11 (47)
aku sudah tidak kuasa lagi membilang
tempat persinggahan dalam perjalanan ini
terlalu sementara untuk bermakna
sedang aku lebih dari mengerti
yang kekal adalah pelabuhanmu

aku sudah tidak kuasa lagi membilang
tempat persinggahan dalam perjalanan ini
terlalu sementara untuk bermakna
sedang aku lebih dari mengerti
yang kekal adalah pelabuhanmu

Imej perjalanan laut menjadi metafora yang ketara dalam sajak Kembara Ini (57).

telah kita harungi lautan ini
bersama perahu usang
melawan badai dan arus
yang tidak pernah mahu bersimpati
dan ingin memahami
erti pelayaran yang belum selesai
dalam mencari pelabuhan dan
tempat singgahan yang belum bernama
untuk diijabkabulkan
dengan semangat waja
dalam satu kembara bernama hidup
Metafora dari alam lautan terdapat dalam sajak-sajak lain, misalnya Waktu Senja di Pantai Aku Mencari Erti Kewujudan (III)(59)
pantai,
aku pun mencari jejak-jejak semalam
di dadamu
antara pasang surut air laut
berlarian antara kerikil-kerikil tajam
memberanikan diri untuk minta diterima
dalam kewujudanmu
duduk dan bercermin di permukaan laut
antara sisik-sisik ombak dan buih-buih
melihat wajah-wajah retak
  Jeti Tua, Sampan Kolek dan Sebuah Kampung (86).
i
Jika jeti menjadi tempat berangkat, maka sampan kolek adalah kenaikannya yang pertama dalam perjalanan meneroka zaman.
sampan kolek
adalah peneroka zaman
pesisir waktu
mengharungi lautan hidup
memuat dan memunggah pengalaman
pada setiap tempat singgahan
bernama usia

betapa kita telah didewasakan
oleh air laut, hujan malam, dan gerimis senja
setelah sekian lama dalam kembara
( Pertemuan 111 (67))
Erti Dewasa (87)










Wednesday, August 15, 2018

Pada 2hb Ogos saya telah menaiki pesawat ke Bintulu untuk menyertai Hari Puisi Nasional anjuran Gapena dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya juga telah diundang menyampaikan Syarahan utama atas tajuk INTEGRASI DALAM PUISI: ANTARA KONFLIK DAN DILEMA.  Acara meriah dan membahagiakan. 

Selesai acara syarahan, saya berpeluang mengikut kawan sekampus untuk melawat sekitar Bintulu. Mahmud Yusoff menunjukkan taman hasil karyanya sebagai Artikek Lanskap. Sungguh Taman Tumbina, bagi menumbuhkan bunga-bunga di hati. Pelbagai jenis margastua juga berdialog di sini.