ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Friday, October 05, 2018

ULASAN NOVEL HATIMU AISYAH



Terhibur membaca komen di fb "Sungguh, kini ramai yang boleh menulis novel. Lambakan novel di pasaran membuktikannya malah ada yang tersenarai sebagai novel terlaris. Namun membaca novel HATIMU AISYAH tukangan SN Zurinah Hassan, saya berpendapat novel-novel itu tidak dapat menandingi novel ini. Tidak banyak penulis wanita yang boleh merakam adat, budaya dan kepercayaan masyarakat dalam bentuk karya kreatif.(*Terima kasih Sharifah Umamah Al-Edrus ).

Seterusnya salin tampal dari status beliau.
Membaca HATIMU AISYAH membuatkan saya tidak hanya melihat watak Aisyah dalam novel yang dikarang oleh SN Datuk Dr. Zurinah Hassan justeru saya melihat watak Aisyah dalam diri ibu dan juga almarhum nenek saya yang meninggal pada tahun 1989 pada usia 80 tahun. Meski pun saya dibesarkan di bandar dan jauh daripada pengaruh adab dan adat kampung yang dibentuk oleh orang-orang tua dahulu namun saya terasa tempiasnya juga. Budaya yang sudah terbentuk dalam diri almarhum nenek dan ibu telah cuba dibentuk pula dalam diri adik beradik saya. Apabila saya berkahwin, watak Aisyah itu juga saya lihat ada pada mentua saya.

Periuk belanga dan pinggan mangkuk mesti dicuci bersih-bersih malah jangan sampai nampak cap jari. Melipat baju mesti diurut-urut baju itu supaya kemas. Dalam kalangan wanita Johor, menjahit baju kurung mesti menggunakan jahitan tulang belut. Menjahit mengunakan mesin tandanya pemalas. Cili atau bahan berempah mestilah digiling menggunakan batu giling. Menggunakan ‘blender’ katanya pemalas dan masakan tidak sedap. Membasuh baju menggunakan mesin katanya tidak bersih.

Begitu juga ketika majlis perkahwinan atau kenduri-kendara. Banyak pantang larang yang mesti dipatuhi. Mesti begitu begini, jangan begitu begini. Apabila saya menghadiri majlis perkahwinan hari ini, melihat pengantin yang santai di atas pelamin malah tidak segan untuk bergurau dengan saudara mara dan rakan taulan, malah pasangan pengantin juga saling mengusik, sering mengingatkan saya pada pengantin sewaktu saya kecil dahulu. Pengantin dulu apabila berada di atas pelamin sangat malu malah tidak terangkat mukanya untuk menatap wajah tetamu apatah lagi menatap wajah pasangan sendiri. Kalau ada benda yang pecah atau melihat sesuatu yang aneh seperti ada burung puyuh bertenggek di atas bumbung, maka berbagai-bagai tafsiran dibuat.

Banyak adat ,kebiasaan dan kepercayaan ini semakin memudar apabila kebanyakan anak-anak perempuan mahupun yang lelaki mula mendapat pendidikan tinggi. Begitu juga apabila banyak peralatan yang memudahkan kerja dan kemudahan elektrik dan air mendekati masyarakat, secara perlahan-lahan budaya dan kebiasaan masyarakat dulu berubah. Generasi nenek dan ibu saya yang rata-ratanya suri rumah perlahan-lahan menerima perubahan (walau pun ada kalanya beliau kurang senang dengan perubahan itu melalui kata-kata dan raut wajahnya). Nenek saya terutamanya, perubahan sedikit sebanyak di sana-sini menjadi kejutan baginya.

Boleh dikatakan generasi saya dan ibu saya sangat beruntung kerana berada dalam peralihan ini. Melihat kelangsungan hidup masyarakat dari wajah hitam putih ke wajah warna-warni. Maka novel HATIMU AISYAH yang merakam adat, kebiasaan dan kepercayaan orang-orang tua dahulu dan bagaimana anak perempuan dididik adalah sesuatu yang sangat berharga untuk dihayati oleh generasi yang hidup dalam zaman yang serba mahu cepat dan mudah. Adat dan kebiasaan yang baik dan tidak menyalahi hukum agama sebaik-baiknya diwarisi kerana ia akan menggambarkan budaya Melayu pada sebarang zaman sementara adat dan kebiasaan yang merugikan dan menyusahkan sebaiknya disimpan dalam lipatan sejarah.

Watak Aisyah masih saya lihat dalam diri ibu saya yang masih hidup dan kini berusia 86 tahun. Beliau lebih selesa hidup sendiri namun pada masa yang sama amat gembira jika anak dan cucunya datang berziarah. Katanya setiap kali dia melihat dan mendakap anak-anaknya yang sudah pun beranak-pinak, dia sentiasa melayangkan ingatannya sewaktu kami masih kecil. Ingatan itu sangat menghiburkan hatinya. Oleh itu apabila saya membaca bab 25 dan 26, hati saya benar-benar sebak. Membaca watak Aisyah itu sebenarnya membaca watak orang tua dan nenek moyang kita yang mahu membentuk peribadi anak dan cucu-cicitnya mengikut acuan Melayu.

Sungguh, kini ramai yang boleh menulis novel. Lambakan novel di pasaran membuktikannya malah ada yang tersenarai sebagai novel terlaris. Namun membaca novel HATIMU AISYAH tukangan SN Zurinah Hassan, saya berpendapat novel-novel itu tidak dapat menandingi novel ini. Tidak banyak penulis wanita yang boleh merakam adat, budaya dan kepercayaan masyarakat dalam bentuk karya kreatif. Oleh itu saya sangat kagumi Datuk Dr. Zurinah Hassan yang ditabalkan sebagai Sasterwan Negara ke 13.

“Matanya terpaut pada sarang burung yang tersangkut di celah-celah dahan. Sarang burung itu sudah beberapa minggu ada di situ. Aisyah telah memerhati seekor burung terbang ke dahan itu membawa sehelai jerami kering yang tersangkut di paruhnya. Jerami kering itu ditinggalkan di celah dahan dan ia terbang semula untuk kembali dengan sehelai jerami kering lagi.Setelah dua tiga hari ia tekun menjaring, terbinalah sebiji sarang.Di sarang itulah burung itu bertelur dan kemudian duduk mengeram. Telur-telur itu telah pun menetas dan mengeluarkan anak-anak burung yang kecil.

“Burung itu menjaga anak-anaknya dengan amat berhati-hati. Setiap hari ia terbang mencari ulat atau biji-biji padi. Ulat atau biji padi itu dibawanya pulang dan disuapkan ke mulut anak-anak kecil yang sentiasa mengangakan mulut dan riuh minta disuap.

Apabila bulu pada tubuh anak-anak burung itu telah penuh, si ibu bersedia pula untuk menjalankan satu lagi tanggungjawabnya yang sangat penting iaitu mengajar anak-anaknya terbang. Bukan mudah mengajar mereka terbang. Si anak kadang-kadang jatuh dan mengalami kesakitan. Namun si ibu tetap tabah menjalankan tanggungjawabnya untuk mengajar mereka erti kedewasaan. Dewasa bererti berhadapan dengan segala kemungkinan, jatuh dan mengalami kesakitan.

Si ibu tetap tabah mengajar anak-anaknya terbang walaupun sedar dengan pengetahuan itu anak-anaknya akan terbang jauh meninggalkannya. Walaupun sedar dengan pengetahuan itu, ia akan berjauhan dengan segala yang disayanginya.

Seperti burung itu, Aisyah telah membina kehidupan. Dia telah melepaskan anak-anaknya untuk membina kehidupan masing-masing. Dia telah menjalankan tanggungjawabnya. Dia berasa nyaman dan lega apabila menyedari yang dia telah menjalankan amanah dan tanggungjawabnya dengan baik.’
Petikan dari bab 26, HATIMU AISYAH.


Saya menghabiskan bacaan ini dengan air suam yang bergenang di kelopak mata.

No comments:

Post a Comment