HAK CIPTA: UNTUNG RUGI
SASTERAWAN MALAYSIA
Oleh ZURINAH HASSAN.(rencana ini telah disiarkan di Dewan Sastera)
Barangkali
saya melangkah kaki ke dunia penulisan dan penerbitan (pada akhir tahun enam puluhan)
dengan persepsi yang salah atau telah diberi maklumat yang tidak tepat oleh penulis-penulis yang lebih awal. Saya
beranggapan bahawa sebuah sajak atau cerpen yang saya tulis menjadi milik saya
walaupun ia mungkin tersiar di akhbar seperti Utusan
Zaman, Mingguan Malaysia, Berita Minggu atau majalah Mastika, Dewan Bahasa dan Dewan
Masyarakat (yang kebanyakannya tidak membayar).
Seorang
penyair sudah tentu gembira bila sajaknya disiarkan di akhbar walaupun tidak
ramai yang membaca atau melihatnya dan esoknya akhbar itu menjadi paper lama. Hanya jika beruntung sajak yang sama mungkin
dikutip oleh mana-mana penyusun dan dimasukkan ke dalam antologi bersama
yang kerap diterbitkan suatu ketika
dahulu. Antologi puisi bersama merupakan koleksi puisi beberapa orang penyair
memuatkan sajak-sajak yang biasanya
telah terbit di pelbagai media. mempunyai
tema tertentu ataupun tidak, bergantung kepada konsep buku yang disusun. Mereka
akan menulis surat kepada penyair meminta izin. Dengan anggapan bahawa
pengarang berhak atas karyanya maka dengan mudah penyair menandatanagni persetujuan.
Penyusun
antologi ialah pengkaji dan sarjana seperti
Ali Ahmad, Ahmad Kamal Abdullah
(
Kemala), Dharmawijaya, Rahman Shaari
dan A.Wahab Ali. Dengan cara itu terbitlah sejumlah antologi bersama
misalnya Titian Zaman (Dewan Bahasa
dan Pustaka, 1979), Bunga Gerimis (Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986) Himpunan
Sajak (Dewan Bahasa dan Pustaka,1981-. Bintang Mengerdip (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984) , Malaysia dalam Puisi , (Dewan Bahasa dan
Pustaka 1984), Di Penjuru Matamu (1975), Puisi Sepanjang
Zaman,
( Dewan Bahasa dan Pustaka 1988). Lagu Kehidupan (Dbp.1982), Mustika
Diri (Dbp1994), Lukisan Zaman
(Marwilis Publisher 1991). Selain
usaha para sarjana, terdapat juga pelbagai antologi yang diterbitkan oleh Persatuan-persatuan penulis di seluruh
negara.
Kita
juga dapat berbangga dengan antologi yang menggabungkan penyair-penyair di
peringkat antarabangsa khasnya Nusantara. Antara lain ialah Puisi-puisi
Nusantara. (Dewan Bahasa dan Pustaka 1981) disusun oleh Ahmad Kamal
Abdullah (Kemala). Dengan terbitan antologi bersama ini, puisi-puisi
Melayu juga dapat diketengahkan ke peringkat antarabangsa melalui terjemahan
seperti yang diusahakan oleh Muhammad Haji Salleh melalui buku The Pupeteer’s Wayang, (DBP, 2009) dan Emas Tempawan/Burnished Gold (DBP, 2006)
Penerbitan
antologi puisi, cerpen dan drama ini merupakan sumbangan yang besar kepada
perkembangan sastera Melayu. Kumpulan-kumpulan
ini memberi manfaat khasnya untuk pembelajaran di sekolah dan kajian di
institusi pengajian. Antologi seperti
ini juga sangat besar peranannya dalam mendokumentasi perkembangan puisi tanahair. Misalnya
kumpulan Puisi Sepanjang Zaman,
susunan Dharmawijaya, memberi maklumat yang jelas tentang sejarah dan perkembangan
penulisan puisi di Malaysia. Khalayak mendapat pengetahuan siapakah penyair-penyair penting dalam sejarah
sastera tanahair. Kumpulan Mustika Diri
pula mendokumentasi perkembangan penulis wanita Malaysia dalam pelbagai genre
iaitu puisi, skrip drama, esei, cerpen. Penyair gembira kerana akan mendapat
beberapa ratus atau puluhan rm dan sajak yang dikarang dengan susah payah itu akan menemui lebih ramai pembaca melalui
antologi berkaitan.
Penerbitan
antologi berjalan lancar tanpa banyak kerenah kerana penyair bebas untuk
memberikan kebenaran. Dengan cara ini sebuah sajak boleh terbit di dua buah
antologi atau lebih tanpa sebarang gangguan dari mana-mana penerbit. Seingat
saya tiada kekecohan kerana kalau ada
pun peraturan mengenai hakcipta, tidak ada pihak yang terlalu mengambil berat
mungkin kerana sebuah sajak tidak mendatangkan rm yang banyak kepada mana-mana
pihak.
Suasana
ini sudah berubah. Tiba-tiba penyair mendapati bahawa sajaknya bukan miliknya
seorang tetapi dimiliki bersama oleh penulis dan penerbit asal yang menerbitkan
karyanya. Penulis mula diingatkan untuk menyemak kembali tentang peraturan
hakcipta. Ada dua perkara penting yang ditangkapi.
1-
Hak cipta sebuah karya
dimiliki bersama oleh pengarang dan penerbit . Pegangan ini berkuatkuasa dari
saat buku diterbitkan sehingga 50 tahun selepas pengarang meninggal dunia. Ini
adalah berdasarkan akta yang termaktub dalam konvensyen Bernes 1886.
2- Adalah
menjadi kesalahan meniru atau menerbitkan kembali sesebuah karya orang lain khasnya yang telah dikbukukan atau
diterbitkan oleh sesebuah penerbitan.
Sejak
bilakah perkara hakcipta ini ditegaskan ? Seingat saya perkara hakcipta ini
sangat diambil berat dan ditegaskan dengan munculnya KOMSAS atau Komponan
Sastera dalam Bahasa Melayu yang diajar di sekolah-sekolah pada tahun 2000.
Terasa seperti ada gerakan penguatkuasaan selepas tarikh tersebut. Penerbitan
antologi bersama seolah-olah terhenti. Kalau ada pun usaha menyusun antologi, penyusun2
akan meminta penyair menghantar
sajak-sajak kepada mereka dan sajak-sajak itu mestilah baru dan belum pernah
disiarkan di mana-mana untuk mengelak sebarang masalah berbangkit ekoran
hakcipta.
Lalu
yang menonjol sekarang ialah antologi yang digunakan sebagai teks KOMSAS
(komponen sastera) untuk kegunaan di sekolah-sekolah. terbitan Kementerian
Pendidikan. Antologi KOMSAS memuatkan karya-karya yang dipilih oleh satu Panel
pemilih. Karya-karya itu dikutip dari pelbagai buku atau penerbitan yang telah
terbit di Malaysia. Menjelang munculnya KOMSAS
riuhlah orang bercakap yang
penulis akan menerima royalti yang banyak jika ada karyanya dipilih. KOMSAS terlaksana pada tahun 2000. Buat
pertama kali penulis kreatif, yang karyanya terpilih dikatakan akan menerima
royalti dalam jumlah yang belum pernah dinikmati oleh penulis lebih lebih lagi
penulis puisi sebelum ini.
KOMSAS
membawa harapan tetapi Penulis kemudian hampa bila pembayaran royalty tidak disampaikan terus
kepada mereka tetapi kepada penerbit yang menerbitkan buku di mana karya itu
diambil. Hal ini dilakukan kerana penerbit asal ditegaskan turut memegang hak cipta sesebuah karya dan kerana itu berhak menerima
royalti.
Penulis
tambah kecewa lagi kerana tidak disebut di mana-mana nisbah pembahagian antara
penerbit dan penulis. Oleh itu setelah menerima wang dari Kementerian
Pendidikan, Penerbit bebas untuk memberi
mengikut suka hati mereka malah ada yang menganiaya penulis dengan membolot
semua wang royalti.
Saya
pun keliru. Dari pemahaman saya yang telah terlibat dalam antologi bersama selama
ini, perkiraan royalti adalah berdasarkan jualan buku dan kemudian dibahagikan
dengan jumlah karya yang ada dalam buku tersebut. Misalnya sebuah antologi
berjudul Mawar Merah (hanya judul rekaan
) memuatkan 10 buah puisi. Royalti hasil jualan Mawar Merah ialah 100 ribu.
100 ribu ini dibahagi dengan 10 karya tentulah satu karya 10 ribu. Maka Kementerian
Pendidikan akan menghantar kepada penerbit asal 10 ribu untuk sebuah puisi
dalam Mawar Merah. Kalau Penerbit
membahagi samarata dengan penulis, masing masing mendapat 5 ribu. Ini juga bererti semua
penulis yang ada sebuah karya dalam Mawar
Merah akan mendapat royalti yang
sama. Tetapi ini tidak berlaku. Bila
penulis yang ada karya dalam sebuah buku membandingkan pendapatan mereka,
mereka dapati mereka tidak mendapat jumlah yang sama. Maka timbullah tandatanya
dan curiga akan keikhlasan penerbit.
Inilah
yang berlaku misalnya kepada Amaruzati
Noor Rahim. Cerpen Amaruzati bertajuk
“Tanggar Amanat” telah tersiar di sebuah akhbar pada 7 Disember 2003. Cerpen
itu memenangi Hadiah Sastera akhbar tersebut lalu diantologikan. Dari antologi
ini cerpen beliau telah dipilih untuk
buku KOMSAS, Dirgahayu Bahasaku
kegunaan Tingkatan 5, 2010-2015. Bila
sampai waktunya, pembayaran royalti pun dihantar oleh Kementeria Pendidikan kepada
syarikat tersebut. Mengikut Amaruszati dia hanya menerima royalti setelah
berkali-kali menghubungi syarikat itu setelah mengetahui kawan-kawan yang lain
telah menerima royalti mereka. Jumlah yang diterima, oleh Amaruzati ialah Rm 2ribu. Ini sangat mengecewakan kerana
kawan-kawan lain mendapat jauh lebih
banyak. Kata Amaruszati ini jauh berbeza daripada Siti Hajar Mohamad Zaki yang mendapat royalti hampir
20ribu dari cerpen yang tersiar dalam antologi yang digunakan sebelum Dirhagahayu Bahasaku. Walaupun royalti Siti
Hajar adalah dari buku yang berlainan
namun Amaruzati tidak menyangka ianya akan jauh berbeza, memandangkan kedua
buku tersebut sama-sama dijual untuk KOMSAS.
Penulis prolifik Aminah Mokhtar juga menghadapi keadaan yang lebih buruk lagi kerana menurutnya sehingga
sekarang dia tidak pernah mendapat satu sen pun habuan royalti dari karya-karya
yang dimuatkan dalam antologi Kementerian Pendidikan itu. Puisinya “Sesekali
Pesakitku”. Disiarkan dalam antologi Anak Global, 2010 untuk Tingkatan 4 dan
5.Sementara itu dua karya lagi dipilih pada 2016 iaitu puisi “ Kolek Bonda”. yang termuat dalam antologi untuk Tingkatan 4 dan 5. Cerpennya Gerhana Manusia juga dihimpunkan
dalam antologi Langit Gemilang untuk Tingkatan
4 dan 5 masih belum mendapat apa-apa bayaran. Di samping mereka Abdul
Hadi Yusof juga mengadu menghadapi nasib yang sama.
Penulis
terpaksa menerima kenyataan bahawa mereka berkongsi royalti dengan penerbit yang
lebih awal menyiarkan karya mereka. Tetapi mereka berpendapat alangkah baiknya
jika Kementerian Pendidikan menghantar royalti kepada penulis dan penerbit secara
berasingan. Jika terlalu sukar berbuat demikian, tidak bolehkah Kementerian
menetapkan pembahagian antara penerbit dan penulis, seelok-eloknya samarata
50-50. Cara pembahagian ini juga anih. Misalnya sajak saya Mahsuri diambil dari
buku yang diterbitkan oleh sebuah penerbit. Saya namakannya di sini Penerbit Kedua. Royalti
diberi kepada Penerbit Kedua dan Penerbit
Kedua mahu memberi kepada saya 12 peratus dari royalti yang diterima daripada
Kementerian Pendidikan. Apakah hak mereka untuk membolot 88 peratus? Langkah
Kementerian ini dianggap anih kerana sebelum itu sajak Mahsuri sudah terbit
dalam antologi perseorangan saya Pujangga
Tidak Bernama, terbitan Dewan Bahasa. Bagaimana pula kedudukan Penerbit
Kedua yang mengambil daripada Dewan
Bahasa tanpa kebenaran dan apa-apa bayaran.
Dengan
adanya KOMSAS tiba-tiba semua pihak terlalu tegas mengenai peraturan hakcipta.
Penyair yang berhasrat menerbitkan sajak-sajaknya dalam kumpulan perseorangan
telah diminta mengemukakan surat izin terbit dari pelbagai akhbar dan majalah
di mana sajak-sajaknya telah disiarkan buat pertama kali. Ini mendatangkan
kesukaran andainya ada sajak yang terbit 30 tahun yang lalu dan dilupai
tarikhnya. Ada pula akhbar yang tidak memberi jawapan walaupun disertakan
sampul surat berstem. Inilah yang dialami oleh Aladin Mohamad seorang penyair
veteran yang gigih dari Melaka. Penerbitan antologinya tergendala oleh
syarat-syarat yang demikian. Mohamad Helmi Ahmad juga merasa hairan mengapa
seorang kawannya diwajibkan untuk
meminta kebenaran dari majalah padahal majalah itu diterbitkan sendiri oleh
penerbit yang sedang menerbitkan kumpulannya. Mereka tertanya-tanya bagaimana
kalau akhbar itu tidak memberi persetsejuan?.
Jika akhbar tidak berhak, mengapa
mengenakan syarat yang
menyukarkan itu.
Perkara
seterusnya ialah berkaitan pegangan hak cipta. Hakcipta dipegang bersama oleh
pengarang dan penerbit untuk tempoh selama mana karya itu diterbit dan lima
puluh tahun setelah penulis meninggal dunia.
Klausa yang termaktub dalam konvension hakcipta Berne 1886 itu
diapplikasi oleh penerbit terbesar iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka. Klausa ini
telah menguntungkan seniman di dunia hiburan. Kabarnya karya-karya senikata
lagu ciptaanAllahyarham Loloq masih menerima bayaran sekitar belasan ribu sebulan . Tetapi apakah kesan Akta tersebut kepada
bidang penulisan?. Setakat ini belum terdengar ada penulis yang menikmati
royalti sebegitu banyak yang dapat ditinggalkan untuk pewaris. Sebaliknya Akta
tersebut dilihat mendatangkan lebih banyak
kesusahan dan kesukaran berbanding keuntungan.
Apakah rasional
penerbit turut memegang hakcipta dan turut berhak atas royalti? Sebab yang
diberikan ialah supaya jika ada mana-mana pihak melakukan kesalahan seperti
menerbitkan kembali hasil karya penulis, maka penerbit boleh bertindak untuk
membela penulis, kononnya sebagai badan yang lebih besar mereka akan lebih kuat
untuk bertindak sedangkan penulis sebagai individu dianggap lebih lemah untuk
bertindak sendirian.
Ini mengembalikan kita kepada klausa seterusnya, iaitu sebuah
karya tidak boleh ditiru dan diterbitkan semula tanpa izin pemegang hakcipta.
Akta ini dengan jelas melindungi hak pengarang. Tetapi sejauh mana pengarang
boleh menuntut haknya. Sebelum mendapat pembelaan sudah tentulah pengarang
menanggung beban membuktikan bahawa karya tersebut benar-benar karangannya yang
asli. Adakah ini mudah dilakukan. Cuba lihat kes yang pernah berlaku.
Seorang penulis, Elias Idris (64 tahun) menonton Astro Ria.
Sebuah filem berjudul Bohsia, terbitan syarikat Yusof Haslam iaitu Skop
Production sedang ditayangkan. Elias terkejut kerana mengikut beliau seluruh
cerita dan jalan cerita begitu banyak persamaan dengan novelnya Aku Bohsia.
Elias yakin filem itu
disalin daripada ceritanya sendiri. Beliau cuba menemui Yusuf Haslam tetapi
tidak dilayani. Langkah seterusnya ialah menyaman Skop Production menamakan
Shamsul Yusuf sebaga defendan pertama. Elias nekad untuk melalui pelbagai
kerumitan, mengorbankan masa dan wang yang tidak sedikit untuk mendapatkan
keadilan di mahkamah.
Segalanya berakhir dengan kekecewaan. Elias kalah dan
menanggung kerugian. Skop Production
kemudian mengenakan saman fitnah terhadap Elias. Skop menang dan Elias
diperintahkan membayar rm 100k kepada Yusof Haslam
Pihak Skop Production menafikan sebarang peniruan dan mengaku
semuanya adalah idea asal panel skrip mereka sendiri. Adakah Skop Production
telah membuat penipuan? Allah sahaja yang tahu perkara sebenar. Kes ini
diperturunkan di sini untuk menunjukkan adalah tidak mudah bagi seorang
pengarang membuktikan bahawa sesebuah karya itu adalah karya beliau yang asal. Pihak
yang didakwa nampaknya tidak sukar untuk menafikan dan mengatakan bahawa segala
persamaan adalah kebetulan
Seperkara lagi, jika benar pengarang dan penerbit adalah pemegang
hakcipta bersama sebuah karya, tidak terdengar pula pembabitan penerbit buku
dalam kes Aku Bohsia ini.
Satu
lagi kes yang ada kaitan ialah kes novel Hartini
karya Aziz Afkar. Pengarang dan penerbit telah memfail saman terhadap
syarikat Erma Fatima yang mengadaptasi novel Hartini tanpa meminta kebenaran terlebih dahulu. Mengikut balu Aziz
Aftar Puan Kamariah Awang saman bersama penerbit dan pengarang itu telah
ditolak oleh mahkamah kerana mahkamah berpandangan yang menanggung kerugian
dari segi kewangan ialah penerbit. Aziz tidak mengeluarkan modal. Jadi walaupun
memerah otak dia tidak rugi. Saman dimenangi oleh Creative Enterprise dan
mahkamah memerintahkan Erma membayar kepada creative enterprise sejumlah wang (
Dan mengikut balu pengarang, penerbit tidak memberi apa2 kepada mereka). Tetapi
yang menjadi persoalan, mengapa pengarang diketepikan kalau dia sama-sama
memiliki hakcipta ke atas karyanya.
Kes
Hartini membawa kita ke senario
seterusnya, iaitu yang bersabit dengan adaptasi karya sastera khasnya novel ke
filem dan drama. Pembikinan filem
berdasarkan novel atau adaptasi telah berlaku sejak dulu termasuk oleh
penerbit gergasi di Hollywood. Senarai novel yang difilemkan terlalu panjang
untuk disebut, termasuklah karya-karya sastera klasik seperti Jane Eyre (Charlotte Bronte) Wuthering Heights (Emile Bronte), A Farewell to Arms (Ernest Hemingway) dan karya besar yang meruntun
perasaan seperti The Good Earth karya
Pearl S.Buck. Di sini kita tertunggu-tunggu untuk menyaksikan siri filem yang
bertolak dari novel Hamka misalnya Di
Bawah Lindungan Kaabah, Tenggelamnya Kapal Van der Wijck
Perbezaannya,
hakikat bahawa filem itu didasarkan kepada novel akan diperbesarkan. Bahkan ia
akan melariskan filem dan juga novel tersebut. Oleh itu penulis novel dan
pembuat filem sering bersedia untuk bekerja sama. Tetapi mengapakah hal seperti
ini belum terjadi di Malaysia. Bahkan ada percubaan untuk membuatnya secara
“curi-curi”. Hak penulis diketepikan seperti yang laku kepada Hartini. Perkara ini juga menghairankan
seorang yang meminati novel dan juga drama terbitan Erma Fatima. Beliau
menulis dengan penuh emosi di blognya hartiniomar.
blogspot. Beliau mengeluh alangkah baiknya kalau Erma Fatima memohon
keizinan untuk mengadaptasi novel Hartini.
Alangkah baiknya jika Erma Fatima bekerjasama dengan Aziz Afkar dalam melukis
watak, membentuk dialog dan membina suasana. Dia percaya dengan cara demikian,
drama dan novel itu akan bertambah popular, tidak disekat penyiarannya dan
beliau akan dapat menontonnya lagi dan lagi.
Senario
yang dibentangkan di atas memperlihatkan bahawa terdapat bahagian-bahagian
dalam Akta Hak Cipta yang masih mengelirukan penulis. Jika penulis dan penerbit
dikatakan pemegang bersama hak cipta mengapakah Aziz Afkar diketepikan dalam
kes saman Hartini. Kesukaran untuk membuktikan
adanya plagiat terhadap karya asal seperti dalam kes novel Aku Bohsia juga menunjukkan akta ini masih sukar untuk melindungi
hak penulis. Di samping itu Akta Hakcipta di bawah Convention Berne menyukarkan
penerbitan antologi bersama malah antologi perseorangan yang menyebabkan banyak
sajak tidak dapat diterbitkan kembali.
Di Malaysia Akta ini telah meletakkan penulis dalam keadaan mudah
dianiayai bila penerbit asal diberikan hak untuk membahagikan royalti mengikut
perkiraan mereka sendiri seperti yang berlaku dalam kes KOMSAS. Hal yang
berlaku bukanlah disebabkan kelemahan Hakcipta tetapi kerana penerbit asal yang
tidak jujur. Perkara ini sepatutnya diambil berat oleh Kementerian Pendidikan.
Kementerian itu sewajarnya menyampaikan
royalti bahagian penulis terus kepada mereka.
Segala yang berlaku juga membuktikan bahawa klausa dalam Akta
Hakcipta mengikut Konvensyen Bernes yang
memperuntukkan pegangan bersama oleh Pengarang dan Penerbit sehingga selepas 50
tahun kematian pengaran, masih belum tiba masanya untuk dikuatkuasakan di
Malaysia.
Can I just say what a relief to find someone who really knows what theyre speaking about on the internet. You definitely know the best way to carry a problem to light and make it important. More individuals have to learn this and understand this aspect of the story. I cant consider youre no more well-liked because you undoubtedly have the gift. online casino bonus
ReplyDeleteAn fascinating discussion is value comment. I feel that you should write more on this subject, it won't be a taboo topic but typically people are not sufficient to speak on such topics. To the next. Cheers casino blackjack
ReplyDelete