ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Monday, March 09, 2009

ZUBIR, PENANTIAN SATU SEKSA


Pada tahun 1968 saya belajar di Sekolah Sultanah Asma Alor Setar. Suatu hari saya menghadiri majlis Maulidur Rasul yang diadakan di sekolah yang dikenali sebagai Maktab Mahmud ,ebuah sekolah yang terkenal dengan pengajian agama dan bahasa Arab. Acara utama hari itu ialah penyampaian hadiah pertandingan menulis sajak sempena Maulidur Rasul. Saya hadir dengan gembiranya kerana sayalah yang akan menerima hadiah pertama pertandingan tersebut.

Selepas menerima hadiah, saya pun menyaksikan sajak-sajak yang menang dideklamasikan. Yang mendeklamasikan sajak saya berjudul “Muhammad” ialah seorang ‘budak’ Maktab Mahmud bernama Shamsuddin Osman. Sajak yang memenangi tempat kedua dideklamasikan sendiri oleh penulisnya iaitu seorang “budak” Tingkatan Lima Maktab Mahmud Namanya Muhammad Zubir bin Ali.

Itulah kali pertama saya menjadi johan pertandingan menulis sajak peringkat sekolah-sekolah Itulah juga kali pertama kali saya melihat sajak saya dipersembahkan di atas pentas disaksikan oleh begitu ramai penonton. Saya kagum dengan bacaan dan gaya Shamsudin Osman yang membuat sajak saya terdengar lebih indah dari asalnya.
Sudah tentu hari itu hari yang bersejarah dalam hidup saya. Tetapi saya tidak menyangka ada yang lebih dari itu. Saya tidak menyangka bahawa pagi itu saya telah bertemu dengan dua orang yang akan menjadi penting di dalam sejarah seni dan budaya tanah air. Deklamator yang bernama Shamsudin Osman kemudiannya menjadi Dinsman, satu nama yang anda kenali sekarang. Dan Muhammad Zubir Ali itu tidak lain dan tidak bukan ialah komposer , penyanyi Zubir Ali yang telah pulang kepada Ilahi pada hari Jumaat 6hb Mach yang lalu.

Sunday, February 22, 2009

Tuan Yang Berhormat

menang ayam kerana taji

menang tuan kerana undi

menang hamba jangan diulang

menang sorak di tengah gelanggang

sedang tanah diambil orang.


 

Tuan Yang Berhormat

jangan meniru cerdik raja memangsakan rakyat

jangan ulangi bodoh hamba

tamakkan habuan yang cepat

termakan pujuk terbelit muslihat

kurang ilmu buta hakikat

tumpul akal tidak melihat

kalah orang kalah mendapat.


 

Silap Pak Kaduk bertukar ayam

maka tergadai kampung halaman

silap tuan bertolak ansur

maka tercagar nasib keturunan.


 

Menang Pak Kaduk tidak bertanah

menang tuan tidak bertuah

kalau menunduk pada yang kalah

menang suara jangan kalah digertak

menang budaya jangan kehilangan watak

menang sorak jangan kalah sabungan

menang kerusi jangan hilang perjuangan.

APA GUNA MENGUNDI DALAM PILIHANRAYA KALAU……….

Satu perkara yang saya tidak suka dan tidak sokong dari dahulu, kini dan selamanya ialah perbuatan melompat pati. . Saya fikir hal melompat parti ini mesti segera diharamkan oleh undang-undang.

Bagi saya, apa-apa pun yang terjadi pada kepimpinan negara mestilah ditentukan oleh pilihan raya. Rakyat sudah memilih demikian, maka demikianlah sepatutnya berlaku. Kalau lompat parti dibolehkan apalah gunanya kita keluar mengundi?

Setiap kali pilihanraya seluruh negara dibanjiri dengan poster-poster. . Semua parti yang bertanding akan mempamerkan gambar atau lambang parti masing-masing, sebanyak-banyak dan sebesar-besar yang mungkin. Keadaan jadi meriah dan penuh dengan gambar-gambar dacing, roket, bulan dan sebagainya. Suasana diwarnai oleh biru BN dan biru PKR, diselangseli dengan hijau Pas dan merah DAP... Ya, ketika itu kita berkata dan kita merasa inilah simbol kebebasan rakyat. Rakyat bebas memilih mana saja lambang yang dia suka. Rakyat berhak memilih dacing, bulan , roket atau apa saja.

Tapi apalah gunanya dan apalah maknanya jika selepas mengundi sesuatu simbol esok lusa calon itu sesuka hati bertukar untuk mewakili simbol yang lain pula. Apatah lagi simbol yang kita tidak suka.

Pada tahun lalu, ketika Anwar Ibrahim mengheboh-hebohkan bahawa kerajaan Malaysia akan bertukar tangan pada 16 September seluruh rakyat Malaysia menunggu dengan debaran apakah ini akan benar-benar berlaku.

Biarlah saya berterus terang di sini, bahawa saya adalah di antara orang yang mendoakan ianya tidak terjadi dan nampaknya doa itu telah termakbul. Jangan salah faham, saya bukan anti Anwar atau pro Barisan. Itu bukan sebabnya.


 

Sebab utama saya tidak mahu kerajaan pusat bertukar tangan pada 16 September ialah kerana saya sekali-kali tidak menyokong perbuatan melompat parti.

Nah, sekarang suasana panas terutama di Perak. BN dan PKR macam sedang bermain bola. Tak tau siapa yang menang akhirnya. Mengapa semua ini boleh berlaku?. Bagi saya tak lain tak bukan kerana undang-undang tidak menyekat YB-YB melompat parti atau meninggalkan parti .Kalau perkara lompat melompat ini diharamkan dari dulu maka tidak siapa boleh memujuk, menggertak, mengugut mengancam mana-mana YB untuk berpindah parti.

Kalau lompat melompat ini dibolehkan apalah gunanya kita mengundi. Tak payahlah kita susah payah keluar mengundi dalam PRU ke 13 nanti. Perbuatan ini boleh dianggap sebagai menghina pilihan raya.

Ini pandangan saya. Pandangan anda mungkin berbeza.

Friday, February 20, 2009

Asamualaikum . Sudah lama tidak berkesempatan menulis di sini. Dua tiga bulan ini saya sibuk dengan urusan mencari rezeki. Ini juga tanggungjawab kita sebagai makhluk Allah yang dijadikan di atas muka bumi ini. Allah berfirman "Kemudian setelah selesai solat maka bertebaranlah kamu di muka bumi untuk menjalankan urusan masing-masing dan carilah limpah kurniaan Allah serta ingatilah Allah sebanyak-banyak dalam setiap keadaan. Supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat". Surah Al Jumu'ah ayat 10.

Gambar ini di ambil di kebun saya di Sementa, Selangor. Saya kini cuba memasuki bidang pertanian. Tak salah kan? Bukankah selama ini saya pun ada menulis tentang kepentingan bidang pertanian demi menambah bekalan makanan untuk rakyat, misalnya sajak "Wasiat Seorang Petani" dan "Bendang Lahuma"
Insya Allah akan ada cerita lagi dari kebun .

Tuesday, December 09, 2008

Keputusan Hadiah Sastera Perdana 2004-2005 telah pun diumumkan. Saya tidak memenangi sebarang hadiah walaupun boleh dikatakan banyak karya yang tersiar di dalam tempoh dua tahun tersebut.

Antologi sajak saya berjodol SALASILAH tidak menang. Bukanlah saya hendak mempertikaikan kegagalan tersebut. Itu perkara biasa. Saya telah membaca ulasan atau laporan HSP yang tersiar di dalam majalah Dewan Sastera November 08. Katanya ada tiga buah antologi yang telah dipertimbangkan di peringkat akhir. Salasilah adalah salah satu daripada tiga buah antologi yang diakui baik oleh panel. Namun begitu hanya satu yang dipilih untuk menerima hadiah iaitu karya Muhammd Haji Salleh.


Itu kita faham. Panel mesti pilih hanya satu. Betullah tu. Tetapi saya agak mushkil ialah kalau Salasilah itu diakui oleh panel sebagai salah satu yang terbaik, tentulah sajak-sajak yang termuat di dalamnya juga baik. Yang menghairankan ialah kenapa tiada satu pun yang layak menerima hadiah eceran. 90 peratus adalah sajak baru yang belum pernah disiarkan di mana-mana.

Monday, December 01, 2008

24 November lalu, saya membentang kertas kerja di DBP. K kerja tentang pantun itu ditulis bersama dua orang kawan. Saya abadikan kertas tersebut di blog ini khas untuk anda yang berminat. Salam sayang kepada yang melawat blog ini.

KRITIK SOSIAL DALAM PANTUN MELAYU:

LAMBANG KETEKALAN MINDA[1]

Oleh:

Dr. Zurinah Hassan

Dr. Salinah binti Ja’afar

Dr. Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali

Akademi Pengajian Melayu

Universiti Malaya

Abstrak

Pantun merupakan satu khazanah bangsa yang mempunyai nilai yang amat tinggi dalam kalangan masyarakat Melayu. Penyusunan pantun yang diolah dengan rapi dan disusun indah mengandungi seribu satu maksud yang amat mendalam, yang menjadi wadah dalam menyampaikan nasihat, sindiran, gurauan dan luahan perasaan. Setiap lagu dan ungkapan yang digunakan bukan sahaja memperlihatkan irama yang indah, tetapi juga disusun denngan begitu teliti agar pemilihan perkataan yang digunakan dapat membayangkan corak pemikiran yang kritis. Masyarakat Melayu yang amat terkenal dengan budi bahasa dan budaya ketimuran yang mementingkan “air muka” dan adab sopan telah menjadikan pantun sebagai alat kritik sosial yang amat berkesan. Penggunaan pantun sebagai satu alat kritik sosial mencerminkan satu bentuk ketekalan minda yang dimiliki oleh masyarakat Melayu yang tidak mungkin ditelan zaman. Berikutan daripada itu, kertas ini akan membincangkan bagaimana pantun digunakan oleh masyarakat Melayu sebagai alat kritik sosial yang digunakan dari dahulu hingga sekarang.

Pendahuluan

Pantun merupakan satu khazanah yang amat bernilai dalam dunia Melayu. Pantun memang tidak asing kepada masyarakat Melayu. Secara langsung atau tidak langsung kita sentiasa bertembung dengan pantun. Saban hari kita mendengar pantun, bahkan pelbagai bentuk rakaman yang memanfaatkan pantun sebagai seni kata lagu yang menarik dan indah. Selalunya, seni kata lagu yang berbentuk pantun akan menjadi siulan para remaja (Zainal Abidin Bakar: 1984: 3). Pantun telah menjadi sebati dengan jiwa dan budaya masyarakat Melayu satu masa dahulu. Perubahan masa telah menjadikan pantun semakin hari semakin jauh ditinggalkan. Anak-anak muda hari ini semakin melupakan pantun yang menjadi sebahagian daripada amalan hidup masyarakat Melayu lama yang sentiasa mementingkan adab dan kesantunan.

Pantun adalah salah satu cabang puisi Melayu tradisional yang masih popular hingga ke hari ini. Ia tersebar luas melalui pelbagai media seperti lirik lagu, majlis-majlis dan pelbagai upacara, misalnya majlis perkahwinan. Malah pantun juga berkembang mekar di laman internet (ada pantun net) dan berbalas pantun dari seluruh dunia. Mengikut Muhammad Haji Salleh (2006) terdapat kekreatifan baru dunia pantun dalam bentuk bercetak, lisan (radio), visual (televisyen) dan dunia siber termasuk di internet dan yang tersebar melalui khidmat pesanan ringkas atau sms di seluruh dunia.

Sering juga diadakan pertandingan antara kelas, antara sekolah dan antara negeri. Malah pertandingan pantun di Pesta Pantun Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan turut ditaja oleh pihak-pihak seperti Dewan Bahasa dan Pustaka , RTM, Berita Harian. Pantun bukan sahaja hidup dalam majalah ilmiah sahaja, seperti Dewan Budaya, Dewan Sastera dan Pelita Bahasa malah dalam majalah-majalah jenaka dan komik seperti Ujang dan Din Lawak. Pantun juga menjadi media iklan, misalnya;

Kek lapis dan kuih bahulu,

Menjadi juadah di Hari raya;

Kalau puan-puan ingin tahu,

Semua perkakasan ada di IKEA.

(Utusan Malaysia 13 Oktober 2006 dalam iklan IKEA )

Melihat kepada keadaan ini, kita tidak bimbang tentang survival pantun. Ia bukan hanya survive tetapi berkembang mekar. Walau bagaimanapun hal yang membimbangkan ialah tentang penghayatan pantun. Masyarakat mengucapkan pantun tetapi kurang menghayati maksud dan kata-kata yang digunakan menyebabkan nilai, maksud dan falsafah yang tinggi itu tidak dikenali oleh masyarakat.

Masyarakat Melayu amat mementingkan keharmonian ketika berkomunikasi antara satu sama lain. Pada satu ketika dahulu, pantun menjadi bahasa basahan yang digunakan sebagai alat komunikasi yang bertujuan menjaga air muka pendengar atau orang yang dilawan bercakap. Melalui pantun, masyarakat Melayu berkias mengenai sesuatu secara halus dan teliti agar setiap perkara yang ingin disampaikan akan diterima dengan baik oleh seseorang. Oleh sebab itu, melodi dan pemilihan perkataan dalam pantun dibuat dengan begitu teliti. Ini memperlihatkan bentuk pemikiran masyarakat Melayu yang sentiasa peka terhadap alam sekeliling dan menjadikan pantun sebagai satu lambang ketekalan minda yang “tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan”.

Kehebatan dan ketepatan pantun sebagai satu alat kritik sosial yang digunakan oleh masyarakat Melayu menunjukkan bahawa masyarakat Melayu mempunyai daya pemikiran yang begitu halus dan kreatif. Seperti mana Laksamana Hang Tuah pernah berkata “tak Melayu hilang di dunia”, pantun juga harus dipelihara agar terus hidup dan diamalkan dalam kehidupan masyarakat Melayu hari ini. Pantun dikarang untuk menyampaikan kritikan dan sindiran terhadap sesuatu kepincangan yang berlaku dalam masyarakat. Kritikan dan sindiran ini amat tajam dan disampaikan secara berlapik dan berkias, sesetengahnya dalam nada bergurau.

Melalui pantun terpancar budaya masyarakat Melayu tradisional yang tidak mengkritik secara berterus terang tetapi secara halus. Kata-kata yang digunakan dalam pantun adalah lambang-lambang yang mengandungi makna yang tersirat. Seperti kebanyakan karya Melayu tradisi, kita tidak mengetahui siapakah pengarang sebenar. Namun daripada pantun yang kita warisi, terbukti bahawa pengarang pantun adalah pemikir yang amat tajam pemerhatiannya terhadap alam dan masyarakat di sekeliling. Mereka peka terhadap segala yang berlaku lalu menyampaikan teguran dan kritikan untuk membawa kebaikan. Pengarang pantun menggunakan perbandingan dan tamsilan seperti perumpamaan, metafora, simile dan personifikasi yang kaya dengan imej alam. Imej-imej alam ini perlu ditafsir untuk mengetahui maksud sebenar pantun.

Sesuai dengan ruang dan masa seminar, kertas ini akan membincangkan kritik sosial dalam pantun Melayu dengan menumpukan kepada aspek percintaan, etika dan masyarakat, serta sifat buruk manusia yang sering dialami dalam hidup manusia.

Percintaan

Sebahagian besar pantun yang terdapat dalam bahasa Melayu ialah pantun percintaan. Percintaan merupakan salah satu hubungan yang terjalin sesama manusia. Dalam konteks kertas kerja ini akan dibicarakan pantun-pantun yang berupa teguran atau kritik tentang tingkah laku manusia yang menyebabkan hubungan percintaan tidak berjalan dengan baik.

Tuai padi antara masak,

Esok jangan layu-layuan;

Intai kami antara nampak,

Esok jangan rindu-rinduan.

(Zainal Abidin Abu Bakar,1984: 247)

Pantun ini dipopularkan melalui lagu “Gurindam Jiwa” nyanyian Rafeah Buang dan R.Ismail dan dipetik daripada filem yang juga berjudul “Gurindam Jiwa”( terbitan tahun 1966 lakonan Nordin Ahmad dan Latiffah Omar) . Pantun ini membayangkan suasana percintaan atau hubungan yang masih erat. Namun begitu si kekasih berpesan kepada pasangannya supaya “intai kami antara nampak” supaya “esok jangan rindu-rinduan”. Dengan pesanan ini si kekasih sebenarnya memberi peringatan supaya pasangannya selalu mengintai, dalam erti kata selalu menjengok dan melihat keadaannya. Ini juga membawa maksud mengambil berat untuk memastikan orang yang dijenguk atau diintai itu masih ada ditempatnya dan berada dalam keadaan yang baik.

Dalam konteks perhubungan percintaan pantun membawa pesanan supaya jangan sesekali mengambil ringan dan jangan mengamalkan sikap take for granted bahawa hubungan yang sedang berjalan dengan baik itu akan terus kekal baik. Hubungan kasih mesti dijaga dengan sewajarnya. Jangan sampai si kekasih merajuk dan merasa dirinya tidak dipedulikan. Jika si kekasih pergi membawa diri maka jangan sampai ia dirindu dibiarkan belalu pergi baru nak menyesal baru nak cari. Jangan take for granted. Hal ini adalah penting demi menjaga hubungan kasih sayang.

Pembayang pantun menggambarkan keadaan alam iaitu padi dalam keadaan “antara masak”, Padi baru mula masak dan ada antaranya yang belum masak. Dalam keadaan inilah petani mesti bersedia untuk menuai padinya kerana jika ditunggu ada padi yang akan layu dan tidak sempat dituai. Padi mesti dituai semasa antara masak, iaitu dalam keadaan antara masak dan tidak masak. Jangan biar atau tunggu kerana esok padi akan masak. Jika ditunggu sehingga semuanya masak, kemungkinan tidak sempat mengetam atau menuai. Sebahagiannya akan layu ditangkai. Dari segi falsafahnya pantun ini memberi penekanan kepada faktor masa dan peluang. Sesuatu yang berharga (iaitu hubungan percintaan) mestilah dihargai sebelum ianya hilang atau sebelum terlambat.

Tuan ketam padi pulut,

Saya ketam padi Jawi;

Tuan berkata sedap di mulut,

Saya mendengar sakit hati.

(Zainal Abidin Abu Bakar,1984: 153)

Pantun ini memberi nasihat supaya berhati-hati dengan kata-kata. Hubungan percintaan juga boleh terjejas akibat salah seorang tidak pandai mengawal kata-kata. Salah satu kesilapan yang diakukan oleh pasangan bercinta ialah tidak berhati-hati dengan kata-kata. Apa yang dilafazkan mungkin menggores perasaan pasangannya. Secara amnya seseorang tidak sepatutnya berkata sesedap hati tanpa menimbang akibatnya kepada orang yang mendengar,apatah lagi bila berkata-kata dengan orang yang sentiasa mengharapkan kasih sayang. Hati mudah terluka lebih-lebih ketika dilamun cinta dan mengharapkan kekasih akan membelai dengan kata-kata yang manis. Pembayang maksud menyentuh dua perkara yang berbeza. Seorang mengetam padi pulut, seorang mengetam padi Jawi. Dari sini membayangkan bahawa perbezaan adalah perkara biasa. Hal ini mudah membawa kepada perbezaan pendapat atau perselisihan faham. Perbezaan ini juga seharusnya membuat kita sentiasa berhati-hati dan bersedia untuk memahami orang lain.

Mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan juga merupakan suatu penderaan. Penderaan tidak hanya terhad kepada penderaan fizikal, tetapi juga penderaan psikologi iaitu menyakitkan seseorang dengan kata-kata. Dengan kata-kata merupakan penderaan psikologi, bukan fizikal. Menyebabkan orang yang mendengar berasa sakit.

Burung jelatik sarang kedidi,
Sarang tempua sarang berjuntai;
Sungguhpun cantik sutera dipuji,
Belacu juga tahan dipakai.

( lirik lagu Pandang-pandang Jeling-jeling)

Pantun ini menjadi terkenal bila ia dinyanyikan dalam lagu “Pandang-pandang Jeling-jeling” (S.M.Salim/Siti Nurhaliza). Pantun ini adalah teguran terhadap orang yang mementingkan kecantikan fizikal sedangkan kebahagiaan tidak terjamin dengan rupa paras yang cantik semata-mata. Oleh itu janganlah terlalu memuji sutera kerana kecantikan dan kehalusannya ataupun menghina belacu kerana kekasarannya walhal di dalam keadaan sehari-hari belacu lebih berguna dan dipakai sebagai kain basahan dan untuk bekerja. Hal ini dapat dikaitkan dengan falsafah keindahan dalam Islam. Islam menekankan kepada pentingnya sesuatu yang indah dan yang bermanfaat.

Keindahan dalam Islam bukan semata-mata diukur dari segi fizikal atau rupa paras. Keindahan merangkumi kecantikan fizikal dan nilai yang baik dan positif. Sesuatu yang dipandang indah mestilah juga mempunyai nilai gunaan, iaitu dapat memberi manfaat kepada masyarakat. Misalnya mutu sesebuah karya sastera atau karya seni yang lain diukur dari nilai-nilai yang dituntut oleh Islam, iaitu yang bercirikan kebenaran, kebaikan dan keindahan. Selaras dengan ajaran Islam seperti yang dihuraikan di atas, pantun Melayu juga menasihatkan agar berhati-hati memilih kekasih atau pasangan hidup. Janganlah hanya memberi perhatian kepada rupa paras kerana kecantikan mungkin hanya sifat luaran semata-mata. Hal ini dapat dikaitkan dengan pantun di bawah:

Berbaju batik bujang kelana,

Duduk bermadah di tilam pandak;

Usah dipetik si bunga sena,

Warnanya indah berbau tidak.

(Zainal Abidin Abu Bakar, 1984:154)

Pantun di atas membawa maksud, seseorang dinasihati supaya jangan memilih bunga yang cantik tetapi tidak bau wangi. Dia sepatutnya memilih bunga yang harum. Di dalam puisi Melayu bunga yang harum dikaitkan dengan nama yang harum atau nama yang baik. Bunga yang cantik tetapi tidak berbau adalah rendah nilainya seperti yang terungkap dalam pantun. Kecantikan tidak dapat menjamin kebahagiaan sekiranya hanya luaran sahaja yang cantik, tetapi dari aspek dalaman tidak seperti yang diharapkan. Ini dikaitkan dengan hubungan antara lelaki dan perempuan.

Bunga yang wangi adalah objek alam yang masih digunakan untuk membawa makna sesuatu keindahan dan kemurnian yang menjadi kenangan dan sebutan. Masyarakat Melayu mengutamakan nama yang baik dan oleh itu seseorang disarankan supaya berkelakuan baik supaya tidak mencemarkan nama ibu bapa dan keluarga. Selaras dengan itu ialah pandangan Islam yang juga mengutamakan nama yang baik atau nama yang bersih. Allah S.W.T mengajar manusia supaya berdoa agar meninggalkan nama yang harum, di samping berdoa untuk menambahkan ilmu: “Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang salih. Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian” (Surah asy-Syura, ayat 83-84).

Terdapat pantun-pantun yang memperkatakan tentang perilaku kekasih yang tidak setia. Misalnya:

Budak-budak mendayung perahu,

Sambil berdayung sambil bermain;

Macam mana bunga tak layu,

Embun menitis di tempat lain.

(Zainal Abidin Abu Bakar,1984:165)

Seri Andalas ke kota Ambon,

Hendak mencari asam paya;

Kasih ibarat setitis embun,

Ditiup angin berderai ia.

(lirik lagu Seri Andalas)

Pantun kedua di atas menggunakan perlambangan embun untuk menyatakan perihal kasih yang tidak bersungguh-sungguh. Embun dijadikan simbol kepada sesuatu keadaan yang tidak kekal dan tidak terjamin. Pantun yang pertama merupakan luahan rasa terhadap kekasih yang tidak lagi memberi perhatian kepada pasangannya. Daripada simbol yang digunakan iaitu bunga maka dapatlah diketahui bahawa yang ditinggalkan itu ialah perempuan dan yang berubah hati ialah lelaki. Hati lelaki sudah beralih kepada gadis yang lain. Hal ini diperikan sebagai embun yang menitis di tempat lain. Perilaku lelaki ini dianggap sebagai tidak bersungguh-sungguh di dalam hubungan percintaan dan keadaan ini disebut di dalam pembayang pantun seperti budak-budak yang sambil berdayung sambil bermain. Ini juga membawa maksud tidak ada niat atau keazaman untuk sampai ke sesuatu destinasi. Demikian juga hubungan cinta yang tidak serius, akan menyebabkan kegagalan. Cinta yang gagal dilambangkan oleh bunga yang layu.

Etika Masyarakat Melayu

Etika ialah prinsip moral (atau akhlak) atau nilai-nilai akhlak yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan (Kamus Dewan, 1996: 345). Masyarakat (society) merupakan istilah yang digunakan untuk menerangkan komuniti manusia yang tinggal bersama-sama. Etika masyarakat merujuk pada nilai moral atau akhlak yang harus dipegang oleh sesebuah masyarakat. Oleh kerana sesebuah masyarakat yang inginkan kestabilan memerlukan ahli-ahli yang sanggup menolong antara satu sama lain, maka ia perlu kepada nilai-nilai murni seperti kerakyatan, hak dan etika. Ini merupakan perkara asas untuk mencapai keadilan. Jika nilai-nilai ini gagal dipatuhi, sesebuah masyarakat tersebut sebagai tidak adil dan musibah akan berlaku (Wikipedia Ensiklopedia Bebas, http://ms.wikipedia.org/wiki/Masyarakat). Masyarakat Melayu biasanya mengaitkan etika masyarakat dengan pegangan agama Islam. Contohnya seperti yang tergambar dalam pantun di bawah:

Asam kandis asam gelugur,

Ketiga asam riang-riang;

Mengangis di pintu kubur,

Teringat badan tidak sembahyang.

(http://culture.melayuonline.com)

Sesuatu yang bercanggah dengan agama Islam merupakan perlanggaran kepada etika masyarakat Melayu. Setiap perlakuan dalam kehidupan masyarakat Melayu yang beragama Islam secara halus dikaitkan dan dijalin dengan indah dalam pantun. Ini juga sebagai peringatan secara bersahaja dan relaks tanpa menyentuh peribadi sesiapapun yang terlibat.

Pantun berikut merupakan kritikan sosial dalam etika masyarakat Melayu.

Mengapa bising di tepi laut,

Ombak menghempas berderai-derai;

Kusangka tuan beras pulut,

Bila ditanak nasi berderai.

(Zainal Abidin Bakar (peny.), 1984: 184)

Daripada petikan pantun di atas, jelas menunjukkan kritikan sosial orang Melayu terhadap orang yang tidak boleh dipercayai. Terdapat banyak kategori sikap ’orang yang tidak boleh dipercayai’, dan ini dapat dilihat banyak sekali dalam peribahasa Melayu yang merujuk kepada orang yang tidak boleh dipercayai. Misalnya ’talam dua muka’ – orang memuji di depan tetapi di belakang kita mereka mengeji, ’ular lidah bercabang’ – orang yang tidak menepati janji, atau orang yang sentiasa berubah dengan cepat kata-katanya,

Pemantun dalam pantun di atas telah menunjukkan nada marah dan sindiran terhadap orang yang tidak boleh dipercayai ini. Dalam konteks pantun di atas, ’orang yang tidak dipercayai’ merujuk kepada kepercayaan terhadap pada orang yang disangka dapat berkongsi masalah dan menyimpan rahsia, namun kepercayaan terhadap orang itu musnah kerana sikapnya yang tidak sebaik yang disangka. Berdasarkan pembayang dan maksud yang diberikan dalam pantun di atas, kemungkinan kesalahan yang dilakukan oleh orang tersebut ialah suka membawa mulut atau menceritakan perihal orang lain, atau kemungkinan juga orang itu tidak boleh menyimpan rahsia, sebaliknya suka menghebahkan rahsia atau sesuatu perkara kepada orang lain. Beras pulut ialah lambang ’orang yang dipercayai’, yang boleh menyimpan rahsia. Ini dapat disesuaikan dengan beras pulut apabila ditanak akan melekat dan padat. ’Beras’ pula menjadi lambang ’orang yang tidak boleh dipercayai’ kerana apabila ditanak akan berderai, tidak seperti pulut. Penggunaan simbol-simbol ini jelas memperlihatkan kebijaksanaan orang Melayu dahulu dalam membuat pemilihan kata yang bertepatan dengan pemikiran yang hendak disampaikan.

Pantun berikutnya turut memperlihatkan rasa marah pemantun terhadap lelaki yang suka mempermain-mainkan wanita. Pemantun yang menuturkan pantun ini berkemungkinan besar adalah seorang wanita.

Nasi dingin bersayur mumbang,

Sayur dimasak dalam belanga;

Kami tak ingin melihat kumbang,

Kalau kumbang merosak bunga.

(Zainal Abidin Bakar (peny.), 1984: 251 )

Pantun di atas jelas menunjukkan kemarahan pemantun terhadap lelaki yang gemar merosakkan wanita. Ibarat peri bahasa ’habis madu sepah dibuang’ sekiranya peribahasa ini merujuk kepada wanita, ia bermaksud wanita yang ditinggalkan apabila lelaki itu sudah mendapat apa yang dihajati daripada wanita berkenaan; peribahasa ’ibarat bunga, sedap dipakai, layu dibuang’ turut bermaksud wanita yang ’dirosak’ oleh lelaki, iaitu wanita yang dikasihi semasa muda tetapi diceraikan apabila tua. Kritikan sosial di sini jelas ditujukan kepada golongan lelaki yang tidak bertanggungjawab terhadap wanita. Dalam Al-Quran menegaskan bahawa “Lelaki itu adalah pelindung/pemimpin bagi wanita.” Riwayat Abu Hurairah dalam Sahih Bukhari mengatakan bahawa Nabi Muhammad S.A.W pernah berkata:

O Muslims! I advise you to be gentle with women, for they are created from a rib, and the most crooked portion of the rib is its upper part. If you try to straighten it, it will break and if you leave it, it will remain crooked, so I urge you to take care of the women.”

(http://nurjeehan.hadithuna.com/ ).

Namun, perlakuan lelaki adalah dalam pantun ini jelas menyalahi norma masyarakat malah menyalahi hukum Islam berdasarkan Al-Quran dan Hadis. Golongan lelaki ini bukan sahaja mereka tidak melindung dan membimbing wanita, malahan mereka merosakkan pula wanita tersebut. Seorang suami misalnya hendaklah memberi perlindungan dan bimbingan sebaik-baiknya kepada isteri, bukan setakat makanan dan pakaian sahaja, tetapi juga agama.

Pantun seterusnya yang bernada marah dapat dilihat dalam pantun jenaka. Apabila pantun ini dibaca, secara tidak langsung perasaan pendengar akan tercuit rasa geli hati. Namun jika diteliti sebenarnya pantun ini mengandungi emosi marah, bukan jenaka semata-mata, dan emosi marah jelas terlihat dalam perkataan ’terajang punggung’.

Di sana merak di sini merak,

Merak mana hendak dikepung;

Di sana hendak di sini pun hendak,

Pusing belakang terajang punggung.

(Zainal Abidin Bakar (peny.), 1984: 103)

Pantun di atas merupakan satu kritikan sosial terhadap orang yang suka mengikut hawa nafsu dalam kehidupan mereka. Pemantun mengkritik orang yang bersifat tamak haloba, terlalu mementingkan hawa nafsu dan sekali gus memperlihatkan sikap mereka yang mementingkan keduniaan semata-mata. Banyak sekali mengenai sikap tamak diungkapkan dalam peribahasa Melayu, iaitu ”seperti anjing dengan bayang-bayang”, ”seperti anjing berebut tulang” dan ”seperti anjing beroleh bangkai”. Dalam pantun lama juga ada memperlihatkan akibat daripada sikap tamak, iaitu sentiasa mendapat kerugian dalam kehidupan. Ini dapat dilihat dalam pantun di bawah:

Dalam semak ada duri,
Ayam kuning membuat sarang;
Orang tamak selalu rugi,
Seperti anjing dengan bayang-bayang.

(http://pestapantun.wordpress.com/category/pantun-lama/)

Sifat Buruk Manusia

Setiap manusia di dunia ini dilahirkan dengan pelbagai sifat dan rupa. Di sebalik wajah yang cantik kadangkala ada benda yang buruk, tidak semua manusia di atas dunia ini sempurna sifatnya. Masyarakat Melayu amat kreatif dalam memperkatakan sifat buruk ini dalam bentuk teguran, nasihat ataupun luahan melalui pantun. Antara pantun yang dapat dilihat dalam bahasa Melayu yang menunjukkan kritik sosial sifat-sifat buruk ini ialah seperti:

Dari Kuala Pahang ke Kuala Lipis,

Mari dibawa angin utara;

Berhadapan saja mulutnya manis,

Paling belakang lain bicara.

(Zainal Abidin Bakar (peny.), 1984: 173)

Pantun di atas membawa maksud bahawa dalam kalangan manusia, banyak yang akan sentiasa memberi pujian atau meluahkan kata-kata yang manis, namun di sebalik perkataan yang manis itu, mungkin akan jadi sebaliknya apabila mereka bercakap di belakang kita. Dalam rutin kehidupan, kita tidak boleh lari daripada menghadapi situasi di mana terdapat pelbagai jenis manusia wujud di sekeliling kita. Pantun ini sebenarnya sebagai peringatan bahawa dalam hidup kita pasti ada perkara-perkara yang kurang menyenangkan, terutama daripada mereka yang mempunyai perasaan hasad dan dengki terhadap apa yang kita miliki. Kadang kala seseorang yang banyak memuji kita itulah sebenarnya yang akan menjadi duri dalam daging, maksud merekalah yang lebih banyak mempunyai perasaan hasad dan dengki terhadap kita.

Berilah saya pisau raut,

Hendak meraut bingkai tudung;

Gila apakah ikan di laut,

Mengidam umpan di kaki gunung.

(Zainal Abidin Bakar (peny.), 1984: 178)

Pantun di atas juga menunjukkan bagaimana sifat hasad dan dengki dalam kalangan manusia yang dikaitkan dengan ikan yang mengidam umpan di kaki gunung. Pantun ini membawa dua maksud, iaitu sebagai peringatan kepada mereka yang menginginkan sesuatu yang di luar kemampuan, dan juga sebagai peringatan kepada manusia mengenai pelbagai sifat manusia yang tidak dijangka akan berlaku kepada kita.

Buah cempedak buah nangka,

Ditanam orang dalam di dalam kebun;

Haram tidak disangka-sangka,

Buah delima menjadi racun.

(Zainal Abidin Bakar (peny.), 1984: 179)

Pantun di atas jelas menggambarkan bahawa akibat daripada perbuatan yang tidak baik akan mewujudkan satu keadaan yang tidak diangka-sangka berlaku dalam kehidupan kita. Benda yang luarannya kelihatan cantik dan molek, kadangkala akan menjadi perosak atau pembunuh yang kejam. Maksudnya di sini, kita harus berhati-hati dalam melakukan sesuatu hal, ataupun dalam mempercayai sesuatu perkara yang kita lihat kerana dalam apa jua keadaan, benda yang cantik atau yang disangka manis itu sebenarnya adalah racun yang akan merosakkan.

Raja di gua jalan ke teluk,

Cantik halus rupa mukanya;

Ibarat buah busuk di pokok,

Hilang manis pahit rasanya.

(Zainal Abidin Bakar (peny.), 1984: 180)

Pantun di atas pula merujuk kepada sifat manusia yang tidak mahu berubah. Kebanyakan kita kadangkala lupa bahawa dunia ini sentiasa berubah, begitu juga dengan sifat manusia. Perubahan zaman dan masa ini juga harus kita sedari kerana sekiranya kita tidak mengikuti perkembangan zaman, maka kita akan ketinggalan di belakang. Pantun ini juga bertujuan menegur bahawa ketika berada pada sesuatu tahap kita perlu mengikut peredaran masa bagi membolehkan kita diterima dalam masyarakat. Misalnya, apabila meningkat tua, seseorang itu haruslah sedar bahawa umur yang meingkat memerlukan mereka menjadi dewasa. Mereka yang tidak mahu berubah akan dikecam atau dikeji.

Berbanding dengan masyarakat muda hari ini pula, pantun dilihat sebagai sesuatu yang agak tradisi yang diwarisi daripada masyarakat lama. Namun begitu, masyarakat muda juga tidak ketinggalan dengan pantun mereka yang diadaptasikan dan disesuaikan dengan dunia baru. Kewujudan pantun-pantun generasi baru ini kadangkala dianggap sebagai perosak kepada keindahan pantun lama, tetapi jika dilihat daripada aspek yang positif, generasi hari ini juga mencipta pantun, namun agak longgar dan lebih bersahaja sifat. Contohnya:

Ada duit naik teksi,

Tak ada duit naik bas;

Cari makwe jangan seksi,

Nanti cepat kena kebas.

Pantun ini ditemu ketika penulis bercuti hari raya, dan dalam gurauan antara anak-anak muda, penulis sempat mendengar pantun ini yang menjadi bahan gurauan anak-anak muda yang datang menziarah. Dapat dilihat bahawa generasi hari ini lebih terbuka dan berterus terang dalam mengungkapkan sesuatu. Setiap pemilihan kata yang dibuat lebih bersahaja dan agak selamba. Ini seakan telah menyebabkan unsur estetika dan keindahan dalam pemilihan kata telah sedikit bergeser kerana pembayang dan maksud yang dipilih kelihatan wujud secara langsung dengan kehidupan dan suasana masyarakat hari ini.

Pantun di bawah ini pula merujuk kepada bentuk pantun lama yang diberi wajah baru.

Siakap senohong,

Gelama ikan duri;

bercakap bohong,

Lama-lama jadi menteri.

(http://ibrahimbaba.wordpress.com/)

Pantun di atas sebenarnya merujuk kepada sikap ahli politik yang banyak memberi ceramah dan berjanji sana sini untuk mendapat undi rakyat. Namun di sebalik ceramah yang diberi, banyak antaranya adalah bohong semata-mata.

Siakap senohong,

Gelama ikan duri;

Baca berita bohong,

Lama-lama mencuri.

(http://erisar.blogspot.com/2008_04_01_archive.html)

Pantun di atas berkaitan dengan penyiaran berita di TV3, yang banyak menyokong kerajaan. Pantun tersebut digunakan bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kandungan berita yang disiarkan di TV3 yang dikatakan banyak mengandungi unsur tokok tambah.

Perkembangan masa telah menjadikan pantun sebagai bahan jenaka yang digunakan dalam menempelak seseorang. Jika diteliti dengan mendalam, kelihatan bahawa pantun-pantun baru menerima banyak perubahan, namun unsur-unsur kesamaan bunyi dan penyampaian maksud itu masih boleh difahami.

Kesimpulan

Pantun merupakan khazanah bangsa yang amat bernilai bagi masyarakat Melayu. Keindahan pantun dalam mengungkapkan seribu satu macam maksud menjadi lambang ketekalan minda yang amat kreatif. Penggunaan pantun sebagai bahan kritik sosial secara tidak langsung menunjukkan bahawa pemikiran masyarakat Melayu dalam mengadaptasi alam sekeliling bagi menyampaikan maksud ataupun meluahkan perasaan menjadi cerminan jiwa dan raga masyarakat Melayu itu sendiri. Pentingnya menjaga keharmonian diperlihatkan dalam pemilihan kata setiap pantun yang dicipta. Bukan sahaja maksud yang terhasil dalam pantun menjadi inti, tetapi juga perkataan yang digunakan sebagai pembayang juga mengandungi makna yang mendalam.

Sifat pantun yang banyak memperlihatkan kesopanan dan ketelitian pemakainya dalam meluahkan perasaan amat menarik untuk dibincangkan. Jangkauan akal fikiran yang merenung dan mencerna segala bentuk kehidupan dalam lagu dan irama pantun melambangkan pesona jiwa dan kehalusan minda masyarakat Melayu dalam menjaga air muka dan juga sebagai satu senjata untuk menangkis sebarang perbuatan secara lembut dan harmonis. Perkara-perkara seperti inilah yang perlu dijaga dan dikekalkan dalam jiwa masyarakat Melayu supaya kesopanan dan kelembutan yang selama ini menjadi amalan akan terus berkekalan dalam jiwa generasi hari ini.

Generasi muda mempunyai pemikiran yang lebih kepada straight to the point, ataupun lebih berterus terang dalam mengungkapkan atau meluahkan maksud, sama ada dalam pantun mahupun dalam bahasa seharian. Ini terjadi akibat daripada pengaruh globalisasi yang semakin merubah jiwa dan perasaan masyarakat Melayu hari ini. Perubahan masa bukanlah satu alasan untuk generasi hari ini merosakkan dan memperlecehkan keindahan dan kehalusan pantun. Sepatutnya perlu ada kesedaran yang lebih mendalam dalam kalangan generasi hari ini untuk memelihara kesopanan dan kehalusan budi bahasa yang terpancar dalam pantun. Adat muda semestinya ada bentuk-bentuk yang baru, tetapi janganlah sehingga mengetepikan khazanah lama yang ternyata indah dan halus. Membentuk masyarakat yang maju dan bersopan santun serta berbudi bahasa menjadi tanggungjawab bersama yang akan memastikan Melayu mempunyai jati diri dan wawasan dalam dunia globalisasi hari ini.


Bibliografi

Blog Pantun Sepantun Sehari, 5 Mac 2008 dlm. http://pestapantun.wordpress.com/

category/pantun-lama/

Blog (http://culture.melayuonline.com)

Blog Ezza Erisa (http://erisar.blogspot.com/2008_04_01_archive.html)

Blog Ibrahim Baba(http://ibrahimbaba.wordpress.com/)

Hadithuna – Muslim Blogs, http://nurjeehan.hadithuna.com/

Lirik Lagu “Pandang-pandang Jeling-jeling” (S.M.Salim/Siti Nurhaliza).

Lirik Lagu ”Gurindam Jiwa” (Rafeah Buang dan R.Ismail)

Mohd. Tajuddin Hj. Abd. Rahman, 2006 (Edisi Ketiga). Kamus Peribahasa, Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Muhammad Haji Salleh, kertas kerja “Pantun Nusantara, Penjinak Globalisasi” dlm. Konferensi Internasional Kesusastraan, Hiski (Jakarta 7 – 10 Ogos, 2006).

Tengku Intan Marlina Tengku Mohd. Ali dan Mohamad Shaidan, 2005. ”Emosi Melayu dalam Pantun: Satu Pandangan Awal Berdasarkan Tema” dlm. Hashim Awang et.al., Emosi Melayu, Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Utusan Malaysia 13 Oktober 2006.

Wikipedia Ensiklopedia Bebas, http://ms.wikipedia.org/wiki/Masyarakat

Zainal Abidin Borhan (peny.), 1984. Kumpulan Pantun Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.



[1] Dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Puisi Melayu Tradisional, Tema “Pantun, Syair, Gurindam dan Nazam: Ketekalan Minda Melayu”, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada 24-25 November 2008, Kuala Lumpur.

Tuesday, November 11, 2008

Pada 5 November lalu tibalah giliran saya menjadi hos acara Baca Puisi Kuala Lumpur.Saya membaca kira-kira lapan buah karya termasuk sajak dan puisi tradisional. Salah satu sajak yang dibaca ialah JUJURNYA SEORANG HAMBA. Saya perturunkan di sini.

Sajak ini ditulis bila saya memikirkan kembali cerita Raja Bersiung yang minum darah rakyat dan Sultan Mahmud di Johor yang tergamak membelah perut isteri Laksamana hanya kerana perempuan itu makan nangka yang sedang dibawa ke pada raja.

KEJAM MEMANG KEJAM. TAPI yang hendak saya persoalkan ialah kenapa tukang masak itu memberitahu bahawa darahnya telah tertitis ke dalam sayur raja. Dan kenapa datuk penghulu yang bawa nangka itu beritahu raja cerita yang sebenar? Kalau tidak dicerita pun raja tak akan tahu dan tidak berlaku segala kekejaman itu.

Harap sudi membaca dan tengok-tengoklah nasib bangsa.

JUJURNYA SEORANG HAMBA

Pada suatu malam yang celaka
Raja Ong Maha Perita Daria
mengecap kelazatan semangkuk bayam
dengan nikmat yang luar biasa

Setelah mendengar cerita sebenar
dia pun ketawa bergegar
ketawanya menggila
dan bermulalah huru-hara

Pada suatu pagi yang amat hiba
Wan Anum yang sarat mengandung
merayu belas kasihan datuk penghulu
meminta seulas nangka
yang sedang dibawa menghadap raja

Setelah melihat nangka yang tercedera
Raja terlalu murka
dengan marak tak terkawal
Raja kehilangan akal

dikoyaknya perut isteri Laksamana
hanya kerana seulas nangka
dipancungnya rakyat sededap rasa
hanya untuk menjamu selera

segalanya mungkin tidak berlaku
jika tukang masak itu
tahu menyembunyikan rahsia
dan tidak terlalu jujur
tentang darah yang tercampur
ke dalam mangkuk sayur

datuk penghulu itu juga
boleh mencipta seribu helah
tentang nangka yang terbelah

tapi apakan daya
kerana setia yang tiada tara
mereka hanya tahu berkata "ya"
kerana taat yang tidak terhad
mereka mengangguk dan menunduk
walau raja sedang menjilat-jilat
semangkuk lazat dari darah rakyat

apa yang berlaku telah berlaku
kerana datuk penghulu
dan si tukang masak itu
adalah antara beribu-ribu
hamba Melayu.

Harap sudi membaca dan tengok-tengoklah nasib bangsa.
SALAM

Friday, August 29, 2008

SASTERAWAN DAN KOMUNIKASI MENGIKUT ALQURAN

Islam mementingkan cara berkomunikasi dengan lisan dan tulisan. Terdapat ayat-ayat Al-Quran dan petikan hadis yang memberi garis panduan di dalam berkomunikasi. Petikan-petikan ini juga boleh dijadikan panduan di dalam menentukan etika penulisan dan ciri-ciri estetika sastera Islam.

1. Al-Quran menitikberatkan penggunaan kata-kata yang menyenangkan seperti yang terlihat di dalam ayat: “Dan jikalau engkau terpaksa berpaling, tidak dapat melayani mereka kerana menunggu rezeki dari Tuhanmu yang engkau harapkan, maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang menyenangkan” (Surah Al-Israk, ayat 28).

2. Allah pernah mengingatkan Musa dan Harun supaya berkata dengan lemah-lembut walaupun terhadap Firaun: ”Maka katakanlah olehmu berdua (Musa dan Harun) perkataan yang lemah-lembut, mudah-mudahan ia (Firaun) menjadi ingat atau takut (kepada Allah)” (Surah Taha, ayat 44).

3. Allah mengingatkan Nabi Muhammad supaya tidak berkasar ketika menyampaikan seruan Islam: ”Maka disebabkan rahmat dari Allahlah engkau (Muhammad) berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan kasar, tentulah mereka menjauhkan diri darimu” (Surah A-li ’Imran, ayat 159).

4. Amalan menggunakan perlambangan dan kiasan biasanya disebut sebagai ”percakapan yang berlapik,” adalah menepati ajaran Islam yang terkandung di dalam ayat yang bermaksud: “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang)” (Surah an-Nisa’, ayat 48).

5. Al-Quran itu sendiri diturunkan dengan mengikut tatacara, sistematis atau mengikut susunan yang tertentu, iaitu dengan beransur-ansur dan tenang supaya dapat diterima oleh manusia secara peringkat demi peringkat agar mudah difahami dan dihafal. Hal ini dijelaskan oleh ayat yang bermaksud: “Dan Al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacanya kepada manusia dengan lambat dan tenang, dan Kami menurunkannya beransur-ansur” (Surah Al-Isra’, ayat 106).

6. Tulisan yang baik mestilah disokong oleh fakta dan di samping dapat menyampaikan ilmu pengetahuan. Para sasterawan mestilah memantapkan penulisan mereka dengan ilmu pengetahuan. Dengan itu mereka dilarang menulis segala yang tidak bersandarkan kepada fakta sebagaimana maksud ayat: “Binasalah orang-orang yang sentiasa mengeluarkan pendapat dengan cara agak-agak sahaja” (Surah adz-Dzaariyaat, ayat 10).

7. Sastera di dalam Islam dinilai dari segi keindahan seninya dan manfaatnya kepada manusia. Al-Quran sendiri memberi panduan dengan jelas melalui ayat yang bermaksud: “Kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkal (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya.” (Surah Ibrahim, ayat 24-25). Ternyata ayat ini bukan sahaja indah malah ia memperkatakan tentang keindahan, iaitu keindahan bahasa. Allah SWT berfirman tentang ayat yang baik dengan membandingkannya dengan sebatang pohon yang tumbuh dan teguh serta memberi manfaat kepada manusia dengan hasil buahnya. Keteguhan pokok adalah disebabkan akar yang mencengkam bumi. Dengan keteguhan itu dapatlah pohon mengambil segala zat untuk tumbuh bercabang-cabang dan meninggi menjulang ke langit. Begitulah ayat yang baik. Ayat yang baik, misalnya di dalam sebuah karya sastera, mengandungi idea-idea yang bernas yang dapat memperkayakan minda pembaca, lalu terbitlah idea-idea bernas yang baru, seperti keadaan pohon yang akan terus mengeluarkan pucuk yang baru dan buah yang menjadi rezeki makhluk Allah.

Thursday, July 31, 2008



SEBAGAI PENULIS SAYA SERING JUGA DIDATANGI OLEH MAHASISWA/PELAJAR YANG MEMBUAT PENYELIDIKAN/TESIS DAN SEBAGAINYA. TIDAK BERAPA LAMA DAHULU SAYA MELAYAN STUDEN UPM. SAYA PERTURUNKAN SOAL JAWAB YANG TELAH TERJADI. MUDAH-MUDAHAN ADA MANFAATNYA KEPADA PELAJAR-PELAJAR LAIN. INILAH CONTOH SOALAN YANG SELALU DITANYA KEPADA SASTERAWAN.

Thursday, July 24, 2008

Penulis puisi atau Penyair sering menggunakan unsur alam sebagai perlambangan dan metafora untuk menyampaikan maksud puisi. Salah satu unsur alam ialah tumbuh-tumbuhan. Sebenarnya pemikiran penyair Melayu dibentuk oleh alam dan agama Islam. Mereka menggunakan perlambangan daripada unsur tumbuh-tumbuhan, sebagaimana Al-Quran juga menggunakan misal perbandingan.

Al-Quran menggunakan unsur tumbuh-tumbuhan sebagai perbandingan bagi menegaskan sesuatu hukum serta menyampaikan ajaran dan dakwah. Di bawah ini adalah beberapa contoh.

§ Antara bukti kekuasaan dan kasih sayang Allah ialah pemindahan benih yang membolehkan proses percambahan pokok: “Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih. Yakni angin itu membawa awan yang mengandungi air hujan, angin juga membawa debu bunga jantan kepada bunga betina, dari sebatang pokok ke pokok yang lain, dari hasil pertemuan itu lahirlah buah-buahan” (Surah al-Hijr, ayat 22).

§ Bagi menyatakan tentang pahala orang yang membelanjakan harta di jalan Allah, terdapat ayat yang bermaksud: “Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipatkan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah amat luas rahmat kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya” (Surah al-Baqarah, ayat 261).

§ Allah SWT menghidupkan manusia daripada tiada kepada ada. Allah SWT berkuasa menghidupkan yang mati dan mematikan yang hidup. Maka kejadian ini dibandingkan atau disamakan dengan menumbuhkan benih tumbuhan: ”Sesungguhnya Allah menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan biji buah-buahan. Dia mengeluarkan yang hidup dari mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup” (Surah al-An’aam, ayat 95).

§ Allah SWT menerangkan tentang ilmu yang dimiliki-Nya dan kesempurnaan pentadbiran-Nya pada ayat: “Percambahan sebiji benih buah (umpamanya) tidak akan keluar dari kelopaknya dan seorang ibu tidak akan mengandung dan tidak akan melahirkan anak, melainkan (pada masa dan keadaan yang betul tepat) dengan pengetahuan Allah” (Surah Fussilat, ayat 47).

§ Percambahan pokok juga adalah bukti rahmat Allah seperti diterangkan oleh ayat yang bermaksud: “Dan sebagai bukti untuk mereka ialah bumi yang tandus Kami hidupkan dan Kami keluarkan daripadanya biji-bijian. Lalu mereka makan daripadanya. Dan Kami jadikan daripadanya kebun kurma dan anggur, dan Kami pancarkan padanya mata air. Agar mereka makan dari buahnya dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan-tangan mereka. Tidakkah mereka berterima kasih?” (Surah Yaasiin, ayat 33-35).

§ Orang yang tidak mensyukuri rahmat Allah ditegur dengan ayat: “Masihkah mereka berdegil dan tidak memerhatikan bumi, berapa banyak Kami tumbuhkan padanya dari pelbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat?” (Surah asy-Syu’ara, ayat 7).

§ Menanam pokok atau berladang sering dijadikan simbol berusaha untuk mendapatkan ganjaran di akhirat. Ternyata pemikiran ini dipengaruhi oleh hadis Nabi Muhammad saw yang bermaksud: “Dunia adalah ladang akhirat. Barang siapa menanam kebaikan, maka dia akan memetik hasil keuntungannya. Dan barang siapa menanam keburukan, maka penyesalan adalah hasil yang akan dipetiknya” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Hadis dipetik oleh Abdul Qadir Al-Jailani di dalam bukunya Al-Fath Ar-Rabbani yang diterjemahkan sebagai Wahyu Agung oleh Muhammad Qodirun Nur (2004:35).

Terima Kasih kepada yang sudi membaca.

PETIKAN AYAT AKAN DISAMBUNG PADA ENTRY SELANJUTNYA.

.

Sunday, July 13, 2008

Ada pantun Melayu yang berbunyi:
Pucuk pauh berulam pauh
Petang-petang kacau inti
Sayang saya berkasih jauh
Petang-petang hancur hati
Pantun di atas dipetik dari Kumpulan Pantun Melayu susunan Zainal Abidin Bakar (DBP 1984). Pantun yang dikategorikan sebagai pantun percintaan ini mempunyai maksud dan kisah yang jelas mengenai seseorang yang merindui kekasihnya pada waktu petang. Kisah percintaan, perpisahan dan rindu-rinduan seperti ini memang banyak terdapat di dalam pantun Melayu. Tetapi soalnya mengapa perasaan rindu itu semakin hebat dirasai pada hari petang hingga ke tahap “petang-petang hancur hati”.