APA GUNA MENGUNDI DALAM PILIHANRAYA KALAU……….
Satu perkara yang saya tidak suka dan tidak sokong dari dahulu, kini dan selamanya ialah perbuatan melompat pati. . Saya fikir hal melompat parti ini mesti segera diharamkan oleh undang-undang.
Bagi saya, apa-apa pun yang terjadi pada kepimpinan negara mestilah ditentukan oleh pilihan raya. Rakyat sudah memilih demikian, maka demikianlah sepatutnya berlaku. Kalau lompat parti dibolehkan apalah gunanya kita keluar mengundi?
Setiap kali pilihanraya seluruh negara dibanjiri dengan poster-poster. . Semua parti yang bertanding akan mempamerkan gambar atau lambang parti masing-masing, sebanyak-banyak dan sebesar-besar yang mungkin. Keadaan jadi meriah dan penuh dengan gambar-gambar dacing, roket, bulan dan sebagainya. Suasana diwarnai oleh biru BN dan biru PKR, diselangseli dengan hijau Pas dan merah DAP... Ya, ketika itu kita berkata dan kita merasa inilah simbol kebebasan rakyat. Rakyat bebas memilih mana saja lambang yang dia suka. Rakyat berhak memilih dacing, bulan , roket atau apa saja.
Tapi apalah gunanya dan apalah maknanya jika selepas mengundi sesuatu simbol esok lusa calon itu sesuka hati bertukar untuk mewakili simbol yang lain pula. Apatah lagi simbol yang kita tidak suka.
Pada tahun lalu, ketika Anwar Ibrahim mengheboh-hebohkan bahawa kerajaan Malaysia akan bertukar tangan pada 16 September seluruh rakyat Malaysia menunggu dengan debaran apakah ini akan benar-benar berlaku.
Biarlah saya berterus terang di sini, bahawa saya adalah di antara orang yang mendoakan ianya tidak terjadi dan nampaknya doa itu telah termakbul. Jangan salah faham, saya bukan anti Anwar atau pro Barisan. Itu bukan sebabnya.
Sebab utama saya tidak mahu kerajaan pusat bertukar tangan pada 16 September ialah kerana saya sekali-kali tidak menyokong perbuatan melompat parti.
Nah, sekarang suasana panas terutama di Perak. BN dan PKR macam sedang bermain bola. Tak tau siapa yang menang akhirnya. Mengapa semua ini boleh berlaku?. Bagi saya tak lain tak bukan kerana undang-undang tidak menyekat YB-YB melompat parti atau meninggalkan parti .Kalau perkara lompat melompat ini diharamkan dari dulu maka tidak siapa boleh memujuk, menggertak, mengugut mengancam mana-mana YB untuk berpindah parti.
Kalau lompat melompat ini dibolehkan apalah gunanya kita mengundi. Tak payahlah kita susah payah keluar mengundi dalam PRU ke 13 nanti. Perbuatan ini boleh dianggap sebagai menghina pilihan raya.
Ini pandangan saya. Pandangan anda mungkin berbeza.
No comments:
Post a Comment