ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Tuesday, November 11, 2008

Pada 5 November lalu tibalah giliran saya menjadi hos acara Baca Puisi Kuala Lumpur.Saya membaca kira-kira lapan buah karya termasuk sajak dan puisi tradisional. Salah satu sajak yang dibaca ialah JUJURNYA SEORANG HAMBA. Saya perturunkan di sini.

Sajak ini ditulis bila saya memikirkan kembali cerita Raja Bersiung yang minum darah rakyat dan Sultan Mahmud di Johor yang tergamak membelah perut isteri Laksamana hanya kerana perempuan itu makan nangka yang sedang dibawa ke pada raja.

KEJAM MEMANG KEJAM. TAPI yang hendak saya persoalkan ialah kenapa tukang masak itu memberitahu bahawa darahnya telah tertitis ke dalam sayur raja. Dan kenapa datuk penghulu yang bawa nangka itu beritahu raja cerita yang sebenar? Kalau tidak dicerita pun raja tak akan tahu dan tidak berlaku segala kekejaman itu.

Harap sudi membaca dan tengok-tengoklah nasib bangsa.

JUJURNYA SEORANG HAMBA

Pada suatu malam yang celaka
Raja Ong Maha Perita Daria
mengecap kelazatan semangkuk bayam
dengan nikmat yang luar biasa

Setelah mendengar cerita sebenar
dia pun ketawa bergegar
ketawanya menggila
dan bermulalah huru-hara

Pada suatu pagi yang amat hiba
Wan Anum yang sarat mengandung
merayu belas kasihan datuk penghulu
meminta seulas nangka
yang sedang dibawa menghadap raja

Setelah melihat nangka yang tercedera
Raja terlalu murka
dengan marak tak terkawal
Raja kehilangan akal

dikoyaknya perut isteri Laksamana
hanya kerana seulas nangka
dipancungnya rakyat sededap rasa
hanya untuk menjamu selera

segalanya mungkin tidak berlaku
jika tukang masak itu
tahu menyembunyikan rahsia
dan tidak terlalu jujur
tentang darah yang tercampur
ke dalam mangkuk sayur

datuk penghulu itu juga
boleh mencipta seribu helah
tentang nangka yang terbelah

tapi apakan daya
kerana setia yang tiada tara
mereka hanya tahu berkata "ya"
kerana taat yang tidak terhad
mereka mengangguk dan menunduk
walau raja sedang menjilat-jilat
semangkuk lazat dari darah rakyat

apa yang berlaku telah berlaku
kerana datuk penghulu
dan si tukang masak itu
adalah antara beribu-ribu
hamba Melayu.

Harap sudi membaca dan tengok-tengoklah nasib bangsa.
SALAM

Friday, August 29, 2008

SASTERAWAN DAN KOMUNIKASI MENGIKUT ALQURAN

Islam mementingkan cara berkomunikasi dengan lisan dan tulisan. Terdapat ayat-ayat Al-Quran dan petikan hadis yang memberi garis panduan di dalam berkomunikasi. Petikan-petikan ini juga boleh dijadikan panduan di dalam menentukan etika penulisan dan ciri-ciri estetika sastera Islam.

1. Al-Quran menitikberatkan penggunaan kata-kata yang menyenangkan seperti yang terlihat di dalam ayat: “Dan jikalau engkau terpaksa berpaling, tidak dapat melayani mereka kerana menunggu rezeki dari Tuhanmu yang engkau harapkan, maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang menyenangkan” (Surah Al-Israk, ayat 28).

2. Allah pernah mengingatkan Musa dan Harun supaya berkata dengan lemah-lembut walaupun terhadap Firaun: ”Maka katakanlah olehmu berdua (Musa dan Harun) perkataan yang lemah-lembut, mudah-mudahan ia (Firaun) menjadi ingat atau takut (kepada Allah)” (Surah Taha, ayat 44).

3. Allah mengingatkan Nabi Muhammad supaya tidak berkasar ketika menyampaikan seruan Islam: ”Maka disebabkan rahmat dari Allahlah engkau (Muhammad) berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan kasar, tentulah mereka menjauhkan diri darimu” (Surah A-li ’Imran, ayat 159).

4. Amalan menggunakan perlambangan dan kiasan biasanya disebut sebagai ”percakapan yang berlapik,” adalah menepati ajaran Islam yang terkandung di dalam ayat yang bermaksud: “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang)” (Surah an-Nisa’, ayat 48).

5. Al-Quran itu sendiri diturunkan dengan mengikut tatacara, sistematis atau mengikut susunan yang tertentu, iaitu dengan beransur-ansur dan tenang supaya dapat diterima oleh manusia secara peringkat demi peringkat agar mudah difahami dan dihafal. Hal ini dijelaskan oleh ayat yang bermaksud: “Dan Al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacanya kepada manusia dengan lambat dan tenang, dan Kami menurunkannya beransur-ansur” (Surah Al-Isra’, ayat 106).

6. Tulisan yang baik mestilah disokong oleh fakta dan di samping dapat menyampaikan ilmu pengetahuan. Para sasterawan mestilah memantapkan penulisan mereka dengan ilmu pengetahuan. Dengan itu mereka dilarang menulis segala yang tidak bersandarkan kepada fakta sebagaimana maksud ayat: “Binasalah orang-orang yang sentiasa mengeluarkan pendapat dengan cara agak-agak sahaja” (Surah adz-Dzaariyaat, ayat 10).

7. Sastera di dalam Islam dinilai dari segi keindahan seninya dan manfaatnya kepada manusia. Al-Quran sendiri memberi panduan dengan jelas melalui ayat yang bermaksud: “Kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkal (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya.” (Surah Ibrahim, ayat 24-25). Ternyata ayat ini bukan sahaja indah malah ia memperkatakan tentang keindahan, iaitu keindahan bahasa. Allah SWT berfirman tentang ayat yang baik dengan membandingkannya dengan sebatang pohon yang tumbuh dan teguh serta memberi manfaat kepada manusia dengan hasil buahnya. Keteguhan pokok adalah disebabkan akar yang mencengkam bumi. Dengan keteguhan itu dapatlah pohon mengambil segala zat untuk tumbuh bercabang-cabang dan meninggi menjulang ke langit. Begitulah ayat yang baik. Ayat yang baik, misalnya di dalam sebuah karya sastera, mengandungi idea-idea yang bernas yang dapat memperkayakan minda pembaca, lalu terbitlah idea-idea bernas yang baru, seperti keadaan pohon yang akan terus mengeluarkan pucuk yang baru dan buah yang menjadi rezeki makhluk Allah.

Thursday, July 31, 2008



SEBAGAI PENULIS SAYA SERING JUGA DIDATANGI OLEH MAHASISWA/PELAJAR YANG MEMBUAT PENYELIDIKAN/TESIS DAN SEBAGAINYA. TIDAK BERAPA LAMA DAHULU SAYA MELAYAN STUDEN UPM. SAYA PERTURUNKAN SOAL JAWAB YANG TELAH TERJADI. MUDAH-MUDAHAN ADA MANFAATNYA KEPADA PELAJAR-PELAJAR LAIN. INILAH CONTOH SOALAN YANG SELALU DITANYA KEPADA SASTERAWAN.

Thursday, July 24, 2008

Penulis puisi atau Penyair sering menggunakan unsur alam sebagai perlambangan dan metafora untuk menyampaikan maksud puisi. Salah satu unsur alam ialah tumbuh-tumbuhan. Sebenarnya pemikiran penyair Melayu dibentuk oleh alam dan agama Islam. Mereka menggunakan perlambangan daripada unsur tumbuh-tumbuhan, sebagaimana Al-Quran juga menggunakan misal perbandingan.

Al-Quran menggunakan unsur tumbuh-tumbuhan sebagai perbandingan bagi menegaskan sesuatu hukum serta menyampaikan ajaran dan dakwah. Di bawah ini adalah beberapa contoh.

§ Antara bukti kekuasaan dan kasih sayang Allah ialah pemindahan benih yang membolehkan proses percambahan pokok: “Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih. Yakni angin itu membawa awan yang mengandungi air hujan, angin juga membawa debu bunga jantan kepada bunga betina, dari sebatang pokok ke pokok yang lain, dari hasil pertemuan itu lahirlah buah-buahan” (Surah al-Hijr, ayat 22).

§ Bagi menyatakan tentang pahala orang yang membelanjakan harta di jalan Allah, terdapat ayat yang bermaksud: “Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipatkan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah amat luas rahmat kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya” (Surah al-Baqarah, ayat 261).

§ Allah SWT menghidupkan manusia daripada tiada kepada ada. Allah SWT berkuasa menghidupkan yang mati dan mematikan yang hidup. Maka kejadian ini dibandingkan atau disamakan dengan menumbuhkan benih tumbuhan: ”Sesungguhnya Allah menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan biji buah-buahan. Dia mengeluarkan yang hidup dari mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup” (Surah al-An’aam, ayat 95).

§ Allah SWT menerangkan tentang ilmu yang dimiliki-Nya dan kesempurnaan pentadbiran-Nya pada ayat: “Percambahan sebiji benih buah (umpamanya) tidak akan keluar dari kelopaknya dan seorang ibu tidak akan mengandung dan tidak akan melahirkan anak, melainkan (pada masa dan keadaan yang betul tepat) dengan pengetahuan Allah” (Surah Fussilat, ayat 47).

§ Percambahan pokok juga adalah bukti rahmat Allah seperti diterangkan oleh ayat yang bermaksud: “Dan sebagai bukti untuk mereka ialah bumi yang tandus Kami hidupkan dan Kami keluarkan daripadanya biji-bijian. Lalu mereka makan daripadanya. Dan Kami jadikan daripadanya kebun kurma dan anggur, dan Kami pancarkan padanya mata air. Agar mereka makan dari buahnya dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan-tangan mereka. Tidakkah mereka berterima kasih?” (Surah Yaasiin, ayat 33-35).

§ Orang yang tidak mensyukuri rahmat Allah ditegur dengan ayat: “Masihkah mereka berdegil dan tidak memerhatikan bumi, berapa banyak Kami tumbuhkan padanya dari pelbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat?” (Surah asy-Syu’ara, ayat 7).

§ Menanam pokok atau berladang sering dijadikan simbol berusaha untuk mendapatkan ganjaran di akhirat. Ternyata pemikiran ini dipengaruhi oleh hadis Nabi Muhammad saw yang bermaksud: “Dunia adalah ladang akhirat. Barang siapa menanam kebaikan, maka dia akan memetik hasil keuntungannya. Dan barang siapa menanam keburukan, maka penyesalan adalah hasil yang akan dipetiknya” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Hadis dipetik oleh Abdul Qadir Al-Jailani di dalam bukunya Al-Fath Ar-Rabbani yang diterjemahkan sebagai Wahyu Agung oleh Muhammad Qodirun Nur (2004:35).

Terima Kasih kepada yang sudi membaca.

PETIKAN AYAT AKAN DISAMBUNG PADA ENTRY SELANJUTNYA.

.

Sunday, July 13, 2008

Ada pantun Melayu yang berbunyi:
Pucuk pauh berulam pauh
Petang-petang kacau inti
Sayang saya berkasih jauh
Petang-petang hancur hati
Pantun di atas dipetik dari Kumpulan Pantun Melayu susunan Zainal Abidin Bakar (DBP 1984). Pantun yang dikategorikan sebagai pantun percintaan ini mempunyai maksud dan kisah yang jelas mengenai seseorang yang merindui kekasihnya pada waktu petang. Kisah percintaan, perpisahan dan rindu-rinduan seperti ini memang banyak terdapat di dalam pantun Melayu. Tetapi soalnya mengapa perasaan rindu itu semakin hebat dirasai pada hari petang hingga ke tahap “petang-petang hancur hati”.

Friday, July 04, 2008

1. mengajar rania mengenal corak dan warna baju

2. membelikan kereta wira untuk anak saya yang bongsu

3. membeli air zam zam satu gelen. banyak tu....

4. membeli kain yang cantik untuk duduk lepak di rumah sahaja

5. sekarang tengah membaiki manuskrip yang akan diterbitkan oleh UKM

6. belum dapat menghasilkan karya kreatif walaupun terlalu ingin berbuat demikian
LAHUMA, petani yang miskin itu teah mati dalam keadaan yang amat menyedihkan. Dia mati setelah diseksa tanpa belas kasihan oleh musuh-musuh yang kejam. Kemarau panjang, air bah, ular tedung, duri nibung, tikus, ketam, burung tiak bergilir-gilir membawa duka nestapa kepada keluarga yang tidak berdosa dan tidak berdaya itu. Sepanjang hayatnya, Lahuma telah melawan musuh-musuh itu dengan tulang empat kerat. Dia telah berjuang untuk mempertahankan bendangnya. Tetapi tulang empat keratnya tidak berdaya untuk melawan musuh yang datang bertalu-talu. Dia tewas lalu mati dalam kesengsaraan.
Sebelum Lahuma mati dia telah meninggalkan wasiat kepada isterinya yang setia, Jeha. Wasiat itu lebih kurang berbunyi begini:


Monday, April 28, 2008


Sekarang ini orang rancak bercakap tentang hal-hal berbangkit berikutan PRU 12. Saya pun sangat berminat . Antara isu panas sehari dua ini ialah kisah pembubaran Balkis. Saya ini tidaklah begitu arif tentang perlambagaan Balkis dan hal-hal berkaitan undang-undang. Tapi yang saya hendak tahu ialah apakah niat, maksud atau tujuan Pengerusi dan ajk Balkis membubarkan persatuan itu?Apakah perlunya persatuan itu dibubar? Kalau semua orang jujur mahu berkhidmat kepada masyarakat, bukankah elok kerja-kerja amal itu diteruskan walaupun Pengerusi dan ajk terpaksa diganti.


Tahniah kepada yang menang, tidak kira dari parti manapun. Saya ucapkan selamat berkhidmat. Di sini ada sebuah puisi untuk tuan-tuan yang berhormat.

PERIBAHASA UNTUK Y.B.

Tuan Yang Berhormat

Tuah ayam nampak di kaki

tuah YB di peti undi

adat kerbau dipegang tali

adat YB dipegang janji

adat orang mencari ganti

lapuk ditukar kosong diisi.

Tujuh tahun gunung terbakar

baru sekarang nampak apinya

datang pasang pantai bertukar

pecah royong dapat sagunya

Tuan Yang Berhormat

Jernih di hulu jernih di hilir

baik di awal sampai ke akhir

jangan berjanji tetapi mungkir

bagai tebu tumbuh di bibir.

Kilat memancar guruh berbunyi

jangan pula hujan tak jadi

luas kebun berpagar duri

jangan pagar memakan padi

Cakap siang pandang-pandang

kerana lidah tidak bertulang

tanamlah padi jagalah bendang

jangan sampai suburnya lalang


Naik YB naik disanjung

jangan kaduk yang naik junjung

hina besi kerana karat

hina pemimpin menipu rakyat

Monday, April 21, 2008

Saya ada menulis tentang satu cabang Puisi Melayu Tradisional iaitu Nazam. Saya turunkan serba sedikit dari artikel tersebut. Kalau anda ada maklumat yang boleh memperluaskan pengetahuan bersama sila beri maklumbalas.

Nazam ialah puisi yang berasal dari kesusasteraan Arab-Parsi. Mengikut Kamus Dewan (1994:858) “Nazam” ialah perkataan Arab yang bermaksud gubahan puisi seperti sajak dan syair, ”bernazam” adalah bercerita dengan lagu, bersajak atau bersyair, manakala menazamkan bermaksud menceritakan dengan lagu atau mengubah dan menyajakkan. Kamus Dewan juga memberikan kata lain yang digunakan untuk nazam iaitu nalam. Mengikut Kamus At-tullab Arab-Melayu (1994:) nazam dalam bahasa Arab bererti merangkai, mengarang, menyusun dan mengatur. Makna ini termasuklah merangkai, mengarang dan menyusun kata-kata dalam mencipta puisi. Dalam Kamoes Bahasa Minangkabau-Bahasa Melayoe Riau, (Jakarta,1935) tidak dijumpai kata "nazam", namun dapat disamakan dengan "nalam", iaitu banalam (bernazam) ialah bertjerita dengan lagu terutama tentang agama atau yang berisi pengajaran. Dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia,terbitan Balai Pustaka 1988, ditemukan kata "nalam" dan "nazam". "Nalam" adalah gubahan sajak (syair, karangan); sementara bernalam, bermaksud membaca puisi atau bercerita dengan lagu; bersajak (bersyair). Mengikut Kamus Umum Bahasa Indonesia (1984) mengatakan "nalam": gubahan sajak, syair atau karangan); "bernalam" bermakna bersajak atau bersyair; bercerita dengan lagu; "menalamkan" adalah menyajakkan; menceritakan dengan lagu.
Definisi-definisi di atas menunjukkan bahawa dalam bahasa asalnya, nazam bermakna puisi secara umum. Di samping itu istilah ‘bernazam’ pula digunakan bagi maksud berlagu. Di dalam hal ini istilah Nazam mengalami kedudukan yang sama dengan istilah syair dan gurindam. Ketiga-tiga perkataan itu diambil dari bahasa asing. Syair dan nazam diambil dari bahasa Arab, gurindam pula berasal dari bahasa Tamil. Ketiga-tiga perkataan ini bermaksud gubahan puisi secara umum di dalam bahasa asal masing-masing. Setelah diterima ke dalam bahasa Melayu perkataan-perkataan ini kemudian mengalami pengubahsuaian dan digunakan sebagai istilah teknikal yang merujuk kepada sesuatu jenis puisi yang mempunyai struktur, isi dan fungsi yang tersendiri. Perkataan nazam yang digunakan sebagai istilah teknik kepada suatu jenis puisi mula ditemui dalam Tajus Salatin yang dikarang oleh Bokhari al-Jauhari kira-kira dalam tahun 1603.

Istilah nazam dalam konteks puisi Melayu tradisional yang diterima pada masa ini merujuk kepada sejenis puisi tradisional yang mempunyai beberapa ciri khas. Ciri-ciri utama nazam adalah seperti di bawah:
1. Gubahan puisi yang mengandungi dua baris serangkap. Dalam aspek ini ia menyerupai pantun dua kerat tetapi tidak mempunyai pembayang maksud. Kedua-dua baris adalah maksud.
2. Skima rima Nazam ialah a-a, b-b. Namun begitu skima rima ini tidaklah terlalu rigid. Terdapat nazam yang selepas beberapa rangkap, skima rimanya menjadi agak longgar.
3. Lazimnya, tiap-tiap baris nazam terdiri daripada lima atau enam perkataan menjadikan sukukata antara sepuluh hingga dua belas. Namun begitu ada juga yang lebih daripada enam perkataan dan mempunyai hingga 20 sukukata.
4. Bilangan baris pada sesuatu nazam adalah tidak terhad. Ada nazam yang panjang hingga seribu rangkap.
5. Nazam adalah puisi yang bertemakan keagamaan seperti menceritakan tentang hukum hakam dan kisah kehidupan Nabi Muhammad saw.
6. Dari sudut gaya bahasa, terdapat banyak penggunaan perkataan Arab.
7. Ciri signifikan dalam Nazam ialah ia dimulakan dengan puji-pujian terhadap Allah dan selawat ke atas Nabi. Baris yang berupa puji-pujian dan selawat ini diulang-ulang hingga ke baris akhir.
8. Nazam biasanya disampaikan dengan lagu yang agak rancak,lazimnya diiringi paluan rebana
9. Pada masa ini nazam biasanya dinyanyikan dalam majlis-majlis berendoi dan majlis-majlis keagamaan yang lain

Perkembangan Nazam di Tanah Melayu
Nazam tidaklah begitu terkenal seperti pantun dan syair. Tidak banyak penyelidikan yang telah dijalankan ke atasnya. Bahkan, Vladimir Braginsky (2004:491) berpendapat bahawa hanya dua subgenre puisi tradisional yang masih subur di dalam kesusasteraan Melayu bertulis iaitu pantun dan syair. Perkembangan nazam hanya terbatas kepada beberapa buah negeri, iaitu Terengganu, Pahang dan Melaka sahaja.

Mengikut sejarah, nazam dibawa ke Asia Tenggara pada abad ke 16 oleh pedagang dan alim ulama yang menyebarkan agama Islam ke Alam Melayu. Nazam, di samping syair, adalah puisi yang lahir dari kedatangan dan perkembangan kesusasteraan Islam sejak zaman Kerajaan Pasai hingga ke empayar Melayu Melaka. Mereka menggunakan nazam untuk menyampaikan ajaran Islam, mengajar hukum hakam dan kisah Nabi-nabi.

Selepas kejatuhan Melaka, Aceh telah muncul sebagai pusat perkembangan dan kekuatan kesusasteraan Islam. Di sinilah lahirnya pengarang dan pujangga Melayu yang turut menghasilkan karya-karya agung. Pada peringkat awal, pengarang-pengarang Aceh telah memperkenal dan menterjemah karya-karya Arab dan Parsi ke dalam bahasa Melayu. Hal ini dituruti dengan percubaan untuk mencipta puisi dalam bahasa Melayu dengan menggunakan gaya atau metrum puisi Arab Parsi. Kegiatan ini menyuburkan perkembangan syair dan nazam.

Hasil usaha pengarang-pengarang Aceh ditemui di dalam sebuah naskah pada 1296H/1879M. Di dalamnya terdapat terdapat sebuah puisi diberi jodol Aqidat al ’Awam.
Akan nadham ini Aqidat al ’Awam
Daripada yang wajib bagi agama sudah tamam

terjemah nadham tiada boleh disebutkan
kerana gharib lagi miskin kehinaan

tiada warith tiada kaum sangat terdagang
memintak sedekah mana-mana negeri orang

siapa-siapa yang kasih dengan sayang
jangan dengki jangan benci jangan wayang

kerana sebab hancur hati kedukaan
tinggal negeri tinggal kampung percintaan

siapa melihat salah silap minta maafkan
jikalau kasih dengan insaf tuan baikkan

dengan serta nahi kita loghat
serta ...........semuhanya tuan angat

empat ilmu tua sudah faham dengan tahqiq
mana yang salah tuan ubah dengan...........

jikalau tuan tiada tahu yang demikian
baik tuanku mengikut yang ada dalam suratan

satu huruf satu baris satu titik
haram atas tuan mengubahkan bertukar balik

itulah nasihat daripada hamba tuan kabul
supaya di akhirat jadi senang tiada berhadul

kerana hamba baharu datang tiada fasih
Bahasa Melayu baik tuanku tolong fasrih.

(Teuku Iskandar , 1995:438)


Karya ini merupakan puisi yang ditulis dalam dua baris serangkap dan berima di hujungnya. Pada rangkap pertama dan kedua pengarang (atau penterjemah) menyatakan usahanya untuk menterjemahkan puisi tersebut dari bahasa asing, jelasnya bahasa Arab, ke dalam Bahasa Melayu. Puisi yang sedang diterjemahkan itu diistilahkan olehnya sebagai nadham.
Di samping itu terdapat sebuah puisi yang dberi tajuk Nalam (Nazam)Peraturan Alif yang disebut oleh Braginsky (2004:752). Nalam (Nazam)Peraturan Alif berkemungkinan dikarang pada abad ke 18. Rangkap pertama dimulakan dengan huruf alif, rangkap kedua dimulai dengan huruf ba, ketiga dengan sa dan seterusnya. Nazam ini mungkin diperbaharui dan menjadi Nazam Alif Ba Ta yang agak terkenal di Perak, Melaka. Nazam Alif Ba Ta mengandungi 58 rangkap. Rangkap pertama bermula dengan huruf alif, rangkap kedua bermula dengan ba dan seterusnya.Nazam ini memperkatakan tentang kemuliaan agama Islam, khasnya tentang ketinggian ilmu dan iman.
(Aliff)Allah menjadikan kesekelian alam
Langit dan bumi, laut yang dalam

Percaya Rasul alaihissalam
Suruh dirikan agama Islam

(Ba) Baru hukum akal
Qidam dan Baqa sedialah kekal

Tak dapat lagi hendak disangkal
Jika hendak faham kajilah akal

(Ta) Tajamlah akal menuntut ilmu
Supaya jangan kita tersemu

Rajinkan belajar jangan jemu
Pada yang lain jangan diramu

(Sa) sabil tak billah liku bahri
Ilmu pengetahuan wajib dicari

Supaya menjadi lebai yang qari
Banyak rahmat Allah memberi

(jim) Jadikan Allah Tuhan yang Kaya
Nabi Muhammad Rasul yang mulia


Disuruh beriman serta percaya
Suruh menyembah Tuhan yang esa

(Ha) Hadis Quran buat ikutan
Kasi agama serta amalkan

Jangan diingkar suruhan Tuhan
Jika diingkar terimalah keazaban

(Kho) Khabar yang benar hendak dipercayai
Segi agama jangan dicemuhi

Agar hidup bahagia berseri
Rahmat petunjuk Tuhan cucuri

( sumber: Wahyunah Haji Abd.Gani, Mohamad Shaidan,2000:494-500)

Struktur Nazam.
Kedua puisi yang dipetik di atas memperlihatkan ciri-ciri nazam yang dikenali pada hari ini, iaitu puisi yang terdiri dari dua baris menepati huraian Zaaba bahawa Nazam adalah puisi yang rangkapnya dihitung dua-dua serangkap dengan skima rima a-a, b-b. (Harun Mat Piah,1994:286). Dalam hal ini ia menyerupai pantun dua kerat. Bezanya nazam tidak mempunyai pembayang maksud, kedua-dua baris adalah maksud. Serangkap nazam tidak boleh berdiri sendiri. Ciri ini juga membezakannya daripada pantun dua kerat, Sesuatu rangkap mesti dikaitkan dengan rangkap-rangkap yang lain untuk membawa satu tema utama dan tema itu adalah tema keagamaan.

Nazam juga berbeza dari syair yang kebanyakannya mengandungi empat perkataan sebaris dengan sepuluh sukukata. Rima syair ialah a-a-a-a sementara rima nazam ialah a-a atau a-b, c-b, d-b dan d-e. Skima rima ini tidak terlalu rigid dan boleh juga menjadi a-a, b-a, c-a, d-a,. Baris nazam mungkin lebih panjang daripada syair dan pantun, iaitu mengandungi lebih daripada lima perkataan dan mencapai hingga dua puluh sukukata.

Naskah awal nazam yang ditemui ditulis di dalam tulisan jawi. Dari sudut gaya bahasa nazam banyak menggunakan perkataan yang berasal dari bahasa Arab terutama perkataan yang berkaitan dengan agama Islam. Ciri yang signifikan di dalam nazam ialah ia dimulai dengan puji-pujian dan pengucapan syukur terhadap Allah SWT dan selawat ke atas nabi.
Contohnya:
Puji itu bagi Allah yang tunggal
Yang tiada ada baginya itu misal

Yang menunjuk atas wajib wujudnya
Itu oleh ni kainat samuhanya

Maka salatul-Llah dan salamnya
Itu turun kedua atas Rasul-Nya

Muhammadin yang dibangkit akan dia
Dengan surah tauhid Tuhan yang sedia.

Pada masa sangat umum syiriknya
Dengan sebab sangat banyak jahilnya

Maka menunjuklah ia akan kita
Dengan bujuk bagi nasihat yang nyata

Tunjuk pula hingga perang dengan pedang
Maka nyatalah agama putih terang


Petikan di atas adalah dari Nazam al-Jawahir al-Samiyah, (sumber: Harun Mat Piah, 1977:288). Dari segi bentuk dan isinya menepati definisi nazam yang dihuraikan di atas. Sebahagian besar isinya membicarakan ilmu tauhid, iaitu mengenal dan memahami sifat 20. Terdapat kosa kata dari Bahasa Arab dan istilah agama seperti salatul-Llah, surah, tauhid, Rasul. Syirik dan sebagainya.

Baris-baris yang mengandungi puji-pujian ini diulang-ulang supaya dapat memberi kesatuan tema kepada keseluruhan nazam yang disampaikan. Dan ini memberikan kesatuan dan ikatan seperti tali yang merangkai bait-bait atau rangkap-rangkap tersebut. Ciri-ciri ini selaras dengan makna nazam pada asasnya iaitu merangkai misalnya merangkai mutiara atau merangkai bunga-bunga pada satu tali.

Nazam berfungsi sebagai media pembelajaran agama, khasnya untuk masyarakat yang tidak mahir di dalam bahasa Arab dan tidak mampu membaca kitab-kitab yang lebih tebal. Hal ini jelas dinyatakan di dalam Nazam Mukadimah daripada kitab Tanbih al-Kusla:
Telah tamat nazam ini dengan berkat
Nabi kita yang dibenarkan mukjizat

Aku nama nazam ini Mukadimah
Bagi orang baru belajar ilmu Allah

Ini bermakna dari segi isi, nazam tidaklah seluas pantun dan syair yang meliputi seluruh bidang dan kehidupan manusia. Syair juga pada mulanya digunakan untuk tujuan menyampaikan ajaran agama. Namun syair telah mengalami perubahan dan digunakan untuk menyampaikan cerita sejarah, cerita hikayat dan sebagainya. Dari aspek isi, Nazam juga menyerupai berzanji yang mengandongi doa-doa, puji-pujian dan penceritaan riwayat Nabi Muhammad saw. yang disebutkan berturut-turut iaitu salasilah keturunannya, masa kanak-kanak, remaja, pemuda, hingga diangkat menjadi rasul. Di dalamnya juga mengisahkan sifat-sifat mulia yang dimiliki Nabi Muhammad, serta berbagai peristiwa untuk dijadikan teladan umat manusia.


Selain menyampaikan pengajaran agama, nazam juga telah digunakan bagi menyampaikan nasihat dan panduan kepada pemerintah dan pemimpin. Contoh nazam yang demikian ditemui dalam Tajus Salatin yang berbunyi:
Bahawa bagi raja sekalian
Hendak ada menteri demikian

Yang pada suatu pekerjaan
Sempurnakan segala kerajaan

Menteri inilah maha tolan raja
Dan peti segenap rahsianya sahaja

Kerana kata raja itu katanya
Esa ertinya dan dua adanya

Maka menteri yang demikian perinya
Ada keadaan raja dirinya

Jika raja dapat adanya itu
Dapat peti rahsianya itu.
(sumber: Harun Mat Piah, 1989:283).


Mengikut Zaaba naskah nazam yang terkenal ialah kitab Kitab Kanz al-’Ula yang dikarang oleh Al-Syed Muhammad bin Syed Zainal Abidin al-Idrus yang terkenal dengan nama Tuk Engku Besar Terengganu. Tuk Engku Besar Terengganu juga telah mengarang beberapa buah buku agama yang ditulis dalam bentuk nazam. Sebuah daripadanya terbit beberapa kali dan luas penyebaran khususnya di Terengganu. Nazam yang ditemui termasuklah Tahfat al-Wildan, Mokhtasar, al-Jawahir al-Saniyyyah, Sirat al-Nabawiyyah, dan Sullammal-Taufiq. Kebanyakan nazam beliau mengandungi kisah hidup Nabi Muhammad sejak baginda dilahirkan.

Nazam Kanz al-’Ula menceritakan riwayat hidup Rasullullah
Saidina Muhammad itulah Rasul yang tinggi
Zat dan sifat dan nisab dan perangai yang mulia


Dan ia ituah langit yang ke atas bandingnya
Dan anbia lainnya tu bawahnya ia.
Dia iaitu matahari yang lebih cahayanya
Dan anbia lainnya itu bintangnya ia

Mana samakan dia oleh Rasul yang lain
Pada tingginya itu dan murahnya ia

Dan ialah laut yang sangat luasnya
Dan ombaknya yang limpah pada alam ini ia

Dan ialah awan yang menghamburkan hujan
Pada daratan rata dan lautnya ia

Lagi ialah angin yang dilepaskan dia
Dengan tiada hingga pada alam ni ia

Nazam juga menjadi kesenian yang dipraktikkan di Melaka. Di Melaka terdapat sebuah teks nazam berjodol Tanbih al-Kusla. Nazam tersebut adalah hasil terjemahan daripada Nzam Arzal an-Nas oleh Ahmad bin Haji Abd.Raof, yang merupakan Mufti negeri Melaka tahun 1944. Tanbih al-Kusla lebih merupakan buku permulaan dalam ilmu fikah, khususnya untuk anak-anak sekolah.

Mengikut Mohd.Ali Bachik (2004:10) perkembangan nazam di Melaka berlaku di kalangan kaum lelaki dan kaum wanita. Kaum lelaki membaca nazam di surau di antara waktu maghrib dan Isyak terutama pada bulan Rabiul Awal. Kaum wanita pula membaca nazam sambil menganyam tikar pada waktu malam.


Salami Simon (1990:56) menemui beberapa buah nazam yang ditulis dan disampaikan di dalam bahasa Jawa khasnya di daerah Sungai Besar Selangor. Nazam-nazam itu dimiliki oleh beberapa orang respondennya yang pernah belajar di pondok pengajian agama semasa mereka masih muda. Mereka memberi maklumat bahawa Nazam-nazam tersebut dilagukan selepas sembahyang fardhu sementara masuk waktu seterusnya, atau setelah selesai mengaji Al-Quran. Orang-orang perempuan, khasnya ibu-ibu dan nenek-nenek, sering menggunakan nazam untuk menidurkan anak-anak dan cucu mereka.


Lagu Nazam

Lazimnya Nazam disampaikan dengan berlagu. Secara umum lagu nazam boleh dibahagikan kepada dua kategori.
Lagu atau intonasi zikir untuk Nazam yang dibaca di surau-surau.
Lagu nasyid untuk nazam yang disampaikan di tempat-tempat keramaian khasnya majlis-majlis keagamaan.

Lagu zikir
Lagu zikir menggunakan nada yang rendah, sesuai untuk tempat seperti surau. Baris pertama dimulakan dengan intonasi panjang dan tinggi pada sukukata yang pertama, diikuti dengan pendek dan rendah pada sukukata kedua. Baris kedua dimulakan dengan pendek dan rendah pada sukukata yang pertama dan tinggi dan panjang pada sukukata yang kedua. Hal ini diulang pada sukukata ketiga dan keempat hingga ke akhir. Sukukata yang akhir setiap baris diberi penekanan, iaitu dengan lebih ditinggikan dan dipanjangkan.
Laa /i/laa /ha/ ill /lal/Lahhh /,
Mu/hamm /ma/durrr /Ra/sull /lul/Lahhh /.
Pengulangan perkataan dan ungkapan yang terdapat pada nazam adalah sesuai untuk diserapkan ke dalam zikir .

Nazam juga dibaca dengan rentak pendek panjang dan penekanan kepada sukukata yang keempat. Melodi seperti ini boleh disebut sebagai melodi terbuka dan mudah disesuaikan dengan bilangan sukakata nazam yang tidak terhad.

Ka/mi/mu/ laa /na/zam/i/ nii /de/ngan/na/ maaaa /(12 sukukata)
Al/lah/yang/memm /be/ri/fa/ hamm /kan/a/ga/ ma /12 sukukata)

Deng/ki/pa/ daaa /nya/sau/da/raaa /se/ke/ lian (11 sukukata)
Sau/da/gar/Me/ sir /ya/Al/lah/Na/bi /Yu/sof /di/jual/kan /(15 sukukata)

Lagu Nasyid
Di dalam majlis-majlis keramaian nazam dilagukan dengan lagu yang lebih rancak dan nada yang lebih tinggi untuk menimbulkan kemeriahan tetapi lembut dan terkawal sesuai dengan senikata yang berunsur keagamaan Mengikut catatan Mohd Ali Bachik (2004:15), lagu yang paling banyak digunakan untuk nazam ialah lagu yang dikenali sebagai Abdaubis yang berasal dari berzanji. Pada masa ini, lagu ini lebih popular di Tanjung Bidara dan Tanjung Keling. Terdapat beberapa versi lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan-kumpulan yang bergerak di Merlimau, Jasin, Serkam dan Muara Sungai Duyung. Terdapat juga lagu nazam yang diserapkan ke dalam lagu-lagu oleh pencipta-pencipta lagu moden. Contohnya, Seniman Agung P.Ramlee mempopularkan lagu Naam Sidi menjadi lagu Gambus Jodoh (dari filem Madu Tiga) dan Tolong Kami Bantu Kami (daripada filem Tiga Abdul). Kumpulan-kumpulan nazam semasa juga telah menggubah irama-irama baru yang sesuai untuk menyanyikan nazam untuk menjadikan kesenian ini lebih menarik khasnya untuk menarik minat generasi muda.

Perbezaan lagu nazam dan syair
Lagu nazam berbeza dari syair. Syair mempunyai bentuk melodi yang panjang, bernada melankolik, mendayu, meninggi, dan beralun. Irama nazam lebih rancak dan temponya cepat. Lagu nazam lebih mudah dan tidak memiliki range nada yang terlalu tinggi atau terlalu rendah yang mencabar kemampuan seorang penyampai. Jika syair merupakan persembahan yang dibawa oleh tukang syair yang dianggap mempunyai kebolehan istimewa, maka nazam lebih merupakan partisipasi bersama. Orang ramai yang datang ke sesuatu majlis seringkali akan turut bernazam bersama-sama ahli kumpulan. Nadanya lebih rendah dan tidak memerlukan lantunan atau ketinggian suara atau pernafasan yang baik . Melodi syair hanya dapat dibawa dengan baik jika bilangan sukukata tidak melebihi lapan. Keharmonian irama syair akan terjejas jika bilangan sukukata tidak terkawal. Hal ini tidak terjadi di dalam nazam kerana iramanya boleh disesuaikan dengan panjang pendek sesuatu baris. Nazam boleh dinyanyikan tanpa muzik pengiring dan boleh juga diiringi dengan alat muzik percussion seperti gendang dan rebana. Nazam biasanya dinyanyikan secara beramai-ramai sedangkan syair disampaikan secara solo dan memerlukan vokal yang baik.

Berbeza dari syair yang berkembang di pentas-pentas persembahan khasnya bangsawan, nazam lebih merupakan aktiviti rakyat yang dilagukan di kampung-kampung terutama di tempat-tempat belajar agama. Lagu-lagu nazam biasanya disampaikan secara beramai-ramai oleh murid-murid sekolah agama rakyat. Tujuannya untuk memudahkan pelajar-pelajar mengingati dan menghafal bahan-bahan yang dipelajari. Kumpulan nazam sekolah-sekolah ini sering pula mengambil bahagian dalam acara-acara kemasyarakatan seperti perkahwinan, khatam Al-Quran, pesta-pesta kebudayaan. Ia merupakan penyertaan beramai-ramai bukan sahaja oleh pelajar-pelajar yang menyertai kumpulan nazam tetapi juga pendengar-pendengar yang kebanyakannya tidak boleh membaca atau tiada kesempatan membaca. Adab membaca mesti dimulakan dengan duduk tertib dan memberi salam dan membaca bismillah, berselawat atas nabi. Selain di tempat-tempat belajar, nazam juga dinyanyikan oleh kaum wanita semasa mendodoikan anak. Sehingga sekarang terdapat lagu-lagu nazam yang dinyanyikan di dalam upacara berendoi. Di negeri Pahang dan beberapa tempat lain, acara berendoi disebut sebagai bernazam.

Dengan Bismillah kami mulai
Alhamdulillah wassala tannabi

Dengan takdir Ilahi Rabbi
Sampai makdud yang dicitai


Seorang anak cita yang lama
Sekarang kami sudah terima

Seorang anak diberi nama
Kami ayunkan bersama-sama

Emas dan perak kami ayunkan
Anak ditaruh di daam buaian

Tali ayunan kami pegangkan
Emas dan perak kami nyanyikan


Di antara lagu yang sangat terkenal di dalam acara berendoi ialah Dendang Siti Fatimah atau Dondang Siti Fatimah.
Zaman zaman ya Rasullah
Zaman Nabi di Tanah Mekah

Wafatnya Nabi di Madinah
Meninggalkan anak Siti fatimah


Mengikut Harun Mat Piah (1989:307), lagu-lagu Nazam di Terengganu lebih pelbagai ragam dan banyak variasinya sementara lagu-lagu yang didapatinya di Melaka agak monotonus. Beliau menemui beberapa kumpulan nazam yang aktif dalam daerah Kuala Terengganu, Besut, Kemaman dan Dungun. Aktiviti ini juga dijalankan di Ulu Tembeling, Pahang dan di Parit, Perak.

Selain daripada kesusasteraan Melayu, Nazam juga berkembang di dalam kesusasteraan Urdu. Dalam kesusasteraan Urdu, nazam merujuk kepada puisi objektif, lazimnya mengandungi isi yang berbentuk naratif, pengajaran atau kritikan dan sindiran. Nazam dibahagikan pula kepada nazam nasri (bahasa berirama), dan nazam taweel yang bermaksud puisi panjang. Dalam bahasa tersebut, Nazam mengalami pembaharuan dan menjadi sebahagian puisi popular pada masa ini dengan adanya rakaman dan penyebaran yang luas.

Fungsi dan penyebaran nazam tidaklah seluas penyebaran syair dan pantun. Sebagai rumusan dapatlah dilihat bahawa nazam disebarkan melalui beberapa cara:

Secara beramai-ramai atau perseorangan oleh penuntut-penuntut sekolah agama untuk memudahkan menghafaz, misalnya Sifat 20.
Secara beramai-ramai di masjid atau surau sambil menunggu masuk waktu sembahyang tujuannya juga untuk menghafaz seperti di atas.
Secara berkumpulan atau koir sebagai persembahan pada majlis-majlis di sekolah-sekolah agama
Secara berkumpulan di dalam majlis-majlis keramaian kenduri kahwin, berkhatan, khatam Quran, Maulidil Rasul dan sebagainya
Secara berkumpulan sambil bekerja menganyam tikar dan sebagainya
Secara perseorangan ibu-ibu ketika menidurkan anak

Rujukan
Braginsky, 2004,The Heritage of Traditional Malay Literature, Singapore: Institute
of Southeast Asian Studies.

Harun Mat Piah, 1989, Puisi Melayu Tradisional, Satu Pembicaraan Genre dan
Fungsi, KualaLumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hussain bin Unang, 1994, Kamus At-tullab Arab-Melayu , Kuala Lumpur
Darulfikir.

Kamus Besar Bahasa Indonesia, 1988, Jakarta, Balai Pustaka

Teuku Iskandar,1995, Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad,
Brunei: Jabatan Kesusasteraan Melayu, Universiti Brunei Darussalam.

Wahyunah Haji Abd.Gani, Mohamad Shaidan, 2000, Puisi Melayu Lama Berunsur Islam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Bahasa Minangkabau-Bahasa Melayoe Riau, 1935, Jakarta. 1935,

Monday, March 03, 2008

PENGALAMAN MENGARANG DAN MELAGUKAN SYAIR

Sebagai penulis puisi moden (sajak), saya sering terlibat membaca dan menganjurkan acara baca puisi atau majlis-majlis deklamasi sajak. Kami mencari jalan supaya majlis menjadi lebih menarik. Saya cuba menyampaikan mesej yang terkandung di dalam sajak dengan menggunakan irama puisi lama, iaitu menyampaikan sajak di dalam irama syair. Ini tidak sukar kerana saya memang mementingkan unsur bunyi di dalam sajak dan kebanyakannya mempunyai rima yang terkawal. Di mana perlu saya akan menokok tambah perkataan. Hal ini samalah seperti Zubir Ali yang menyampaikan puisi melalui lagu puisinya atau kemudian Rahman Shaari yang mengemukakan kaedah mestamu (melodi sajak tanpa muzik).

Saya tidak gemar irama Selindang Delima kerana terlalu panjang dan sukar untuk menyampaikan maklumat. 1 rangkap mengambil lebih 1 minit. Iramanya yang mendayu mungkin tidak sesuai bila dimasukkan unsur kritikan sosial dan jenaka.

Saya ingat kembali satu variasi lagu syair yang pernah saya dengar dibaca oleh nenek. Nenek membaca kitab agama pun dengan gaya berlagu (untuk mengelak dari mengantuk) .Saya tambah ornamentasi, bunga-bunga atau lenggok-lenggoknyanya, panjangkan sedikit dan bawa ke tengah majlis.

Pada akhir tahun 80han, saya menjadi jawatankuasa Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan yang dianjurkan oleh Kerajaan Malaysia dan Gapena. Kami sentiasa mencari acara-acara yang sesuai untuk diisi di dalam majlis seperti itu. Acara baca puisi oleh wakil-wakil negeri boleh menjadi meleret-leret. Kami mengisi dengan nyanyian lagu-lagu puisi. Di sinilah saya memantapkan bacaan syair. Pertama kali saya membaca secara besar-besaran ialah pada tahun 1992 di dalam Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan peringkat kebangsaan di Dewan Jubli Perak, Shah Alam. Saya kira bacaan itu telah mendapat sambutan yang baik. Radio Shah Alam merakam dan menyiarkannya. beberapa kali. (Bahkan ada permintaan dari pendengar). telah Sejak itu saya dijemput ke sana ke mari untuk membaca versi syair ini. Antara yang saya ingat, saya pernah membaca di Pekan Baru, Sumatera, Malam Puisi JAKIM, majlis-majlis anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Perasmian Hari Sastera di Melaka, di Universiti Sains Malaysia, di Universiti Putera Malaysia, di Labuan, Alor Setar Kedah. di Perasmian Hari Peladang Kebangsaan, Hari Wanita, sambutan Merdeka di Putera Jaya dan lain-lain.

Saya sempat mengutip respon audien. (Sambutan penonton boleh diukur dari tepukan dan komen-komen yang diterima selepas bacaan. JAntara komen yang saya dengar:

  • suka mendengar kerana jarang atau tak pernah dengar
  • tertarik dengan lagu
  • teringat ibu atau nenek pernah melagukannya semasa dia masih kecil terutama untuk menidurkannya.
  • tertarik dengan mesej yang disampaikan

Paling banyak ialah ke empat iaitu tertarik dengan mesej.

Setelah beberapa tahun menjalankan aktiviti ini dapatlah saya membuat catatan berikut. Semoga catatan ini ada relevannya di dalam usaha melestarikan puisi tradisi terutama syair. Adakalanya saya berjaya dan kadang-kadang tidak. Antara faktor yang membawa kejayaan.

.

Syair perlu disesuaikan dengan majlis dan audien. Misalnya bila diminta membaca syair untuk pembukaan seminar seperti seminar sastera yang hadir adalah orang sastera. dan intelektual. Syair yang dibaca perlu ada substance yang mencabar pemikiran tapi menghiburkan dan lebih ringan dari kertaskerja yang akan disampaikan dalam seminar tersebut. Syair perlu disesuaikan dengan tema seminar.

Suatu ketika saya ditugaskan bersyair dalam persidangan muzium di Selangor. Saya mencari maklumat dari buku cenderamata dan kertaskerja lalu mengarang syair yang sesuai. Namun saya belum puas dengan karangan saya. Pada waktu makan tengah hari saya cari tempat duduk yang tidak jauh dari meja ahli-ahli lembaga muzium supaya dapat dengar perbualan mereka. Saya dengar mereka mengecam pihak tertentu yang cuba memesongkan fakta sejarah.. Malamnya bila saya membaca syair, saya lihat mereka tersenyum bila saya membaca:

Tuan pengarah dan ahli lembaga

usaha kalian kami menyokong

fakta sejarah mesti dijaga

ada petualang ingin memesong

Boleh menyebut nama tempat di mana syair dibaca dan komen yang menarik tentang tempat dan masyarakatnya. Oleh itu pengarang syair perlu studi tentang tempat tersebut, apa yang disukai oleh penduduk. apa yang menjadi bahan jenaka di situ. Ini disebut sebagai local colouring. Misalnya pada majlis Perasmian Hari Sastera di Melaka, penonton bertepuk bila dibacakan::

orang Melaka bualnya ramah

kedengaran kasar kalau tak pernah

tangganya batu masjidnya tanah

mahallah tangga dari lah rumah.

Boleh menyentuh orang yang penting dan popular yang hadir dalam majlis itu, pastikan komen yang baik, tidak menyinggung perasaan..Jadi cari maklumat tentang tokoh yang akan hadir. Lebih mencabar kerana kadang-kadang tokoh tersebut tidak dijangka hadir. Misalnya pada Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan di Shah Alam, Dato Sanusi Junid muncul pada malam kedua. Sempat juga saya masukkan serangkap tentang Taman Pertanian Bukit Cerakah yang sangat disayanginya.

Gunakan bahasa puitis atau permainan bahasa seperti juga menulis sajak. Contoh:

orang kita banyak peluang

di tanah air yang kaya raya

sedang kita kaya peluang

orang lain berpeluang kaya

cepatnya berubah wajah kotaku

bangunan tinggi tandanya maju

lain pula kampung baru

kampung baru tak baru-baru

Sesuaikan dengan audien: Untuk majlis orang politik saya membaca syair ini

kepada tuan pemimpin budiman

ingatlah ini satu pesanan

jika tuan sayang keturunan

jangan jual kuasa di tangan

ingatlah kata orang bestari

jauhi sengketa sama sendiri

ibarat keris menikam diri

itulah jalan musnah negeri

Tan Sri Muhammad Mohd Taib pernah memberi komen, “elok baca syair-syair macam ini, kalau kata terus terang nanti orang marah).

Untuk mengusik dan memberi peringatan kepada orang politik saya pernah membaca

Dengarlah wahai tuan budiman

anak isteri diabai jangan

kerana asyik berangan-angan

akhirnya hilang kuasa di tangan

Untuk Sambutan merdeka di Putra Jaya:.

Dengan insaf fakir mengarang

terasa sedih bila dikenang

beratus tahun dijajah orang

kerana lalai maruah hilang

Di suatu majlis untuk Ibu Tunggal, ada ibu tunggal yang menangis mendengar rangkap ini mengenang anak yang menderita tidak dipedulikan oleh ayah.

kalau pun sudah suratan takdir

atau jodoh sudah berakhir

kebajikan anak samalah fikir

jangan dibuat seperti fakir

Ini bermakna saya mesti bersedia untuk mengarang “last minute” seperti yang dibuat oleh tukang karut dikir barat atau peran mak yong.Itulah ciri sastera lisan. Keperluan last minit ini juga terjadi di dalam majlis yang banyak protokolnya. Apa yang dikarang akan disemak dan mungkin disuruh pinda, misalnya dalam acara di Istana Iskandariah pada

Saya juga terpaksa mengarang last minute kerana tak cukup maklumat tentang acara atau tempat yang hendak disyairkan. Semasa saya diminta membaca syair untuk acara pelancaran buku di Labuan saya terpaksa tunggu sehingga sampai di Labuan untuk merasa suasananya. Walaupun. boleh cari maklumat dalam buku, tetapi lebih puas jika dapat berada di tempat itu dan menyaksikan gelagat manusia, barulah ada unsur bergurau dan usik mengusik.. Semasa rehearsal barulah terbangkit suasana sebenar (umpamanya kesedihan yang menyelubungi ibu tunggal). Di situ akan datang idea-idea baru. Syair sentiasa diperbaiki hingga ke saat akhir.

Kadang-kadang hal ini tidak dapat dilakukan. Lebih-lebih lagi jika penganjur majlis hanya mahu saya mengarang tapi orang lain membaca. (mereka mahukan seorang bintang untuk tampil ke hadapan). Saya mesti siapkan skripnya jauh lebih awal kerana pembaca syair perlu masa untuk berlatih Kalau ini pilihan mereka saya hanya boleh sediakan teks yang dry, tak ada elemen humor, usik mengusik dsbnya.

Kebanyakan pendapat mengatakan bahawa irama yang saya gunakan untuk membaca syair itu ialah irama Syair Dan Dan Setia. Semasa membuat persembahan di Pekan Baru, Indonesia saya diberitahu bahawa irama itu mirip syair Riau. Penyelidikan terus dijalankan dan kita menunggu hasilnya.

Biarkan jauhari yang mencari manikam. Tugas pengamal dan pembaca syair ialah untuk meneruskan aktivitinya selagi terdaya agar suara kita tidak tenggelam dalam kesibukan orang membina bandaraya. Warisan kita yang indah janganlah tertimbus di bawah rumah.

Sunday, March 02, 2008

3 faktor yang menyebabkan kekeliruan

1- Tiada rakaman yang telah dibuat. Oleh itu kita dapat memastikan secara ilmiah, irama manakah yang lebih asli.

2- Orang Melayu tidak begitu menghiraukan aspek ’terminologi’, seperti kata Mohd.Taib Osman ”mungkin dalam kebudayaan Melayu zaman silam, orang tidak begitu berhati-hati tentang definisi sesuatu perkara sehingga payah hendak kita buat definisi yang jitu tentang bentuk-bentuk puisi Melayu lama” (1975:131). . Perkara ini berterusan ke hari ini. Cuba lihat lagu-lagu popular ini: Gurindam Jiwa (dari filem Melayu, Cathay Keris), Seloka (.Aziz Jaafar dan Normadiah ), Nazam Lebaran (Siti Nurhaliza), Nazam Berkasih (Syura), Ghazal untuk Rabiah (M.Nasir dan Jamal Abdillah), Dikir Puteri (Nor Aniza Idris), Syair Si Pari-pari (Zamani). Ini adalah contoh bagaimana terminologi puisi tradisi itu digunakan sewenang-wenangnya walaupun senikata yang dinyanyikan tidak menepati tajuknya.

3- Faktor yang kedua ditambah pula dengan faktor yang ketiga iaitu tidak adanya pengawalan hakcipta. Antara ciri penting sastera tradisional ialah ia diwarisi dan disebarkan melalui tradisi lisan dan bersifat kolektif Seseorang mungkin menamakan karangannya sebagai Gurindam dan menciptanya dalam bentuk gurindam dua baris. Karangannya itu ditokok tambah oleh orang lain selepasnya sehingga menukar struktur menjadi empat baris, tetapi masih mengekalkan nama yang asal.



Sunday, February 03, 2008

Assalamualaikum, ahlan wah sahlan ke blog yang sudah lama tertinggal bagai rumah tidak berpenghuni ini.

Ana baru pulang dari Tanah Suci. Syukur kepada Allah Maha Berkuasa yang telah memperkenankan doa ana untuk menjadi tetamuNya. Seronok sungguh berada lebih kurang dua bulan di sana. Damai, walaupun suasana penuh sesak dengan pelbagai ragam manusia.

Saya sampai di kota Mekah beberapa hari sebelum hari wukuf. Ketika itu masjidil haram yang mulia dan kawasan sekitarnya menjadi tumpuan berjuta umat Islam dari seluruh dunia.Sambil kusyuk beribadat, sempat juga melihat gelagat dan aneka adegan yang berlaku di sana. Alangkah indahnya Kaabah atau Baitullah yang tersergam,dalam warna hitamnya, dengan kelambu yang sesekali dibuai angin. Sehingga kini masih bermain di mataku.

Aku merasa terharu memikirkan betapa hebatnya semangat jutaan umat Islam yang berkunjung ke Rumah Allah. Bukan semua dapat menginap di hotel seperti orang-orang Malaysia. Ramai yang sanggup tidur di pinggir jalan berbumbungkan langit. Tambahan lagi mereka membawa anak-anak kecil yang terpaksa berjemur matahari selama berminggu-minggu lamanya. Sedihnya, banyak pula perbuatan-perbuatan ganjil yang dilakukan. Ada yang membaling-baling baju ke arah dinding Kaabah kerana percaya baju itu akan membawa keuntungan kepada si pemakai.

Ratusan manusia melakukan tawaf. Ramai pula yang bertawaf secara berkumpulan sambil merangkai tangan. Hal inilah yang menyusahkan orang lain.

Boleh dikatakan semua orang batuk di Makkah menyebabkan gula-gula ubat batuk spt strepsil
sangat laris. Penjual pun ambil kesempatan naikkan harga sampai 14 riyal. Ini dah melampau, sedangkan jubah pun dilambak-lambak dan dijual 10 riyal. Nampaknya di Makkah, gula-gula lebih mahal dari jubah.Walau bagaimanapun aku sentiasa berdoa agar dapat ke sana lagi.

OK...ada masa aku cerita lagi.