ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Friday, July 04, 2008

CERPEN - Bendang Lahuma

LAHUMA, petani yang miskin itu teah mati dalam keadaan yang amat menyedihkan. Dia mati setelah diseksa tanpa belas kasihan oleh musuh-musuh yang kejam. Kemarau panjang, air bah, ular tedung, duri nibung, tikus, ketam, burung tiak bergilir-gilir membawa duka nestapa kepada keluarga yang tidak berdosa dan tidak berdaya itu. Sepanjang hayatnya, Lahuma telah melawan musuh-musuh itu dengan tulang empat kerat. Dia telah berjuang untuk mempertahankan bendangnya. Tetapi tulang empat keratnya tidak berdaya untuk melawan musuh yang datang bertalu-talu. Dia tewas lalu mati dalam kesengsaraan.
Sebelum Lahuma mati dia telah meninggalkan wasiat kepada isterinya yang setia, Jeha. Wasiat itu lebih kurang berbunyi begini:





“Bendang inilah sahaja penyambung nyawa anak-anak kita. Jagalah dia agar anak cucu kita tidak mati kebuluran. Bersiap sedialah untuk menentang musuh yang cuba merosakkan sawah kita. Jangan mudah mengaku kalah. Pada adalah kehidupan kita. Beras adalah nyawa kita. Sawah adalah maruah kita.”

Sawah adalah maruah kita. Sawah adalah maruah kita. Kata-kata itu menggegarkan hati Jeha sehingga dia diganggu mimpi dan telah berlari-lari ke tengah sawah pada waktu malam. Dia menajak bendang. Dia menanam padi untuk makanan anak-anaknya. Ketika dia turun ke sawah seluruh bukit bukau bergema dengan suara Lahuma. Seluruh belukar meratap dan meratipkan kata-kata Lahuma: Sawah ini maruah kita. Sawah ini maruah kita.
Tetapi tidak ada sesiapa yang mendengarnya. Dunia tidak pernah mendengar teriakan petani kecil seperti Lahuma. Hanya Jeha dan bukit bukau yang memahaminya. Orang kampung tidak peduli apa-apa. Mereka hanya tahu ketawa: Jeha sudah gila, Jeha sudah gila. Memang begitulah adatanya. Orang-orang di sekeliling memang pandai ketawa tetapi tidak pandai menolong. Akibatnya Jeha benar-benar menjadi gila.
Jeha telah diberkas dan dibawa ke hospital sakit jiwa. Tinggallah anak-anaknya yang mewarisi penderitaan. Hidup mesti di teruskan walaupun pelbagai musuh datang menyerang. Mereka akan bergelut untuk melawan musuh yang mahu membinasakan padi mereka. Lahuma telah mengajar mereka supaya mencintai setiap inci tanah bendang dan setiap kepal selut di sawah. Ayah mereka telah berpesan supaya mereka mempertahankan tanah bendang itu agar mereka tidak mati kebuluran.
Tetapi anak-anak Lahuma tidak mati kebuluran. Sanah, Milah, Semek, Liah, Lebar dan Kiah tidak mati kebuluran kerana merak hidup dalam negara yang kaya-raya dan makmur. Di negara ini tidak ada sesiapa yang mati kebuluran. Mereka turut mengecap nikmat pembangunan.
Syukur kepada Allah yang memberkati negara dengan pembangunan yang pesat. Pertumbuhan ekonomi negara kekal pada paras lapan peratus selama beberapa tahun berturut-turut. Dalam suasana makmur ini tidak ada sesiapa yang akan mati kebuluran. Makanan melimpah-limpah. Bahkan terlalu banyak sehingga menjadi masalah. Apa tidaknya, pada hari-hari perayaan, orang akan memasak pelbagai hidangan sehingga tidak cukup tempat di meja. Para tetamu melihat makanan yang dihidangkan itu sebagai satu masalah bagi mereka kerana mereka memang sudah terlalu kenyang tetapi terpaksa makan untuk menjaga hati tuan rumah.
Semasa hayatnya Lahuma sering dilanda kebimbangan. Dia bimbangkan nasib anak-anak dan keturunanya, “Jaga bendang ini, agar anak cucu kita tidak mati kebuluran,” demikian kata-kata yang sering diucapkan kepada Jeha.
Ternyata kebimbangan Lahuma tidak berasas sama sekali. Dia bukan pakar ekonomi yang tahu membuat ramalan. Tidak ada sesiapa yang pedulikan cakap seorang seperti Lahuma. Lahuma bukan pembesar negara. Orang hanya mendengar kata-kata para pemimpin dan pembesar negara. Pemimpin selalu berkata bahawa kita membangunkan negara. Lihatlah di sekeliling. Menara-menara yang menjulang awan menjadi bukti kemakmuran negara.
Dengan kejayaan perubatan moden, Jeha telah sembuh daripada penyakit gilanya. Dia sudah kembali hidup di tengah anak cucunya dan belajar menerima keadaan. Dia sudah belajar untuk melupakan sawah dan padinya. Namun hatinya tetap pedih dan selalu terkenangkan arwah suaminya. Jeha terpaksa meninggalkan kampung halaman yang dicintainya dan mengikut anak-anaknya tinggal di bandar. Di hari tua dia tidak berdaya lagi untuk tinggal seorang diri. Jeha telah belajar untuk menerima keadaan. Ini juga takdir Tuhan, ketentuan Allah azzawajalla seperti yang sentiasa disebut oleh suaminya yang tercinta.
Sanah dan adik-adiknya sudah bersuami dan beranak pinak. Anak-anaknya bersekolah di bandar dan tidak lagi bermain selut di bendang. Mereka berpakaian cantik dan tidak mungkin diajak turun berlumur lumpur lagi.
Kadang-kadang Jeha tidak dapat menahan rindu kepada rumah dan kampung halaman. Air matanya mengalir membasahi pipi yang berkedut seribu. Dia terkenang rumah tempat dia hidup bersama suaminya Lahuma. Masih terbayang Lahuma yang terbaring dengan mulut yangterkumat-kamit. Masih terdengar suara Lahuma mengerang kesakitan kerana bisa dari nibung merayap dan meratah daging tubuhnya. Bila rindu itu tidak tertahan-tahan lagi, Jeha meratu kepada anak-anaknya supaya membawa dia balik ke kampung Banggul Derdap. Tetapi menantu-menantunya sentiasa sibuk dan tidak ada masa untuk membawanya pulang. Sanah pernah memujuk anak daranya, “Kau pergilah ikut tuk balik kampung. Kesian tuk, dia nak balik tengok rumahnya tetapiu ayah kau tak dapat cuti. Kautemankan tuk. Dia kata kalau dapat duduk di sana seminggu dua pun jadilah. Pergilah ikut dia balik. Temankan tuk.”
Anak dara Sanah yang suka memakai jean itu menjawab, “Saya bukan tak mahu temankan tuk. Tapi mak, saya tak tahan kerana tuk suka berleter. Saya tak mahu makan keledek rebus pun dia marah. Dia kata saya sombong. Saya tumpahkan sebiji nasi pun dia marah. Adakah kerana nasi tumpah sebiji pun riuh mulutnya memarahi saya. Bukan kita miskin sangat sehingga sebiji nasi pun tidak boleh tumpah. Tak tahan saya mendengarnya mak.”
Sanah terdiam mendengar rungutan anaknya. Memang dia tidak pernah menghidangkan keledek rebus di rumahnya kerana makanan lain masih banyak. Sejak kecil anak-anaknya suka makan burger, ayam goreng dan piza. Mereka berlari-lari riang setiap kali dibawa masuk ke restoran Mac Donald atau Kentucky.
Sanah cuba memujuk anaknya, “Kau mesti sabar. Tuk sudah tua. Dia memang marah kalau kita tumpahkan beras dan nasi. Kau mesti faham. Dahulu dia adalah seorang petani miskin. Dia membanting tulang di sawah. Bukan senang hendak mendapat secupak beras. Sebab itulah dia sangat hormat pada padi, pada beras dan pada nasi. Padi, beras dan nasi amat bermakna baginya.” Anak-anak Sanah tidak memahami cakap ibunya. Mereka tidak langsung memahami sikap neneknya Jeha. Apakah makna sebiji nasi dalam negara yang berlambak-lambak dengan makanan ini.
Hati Jeha yang luka bertambah parah apabila beritahu yang tanah bendang empat belas relung peninggalan Lahuma ini akan diambil untuk dijadikan tapak pembinaan kilang. Jeha menangis dikelilingi anak-anak dan menantu-menantunya.
“Tak apalah mak, Kalau tanah itu diambil, kita akan mendapat pampasan,” pujuk seorang anak.
“Kita pun dah duduk di pekan. Kita lebih senang dari dahulu. Ada gaji tiap-tiap bulan, tidak lagi bersusah payah menanam padi. Kita tidak mengharap pada tanah bendang lagi,” kata seorang menantu.
“Lagipun bendang kita pun selalu terbengkalai. Mak tengoklah, tiap-tiap tahun susah hendak mencari orang untuk mengerjakannya. Orang sekarang dah tak mahu kerja di bendang lagi. Kerja kotor, pendapatan tidak seberapa,” seorang anak lain meyakinkan.
“Daripada terbiar begitu, elok juga tanah itu dijual. Mak akan dapat banyak duit,” sambut pula seorang anak.
“Mak mesti faham. Negara kita sudah maju. Di sana sini ada bangunan tinggi. Di sana sini ada kilang. Bukan bendang kita sahaja yang akan bertuka menjadi tapak kilang, sudah beribu-ribu malah beratus-ratus ribu ekar tanah bendang petani-petani lain sudah jadi kawasan kilang dan kawasan rumah. Petani-petani kita pun tak kisah. Mereka pun tak larat lagi nak bekerja di sawah. Kerja berat, musuh tanaman banyak. Kerja kotor, orang pun pandang hina. Nak upah orang mengerjakan sawah pun susah. Bukan senang nak cari orang. Anak-anak muda lebih suka kerja di bandar. Mereka tak mahu kerja-kerja kotor. Jadi, lebih baik mereka jual tanah saja. Dapat duit, beli saham, mereka jadi kaya raya. Apa ditakutkan kita boleh beli beras dari negara lain, dari Siam, dari China.”
“Buat padi pun bukan senang. Susah macam dulu juga. Kerajaan bagi subsidi, tapi orang kilang pula menipu. Petani jual padi, mereka tipu timbangan. Sekarang alat timbangan pun canggih. Guna komputer. Petani pun tak reti,” kata anak Jeha.
Jeha dalam sedu-sedannya pun berkata, “Aku bukan pandang duit. Sawah itu peninggalan ayah kamu. Dia pesan suruh aku jaga.”
Dada Jeha sebak. Air matanya jatuh berderai-derai. Dia terdengar lagi suara Lahuma. “Sawah adalah maruah kita. Sawah adalah maruah kita.” Tetapi hanya Jeha yang mendengar dan mengerti kata-kata itu.
Walau bercupak air mata Jeha yang mengalir keluar, bendang empat belas relung itu tetap dikambus dan diratakan. Dia atasnya didirikan kilang. Jeha menangis mengenangkan Lahuma. Jeha sering terpandang-pandang wajah sedih Lahuma. Dia berjalan terhincut-hincut mengeret kakinya yang sakit dan perutnya yang membusung. Air mata Lahuma mengalir melihat tanah bendangnya sudah dibinasakan.
“Mengapa kaubinasakan bendangku. Kalau bendang sudah tidak ada, di mana kau hendak menanam padi. Dari mana kau hendak mendapat beras. Bagaimana anak cucu kamu hendak makan?” tanya Lahuma.
Tetapi tiada siapa yang pedulikan igauan Jeha. Tanah bendang tidak penting kerana beras boleh dibeli dari negara lain. Bukankah di negar aini makanan melimpah-limpah. Pekan semakin besar dan setiap pekan dimeriahkan dengan restoran makanan segera.
Jeha terus menangis ketika ramai orang ketawa berdekah-dekah. Ramai yang ketawa kerana harga saham naik melambung-lambung. Ramai yang ketawa kerana pusat hiburan dan pusat permainan ada di mana-mana. Ramai yang ketawa kerana menjadi jutawan hasil penjualan berekar-ekar tanah Felda yang dahulunya diteroka.
Begitu ramai orang yang ketawa riang. Mereka ketawa kerana tidak ada apa-apa yang hendak dirunsingkan di negara yang makmur bahagia. Mereka tetap ketawa ketika rakyart Kesatuan Soviet Rusia menderita kekurangan makanan. Negara yang tidak menanam gandum itu mengharapkan bekalan dari Amerika sehingga menemui kruntuhan pada tahun 1991. Ramai yang masih ketawa ketika televisyen memaparkan tubuh-tubuh mangsa kebuluranyang hanya tinggal rangka. Ramai yang ketawa riang ketika media massa menyiarkan berita tentang kehabisan makanan di pasar raya di Korea Utara dan rakyatnya diancam kebuluran.
Tetapi menjelang akhir taun 1997 tidak ramai lagi yang mampu ketawa. Keriangan semakin menghilang apabila rakyat menghadapi realiti yang getir. Suasana ekonomi tidaklah seindah dahulu lagi. Nilai ringgit nilai saham jatuh ke paras yang mencemaskan. Harga barang termasuk barang makanan melambung naik walaupun kerajaan cuba menyekatnya.
Tetapi kemudiannya yang berhormat menteri membuat pengumuman bahawa kabinet terpaksa membenarkan kenaikan harga beberapa bahan makanan yang diimport. Mengikut menteri itu, “Kita terpaksa bersetuju menaikkan harga. Kalau tidak, tak ada orang yang sanggup mengeksport barang-barang itu,” Memang benar katanya. Dari tidak ada bekalan, lebih baik mahal sedikit.
Maka riuhlah orang bercakap tetang tanah kita yang subur, tetapi tidak diusahakan. Ramailah yang menyarankan agar kita menanam dan mengeluarkan bahan-bahan makanan. Ramailah yang menyuarakan pendapat bahawa cara-cara pertanian kita masih tidak banyak kemajuannya. Ada yang memberi pendapat bahawa kita telah dijajah dengan makanan Barat yang terpaksa diimport.
Setiap hari radio dan televisyen menyeru orang ramai supaya menanam sayur di halaman rumah untuk menjimatkan belanja. Semua orang bersetuju bahawa demi keselamatan negara, kita mesti mengeluarkan makanan sendiri. Aktiviti pertanian mesti dipertingkatkan. Ada pendapat mengatakan bahawa kita tidak cukup memberikan perhatian kepada bidang pertanian. Ada yang menyedari kesilapan menukarkan beribu-ribu ekar tanah bendang kepada tapak pembinaan.
Lalu ada yang mula diganggu igauan. Ribuan mangsa kebuluran terbaring lemah dengan mulut ternganga. Ratusan cucu-cicit Lahuma yang kelaparan bangun memberontak dan bertanya, “Di mana bendang Lahuma, di mana bendang Lahuma?”

1 comment: