ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Thursday, January 09, 2020

KEBITARAAN BAHASA MELAYU/BAHASA MENGINSANKAN MANUSIA.


 SEDUTAN UCAPAN di Universiti Malaysia Perlis, 29. Oktober 2019.

Bahasa adalah medium komunikasi yang paling berharga kepada manusia dan. manusia adalah satu-satunya makhluk Allah yang dikurniakan dengan bahasa.

 Dengan bahasa manusia mencatatkan segala pengetahuan dan pengalaman  untuk diketahui dan dipelajari oleh manusia lain. Dengan ini ilmu pengetahuan disebar dan diperluaskan supaya dapat membina dan memperbaiki kehidupan  di bumi Allah ini. Bahasa diperlukan untuk berkomunikasi dan  setiap insan memerlukan insan lain untuk meneruskan kehidupan..,
Hubungan bahasa dan manusia diperjelaskan di dalam Al-Quran. Antaranya adalah dalam Surah Ar Rahman yang menyatakan tentang kejadian manusia  seiring dengan kejadian bahasa.
Dalam bahagian pertama surah ini  Allah memperkenalkan sifatnya sebagai Ar Rahman yang membawa maksud pemberi rahmat, kasih sayang.
Arrahman,

عَلَّمَ الْقُرْءآنَ

Dialah yang mengajarkan Al-Qur’an.

Ini diikuti dengan
Ayat 3

خَلَقَ الْإِنسٰنَ

Dialah yang telah menciptakan manusia; –

عَلَّمَهُ الْبَيَانَ

(Dialah yang) Mengajar berkata2. Berkata-kata dilakukan dengan perantaraan bahasa.
Di dalam Surah Ar Rahman ini dilihat bahawa Allah berfirman tentang mengajar Al Quran sebelum menjadikan  manusia. Ini menunjukkan sebelum menjadikan manusia Allah telah menjadikan Al Quran terlebih dahulu.
Hal ini menunjukkan bahawa BAHASA wujud sebelum wujudnya manusia. Walaupun Al-Quran diturunkan   kepada Nabi Muhammad pada akhir zaman tetapi peristiwa itu disebut Nuzul Quran. Al Quran diNUZULkan atau diturunkan manakala penciptaannya telah berlaku sebelum kejadian manusia. .
Kata  INSAN  juga membawa maksud ‘kasih sayang’. Manusia mempunyai sifat kasih sayang dan memerlukan kasih sayang. Manusia bukan sahaja memerlukan kasih sayang Allah tetapi juga kasih sayang manusia lain. Oleh kerana itu Al-Qur’an juga mengajar manusia hubungan dengan manusia lain. Al-Qur’an  bukan sahaja kitab tentang hukum halal dan haram tetapi juga mengandungi ajaran bagaimana berurusan dengan manusia (human relations) yang lain dengan sifat keinsanan dengan berkasih sayang  atau yang disebut sebagai berperikemanusiaan.
Ayat seterusnya
“Dia lah yang telah mengajar manusia berkata-kata.”
Untuk melakukan sifat insan iaitu berhubungan dan berkasih sayang, manusia diajar bayan , seperti yang terkandung di dalam kalimah ‘Allamahul bayan membawa maksud membolehkan manusia pandai berkata-kata dan berbicara dan ini sudah tentulah dengan penggunaan bahasa.
Adam Diajar Nama-Nama Benda.

Penciptaan manusia dan bahasa juga disebut  di dalam Surah Al-Baqarah ayat 31.  Allah menjadikan manusia pertama iaitu Nabi Adam. Ternyata sebelum terciptanya Adam telah ada makhlok-makhlok lain seperti malaikat dan iblis. Allah SWT mengajar kepada Adam nama-nama benda yang berada di alam semesta seperti yang tidak pernah diajar kepada makhlok-makhlok yang lain. .
Dalam Surah al-Baqarah 2:31, Allah berfirman “Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar”.”
Ayat ini menunjukkan bahawa ketinggian sifat Adam (atau sifat manusia) ialah kerana mereka berkebolehan dalam menyebut nama-nama benda yang juga selaras dengan  kemampuan berbahasa
Terdapat ayat lain yang maksudnya tentang kepentingan bahasa, Allah menjadikan bahasa., “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikan itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.  (AR RUM:22).
Manusia dalam bidang apa pun telah membina tamadun dengan bahasa.  Makhluk lain tidak mempunyai bahasa, buku atau perpustakaan. Hanya manusia boleh mendokumentasi dan menyebar ilmu pengetahuan. Oleh itu hargailah kurniaan Tuhan ini.
Kepandaian manusia dalam bidang binaan telah memungkinkan terdirinya monumen monumen termasyhur di seluruh dunia. Di peringkat Nusantara bolehlah dikemukakan  Borobudur di Jogjakarta sebagai contoh. Monumen ini terus menjadi sumber pendapatan pelancongan negara. Bolehkah monumen segagah dan seindah itu disempurnakan tanpa bahasa untuk memberi arahan yang berkesan?
BOROBUDUR
Lihatlah pada Borobudur ini
Keagungan karya seni
Kukuh  batu batuan
Rapinya  susunan

Bermula dari pemikir
dikumpulkan para pengukir
Pengangkut batu batan
Rapi susunan mengikut tepat arahan
Dan arahan harus turun
Dengan bahasa tersusun

Lihatlah pada Borobudur ini
Apakah lagi yang akan kau nafi
Tentang kemampuan bahasa kami

(dari kumpulan puisi yang sedang dalam proses penerbitan).

Makhluk lain tidak mempunyai bahasa tetapi tidak bererti mereka tidak  berkomunikasi. Haiwan juga menghantar berita sesama sendiri tetapi bezanya haiwan hanya boleh menyampaikan kenyataan-kenyataan yang benar sahaja. Bermakna haiwan tidak pandai bercakap bohong. Hanya  manusia  yang pandai berbohong.
HUBUNGAN SASTERA DALAM KEHIDUPAN.
Perkataan sastera dan kesusasteraan merujuk kepada segala pengucapan yang indah-indah untuk  menyampaikan buah fikiran dan meluahkan perasaan dengan menggunakan  bahasa. 
Secara ringkasnya, hasil Sastera terdiri daripada prosa dan puisi. Penggunaan prosa terdapat di dalam novel, cerpen, dan hikayat.  Puisi terdiri daripada frasa-frasa yang disusun dalam bentuk rangkap. Ia merupakan bahasa yang bersulam kiasan dan perlambangan dan disusun mengikut skima rima, mempunyai unsur bunyi dan bila dibaca terasa ada rentak dan irama.
Contoh puisi termasuklah Syair, Pantun, Gurindam, Seloka, Nazam, Mentera, Teromba dan Puisi Moden iaitu Sajak. Setiap jenis mempunyai struktur dan fungsi masing-masing.
Di dalam Al-Quran juga ditemui Surah-surah yang berima dan mempunyai unsur bunyi yang jelas. Allah SWT memberi keutamaan kepada penggunaan kalimah yang baik seperti yang terlihat di dalam maksud ayat di bawah.
Kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit. Pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan izin Rabbnya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi, tidak dapat tetap (tegak) sedikit pun.  Petikan ini adalah dari Surah Ibrahim ayat  24-26)

Peranan Sastera dalam pembentukan jiwa..
Anak-anak bangsa mengenal sastera melalui puisi-puisi tradisi seperti pantun yang dinyanyikan oleh ibu-ibu ketika mendodoi dan mententeramkan anak. Bahkan puisi tradisi telah menjadi  media untuk menyebar nasihat dan pengetahuan awal. Misalnya ibu dan nenek menghayun buaian sambil menyanyikan Nazam Sifat Dua Puluh atau Nazam Siti Fatimah. Nazam ini masih  dinyanyikan dalam acara berendoi . Ia mengandungi lirik yang memberi didikan agama.
Terdapat banyak lagu rakyat atau lagu kanak-kanak yang berunsur nasihat seperti lagu Lagu Burung Kenek-kenek. (Burung kenek-kenek hinggap di atas dahan/pesan datuk nenek jangan lupa pada Tuhan). Kanak-kanak bermain sambil menyanyi. dengan kawan-kawan Ada juga lagu yang menjadi sebahagian dari permainan kanak-kanak . Dengan ini menyanyi menjadi kegiatan pencetus silaturahim.  (Rahmah Bujang, Dewan Budaya, November 1999).
Semua pantun-pantun ini mengandungi mesej yang berguna dan menyeru ke arah kebaikan. Paling penting ia adalah mesej awal yang disampaikan kepada seorang insan  akan mempengaruhi minda dan jiwa sepanjang hidupnya. Antara lain puisi-puisi awal itu dapat melembutkan jiwa supaya dapat menjadi manusia yang mempunyai nilai kemanusiaan. Bila besar nanti anak-anak yang terdidik dan terasuh dalam nilai keinsanan itu tidak akan menjadi pengilang yang membuang sisa toksid ke dalam sungai. In sha Allah dia akan menjadi jurutera yang beretika, menjalankan peranan untuk membantu menyelesaikan masalah kehidupan bukan semata-mata atas dasar mencari keuntungan kebendaan. Puisi-puisi yang subur dalam jiwa orang-orang Melayu  menjadi benteng daripada pendakwah2 Kristian. Mereka tidak berjaya menggugah iman orang-orang Melayu sebagaimana kejayaan mereka di Filipina.
Bahasa tetap penting walau siapa pun anda dalam era IT dan ledakan Revolusi  4.0.
Hal inilah yang saya sampaikan dalam sajak bertajuk “Rumah Merdeka” yang dideklamasikan pada sambutan Hari Kemerdekaan tahun 1997 bertemakan Akhlak Mulia Masyarakat Jaya.  
Petikan:
Anak-anak tercinta
Jangan kau sangka di era modenisasi
Kota siber dan canggih IT
Kita tidak perlu berbudaya dan berbudi
Akhlak mulia adalah warna peribadi
Tanpa peribadi kau hanyut tak berpaut
Tenggelam di lautan tidak bertepi
Karam di daratan tanpa sempadan
Sesat dan terjerat di timbunan maklumat
Buta meraba di simpang siur lebuh raya kota siber
Anak2 tercinta
rimbun tamadun ditunjangi akhlak mulia
Komunikasi berkesan oleh tutur yang sopan
terpaut rasa oleh santun bahasa
Pedoman bangsa adalah rukun Susila.

Sebuah sajak tentang Bahasa ialah “BAHASA” tulisan Rahman Shaari,

Bahasa adalah pengatur
Pucuk fikira yang bertabur
Bahasa adalah pelentur
Ranting perasaan yang bersiur

Mari kita berbahasa sebaiknya
Dengan bahasa
Terlihat fakta padu
Terlihat sinar ilmu
Terlihat cinta biru
 Dengan bahasa
Pemimpin memaparkan arah
Di pentas siasah
Dengan bahasa orang beriman
Menikmati ibadah
Khusyuk dan pasrah
Mari kita berbahasa sebaiknya.dengan bahasa
Budi dipertingkat
Mesra diperlebar
Dengan bahasa kita menjadi kita bersama

1 comment:

  1. As reported by Stanford Medical, It's in fact the ONLY reason women in this country live 10 years longer and weigh 19 kilos lighter than us.

    (By the way, it really has NOTHING to do with genetics or some hard exercise and absolutely EVERYTHING about "HOW" they are eating.)

    BTW, I said "HOW", not "WHAT"...

    CLICK on this link to determine if this short quiz can help you release your real weight loss potential

    ReplyDelete