Satu percakapan pada acara WACANA SASTERAWAN NEGARA DI UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA pada 13.3.2019 bertempat di Dewan Zaaba.
Karya-karya kreatif boleh dibicarakan daripada pelbagai pendekatan atau teori. begitu juga proses penghasilannya juga boleh dilihat daripada pelbagai sudut.
Unsur imaginasi dalam cerpen
ini khusus bertujuan membangkitkan
emosi.Saya cipta watak seorang peragut dan timbulkan watak-watak seperti
mangsa, ibu peragut dan anak mangsa yang demam.serta adik peragut yang sakit. Emosi
dibangkitkan khususnya melalui kenangan peragut terhadap ibunya yang terlalu
sedih bila adiknya meninggal dunia setelah
demam berhari-hari sedangkan ibu tidak mempunyai wang untuk membawa adik
berjumpa doktor.
PUJANGGA NEGARA.
Karya-karya kreatif boleh dibicarakan daripada pelbagai pendekatan atau teori. begitu juga proses penghasilannya juga boleh dilihat daripada pelbagai sudut.
Saya bermula (pada tahun enampuluhan) dengan puisi kerana
itulah yang terdaya pada zaman tiada mesin taip apalagi komputer. Setelah bertahun-tahun kemudian barulah
memiliki mesin taip dan mula menghasilkan cerpen.
Tentang proses dan pengalaman menghasilkan karya kreatif telah
saya bicarakan di dalam tiga buah buku sebelum ini. Buku-buku itu tidaklah
tebal dan setiap satu membicarakan perkara atau aspek yang berbeza dan pada
keseluruhannya menyebut karya-karya yang
berlainan. Tiga buah buku tersebut ialah
1-
Memoir
Zurinah Hassan Menjejak Puisi
(Penerbit UKM, 2003, cetakan ke 3, 2015), membicarakan peringkat awal menulis, sumber
inspirasi, apakah tema puisi-puisi awal, perlambangan-perlambangan yang
digunakan dan sebagainya.
2-
Catatan Perjalanan Seni (ITBM
2013, cetakan ke2 2014), membicarakan penciptaan puisi berdasarkan cerita
sejarah, lagenda dan cerita-cerita rakyat, Buku ini juga memuatkan
tulisan-tulisan sarjana mengenai kepengarangan saya, Mereka ialah SN Muhammad
Haji Salleh (Zurinah Hassan sebagai Pentafsir Waktu dan Peristiwa), SN Shahnon
Ahmad (Sajak-sajak Awal Zurinah Hassan),Rahimah Haji Abdul Hamid (Zurinah
Hassan: Takah-takah Perpusian Menuju Puncak) Suzana Muhammad (Pendekatan
Feminisme Puisi-puisi Terpilih Zurinah Hassan)
3-
A Journey Through Prose and Poetry (terbitan bersama DBP dan IIUM 2018). Sebahagian
besar buku ini ialah tentang masalah menjadi penulis wanita dalam latar sosio
budaya di mana Pengarang membesar dan
berkarya. Buku ini ditulis dalam BI. Terdapat lima buah cerpen tentang wanita
dan tentang masyarakat dan 15 buah puisi dalam dwi bahasa.
Tidak ada prosedur yang rigid yang perlu dipatuhi dalam menulis
atau mencipta karya sastera. Tetapi secara umum saya sedar saya melalui proses ini.
1- Menentukan ISI
2- Membina BENTUK gaya pengucapan, penggunaan bahasa
Menentukan
Isi bererti memastikan apa yang hendak ditulis. Sebelum menulis mesti
dipastikan apa yang hendak disampaikan. Membina bentuk adalah memikirkan cara
untuk menyampaikan isi. Alat untuk membina puisi ialah bahasa dan bahasa perlu
digunakan dengan cara yang sebaiknya dan sepadan denga isi yang hendak
diucapkan.
Seperti yang telah disebut di atas,
penghasilan karya sastera boleh dilihat daripada pelbagai sudut. Untuk tujuan
wacana ini saya memilih untuk memperkatakan tentang elemen atau komponen karya
kreatif seperti di bawah:
PEMIKIRAN
PERASAAN
REALITI
IMAGINASI
Elemen eleman ini ada di dalam
semua genre penulisan kreatif dalam kuantiti yang berbeza dari satu karya ke
satu karya. Bagi saya yang
teratas ialah Pemikiran kerana tujuan utama menghasilkan karya sastera
ialah untuk menyampaikan Pemikiran tentang Realiti kehidupan. Imaginasi
diperlukan bagi membangkitkan perasaan dan perasaan akan merangsang Pemikiran.
Elemen realiti, imaginasi, pemikiran
dan perasaan ini membezakan sebuah karya kreatif dari tulisan-tulisan dari
genre autobiografi, biografi atau
rencana. Secara ringkas boleh diletakkan seperti berikut:
KARYA KREATIF cerpen, novel, skrip
teater: mengandungi reality, imaginasi, pemikiran dan perasaan yang hampir
sama.
Autobiografi/biografi: reality,
pemikiran , perasaan (tiada imaginasi)
Rencana: Realiti, pemikiran (mungkin
sedikit perasaan ) tanpa imaginasi.
Unsur unsur
imaginasi atau rekaan lebih jelas dilihat dalam cerpen dan puisi naratif..
Dalam puisi naratif atau gaya bercerita Penyair mengemukakan sebuah cerita
untuk menyampaikan Isi atau pemikirannya. Isi diperolehi dari realiti dan isu
yang yang membuat penyair terasa dan berfikir.
Di sudut sebuah kota ternama
di belakang sebuah menara
yang terkenal di dunia
ditinggalkan sedikit kawasan
kawasan belas ihsan.
Seluruh kota telah diberitahu
tentang wujudnya kawasan itu
bukti amat nyata
keprihatinan pemilik kota
menyediakan kawasan itu
khas untuk warga tua
yang tidak dipedulikan anak cucu.
Antara yang terlantar di sana
adalah seorang tua bernama Bahasa
dia rajin bercerita kepada kawan-kawan sebaya
yang sama menumpang
menunggu hari petang.
Mengikut cerita orang tua
yang bernama Bahasa itu
dia punya ramai anak cucu
di seluruh alam Melayu
semasa muda dan gagah
dia menjaga mereka
memberi mereka ilmu
hingga menjadi bangsa
yang kuat dan berpadu
apakan daya mereka tidak menyayanginya
mereka menghantar dia ke situ
semakin pudar dan layu.
Pada suatu pagi
orang tua yang bernama Bahasa itu
menangis tersedu-sedu.
Kawan-kawan pun bertanya
dan dia bercerita
“Semalam aku bermimpi
terlalu dahsyat mimpi itu
aku bermimpi kampung halamanku
musnah dipukul ribut
aku melihat anak cucuku
terapung dan hanyut
mereka hanyut seperti kayu
yang tak kenal hujung pangkal
mereka hanyut seperti kayu
yang tak tahu usul asal
dibawa arus tak terkawal.
Aku sedih melihat mereka cuba menjerit
meminta tolong tetapi apabila mulut dibuka
mereka telah kehilangan suara.
( Salasilah: 175)
Dalam sajak ini, Bahasa
dilihat sebagai orang tua yang dibiarkan tidak dijaga oleh anak cucu. Dia
dihantar ke rumah orang orang tua. Rumah itu berada di belakang sebuah menara
yang terkenal di dunia, menunjukkan orang tua bernama bahasa itu berada di
sebuah negara yang mementingkan bangunan bangunan tinggi sebagai simbol
kemajuan.
Kawasan yang menempatkan
orang tua itu berada di belakang menara seolah-olah jelek dan perlu
disembunyikan. Pemerintah yang suka
bermuka-muka dan menunjuk-nunjuk mencanangkan kebaikan mereka menyediakan
tempat sedemikian semata-mata untuk mengelabui mata penduduk kota.
Maka duduklah orang tua
itu di situ. Dengan sifatnya yang memiliki kekayaan perkataan dan pengalaman,
dapatlah dia bercerita kepada kawan-kawan lain tentang kehidupannya pada masa
muda dahulu. Mengikut orang tua yang
bernama Bahasa itu dia punya ramai anak cucu di seluruh alam Melayu, Pada masa
dulu dia memainkan peranan yang penting, memberi ilmu dan menyatukan mereka
sehingga menjadi bangsa yang gagah. Malangnya anak cucu telah berubah. Mereka menyangka
diri mereka telah terlalu besar dan tidak memerlukan orang tua yang bernama Bahasa
itu lagi. Inilah sifat anak-anak yang
dikesali. Mereka tidak seperti bangsa-bangsa lain yang menghargai bahasa
mereka.
Apakah nasib dan
kesudahannya bangsa yang tidak menghargai bahasa mereka. Segalanya diperlihatkan melalui mimpi orang
tua bernama Bahasa itu. Dia bermimpi kampung halamannya musnah dipukul ribut
dan anak cucunya hanyut dibawa arus. Dia kasihan melihat mereka. Ketika mereka
cuba membuka mulut untuk meminta tolong, tiada suara yang keluar. Demikianlah dahsyatnya keadaan bangsa yang
tidak menjaga bahasa, mereka menjadi seperti tunggul kayu yang tidak berupaya
untuk menentukan hala tuju kehidupan mereka sendiri. Mereka seolah-olah
dikuasai oleh orang lain . Bangsa yang tidak menjaga bahasa tidak dapat
mengeluarkan pendapat seolah-olah telah kehilangan suara. Kehilangan suara bermakna kehilangan kuasa.
REALITI: Antara isu semasa ialah Isu Bahasa
Melayu. Hal ini sangat dekat dengan Penyair. Bahasa kita ibarat pemilik yang
disingkir daripada rumahnya sendiri.
Bahasa Melayu telah pun kukuh sejak zaman dahulu,
Tetapi pada masa ini golongan Pemimpin
dan mereka yang berjawatan tinggi akan berbahasa Inggeris bila diwawancara di
television contohnya dalam siaran Berita.
Barangkali kita hanya melihat dan
mendengar Bahasa Melayu dipertuturkan di television bila ada wawancara dengan
mangsa banjir, mangsa kebakaran, rakyat miskin dan sebagainya.
PEMIKIRAN dan REALITI: Mengajak pembaca berfikir Bagaimana
hal ini boleh terjadi sedangkan negara telah memperuntukkan tempat yang tinggi
sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan dengan kedudukan yang jelas dalam Perlembagaan
Persekutuan dalam Perkara 152. Selain itu ia diperkukuhkan melalui Akta Bahasa
Kebangsaan 1963/67 yang telah
memperuntukkan bahawa bahasa Melayu hendaklah digunakan sebagai perantaraan dalam semua urusan rasmi dan pentadbiran
negara.
Malangnya pada hari ini roh dan semangat Perkara
152 yang mendaulatkan Bahasa Melayu
tidak dihayati sepenuhnya dan seolah-olah sengaja dilupakan oleh rakyat.
Kita perlu terima kenyataan walaupun sudah lama merdeka namun masih
terdapat rakyat yang tidak fasih berbahasa Melayu.
Pada hari ini, masih ada yang malu untuk bercakap
dalam bahasa Melayu malah ada yang takut untuk berbahasa Melayu kalau-kalau
akan dianggap orang kampung yang tidak tahu berbahasa Inggeris. Sesungguhnya
kita tidak nafikan sama sekali kepentingan bahasa Inggeris namun tidak wajar
merendahkan bahasa sendiri
PEMIKIRAN: Kenapa perkara ini masih berlaku
sedangkan kuasa di tangan kita..
PERASAAN: Hal ini sangat dekat dengan Penyair dan
mengakibatkan perasaan yang mendalam. Perasaan sedih dibina melalui imej
seorang tua yang ditinggalkan dan tidak dipedulikan oleh anak cucu. Pada akhir
sajak digambarkan hujan ribut yang melanda dan anak cucu hanyut seperti
tunggul-tunggul kayu yang bergelimpangan dan tidak berdaya lagi. Mereka membuka mulut untuk menjerit
meminta tolong. Namun mereka sudah kehilangan suara. Kehilangan suara membawa
pengertian tidak dapat bersuara untuk memberi pandangan dan mempertahankan hak.
Kehilangan suara bererti kehilangan kuasa.
IMAGINASI:
Pemikiran/sajak disampaikan dalam bentuk cerita. Cerita yang direka adalah sepenuhnya
imaginasi atau rekaan iaitu watak orang tua, rumah orang-orang tua, rakan-rakan,
kisah bermimpi dan sebagainya.
Rintihan Taming Sari
Mengikut cerita yang sering diceritakan
Hang Tuah, pahlawan Melaka yang handal itu
telah mengalahkan Taming Sari pahlawan Majapahit
yang tidak pernah dikalahkan
selama ini.
Tetapi mengikut cerita yang tidak pernah diceritakan
pada malam sebelum perlawanan
Hang Tuah dan Taming Sari
telah berjumpa secara rahsia.
Maka bertangis-tangisanlah mereka
apalah malangnya kita berdua
diperintahkan bermain senjata
sedang kita tidak pernah berjumpa
apalagi bersengketa.
Berkatalah Taming Sari
telah kudengar tentang kehandalanmu, Tuah
kemungkinan aku akan mati di tanganmu
rajamu akan tersenyum girang
dan segala orang Melaka akan bersorak-sorak riang
ketika aku menggelupur kesakitan.
Sesungguhnya perlawanan esok hari
bukan antara kita berdua
tetapi antara dua orang raja
kita yang bernama pahlawan
diturunkan ke tengah gelanggang.
Kita yang bernama pahlawan
adalah haiwan perlagaan
peluh bersimbah terjelir lidah
akan terus berlawan
kerana nyawa kita
adalah barang permainan.
Yang kusedihkan
sejarah tidak menyesali pertikaman ini
dan, segala rakyat jelata
terus suka dan leka
menonton sengketa.
Sesungguhnya perlawanan esok hari
akan berulang lagi
selagi segala rakyat Melayu
tidak sedar-sedarkan diri.
REALITI
dan PEMIKIRAN: Dari pertikaman antara
Tuah dan Taming Sari dikemukakan pemikiran bahawa mereka tidak sepatutnya berlawan
malah sepatutnya berpakat untuk membina wilayah Nusantara yang lebih aman dan
sejahtera untuk rakyat dan bangsa. Pada zaman itu raja dilihat sangat kejam
kerana memaksa pahlawan-pahlawan bertarung di tengah gelanggang, semata-mata sebagai sumber hiburan bagi
mereka. Taming Sari dan Hang Tuah tidak ubah seperti haiwan perlagaan. Kedua
mereka adalah rakyat biasa yang menjadi mangsa dan dipermainkan oleh orang
atasan. Hal sebegini wujud sepanjang
zaman. Misalnya dalam situasi parti-parti politik bertelingkah, yang
lebih-lebih bergaduh ialah para pengikut sedangkan pemimpin atasan boleh duduk
semeja. Puisi ini adalah parodi atau interteks daripada kisah Hang Tuah melawan
Taming Sari semasa acara lawatan Raja Melaka ke Jawa.
IMAGINASI
dan PERASAAN: Saya berimaginasi bahawa Hang Tuah dan Taming Sari berjumpa pada malam
sebelum perlawanan. Hal ini tidak ada dalam cerita sebelum ini. Pertemuan sulit itu direka untuk membina unsur
PERASAAN bila Taming Sari menyatakan kedudukan mereka yang dijadikan haiwan
perlagaan, terjelir lidah bertumpah
darah. Taming Sari membayangkan dia akan menggelupur kesakitan dan kematiannya
menjadi bahan sorakan dan keseronokan kepada penonton serta kepuasan kepada
Raja Melaka. Imaginasi pertemuan ini direka supaya Taming Sari dapat
berkata-kata dengan Hang Tuah dan kata-kata tersebut merupakan PEMIKIRAN yang
sebenarnya mahu disampaikan di dalam puisi ini, iaitu kerugian yang akan
ditanggung oleh negara dan bangsa dari kecenderungan untuk berlawan sesama
sendiri serta sikap rakyat hingga ke hari ini yang menjadikan sengketa sebagai bahan tontonan dan keseronokan.
Seperti yang
disebut di atas, aspek Pemikiran merupakan elemen terpenting di dalam Puisi. Unsur
lain iaitu, realiti, imaginasi dan perasaan digaul dan diadun untuk mencapai
kemuncaknya iaitu menyampaikan Pemikiran dan mengajak pembaca berfikir. Yang
penting, Penyair menulis bagi mengemukakan pemikiran baharu yang masih belum
dikemukan sebelum ini. Saya tidak menulis jika tidak merasa adanya pemikiran
yang penting atau jika saya tahu bahawa apa yang mahu disampaikan itu sudah sering
diperkatakan melainkan sesuatu yang menjadi perjuangan bersama seperti isu
Bahasa Melayu.
Di dalam sajak
Rintihan Taming Sari saya bertujuan menceritakannya dari sudut yang berbeza
daripada apa yang dikemukakan oleh Sastera Sejarah yang mengagungkan kehandalan
Hang Tuah. Seterusnya saya menyentuh sebuah sajak berjudul Jujur Seorang Hamba.
Jujur Seorang Hamba
Pada suatu
malam yang celaka
Raja Ong Maha
Perita Daria
mengecap
kelazatan semangkuk bayam
dengan nikmat
yang luar biasa.
Setelah
mendengar cerita sebenar
dia pun ketawa
bergegar
ketawanya
menggila
dan, bermulalah
huru-hara.
Pada suatu pagi
yang amat hiba
Wan Anum yang
sarat mengandung
merayu belas
kasihan datuk penghulu
meminta seulas
nangka
yang sedang
dibawa menghadap raja.
Setelah melihat
nangka yang tercedera
raja terlalu
murka
dengan marah
tak terkawal
raja kehilangan
akal.
Dikoyaknya
perut isteri laksamana
hanya kerana
seulas nangka
dipancungnya
rakyat sesedap rasa
hanya untuk
menjamu selera.
Segalanya
mungkin tidak berlaku
jika tukang
masak itu
tahu
menyembunyikan rahsia
dan tidak
terlalu jujur
tentang darah
yang tercampur
ke dalam
mangkuk sayur.
Datuk penghulu
itu juga
boleh mencipta
seribu helah
tentang nangka
yang terbelah.
Tapi apakan
daya
kerana setia
yang tiada tara
mereka hanya
tahu berkata “ya”
kerana taat
yang tidak terhad
mereka
mengangguk dan menunduk
walau raja
sedang menjilat-jilat
semangkuk lazat
daripada darah rakyat.
Apa yang berlaku telah berlaku
kerana datuk penghulu
dan si tukang masak itu
adalah antara beribu-ribu
hamba Melayu.
(Salasilah, dbp 2006).
Sajak JUJUR SEORANG HAMBA. berdasarkan dua kisah yang terkenal
dalam sejarah dan sastera Melayu iaitu kisah Raja Bersiong dan kisah Sultan
Mahmud Mangkat Dijulang.
Pemikiran (general opinion). yang selalu dikaitkan dengan cerita
ini ialah kekejaman Sultan yang sanggup membunuh seorang wanita yang sedang
mengandung, kezaliman dan kegilaan raja yang membunuh rakyatnya untuk
mendapatkan darah sebagai penyedap makanan. Cerita nangka yang dimakan oleh Wan
Anum dan tukang masak yang terhiris jari adalah kisah yang diketahui ramai
dalam kisah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang dan cerita Raja Bersiung. Sejarah mengutuk Sultan yang sanggup membelah
perut wanita yang mengidam buah nangka Raja yang menjadi ganas memakan darah
rakyat.
Namun sajak ini tidak lagi berfokus kepada kekejaman tersebut
sebaliknya menarik perhatian kepada sikap Tok Penghulu dan tukang masak yang
terlalu jujur hingga memberitahu kejadian
yang sebenar. Ini adalah kisah kejujuran (kebodohan) dua orang hamba rakyat
sambil menyoal sejauh mana seseorang dapat memelihara integrity dalam sebuah
masyarakat feudal yang mendidiknya menjadi takut kepada raja. Dan makna ini
boleh diperluaskan kepada ketaksuban rakyat terhadap pemimpin sehingga sanggup
melihat rakyat lain menderita. Bukankah lebih
selamat jika tidak terlalu setia dan jujur kepada pihak yang kejam.
Saya menulis untuk
mengajak orang berfikir.Selain daripada saja-sajak di atas saya menulis Pesanan
Puteri Gunung Ledang kepada Sultan Mahmud untuk menyuarakan bahawa Puteri Gunung
Ledang adalah wanita malah manusia pertama yang berani menolak kemahuan raja.
Saya menulis Jebat yang Tidak Jadi Menderhaka untuk mengingatkan bahawa
andainya Jebat tidak menderhaka, Hang Tuah tidak akan dipanggil pulang ke
Melaka. Mungkin dia akan mati di hutan lalu dilupakan.
Cerita Dalam Cerita (ITBM,2014) lebih
merupakan puisi2 atau coretan tentang hal ehwal semasa. Kebanyakannya
berdasarkan kisah benar dan isu isu yang sedang hangat diperkatakan. Pada masa
ini saya melihat dunia dengan pelbagai masalah yang jelik hingga saya hilang mood
untuk menulis puisi yang indah-indah.
Sebuah
sajak dari Cerita Dalam Cerita
bertajuk “Pelakon Terbaik Kami”. Biasanya kita berkata seorang pelakon menjadi
orang lain semasa berada di atas pentas dan menjadi dirinya sendiri bila tidak
berlakon. Tetapi sajak ini mencanggah pandangan umum tersebut. Situasi baru ini
ialah ada pelakon yang merasa bebas menjadi dirinya sendiri semasa berada di
pentas. Di pentas dia melakonkan watak yang melontar kritikan dan bantahan terhadap
pemerintah. Bia tidak berlakon dia terpaksa mengawal kata-kata dan menjadi
sopan santun. Baginya inilah sebenarnya lakonan. Dia terpaksa berlakon sebagai
individu yang akur dan berpura-pura setuju dengan apa yang tidak disukai .
PELAKON TERBAIK KAMI.
Dia terpilih sebagai Pelakon terbaik
Dan kami cukup puas hati
setiap kali dia
beraksi.
Antara lain yang paling kukenang
Dia melakonkan watak pawang
Dengan getar suara membaca mantera
Begitu lantang menghalau hantu jembalang
“Hey jin kepala
tujuh
Jin bernama Jin khianat
Keluarlah kamu dari jasad rakyat
Anak cucuku sudah lama sakit tenat
Sudah lama melarat
Hey hantu segala hantu
Hantu pembelit hantu penipu
Jangan ganggu anak
cucuku
Sehingga mereka lari ketakutan
Ke pinggir pinggir hutan
Tinggallah kamu dan para kroni
Menguasai kota ini.
Aku pernah bertanya dia
Sungguh hebat kau berlakon
Semua penonton terpegun
Bagaimana kau menjadi
pawang
Bengis dan garang
Menghentak dan menendang
sangat berlainan
dari dirimu
Yang sopan dan pendiam
Dia hanya tersenyum menjawab
Seperti biasa kata-katanya cukup terhad
yang kau lihat di pentas itu
Sebenarnya adalah
aku
Di luar pentas aku adalah pelakon.
Yang menelan
kemarahan
Menjadi sopan santun
Kerana di luar pentas
lebih ramai penonton
Di atas pentas aku bebas beraksi
Sebagai diri sendiri
Sebaik turun
Akupun mula berlakon.
CERPEN
Cerpen pada umumnya
diertikan sebagai cerita rekaan yang pendek. Pendek maksudnya tidak panjang
seperti novel. Cerpen mengandungi cerita tetapi yang penting dalam cerpen bukan
ceritanya. Empat unsur yang disebut tadi iaitu, PEMIKIRAN, PERASAAN, IMAGINASI
dan REALITI wujud di dalam cerpen. Aspek imaginasi adalah lebih ketara atau
lebih besar daripada puisi kerana Cerpen memerlukan sebuah cerita yang biasanya
adalah rekaan. Pemikiran dan reality boleh juga dianggap sebagai isu yang
diketengahkan.
Pada kesempatan ini saya
fokus kepada dua cerpen iaitu Tangisan
Peragut (Murka Lautan, ITBM 2016)
dan Pujangga Negara (Menjelang Pemilihan, Dbp 2004)
Cerita atau Imaginasi di
dalam Tangisan Peragut ialah Asrul, seorang anak muda yang dihimpit kemiskinan
lalu menjadi peragut untuk hidup. Pada suatu malam ketika meragut, dia
ditangkap dan dibelasah oleh jiran-jiran mangsanya. Peragut dibawa ke pengadilan
dan di sini dia menatap wajah mangsanya dari dekat. Alangkah terkejut bila
melihat wajah wanita itu menyerupai wajah ibunya. Wajah itu mengembalikan kenangan yang menyayat
perasaan.
.Dari aspek Realiti, kejadian
ragut menjadi-jadi pada masa ini. Kita membaca di akhbar kisah seorang wanita
mangsa ragut yang cedera malah ada yang meninggal dunia. Masyarakat sangat marah kepada peragut. Dari aspek
Pemikiran, dikemukakan pandangan bahawa kejadian ragut berlaku akibat kemorosotan
ekonomi. Anak-anak muda berkeliaran tanpa pekerjaan dan pendapatan. .Ada yang
menyalahkan pemimpin yang rasuah,
melenyapkan duit rakyat dan tidak
menguruskan negara dengan betul.
Ingin mengajak pembaca
berfikir tentang keadaan ekonomi negara, mengajak pemimpin agar insaf dan
memperbaiki keadaan.
Antara gambaran Realiti dan
Pemikiran yang kemukakan di dalam cerpen ini:.
“Kak mesti cakap dengan abang Aziz, kerajaan
patut tutup kedai-kedai macam tu , merosakkan rakyat saja”. Zaidah memberi pandangan kerana abang iparnya
ada jawatan penting dalam Majlis Bandaraya..
Saya nak balik cepat. Kak tahulah jalan ke
rumah saya agak gelap tak ada lampu. Hmm, maklum jalan masuk ke kawasan orang miskin.
Kakak cakaplah dengan abang Aziz, minta tolong dia usahakan pasang lampu sikit.
Kesian anak-anak kami balik tusyen malam-malam. Sekarang ni macam-macam kejadian
jenayah. Orang jahat semakin ramai”.
Asrul bukan bodoh. Dia banyak membaca
lebih lebih lagi ketika menjadi penyunting di syarikat penerbitan dahulu. Dia
pernah membaca kisah Skandal BMF dan misteri kehilangan wang yang dianggarkan
52 bilion. Dia tahu kisah seorang juruaudit yang ditemui terbunuh di dusun
pisang di Hong Kong pada bulan Julai 1983 ketika dia baru lahir ke dunia.
Dia dan kawan-kawannya selalu mengumpat
pemimpin yang hidup bermewah-
mewah dan membazir wang rakyat. Bagi
mereka inilah punca jenayah meningkat.
Ketika disoal siasat oleh polis dia
berkata kepada polis, “Encik, saya meragut pun tidak seberapa. Mengapa polis
tidak tangkap dan siasat orang yang melarikan berjuta-juta wang negara”.
“Encik jangan anggap orang yang merompak
tidak pandai dan orang pandai tidak merompak”.
Ceritanya, iaitu aspek
imaginasinya ialah ada seorang anak muda kampung bernama Awang Budiman yang
sangat berbakat dalam bidang penulisan (puisi). Dia digambarkan sebagai sangat
tekun menulis dan rajin menghadiri majlis-majlis bacaan puisi. Cita-citanya ialah
untuk mencapai status sebagai Pujangga Negara yang merupakan satu pengiktirafan dan lantikan
ke satu jawatan yang tertinggi dalam bidang penulisan. Jawatan itu dihadkan kepada tiga orang
pengarang yang masih hidup. Setelah berusaha bertahun-tahun, cita-cita Awang
Budiman pun tercapai. Dia dilantik dan diberikan sebuah rumah yang cantik di kawasan
yang terpilih berdekatan istana raja.
Maka bermulalah
tanggungjawabnya sebagai Pujangga Negara dan bermulalah konflik jiwa . Sebagai Pujangga Negara Awang mesti
menulis memuji-muji pemerintah Namun bila
dia tinggal di tengah kota dan ditengah pembesar-pembesar dia melihat sendiri
segala kemungkaran yang berlaku.
Dari budak kampung yang miskin dia menjadi salah seorang anggota
pemerintah. Justeru apa yang beliau fikirkan mestilah sama dan selaras dengan
kehendak pemerintah. Awang telah beroleh kemewahan dan kedudukan tetapi dia
merasa dia telah hilang kebebasan. Perkara ini dapat dilihat dalam percakapan
Awang dengan datuknya yang bijaksana. Percakapan atau perbualan dan
cerita-cerita Awang adalah unsur-unsur
imaginasi yang bertujuan untuk menyampaikan realiti.
“Saya
berasa bahagia hinggalah pada satu hari, saya berada di istana untuk menyambut
kepulangan pahlawan-pahlawan Pura Cendana dari medan perang. Pahlawan-pahlawan
itu membawa pulang harta rampasan perang iaitu emas, intan sebanyak 10
tempayan. Saya melihat lima tempayan diserahkan kepada maharaja sebagai haknya
yang mutlak. Satu tempayan penuh diserahkan kepada perdana menteri sebagai
hadiah. Tiga tempayan lagi dibahagi-bahagikan antara 10 orang pembesar-pembesar
negeri yang tinggal di kawasan istana itu dan panglima-panglima besar. Yang
tinggal hanya satu tempayan lagi. Separuh daripada isi tempayan ini dibahagikan
kepada pahlawan-pahlawan yang bermati-matian berperang hingga membawa kemenangan.
Yang tinggal separuh tempayan itulah yang dimasukkan ke dalam khazanah negara.
Dan itu pun saya lihat banyak yang dicuri masuk ke dalam uncang
pengawal-pengawal khazanah negara itu. Hanya beberapa genggam sahaja daripada
emas itu digunakan untuk membeli barang-barang makanan dan serba sedikit hadiah
untuk rakyat. Maharaja pun berangkat ke kampung-kampung untuk menyampaikan
hadiah-hadiah ini. Saya melihat rakyat melutut, menyembah dan menjunjung
kurniaan maharaja. Saya berasa amat sedih melihat semua ini. Dan ... saya mesti
mengarang dan melagukan puji-pujian terhadap pemerintah yang kononnya adil dan
amat kasih akan rakyat. Pedihnya hati saya berbuat demikian bila saya sendiri
melihat harta negara tidak diagihkan secara saksama. Kekayaan itu diberikan
kepada pembesar, kepada menteri-menteri, anak-anak dan menantu-menantu menteri.
Ah ... saya berasa sungguh berdosa.”
Awang
benci kepada kepura-puraan yang berlaku di kalangan pemimpin “Setiap kali ada
upacara rasmi, saya akan bergurindam. Akan adalah pembesar-pembesar yang mahu
menawarkan pelbagai hadiah kepada saya supaya saya memasukkan puji-pujian
terhadap mereka dalam puisi-puisi saya. Hal seperti ini sungguh mengganggu
fikiran dan ciptaan saya kerana saya sudah tahu siapa mereka yang sebenarnya.
Walaupun ada pujangga yang mengambil jalan mudah atau mengambil kesempatan
menerima sogokan daripada pembesar-pembesar itu, tetapi saya tidak dapat
berbuat demikian.”
“Oleh
kerana negeri kita ini aman dan damai, ramailah pedagang-pedagang luar yang
mahu mencari kekayaan di sini. Mereka menghadap maharaja dan pembesar-pembesar,
meminta izin mendirikan kedai-kedai yang besar. Mereka meminta izin untuk
membuka ladang. Maharaja dan pembesar tidak keberatan memberikan izin kerana
pedagang-pedagang itu telah memberikan beruncang-uncang emas kepada mereka.
Nah, sekarang tuk lihat negeri kita ini penuh dengan pedagang-pedagang luar.
Bahkan maharaja sanggup meminta rakyat menyerahkan tanah mereka kepada kerajaan
untuk diberikan kepada pedagang-pedagang itu. Lama-kelamaan negeri ini akan
terjual kepada orang asing. Maharaja dan pembesar-pembesar itulah yang menjual
negeri ini. Dan saya ... diminta pula bersyair tentang mengapa rakyat wajar
menyerahkan tanah mereka kepada maharaja.”
“Ciptaan
saya adalah apa yang benar-benar saya rasa dan fikirkan. Saya tidak dapat
menulis tentang apa yang tidak saya rasai.”
“Awang, Tuk faham benar apa yang kaurasakan
sekarang. Kau telah kehilangan kemerdekaan berfikir sedangkan sebesar-besar dan
semulia-mulia kurniaan Allah kepada manusia adalah akal fikirannya. Kalau
manusia telah disekat daripada berfikir, apakah gunanya dia menjadi manusia?”
“Benar,
Allah menjadikan manusia sebagai sebaik-baik kejadian dan umat Muhammad sebagai
sebaik-baik umat. Manusia mencapai martabat yang tinggi bila dia memiliki
kebebasan iaitu kebebasan kemahuan yang dikatakan iradat, kebebasan menyatakan
fikiran dan kebebasan jiwa daripada keraguan. Kebebasan ini tercapai selama
manusia hidup berpandu atau bertunjangkan iman kepada Allah. Tetapi manusia sendiri
yang telah mencipta berbagai-bagai belenggu dalam kehidupan mereka. Belenggu
itu wujud bila manusia bertuankan wang ringgit atau harta benda atau apa sahaja
yang lain daripada Allah. Tuk sudah mengagak perkara ini akan berlaku.
Sepatutnya kau telah memahami bahawa bila kau menerima jawatan di istana, kau
akan menjadi milik raja dan kerajaannya. Atuk tahu, semasa menerima jawatan itu
kau telah melafazkan ikrar untuk mencurahkan taat setia yang tidak berbalah
bahagi dan untuk menyimpan rahsia kerajaan. Kalau kau bercerita tentang
kemungkaran yang kaulihat, kau boleh dituduh membocorkan rahsia kerajaan dan
boleh ditahan tanpa sebarang pengadilan. Kau tidak lagi memiliki diri sendiri.
Kebebasanmu akan hilang. Itulah harga yang kaubayar sebagai anggota kerajaan.”
“Tuk, saya telah beroleh kemewahan dan
kedudukan. Tetapi saya telah hilang kebebasan. Sedangkan kebebasan itulah yang
paling saya hargai. Ciptaan saya adalah apa yang benar-benar saya rasa dan
fikirkan. Saya tidak dapat menulis tentang apa yang tidak saya rasai.”
Kisah Awang ini tentulah imaginasi semata-mata, Tetapi segala yang
mengganggu kreativiti dan mencabar integriti Awang adalah hal-hal yang real
berlaku di hadapan kita.malah pada kita sendiri.
KESIMPULAN.
Karya-karya kreatif boleh dibicarakan
daripada pelbagai pendekatan atau teori, begitu juga proses penghasilannya
boleh dilihat daripada pelbagai sudut. Nilai sastera pada sebuah karya terletak
pada keindahan bahasa dan pemikiran dan isu yang relevan dengan kehidupan dan
kemanusiaan. Proses kreatif adalah proses mengadun imaginasi dan
realiti untuk menggegar emosi lalu merangsang pemikiran melalui karya
yang bermanfaat kepada kehidupan. .
No comments:
Post a Comment