Wednesday, October 08, 2014
Tuesday, October 07, 2014
saya ada menjalankan sedikit kajian tentang penglibatan wanita dalam penulisan puisi. Berikut ialah rencana yang pernah disiarkan dlm Dewan Sastera awal 2014.
WANITA TAMAN PUISI
Oleh Zurinah Hassan
Tulisan
ini menyingkap penglibatan penyair wanita di dalam lapangan puisi tanah air.
Tumpuan rencana ialah kepada penyair wanita yang lahir dan berkarya selepas
tahun 1990han hingga ke tahun 2013 dengan tujuan mengemaskini maklumat yang
ada.
Catatan
terawal puisi yang ditulis oleh wanita ialah sebuah sajak Hasnah Brahim dalam Lidah Benar, 22 April 1930. (Lim Swee Tin,2002:117). Seterusnya pada
tahun 1936 seorang penyair wanita yang bernama Zainun Nasir menyiarkan puisinya
yang bertajuk “Perempuan Mesti Bangun” dalam majalah Al-Hikmah, 7 Mei 1936. Setelah itu nama-nama yang dapat dikesan
ialah Perawan Kampung dengan sajak “Bunga Terpedaya” (Warta Ahad, 3 Mac 1940),
Kalthum Awang dan Wok Jamilah.
Kehadiran
penyair wanita lebih dirasai selepas zaman pendudukan Jepun dan selepas era
Malayan Union dengan kemunculan sajak-sajak yang ditulis oleh Mariam Abdul
Ghani, Fatimah Othman, Wanita Kampung, Hafsah Perak, Siti Aishah, Kamariah
Johor dan Normah Kamarudin. Nama yang penting seterusnya ialah Ibu Zain, Salmi
Manja. diikuti oleh Anis Sabirin.
Salmi Manja dan Anis Sabirin
muncul sebagai penyair wanita yang aktif
berkarya seiring dengan pengarang-pengarang ASAS 50. Puisi-puisi Salmi
Manja dan Anis Sabirin turut dimuatkan di dalam antologi Puisi Baharu Melayu (1942-1960) selenggaraan Ali Haji Ahmad, 1966,
bersama penyair-penyair yang dianggap penting pada masa itu termasuk Masuri
S.N., Tongkat Warrant, A.Samad Said, Noor S.I., M.Ghazali, A.S.Amin, Kassim
Ahmad, Suhaimi Haji Muhammad, Nahmar Jamil dan Jihati Abadi.
Pada pertengahan tahun enam
puluhan taman puisi diserikan oleh sederetan nama-nama seperti Maimoonah Haji Omar, Rahimah M.Y,
Noraini Shahrin, Azizah Shahrin, Halimah Haji Ahmad, Aina M, Maznah Ali.
Nama-nama ini sering menghiasi ruangan
puisi akhbar-akhbar mingguan seperti Utusan Zaman, Mingguan Malaysia
dan Berita Minggu dan majalah-majalah bulanan seperti Mastika dan
Dewan Masyarakat.
Namun
begitu karya penyair-penyair wanita ini boleh dikatakan kurang mendapat perhatian. Hampir tidak ada rencana, kritikan,
resensi atau esei yang mengkaji secara mendalam hasil karya penyair wanita
lebih lebih lagi di majalah atau jurnal yang berprestij seperti Dewan Bahasa. Pengkaji dan pengkritik
puisi lebih menumpukan perhatian kepada penyair-penyair
lelaki seperti Usman Awang, A. Latiff Mohidin atau A. Samad Said. Kalau ada pun nama penulis wanita disebut
ialah di dalam rencana-rencana yang
lebih bersifat popular (malah hampir berunsur sensasi ) menyentuh
perkara-perkara di luar karya itu sendiri. Segala pandangan itu boleh
dirumuskan sebagai berikut:
1. Karya
penulis wanita tidak setanding atau kurang bermutu jika dibandingkan dengan
penulis lelaki.
2. Penulis-penulis
wanita tidak kekal lama, mereka akan hilang setelah berumah tangga.
3. Penulis
wanita tidak menulis tentang isu-isu yang penting atau isu-isu dunia dan
kemasyarakatan. Tulisan mereka hanya berlegar di sekitar hal-hal rumah tangga
(membuktikan bahawa isu rumah tangga dianggap perkara yang remeh temeh)
Public
opinion (Pendapat umum) tentang kerendahan mutu
karya-karya penulis wanita mula berubah pada awal tahun 1970-an. Perubahan ini
dibawa oleh Hadiah Sastera Malaysia yang mula diwujudkan pada tahun 1971. Dunia
sastera seolah-olah terkejut apabila beberapa orang penulis wanita tersenarai
sebagai pemenang. Ini membuka mata bahawa penulis wanita tidak boleh dipandang
ringan.
Penyair wanita dan karya
yang menang pada tahun 1971 iaitu tahun pertama Hadiah Sastera Malaysia
diwujudkan ialah Halimah Haji Ahmad (Di Kamar Sewaan), Nor Aini Muhammad
(Mengerti), Hanum Ain (Bujang Tua), Aina
M (Entah Mengapa), Zurinah Hassan (1971 dan Bahawa Aku Pernah Hidup) . Tahun 1972
menyaksikan kemanangan Zanariah W.A.Rahman melalui sajak Gunung Payung Nama Lagunya
dan pada tahun 1973, Zaihasra muncul dengan sajak Lautan Di Waktu Subuh.
Sejak itu karya karya
penyair wanita mula dibicarakan dengan lebih mendalam, terutama karya yang
memenangi Hadiah Sastera. Misalnya, Abdullah
Tahir mengulas sajak ‘Mengerti’ karya Nor Aini Muhammad. Mengikut Abdullah
Tahir (1977: 73) “ada usaha penyair menggunakan atau menterapkan suatu filsafat
baru dalam sajak ini” Baris-baris puisinya harus direnung dan diteliti untuk
menghayati pemikirannya yang tajam.
Lelaki itu
Adalah kekasih yang paling kau kasihi
Adalah musuh yang paling kau benci.
Pada
tahun 1982, Dewan Bahasa dan Pustaka (dbp) memberi penghargaan dengan
menerbitkan sebuah kumpulan khas sajak-sajak penyair wanita. Antologi yang
dimaksudkan ialah Kembang Melati yang diselenggarakan oleh Suhaimi Haji Muhamad
dan Pyan Husein. Ia memuatkan karya tujuh orang penyair wanita iaitu Salmi
Manja, Anis Sabirin, Maimoonah Haji
Omar, Zurinah Hassan, Nor Aini Muhammad, Siti Zainon Ismail dan Zaihasra. Kembang
Melati merupakan satu-satunya kumpulan puisi penyair wanita yang pernah
diterbitkan oleh dbp. Selepas itu terbit kumpulan Mustika
Diri (dbp 1994) kelolaan Ahmad Kamal
Abdullah dan Siti Aisah Murad. Walau bagaimanapun Mustika Diri tidak terhad kepada puisi. Ia melibatkan penulisan
dalam semua genre iaitui puisi, cerpen, drama dan esei sastera. Penulis puisi
wanita dan bilangan sajak yang terdapat di dalam Mustika Diri ialah Habsah
Hassan (6), Hasnah Ibrahim,(3), Khadijah Hashim, (1), Mahaya Mohd Yassin (10),
Maimon Rahman ( 2), Mariam Omar (3),
Maznah Ali (4),Norzeha Kasbi (6), Radziah M.Zin (3), Ratnawati Jamil ( 3),
Rogayah A.Hamid (2), Sairah Haji Antin (2), Salmi Manja (3), Salmiah Ismail ( 2),
Siti Zainon Ismail (2), Siti Zaleha M.Hashim (5), Sitti Hadiah Haji Abd Mutalib
(20, Zaiton Ajamain (6), Zakiah Bahari (2), Zanariah Wan Abdul Rahmadn (2),
Zurinah Hassan (5).
Malangnya,
selepas Kembang Melati tidak ada lagi
usaha yang dijalankan untuk
menerbit antologi puisi wanita sedangkan
terdapat antologi yang menghimpunkan cerpen dari penulis wanita iaitu Hawa, dbp, 1984. dan Bunga Gunung, Berita
Publishing,1982.
Setakat
ini enam orang penulis wanita telah diangkat untuk menerima SEA Write Award
Tetapi hanya Siti Zainon dan Zurinah Hassan menerima untuk penulisan puisi.
Yang lain, iaitu Adibah Amin, Zaharah Nawawi, Khadijah Hashim, Azmah Nordin
adalah penulis novel dan cerpen.
Penyair Wanita Generasi Baru
Bagaimana kedudukan wanita
di dalam taman puisi pada tahun tahun terakhir ini?. Seperti yang dapat dilihat beberapa nama yang mengisi Kembang Melati dan Mustika Diri sudah lenyap atau jarang ditemui lagi di persada puisi
tanah air. Akhir akhir ini telah timbul persoalan tentang kurangnya wanita yang menulis puisi atau
menjadikan puisi sebagai genrenya yang utama. Persoalan itu menjadi topik
perbincangan di dalam beberapa forum. Akhbar
Berita Harian, 12 Mach 2013 membicarakan isu bahawa wanita tidak lagi menulis puisi.di
dalam rencana berjudul “Wanita dan Puisi”.
Mengikut rencana tersebut tidak ada
lagi nama wanita yang serius menulis puisi selepas tahun 2000., Katanya, ''genre puisi
seolah-olah tidak mempunyai daya tarikan berbanding novel. tidak sekuat tahun
70-an yang melahirkan Zurinah Hassan,Siti Zainon Ismail dan Allahyarhamah
Zaihasra. Kebanyakan kertas kerja juga tidak
menyebut kehadiran penyair
wanita,berbanding penulis wanita yang menulis dalam genre cerpen dan novel''.
Mengikut
rencana itu lagi, kekurangan ini, antara lain, disebabkan wanita lebih
cenderung untuk menulis novel terutama novel remaja dan popular yang mendatangkan pendapatan lumayan. Mengikut laporan Berita Harian, 3 Februari
2011, pengarang wanita terutama pengarang angkatan baru mendominasi novel remaja dan novel popular .
Puisi adalah satu lapangan yang tidak memberi faedah kewangan. Semakin kurang
orang yang mahu bersungguh-sungguh di dalam puisi. Jika demikian bagaimanakah masa depan puisi
itu sendiri? Hal ini agak membimbangkan kerana tiada pelapis yang meneruskan
kesinambungan penulisan puisi,
Tiadakah
lagi penyair wanita yang menjadikan puisi sebagai tulisan utama mereka selepas Siti
Zainon, Zurinah Hassan, Zaihasra, Zaiton Ajmain, Salmiah Ismail dan Siti Zaleha
M Hashim. Kali terakhir situasi ini
diberi tumpuan ialah pada Hari Puisi Nasional, ke 14, anjuran Gapena yang
berlangsung di Seremban , 1999, yang bertemakan “Puisi, Kewanitaan dan Alaf
Baru”. Antara kertaskerja yang dibentang
ialah “Penyair penyair Wanita Malaysia” oleh Rahman Shaari dan “Penyair Wanita
Generasi Baru” oleh Lim Swee Tin. Lim Swee
Tin memberikan nama-nama penyair wanita baru dan mengangkat beberapa nama termasuk Raihani
Mohamed Saaid sebagai penyair wanita yang berpotensi.
Daripada
rekod dan maklumat yang diperolehi terdapat beberapa penyair wanita yang telah muncul pada tahun
tahun 1980han, 1990han dan selepas tahun
2000 walaupun sebahagian besar daripada mereka
tidak begitu aktif menulis. Nama-nama yang dapat dikumpul ialah:
1980-han
Amaruzati
Noor Rahim
Asmira
Suhadis
Anismas
AR
Haryatie
Ab.Rahman
Rafflesia
Darlina
Norazimah
Abu Bakar
Rosmiaty
Shaari
Rositah
Ibrahim hsku 2011.
Rosnani
Ahmad
Rosani
Hiplee
1990-han
Azridah
Ps Abadi
Hazama
Harun
Kathirina
Susanna Tati
Norgadis
Labuan
Aflieza
Arshad
Raihani
Mohd.Saaid.
Nor
Zaiton Hanafi
Zaiton
Ahmad
Shasha
Shakierah
Zaleha
Ahmat
Selepas tahun 2000
Dayana
Chacooo
Raja
Rajeswari Seetha Raman
Dayangku
Mastura
Hani
Salwa
Nissa’Yusof
Ainunl
Muaiyanah Sulaiman.
Rabiatul
Adawiyah Abdul Samad
Teratai
Abadi
Penglibatan
wanita di bidang puisi dapat ditinjau dengan melihat beberapa aspek iaitu
Penerbitan antologi perseorangan serta hadiah dan anugerah penulisan yang telah
dimenangi.
Antologi Perseorangan
Di
dalam rekod yang ada, antologi perseorangan penyair wanita tidak terbit
sehingga 1974, iaitu Sesayup Jalan
(Zurinah Hassan). Anis Sabirin yang muncul
lebih awal tidak menerbitkan antologi sajak walaupun telah muncul dengan
antologi cerpen Dari Bayang ke Bayang
(1966), manakala Salmi Manja lebih terkenal dengan beberapa buah novel. Antara
antologi puisi penyair wanita Malaysia yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan
Pustaka nya ialah Nyanyian Malam(Siti
Zainon Ismail, dbp 1996), Bagai
Layang-layang (Zaiton Ajamain,dbp 1990), Dalam Pelarian I (Zaihasra, dbp 1977, Kepada Sahabat (Salmiah Ismail dbp 1993), Perjalanan Mencari Kekasih, (Nor Aini Muhammad dbp 1997), Suara Hati (Mahaya Mohd Yassin, dbp
1993),
Antologi Perseorangan Selepas
tahun 2000 (tidak mengambil
kira antologi puisi kanak-kanak dan remaja)
1.
Siti
Zaleha M Hashim, Kristal di Laut Bulan. Hadiah kategori buku.2006/2007
2.
Rosani
Hiplee, Sari Rahsia Terindah, dbp 2007 ,
3.
Rosani
Hiplee, Cinta Perempuan yang Cantik, dbp 2011,
4. Rosmiaty Shaari, Dari
Hitam Putih Menjadi Zarah, Iman Creative, KL 2011.
5. Raihani Mohd Saaid, Terminus A Quo, Rumah Buku Rania,2011.
6. Siti Zaleha M. Hashim, Kapal Kertas Dan Lautan Api , ITBM 2012
7. Ida Munira Abu Bakar, Kumpulan Puisi Cenderahati Kasih.ITBM 2013
8. Rositah Ibrahim, Bunga Di Atas Meja ITBM 2013
9.
Noor Ainna Abd. Hamid , Syair
Puteri, ITBM 2013
10. Norjana Mohd Adnan, Mahagar , ITBM ITBM 2013
11. Rosmiaty Shaari Kembali Kepada Fitrah ITBM 2013
12. Ramlah Bt Abd Rasid Perahu ITBM 2012
13. Raihani Mohd Saaid, Sidang Kultus, ITBM 2013
14. Hani Salwah Bt Yaakup, Tentang Pertanyaan ITBM 2013
Hadiah dan Anugerah
Kedudukan
penyair wanita juga boleh diukur daripada hadiah atau anugerah yang diterima di bidang
penulisan. Hadiah paling berprestij (selepas Anugerah Sastera Negara) ialah Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM). Hadiah
yang juga menjadi impian penulis ialah Hadiah Sastera Kumpulan Utusan. Di
samping itu dunia sastera turut diwarnai oleh hadiah-hadiah negeri, yang paling
aktif ialah Johor (Hadiah Sastera Darul Takzim), Sabah (Hadiah Sastera Sabah
dan Terengganu (Hadiah Sastera Darul Iman). Malangnya tidak ada negeri2 lain
yang menganjurkan anugerah secara konsisten.
Hadiah Sastera Perdana
Malaysia (HSPM).
Dari
senarai panjang pemenang-pemenang HSPM sejak tahun 2000 terdapat pencapaian
wanita yang membanggakan.
1. Hadiah
Kategori Buku:
Siti
Zaleha M Hashim, Kristal di Laut Bulan. Hadiah kategori buku.2006/2007
Hadiah Puisi Eceran
2. Mahaya Mohd Yassin “Jati Diri"
2000-2001.
3.
Raihani
Mohd Saaid, “Malam Terakhir Nadim”,
2002/2005
4.
Siti Zainon
Ismail “Cebisan Nota
Akhir Laila, Malam Tanpa Bulan di Bukit Gombak”,
2004/2005
5.
Raihani
Mohd Saaid “Selepas Menonton Puteri Gunung Ledang”, 2004/2005
6.
Zaiton
Ajamain “Catatan Panjang Tentang Suami Skizo Dan Wanita Skizofernik”, 2006/2007.
7.
Raja Rajeswari Seetha Raman, 2006-2007.
8.
Mahaya Mohd Yassin "Wanita dan
Laut" 2006-2007.
9.
Raihani
Mohd Saaid “Negeri itu Antonius” 2008/2009
10. Rosani Hiplee, “Perempuan Cahaya” 2008/2009
11. Raihani Mohd Saaid
“ Pidato Itu Brutus” 2012
12. Ainunl
Muaiyanah Sulaiman “Mimipi dari Sebuah Lukisan Ilusi”
Hadiah Sastera Kumpulan
Utusan.
Selain
HSPM terdapat Hadiah Sastera Kumpulan Utusan yang meriah dengan kemenangan
wanita di bidang novel remaja dan cerpen. Sesekali terdapat nama-nama wanita
yang meraih hadiah di bidang puisi. Mereka termasuklah Raihani Mohd Saaid
dengan puisi “Sajak Anum Kepada Jebat” 2007, dan “Terminus A Quo, 2011. Di samping
itu nama yang membanggakan ialah Rositah Ibrahim yang meraih HSKU 2011 melalui
sajaknya “Kembali ke Gema Dikir”,
KembalikeGemaDikir
Usia telah membawa
Kau kembali ke daerah
lama
Mencari
jejak-jejakpurba
Terhapus oleh jalar
kota
Menyirati desa.
Angin kampungmu telah
kehilangan
Irama masasilam
Kaurindu
Pada malam gempita
Oleh dikir laba
Berembun dini
Dipukau asyik
Pak yong
melentikjemari.
Usiatelahmengaliharah
Membawakaukedaerahpusaka
Rositah
Ibrahim
Hadiah Puisi Numera.
Rosmiaty
Shaari ‘Risalah Melayu” Hadiah Utama Numera 2014
Sayembara Menulis Novel,
Cerpen dan Puisi ITBM,
PENA,BERITA HARIAN
Tiga
puluh karya telah dipilih menerima hadiah. Di antaranya terdapat tiga kumpulan
puisi penyair wanita iaitu Tentang Tanya
oleh Hani Salwa, Sidang Kultus oleh
Raihani Mohd Saaid dan Perahu karya Ramlah
Abdul Rashid.
Selain
dari itu, satu sayembara yang wajar disebut di sini ialah Hadiah Puisi
Kebangsaan Esso-Gapena yang dianjurkan dalam usaha Gapena untuk mencari
sajak-sajak yang sesuai dibaca di dalam Sayembara Deklamasi Puisi Hari
Kebangsaan yang telah diadakan sejak tahun 1984.Sayembara tersebut turut
menyaksikan keunggulan penyair-penyair
wanita termasuk Amaruszati Noor Rahim yang muncul dengan sajaknya “Nazam
Kecintaan”’ Hasidah Disan (Di Wajahmu, Bonda), Jariah Taha (Di Tanah Merdeka
dan Pada Malam Kemenangan Ini), Raihani Mohd. Saaid (Istana Kemerdekaan dan
Kota Anak Generasi), Sairah Haji Antin (Epilog Sang Pemimpin).
Melihat
situasi penerbitan buku dan anugerah yang diadakan , maka bolehlah dirumuskan
bahawa terdapat beberapa orang penyair wanita generasi muda yang aktif dan
memperlihatkan potensi di dalam persada puisi tanah air. Beberapa orang yang
dapat dicatatkan di sini ialah:
.
Rosani Hiplee,
Anak kelahiran Kuching,
Sarawak. Penerima Hadiah Karyawan Harapan Negeri Sarawak tahun 2000, Hadiah
Penghargaan Penulis Sarawak tahun 1996 (puisi), 2007 (puisi) dan 2010 (puisi
& esei kritikan sastera), dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2009/2010
(puisi eceran).
Karya-karya beliau pernah
disiarkan di akhbar dan majalah tempatan dan nasional seperti Utusan Sarawak, Utusan Borneo, Berita
Minggu, Berita Harian, Dewan Siswa, Dewan Sastera, Tunas Cipta, Karya, Dewan
Bahasa, Dewan Budaya, Pelita Bahasa, Dewan Masyarakat, Tamadun Islam, Jendela
Sarawak dan penerbitan berkala lain malah banyak juga yang sudah
diantologikan.Sari Rahsia Terindah
(2006) dan Cinta Perempuan yang Cantik
(2011), merupakan dua buah kumpulan puisi beliau yang sudah diterbitkan oleh
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rosmiaty Shaari,
Rosmiaty telah
menerbitkan antologi perseorangan Kembali
Kepada Fitrah ITBM, 2013
Dari Hitamputih Menjadi Zarah, Iman Creative, KL 2011. Beliau memenangi Hadiah Utama Puisi Numera,
2014.. kumpulan Dari Hitamputih Menjadi
Zarah telah dilancarkan dan dibicarakan di Pusat Dokumentasi HB Jassin,
Hani Salwah Yaakup
Hani Salwah adalah mantan Minggu Penulis Remaja (MPR)
2001 anjuran Dewan Bahasa & Pustaka (DBP). Mula menulis dalam genre cerpen.
Karya beliau pernah disiarkan di dalam antologi Tunas Karyawan 3, Edusystem Sdn Bhd, Antologi 12!, Kelab Alumni MPR, Antologi Gema Membelah Gema, BAHASA Sabah, Karyawan 2011, Persatuan Penulis Nasional (PENA), Tunas Cipta, Mingguan Malaysia dan Berita
Minggu. Berpengalaman menulis lirik, puisi, artikel, skrip untuk rancangan
radio.
AINUNL MUAIYANAH
SULAIMAN
Karya beliau seperti cerpen dan
puisi pernah disiarkan dalam akhbar dan majalah seperti Berita Harian, Mingguan Malaysia, Harian Metro Tunas Cipta, Dewan
Sastera, Dewan Bahasa, Dewan Siswa, Fokus, URTV, Mutiara Minda dan Pentas. Puisinya dimuatkan dalam
antologi Takah Lima Puluh (PENA,
2011), Karya Sasterawan 2011 (PENA,
2011), Koleksi Puisi (Balai Seni
Visual Negara, 2012). Sebuah cerpennya dipilih untuk Antologi Cerpen Indonesia-Malaysia (ITBM, 2013). Buku pertamanya
berjudul Sepetang di Kafe Biblioholic
diterbitkan oleh JS Adiwarna, 2013. Puisinya "Mimpi dari Sebuah Lukisan
Ilusi" pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012 dalam
kategori puisi eceran.
RAIHANI MOHD SAAID
Penulis
ini dinamakan oleh Lim Swee Tin sebagai penyair wanita generasi baru yang terpenting,
dalam kertaskerjanya “Penyair Wanita Generasi Baru” (dibentangkan di
Hari Puisi, 1999 di Seremban). Beliau adalah peserta MPR 1997. Sajaknya tersiar di Berita Minggu, Dewan Sastera, Mingguan Malaysia, Dewan Budaya, Tunas
Cipta.
Antara
pencapaiannya dalam puisi ialah : memenangi
Sayembara Puisi Esso-Gapena, 1994. HSPM
2004/2005, 2008/2009 , 2012
, HSKU 2007, 2011 dan
Sayembara ITBM,PENA, BERITA HARIAN 2013.
penutup
Semoga
taman puisi kita terus berbunga mekar dengan penyertaan penyair-penyair wanita
baru bagi meneruskan perjuangan yang telah direntas oleh generasi sebelumnya.
Saturday, October 04, 2014
PENYAIR JOHOR SELEPAS USMAN AWANG DAN ZAM ISMAIL.
Sehingga kini Johor melahirkan ramai penyair seperti
nama-nama yang telah disebut di atas, yang sudah tentu tidak dapat dinyatakan
semuanya di sini. Saya berhasrat untuk
menyebut hanya beberapa buah sajak yang
telah meninggalkan kesan kepada saya sebagai pembaca. Bagaimana sesebuah karya
sastera meninggalkan kesan? Kesan ditinggalkan oleh Pemikiran yang berjaya
mengusik perasaan. Seperti mana yang diketahui sebuah karya kreatif kerana
mengandungi dua komponen iaitu Pemikiran dan Perasaan. Pemikiran adalah mesej
dan gagasan yang hendak disampaikan oleh Penyair diadun oleh gaya pengucapan atau bahasa. Isi yang hendak disampaikan tidak akan wujud
tanpa pemikiran. Untuk menghasilkan sebuah puisi yang baik, seorang penyair
mestilah memiliki keberanian untuk mengemukakan sesuatu idea dan pemikiran baru
dan
bersedia untuk melakukan inovasi dan pembaharuan. Penyair harus memiliki kebijaksanaan
dengan penuh kesedaran dan bergerak dalam landasan keilmuan. Saya ingai
menyentuh beberapa buah puisi tanpa berlandaskan mana-mana teori secara ketat
(rigid)
Saya teringat sebuah sajak berjodol
SESAL ORANG MELAKA yang ditulis oleh Irwan Abu Bakar. Saya telah beberapa kali
membicarakannya termasuk di dalam buku “Catatan Perjalanan Seni Zurinah Hassan”
(itbm 2013)
Terus bertikam dua pahlawan
pahlawan Melayu pembela
Melaka
mana gagah mana perkasa
kami bertelagah di bawah
rumah.
Mati seorang ditikam rakan
seorang lagi layu terkilan
terbunuhlah dua pahlawan
Melayu.
Sesalnya kami orang Melaka
menanggung dosa di bawah
rumah
tidak berguru mengurus
sengketa
tamak menjaga perut
sendiri
dua pahlawan dibiarkan
mati.
(Irwan Abu Bakar, Dewan Sastera, Oktober 1997)
Islah Melayu karya Shapiai Muhammad Ramly
Semangatmu
telah terjun ke kutub kutub
Belayar
mengelilingi dunia
Merenangi
selat Inggeris
Mengharung
angkasa menawan everest
Siapa
tidak kenal Melayu
Politiknya
berpupurkan resah
Bagaimana
menjatuhkan lawan
Bukan
bagaimana memerintah.
Benarlah
Yang
membunuh Hang Nadim bukan raja
Tetapi
Melayu
Yang
membunuh Jebat bukan Tuah
Tetapi
Melayu
Kerismu
itu
Pamor
bisa hasadnya
Membunuh
Melayu sendiri
Bahasamu
itu
Hanya
bahasa perpaduan
Bukan
lagi bahasa ilmu
Sasterawan
itu
Tersembunyi
di bawah lipatan
Malu-malu
Tanahmu
itu
Bukan
lagi tanah ketuanan Melayu
Kini
sudah diratakan
‘untuk
dijual”.
(Kelarai Kehidupan, 2013, Dewan
Bahasa dan Pustaka: 66)
Dua
sajak di atas berkisar dari kebimbangan melihat situasi semasa bangsa Melayu. “Sesal
Orang Melaka” adalah tulisan Irwan Abu
Bakar seorang Professor Kejuruteraan
kelahiran Segamat yang lebih dikenali kerana penglibatannya dengan sastera maya
atau e sastera. Kedua duanya memperlihatkan bagaimana Sejarah dan legenda mempengaruhi pemikiran
pengarang-pengarang semasa. Hikayat lama
yang dibaca atau didengar semasa kecil
meninggalkan kesan dan dipendam di dalam fikiran dan diingat kembali
bila berhadapan dengan situasi semasa. Lalu Penyair menulis cerita baru yang manyangkut cerita
lama itu. Dengan kata lain Pengarang semasa
telah menggunakan cerita-cerita lama untuk memberi makna kepada isu-isu semasa.
Pembinaan jalur pemikiran seperti ini menyangkut Teori Interteks dan Historisisma
antara lain, telah dihuraikan oleh Mana Sikana di dalam beberapa tulisannya. Hal ini juga merujuk kepada pembacaan sebagai
sumber penting pemikiran puitis. Sebuah
buku atau karya yang telah banyak memberi rangsangan kepada pembenihan karya
ialah buku Sejarah Melayu. Edisi yang popular ialah yang diusahakan oleh
W.G.Shellabear (Siri Kajian Sastera Fajar Bakti). Edisi ini lebih banyak dibaca dan digunakan mungkin
kerana bukunya tidak tebal dan lebih mudah didapati untuk bacaan santai
berbanding dengan karya-karya warisan yang lain seperti Hikayat Raja Pasai atau
Hikayat Hang Tuah..
Irwan Abu Bakar telah menggunakan peristiwa
tragis pertikaman Tuah-Jebat. Peristiwa pertikaman ini bukanlah perkara baru
dalam penulisan kreatif semasa tetapi yang menariknya dalam sajak ini ialah Penyair
ini tidak membesarkan pencarian wira atau makna setia dan durhaka seperti yang
mendasari beberapa karya kreatif sebelum ini. Sebaliknya Irwan Abu Bakar
menggunakan episod ini i untuk menyatakan tentang pemimpin yang berpecah belah
dan rakyat yang leka menonton perbalahan itu. Sajak ini tidak menggambarkan pertikaman itu
tetapi lebih banyak mengisahkan perihal orang-orang Melaka yang menonton di
bawah istana.
Dalam
sajak “Islah Melayu”, Shapiai Muhammad Ramly menggambarkan situasi yang
menggerunkan tentang keadaan masa depan Melayu
yang tergugat. Walaupun pada zahirnya bangsa Melayu dan bangsa Malaysia sedang
melakukan penjelajahan ke tempat-tempat mencabar seperti “ terjun ke kutub
kutub, belayar mengelilingi dunia, merenangi Selat Inggeris, Mengharung angkasa
dan menawan Everest. Namun itu semua tidak dapat melindungi kecatatan sebenar
di bidang politik dan perpaduan yang luntur. Kata Penyair, “ siapa tidak kenal Melayu/
Politiknya berpupurkan resah/ bagaimana menjatuhkan lawan /Bukan bagaimana
memerintah.”
Seperti
Irwan Abu Bakar, Shapiai juga membina pemikirannya
dari kisah Sejarah Melayu. Yang ketara
di dalam sajak ini ialah episod
Singapura di langgar todak, budak yang dibunuh kerana kecerdikannya dan
pembesar-pembesar yang menghasut Sultan Beginilah
caranya Melayu membunuh Melayu sehingga ke masa kini. Melayu membunuh bangsa Melayu dan Bahasa
Melayu, tanah yang dibangga-banggakan
sebagai tanah pusaka, bukti ketuanan Melayu sedang “diratakan untuk dijual” .
Ketika itu para sasterawan mengawal suara atau diam membisu. Lalu dirumuskan
bahawa yang membunuh Nadim, Jebat dan segala yang bergelar Melayu adalah hasad
dengki Melayu itu sendiri.
Seorang lagi yang mahu disentuh di
sini ialah Nazim Mohd Subari , penulis puisi moden dan tradisional yang tekun.
Kumpulan puisinya ialah Gambus Tandus
(PPJ, 1998) Serunai Damai (Penerbitan
Pustaka Nusa, 2003), Harga Budi (Penerbitan
Pustaka Nusa, 2009) Harga Maruah (Penerbit
Mentari, 2013) dan Sawah di Tengah Kota (Institut
Terjemahan dan Buku Malaysia, 2014). Pada tahun 2009, beliau
menerima Hadiah Cipta Karyawan Muda Johor sempena Hadiah Sastera Darul Takzim
ke-7.
DI GERAI MASA
Berkunjung ke gerai masa
di penghujung zaman ini
kulihat ada manusia
berebut menjadi pembeli
pada mimpi tak pasti
pada angan tak berkesudahan
pada kata-kata tak bermakna.
Dalam keriuhan
aku termangu menghitung kerugian
dari setiap saat yang mengalir
dari setiap waktu yang berlalu
manusia diterpa debu
di persimpangan jalan keliru.
Masa bagai tiada harganya lagi
lebur di tangan peleka
luntur
di bibir pendusta
sirna
di abad penuh pesona.
Memenangi Hadiah Penghargaan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005.
(Sawah di Tengah Kota, ITBM, 2014)
Pemikiran dalam
puisi ini adalah hasil renungan Nazim tentang keadaan manusia yang semakin
mengejar atau dikejar oleh masa pada zaman ini. Tajuk sajak ini merupakan
sebuah metafora yang menarik iaitu ”gerai masa” yang membawa pengertian dan
menggambarkan ’masa’ sebagai komoditi yang boleh dijual beli. Sudah pasti ini
adalah bentuk ’sindiran’ kepada manusia yang meremehkan masa dan tidak menghargainya sedangkan Waktu
atau Masa sangat penting dan manusia
diminta menghargai waktu. Di dalam kitab suci Al-Quran terdapat sekian banyak
ayat yang menyeru manusia untuk menghargai masa. Manusia diingatkan supaya merenungi kejadian peredaran waktu yang dicipta oleh Allah.
Segala kejadian yang dicipta oleh Allah mempunyai makna dan memberi iktibar
bagi orang yang mahu berfikir, seperti yang terkandung di dalam ayat yang
bermaksud; “Allah menukarkan malam dan siang silih berganti, sesungguhnya yang
demikian mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang
celik matahatinya iaitu berfikir (Surah An-Nur, ayat 44).
Telaga Insani
(Shamsuddin
Othman)
Aku
rumput
Engkau
embun
Kita
berdakapan
Saat
subuh berlabuh
Menitipkan
zikir dan rindu
Ke
kebun insaniahku.
Tapi
tahukan engkau
Tika
matahari
Tumbuh
di dahan waktu
Kita
terpaksa berpisah
Pada
garis kesal
Yang
tak berjawapan
Aku
rumput
Engkau
embun
Ada
resah menyapa
Tika
terik matahari
Menghadiahkan
selembar hangat
Dan
kita tiba-tiba dahagakan rindu
Titis
dingin telaga
Yang
membening
Di
sujud kesal.
(Taman Maknawi itbm 2014).
Seorang
lagi penyair berbakat besar dan berpotensi ialah Shamsuddin Othman. Dan saya
sangat tertarik dengan sajak Telaga insani di atas. Tarikan itu ialah kerana
penggunaan unsur alam yang dapat menyampaikan makna dan membangkitkan suasana.
Kata kata yang digunakan membawa imej yang bukan saja segar di pandangan tapi membawa
kesan sentuhan. Dengan kata lain
kata-kata yang membawa kesan visual dan kesan rasa. Telaga, embun, subuh adalah
kata-kata yang membawa rasa kesejukan. Ini
ditambah dengan suasana teduh dari Rumput dan kebun. Maka sesuai pula bagi
menggambarkan kasih sayang dengan kata
berdakapan. Namun sebagai sebuah ‘cerita’ ia melalui ‘konflik’ dan
konflik itu didatangkan oleh kehangatan matahari. Matahari tumbuh di dahan
waktu bersama kehidupan yang terus
mengalami pertumbuhan dan perubahan. Unsur emosi digambarkan pula dengan rasa
‘rindu’ dan ‘kesal’. Namun semuanya mencari jalan pulang dengan ‘bersujud’
kepadaNya.
Telaga
Insani dimuatkan dalam antologi yang memenangi tempat ketiga Sayembara ITBM.
Telaga Insani, seperti sajak-sajak lain di dalam antologi ini adalah adunan
unsur alam dan unsur dakwah yang merupakan dua komponen penting dalam puisi Melayu
moden dan tradisi. Pada keseluruhannya, puisi-puisi merupakan cetusan idea
daripada renungan penyair terhadap alam
yang membawa makna kehidupan, khasnya
makna kewujudan dirinya sebagai hamba Allah SWT dan juga peranan serta tanggungjawabnya sebagai
khalifah Allah di bumi ini.