ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Saturday, March 16, 2013

POHON PUISI BERBUNGA MELODI.


POHON PUISI BERBUNGA MELODI.
(mengenang Zubir Ali)oleh Zurinah Hassan
Peristiwa itu masih segar di dalam ingatan. Pada tahun 1968 saya belajar di Sekolah Sultanah Asma Alor Setar. Suatu hari saya menghadiri majlis Maulidur Rasul yang diadakan di sekolah agama yang bernama Maktab Mahmud. Acara utama hari itu ialah penyampaian hadiah pertandingan menulis sajak sempena Maulidur Rasul. Saya hadir dengan gembira kerana sayalah yang akan menerima hadiah pertama.



Acara yang berlangsung di dewan maktab  cukup  meriah.  Penyampaian hadiah diikuti dengan acara persembahan. Saya  menyaksikan sajak saya yang berjudul “Muhammad” dideklamasikan oleh seorang pelajar Maktab Mahmud bernama Shamsuddin Osman . Sajak yang memenangi tempat kedua dideklamasikan sendiri oleh penulisnya iaitu seorang “budak” Tingkatan Lima Maktab Mahmud. Namanya Muhammad Zubir bin Ali.

Hari itu adalah hari yang bersejarah di dalam hidup saya.  Itulah kali pertama saya menjadi johan satu pertandingan menulis sajak.(peringkat sekolah-sekolah daerah Kota Setar). Itulah juga kali pertama kali saya melihat sajak saya dipersembahkan di atas pentas. Saya kagum dengan bacaan dan gaya Shamsudin Osman yang membuat sajak saya terdengar lebih hebat dan dramatic daripada teks asalnya.
Tetapi saya tidak menyangka ada yang lebih dari itu. Saya tidak menyangka bahawa pagi itu saya telah bertemu dengan dua insan  yang akan menjadi penting di dalam sejarah seni dan budaya tanah air. Budak lelaki yang bernama Shamsudin Osman yang mendeklamasikan sajak saya itu, kemudiannya menjadi Dinsman, satu nama yang anda kenali pada hari ini. Dan Muhammad Zubir Ali itu tidak lain dan tidak bukan ialah komposer , penyanyi, penyair dan pemikir  Zubir Ali yang telah pulang kepada Ilahi pada hari Jumaat 6hb Mach yang lalu.

Zubir melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam di Kolej Islam Kelang dan kemudian ke Universiti Malaya. Semasa di Universiti Malaya beliau menyertai KESUMA iaitu satu persatuan kesenian  yang aktif  menganjurkan acara seperti Malam Berbunga Sajak . Acara seperti ini memberi peluang kepada Zubir mencipta lagu-lagu puisi. Bakatnya terus berkembang.
Dari UM beliau ke ITM (sekarang UiTM) sebagai pengawai kebudayaan . Di sinilah beliau menubuhkan kumpulan Harmoni bersama teman-temannya Joey, Ogy dan Azie.

Pada tahun 1977 saya dijemput oleh Grup Teater Elit ( diketuai oleh Dinsman) untuk membuat persembahan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Acara itu berjalan dengan jayanya  lebih-lebih lagi kerana saya  mendapat bantuan Zubir. Beliau   telah mencipta beberapa buah lagu daripada  puisi saya. Puisi-puisi yang telah dilagukan  termasuklah “Seketika Terkenang Padamu Mama”, “Suara Dalam Hujan” dan “Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang”.  Akhbar Berita Minggu Ahad, 13 Mac, 1977 mengulas, “Lagu-lagu tersebut mendapat tepukan hebat dari para peonton. Dan pujian harus diberikan kepada penggubah lagu yang berbakat ini”.

Dari sini saya melihat Zubir mengatur langkah dengan berani.  Beliau kemudian meminta kebenaran  bagi memuatkan “Sepanjang ke Pulau Pinang”  ke dalam album kumpulan Harmoni yang pertama. Terus terang saya katakan pada mulanya saya kurang yakin lagu-lagu tersebut akan mendapat sambutan.  Saya bimbang kalau-kalau lagu puisi hanya akan diminati oleh peminat puisi dan peminat puisi memang amat sedikit di tanah air kita.

Jangkaan saya meleset. Album pertama lagu puisi bukan sahaja diterima bahkan meletup-letup. Lagu “Penantian” menduduki tempat teratas dalam carta lagu-lagu pilihan sehingga berbulan-bulan lamanya. Lagu “Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang” kedengaran setiap hari di radio. Sejak itu ramai yang kenal saya sebagai penulis sajak  “Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang” yang dinyanyikan oleh Zubir Ali.  Turut popular ialah lagu Doa dari sajak Khairul Anwar. Ini merupakan sumbangan besar kepada dunia puisi Melayu. Sebagai penyair, saya berterima kasih kepadanya atas usaha yang telah berjaya membawa puisi ke tengah masyarakat.

Dengan kejayaan ini Zubir Ali dan kumpulan Harmoni menempa sejarah  di dalam industri muzik dan dunia kepenyairan  tanahair.  Album pertama kumpulan Harmoni (1981) merupakan  album pertama  lagu-lagu puisi yang diedarkan secara komersial. Sebelum itu ada juga lagu lagu puisi yang dinyanyikan oleh Ibrahim Bacik tetapi cuma disiarkan menerusi  rancangan khas di radio. Album kedua Harmoni “ Nyanyian Ombak” terbit pada tahun 1982.  Kejayaan  Harmoni di dalam lagu puisi diikuti oleh  kumpulan Kopratasa, Ahmad Ramli, Julfekar dan lain-lain.
 Bagi saya lagu  Penantian menduduki tempat yang tersendiri pula. Ia bukan sahaja lagu puisi pertama yang mengungguli carta lagu popular di radio, tetapi inilah lagu yang saya anggap mempunyai senikata yang paling berpengaruh  selepas lagu Getaran Jiwa oleh P.Ramlee.
Di dalam sejarah lagu Melayu moden kita boleh menamakan  dua buah lagu yang senikatanya paling diingati dan disebut-sebut.  Yang pertama ialah lagu Tan Sri P.Ramlee iaitu Getaran Jiwa. Baris yang berbunyi  “Andai dipisah lagu dan irama, lemah tidak berjiwa…..” digunapakai oleh orang ramai untuk menerangkan tentang keakraban sesuatu yang tidak dapat dipisahkan. Selepas  “ Getaran Jiwa” muncul “Penantian”  Zubir Ali.  Ingatkah anda bagaimana baris yang catchy “Penantian satu seksa” digunapakai dengan berleluasa di mana-mana oleh sesiapa sahaja yang berada di dalam situasi menunggu. Saya sendiri pernah mendengar  sekumpulan pemain takraw menjerit kepada kawan yang lewat tiba, “penantian satu seksa”. Saya juga mendengar  ia dituturkan oleh  pensyarah yang sedang berkuliah  malah  seorang ustaz  yang sedang berceramah.

Sebenarnya itulah harapan Zubir. Dia mahu menyanyikan sesuatu yang boleh membawa kesan kepada masyarakat. Dia memilih puisi untuk dilagukan kerana baginya puisi mengandungi makna yang mendalam  dan disampaikan dalam bahasa yang indah. Keindahan bahasa dan kedalaman makna inilah yang  akan diingati dan kekal di minda pendengar sedangkan lagu-lagu popular bertema cinta murahan  mungkin akan digilai tetapi untuk tempoh masa yang singkat. (lihat Harian Metro:31 Mei 06). Maksudnya banyak lagu yang datang dan pergi namun yang kekal menjadi ingatan ialah senikatanya yang indah dan bermakna”

Zubir juga menulis puisi. Sajak-sajaknya pernah  tersiar di Dewan Sastera. Bila menulis puisi beliau menggunakan nama Muhammadzubirali. Tidak hairanlah kalau beliau menjadikan lagu puisi sebagai wadah perjuangan, seperti katanya  “ Walaupun album ini bukan album komersial dengan tema cinta yang mungkin dicari-cari saya rasa tetap mahu menerbitkannya  kerana rasa tanggungjawab terhadap perjalanan dan keindahan puisi.Puisi terlalu indah. Lambang ketinggian budaya kita. Saya akan mengangkat mesej positif dengan puisi sebagai pokoknya dan melodi sebagai bunganya ”(Lihat Kosmo Jumaat 5 Mei 06).  

Bagi Zubir  penulisan dan penciptaan lagu adalah bidang yang serius. Katanya, “Menulis lagu lebih kepada soal jiwa dan bukannya soal zahir sahaja. Sejauh mana kemampuan sesuatu lagu menarik masyarakat ke arah kebaikan bergantung kepada jiwa penulis lirik, pencipta lagu dan penyanyi” (Utusan Melayu 22 Januari 2008)

Zubir juga mengakui bahawa usahanya menyanyikan lagu puisi adalah sebahagian daripada usahanya untuk memertabatkan bahasa Melayu melalui lirik lagu. Beliau merasa sedih apabila banyak pihak tidak mementingkan aspek lirik lagu.  Menurut  Zubir,   “Bahasa Melayu sangat kaya tetapi kedaifan bahasa Melayu dalam lirik lagu tempatan adalah satu fenomena yang menyedihkan. Kebanyakan penyanyi tidak berminat mendalami bidang bahasa dan tidak peduli sebutannya betul atau salah. Artis juga perlu ada ilmu dan menyanyi dengan jiwa. (lihat  Harian Metro 31 Mei 06).

Beliau sering menyatakan kegusarannya,  “sekarang siapa saja boleh menjadi penulis lirik. Tidak perlu pandai bahasa Melayu dan tidak perlu jadi ahli fikir”.  Bagi Zubir menulis lirik lagu adalah  satu kerja seni yang mesti ditangani dengan pemikiran yang mendalam. Seorang penulis lirik sepatutnya juga seorang pemikir kerana “kerja seni itu melambangkan ketinggian daya fikir seorang seniman. Sekiranya pemikiran tentang sesuatu itu kurang kreatif , cetek atau masih dangkal, maka seluruh karya itu terjejas dan tidak dapat diterima sebagai karya seni”.


Selepas Penantian (1981) dan Nyanyian Ombak,(1983) kumpulan Harmoni hilang seketika, kerana anggota-anggotanya yang terpaksa mengikut haluan masing-masing. Zubir juga bertukar tempat ke UKM dan seterusnya Universiti Malaya.  Zubir terus aktif di dalam persembahan-persembahan terutama majlis sastera dan deklamasi puisi. Beliau terus mencipta lagu-lagu puisi . Kabarnya sudah ada sekitar 80 buah lagu yang sedia ada. Beliau pernah ditanya mengapa tidak memberi lagu-lagu ini kepada penyanyi lain. Jawapannya beliau pernah mencuba tetapi bila mendengar nyanyian mereka, beliau tidak berpuas hati kerana “jiwa” puisi itu tidak sampai seperti yangdihajati. Pada tahun 94 Zubir memenangi lirik terbaik Pesta Maal Hijrah dan 1995 lagunya dipilih sebagai lagu terbaik Pesta Maal Hijrah. Selain puisi dan lagu,  Zubir turut  mengemukakan pandangannya terutama mengenai muzik dan pemikiran keIslaman melalui seminar-seminar  di dalam dan di luar  negara terutama yang dianjurkan oleh JAKIM.


25 tahun kemudian, Zubir Ali mengumpul semula kawan-kawan (Joei dan Shafa) dalam Kumpulan Trio Harmoni untuk meneruskan perjuangannya. Mereka berjaya menerbitkan  CD solonya 'Zubir Ali '06'. Di sini juga ada puisi saya iaitu “Puisi Cinta yang Lain” bersama sajak Latif Mohidin,  “Siapakah yang Memberi Kabar”.

Zubir juga dikenali menerusi lagunya “Balada Gadis Kecil” yang menyayat hati tentang kekejaman pihak zionis. Lagu ini menjuarai Festival Lagu-lagu 1983. Perasaan kemanusiaan terhadap umat Islam yang menderita diluahkan oleh  Zubir pada Malam Demimu Palestin yang berlangsung di Istana Budaya.  Simpatinya terhadap rakyat Palestin,  membuatkan beliau cukup bersemangat walaupun sudah mula merasa sakit-sakit. Malangnya, inilah penampilannya buat kali terakhir. Tidak berapa lama selepas itu beliau dimasukkan ke hospital Spesialis Damansara untuk menjalani rawatan. Takdir telah menentukan Zubir pergi buat selama-lamanya. Dia telah meninggalkan untuk kita dan bangsanya khazanah seni yang amat berharga. Takziah kepada  anak-anak  dan isteri Fauziah Ismail yang saya kenali  sejak dia masih kecil di Tikam Batu Kedah.

Saya dan Zubir  kerap juga  berbincang dan lebih banyak bertengkar. Pertengkaran-pertengkaran itu lebih memesrakan kami. Dan sekarang tiada lagi Zubir untuk dilawan bertengkar. Tanpa lawan saya kehilangan kawan.

Balada Gadis Kecil

Gadis ini telah bertahun
Dicengkam derita
Di khemah pelarian
Yang menjanjikan dukacita

Munir tak mengenal erti cinta
Telah kering air mata
Menangisi kematian
Ayah bonda dan saudara

Pada suatu senja langit shatila
Menyaksikan pembunuhan anak kecil dan wanita





1 comment:

  1. Assalammualaikum Puan,

    Bagaimanakah caranya untuk saya berhubung dengan Puan?

    Boleh tak Puan meninggalkan no telefon di alamat email saya? :

    perfumerack@gmail.com

    Terima kasih puan.

    ReplyDelete