ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Friday, November 10, 2017



Masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan pelbagai irama dan lagu yang diwarisi secara turun temurun. Walaupun mengalami sedikit pembaharuan dari segi aturan lirik, gaya nyanyian atau alat muzik serta cara penyampaiannya yang dipelbagaikan, ia masih memperlihatkan ciri-ciri yang tersendiri.  
                 Bersama dua orang penyanyi lagu rakyat Malaysia Dato' Aripin Said (berbaju biru) dan Roslan Madon.
 Lagu dapat didefinisikan sebagai gubahan suara dalam urutan, kombinasi, dan hubungan temporal untuk menghasilkan gubahan muzik yang mempunyai kesatuan dan kesinambungan. Lagu amat penting di dalam kehidupan masyarakat.Menurut Zainal Kling (1999), muzik dan  lagu menjadi bahagian daripada budaya dan sistem sosial masyarakat. Sama ada penghasilan mahupun persembahannya, muzik tetap merupakan sebahagian daripada perlakuan anggota masyarakat. Beliau menegaskan bahawa, pelbagai bentuk muzik harus diteliti pada dua aspek utama iaitu sebagai perlakuan manusia dalam budayanya serta sebagai bentuk budaya atau seni  tersendiri.
Menurut Rahmah Bujang (1999), lagu rakyat masyarakat Melayu adalah lagu-lagu atau  nyanyian yang berasal dari sesuatu kawasan dalam Alam Melayu tidak kira kawasan itu terletak di negara Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei hatta di mana-mana pelusuk pulau terpencil di Nusantara sekalipun, dan merupakan lagu-lagu yang amat popular di kawasan tersebut. Biasanya lagu rakyat menceritakan perihal masyarakat, alam, haiwan, tumbuh-tumbuhan ataupun senario semasa di kawasan tersebut. Lagu rakyat biasanya akan dinyanyikan semasa bermain, mendodoikan anak, hiburan setelah penat membanting tulang dan juga semasa majlis-majlis keraian, didendangkan secara berkumpulan atau berseorangan. Kanak-kanak juga bermain sambil menyanyi sama ada untuk menghiburkan hati sambil berayun di buaian berseorangan atau dengan kawan-kawan. Ada juga lagu yang menjadi sebahagian dari permainan kanak-kanak. Dengan ini, menyanyi menjadi pencetus silaturrahim.
Lagu rakyat merupakan satu daripada genre sastera Melayu yang digolongkan ke dalam kategori sastera Melayu klasik. Dikir barat adalah cabang dari lagu rakyat. Lagu rakyat merupakan warisan yang berharga. Ia telah menjadi kebanggaan masyarakat sejak terun-temurun kerana mengandungi pelbagai falsafah dan pemikiran Melayu yang unggul yang menjadi teras pembentukan identiti Melayu.
Menurut Aripin Said (1999), lagu rakyat juga dikenali sebagai nyanyian rakyat. Nyanyian rakyat merupakan lagu-lagu yang dinyanyikan oleh masyarakat tradisional masa lalu yang rata-ratanya bukan sekadar untuk  menghibur, tetapi untuk lebih daripada itu adalah untuk mendidik masyarakat. Beliau juga menyatakan bahawa, pada masa lalu, penyanyi lagu-lagu rakyat atau penyampai lagu-lagu ini juga terdiri daripada penglipur lara yang turut terkenal sebagai penyampai cerita-cerita rakyat.
Lagu rakyat dihasilkan atau dicipta secara spontan oleh golongan masyarakat yang tinggal di desa-desa, perkampungan atau kawasan pedalaman. Ia dikembangkan daripada satu generasi kepada satu generasi yang lain dalam bentuk lisan. Lagu rakyat dapat diertikan sebagai gabungan gubahan muzik berdasarkan seni katanya dan diiringi dengan persembahan gerak tari tertentu.  Terdapat pelbagai bentuk lagu rakyat seperti pantun,  seloka,  syair, gurindam, bahasa berirama serta bentuk-bentuk bebas yang lain. Lirik yang digunakan biasanya dalam bahasa dialek mengikut loghat tempat masing-masing. Irama lagu rakyat amat unik kerana mempunyai kaitan dengan budaya dan alam sekeliling.
Bagi Abdul Jamal Abdul Hamid (1999), nyanyian rakyat ialah salah satu tradisi lisan yang lahir, diperhalusi, dan diperkembangkan secara lisan. Ia dikenali, dihayati, dan dianggap sebagai sebahagian daripada budaya masyarakat yang melahirkannya, dan bagi kebanyakkan pengkaji budaya, ia mencerminkan cita-cita, pandangan hidup, dan pendirian sesebuah masyarakat.
Lagu rakyat dicipta, ditujukan kepada masyarakat daripada kalangan rakyat jelata, petani, nelayan dan pekerja umum. Menurut beliau, ciptaan, irama, seni kata, dan gubahan tidak disusun secara sedar tetapi lebih berupa spontan, sesuai dengan matlamat dan fungsinya.

Zubir Ali dalam seminarnya yang dianjurkan oleh bahagian Kesusasteraan Tradisional menyatakan ciri-ciri lagu rakyat semasa adalah seperti berikut :
1.      
1.                1   Lagu diterima secara evolusi oleh sesuatu kelompok masyarakat atau rakyat kerana                  terdapat kesinambungan budaya daripada lagu rakyat tradisional.
2.                   2     Lagu menyuarakan rasa bersama dan pandangan dunia sosial masyarkat
   3.      Liriknya menyuarakan rasa bersama dan pandangan dunia sesuatu kumpulan.
   4.      Irama dan melodinya berunsur santai dan mudah untuk dinyanyikan.
   5.      Sesuai untuk dinyanyikan dalam banyak suasana rakyat, membina perpaduan,            membina ciri- ciri murni dan perkembangan jiwa rakyat.

            
Menurut Rogayah A. Hamid (2006), lagu rakyat amat penting di dalam sesuatu masyarakat dan budayanya. Disebabkan ia dinyanyikan dalam ‘loghat’ kumpulan masing-masing, ia menjadi penanda untuk mengetahui akan dari mana kumpulan atau kelompok tersebut berasal. Lagu rakyat dicipta kerana pelbagai fungsi dan sebab. Ia merupakan cerminan kehidupan masyarakatnya atau dengan perkataan lain, sebagai alat untuk mengucapkan perasaan seni masyarakatnya, berdasarkan peristiwa yang berlaku dalam kehidupan seharian mereka. Di dalamnya terungkap pemikiran, falsafah, budaya, nilai dan sikap masyarakatnya.
Beliau juga mengatakan bahawa, fungsi lagu rakyat yang utama adalah sebagai alat untuk menghiburkan masyarakat pada waktu itu kerana tidak ada hiburan lain. Oleh hal demikian, dendangan lagu-lagu rakyat ini dijadikan sebagai alat untuk menghilangkan kepenatan setelah seharian bekerja. Maka sudah pasti lagu rakyat mempunyai audiens yang ramai pada waktu itu. Tambahan beliau lagi, lagu rakyat juga begitu sinonim dengan upacara pengubatan tradisional yang menggunakan kuasa supernatural (magis) bagi menyembuhkan sesuatu penyakit yang dihadapi oleh masyarakat dalam kelompok mereka.
Lagu rakyat mempunyai peranan dalam masyarakat. Lagu ini dapat membawa mesej tertentu. Dengan penyampaian yang menggunakan pelbagai nada dan muzik, ia mampu  menyentuh jiwa, meresap dan membentuk perwatakan pendengarnya. Ia mampu memberi pengajaran atau pendidikan kepada pendengarnya. Ia dijadikan sebagai alat pembentuk minda masyarakat masa lalu dan menjadi alat kawalan sosial yang berkesan. Disebabkan ia mudah difahami, maka menyebabkan ia diminati oleh semua orang.
Lagu dan nyanyian sangat diperlukan oleh manusia untuk  menghibur juga melegakan kesakitan dan stress. Pada zaman dahulu ada lagu untuk bekerja.  Para pekerja melaungkan sesuatu seperti menyanyi ketika  menjalankan tugas berat. Ini berperanan mendapatkan ritma supaya dapat bergerak serentak. Lagu ini juga dapat mengalih fikiran mereka dari kepenatan yang dirasai. Begitu juga lagu yang dinyanyikan ketika mendodoi anak. Selain menghiburkan anak, mereka juga tidak jadi mengantuk dan tertidur. Lagu dan sesuatu irama digunakan untuk menarik perhatian. Misalnya, seorang penglipur lara menggunakan irama untuk bercerita. Dalam budaya lisan, seorang penutur dilingkungi oleh audiensnya yang buta huruf yang menghayati cerita secara pendengaran. Oleh itu tukang cerita harus menguasai beberapa teknik seni persembahan seperti lakonan dan gerak badan, seni bunyi, ritma, lagu dan alat muzik untuk bercerita. Mereka ini termasuklah Tok Selampit, dalang wayang kulit dan Awang Belanga. Peranan tukang cerita ini amat penting sebelum cerita-cerita dapat dibukukan. Irama lagu digunakan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran, misalnya untuk menghafal nama-nama Tuhan (AsmaulHusna) dan nama-nama nabi.
Masyarakat melihat lagu sebagai irama yang dinyanyikan secara formal sama ada menggunakan senikata atau tanpa senikata. Namun dalam persembahan dikir barat senikata hanya digunakan oleh Tok Juara. Lagu yang dibawa oleh Tukang Karut pula biasanya secara spontan bagi melawan pasukan dikir yang lain. (Ismail Derani. 2002)
Satu contoh Lagu Rakyat ialah Dikir Barat . Dikir Barat sememangnya sudah terkenal dalam kalangan masyarakat, bukan sahaja masyarakat di Pantai Timur Semananjung, malah di seluruh negara. Walaupun ia hanya suatu teater tradisi, tetapi peminatnya tetap ramai, malah semakin bertambah bilangannya. Ini mungkin kerana daya penariknya yang istimewa, yang membolehkan ia bersaing dengan bentuk-bentuk hiburan moden yang lain.
Menurut Rahmah Bujang (2003) dikir ialah satu kaedah bernyanyi, biasanya dalam kumpulan. Terdapat beberapa jenis dikir mengikut rentak dan lagunya, seperti dikir rebana, dikir maulud, dan dikir berendoi. Manakala dikir barat pula merupakan satu bentuk seni permainan rakyat kalangan kaum lelaki yang terdapat di Kelantan. dikir barat dimainkan melalui peralatan muzik, nyanyian, dan gerak aksi yang diadunkan sebagai gubahan untuk bertukar-tukar sindiran berkenaan hakikat sosial semasa, dan dilakukan dengan tujuan mengisi waktu lapang dengan berjenaka.
Akan bersambung dengan perbincangan dikir barat.



Wednesday, November 08, 2017

Episod pertikaman Hang Tuah dan Hang Jebat telah melahirkan karya-karya yang baharu, baik puisi, drama dan novel. Saya juga telah menulis puisi dan cerpen berdasarkan pertikaman tersebut.



i
Bendahara,
bila kau menyembunyikan Tuah
tidak membunuhnya seperti perintah raja
kau telah memulakan satu keberanian
untuk mengingkari kezaliman
dan memberi peluang kepada kebenaran.
      
        Tetapi Bendahara
        bila Jebat menderhaka dan raja dalam bahaya
        kau sepatutnya tidak membuka rahsia
        yang Tuah masih ada
        mengapa kau tidak berani
        membiarkan seorang raja
        terhukum oleh kekhilafannya?
Bendahara, kau telah memulakan satu keberanian
untuk memberi peluang kepada kebenaran si Tuah
dan kau sepatutnya meneruskan keberanian itu
untuk memberi peluang juga
kepada kebenaran si Jebat.
              ii
         Tuah,
         segalanya bermula dengan keberanian
        mengalahkan musuh demi musuh
        keberanian menjadikan kau seorang hamba
        yang amat setia kepada raja.
Tuah, kau sepatutnya lebih perasa
untuk tahu merajuk
tidak mengikut Bendahara
sewaktu dia datang menjemputmu pulang
atas titah raja untuk membunuh Jebat
kau sepatutnya lebih perasa
        untuk tahu berkecil hati dengan raja
yang tidak menghargaimu
jika Jebat tidak mengamuk
raja sudah bersedia untuk melupakan
segala jerit payah perhambaanmu.
Namun Tuah, kau terlalu meninggikan nilai setia
hingga merendahkan nilai diri.
        Ketika raja memerintahkan kau dijemput
        dia sebenarnya tidak menghargaimu
        tetapi menghargai nyawanya sendiri
        tetapi kau tidak mahu merasai semua ini
        kerana kesetiaan telah membuatkan kau takut
        untuk hidup
        selain daripada kehidupan yang ditentukan
        oleh kesetiaan itu sendiri.

Tuah, segalanya bermula dengan keberanian
tetapi berakhir dengan ketakutan.
iii
Jebat,
kau telah berani memberontak
demi menegakkan kebenaran
dan demi kasih sayang dan sanjunganmu
terhadap si Tuah.

         Tetapi Jebat
         mengapa kau membiarkan Tuah merampas taming sari
         apakah kerana kau menyayanginya
         kau lupa untuk berwaspada
         apakah kerana kau menyanjunginya
         maka kau tidak pernah curiga
         yang dia bisa memiliki
         tipu helah yang keji.
Jebat, kau sepatutnya bertahan dengan taming sari
kerana dengan keris itu kau tidak terkalahkan
mungkin kau telah menang
dan berpeluang memenangkan kebenaran.

        Apa boleh buat segalanya telah terjadi
        Tuah menyanjung raja lebih dari kawan
        Jebat menyanjung kawan lebih dari kebenaran.

Aku selalu bertanya
kalau Jebat tidak menderhaka
apakah yang akan terjadi kepada Tuah
jika Bendahara tidak membuka rahsia
apakah yang akan terjadi kepada raja
jika Hang Tuah tidak mahu pulang ke Melaka
atau si Jebat terus betahan dengan taming sari
apakah yang akan terjadi kepada kita hari ini?

        Namun Bendahara, Tuah, dan Jebat
        mereka bertiga telah melepaskan peluang
        yang datang hanya sekali sahaja
        dalam sejarah bangsa.


(Pujangga Tidak Bernama : 40, 41, 42) 

ULASAN DATUK AHMAD SAID.

Rupa-rupanya bukan mustahil kita belajar memahami suatu epik melalui satu puisi, yang kalian ganda pendeknya. Bukan juga selalu kita dibantu merumuskan puisi oleh kalimat-kalimat karyawan sendiri, di hujungnya. Puisi penyair besar, teman fbku Zurinah Hassan, “Bendahara, Tuah dan Jebat, Aku Selalu Bertanya”, Dewan Budaya, Ogos 1988, muka surat 28-29” menyerlahkan permasalahan tragedi bangsa yang sudah berkurun tiada pernah diperiksa semuktamadnya. Hebatnya ciptaan ini kerana perspektif atau kekusutan suatu dilema yang dipercerahkan melalui beberapa kalimat padatnya yang memandu minda. 

Perhatikan. Kepada Bendahara, ditanyakan, “mengapa kau tidak  berani/membiarkan seorang raja/terhukum oleh kekhilafannya?” Kepada Tuah, ia lebih ditempelak, dengan “… kau sepatutnya …” dan diadili dengan penghakiman bahawa Tuah sebenarnya “…berakhir dengan ketakutan”  dan dikatakan juga “… memiliki/tipu helah yang keji”.  Sebaliknya Jebat telah dipuji bertindak betul, “berani memberontak” tetapi sangat dikesali “…lupa untuk berwaspada” sehingga hilang Taming Sari. Selepas itu, pertanyaan menyusuli satu persatu. Semuanya mengandaikan bahawa jika apa yang tidak  berlaku pada abad ke-15 dahulu itu sebaliknya berlaku,  “apakah yang akan terjadi kepada kita hari ini?”

ASKAT:  Saya memilih merungkai simpulan. Memahami logik penghujahan, kalau yang “sepatutnya” benar-benar berlaku, maka raja akan kecundang di tangan hulubalang garang,  dan Jebatlah menjadi raja kerana dialah ketua. (Tetapi adakah calon-calon untuk dilantik menyandang jawatan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Menteri Pertahanan dan semua-muanya dari kalangan rakyat jelata sekalian?)   Bendahara mungkin dipecat juga kerana tidak amanah mendukung etika perjanjian purba; Tuah mati dalam usia tua, tidak  dikenang lama, kecuali sekadar seorang pesara zaman beraja,  atau boleh juga, dilantik semula menjadi panglima mempertahankan Melaka dari serangan musuh-musuhnya. Tuah tetap seorang pekerja yang lebih berfungsi melaksana, tidak  serupa negarawan berwibawa.  Jika yang berlaku dahulu tidak  berlaku bahkan adalah sebaliknya, Melaka muncul sebagai negara yang diperintah berasaskan “kebenaran”, “kasih sayang”, “sanjungan”. Rakyat jelata harus mendukungnya kerana begitulah yang dikehendaki masa kini. Tetapi zaman itu adalah zaman beraja, ada perlembagaannya,  para penjawat  akur demi mendukungnya. Jadi pertanyaan lain mungkin lebih bermakna; kenapakah Jebat tidak  menubuhkan  ketumbukan, memberi satu alternatif menggantikan suatu bentuk pemerintahan kepada corak yang berlainan dengan prinsip-prinsip yang diperjuang bersendirian itu? Saya kira Jebat agak terkedepan, kurang berfikir panjang demi menjaminkan kejayaan perjuangannya.  

Maka kekusutan atau permasalahan akan terus berpanjangan. Kesimpulan masih  tak terleraikan.

Nota: Ilustrasi oleh Sabri Yunus.

MAJLIS PENGANUGERAHAN 26HB. APRIL 2016, DI HOTEL MARRIOT PUTRAJAYA.

Bismillahhirrahmanirrahim
Yang Berhormat Dato’ Seri Mahzdir  bin Khalid,
Menteri Pendidikan Malaysia,
merangkap Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara Ke-13;

Yang Berbahagia Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh bin Yaapar,
Pengerusi Lembaga Pengelola,
Dewan Bahasa dan Pustaka;

Yang Berbahagia Tuan Haji Abdul Adzis bin Abas,
Ketua Pengarah,
Dewan Bahasa dan Pustaka; 

Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri;

Datuk-Datuk, Datin-Datin;

Sasterawan-Sasterawan Negara;
Anggota panel Anugerah Sastera Negara Ke-13,

Dif-dif kehormat, tuan-tuan dan puan-puan sekalian.



Syair:
Assalamualaikum tuan bestar
Salam sejahtera seluruh negeri
Di pentas ini hamba berdiri
Teramat kecil rasanya diri

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT yang maha esa yang memakbulkan doa sekalian hamba-Nya. Dialah yang menentukan dan mengurniakan kelebihan mengikut ketetapan.

Saat ini, walau syair telah dirangkap dan seribu madah mungkin diungkap namun tirai rasa tak mungkin disingkap.

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia yang telah mengwujudkan Anugerah tertinggi di bidang sastera ini. Terima kasih yang khas ingin saya sampaikan kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong kerana sebenarnya Tuanku sendiri ialah sumber yang menyubur dan memperkaya semangat saya dalam mengharungi dunia sastera. Izinkan saya menceritakan peristiwa puluhan tahun yang lalu yang selamanya dikenang dan kini kembali berkembang. Semasa saya masih di Tingkatan 5, Tuanku telah membuat lawatan ke sekolah saya iaitu Sekolah Menengah Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah. Seorang guru yang mengetahui minat dan  kegiatan saya telah mencadangkan supaya saya mengumpul sajak-sajak saya yang kemudian disusun menjadi album dan dihias cantik oleh guru tersebut yang juga merupakan seorang pelukis negeri Kedah bernama  Cikgu Saidin Yahaya.

Dalam lawatan itu Tuanku telah ditunjukkan album tersebut. Saya  menunggu dengan debaran dan penuh harapan. Setelah itu, Cikgu Saidin memberitahu di hadapan sekumpulan guru dan pelajar yang Tuanku telah menatap album tersebut dan menatap sajak-sajak di dalamnya. Menurut Cikgu Saidin, Tuanku Sultan bertitah memuji sajak di dalamnya dengan kata-kata “Bagusnya budak sekolah ini boleh menulis sajak”. Titah itu sangat besar ertinya bagi patik. Ia telah meninggalkan kesan yang amat positif. . Sesungguhnya baginda telah menyemarakkan semangat saya untuk membaja dan menyiram benih-benih puisi yang baru belajar bertunas di bendang hati pada ketika itu.

Saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmat-Nya saya dapat berada dalam majlis yang gilang-gemilang dan penuh bermakna ini. Setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerja keras bagi memungkinkan keberadaan dan kegemilangan ini. Rasa terhutang budi khasnya kepada mereka yang memilih saya bagi menerima  pengiktirafan ini dan terima kasih kepada semua penerbit yang pernah menerbitkan karya saya termasuklah Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Penerbit Pekan Ilmu dan penerbit terawal, iaitu USM Press. Sesungguhnya banyak pihak telah membantu dan memainkan peranan masing-masing sehingga saya dapat berdiri di hadapan hadirin pada malam bersejarah ini.
Tuan-tuan yang dihormati,
Tahun enam puluhan
saya mencuri-curi ke kedai simpang
Membeli buku tulis dan pena sebatang
Untuk melakar bunga-bunga puisi
Yang baru belajar berkembang

Zaman tanpa komputer
mesin taip pun tak terpandang
di tengah bendang
tak terbayang oleh para ayah yang sibuk
membanting harapan
dan menuai kehampaan

Sehari-harian melakar tulisan membulatkan aksara
Agar terbaca oleh Tuan Pengarang
Orang tua-tua mula melepas rungutan
Mengapa saya, anak perempuan asyik menulis di meja
membaca buku,
tidak menjahit dan menyulam
Seperti gadis-gadis kebanggaan


Demikianlah gambaran sebahagian daripada liku-liku perjalanan yang ditempuhi oleh seorang anak perempuan yang mengatur langkah di jalan sastera. Ia disebut di majlis yang permai ini sesuai dengan kedudukan diri sebagai wanita pertama yang dianugerahi gelaran Sasterawan Negara, sesuatu yang ditunggu dan tidak kurang juga dipersoalkan sejak lama. Sesungguhnya mencari tapak berpijak sebagai pengarang wanita hampir 40 tahun yang lalu bukanlah mudah. Saya berhadapan dengan latar masa dan budaya yang berbeza yang mungkin tidak dikenali lagi pada hari ini. Saya mula mencintai buku dan penulisan sejak 40 tahun yang lalu, ketika orang tua-tua masih bertengkar adakah wajar membenarkan anak perempuan belajar di sekolah menengah yang semuanya jauh di bandar.

Namun begitu, syukur kepada Allah SWT yang telah memberikan pertolongan-Nya, mengurniakan hidayah dan sifat tabah sehingga dapatlah hambanya mengunyah yang payah. Selangkah demi selangkah dapatlah saya merentas jalan sukar mengharung semak belukar.
Tahun lapan puluhan karya sudah agak banyak tersiar
Nama dan gambar tercetak di akhbar
Saya sudah mampu memiliki sebuah mesin taip kecil
 menaip dengan cermat
Menaip semula setiap menukar aksara dan kalimat
Kebas bahu dan tangan terasa putus urat-urat
Sebelum sampai ke akhir muka surat.

Menjelang tahun 2000 alangkah bahagia
Komputer sudah tiba

Dan kini setelah menyeberang milenium
Menerawang di sesawang
Ribuan puisi lahir setiap hari
Keluaran tak terkawal bentuk tak kukenal
Sehingga terasa ada yang tidak ketahuan hala
Dengan ledakan penerbitan mandiri
Dan lambakan novel-novel popular


Demikian landskap hari ini jauh berbeza daripada tahun-tahun yang lalu ketika mula menjejakkan kaki di laman seni. Pada masa itu kami memandang kepada pengarang yang sedang giat berkarya seperti Pak Sako atau Ishak Haji Muhammad, A. Samad Ismail, Keris Mas, Usman Awang, A. Samad Said, Salmi Manja, dan Adibah Amin. Nama-nama inilah yang kami genggam dalam ingatan sebagai idola dan sumber kekaguman.
Namun sekarang keadaan jauh berbeza. Tiba-tiba terasa semua orang boleh menjadi pengarang. Setiap saat akan terbit karya secara cetakan atau melalui dunia maya. Hal ini merupakan suatu kelebihan. Ada yang berbakat dan mudah untuk mengasah bakat mereka. Ada yang menyedari bakat dan kelebihan diri lalu beraksi dengan bangga.
Hinggakan:

Di simpang siur kota siber yang riuh
Saya merasa kecil dan jauh.
Tak kurang telinga ini mendengar suara-suara mencemuh
“Ah apalah gunanya mereka menulis dan menjaga nilai sastera
Konon bergelar sasterawan besar
menghasilkan tulisan menjana pemikiran
Memperkasa  minda bangsa memartabatkan bahasa
Sedang kami di sini tanpa sebarang anugerah menulis sesedap rasa.
Tidak perlu penerbit berjenama.
Sebahagian kami mencetak dan menjual sendiri
dan orang ramai berkerumun membeli .
Untung berganda  menerima habuan royalti
yang tidak mampu dikecap oleh yang bergelar sasterawan
walaupun dalam mimpi.

Dunia penerbitan menjadi riuh sekali. Penulis ada di mana-mana. Penerbit tumbuh dengan kepelbagaian idea dan gaya.
Lalu terdengarlah khabar tentang pasaran buku yang begitu subur dan segar. Alhamdulillah jika itu sudah rezeki pemberian Ilahi. Antara  penulis ini ada yang memperlihatkan bakat dan keikhlasan. Hal ini amatlah dialu-alukan. Semua ini merupakan satu keberuntungan, petunjuk bahawa tradisi pengucapan kreatif dan  sastera Melayu semakin meningkat dan berkembang maju.
Sesungguhnya kita memerlukan pewaris untuk menyuburkan  rimbun subur harapan pada masa kini dan masa depan. Janganlah mengesyaki  bahawa telah bersarang rasa  iri hati kepada golongan yang memperoleh rezeki.
Namun daripada rasa cinta akan bahasa dan bangsa, kami berharap jadikanlah kepopularan diri untuk membawa rakan sebaya ke jalan hidup berbudaya. Teruskanlah menghasilkan tulisan yang diikuti dan diminati untuk membina angkatan generasi yang mempunyai kekuatan diri. Semoga bertambah teguhlah kita sebagai bangsa berperibadi, beradat dan bertradisi.
Semua pihak akan berbahagia seandainya penulis semasa mengutamakan tertib bahasa dan santun susila, membina kekuatan perbukuan dengan nilai pemikiran, bukan semata-mata khayalan dan hiburan. Usahlah menambahkan calar bahasa dengan celaru nahu, pulanglah mengenal aksara perjuangan nenek moyang. Tataplah peta lama yang  terpahat di dinding rumah pusaka.
Kutiplah makna daripada catatan masa silam sebelum ia terpadam
Selamilah lautan madah pujangga mengutip kerdipan mutiara makna
Jangan dilupa pantun pusaka
Kenali permata bernama seloka
Tajam mengkritik  dalam jenaka
Fahami nasihat dan pedoman yang tersulam dalam gurindam
Hayatilah syair yang bertema dan berima
Nazam yang menyebar ajaran agama

Pasir putih di pinggir kali
    Tempat menyabung ayam berlaga
Bahasa tidak dijual beli
     Bukan benda buat berniaga.

Semoga lahir pengarang muda bestari berpaksikan kebijaksanaan tradisi. Jadilah benteng yang memperteguh kota diri di kala bahasa kita cuba dihakis dari kanan dan kiri. Semoga akan terlerai keserabutan yang menyukarkan usaha merancang, membentuk dan membina perkembangan kebudayaan yang diperlukan bagi menjamin kestabilan dan kelangsungan kita sebagai sebuah negara yang aman. 
Negara menjadi gah dan maju bukan sahaja kerana pertumbuhan pendapatan, kemajuan prasarana fizikal, dan kecanggihan teknologi. Kemajuan  ditentukan oleh kemajuan jiwa dan rohani yang membentuk watak dan akhlak. Kemajuan terhapus di tangan manusia rakus dan politikus yang menikus. Pembangunan yang tidak seimbang tidak menjamin keselesaan apabila jenayah membiak dan mengancam keselamatan. Kebendaan memerangkap manusia dalam pencarian yang tidak bertemu kepuasan. Jika Shakespeare mengatakan bahawa dunia sebuah pentas sandiwara, maka dunia masa kini ialah sebuah pasar raya. Bumi dicakar luka, hutan-hutan diratah untuk dibina rumah yang kemudian hampir habis direbut oleh hartawan hartanah sebelum sempat dimiliki oleh anak negeri yang memerlukan bumbung untuk membina keluarga. Sang spekulator yang mencari untung berkarung menolak  anak-anak masa depan ke lorong-lorong dan kolong lalu jenayah meningkat kerana mereka terpaksa menjadi ular dan lipan untuk mencari makan.
Di sini izinkanlah saya menyampaikan setinggi setinggi penghargaan kepada suami saya Haji Mohamed Saaid Abdul Manap yang sanggup menggalas pelbagai tugas demi memberikan masa dan peluang untuk saya menulis. Saya juga mengenang jasa sasterawan sasterawan negara terdahulu yang telah memandu arah tuju termasuk Usman Awang, Abdullah Husin, A.Samad Said dan Shahnon Ahmad, dan semua pihak yang banyak berjasa dan tidak mungkin tersebut semuanya. Allah sahajalah yang membalas kebaikan dan budi yang dicurahkan.
Sebelum mengundurkan diri, izinkan hamba membaca sebaris dua puisi:
Ladang kita luas terhampar
Banyak dedalu sedang menjalar
Dengan bahasa teguhkan akar
Sebelum pohon mati terkapar

Terima kasih.
Wabillahi taufik wal hidayah,
wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.





GAMBAR GAMBAR SEKITAR MAJLIS PENGANUGERAHAN 26HB. APRIL 2016, DI HOTEL MARRIOT PUTRAJAYA.




Penulisan Kreatif pada dasarnya ialah proses penciptaan karya sastera. Ia bermula dari tercetusnya idea (yang disebut sebagai mendapat ilham), memikir dan mematangkan idea tersebut, mengolah dalam bentuk tulisan dalam pelbagai genre, dan seterusnya memperbaiki dan memurnikan sehingga lahir sebuah karya yang baru. Proses di atas tidak berlaku dalam tempoh masa yang sama untuk semua pengarang.Setiap seorang pengarang juga tidak mengambil masa yang sama untuk menghasilkan karya yang berlainan. Proses kreatif boleh dibahagikan kepada beberapa tahap
.
 TAHAP 1: CETUSAN IDEA. 
1      Suatu  idea muncul di dalam benak atau pemikiran penulis. Kemunculan ini  disebut  juga sebagai mendapat ilham. Idea sering muncul tidak mengira waktu dan tempat,seringkali dengan tidak diramal. Kadang-kadang ketika seseorang di dalam kenderaan, ketika berbual dengan orang lain, atau ketika menonton television. Ia muncul ketika sedang sibuk, sakit atau ketika sihat.
2     Idea sering melintas dengan cepat dan kemudian menghilang Dan kita biasanya mudah terlupa. Oleh itu, sangat membantu jika seorang penulis  membawa buku catatan (atau apa-apa alat IT yang canggih dewasa ini) untuk mencatat sesuatu yang melintas di fikirannya.  Pencatatan idea harus dilakukan sebaik mungkin. Idea ini kemudian dapat diperhalusi, difikir-fikirkan sehingga benar-benar menjadi matang dan jelas.
3    Idea yang muncul banyak bergantung kepada pengetahuan dan pengalaman seseorang. 
    Semakin banyak pengalaman dan pengetahuan seseorang, semakin banyak kemungkinan idea yang akan dapat dihasilkannya. Untuk menyuburkan tumbuhnya idea- idea baru  seseorang harus terus meningkatkan pengetahuan dan pengalamannya di dalam pelbagai bidang seperti kesenian, politik, ekonomi, sosial, pendidikan, dan lain-lain. Pengetahuan dapat diperolehi melalui membaca, berdiskusi, mendengar ceramah, dan lain-lain. Pengalaman dapat diperoleh secara langsung atau tidak langsung.
4   
     Seorang penulis juga boIeh berusaha untuk memperkayakan idea antara lain  
     (i) dengan mempelajari idea orang lain, 
     (ii) meningkatkan pengetahuan dan pengalaman, 
  (iii) menciptakan suasana yang santai, merasa selesa dan berani untuk bertukar-tukar pandangan dan mendengar pandangan orang lain terhadap hasil tulisan 
    (iv) sering berlatih..

Tahap Kedua : Mengembangkan Idea
1     Seorang penulis sering mendapat lintasan-lintasan idea atau pemikiran yang samar-samar dan tidak lengkap. Idea yang muncul biasanya tidak dapat terus dituangkan ke dalam karya sastera, tetapi masih memerlukan pengolahan terlebih dulu. Dengan mengolah dan menyempurnakan secara terus- menerus idea akan menjadi lebih matang dan kuat untuk dilahirkan menjadi karya sastera.
2     Idea dapat dimatangkan melalui pembacaan. 
    Melalui pembacaan kita dapat mengetahui apa saja yang tidak mungkin dialaminya secara langsung.Dengan banyak membaca karya sastera, seorang bakal penulis dapat menambah pengetahuan dan meningkatkan kemahiran di dalam penggunaan  bahasa dan gaya pengucapan karyanya.
3     Idea dapat dimatangkan melalui pengalaman. 
   Idea yang masih samar-samar dapat diperjelas dengan cara menerjuni secara langsung kehidupan yang akan digambarkan. Misalnya seorang penulis yang ingin menceritakan tentang kehidupan seorang gelandangan harus bercampur gaul dengan mereka untuk memperoleh gambaran yang lebih dekat.
4    Idea dapat dimatangkan dengan perenungan.
   Dalam merenung seorang penulis akan mengungkap kembali seluruh pengetahuan dan pengalamannya yang relevan dengan idea yang sedang digarapnya. Dalam perenungan seorang penulis berusaha melakukan proses berpikir untuk mencari kemungkinan hubungan antara idea yang muncul dengan sesuatu yang lain yang tidak memiliki hubungan secara langsung.
5     Idea dapat dimatangkan melalui diskusi. 
   Dengan berdiskusi seorang penulis dapat saling bertukar pengetahuan dan pengalaman sehingga suatu idea dapat menjadi jelas karena ditinjau dari pelbagai sudut pandangan.      Idea dapat dimatangkan melalui pengamatan.
   Dengan mengamati secara langsung seorang akan dapat melihat dapat melihat sesuatu objek dengan lebih  lengkap.

Tahap Tiga: Menulis
1    Idea yang dimatangkan itu sedia untuk ditulis. Menulis melibatkan penggunaan bahasa. Seseorang yang tidak mahir berbahasa akan gagal untuk melahirkan karya yang baik. Oleh itu adalah penting untuk memperkaya kosa kata dan menguasai kaedah bahasa, laras bahasa, sistem makna, dan sistem bunyi bahasa.
2   Kadang-kadang seseorang mengalami masalah psikologis seperti perasaan takut, malu, tertekan, tension (ketegangan) dan kurang yakin. Seorang penulis harus membebaskan dirinya daripada perasaan-perasaan tersebut agar penulisan berjalan dengan baik dan idea dapat mengalir. Penulis harus merasa tenang, santai, selesa dan seronok untuk berkarya.
3    Ramai penulis, terutama penulis penulis baru yang mengalami kesukaran dan tersekat-sekat ketika mengungkap idea dan mula merasa dirinya tidak mahir, tidak berbakat Ada yang berputus asa. Ingatlah kemahiran hanya boleh diperolehi melalui ketekunan dan kerajinan. Semakin sering dan tekun berlatih menulis, akan semakin lancar seorang penulis dalam melahirkan karya-karyanya

Tahap Keempat: Memurnikan Penulisan
1    Penulisan yang dilahirkan biasanya tidak terus baik dan sempurna. Untuk itu, seorang penulis perlu membaca kembali karya yang ditulisnya dan bila dianggap perlu ia akan mengubah, menambah, atau menguranginya. Ini dilakukan berulang-ulang sampai penulis merasa yang telah berjaya mengungkap apa yang hendak disampaikan.
2    Idea yang dilahirkan sering mengalami perubahan dan pengembangan. Peristiwa yang ingin digambarkan secara singkat dan padat akhirnya digambarkan dengan panjang lebar. Seorang penulis yang pada asalnya  ingin menggambarkan kehidupan watak-watak yang terdiri dari orang-orang kampung menukar fikiran dan menjadikan tokoh-tokohnya orang bandar. Hal seperti ini memang sering berlaku
3    Karya disempurnakan dengan membaca kembali yang tertulis. Ada yang terus membaca selepas ditulis , ada yang menunggu beberapa hari. Hal ini bergantung pada kecenderungan pribadi masing-masing . Dengan membaca kembali seorang penulis mengubah dan menyempurnakan apa yang masih kurang dalam tulisannya.

4    Ada pula penulis yang senang membaca tulisannya sendiri dan menyempurnakannya tetapi ada juga yang tidak mahu membaca tulisannya lagi  lalu meminta orang lain untuk membaca dan memberi pandangan. Ia akan mempertimbangkan tanggapan-tanggapan tersebut pada penulisan karya-karya berikutnya.