ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Wednesday, September 28, 2022

 RELEVANKAH SASTERA DALAM ARUS GLOBAL MASAKINI


Moderator:  Pada pandangan Dato', adakah sastera mempunyai peranan yang penting dalam kehidupan manusia? 
Jawapan:  Sastera mempunyai peranan yang penting dalam kehidupan kerana sastera adalah ciptaan seni yang menggunakan bahasa, Sastera dicipta dengan bahasa oleh itu penciptaan sastera akan meningkat dan memperbaiki bahasa itu sendiri. Kita sedia maklum pada adatnya, sesuatu itu akan menjadi lebih baik jika selalu digunakan.Sebaliknya andai tidak digunakan atau jarang digunakan ia akan berkarat dan rosak.  Contohnya, kita disarankan supaya selalu bersenam supaya bertambah sihat kerana otot yang sering digunakan akan berada dalam keadaan yang baik.

Begitulah bahasa kita, bahasa perlu diperbaiki sepanjang masa agar dapat digunakan secara optima.  Manusia adalah ciptaan Allah yang paling canggih dan teratas kerana manusia memiliki bahasa. Hanya kepada manusia, Allah kurniakan bahasa. 

Hidup kita memang tidak boleh lari daripada menggunakan bahasa. Manusia menggunakan bahasa setiap hari kerana manusia mesti berkomunikasi atau berhubung antara satu sama lain. . Bahasa adalah satu keperluan dalam kehidupan. Hari ini kita berseminar dalam talian kerana manusia telah mencipta pelbagai peralatan sehingga anda di Pulau Pinang boleh berbual seperti kita duduk bersemuka. Tetapi apakah gunanya alat-alat canggih ini jika kita tidak mempunyai bahasa untuk merangkai kata-kata, menyusun maklumat atau mencurahkan perasaan. 

Oleh itu kita perlu memelihara dan memperbaiki bahasa. Hal ini dapat dicapai dengan penciptaan karya sastera.


Moderator: Orang dalam bidang teknikal nampaknya tidak memerlukan sastera. Betulkah? 

Memang benar kita tidak mahu semua orang menjadi sasterawan.  Bidang teknikal juga sangat penting dalam membina tamadun bangsa. Seperti yang saya katakan tadi, semua orang perlukan bahasa untuk berkomunikasi, tidak kira sama ada dia orang teknikal atau tidak. 

Nah, soalnya sekarang, tidak kira samaada seorang doctor, atau seorang jurutera, mekanik, jutawan siapa saja, akan menghadapi pelbagai masalah dalam hidup. Masalah ini dapat diatasi dengan pemikiran yang matang dan bijaksana. Salah satu cara mematangkan fikiran dan mengatasi kemelut kehidupan ialah dengan belajar daripada pengalaman orang lain. Hal ini dapat dipelajari melalui karya sastera dan falsafah.

Saya ingin memetik sebuah sajak yang saya tulis sempena menyambut 20 tahun Universiti Malaysia Perlis:

Pendidikan bukan semata kemahiran teknikal.
Tapi pembinaan minda cekal,
pemupukan budi dan akal.
Falsafah dan sastera membina minda kritis
keupayaan menganalisis dalam era penuh krisis.
Revolusi industri menghidangkan canggih peralatan
dan kuasa rangkaian
namun tanpa rasa dan bahasa
komunikasi terhenti dan mati di hujung jari
(petikan sajakku SETELAH TERBINA KEYAKINAN)
sempena sambutan 20 Tahun Universiti Malaysia Perlis.














Tuesday, September 20, 2022




Pada  17 Mac 2022 saya telah dijemput menjadi panel Forum yang bertajuk  DASAR KEBUDAYAAN NEGARA (DAKEN) DARI PERPEKSTIF SASTERAWAN NEGARA bersama Dr. Tan Awang Besar Setiausaha Bahagian Kebudayaan MOTAC dan Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.  

Berikut ialah beberapa soalan yang diajukan dan jawapan yang telah diberikan.

 

APAKAH YANG SEPATUTNYA YANG MENJADI HARAPAN KEPADA RAKYAT PELBAGAI KAUM TERHADAP DAKEN? YANG DIPERKENALKAN OLEH KERAJAAN

 

DAKEN 2021 dari satu segi menyambung DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN yang berlangsung pada 1971.  Keduanya adalah manifestasi suatu usaha yang berterusan untuk membina bangsa Malaysia.

 

Negara Malaysia telah terbentuk dalam tahun 1969. Waktu itu telah terbina NEGARA MALAYSIA tetapi bagaimana dengan BANGSA MALAYSIA?  Kongres Kebudayaan 1971, diadakan untuk   mencari ciri-ciri yang boleh diterima dalam usaha pembentukan  bangsa Malaysia.Kongres Kebudayaan diadakan untuk membentuk DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN (DKK).

 

Dalam Kongres tersebut pelbagai aspek telah dibahaskan Semua itu nampaknya belum selesai lalu dilanjutkan dalam perbincangan hingga ke hari ini, 

 

Tajuk hari ini  DAKEN Daripada Perperspektif Sasterawan Negara.Tidak Dapat Lari dari  memberi perhatian kepada Dasar Kesusasteraan Kebangsaan.  Seperti yang telah dipersetujui ialah sastera yang menggunakan Bahasa Melayu dan mencerminkan kehidupan tempatan.

 

DKK turut membincang Pendidikan seni untuk para aktivis dan seniman kita. Antara yang terhasil oleh Kongres Kebudayaan Kebangsaan ialah ASWARA dan Panggung Negara yang kemudiannya dirasmikan sebagai Istana Budaya. DKK berlandaskan  prinsip2

 

-          Prinsip2 DKK yang kebanyakan kita dah hafal.

-           berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini

-          Unsur kebudayaan lain yang sesuai boleh diberi pertimbangan selagi tidak bercanggah dengan rukun negara dan perlembagaan negara.

-          Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan.

 

 

DKK dan DAKEN dikemukakan dengan harapan rakyat melihatnya sebagai ikatan mengharmonikan masyarakat majmuk di Malaysia  Prinsip2nya  berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.  menyeragamkan kefahaman semua rakyat pelbagai kaum di negara ini bagi memelihara kemakmuran, keamanan dan kesejahteraan dengan jiwa patriotik.

Malah kita berharap ia dapat menjadi  ideologi negara.  

 

 

Jadi, matlamat Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) yang dilancarkan pada tahun 1971. besar dalam sejarah bangsa Malaysia.

 

Kita harap rakyat semua kaum melihat kpd DKK sebagai usaha penyatuan. Kerana tanpa perpaduan negara di dalam bahaya.

 

Kita harap rakyat menerima Cabaran. Dua perkara dua faktor penolakan ialah salahfaham tentang  ISLAM,, BAHASA MELAYU. Berlakunya salah tanggapan konsep di kalangan  orang awam terutama golongan yang menolak prinsip2 Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

 

Cabaraan yang masih berterusan di peringkat perlaksanaannya ialah kerana adanya salah tanggapan tentang konsep. . Pertama penggunaan istilah Islam dilihat sebagai yang dianggap membawa makna menolak agama2 lain.Ia lebih kepada usaha bagi menghilangkan tanggapa ini. Budaya etnik lain boleh digunakan selagi tidak bercanggah dengan Perlembagaan dan Rukun negara.

 

BAGAIMANA YANG DIKATAKAN BANGSA MALAYSIA?. 20 tahun selepas Dasar Kebudayaan 1971. Hal ini masih dibahaskan , Tun Mahathir membentang gagasan Malaysia melangkah ke hadapan yang dikenali sebagai WAWASAN 2020. . 28 februari 1991

Jauh perjalanan kita mencari identity

Sejauh mana harapan kita menjadi realiti, atau harapa tinggal harapan.

 

APAKAH YANG SEPATUTNYA DILAKUKAN OLEH SEMUA PIHAK (KERAJAAN /ORANG AWAM//ORANG POLITIK DALAM USAHA MEMASTIKAN DKK INI DAPAT DIHAYATI DAN DIPATUHI.

Di dalam usaha menjayakan apa-apa dasar pun yang bertujuan membina negara dan demi kepentingan rakyat, yang paling utama ialah KESUNGGUHAN DAN KEJUJURAN. jangan pula melaksanakan sesuatu semata-mata untuk retorik politik.

 

Sebagai asas, Dasar Kebudayaan tidak akan ke mana tanpa usaha2 yang menyeluruh untuk memperbaiki hidup rakyat. Rakyat tidak dapat berfikir tentang pembinaan bangsa Malaysia, apalah gunanya jika setiap petang,   senja dan malam harus mengharung sesak lalulintas untuk sampai ke rumah. Malah kadang2 kereta dihanyut oleh banjir dan banyak lagi aspek ekonomi yang mesti diperbaiki kerana itu akan mempengaruhi pemikiran rakyat.

APAKAH PERANAN RAKYAT DALAM DAKEN?:

Rakyat harus dididik pemikiran mereka untuk mencintai negara. Harus sedar inilah negara mereka yang akan diwariskan kepada anak cucu. Nasib keturunan akan datang bergantung kepada kita hari ini. Jangan sampai mewariskan negara yang telah hancur lebur.

 

BAGAIMANA PERANAN PIHAK PENGGUBAL DASAR?,

Diharap pihak penggubal dasar tidak membuat sesuatu dasar hanya kerana mencari populariti dan pengukuhan diri sendiri . Para pegawai dan implementor diminta turun ke padang menerangkan dasar kerajaan. Ini kerja saya dulu semasa menjadi Pegawai Penerangan Malaysia. Sedangkan arahan dari atas banyak simpang siur dan putar belit.  Maksud saya arahan sering berubah ikut sesuka hati siapa yang memegang kuasa.

Yang penting mesti konsisten dengan arahan dan matlamat . Jangan pula selepas tokoh yang mengemukakan dasar kebudayaan kebangsaan atau apa2 dasar penting telah berlalu maka dasarnya dilupakan  lalu digantikan dengan dasar baru, berlainan malah mungkin bercanggah, Hal spt ini memang lazim di negara kita. Seorang nakhoda menentukan arah. Datang nakhoda lain, berubah pula haluannya. Lalu banyaklah Dasar seperti DKK,  Wawasan 2020. Islam Hadiri, One Malaysia,

 

APAKAH PERANAN KEGIATAN SENI (SEPERTI FILEM )?

Seni harus diberi perhatian kerana melalui seni banyak peluang dalam mencapai pertemuan budaya serta penyatuan jiwa termasuk  seni berpakaian,

Seni , seperti Filem dan Muzik memainkan peranan yang sangat penting dalam integrasi nasional. Kita menyaksikan kumpulan-kumpulan seperti Alleycat menyanyi lagu-lagu Melayu dan disambut baik oleh semua ras dan golongan masyarakat. .  Penyanyi seperti Andre Goh bukan setakat menyanyi lagu Melayu malah Lagu  MELAYU ASLI. Begitu juga DJ Dave dan beberapa nama  lagi.  

Saya menarik perhatian kepada  novel Ah Fook yang ditulis oleh Juan Chian Lai dari Sarawak. Juan Chian Lai juga contoh penulis bukan keturunan Melayu.

Novel ini adalah pemenang hadiah pertama Sayembara Penulisan ITBM, PENA, BERITA HARIAN. Ia mengisahkan seorang yang datang dari negeri China untuk membina kehidupan di Sarawak.  Dia  melarang anak-anaknya daripada meniru budaya tempatan. Dia mengagung-agungkan bangsanya dan tidak mahu keluarganya terlalu baik dengan masyarakat lain. Namun begitu dengan cara yang menarik pengarang menceritakan bagaimana hatinya mula berubah dan mula lembut bila mendengar lagu-lagu  P. Ramlee.

 

DI ANTARA BUDAYA RAKYAT RANTAU INI KHUSUSNYA BUDAYA ORANG MELAYU DAN BUDAYA ASAL SESUATU KAUM. DI MANAKAH TITIK TEMU BERIKAN CONTOH. YANG BOLEH DISESUAIKAN UNTUK MENJADI ASAS PEMBENTUKAN KEBUDAYAAN KEBANGSAAN MALAYSIA YANG SIFATNYA BOLEH DITERIMA OLEH SEMUA PIHAK..

 

Pertembungan budaya bukan perkara baharu. Dalam buku Sejarah di sekolah kita belajar bahawa tanah leluhur Nusantara ini adalah tempat pertemuan pelbagai budaya. Terutama semasa Selat Melaka menjadi laluan utama pedagang-pedagang yang berulang alik dari India dan China. Ketika itu tanah pinggiran Selat Melaka terutamanya, menjadi tempat  menjadi persinggahan dan perteduhan untuk menunggu masa untuk penyambung pelayaran. Ada yang singgah dan berkahwin dengan rakyat tempatan, mereka bukan hanya membawa barang-barang dagangan tetapi membawa hasil seni dan sastera.

Orang Melayu telah menghasilkan pantun-pantun yang tinggi mutu dan pemikiran. Hasil daripada pertembungan ini kita menerima syair, nazam dari Timur Tengah, Seloka, gurindam dari India . Pujangga-pujangga kita mula mengadaptasi bentuk2 yang datang dari luar sehingga melahirkan tokoh syair Hamzah Fansuri dan tokoh gurindam Raja Ali Haji.

Hal yang sama hingga zaman digital. Puisi tradisi boleh diperkembangkan dan digabung secara harmonis dengan unsur2 budaya dari luar. Peranan seni telah disentuh sebelum ini.

Sepanjang kita lihat orang Melayu sebagai penduduk asal adalah amat kreatif dan akomodatif. 

Wednesday, September 14, 2022

 LATAR BELAKANG
Selain disiar di akhbar dan diterbitkan dalam buku, puisi Melayu juga berkembang melalui Deklamasi.  Deklamasi adalah media untuk menyebar puisi.
Deklamasi terbahagi kepada:
1.    Untuk pertandingan
2.    Untuk persembahan
PERTANDINGAN:
Pertandingan deklamasi menjadi lebih sistematik dan konsisten sejak Gapena menganjurkan Sayembara Deklamasi Hari Kebangsaan (1987). Setelah belasan tahun diadakan, maka dirasakan perlu ada variasi deklamasi yang lebih bebas dan memberi ruang untuk berkreativiti. Dari sini bermula Persembahan Puisi Artistik. Pengasasnya ialah  Datuk Rahman Shaari.
Untuk Persembahan ia boleh dikembangkan menjadi pesembahan teater yang besar dengan ramai pelakon.
Pertandingan Deklamasi Artistik.
Deklamasi Artistik melibatkan
1-Deklamasi puisi .
(Dalam Sayembara Deklamasi Puisi hanya melibatkan seorang deklamator naik ke pentas. Deklamasi Artistik boleh  melibatkan seorang atau lebih terpulang kepada syarat Penganjur. Untuk pertandingan disarankan tidak melebihi tiga orang).
 2- Teknik Pementasan untuk Penyampaian
Elemen teater dan pementasan secara minimal mungkin melibatkan
·         Lakonan/ Gerakbadan . Melakonkan peristiwa dalam sajak.
·         Menggunakan gerak tari.
·         Menggunakan Peralatan pentas. prop, set, latar belakang secara minima, tatacahaya, kesan bunyi, latar muzik yang sesuai, .
·         Deklamator boleh menggunakan tatarias dan busana yang sesuai. Membawa seseorang atau dua untuk menggayakan lakonan atau bermain muzik. (terpulang kepada penganjur)
·         Deklamator membawa peralatan/Prop yang ringan yang tidak melibatkan persediaan pentas yang  mengambil masa untuk set up.
·         Deklamator menyanyi, bersyair  sebahagian daripada baris-baris puisi diiringi muzik atau secara mestamu (melodi sajak tanpa muzik)
·         Deklamator menggunakan skrin multimedia menayang peristiwa yang ada dalam sajak.
. Contoh:
1.Membaca  “Sajak Orang-orang lapar” (WS Rendra): berpakaian seperti orang miskin, membawa pinggan mencari nasi. Berlakon seperti benar-benar lapar. Tidur keletihan ,
2. Membaca sajak Kuali Hitam (Zurinah Hassan) dengan membawa sebiji kuali hitam naik ke pentas. Boleh gunakan untuk lakonan  memasak dan mengetuknya sebagai alat muzik.
3. Membaca sajak bertema Kemerdekaan dengan membawa bendera. Menunjuk gambar-gambar pemimpin /pahlawan2 di Skrin.
4. Membaca sajak bertema kehidupan petani dengan deklamator  berpakaian seperti orang-orang , berdiri tegak dan membaca sajak.
 
PENGHAKIMAN
 
Secara keseluruhan penilaian juri akan melihat:
Deklamator dapat menyampaikan maksud puisi kepada penonton.
Elemen elemen teater yang digunakan ada kesatuan yang menyokong isi puisi. Kesimpulannya yang utama ialah Penyampaian Puisi dan sejauh mana peralatan dibawa memberi makna dan membina suasana puisi.
 
Penghakiman boleh dibahagikan kepada
Suara – deklamasi dan penyampaian makna puisi
Nada.- Intonasi, sebutan dan sebagainya
Teknik  peralatan yang digunakan, elemen pementasan
Gaya:  seluruh pergerakan di atas pentas, melibatkan penghayatan dan keyakinan diri