Pantun ialah Puisi
Melayu Tradisi (PMT) atau Puisi Warisan yang digemari hingga ke hari ini.
Pantun diterima sebagai warisan asli bangsa
Melayu berbanding dengan puisi puisi lain seperti Syair, Gurindam, Nazam
yang dikatakan berasal daripada kesusasteraan Arab, Parsi dan India.
Pantun bukan hanya
terkenal di alam Melayu, malah diiktiraf di dunia sebagai hasil sastera yang tinggi nilainya. Oleh kerana itu
masyarakat Melayu sepatutnya memelihara Pantun sebagai pusaka yang berharga.
Di
antara sekian banyak puisi warisan, boleh dikatakan Pantun adalah bentuk yang
paling popular dan hidup subur pada masa
ini. Pantun tersebar luas melalui
pelbagai media seperti lirik lagu, majlis perkahwinan, majlis rasmi dan
pelbagai acara kemasyarakatan. Sering juga diadakan pertandingan berbalas
pantun baik di peringkat sekolah hingga ke peringkat kebangsaan, contohnya,
Pesta Pantun Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan yang dianjurkan oleh
Kementerian Pelajaran dengan kerjasama pihak swasta. Pantun bukan sahaja disiarkan dalam
majalah ilmiah dan budaya seperti Dewan Budaya, Dewan Sastera dan Pelita Bahasa malah dalam
majalah-majalah jenaka dan komik seperti
Ujang dan Din Lawak.
Pengiklan juga menggunakan pantun untuk melariskan jualan, misalnya pantun di
bawah:
Kek
lapis dan kuih bahulu,
Menjadi juadah di
Hari raya;
Kalau
puan-puan ingin tahu,
Semua perkakasan ada di IKEA.
(Utusan
Malaysia 13 Oktober 2006 dalam iklan IKEA )
Pantun juga berkembang di internet. melalui
beberapa laman web khas. Di samping itu pantun turut disebar luas melalui sms misalnya sempena hari raya atau peristiwa-peristiwa tertentu.
Pantun sms ini biasanya bernada jenaka dan bertujuan untuk menyampaikan
komen-komen yang nakal. Dari sini kita melihat teknologi moden mengembalikan
unsur-unsur sastera rakyat yang tersebar tanpa diketahui pengarang asalnya.
Melihat kepada keadaan ini,
kita tidak bimbang tentang survival
pantun. Ia bukan hanya hidup tetapi
berkembang mekar. Walau bagaimanapun hal
yang membimbangkan ialah tentang
penghayatan pantun. Masyarakat mengucapkan pantun tetapi kurang
menghayati maksud dan kata-kata yang digunakan menyebabkan nilai, maksud dan falsafah
yang tinggi itu tidak dikenali oleh
masyarakat.
Setiap
Puisi Melayu Tradisi berbeza daripada segi ciri dan fungsi masing-masing. Yang membezakan Pantun dari jenis puisi yang lain ialah
adanya Pembayang. Dengan itu pantun mudah dibezakan daripada Syair, Gurindam
atau Nazam.
NILAI
ESTETIKA PANTUN.
Seperti
yang disebut, pantun ialah hasil seni yang tinggi nilainya. Antara ciri
estetika pantun ialah:
• Berima abab, tidak hanya rima akhir yang tepat tetapi
juga rima tengah dan rima awal.
• Pantun yang indah menggunakan alam sebagai pembayang dan
perlambangan.
• Menggunakan perkataan Melayu yang asal /lama
• Menggambarkan budaya tempatan
Perkataan perkataan
yang digunakan dalam baris awal pantun (Pembayang) tidak hanya berfungsi untuk
menerbitkan rima semata-mata tetapi turut berperanan membangkitkan makna dan
suasana. Setiap perkataan yang digunakan dalam pantun seperti juga dalam puisi
lain, adalah besar peranannya. Misalnya kita tentu tidak menyebut seseorang
makan strawberry,
kebab atau keju jika hendak menunjukkan
Pantun
menjadi indah dengan gambaran suasana alam tempatan serta imej dan budaya
Melayu. Justeru itu seharusnya menggunakan perkataan Melayu yang asli dan asal.
Pemantun menggunakan bunga seperti tanjung, melur atau teratai dan tidak bunga
turlip misalnya.
Seringkali pantun
menggambarkan keadaan alam seperti sungai, laut, gunung, tumbuh tumbuhan dan
haiwan (flora dan fauna) Objek alam biasanya berada pada bahagian Pembayang.
Namun begitu terdapat objek alam yang
digunakan pada bahagian Maksud. Objek
alam ini digunakan bagi menggambarkan kehidupan dan perilaku manusia, di
samping menyampaikan pemikiran, memberi nasihat dan pedoman hidup. Hal ini biasanya terdapat di dalam pantun
yang dikenali sebagai pantun kiasan dan pantun peribahasa. Tulisan ini
seterusnya akan membincang penciptaan pantun dan penggunaan unsur alam sebagai
perlembangan. Ini akan dibahagikan di bawah beberapa elemen alam yang lumrah
didapati iaitu laut dan lautan, gunung ganang, sungai, namun begitu setiap
pantun kadang-kadang tidak menggunakan imej saja, Misalnya ada pantun yang
Untuk tulisan ini
istilah perlambangan digunakan dengan pengertian yang luas. Perlaembangan
dikira telah terjadi bilamana terdapat unsur-unsur seperti di bawah:
·
Penggunaan
satu perkataan bagi maksud sesuatu yang lain
·
Menyamakan
sesuatu dengan sesuatu yang lain
·
Membandingkan
sesuatu dengan sesuatu yang lain
·
Mengasosiasi,
mengaitkan dan menghubungkan sesuatu dengan yang lain.
ALAM
LAUT DAN LAUTAN
Laut, lautan atau
samudera merupakan alam yang sering
hadir di dalam pantun. Laut meliputi lebih daripada tujuh puluh peratus muka
bumi. Laut juga dilihat berada dalam keadaan yang tidak berubah di
tempatnya berbanding
dengan perubahan dan pembangunan yang berlaku di daratan. Keadaan laut yang masih
sama seperti dahulu dijadikan perlambangan untuk memperkatakan tentang keadaan yang teguh dan lebih kekal .
Keluasan laut amat mempengaruhi kehidupan dan dengan itu
mempengaruhi perasaan dan pemikiran manusia termasuk pencipta pantun.
Simbolisme laut dalam pantun boleh dikesan daripada pantun-pantun yang
menggunakan kata laut dan kata-kata yang bersangkutan dengan laut, iaitu
samudera, segara, teluk, tanjung, ombak, gelombang, badai, batu karang, pantai,
bahtera, perahu, pelabuhan, pangkalan dan sebagainya.
V.I.Braginsky
telah mencatatkan bahawa laut dan perjalanan laut telah digunakan oleh
pengarang-pengarang Melayu sejak berabad-abad lamanya di dalam syair-syair dan
pantun. V.I.Braginsky (1994) mendapati bahawa terdapat sejumlah yang banyak
syair-syair mistik Melayu yang menggunakan imej laut dan perahu yang belayar di
laut.
Simbol laut dan perjalanan laut telah digunakan oleh pemikir Melayu untuk
memahami dan menjelaskan konsep-konsep metafizik. Antara pemikir Melayu-Islam
yang terkenal dalam mempelopori kaedah pemikiran simbolik ini ialah Hamzah
Fansuri, penyair tasawuf agung Melayu di Aceh abad ke 17. Hamzah
menggunakan perahu yang belayar di laut sebagai perjalanan hidup manusia
menuju ke akhirat. Ini terdapat di dalam
syair ’Perahu’.
Secara
keseluruhannya laut digunakan di dalam pantun untuk menggambarkan perjalanan
hidup manusia. Menempuh hidup disamakan dengan mendayung perahu atau melayari
bahtera di lautan. Manusia akan menempuh pelbagai peristiwa, suka dan duka,
bahagia dan sengsara umpama pelbagai perkara yang ditemui di dalam pelayaran.
Cabaran dan dugaan yang dilalui digambarkan sebagai ombak, gelombang, badai dan
batu karang yang mengganggu perjalanan. Setiap orang perlu berhati-hati di
dalam hidupnya sepertimana seorang pelaut mesti berhati-hati di tengah lautan.
Kehidupan yang hancur disamakan dengan kapal yang karam.
Laut
adalah cabaran yang mesti ditempuh oleh seorang yang telah dewasa seperti mana
yang dinyatakan di dalam pantun ini:
Rumah kecil tiang
seribu
Rumah
besar tiang sbatang
Kecil2 ditimang ibu
sudah
besar ditimang gelombang
Pantun
ini sering diselitkan di dalam lagu lagu rakyat atau nyanyian kanak-kanak.
Melalui pantun ini orang orang tua menyediakan minda anak2 untuk menempuh alam
kedewasaan . Ia menyedarkan bahawa dalam hidup ini tidak boleh selamanya
berharap atau bergantung kepada ibu bapa dan orang lain. Pantun ini jugamengingatkan
adalah tanggungjawab ibu menimang atau memberi kasih sayang dan tunjuk ajar
sesukupnya kepada anak-anak ketika ia masih kecil. Bila meningkat dewasa
anak mesti dilepaskan untuk pergi mencari penghidupannya sendiri. Tibalah
waktunya untuk brdikari. Keluar membina kehidupan biasanya melibatkan
perjalanan menyeberang lautan . segala susah payah akan dialami baaikan menempuh
gelombang di tengah lautan.
Pantun ini terkenal di kalangan
masyarakat kerana sering diselitkan di dalam lagu-lagu rakyat dan nyanyian
kanak-kanak.
Pembayang pantun ini menggambarkan dua perkara berbeza,
iaitu perbezaan di antara rumah kecil dan rumah besar manakala maksudnya
ialah masa kecil dan masa sudah
membesar. Rumah kecil mempunyai tiang
seribu. Tiang adalah dokongan (support).
Begitulah kehidupan seseorang di masa kecil yang sentiasa dijaga oleh ibu dan
kaum keluarga. Dengan mengatakan ‘kecil-kecil ditimang ibu”
mengingatkan bahawa adalah tanggungjawab ibu untuk menimang atau memberi kasih sayang dan tunjuk ajar secukupnya
kepada si anak ketika dia masih kecil.
Pantun ini juga menyentuh peranan ibu di dalam mengasuh dan melakukan persediaan
minda untuk anak-anak yang bakal meninggalkannya..
Seperti
kebanyakan pantun, pantun ini
menunjukkan keakraban manusia dengan alam. Di sini laut digunakan sebagai
lambang perjalanan hidup manusia menempuh kedewasaan. Seorang yang telah dewasa
mesti melakukan perjalanan menempuh laut mungkin menyeberang lautan secara
harfiah mahupun lautan secara simbolisnya iaitu segala pengalaman yang akan
ditempuhi. Manusia akan menempuh pelbagai peristiwa , suka dan duka , bahagia
atau sengsara seumpama pelbagai perkara yang ditemui di dalam pelayaran
seperti gelombang, badai dan batu karang yang mengganggu perjalanan.
Melalui
pantun ini orang tua-tua menyediakan minda generasi muda bagi menempuh alam
kedewasaan. Ia menyedarkan bahawa di dalam hidup ini tidak boleh selamanya
berharap atau bergantung kepada orang lain. Pantun ini juga menyatakan bahawa
adalah menjadi tanggungjawab seorang ibu untuk menimang atau memberi kasih
sayang dan tunjuk ajar secukupnya kepada anak-anak ketika mereka masih kecil. Bila anak telah
meningkat dewasa, ibu harus melepaskannya untuk pergi mencari penghidupannya
sendiri. Tibalah waktu untuk berdikari.
Di sini juga terdapat pesanan agar setiap orang
berhati-hati di dalam hidupnya sepertimana seorang pendayung perlu tahu
mengawal perahunya atau seorang pelayar perlu
berwaspada dan bijak melayari bahteranya.
Sejak kecil seseorang diingatkan bahawa
kedewasaan adalah umpama berada di
lautan dan di”timang gelombang”. Ini bermakna laut dan gelombang adalah lambang
cabaran yang mesti ditempuh oleh seorang yang telah dewasa seperti mana yang
dinyatakan di dalam pantun tersebut “sudah besar ditimang gelombang”. Ungkapan
“Ditimang gelombang” boleh dikategorikan sebagai personifikasi kerana gelombang
sebagai objek alam yang tidak bernyawa boleh melakukan perbuatan manusia iaitu
‘menimang’ khasnya menimang anak. Anak yang pada masa kecilnya ditimang oleh
ibu, berada dalam zon selesa kini harus merelakan dirinya ditimang oleh
gelombang dengan erti kata lain mempersiapkan dirinya untuk menempuh pelbagai cabaran hidup.
rangkap pantun di bawah juga menggunakan unsur laut.
Kalau mengail di lubuk dangkal
Dapat ikan penuh seraga
Kalau kail panjang sejengkal
Jangan lautan hendak diduga
(Zainal Abidin Abu Bakar,
1984: 129)
Pantun ini menyentuh perihal pentingnya
melengkapkan diri dalam menjalani kehidupan.
Seseorang haruslah menyediakan minda dan jiwa untuk menghadapi pelbagai
cabaran. Terdapat peringatan bahawa ‘kalau kail panjang sejengkal/jangan lautan
hendak diduga”. Objek “kail panjang sejengkal” menandakan suatu kekurangan. Di sini terkandung nasihat
supaya mengukur keupayaan sendiri di dalam membuat sesuatu pekerjaan di
samping mencabar seseorang menggandakan
usahanya untuk mencari kejayaan. Kata pantun “mengail dilubuk dangkal/ mendapat
ikan penuh seraga” Ikan itu mungkin cukup untuk dimakan sekeluarga. Tetapi jika
berani ke tengah lautan, di sana
menunggu hasil tangkapan yang lebih lumayan. Untuk ke tengah lautan tentulah
memerlukan alat yang lebih canggih tidak hanya kail yang panjang sejengkal.
Pucuk petola diselak-selak
Hati ingin hendak ke pulau
Biduk ada pengayuh tidak.
(Zainal Abidin Abu
Bakar, 1984: 179)
Pantun ini menyatakan bahawa setiap orang mempunyai
cita-cita dan impian. Hal ini dibayangkan pada baris “hati ingin melihat
pulau”. Namun begitu sebarang hasrat
hanya dapat dicapai dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan kelengkapan yang
mencukupi. Kelengkapan ini termasuklah ilmu pengetahuan dan kemampuan fizikal
dan mental.
Biduk atau perahu yang
dimiliki adalah perlambangan bagi ikhtiar manusia untuk sampai ke pulau yang
diumpamakan sebagai cita-cita. Sepertimana seseorang memerlukan biduk dan
pengayuh maka begitulah juga persiapan yang diperlukan oleh minda dan jiwa di
dalam menempuh kehidupan. Perahu yang selamat sampai ke destinasi adalah
simbol sebuah kehidupan yang berjaya di dunia dan di akhirat, sementara perahu
yang tenggelam di lautan membawa makna tersirat sebuah kehidupan yang telah
musnah. Orang-orang yang selamat sampai ke pulau merupakan orang-orang yang berjaya
menjaga kehidupannya dan terpilih untuk menerima rahmat Allah.
Jatuh ke tanah berderai-derai
Kalau takut dilambung ombak
Jangan berumah di tepi pantai.
Pantun di atas
mengingatkan setiap orang untuk mengukur keupayaan. Hidup penuh cabaran dan
jika tidak berani mengambil risiko janganlah menceburi bidang-bidang yang di
luar kemampuan. Seseorang yang tidak mempunyai cukup persediaan tidak akan
dapat mengatasi cabaran yang diumpamakan sebagai ‘menduga lautan’. Orang yang
tidak cukup persediaan diibaratkan sebagai pengail yang mempunyai kail panjang
sejengkal atau pun takut dilambung ombak. Selain dari kelengkapan fizikal,
setiap orang perlu mempunyai persediaan mental. Orang yang tidak mempunyai
keberanian dan keyakinan dianggap sebagai tidak bersedia untuk menempuh ombak
dan gelombang. Mereka dianggap tidak layak untuk berada berhampiran dengan
lalut lalu dinasihati (disindir) agar berada jauh dari pantai
Hidup
Mesti Berimbang
Kapal atau perahu yang belayar di tengah lautan
yang luas adalah lambang kepada
perjalanan manusia. Seorang pelayar mesti berhati-hati agar tidak berkubur di
tengah lautan. Kapal akan tenggelam di tengah lautan jika muatan yang dibawa
terlalu berat dan tidak seimbang dengan kemampuan kapal. Hal ini disampaikan
melalui pantun:
Angin
barat gelombang barat
Barat ditiup si angin timur
Tidak
dirintang muatan sarat
Akibat laut tempat berkubur
Pantun ini menggambarkan satu keadaan dalam pelayaran.
Dua baris pembayang berbunyi (Angin barat gelombang barat/ Barat ditiup si
angin timur) menggunakan unsur alam bagi menimbulkan suasana kekacauan.
Terdapat kata-kata ‘angin’, ‘gelombang, dan ‘ditiup’ yang menggambarkan
pergerakan yang tidak stabil. Terdapat juga dua perkara yang bertentangan iaitu
‘angin barat’ dan ‘angin timur’. Angin
barat sedang bergelombang dan angin timur sedang meniup. Ini adalah keadaan
alam yang menjadi penanda satu keadaan yang tidak tenteram dan
mencemaskan.
Untuk belayar seseorang memerlukan bekalan yang
cukup tetapi tidak boleh membawa muatan yang melebihi had yang mampu dimuat di
dalam kapalnya. Terlalu banyak muatan yang tidak diperlukan akan menyebabkan
perahu karam di lautan seperti maksud pantun jika ‘tidak dirintang muatan
sarat/alamat laut tempat berkubur’. Pantun ini juga memperkatakan perihal
membuat pilihan dan menentukan prioritas di dalam kehidupan. Ia mengandung
nasihat supaya menghadkan pilihan kepada perkara-perkara yang penting dan
meninggalkan yang tidak penting.
Ombak adalah lambang
cabaran hidup. Kejadian ombak yang sentiasa menghempas pantai dijadikan
perlambangan kepada cabaran hidup yang sentiasa menghempas
Orang haji dari Jeddah
Buah kurma berlambak-lambak
Pekerjaan guru
bukanlah mudah
Bagai kerja menolak ombak.
Pantun ini mengandungi nasihat kepada guru supaya bersabar dalam
mengajar dan mendidik kerana pekerjaan itu bukanlah mudah. Cubaan dan dugaan
akan terus dihadapi seperti ombak yang tidak berhenti-henti menghempas ke pantai.
Biduk adalah alat pengangkutan untuk menyeberang lautan. Oleh itu ia dijadikan perlambangan
untuk prasarana bagi mencapai sesuatu yang diidamkan di dalam kehidupan. Untuk berjaya
sampai ke destinasi,seseorang memerlukan biduk yang teguh Tidak memiliki biduk
yang baik menggambarkan kemiskinan dan
kedaifan Pantun di bawah menggambarkan
kemiskinan seseorang. Dia dikatakan mempunyai biduk yang tiris dan menanti
karam. Dalam keadaan daif itu dia tidak
dapat membantu orang lain.
Berangkat dari Pulau Karam
Jangan
ditumpang biduk kami
Biduk tiris menanti karam
FALSAFAH KEPIMPINAN.
Pelayaran di laut dijadikan perlambangan bagi menempuh
kehidupan. Ombak , gelombang dan badai adalah cabaran yang dilalui. Dalam konteks
ini nakhoda kapal menjadi lambang kepada ketua atau pemimpin yang
bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan anak-anak kapal. Sebuah negara
memerlukan pemimpin yang jujur dan berkebolehan sebagaimana sebuah pelayaran
memerlukan nakhoda yang cekap. Antara pantun Melayu yang memperkatakan tentang
ini ialah:
Lancang kuning belayar malam
Haluan menuju ke laut dalam
Kalau nakhoda kurang faham
Alamat kapal akan tenggelam.
Dalam konteks ini sebuah
negara akan menjadi kacau bilau jika
ditadbir oleh dua orang apatah lagi yang bercanggah pendapat..
SINI.
Duduk berbual di remang senja
Angin taufan bertiup kencang
Kalau kapal dua nakhoda
Alamat karam dipukul gelombang.
UNSUR WAKTU DAN CUACA.
Pucuk pauh berulam
pauh
Petang-petang kacau inti
Sayang saya berkasih
jauh
Petang-petang hancur hati
Pantun di atas dipetik dari Kumpulan
Pantun Melayu (DBP 1984).susunan Zainal
Abidin Bakar. Pantun yang dikategorikan
sebagai pantun percintaan ini mempunyai maksud dan kisah yang jelas mengenai
seseorang yang merindui kekasihnya pada waktu petang. Kisah percintaan,
perpisahan dan rindu-rinduan seperti ini memang banyak terdapat di dalam pantun
Melayu. Tetapi soalnya mengapa perasaan rindu itu semakin hebat dirasai pada hari
petang hingga ke tahap “petang-petang hancur hati”.
Pantun
ini memperlihatkan hubungan waktu atau peralihan hari dengan emosi manusia.
Mengapakah emosi seseorang terusik pada waktu petang? Ini mungkin akibat dari
dua faktor. Pertama, pada waktu petang lazimnya orang akan duduk berehat
setelah penat bekerja di sebelah pagi.
Di
dalam keadaan sibuk bekerja biasanya kita melupakan hal lain atau sebarang
masalah yang mungkin dihadapi. Tetapi apabila tidak membuat apa-apa, pelbagai
perkara mula memenuhi ruang fikiran. Di sinilah datangnya kenangan dan rasa
rindu kepada orang yang dikasihi.
Kedua
pada waktu petang matahari tidak lagi terang benderang. Mata hari yang cerah
dianggap sebagai ‘keadaan cuaca yang baik’ dan diasosiasikan dengan suasana
ceria. Kecerahan atau keceriaan ini menghilang pada waktu petang. Hari semakin
redup dikaitkan dengan kemuraman dan kesedihan. Dalam hubungan yang sama kita
melihat bagaimana teknik penataan cahaya digunakan di dalam pementasan teater
untuk membina suasana gembira atau sedih. Oleh itu tidak hairanlah jika orang
yang berjauhan dengan kekasih merasa amat rindu apabila hari petang.
Pencipta
pantun sering menggunakan peralihan hari bagi menggambarkan perasaan selain
petang, waktu pagi, tengah hari, senja dan malam juga digunakan bagi membawa
pengertian tertentu. Berkait rapat dengan waktu atau peralihan hari ialah
keadaan cuaca dan pertukaran musim. Hal ini dapat dilihat di dalam beberapa
buah pantun yang dipetik dari buku Kumpulan Pantun Melayu.
Pantun
Melayu amat banyak menggunakan unsur alam, contohnya, laut. Selain melambangkan
cabaran hidup, laut juga membawa rasa sayu kerana laut yang luas adalah pemisah
di antara insan. Laut yang terbentang membawa rasa sayu. Kesayuan ini semakin
meningkat apabila hari petang. Ini digambarkan oleh pantun di bawah:
Kalau nak tahu rumpun
padi
Lihatlah rumput di permatang
Kalau nak tahu untung
kami
Lihatlah laut petang-petang
Seperti
yang disebut di atas, selain faktor waktu, faktor ‘cuaca’ juga mempengaruhi
emosi. Ini termasuklah cuaca terang, panas terik, redup, mendung, berawan,
hujan, ribut dan sebagainya.
HUJAN
Fenomena
cuaca yang sering digambarkan di dalam pantun ialah hujan. Hujan menjadi
perlambangan yang amat ketara di dalam puisi Melayu baik puisi tradisi atau
puisi moden.
Perkara
ini terjadi kerana hujan menyekat perjalanan atau aktiviti manusia lalu di
dalam hujan terpaksa menghentikan aktiviti dan mengurung diri di dalam rumah.
Sekali lagi, di dalam keadaan tidak bekerja
mula mengenang sesuatu yang mungkin dapat dilupakan semasa bekerja.
Keadaan semakin samar dan kabur dan dikaitkan dengan rasa tidak menentu. Hujan
yang menitis juga menyerupai air mata yang mengalir. Lalu terciptalah pantun di
bawah ini:
Dari ladang pergi ke gurun
Buluh duri melingkar kota
Hari petang hujan pun turun
Dagang
berurai air mata
Pantun-pantun
di atas mengungkap gangguan emosi yang sering berlaku pada waktu petang.
Gangguan ini menjadi lebih hebat pada waktu malam ketika suasana lebih senyap
dan sunyi. Hal ini dapat dilihat di dalam dua pantun berikut:
Riuh rendah di tepi telok
Lihat orang
duduk bertenun
Tengah malam ayam berkokok
Serasa tuan
datang membangun
Terang bulan di Pulau Pinang
Anak Belanda
turun ke kapal
Tengah malam bangkit terkenang
Air mata
turun ke bantal.
Matahari
yang cerah dikaitkan dengan suasana yang ceria. Kehilangan matahari membawa
suasana muram. Awan dan mendung juga mempengaruhi perasaan dan digunakan oleh
pencipta pantun bagi membina suasana sedih dan sayu. Ini terlihat di dalam
pantun di bawah:
Singkorak kotanya tinggi
Buah pauh
dari seberang
Awan berarak tangisi
Badan jauh
di rantau orang
Suasana
cerah melambangkan kebahagiaan manakala mendung dan hujan dikaitkan dengan
sesuatu yang menyedihkan. Dengan keadaan ini seseorang
yang cuba menyembunyikan perasaan sedihnya di sebalik senyuman
digambarkan sebagai ‘panas yang mengandung hujan’. Keadaan ini dijelaskan oleh
pantun:
Meninjau berpadi masak
Batang kapas
bertimpal jalan
Hati risau dibawa gelak
Bagai panas
mengandung hujan
Seperti yang disebut di atas,
di dalam pantun Melayu, sinar matahari melambangkan keceriaan dan kebahagiaan.
Sinar matahari juga dikaitkan dengan sesuatu yang membawa harapan di dalam
hidup seseorang. Oleh itu kebahagiaan yang tidak kekal lama dianggap sebagai
‘hujan di tengah hari’. Hujan yang turun diumpamakan sesuatu yang datang untuk
menggangu kebahagiaan seseorang. Inilah yang dimaksudkan oleh pantun di bawah:
Panjanglah rumput di permatang
Disabit orang
Inderagiri
Disangka panas hingga ke petang
Rupanya hujan
di tengah hari.
Walau
bagaimanapun hujan di dalam pantun bukanlah semestinya menjadi perlambangan kepada
keadaan yang tidak menyenangkan, seperti gangguan kepada kebahagiaan. Hujan
juga digunakan bagi membawa pengertian rahmat dan rezeki sesuai dengan sifatnya
sebagai sumber air untuk meneruskan kehidupan manusia. Hujan menyuburkan
tanaman lalu ia menjadi perlambangan sesuatu yang membawa harapan baru atau membawa
sinar kebahagian.
Sehubungan
dengan itu seseorang yang sedang menunggu dan mengharapkan kebahagiaan
diumpamakan sebagai sedang menunggu hujan turun. Apabila sesuatu yang diharapkan tidak menjadi
kenyataan, maka keadaan itu diibaratkan sebagai “hujan tak jadi”.
Di
dalam peribahasa Melayu, ungkapan “hujan tak jadi” membawa pengertian impian
yang tidak kesampaian khasnya pertunangan yang putus di tengah jalan dan
perkahwinan tidak berlangsung seperti yang diheboh-hebohkan. Situasi ini
tergambar di dalam pantun di bawah. Pantun ini dinyanyikan di dalam sebuah lagu
yang dipetik dari filem keluaran Cathay Keris,Puteri Gunung Ledang, arahan
S.Romai Noor.
Pergi ke hutan memotong nibung
Parangnya
tumpul tidak diasah
Petir berdentum kilat bersabung
Hujan tak
jadi bajuku basah
Oleh
kerana itu orang tua sering menasihatkan supaya jangan terlalu yakin dan
terlalu mengharapkan sesuatu. Sikap terlalu mengharap atau terlalu yakin
dianggap sebagai mengharapkan hujan di langit. Lebih buruk lagi jika kita
membuang sesuatu yang kita telah miliki kerana mengharapkan sesuatu yang belum
tentu. Ini digambarkan di dalam pantun:
Harapkan si untung menggamit
Kain di
badan didedahkan
Harapkan guruh di langit
Air tempayan
dicurahkan
Tumbuh-Tumbuhan Dalam
Pantun
Selain laut, objek-objek alam seperti pohon atau
tumbuh-tumbuhan juga sering digunakan di dalam pantun sebagai perlambangan.
Terdapat pantun-pantun yang menyebut
bahagian-bahagian pokok misalnya batang, ranting, buah, dan bunga, serta
jenis-jenis pokok, misalnya lalang, padi, langsat, senduduk, yang menyampaikan makna pantun mengikut sifat dan
fungsi bahagian-bahagian atau jenis-jenis pokok yang berkaitan.
Terdapat pantun yang
memperkatakan tentang benih dan percambahan benih menjadi pokok yang baru.
Kejadian ini mengandungi makna tersirat, iaitu permulaan sesuatu kejadian. Di
dalam pantun ia sering ditafsirkan sebagai wujudnya kasih sayang sesama insan dan kasih sayang
Allah terhadap hamba-hambanya.
Terbitlah
fajar menjelang subuh
Murai berkicau terang cuaca
Kalau tanaman sudi tumbuh
Masakan bumi tidak terima.
Pantun di atas terdapat di dalam senikata lagu Serampang Lapan, rakaman tahun
50han, nyanyian Abdullah Chik dan Nona
Asiah. Di sini percambahan benih
dijadikan petanda kepada tumbuhnya perasaan kasih sayang lalu membawa nada
gembira iaitu cinta yang dinanti-nanti atau cinta yang berbalas. Kegembiraan
dibangkitkan oleh suasana yang terdapat di dalam dua baris pembayang iaitu fajar yang terbit dan hari baru menjelang.
Ini diikuti dengan murai berkicau yang membawa kesan bunyi yang riang. Cuaca
terang menandakan satu harapan baharu.
Matahari akan muncul dan keadaan akan menjadi cerah. Hal ini bersesuaian
dengan maksud iaitu jika orang sudi menanam kasih sayang terhadap dirinya maka
dia akan menyambutnya dengan penuh rasa bahagia. Pemantun menyifatkan dirinya
sebagai tersangat bahagia bila tumbuhnya kasih sayang .
Penggunaan
simbol benih dan tumbuh-tumbuhan adalah penciptaan karya yang selaras dengan
Al-Quran kerana terdapat ayat-ayat Al-Quran
yang menyebut tumbuh-tumbuhan sebagai amthal
atau misal perbandingan bukti kekuasaan dan kasih sayang Allah terhadap
hambaNya, seperti yang terdapat di dalam ayat yang bermaksud, “Dan Kami
hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih. Yakni angin itu membawa
awan yang mengandungi air hujan, angin juga membawa debu bunga jantan kepada
bunga betina, dari sebatang pokok ke pokok yang lain, dari hasil pertemuan itu
lahirlah buah-buahan” (Surah al-Hijr, ayat 22).
Pemikir-pemikir Islam
juga menyifatkan hati yang tidak memiliki perasaan kasih sayang seperti tanah
yang tidak ditumbuhi tanaman:
Jika hati lunak,
mempunyai rasa belas kasihan dan kasih sayang, maka keimanan akan tumbuh di
dalamnya. Sebaliknya jika hati itu keras, kejam dan kasar, maka ia tak ubahnya
bagaikan tanah yang tandus dan gersang, sedangkan tanah yang tandus dan gersang
itu tidak akan ditumbuhi oleh tumbuh-tumbuhan” (Syeikh Abdul Qadir Al Jailani
2003: 387).
Menjaga
Nama Baik
Benih yang baik
menjadi simbol sesuatu yang berasal dari sumber yang baik khasnya bagi
menyatakan bahawa anak-anak yang lahir daripada
keluarga yang baik-baik dan mendapat didikan yang baik akan lebih selamat walau
di mana mereka berada. Hal ini menjadi maksud pantun di bawah:
Buat bangsal di Pulau Daik
Menahan taut sambil mengilau
Kalau asal benih yang baik
Jatuh ke laut menjadi pulau.
Sebatang
pokok akan melalui perubahan. Dari kecil ia tumbuh membesar dan seterusnya
menjadi tua sehingga tiba saatnya akan tumbang ke bumi. Daun-daun akan gugur
bila ditiup angin. Daun-daun yang terdedah kepada tiupan melambangkan kehidupan
manusia yang juga terdedah kepada segala
kemungkinan. Sebuah pantun yang menggunakan lambang daun atau pelepah
yang gugur ialah:
Orang Jawa menanam kapas
Orang Eropah menanam anggur
Jangan ketawa pelepah di atas
Melihat pelepah bawah yang gugur
(Zainal Abidin Bakar,1984:181)NASIHAT
Pelepah kelapa yang jatuh adalah kejadian yang memandu kita
menyedari hakikat bahawa segala yang berada di alam fana adalah bersifat
sementara. Pelepah kelapa yang mudah digugurkan itu adalah representasi manusia
sebagai makhluk Allah yang lemah, manakala ribut adalah simbol kuasa Ilahi. Angin ribut yang datang dengan tiba-tiba dan tanpa
amaran adalah kejadian alam yang memberi iktibar supaya manusia beringat bahawa
mereka berada di bawah kuasa Allah SWT.
Oleh yang demikian setiap
manusia mestilah berhati-hati dan tidak merasa sombong atau riak dengan kekayaan dan kesenangan yang
dikurniakan oleh Allah. Pangkat yang
tinggi diumpamakan sebagai pelepah yang
berada di atas. Bila-bila masa sahaja akan berlaku kejatuhan seperti gugurnya
pelepah di bawah . Kuasa yang dipegang dan nikmat yang dirasai tidaklah
terjamin buat selama-lamanya.
Selain benih dan daun, terdapat
juga perlambangan dari dahan dan
ranting. Dahan adalah lambang keteguhan manakala ranting lebih mudah patah dan
gugur ke bumi. Dahan yang teguh menjadi tempat berteduh. Justeru itu manusia mencari dahan untuk
berteduh atau menjamin keselamatan diri.
Walau bagaimanapun ada kalanya adalah sukar untuk terus mendapatkan
sesuatu yang dihajati, oleh itu
disarankan agar merancang dan melakukan pekerjaan dengan sistematis. Seandainya tidak berjaya mendapatkan sesuatu
yang besar , cubalah mencapai yang lebih kecil dan lebih mudah. Hal ini
diibaratkan jika tidak dapat menangkap dahan, cubalah menangkap ranting
terlebih dahulu.
Anak rusa lari ke pekan
Mati ditembak datuk penghulu
Tiada kuasa menangkap dahan
Menangkap ranting cuba
dahulu
(pantun senikata lagu
Serampang Lapan)
Pantun
ini jelas memperlihatkan hubungan sebab dan akibat. Dua baris pembayang maksud
menceritakan perihal anak rusa yang lari ke pekan lalu mati ditembak oleh Datuk
Penghulu. Anak rusa lari ke pekan ialah satu perlakuan yang luar biasa. Anak
rusa yang secara tabii berada di hutan
telah keluar berlari ke pekan. Akibat dari perlakuan yang bertentangan itu
telah berlaku tragedi iaitu anak rusa ditembak oleh Datuk Penghulu. Dua baris
pembayang maksud itu adalah kejadian yang perlu diambil iktibar terutama di
dalam mencapai kejayaan dalam sesuatu pekerjaan. Ia juga menasihati agar
mengukur kemampuan diri. Jika ‘tidak kuasa menangkap dahan” cubalah dulu untuk
menangkap ranting. Pantun ini memperlihatkan bagaimana setiap kejadian boleh diambil iktibar dan dijadikan
pengajaran.
BUNGA
Terdapat banyak pantun Melayu yang menggunakan bunga sebagai perbandingan terhadap kehidupan
dan perlakuan manusia. Sebagai contoh, pekerjaan yang tidak dilakukan dengan
bersungguh-sungguh, atau ilmu yang dangkal, tidak akan mendatangkah hasil yang
memuaskan. Keadaan ini diumpamakan sebagai “bunga kembang tak jadi.”
Pandangan dan pemikiran ini terdapat
dalam sebuah pantun:
Berburu
ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru
kepalang ajar
Bagaikan bunga kembang tak jadi. PERIBAHASA
Pantun di atas
menyentuh peri pentingnya menuntut ilmu. Hendaklah menuntut ilmu dengan
bersungguh-sungguh. Ini adalah selaras dengan ajaran Islam yang mengatakan
bahawa menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas lelaki dan wanita. Pantun lain
yang memperkatakan tentang ilmu ialah:
Kemumu di tengah pekan
Dihembus angin jatuh ke bawah
Ilmu yang tidak diamalkan
Bagai pohon tidak berbuah
(Zainal Abidin Bakar, 1984:160)
Pantun ini memberi penekanan kepada kemuliaan ilmu dan
kepentingan untuk berusaha bagi mendapatkan, mengamal dan menyebarkannya. Hal
ini merupakan satu aspek dakwah kerana selaras dengan ajaran Islam yang memuliakan ilmu. Ilmu merupakan asas untuk
menentukan darjat seseorang. Islam mengakui adanya perbezaan di antara orang
yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu. Allah berfirman yang bermaksud:
“Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang
berilmu pengetahuan beberapa darjat” (Surah Al-Mujadalah, ayat 58). Melalui
Surah al-Alaq, Allah menegaskan bahawa Allah mengajar manusia dengan tinta
(dakwat) dan pena. Islam menyatakan dengan jelas bahawa, “menuntut ilmu itu
adalah wajib ke atas umat Islam baik lelaki ataupun wanita” (Hadis riwayat
Bukhari dan Muslim). Orang-orang yang menyebar ilmu adalah dimuliakan, malah
diberi jaminan bahawa, “setelah mati anak Adam, maka terputuslah amalannya
melainkan doa dari anak yang soleh, sedekah jariah yang pernah dikeluarkan, dan
ilmu yang disebar dan dimanfaatkan” (Ehsanul Karim, 2006:139).
KESIMPULAN:
Kesusasteraan Melayu telah menjalankan peranan untuk
mendidik masyarakat khasnya melalui Pantun Nasihat. Pantun Nasihat menyalurkan pedoman untuk
menjalani kehidupan agar selamat di dunia dan di akhirat. Pantun Nasihat
mengandungi pemikiran dan falsafah yang
mencerminkan pandangan dan pegangan hidup orang Melayu. Segala nasihat
disampaikan menerusi bahasa yang diperindah dengan penggunaan kias ibarat dan
perlambangan yang diambil dari unsur-unsur alam. Semua ini membuktikan bahawa
orang-orang Melayu adalah pemerhati alam yang tekun. Imej laut lebih banyak
digunakan untuk pantun-pantun yang berisi falsafah dan pemikiran manakala objek
alam yang berupa tumbuh-tumbuhan lebih banyak digunakan untuk menyatakan
perihal kasih sayang di antara manusia dan kasih sayang Allah terhadap
hamba-hambaNya.
Rujukan:
Abdul
Qadir al Jailani(terj. Qodirun Nur), 2004.(cetakan ketujuh), Al-Fath ar-
Rabbani Kuala Lumpur: Thinkers Library
Hashim Awang, 2002. “Teori Pengkaedahan Melayu dan Prinsip
Penerapannya”. Kertaskerja Bengkel Kajian Teori Sastera Melayu anjuran Bahagian
Teori dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka pada 28- 29 Jun di Riviera
Bay Resort, Melaka
Muhammad Haji Salleh Puitika
Sastera Melayu, 2000, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sheikh Abdullah Basmeih,
1980. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada
Pengertian Al-Quran, Kuala Lumpur: Darulfikir
Zainal
Abidin Bakar, 1984, Kumpulan Pantun Melayu Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
.
Zurinah Hassan, Unsur Alam dalam Puisi Melayu , 2010 . Penerbit UKM.
No comments:
Post a Comment