ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Wednesday, April 07, 2021




 

Media baharu dan normal baharu, dua ungkapan nampak seperti dua perkara yang berlainan. Media baharu pastinya berkaitan  dengan teknologi.  IT, komputer, internet, jaringan yang mendekat dan menghubung manusia atau warga dunia.

Normal baharu pula adalah akibat  dari pendemik yang melanda dunia. Dan kita dikenakan PKP. Kena ikut SOP.

Kedunya mempengaruhi semua aspek kehidupan manusia. Tetapi yang kita fokuskan hari ini hanyalah kepada lapangan penulisan dan kesusasteraan.

 Normal baharu mempertingkat penggunaan media baharu. Pendemik ini membuat kita lebih bergantung kepada internet. (Beli barang online dsbnya)

Kalau tiada pendemik, masih ada  yang tidak begitu pedulikan media baharu. Masih ada yang merasa boleh hidup tanpa talian internet.

 Media baharu adalah bersangkutan dengan perkembangan teknologi. Teknologi mempengaruhi kehidupan. Termasuk sastera dan seni yang lain. Kehidupan sentiasa berubah.

 Sastera telah wujud sebelum adanya teknologi. Sebelum manusia kenal aksara, tahu menulis dan membaca, sastera telah berkembang, iaitu dalam bentuk yang dikenali sebagai sastera lisan. Dalam konteks sastera Melayu, ribuan pantun dan peribahasa yang bernilai tinggi tumbuh subur di samping pelbagai cerita dalam bentuk  cerita jenaka, cerita asal usul atau cerita penglipur lara.

PANTUN DAH TERSEBAR LUAS WALAUPUN KITA BELUM ADA WATSAP UNTUK FORWARD. Itupun satu yang menghairankan.

 Kemudian datang TULISAN . Tradisi tulisan muncul apabila dunia Melayu mula menerima  AKSARA. DENGAN INI BOLEH MEMBACA DAN MENULIS.

Tapi, Tradisi tulisan hanya di istana.

 Lalu sastera terbahagi kepada SASTERA RAKYAT DAN SASTERA ISTANA

Atau LISAN dan TULISAN.

SASTERA ISTANA….tulisan

SASTERA RAKYAT…….lisan

 SETERUSNYA ketibaan teknologi mesin cetak pada kurun ke-19.

 Buku-buku boleh dicetak dengan banyak dan mudah dimiliki. Surat khabar berkembang. Tahap celik huruf juga semakin meningkat. Dengan ini sastera bertulis tidak lagi dimonopoli oleh golongan istana atau golongan atasan

PERINGKAT PERKEMBANGAN SASTERA..

1-    Sebelum tulisan dan aksara

2-    Datangnya tulisan dan aksara. Sastera terbahagi kepada bertulis dan tidak bertulis.

3-    Datangnya MESIN CETAK seiring dengan itu MESIN TAIP . sastera bertulis tidak lagi dimonopoli oleh golongan istana.

4-    Ketibaan computer= memudahkan proses menulis dan menerbitkan.

5-    Ketibaan internet, ledakan IR 4.0.

 Kemasukan mesin cetak dan perkembangan percetakan terutama di negeri-negeri Selat, khasnya Pulau Pinang dan Singapura telah membawa kepada perkembangan pesat dunia persuratkhabaran, Sastera berkembang melalui suratkhabar dapat di capai oleh rakyat terbanyak.

Seiring dengan mesin cetak ialah kedatangan mesin taip (baharu pada masa itu). Sebelum ada mesin taip tulis tangan.

Zaman itulah saya lahir. . tiada komputer, malah mesin taip pun sukar ditemui lebih-lebih lagi kerana saya membesar di sebuah kampung yang boleh dianggap masih kolot dan belum dimasuki bekalan elektrik serta air. Telefon pun tak ada.

Sebagai gadis kampung, pergerakan terhad. Saya suka membaca tetapi sukar mendapat buku. Tetapi mujurlah ada teknologi yang sudah masuk ke rumah iaitu RADIO.(kira media baharu masa itu).  Kegiatan yang dapat saya buat ialah mendengar radio. Dari radio saya mendengar lagu-lagu yang indah senikatanya dan ini mendekatkan saya kepada keindahan bahasa Saya mendengar pantun dalam lagu-lagu kanak-kanak dan lagu Melayu Asli.  Kira pengenalan kpd sastera.

 Ketibaan Komputer Membawa Perbezaan

Sekitar 2000 penggunaan Komputer memudahkan proses penulisan dan memendekkan proses pracetak.

Menulis menjadi sesuatu yang mudah, tidak seperti kami yang susah hendak menaip sebuah cerpen pun. SAKIT BAHU DAN URAT. Ramai orang boleh menulis.

Ini membawa kepada kemunculan novel2 popular, Kemudian apa yang disebut  novel-novel indie  yang mendapat sambutan hangat dan berjaya diulang cetak berpuluh-puluh kali. Kita lihat Pengarang-pengarang novel dapat membeli kereta dan kondominium secara tunai. Pendapatan lumayan dari hasil jualan seperti ini tidak pernah dinikmati oleh penulis-penulis seperti A. Samad Said, Arenawati, Keris Mas sebelum ini, kecuali mungkin Shahnon Ahmad kerana bukunya menjadi teks di sekolah-sekolah. 

Lapangan penulisan sastera seterusnya dilanda oleh ledakan dunia digital Industri Revolusi 4.0.. Kehidupan bertumpu di skrin telefon bimbit. Semakin kurang orang membaca buku. .jadila keadaan  PASARAN BUKU TERJEJAS.  Syarikat akhbar tutup. Kedai buku tak semeriah dulu.

Dalam keadaan ini TIMBULLAH PERSOALAN: 

1-Adakah media baharu dan dunia digital merupakan ANCAMAN kepada perkembangan sastera dan penulisan.

 2- Adakah penulisan dan sastera masih relevan.

 Kalau ditanya pendapat peribadi saya, Teknologi lebih banyak membawa kebaikan.

Kalau dikatakan perkembangan media baharu menjejaskan pasaran buku sastera. Jawapan saya, buku sastera terutama buku puisi sejak dari dahulu lagi memang bermasalah. Sejak awal saya masuk dunia sastera inilah yang menjadi rintihan.  Pasaran buku sastera terutama puisi yang menyedihkan. bila datang penyata jualan.   Penulis merasa hampa kerana apa yang dikarang dengan susah payah dan sepenuh jiwa raga tidak dibaca tak sampai kepada masyarakat. SEDIH SEBENARNYA Sebuah sajak yang dikarang dengan susah payah, tak ada orang baca.

MUATNAIK SAJAK DI FACEBOOK.

Keadaan yang menyedihkan ini diubati oleh Facebook. Saya mula menyiarkan kembali beberapa buah puisi dari antologi lama di Facebook. Saya merasa gembira bila puisi saya mendapat ratusan likes dan di’share’ oleh ramai. Walaupun tidak sampai puluhan ribu orang seperti superstar.  

31 Julai 2017, saya menghantar puisi “Pulang Tun Perak” yang dikongsi oleh 69 orang. Puisi ini terbit pertama kalinya dalam kumpulan puisi Salasilah (DBP, 2005).   Puisi saya “Sebuah Kapal Dari Jeddah” telah dikongsi oleh 31 orang pengguna Facebook.

Pada 2 Julai 2018 saya memuatnaik puisi “Malam Kebakaran”. Puisi ini dikongsi oleh 425 orang. Ekoran isu kenaikan tarif elektrik pada tahun 2020, saya menghantar puisi yang sama sekali lagi ke facebook pada 16 Jun 2020. Kali ini mendapat 380 perkongsian. Puisi ini turut dibaca oleh seorang YB  di Facebooknya secara live dan ditular melalui whatsapp. Sebelum itu, ‘’Malam Kebakaran’’  telah dilakonkan dalam Festival Seni 2019 di Universiti Malaya dan disiarkan di youtube. Apa yang mahu ditekankan di sini ialah perbezaan yang terjadi bila karya sastera disiarkan di media digital atau media baharu..

Sajak “Lebai Malang” ditularkan melalui FB dan whatsapp. Semasa menulis ‘’Lebai Malang’’, saya tidak menujukan kepada mana-mana parti politik secara spesifik. Tetapi puisi ini menjadi viral dalam hubungan perpecahan dalam Parti PAS yang melahirkan Parti Amanah. Mereka menggunakan puisi ini untuk kata-mengata siapakah sebenarnya Lebai Malang.

KOMSAS DAN RAKAMAN PUISI TRADISIONAL

Teknologi sangat besar peranannya dalam mengembang seni budaya. Pada tahun 2000 KOMSAS  dilaksanakan, Guru2 menghadapi masalah mengajar puisi tradisional seperti syair.

 Masalah ini diatasi dengan bantuan individu2 yang memuat naik dendangan puisi tradisional terutama di Youtube. Individu seperti Roslan Madon bukan saja rajin berjalan dan membuat peyelidikan dan mengutip irama Syair, beliau merakam syair dan puisi-puisi tradisional di youtube. Di sini dilihat bantuan  media baharu dalam penyebaran sastera tradisional. Kalau tidak ramai yang sudah lupa syair, seloka, nazam dan sebagainya.  

 PENDEMIK MELANDA. Media baharu bercampur pula dengan normal baharu. Kegiatan sastera di luar mula tertumpu di rumah.

 PKP tidak menamatkan aktiviti sastera bahkan kegiatan jadi lebih rancak dan meriah. Pelbagai pihak menganjurkan Sayembara, Diskusi dan acara Baca Puisi yang terlalu banyak untuk disebut semuanya di sini.

 LEBIH RAMAI LANGGAN Netflix - mengambil alih siaran dari stesyen televisyen konvensional. Pelbagai filem, animasi, dokumentari dan aneka permainan dapat dinikmati di telefon bimbit dengan bayaran yang murah dan sudah tentu tidak perlu bersusah payah untuk keluar dari rumah. Paling menyenangkan kerana filem-filem boleh ditonton pada bila-bila masa ikut kesesuaian masing-masing.

Setiap hari di facebook , media sosial yang lain kita boleh ikuti kegiatan yang antaranya sangat bermanfaat. Ada yang bermula sebelum PKP meneruskan. Roslan Madon dan kumpulannya yang sudah rancak di internet, you tube, terus menggandakan usaha. Ada usaha mengumpul pendendang2 syair seluruh nusantara untuk mendendangkan syair berkaitan covid.

 PERTANDINGAN DEKLAMASI DAN LAIN2. Sekadar contoh ialah Cabaran Deklamasi oleh Perpustakaan Negara dan Pertandingan Pantun oleh MBSA. Universiti Malaysia Perlis menganjurkan deklamasi sempena sambutan kemerdekaan dan saya menjadi juri tanpa perlu ke sana.

 DBP dan ITBM juga aktif. Program Canai Bahasa dengan diskusi menarik boleh diikuti tanpa perlu bersusah payah hadir ke DBP.  MISAL PROGRAM CANAI BAHASA.  Contoh diskusi tentang loghat Kedah ditonton oleh hampir 50 ribu. Kalau ikut normal lama, sesuatu acara tidak akan diikuti oleh seramai itu. 

Organisasi besar seperti dbp ada peruntukan atau menyalurkan peruntukan yang ada bagi kegiatan senibudaya . Saya hubungi MBSA memberi maklumat. Secara ringkas 6 ribu satu program, untuk hadiah, bayaran juri,  grafik dan sebagainya.

 Sering juga diadakan acara baca sajak, pantun dan syair yang melibatkan peserta seluruh Nusantara malah seluruh dunia. Barangkali jika tiada kejadian pendemik ini tidak terfikir kita untuk mengadakan peluang sedemikian. UUM AKTIF DALAM DEKLAMASI  PANORAMA KEHIDUPAN.

 Penulis memanfaatkan masa PKP. Dari segi berkarya, ramai penulis yang mengambil peluang dari perintah duduk di rumah dan jadi lebih produktif.. Duduk di rumah bukanlah masalah bagi penulis kerana menulis itu sendiri perlukan pengasingan diri daripada orang ramai.

Ramai individu terlibat

 Contoh: Ummuhani Abu Hassan

Cerpen Bebenang Pandemik . Setakat ini dibaca dan dikongsi oleh 12400. Kalau buku susah dapat begitu ramai.

Ada beberapa keadaan yang penulis kena ambil kesempatan cepat.

 Saya juga diminta memberi kuliah tentang Bahasa Puisi oleh Persatuan Penyair. Persatuan PEMUISI yang diketuai oleh Datuk Radzuan Ibrahim juga sangat aktif. Dengan pelbagai acara baca puisi online. Rasa lebih berbaloi kerana pendengarnya tidak terhad, malah ianya abadi dalam you tube.

 Dengan pendemik, kegiatan online ini menjadi-jadi. Seperti yang katakana tadi, Masa dulu saya susah nak keluar ke forum2 sastera. Orang tua akan banyak bertanya dan cuba menghalang.  Sekarang click sahaja.

Ramai individu yang bergiat dalam seni penulisan sejak sebelum PKP, menulis pantun , syair, seloka dalam FB mereka.. Contoh:  Shamsudin Puteh dan  Ghazali Latih. Mungkin ramai lagi.  Sdra Yeo Hock Lim atau Harlum Yeo. ialah orang yang mengambil inisiatif mengadakan Deklamasi Panorama Kehidupan. Rakan strategic UUM.  Lebih menarik ialah ayah kepada Yeo Hock Lim iaitu YEO KIM KEE mencatat peristiwa harian dengan pantun lebih2 lagi pada musim PKP ini.

Yeo dilantik oleh USM menjadi jurulatih pelajar2 dari China dalam deklamasi puisi. Beliau melatih online Pelajar dari 6 buah university China .

 Banyak perkara dibuat online. Siaran TV buat sahaja interview dengan personality tanpa mereka perlu datang ke stesen TV. Kalau dulu rasa terbeban bila dipanggil untuk diinterview. 

 Biasanya, Kalau nak buat sesuatu event, macam2 nak buat, Nak cari orang, orang tub oleh datang, orang ni tak boleh datang.  nak cari crowd, nak cari tempat, booking makanan dan lain2,

 DBP menyiarkan sajak2 dan pantun di FB. Ada yang menjadi tular, misalnya .Shopie menggunakan pantun untuk mempromosi blender.



RUMUSAN: SASTERA BUKAN SEMATA-MATA BUKU.

Ledakan IR 4.0 membawa Media baharu yang membantu perkembangan sastera . PKP tidak menamatkan aktiviti sastera bahkan pada pandangan saya  aktiviti yang berkait dengan sastera dan penulisan semakin rancak sejak kebelakangan ini.  Lapangan ini menjadi  lebih meriah bila dijalankan dalam  bentuk digital dan kegiatan dalam talian. 

Kita semua berdoa agar keadaan pandemik yang sukar ini segera tamat. Namun begitu, kita berharap kegiatan-kegiatan dalam talian akan diteruskan kerana ia sangat bermanfaat untuk semua,

 

Sunday, April 04, 2021

 


Pantun ialah Puisi Melayu Tradisi (PMT) atau Puisi Warisan yang digemari hingga ke hari ini. Pantun diterima sebagai warisan asli bangsa  Melayu berbanding dengan puisi puisi lain seperti Syair, Gurindam, Nazam yang dikatakan berasal daripada kesusasteraan Arab, Parsi dan India.

Pantun bukan hanya terkenal di alam Melayu, malah diiktiraf di dunia sebagai hasil sastera  yang tinggi nilainya. Oleh kerana itu masyarakat Melayu sepatutnya memelihara Pantun sebagai pusaka yang berharga.

Di antara sekian banyak puisi warisan, boleh dikatakan Pantun adalah bentuk yang paling popular  dan hidup subur pada masa ini.  Pantun tersebar luas melalui pelbagai media seperti lirik lagu, majlis perkahwinan, majlis rasmi dan pelbagai acara kemasyarakatan. Sering juga diadakan pertandingan berbalas pantun baik di peringkat sekolah hingga ke peringkat kebangsaan, contohnya, Pesta Pantun Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran dengan kerjasama pihak swasta.  Pantun bukan sahaja disiarkan dalam majalah ilmiah dan budaya  seperti Dewan Budaya, Dewan Sastera dan Pelita Bahasa malah dalam majalah-majalah jenaka dan komik seperti  Ujang dan Din Lawak. Pengiklan juga menggunakan pantun untuk melariskan jualan, misalnya pantun di bawah:

Kek lapis dan kuih bahulu,

      Menjadi juadah di Hari raya;

Kalau puan-puan ingin tahu,

     Semua perkakasan ada di IKEA.

 (Utusan Malaysia 13 Oktober 2006 dalam iklan IKEA )

 

Pantun juga berkembang di internet. melalui beberapa laman web khas. Di samping itu pantun turut  disebar luas melalui sms misalnya sempena hari raya atau peristiwa-peristiwa tertentu. Pantun sms ini biasanya bernada jenaka dan bertujuan untuk menyampaikan komen-komen yang nakal. Dari sini kita melihat teknologi moden mengembalikan unsur-unsur sastera rakyat yang tersebar tanpa diketahui pengarang asalnya.

Melihat kepada keadaan ini, kita tidak bimbang tentang survival pantun. Ia bukan hanya hidup  tetapi berkembang mekar. Walau bagaimanapun  hal yang membimbangkan ialah tentang  penghayatan pantun. Masyarakat mengucapkan pantun tetapi kurang menghayati maksud dan kata-kata yang digunakan menyebabkan nilai, maksud dan falsafah yang  tinggi itu tidak dikenali oleh masyarakat.

Setiap Puisi Melayu Tradisi berbeza daripada segi ciri dan fungsi masing-masing.  Yang membezakan  Pantun dari jenis puisi yang lain ialah adanya Pembayang. Dengan itu pantun mudah dibezakan daripada Syair, Gurindam atau Nazam.

NILAI ESTETIKA PANTUN.

Seperti yang disebut, pantun ialah hasil seni yang tinggi nilainya. Antara ciri estetika pantun ialah:

      Berima abab, tidak hanya rima akhir yang tepat tetapi juga rima tengah dan rima awal.

      Pantun yang indah menggunakan alam sebagai pembayang dan perlambangan.

      Menggunakan perkataan Melayu yang asal /lama

      Menggambarkan budaya tempatan

 

Perkataan perkataan yang digunakan dalam baris awal pantun (Pembayang) tidak hanya berfungsi untuk menerbitkan rima semata-mata tetapi turut berperanan membangkitkan makna dan suasana. Setiap perkataan yang digunakan dalam pantun seperti juga dalam puisi lain, adalah besar peranannya. Misalnya kita tentu tidak menyebut seseorang makan strawberry, kebab atau keju  jika hendak menunjukkan

Pantun menjadi indah dengan gambaran suasana alam tempatan serta imej dan budaya Melayu. Justeru itu seharusnya menggunakan perkataan Melayu yang asli dan asal. Pemantun menggunakan bunga seperti tanjung, melur atau teratai dan tidak bunga turlip misalnya.

Seringkali pantun menggambarkan keadaan alam seperti sungai, laut, gunung, tumbuh tumbuhan dan haiwan (flora dan fauna) Objek alam biasanya berada pada bahagian Pembayang. Namun begitu  terdapat objek alam yang digunakan pada bahagian Maksud.  Objek alam ini digunakan bagi menggambarkan kehidupan dan perilaku manusia, di samping menyampaikan pemikiran, memberi nasihat dan pedoman hidup.  Hal ini biasanya terdapat di dalam pantun yang dikenali sebagai pantun kiasan dan pantun peribahasa. Tulisan ini seterusnya akan membincang penciptaan pantun dan penggunaan unsur alam sebagai perlembangan. Ini akan dibahagikan di bawah beberapa elemen alam yang lumrah didapati iaitu laut dan lautan, gunung ganang, sungai, namun begitu setiap pantun kadang-kadang tidak menggunakan imej saja, Misalnya ada pantun yang

Untuk tulisan ini istilah perlambangan digunakan dengan pengertian yang luas. Perlaembangan dikira telah terjadi bilamana terdapat unsur-unsur seperti di bawah:

·         Penggunaan satu perkataan bagi maksud sesuatu yang lain

·         Menyamakan sesuatu dengan sesuatu yang lain

·         Membandingkan sesuatu dengan sesuatu yang lain

·         Mengasosiasi, mengaitkan dan menghubungkan sesuatu dengan yang lain.

 

ALAM LAUT DAN LAUTAN

Laut, lautan atau samudera  merupakan alam yang sering hadir di dalam pantun. Laut meliputi lebih daripada tujuh puluh peratus muka bumi. Laut juga dilihat berada dalam keadaan yang tidak berubah di tempatnya berbanding dengan perubahan dan pembangunan yang berlaku di daratan. Keadaan laut yang masih sama seperti dahulu dijadikan perlambangan untuk memperkatakan tentang  keadaan yang teguh dan lebih kekal .

Keluasan laut amat mempengaruhi kehidupan dan dengan itu mempengaruhi perasaan dan pemikiran manusia termasuk pencipta pantun. Simbolisme laut dalam pantun boleh dikesan daripada pantun-pantun yang menggunakan kata laut dan kata-kata yang bersangkutan dengan laut, iaitu samudera, segara, teluk, tanjung, ombak, gelombang, badai, batu karang, pantai, bahtera, perahu, pelabuhan, pangkalan dan sebagainya.

            V.I.Braginsky telah mencatatkan bahawa laut dan perjalanan laut telah digunakan oleh pengarang-pengarang Melayu sejak berabad-abad lamanya di dalam syair-syair dan pantun. V.I.Braginsky (1994) mendapati bahawa terdapat sejumlah yang banyak syair-syair mistik Melayu yang menggunakan imej laut dan perahu yang belayar di laut. 

Simbol laut dan perjalanan laut  telah digunakan oleh pemikir Melayu untuk memahami dan menjelaskan konsep-konsep metafizik. Antara pemikir Melayu-Islam yang terkenal dalam mempelopori kaedah pemikiran simbolik ini ialah Hamzah Fansuri, penyair tasawuf agung Melayu di Aceh abad ke 17.  Hamzah  menggunakan perahu yang belayar di laut sebagai perjalanan hidup manusia menuju ke akhirat.  Ini terdapat di dalam syair ’Perahu’.

Secara keseluruhannya laut digunakan di dalam pantun untuk menggambarkan perjalanan hidup manusia. Menempuh hidup disamakan dengan mendayung perahu atau melayari bahtera di lautan. Manusia akan menempuh pelbagai peristiwa, suka dan duka, bahagia dan sengsara umpama pelbagai perkara yang ditemui di dalam pelayaran. Cabaran dan dugaan yang dilalui digambarkan sebagai ombak, gelombang, badai dan batu karang yang mengganggu perjalanan. Setiap orang perlu berhati-hati di dalam hidupnya sepertimana seorang pelaut mesti berhati-hati di tengah lautan. Kehidupan yang hancur disamakan dengan kapal yang karam.

Laut adalah cabaran yang mesti ditempuh oleh seorang yang telah dewasa seperti mana yang dinyatakan di dalam pantun ini:

Rumah kecil tiang seribu

      Rumah besar tiang sbatang

Kecil2 ditimang ibu

     sudah besar ditimang gelombang

Pantun ini sering diselitkan di dalam lagu lagu rakyat atau nyanyian kanak-kanak. Melalui pantun ini orang orang tua menyediakan minda anak2 untuk menempuh alam kedewasaan . Ia menyedarkan bahawa dalam hidup ini tidak boleh selamanya berharap atau bergantung kepada ibu bapa dan orang lain. Pantun ini jugamengingatkan adalah tanggungjawab ibu menimang atau memberi kasih sayang dan tunjuk ajar sesukupnya kepada  anak-anak  ketika ia masih kecil. Bila meningkat dewasa anak mesti dilepaskan untuk pergi mencari penghidupannya sendiri. Tibalah waktunya untuk brdikari. Keluar membina kehidupan biasanya melibatkan perjalanan menyeberang lautan . segala susah payah akan dialami baaikan menempuh gelombang di tengah lautan.

Pantun ini terkenal di kalangan masyarakat kerana sering diselitkan di dalam lagu-lagu rakyat dan nyanyian kanak-kanak.

Pembayang pantun ini menggambarkan dua perkara berbeza, iaitu perbezaan di antara rumah kecil dan rumah besar manakala maksudnya ialah  masa kecil dan masa sudah membesar.  Rumah kecil mempunyai tiang seribu. Tiang adalah dokongan (support). Begitulah kehidupan seseorang di masa kecil yang sentiasa dijaga oleh ibu dan kaum keluarga. Dengan mengatakan ‘kecil-kecil ditimang ibu” mengingatkan bahawa adalah tanggungjawab ibu untuk menimang atau memberi  kasih sayang dan tunjuk ajar secukupnya kepada si anak ketika dia masih kecil. Pantun ini juga menyentuh peranan ibu di dalam mengasuh dan melakukan persediaan minda untuk anak-anak yang bakal meninggalkannya..

Seperti kebanyakan pantun,  pantun ini menunjukkan keakraban manusia dengan alam. Di sini laut digunakan sebagai lambang perjalanan hidup manusia menempuh kedewasaan. Seorang yang telah dewasa mesti melakukan perjalanan menempuh laut mungkin menyeberang lautan secara harfiah mahupun lautan secara simbolisnya iaitu segala pengalaman yang akan ditempuhi. Manusia akan menempuh pelbagai peristiwa , suka dan duka , bahagia atau sengsara seumpama pelbagai perkara yang ditemui di dalam pelayaran seperti  gelombang, badai  dan batu karang yang mengganggu perjalanan.

Melalui pantun ini orang tua-tua menyediakan minda generasi muda bagi menempuh alam kedewasaan. Ia menyedarkan bahawa di dalam hidup ini tidak boleh selamanya berharap atau bergantung kepada orang lain. Pantun ini juga menyatakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab seorang ibu untuk menimang atau memberi kasih sayang dan tunjuk ajar secukupnya kepada anak-anak  ketika mereka masih kecil. Bila anak telah meningkat dewasa, ibu harus melepaskannya untuk pergi mencari penghidupannya sendiri.  Tibalah waktu untuk berdikari. Di sini juga terdapat pesanan agar setiap orang berhati-hati di dalam hidupnya sepertimana seorang pendayung perlu tahu mengawal perahunya atau seorang pelayar perlu berwaspada dan bijak melayari bahteranya.

Sejak kecil seseorang diingatkan bahawa kedewasaan  adalah umpama berada di lautan dan di”timang gelombang”. Ini bermakna laut dan gelombang adalah lambang cabaran yang mesti ditempuh oleh seorang yang telah dewasa seperti mana yang dinyatakan di dalam pantun tersebut “sudah besar ditimang gelombang”. Ungkapan “Ditimang gelombang” boleh dikategorikan sebagai personifikasi kerana gelombang sebagai objek alam yang tidak bernyawa boleh melakukan perbuatan manusia iaitu ‘menimang’ khasnya menimang anak. Anak yang pada masa kecilnya ditimang oleh ibu, berada dalam zon selesa kini harus merelakan dirinya ditimang oleh gelombang dengan erti kata lain mempersiapkan dirinya untuk  menempuh pelbagai cabaran hidup.

rangkap pantun di bawah juga menggunakan unsur laut.

            Kalau mengail di lubuk dangkal

       Dapat ikan penuh seraga

Kalau kail panjang sejengkal

      Jangan lautan hendak diduga

                    (Zainal Abidin Abu Bakar, 1984: 129)

 

Pantun ini menyentuh perihal pentingnya melengkapkan diri dalam menjalani kehidupan.  Seseorang haruslah menyediakan minda dan jiwa untuk menghadapi pelbagai cabaran. Terdapat peringatan bahawa ‘kalau kail panjang sejengkal/jangan lautan hendak diduga”.  Objek “kail panjang sejengkal” menandakan  suatu kekurangan. Di sini terkandung nasihat supaya mengukur keupayaan sendiri di dalam membuat sesuatu pekerjaan di samping  mencabar seseorang menggandakan usahanya untuk mencari kejayaan. Kata pantun “mengail dilubuk dangkal/ mendapat ikan penuh seraga” Ikan itu mungkin cukup untuk dimakan sekeluarga. Tetapi jika berani ke tengah lautan,  di sana menunggu hasil tangkapan yang lebih lumayan. Untuk ke tengah lautan tentulah memerlukan alat yang lebih canggih tidak hanya kail yang panjang sejengkal.

Pohon beringin daunnya hijau

    Pucuk petola diselak-selak

Hati ingin hendak ke pulau

    Biduk ada pengayuh tidak.

                       (Zainal Abidin Abu Bakar, 1984: 179)

Pantun ini menyatakan bahawa setiap orang mempunyai cita-cita dan impian. Hal ini dibayangkan pada baris “hati ingin melihat pulau”.  Namun begitu sebarang hasrat hanya dapat dicapai dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan kelengkapan yang mencukupi. Kelengkapan ini termasuklah ilmu pengetahuan dan kemampuan fizikal dan mental. 

Biduk atau perahu yang dimiliki adalah perlambangan bagi  ikhtiar manusia untuk sampai ke pulau yang diumpamakan sebagai cita-cita. Sepertimana seseorang memerlukan biduk dan pengayuh maka begitulah juga persiapan yang diperlukan oleh minda dan jiwa di dalam menempuh kehidupan.  Perahu yang selamat sampai ke destinasi adalah simbol sebuah kehidupan yang berjaya di dunia dan di akhirat, sementara perahu yang tenggelam di lautan membawa makna tersirat sebuah kehidupan yang telah musnah. Orang-orang yang selamat sampai ke pulau merupakan orang-orang yang berjaya menjaga kehidupannya dan terpilih untuk menerima rahmat Allah.

Jika dilurut padi masak

     Jatuh ke tanah berderai-derai

Kalau takut dilambung ombak

    Jangan berumah di tepi pantai.

 

Pantun di atas mengingatkan setiap orang untuk mengukur keupayaan. Hidup penuh cabaran dan jika tidak berani mengambil risiko janganlah menceburi bidang-bidang yang di luar kemampuan. Seseorang yang tidak mempunyai cukup persediaan tidak akan dapat mengatasi cabaran yang diumpamakan sebagai ‘menduga lautan’. Orang yang tidak cukup persediaan diibaratkan sebagai pengail yang mempunyai kail panjang sejengkal atau pun takut dilambung ombak. Selain dari kelengkapan fizikal, setiap orang perlu mempunyai persediaan mental. Orang yang tidak mempunyai keberanian dan keyakinan dianggap sebagai tidak bersedia untuk menempuh ombak dan gelombang. Mereka dianggap tidak layak untuk berada berhampiran dengan lalut lalu dinasihati (disindir) agar berada jauh dari pantai

Hidup Mesti Berimbang

Kapal atau perahu yang belayar di tengah lautan yang luas  adalah lambang kepada perjalanan manusia. Seorang pelayar mesti berhati-hati agar tidak berkubur di tengah lautan. Kapal akan tenggelam di tengah lautan jika muatan yang dibawa terlalu berat dan tidak seimbang dengan kemampuan kapal. Hal ini disampaikan melalui pantun:

Angin barat gelombang barat

      Barat ditiup si angin timur

Tidak dirintang muatan sarat

     Akibat laut tempat berkubur

 

Pantun ini menggambarkan satu keadaan dalam pelayaran. Dua baris pembayang berbunyi (Angin barat gelombang barat/ Barat ditiup si angin timur) menggunakan unsur alam bagi menimbulkan suasana kekacauan. Terdapat kata-kata ‘angin’, ‘gelombang, dan ‘ditiup’ yang menggambarkan pergerakan yang tidak stabil. Terdapat juga dua perkara yang bertentangan iaitu ‘angin barat’ dan ‘angin timur’.  Angin barat sedang bergelombang dan angin timur sedang meniup. Ini adalah keadaan alam yang menjadi penanda satu keadaan yang tidak tenteram dan mencemaskan. 

Untuk belayar seseorang memerlukan bekalan yang cukup tetapi tidak boleh membawa muatan yang melebihi had yang mampu dimuat di dalam kapalnya. Terlalu banyak muatan yang tidak diperlukan akan menyebabkan perahu karam di lautan seperti maksud pantun jika ‘tidak dirintang muatan sarat/alamat laut tempat berkubur’. Pantun ini juga memperkatakan perihal membuat pilihan dan menentukan prioritas di dalam kehidupan. Ia mengandung nasihat supaya menghadkan pilihan kepada perkara-perkara yang penting dan meninggalkan yang tidak penting.

Ombak adalah lambang cabaran hidup. Kejadian ombak yang sentiasa menghempas pantai dijadikan perlambangan kepada cabaran hidup yang sentiasa menghempas

Orang haji dari Jeddah

      Buah kurma berlambak-lambak

Pekerjaan guru bukanlah mudah

      Bagai kerja menolak ombak.

 

Pantun ini mengandungi nasihat kepada guru supaya bersabar dalam mengajar dan mendidik kerana pekerjaan itu bukanlah mudah. Cubaan dan dugaan akan terus dihadapi seperti ombak yang tidak berhenti-henti menghempas ke pantai.

 

Biduk adalah alat pengangkutan untuk menyeberang  lautan. Oleh itu ia dijadikan perlambangan untuk prasarana bagi mencapai sesuatu yang diidamkan di dalam kehidupan. Untuk berjaya sampai ke destinasi,seseorang memerlukan biduk yang teguh Tidak memiliki biduk yang  baik menggambarkan kemiskinan dan kedaifan Pantun di bawah  menggambarkan kemiskinan seseorang. Dia dikatakan mempunyai biduk yang tiris dan menanti karam.  Dalam keadaan daif itu dia tidak dapat membantu orang lain.

Orang Padang ke Sukabumi

     Berangkat dari Pulau Karam

Jangan ditumpang biduk kami

       Biduk tiris menanti karam

 

FALSAFAH KEPIMPINAN.

Pelayaran di laut  dijadikan perlambangan bagi menempuh kehidupan. Ombak , gelombang dan badai adalah cabaran yang dilalui. Dalam konteks ini nakhoda kapal menjadi lambang kepada ketua atau pemimpin yang bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan anak-anak kapal. Sebuah negara memerlukan pemimpin yang jujur dan berkebolehan sebagaimana sebuah pelayaran memerlukan nakhoda yang cekap. Antara pantun Melayu yang memperkatakan tentang ini ialah:

Lancang kuning belayar malam

Haluan menuju ke laut dalam

Kalau nakhoda kurang faham

Alamat kapal akan tenggelam.

 

Dalam konteks ini sebuah negara akan menjadi kacau bilau  jika ditadbir oleh dua orang apatah lagi yang bercanggah pendapat..

SINI.

 

Duduk berbual di remang senja

      Angin taufan bertiup kencang

Kalau kapal dua nakhoda

     Alamat karam dipukul gelombang.

UNSUR WAKTU DAN CUACA.

Pucuk pauh berulam pauh

   Petang-petang kacau inti

Sayang saya berkasih jauh

   Petang-petang hancur hati

Pantun di atas dipetik dari Kumpulan Pantun Melayu  (DBP 1984).susunan Zainal Abidin Bakar.  Pantun yang dikategorikan sebagai pantun percintaan ini mempunyai maksud dan kisah yang jelas mengenai seseorang yang merindui kekasihnya pada waktu petang. Kisah percintaan, perpisahan dan rindu-rinduan seperti ini memang banyak terdapat di dalam pantun Melayu. Tetapi soalnya mengapa perasaan rindu itu semakin hebat dirasai pada hari petang hingga ke tahap “petang-petang hancur hati”.

Pantun ini memperlihatkan hubungan waktu atau peralihan hari dengan emosi manusia. Mengapakah emosi seseorang terusik pada waktu petang? Ini mungkin akibat dari dua faktor. Pertama, pada waktu petang lazimnya orang akan duduk berehat setelah penat bekerja di sebelah pagi.

Di dalam keadaan sibuk bekerja biasanya kita melupakan hal lain atau sebarang masalah yang mungkin dihadapi. Tetapi apabila tidak membuat apa-apa, pelbagai perkara mula memenuhi ruang fikiran. Di sinilah datangnya kenangan dan rasa rindu kepada orang yang dikasihi.

Kedua pada waktu petang matahari tidak lagi terang benderang. Mata hari yang cerah dianggap sebagai ‘keadaan cuaca yang baik’ dan diasosiasikan dengan suasana ceria. Kecerahan atau keceriaan ini menghilang pada waktu petang. Hari semakin redup dikaitkan dengan kemuraman dan kesedihan. Dalam hubungan yang sama kita melihat bagaimana teknik penataan cahaya digunakan di dalam pementasan teater untuk membina suasana gembira atau sedih. Oleh itu tidak hairanlah jika orang yang berjauhan dengan kekasih merasa amat rindu apabila hari petang.

Pencipta pantun sering menggunakan peralihan hari bagi menggambarkan perasaan selain petang, waktu pagi, tengah hari, senja dan malam juga digunakan bagi membawa pengertian tertentu. Berkait rapat dengan waktu atau peralihan hari ialah keadaan cuaca dan pertukaran musim. Hal ini dapat dilihat di dalam beberapa buah pantun yang dipetik dari buku Kumpulan Pantun Melayu.

Pantun Melayu amat banyak menggunakan unsur alam, contohnya, laut. Selain melambangkan cabaran hidup, laut juga membawa rasa sayu kerana laut yang luas adalah pemisah di antara insan. Laut yang terbentang membawa rasa sayu. Kesayuan ini semakin meningkat apabila hari petang. Ini digambarkan oleh pantun di bawah:

Kalau nak tahu rumpun padi

    Lihatlah rumput di permatang

Kalau nak tahu untung kami

    Lihatlah laut petang-petang

 

Seperti yang disebut di atas, selain faktor waktu, faktor ‘cuaca’ juga mempengaruhi emosi. Ini termasuklah cuaca terang, panas terik, redup, mendung, berawan, hujan, ribut dan sebagainya.

HUJAN

Fenomena cuaca yang sering digambarkan di dalam pantun ialah hujan. Hujan menjadi perlambangan yang amat ketara di dalam puisi Melayu baik puisi tradisi atau puisi moden.

Perkara ini terjadi kerana hujan menyekat perjalanan atau aktiviti manusia lalu di dalam hujan terpaksa menghentikan aktiviti dan mengurung diri di dalam rumah. Sekali lagi, di dalam keadaan tidak bekerja  mula mengenang sesuatu yang mungkin dapat dilupakan semasa bekerja. Keadaan semakin samar dan kabur dan dikaitkan dengan rasa tidak menentu. Hujan yang menitis juga menyerupai air mata yang mengalir. Lalu terciptalah pantun di bawah ini:

Dari ladang pergi ke gurun

   Buluh duri melingkar kota

Hari petang hujan pun turun

    Dagang berurai air mata

 

Pantun-pantun di atas mengungkap gangguan emosi yang sering berlaku pada waktu petang. Gangguan ini menjadi lebih hebat pada waktu malam ketika suasana lebih senyap dan sunyi. Hal ini dapat dilihat di dalam dua pantun berikut:

Riuh rendah di tepi telok

     Lihat orang duduk bertenun

Tengah malam ayam berkokok

    Serasa tuan datang membangun

 

Terang bulan di Pulau Pinang

    Anak Belanda turun ke kapal

Tengah malam bangkit terkenang

     Air mata turun ke bantal.

Matahari yang cerah dikaitkan dengan suasana yang ceria. Kehilangan matahari membawa suasana muram. Awan dan mendung juga mempengaruhi perasaan dan digunakan oleh pencipta pantun bagi membina suasana sedih dan sayu. Ini terlihat di dalam pantun di bawah:

Singkorak kotanya tinggi

     Buah pauh dari seberang

Awan berarak tangisi

    Badan jauh di rantau orang

 

Suasana cerah melambangkan kebahagiaan manakala mendung dan hujan dikaitkan dengan sesuatu yang menyedihkan. Dengan keadaan ini seseorang yang cuba menyembunyikan perasaan sedihnya di sebalik senyuman digambarkan sebagai ‘panas yang mengandung hujan’. Keadaan ini dijelaskan oleh pantun:

Meninjau berpadi masak

    Batang kapas bertimpal jalan

Hati risau dibawa gelak

    Bagai panas mengandung hujan

 Seperti yang disebut di atas, di dalam pantun Melayu, sinar matahari melambangkan keceriaan dan kebahagiaan. Sinar matahari juga dikaitkan dengan sesuatu yang membawa harapan di dalam hidup seseorang. Oleh itu kebahagiaan yang tidak kekal lama dianggap sebagai ‘hujan di tengah hari’. Hujan yang turun diumpamakan sesuatu yang datang untuk menggangu kebahagiaan seseorang. Inilah yang dimaksudkan oleh pantun di bawah:

Panjanglah rumput di permatang

    Disabit orang Inderagiri

Disangka panas hingga ke petang

   Rupanya hujan di tengah hari.

 

Walau bagaimanapun hujan di dalam pantun bukanlah semestinya menjadi perlambangan kepada keadaan yang tidak menyenangkan, seperti gangguan kepada kebahagiaan. Hujan juga digunakan bagi membawa pengertian rahmat dan rezeki sesuai dengan sifatnya sebagai sumber air untuk meneruskan kehidupan manusia. Hujan menyuburkan tanaman lalu ia menjadi perlambangan  sesuatu yang membawa harapan baru atau membawa sinar kebahagian.

Sehubungan dengan itu seseorang yang sedang menunggu dan mengharapkan kebahagiaan diumpamakan sebagai sedang menunggu hujan turun.  Apabila sesuatu yang diharapkan tidak menjadi kenyataan, maka keadaan itu diibaratkan sebagai “hujan tak jadi”.

Di dalam peribahasa Melayu, ungkapan “hujan tak jadi” membawa pengertian impian yang tidak kesampaian khasnya pertunangan yang putus di tengah jalan dan perkahwinan tidak berlangsung seperti yang diheboh-hebohkan. Situasi ini tergambar di dalam pantun di bawah. Pantun ini dinyanyikan di dalam sebuah lagu yang dipetik dari filem keluaran Cathay Keris,Puteri Gunung Ledang, arahan S.Romai Noor.

Pergi ke hutan memotong nibung

    Parangnya tumpul tidak diasah

Petir berdentum kilat bersabung

   Hujan tak jadi bajuku basah

 

Oleh kerana itu orang tua sering menasihatkan supaya jangan terlalu yakin dan terlalu mengharapkan sesuatu. Sikap terlalu mengharap atau terlalu yakin dianggap sebagai mengharapkan hujan di langit. Lebih buruk lagi jika kita membuang sesuatu yang kita telah miliki kerana mengharapkan sesuatu yang belum tentu. Ini digambarkan di dalam pantun:

Harapkan si untung menggamit

    Kain di badan didedahkan

Harapkan guruh di langit

    Air tempayan dicurahkan

 

Tumbuh-Tumbuhan Dalam Pantun

Selain laut, objek-objek alam seperti pohon atau tumbuh-tumbuhan juga sering digunakan di dalam pantun sebagai perlambangan. Terdapat pantun-pantun yang menyebut bahagian-bahagian pokok misalnya batang, ranting, buah, dan bunga, serta jenis-jenis pokok, misalnya lalang, padi, langsat, senduduk, yang  menyampaikan makna pantun mengikut sifat dan fungsi bahagian-bahagian atau jenis-jenis pokok yang berkaitan.

Terdapat pantun yang memperkatakan tentang benih dan percambahan benih menjadi pokok yang baru. Kejadian ini mengandungi makna tersirat, iaitu permulaan sesuatu kejadian. Di dalam pantun ia sering ditafsirkan sebagai wujudnya  kasih sayang sesama insan dan kasih sayang Allah terhadap hamba-hambanya.

Terbitlah fajar menjelang subuh

                 Murai berkicau terang cuaca

           Kalau tanaman sudi  tumbuh

               Masakan bumi tidak terima.

 

Pantun di atas terdapat di dalam senikata lagu Serampang Lapan, rakaman tahun 50han,  nyanyian Abdullah Chik dan Nona Asiah. Di sini  percambahan benih dijadikan petanda kepada tumbuhnya perasaan kasih sayang lalu membawa nada gembira iaitu cinta yang dinanti-nanti atau cinta yang berbalas. Kegembiraan dibangkitkan oleh suasana yang terdapat di dalam dua baris pembayang iaitu  fajar yang terbit dan hari baru menjelang. Ini diikuti dengan murai berkicau yang membawa kesan bunyi yang riang. Cuaca terang menandakan satu harapan baharu.   Matahari akan muncul dan keadaan akan menjadi cerah. Hal ini bersesuaian dengan maksud iaitu jika orang sudi menanam kasih sayang terhadap dirinya maka dia akan menyambutnya dengan penuh rasa bahagia. Pemantun menyifatkan dirinya sebagai tersangat bahagia bila tumbuhnya kasih sayang . 

Penggunaan simbol benih dan tumbuh-tumbuhan adalah penciptaan karya yang selaras dengan Al-Quran kerana terdapat ayat-ayat Al-Quran yang menyebut tumbuh-tumbuhan sebagai amthal atau misal perbandingan bukti kekuasaan dan kasih sayang Allah terhadap hambaNya, seperti yang terdapat di dalam ayat yang bermaksud, “Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih. Yakni angin itu membawa awan yang mengandungi air hujan, angin juga membawa debu bunga jantan kepada bunga betina, dari sebatang pokok ke pokok yang lain, dari hasil pertemuan itu lahirlah buah-buahan” (Surah al-Hijr, ayat 22).

Pemikir-pemikir Islam juga menyifatkan hati yang tidak memiliki perasaan kasih sayang seperti tanah yang tidak ditumbuhi tanaman:

Jika hati lunak, mempunyai rasa belas kasihan dan kasih sayang, maka keimanan akan tumbuh di dalamnya. Sebaliknya jika hati itu keras, kejam dan kasar, maka ia tak ubahnya bagaikan tanah yang tandus dan gersang, sedangkan tanah yang tandus dan gersang itu tidak akan ditumbuhi oleh tumbuh-tumbuhan” (Syeikh Abdul Qadir Al Jailani 2003: 387).

 

Menjaga Nama Baik

Benih yang baik menjadi simbol sesuatu yang berasal dari sumber yang baik khasnya bagi menyatakan bahawa  anak-anak yang lahir daripada keluarga yang baik-baik dan mendapat didikan yang baik akan lebih selamat walau di mana mereka berada. Hal ini menjadi maksud pantun di bawah:

Buat bangsal di Pulau Daik

     Menahan taut sambil mengilau

Kalau asal benih yang baik

     Jatuh ke laut menjadi pulau.

 

Sebatang pokok akan melalui perubahan. Dari kecil ia tumbuh membesar dan seterusnya menjadi tua sehingga tiba saatnya akan tumbang ke bumi. Daun-daun akan gugur bila ditiup angin. Daun-daun yang terdedah kepada tiupan melambangkan kehidupan manusia yang juga terdedah kepada segala kemungkinan. Sebuah pantun yang menggunakan lambang daun atau pelepah yang gugur ialah:

Orang  Jawa menanam kapas

   Orang Eropah menanam anggur

      Jangan ketawa pelepah di atas

      Melihat pelepah bawah yang gugur

                           (Zainal Abidin Bakar,1984:181)NASIHAT

 

Pelepah kelapa yang  jatuh adalah kejadian yang memandu kita menyedari hakikat bahawa segala yang berada di alam fana adalah bersifat sementara. Pelepah kelapa yang mudah digugurkan itu adalah representasi manusia sebagai makhluk Allah yang lemah, manakala ribut adalah simbol kuasa Ilahi. Angin ribut yang datang dengan tiba-tiba dan tanpa amaran adalah kejadian alam yang memberi iktibar supaya manusia beringat bahawa mereka berada di bawah kuasa Allah SWT.

Oleh yang demikian setiap manusia mestilah berhati-hati dan tidak merasa sombong atau riak  dengan kekayaan dan kesenangan yang dikurniakan oleh Allah. Pangkat yang tinggi  diumpamakan sebagai pelepah yang berada di atas. Bila-bila masa sahaja akan berlaku kejatuhan seperti gugurnya pelepah di bawah . Kuasa yang dipegang dan nikmat yang dirasai tidaklah terjamin buat selama-lamanya.

Selain benih dan daun, terdapat juga perlambangan dari  dahan dan ranting. Dahan adalah lambang keteguhan manakala ranting lebih mudah patah dan gugur ke bumi. Dahan yang teguh menjadi tempat berteduh.  Justeru itu manusia mencari dahan untuk berteduh atau menjamin keselamatan diri.  Walau bagaimanapun ada kalanya adalah sukar untuk terus mendapatkan sesuatu yang dihajati, oleh itu  disarankan agar merancang dan melakukan pekerjaan dengan sistematis.  Seandainya tidak berjaya mendapatkan sesuatu yang besar , cubalah mencapai yang lebih kecil dan lebih mudah. Hal ini diibaratkan jika tidak dapat menangkap dahan, cubalah menangkap ranting terlebih dahulu.

Anak rusa lari ke pekan

      Mati ditembak datuk penghulu

Tiada kuasa menangkap dahan

      Menangkap ranting cuba dahulu

(pantun senikata lagu Serampang Lapan)

 

Pantun ini jelas memperlihatkan hubungan sebab dan akibat. Dua baris pembayang maksud menceritakan perihal anak rusa yang lari ke pekan lalu mati ditembak oleh Datuk Penghulu. Anak rusa lari ke pekan ialah satu perlakuan yang luar biasa. Anak rusa yang secara tabii  berada di hutan telah keluar berlari ke pekan. Akibat dari perlakuan yang bertentangan itu telah berlaku tragedi iaitu anak rusa ditembak oleh Datuk Penghulu. Dua baris pembayang maksud itu adalah kejadian yang perlu diambil iktibar terutama di dalam mencapai kejayaan dalam sesuatu pekerjaan. Ia juga menasihati agar mengukur kemampuan diri. Jika ‘tidak kuasa menangkap dahan” cubalah dulu untuk menangkap ranting. Pantun ini memperlihatkan bagaimana setiap kejadian  boleh diambil iktibar dan dijadikan pengajaran.

BUNGA

Terdapat banyak pantun Melayu yang menggunakan  bunga sebagai perbandingan terhadap kehidupan dan perlakuan manusia. Sebagai contoh, pekerjaan yang tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh, atau ilmu yang dangkal, tidak akan mendatangkah hasil yang memuaskan. Keadaan ini diumpamakan sebagai “bunga kembang tak jadi.” Pandangan  dan pemikiran ini terdapat dalam sebuah pantun:

Berburu ke padang datar

   Dapat rusa berbelang kaki

Berguru kepalang ajar

   Bagaikan bunga kembang tak jadi. PERIBAHASA

 

Pantun di atas menyentuh peri pentingnya menuntut ilmu. Hendaklah menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh. Ini adalah selaras dengan ajaran Islam yang mengatakan bahawa menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas lelaki dan wanita. Pantun lain yang memperkatakan tentang ilmu ialah:

Kemumu di tengah pekan

      Dihembus angin jatuh ke bawah

Ilmu yang tidak diamalkan

       Bagai pohon tidak berbuah

      (Zainal Abidin Bakar, 1984:160)

 

Pantun ini memberi penekanan kepada kemuliaan ilmu dan kepentingan untuk berusaha bagi mendapatkan, mengamal dan menyebarkannya. Hal ini merupakan satu aspek dakwah kerana selaras dengan ajaran Islam yang  memuliakan ilmu. Ilmu merupakan asas untuk menentukan darjat seseorang. Islam mengakui adanya perbezaan di antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu. Allah berfirman yang bermaksud: “Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang berilmu pengetahuan beberapa darjat” (Surah Al-Mujadalah, ayat 58). Melalui Surah al-Alaq, Allah menegaskan bahawa Allah mengajar manusia dengan tinta (dakwat) dan pena. Islam menyatakan dengan jelas bahawa, “menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas umat Islam baik lelaki ataupun wanita” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Orang-orang yang menyebar ilmu adalah dimuliakan, malah diberi jaminan bahawa, “setelah mati anak Adam, maka terputuslah amalannya melainkan doa dari anak yang soleh, sedekah jariah yang pernah dikeluarkan, dan ilmu yang disebar dan dimanfaatkan” (Ehsanul Karim, 2006:139).

 

KESIMPULAN:

 

Kesusasteraan Melayu telah menjalankan peranan untuk mendidik masyarakat khasnya melalui Pantun Nasihat.  Pantun Nasihat menyalurkan pedoman untuk menjalani kehidupan agar selamat di dunia dan di akhirat. Pantun Nasihat mengandungi pemikiran dan falsafah yang  mencerminkan pandangan dan pegangan hidup orang Melayu. Segala nasihat disampaikan menerusi bahasa yang diperindah dengan penggunaan kias ibarat dan perlambangan yang diambil dari unsur-unsur alam. Semua ini membuktikan bahawa orang-orang Melayu adalah pemerhati alam yang tekun. Imej laut lebih banyak digunakan untuk pantun-pantun yang berisi falsafah dan pemikiran manakala objek alam yang berupa tumbuh-tumbuhan lebih banyak digunakan untuk menyatakan perihal kasih sayang di antara manusia dan kasih sayang Allah terhadap hamba-hambaNya.

Rujukan:

 

 

Abdul Qadir al Jailani(terj. Qodirun Nur), 2004.(cetakan ketujuh), Al-Fath ar- Rabbani Kuala Lumpur: Thinkers Library

Hashim Awang, 2002. “Teori Pengkaedahan Melayu dan Prinsip Penerapannya”. Kertaskerja Bengkel Kajian Teori Sastera Melayu anjuran Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka pada 28- 29 Jun di Riviera Bay Resort, Melaka

 

 

Muhammad Haji Salleh Puitika Sastera Melayu, 2000, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

Sheikh Abdullah Basmeih, 1980. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian Al-Quran, Kuala Lumpur: Darulfikir

 

Zainal Abidin  Bakar, 1984, Kumpulan Pantun Melayu Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

.

Zurinah Hassan, Unsur Alam dalam Puisi Melayu , 2010 . Penerbit UKM.