EVOLUSI DUNIA BAHASA DAN KESUSASTERAAN DI MALAYSIA:
APLIKASI PUISI DALAM DIDIK HIBUR.
Oleh Zurinah Hassan,( Sasterawan Negara, Dato’ Dr).
Disampaikan di Seminar Bahasa dan Sastera anjuran DBP Wilayah Tengah di Maktab Perguruan Tuanku Ampuan Afzan, Kuala Lipis Pahang, 23 November, 2018.
abstrak
Dunia
Bahasa dan Kesusasteraan adalah sebahagian daripada masyarakat yang sentiasa menghadapi evolusi khasnya dalam
memasuki alaf baharu. Kertas ini menjurus kepada evolusi dari aspek penyebaran
puisi baik di pentas maupun di bilik-bilik darjah. Penyebaran di bilik darjah
berhubung rapat dengan pengaplikasiannya dalam Didik hibur yang merujuk kepada
satu istilah yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dalam
tahun 2011 yang membawa maksud
pembelajaran yang menyeronokkan.
Pendekatan didik hibur bertujuan
merealisasikan hasrat transformasi pengajaran dan pembelajaran di dalam
bilik darjah. Untuk mencapai tujuan tersebut guru-guru hendaklah
meningkatkan pemahaman terhadap puisi dan
kesediaan menggunakan puisi dalam pembelajaran. Oleh yang demikian
kertas ini menjurus kepada penjelasan terhadap jenis-jenis puisi Melayu
terutama puisi tradisi. Khazanah kesusasteraan Melayu sangat kaya dengan
pelbagai jenis puisi warisan seperti pantun, syair, gurindam, nazam, seloka dan
banyak lagi yang semakin jarang digunapakai. Bahagian seterusnya ialah melihat
jenis-jenis persembahan serta kesesuaiannya dalam meningkatkan prestasi
pengajaran dalam bilik darjah dan dapat menyebar luas dan menjamin pelestarian puisi.
Kata kunci:
Puisi, sajak, pantun, syair, seloka, deklamasi, persembahan puisi.
Semua aspek
kehidupan tentu saja melalui perubahan. Ini termasuklah aspek Bahasa dan Kesusasteraan.
Evolusi boleh dilihat dan diperkatakan dari banyak segi antaranya dari sudut Penghasilan
karya Sastera yang melibatkan Penulisan dan Penerbitan. Hal ini berkait pula
dengan pemasaran dan minat membaca di kalangan warga Malaysia. Kemanakah
halatuju dan arah kesusasteraan. Masyarakat juga sering bertanya tentang Tanggungjawab
sasterawan dalam pembangunan negara dan masyarakat, Peranan dan Perjuangan penulis
dan Persatuan Penulis lebih lebih lagi dalam menghadapi cabaran teknologi alaf
baru . Lebih dari itu ialah persoalan tentang kedudukan Bahasa Melayu di
Malaysia pada masakini.
Kertas ini
menjurus kepada evolusi dari aspek penyebaran puisi baik di pentas maupun di
bilik-bilik darjah. Penyebaran dan persembahan berlaku dengan pelbagai kaedah.
Hal ini boleh dijadikan garis panduan untuk digunakan dalam memperkayakan Penyebaran
di bilik darjah. Pelbagai inovasi yang boleh dilakukan bagi menepati aspirasi Kementerian
Pendidikan Malaysia bagi mengwujudkan pembelajaran yang menyeronokkan.
MEMAHAMI DAN MENGHAYATI PUISI
Sebelum
mengaplikasi puisi sudah tentu seseorang
perlu meningkat pemahaman dan penghayatan tentang pelbagai sub genre Puisi.
Puisi adalah satu cabang daripada kesusasteraan. Perkataan
kesusasteraan merujuk kepada segala
pengucapan yang indah-indah untuk menyampaikan buah fikiran dan meluahkan
perasaan dengan menggunakan bahasa.
Puisi merujuk
kepada hasil kesusasteraan yang terdiri
daripada frasa-frasa yang disusun dalam bentuk rangkap. Pada lazimnya, puisi
merupakan bahasa yang berirama dan apabila dibaca pembaca akan merasa
rentaknya. Contoh bagi kesusasteraan puisi termasuklah Syair, Pantun, Gurindam,
Seloka, Mentera, Teromba, dan puisi
moden yang lebih dikenali sebagai Sajak.
Biasanya Prosa mengandungi sesuatu kisah atau
cerita manakala Puisi tidak semestinya
ada cerita. Ia lebih kepada menyatakan
pemikiran dan perasaan tentang sesuatu aspek kehidupan.
Mengikut Zaaba, puisi ialah karangan berangkap yang dipakai untuk
melafazkan fikiran yang cantik dengan
bahasa yang indah. Dengan gambaran yang cantik, perkara yang disampaikan
menjadi bertambah menarik kepada orang yang mendengarnya
Zaaba seterusnya menjelaskan bahawa puisi ialah
karangan berangkap yang disusun dengan
bahagian yang berkerat-kerat dan di antara sekerat dengan sekerat itu biasanya
berjodoh dan bunyinya atau rentaknya atau isinya serta kebanyakannya memakai
timbangan dan sukatan yang tertentu, Oleh yang demikian, puisi merangkumi aspek susunan kata, rentak bunyi dan
isi.
Muhammad Haji Salleh mengatakan bahawa puisi adalah
ciptaan yang indah dari aspek bentuk dan isi. Ia adalah bentuk sastera yang kental dengan muzik bahasa serta
kebijaksanaan penyair dan tradisinya. Bagi Muhammad, puisi akan menjadikan
pembaca lebih bijaksana.
Di bawah ini adalah beberapa definisi atau
keterangan mengenai puisi yang sering menjadi rujukan:
- “The best words in their best order (Perkataan
terbaik dalam susunan terbaik)”. -Samuel Taylor Coleridge
- "Puisi
adalah pernyataan perasaan yang imaginatif", -William Wordsworth.
- "Puisi
adalah satu persembahan dalam bentuk perkataan"-. Robert Frost:
- "Puisi
adalah kritikan terhadap kehidupan di bawah peraturan yang teguh, iaitu
kebenaran puitis dan keindahan puitis".- Mathew Arnold
- “Puisi
membawa makna sebanyak mungkin dalam kata-kata sedikit mungkin” Ralph Waldo Emerson.
Puisi adalah genre kesusasteraan yang yang paling
awal. Manusia telah mula mengucapkan puisi sebelum adanya cerpen, apalagi
novel. Puisi yang dimaksudkan itu
bukan dalam bentuk tulisan. Tapi dipertuturkan secara oral (dikenali sebagai
sastera lisan). Misalnya dalam bentuk pantun yang dinyanyikan oleh kanak-kanak,
semasa bermain. Peribahasa, perumpamaan
juga kebanyakannya dalam bentuk puisi.
Pada masa dahulu sebelum adanya percetakan orang
ramai akan berkumpul, biasanya pada waktu malam untuk mendengar cerita dari
seorang tukang cerita (yang dipanggil penglipur lara). Tukang cerita membaca
syair untuk menyampaikan cerita.
Puisi sebagai
karya seni
1. Mengandungi keindahan
dari segi bahasa
2. Keindahan pada
rasa
3.
Keindahan unsur bunyi, rima, aliterasi, asonansi dan
sebagainya
Puisi berbeza
daripada Prosa. Perbezaan paling ketara dan mudah dikenali ialah Prosa ditulis
berbaris-baris mengikut paragraph atau perenggan manakala Puisi ditulis
berangkap-rangkap. Seringkali puisi
ditulis dengan tidak menuruti tatabahasa dan tidak terdiri daripada ayat-ayat yang lengkap.
JENIS JENIS PUISI.
Puisi dibahagikan kepada Puisi
Tradisional dan Moden. Pada umumnya puisi tradisional mempunyai bentuk yang
terikat. Ia mempunyai skima rima yang terkawal,
misalnya Pantun abab dan Syair aaaa
Puisi tradisional termasuk Pantun, Syair, Gurindam,
Seloka, Nazam. Teromba. Walaupun anda bercita-cita menjadi penulis puisi moden,
anda mestilah mengenal puisi tradisional
. Memahami pantun dan syair akan membantu dalam menulis puisi moden.
Pantun:
Ciri
utama yang membezakan pantun dengan puisi yang lain ialah ia mempunyai
Pembayang dan Maksud. Pantun terdiri dari pantun dua kerat, empat kerat, enam
kerat dan lapan kerat. Namun begitu pantun empat keratlah yang lebih dikenali
dan digunakan daripada yang lain. Dalam pantun empat kerat, baris pertama dan
kedua ialah Pembayang sementara Baris ketiga dan keempat ialah maksud. Skima
rima pantun ialah abab, namun begitu terdapat sedikit-sedikit yang berima aaaa.
Serangkap pantun boleh berdiri dengan sendiri kecuali pantun berkait
Syair
Syair terdiri dari Empat baris
serangkap dengan Skima rima aaaa. Dalam satu baris terdapat empat perkataan dan
mengandungi 8 hingga 12 sukukata. Syair menceritakan tentang sesuatu. Serangkap
syair tidak boleh berdiri dengan sendirinya.Syair lazim didendangkan dengan
pelbagai irama yang sesuai.
Gurindam
terbahagi kepada dua jenis iaitu gurindam terikat dan gurindam tidak terikat.
Gurindam terikat terdiri dari dua baris serangkap berima di hujungnya. Baris
pertama syarat dan baris kedua jawab. Fungsi gurindam berisi nasihat dan panduan hidup. Misalnya
Gurindam Duabelas karangan Raja Ali Haji yang sangat tinggi nilai pengajaran
falsafahnya:
Jika anak tidak dilatih
Sudah besar ayahnya lebih
SELOKA:
Seloka ialah puisi yang berunsur jenaka yang
digunakan untuk menyampaikan kritikan dan sindiran terhadap sesuatu
kepincangan masyarakat. Antara Seloka
yang terkenal dalam masyarakat Melayu ialah Seloka Pak Kaduk, Seloka Lebai Malang dan Seloka Pak Kaduk.
TEROMBA:
TEROMBA ialah sejenis bahasa berirama yang
terkandung di dalamnya hal hal yang berkaitan dengan undang-undang dan adat
istiadat. Puisi ini tidak mempunyai sukukata, skima rima atau jumlah baris yang
tetap. Contoh teromba: Yang berat sama dipikul/ yang ringan sama dijinjing.
NAZAM
Nazam ialah
puisi yang bertemakan keagamaan seperti menyatakan tentang hukum hakam dan
riwayat kehidupan Nabi Muhammad SAW. Ciri penting dalam nazam ialah dimulakan
dengan puji-pujian terhadap kebesaran Allah dan Rasul.
Berdasarkan
penjelasan di atas Ciri-ciri Puisi Tradisional boleh dirumuskan sebagai
berikut:
PANTUN ada maksud dan pembayang
SYAIR: ada rima
dan tema
GURINDAM: berisi
nasihat dan pedoman
SELOKA kritikan
berunsur jenaka
NAZAM; untuk pengajaran agama
TEROMBA menyatakan
adat resam dan lembaga.
CIRI PUISI YANG BAIK.
·
Mengandungi Isi yang baik dan bermanfaat kepada
pembaca
·
Merangsang Pemikiran dan Perasaan.
·
Menggunakan perkataan yang ekonomis, iaitu
sedikit perkataan memperkatakan banyak perkara.
·
Setiap patah perkataan menjalankan fungsi bagi
membawa maksud.
·
Gambaran yang mudah dibayang dan digambarkan
·
Mengandungi perasaan yang mudah menyentuh hati
pembaca.
APPLIKASI DAN
POTENSI PUISI DALAM DIDIK HIBUR.
Sejak dahulu Puisi Melayu tradisional ialah wadah Pendidikan dan
Hiburan. dilagukan semasa mendodoikan anak dan dinyanyikan oleh anak2 semasa bermain. Irama lagu
digunakan untuk tujuan PENGAJARAN dan PEMBELAJARAN contohnya untuk memudahkan
hafalan seperti menghafal nama-nama Allah (AsmulHusna) dan nama nabi-nabi
Syair juga
digunakan untuk menyampai pengajaran.
Syair ini dengarkan olehmu,
Sekalian orang mencari ilmu;
Di dalam kitab banyak yang jemu,
Dikarangkan syair baharu bertemu
PENGLIPUR LARA menguasai teknik2 seni persembahan, lakonan dan gerak
badan, seni bunyi, ritma, lagu dan alat muzik untuk bercerita. Contoh: Tok
Selampit, dalang wayang kulit dan Awang Belanga. Contoh cerita penglipur lara
ialah Hikayat Malim Deman, Malim Dewa, Awang Sulung Merah Muda, Terung
Pipit. Begitu juga cerita binatang, cerita-cerita jenaka seperti Lebai
Malang.
EVOLUSI PENYEBARAN DAN PERSEMBAHAN PUISI
ALAF BARU
Persembahan puisi telah berkembang dengan pelbagai cara dan gaya mementaskan
puisi. Cara2 ini perlulah diketahui supaya guru-guru dapat mengaplikasinya di
bilik darjah.
Pentomen
·
Deklamasi (termasuk Sayembara)
·
Deklamasi Artistik
·
Deklamasi dan Lakonan
·
Deklamasi dan Gerak Tari.
·
Lagu Puisi
PENTOMEN: Pentomen merupakan cara persembahan
puisi yang terawal. Puisi yang kerap dipentaskan secara Pentomen ialah Ke Makam
Bonda karya Usman Awang. Dalam Pentomen, sajak akan dibaca oleh seseorang,
mungkin di belakang tabir sambil itu beberapa orang lain akan melakunkan aksi
yang disuarakan dalam sajak.
DEKLAMASI
PERSEMBAHAN DAN PERTANDINGAN . Puisi juga berkembang melalui deklamasi terutama
pertandingan membaca sajak. Sebagai contoh ialah Sayembara Deklamasi Puisi Hari
Kebangsaan yang telah diadakan di seluruh negara secara sistematis sejak 1982.
Sayembara ini mewajibkan peserta membaca puisi yang bertemakan kecintaan terhadap negara.Sehubungan dengan
itu bengkel juga diadakan bagi meningkat. Pembacaan puisi. .
LAKON
PUISI. Pertandingan persembahan puisi atau
dikenali dengan Manifestasi Puisi menjadi acara tahunan di beberapa IPT. Di dalam pertandingan ini peserta melakonkan puisi dengan cara
masing-masing. Peserta biasanya menggunakan elemen lakon, tarian dan muzik bagi
mengangkat maksud yang tersurat dan tersirat
dalam puisi yang dipilih untuk pertandingan.
PERSEMBAHAN PUISI ARTISTIK.
Antara perkembangan yang penting dan menarik pada masa ini
ialah Persembahan Peklamasi Artistik yang diterokai oleh Rahman Shaari. Persembahan
Puisi Artistik (PPA) ialah persembahan
yang teaterikal.
Sebagai mini Teater ia melibatkan:
·
Pemilihan Bahan: mengikut tema , boleh menjadi cerita
·
Pemilihan Deklamator/ Pelakon
·
Persediaan Pentas / Prop.
·
Tatacahaya
·
Kesan bunyi
·
Tatarias dan busana
Pemilihan bahan atau sajak-sajak hendaklah sajak-sajak deklamatori,
iaitu yang mudah dideklamasikan dan mudah
difahami. Jika sesebuah sajak itu membawa tema yang
sesuai dengan maksud persembahan, tetapi penonton sukar memahaminya, maka
persembahan akan gagal.
Tema bermaksud persoalan
utama. Jika kita bersandarkan hari atau
bulan tertentu yang disambutkan di Malaysia, kita boleh menyebutkan beberapa
tema, iaitu:
a. Tema kasih sayang ibu untuk Hari ibu
b. Tema
semangat patriotik untuk Hari Kemerdekaan
c. Tema bakti pekerja untuk Hari Pekerja
d. Tema sambutan hari raya untuk Hari
Raya
e. Tema ibadat puasa untuk Bulan
Ramadzan
f. Tema
martabat bahasa untuk Bulan Bahasa Kebangsaan
Selain itu, muncul pelbagai peristiwa
yang menyebabkan satu-satu tema menjadi relevan. Apabila berlaku tragedi
tsunami, misalnya, tema penderitaan mangsa tsunami sesuai dikemukakan. Demikian
juga dengan peperangan dan penindasan yang berlaku di sana sini.
Tema juga boleh dibina tanpa kaitan
dengan hari tertentu. Tema boleh dicetuskan atau dicadangkan untuk difikirkan
dalam kumpulan. Misalnya, setelah
memikirkan pelbagai perkara, mungkin tema tertentu terpilih, misalnya tema
kejujuran, keimanan, keberanian, kepahlawanan, alam sekitar, dan sebagainya.
Dalam usaha untuk melaksanakan
persembahan sastera artistik, sejumlah
karya yang membawa tema yang sama, dan berpotensi untuk disusun, hendaklah
didapatkan. Misalnya tema Hari Ibu. Sajak-sajak yang sesuai untuk tema kasih sayang ibu ialah “Kuali Hitam” karya Zurinah Hassan, “Sajak
kepada Ibu Tunggal” karya Abdulhadi Muhamad, “Terima Kasih, Ibu” karya Mahaya
Muhammad Yassin, “Ibuku Si Penoreh Getah” karya Hashim Yaacob dan banyak
lagi. Itu ialah karya-karya yang belum
disusun hingga menjadi cerita. Sajak-sajak
itu perlu disusun dengan rapi agar
muncul pada tempat yang sesuai.
Penyusunannya hendaklah berupaya menjadi satu cerita.
Puisi Melayu klasik, iaitu pantun,
syair, gurindam dan seloka, yang bertema
kasih sayang ibu, elok disertakan, jika terdapat ruang untuknya. Petikan itu
hendaklah diletakkan pada tempat yang berupaya memunculkan jalan cerita.
Selain sajak, cerpen, skrip drama,
dan puisi tradisional, lirik lagu juga akan dapat membantu memperteguh
tema. Lagu “Ibu” nyanyian P. Ramlee
mungkin sesuai untuk dijadikan penutup persembahan.
Tatarias dan Busana
Tujuan
utama tatarias dalam persembahan ialah ke arah kesesuaian watak dengan tema.
Sebagai contoh, dalam
persembahan yang ada watak mitos atau lagenda yang tidak pasti wajahnya, tatarias
tidak meniru wajah sesiapa, tetapi sekadar memikirkan kemungkinan bentuk wajah
yang ada dalam mitos atau lagenda itu. Watak Badang atau Puteri Gunung Ledang
boleh diimaginasikan dan dijelmakan dalam pelaksanaan tatarias.
Dalam persembahan
sastera, tatarias amat berguna untuk memastikan apresiasi dan pemahaman
penonton tiba ke tahap yang tinggi.
Penonton akan mengingati persembahan kerana tatarias yang berkesan.
Busana selalu dibicarakan
bersekali dengan tatarias. Seseorang deklamator perlu mengambil berat
tentang pakaiannya. Mendeklamasi sajak tentang
penderitaan dan kemiskinan diri tentu tidak sesuai berbusana songket dengan
barang kemas berkilauan.
LAGU DAN MUZIK.
Aktiviti lagu dan muzik boleh
melibatkan:
1. Pilih sajak yang sesuai
untuk dibaca dan dihayati. Murid kemudian diminta lagu dari puisi menyanyi tanpa muzik atau
muzik yang minima.
2. Mengambil
lagu-lagu kegemaran dan tukar senikata, misalnya cipta
pantun sendiri untuk
menggantikan pantun2 sedia ada, contoh lagu Pantun Budi.
3. Mendengar
lagu2 (lagu popular dan ulas dari segi penggunaan bahasa (betul atau salah) penggunaan perlambangan,
peribahasa dan sebagainya,
4. Terdapat banyak
lagu rakyat atau lagu kanak-kanak yang berunsur nasihat yang membentuk peribadi
mulia berperanan untuk membina jatidiri sebagai warga yang berkualiti seperti
lagu Lagu Burung Kenek-kenek.
5. Guru boleh memperdengarkan
lagu puisi yang sedia ada atau lagu-lagu rakyat atau seloka seperti
Seloka Pak Kaduk,
Seloka Pandai Pak Pandir
Seloka Mak Si Randang
Seloka
berdasarkan cerita rakyat atau cerita jenaka yang terkenal di dalam sastera
Melayu. Pak Kaduk dan Pak Pandir merupakan watak-watak yang ditimpa malang.
Nasib malang itu adalah akibat daripada kebodohan mereka sendiri. Mereka telah
melakukan perbuatan-perbuatan yang merugikan diri sendiri. Seloka Mak Si
Randang (Minangkabau) mengisahkan seorang ibu yang terlalu pemurah dan sanggup
memberikan segala yang ada kepada orang lain.
Seloka mudah dinyanyikan. Ia
boleh disampaikan beramai-ramai dengan
alat bunyi yang minima seperti paluan kompang dan rebana.
Aduhai malang Pak Kaduk
Ayamnya menang kampung tergadai
Ada nasi dicurahkan
Awak pulang kebuluran
Mudik menongkah surut
Hilir menongkah pasang
Ada isteri dibunuh
Nyaris mati oleh tak makan
Masa belayar kematian angin
Sauh dilabuh bayu berpuput
Ada rumah bertandang duduk
SYAIR
Pada masa ini juga terdapat usaha bagi memartabatkan syair. Guru boleh memperdengarkan cd syair misalnya
untuk mempelajari sejarah seperti yang terdapat dalam Syair Rakis karangan Pangeran
Md Salleh . Pangeran Md Salleh
yang juga dipanggil Pengiran Indera Mahkota adalah keluarga Diraja Brunei yang
telah dihantar ke Sarawak sebelum pemerintahan Raja Brook.
SYAIR RAKIS (enam rangkap permulaan).
Bismillah itu mula
karangan
gurindam bayu nama timangan
kisah rencana dagangan buangan
nestapa lara di gunung larangan
Di gunung larangan asmara guna
menyamar jadi papa kelana
segenap desa pantai saujana
membawa nasib tiada berguna
Membawa nasib untung sendiri
meninggalkan rumah anak isteri
masuk segenap desa dan negeri
seperti orang hendak mencari
Seperti burung lepas tangkapan
terbangnya tiada lagi hinggap hinggapan
bunga dan buah tiada dimakan
daripada bagas kemasygulan
Pelajar juga boleh diminta
mengarang syair dan melagukannya. Misalnya syair sejarah dan nilai murni.
Bismillah itu mula pembuka
Negara ini bebas merdeka
Tanah ini tanah pusaka
Janganlah kita lalai dan leka
Bekerja dengan tekun dan ikhlas
Nescaya Peluang terbentang luas
Jangan sekali bersikap malas
Itulah jalan orang menindas
Wahai anak muda bestari
Baik baik menjaga diri
Ilmu berguna hendaklah cari
Supaya tak sesal kemudian hari
(Zurinah Hassan)
PUISI GERAK TARI
Puisi boleh disampaikan dengan
iringan geraktari dan busana yang lengkap untuk menimbulkan kekaguman. Antara
aktivis yang tekun mempersembahkan geraktari puisi pada masa ini ialah Shirley
Idris. Selain di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, Shirley telah membuat
persembahan di Sabah, Jogjakarta, Padang,
dan Brunie. Mengikut Shirley beliau
mendapat tunjuk ajar dari Penyair Lim Swee Tin.
RUMUSAN:
Puisi boleh dipersembahkan dengan
pelbagai cara.Aktiviti berpuisi akan memberi
pengalaman yang bermakna kepada pelajar . Ia dapat merangsang
kreativiti dan kecintaan terhadap
puisi dan nilai-nilai murni serta keindahan. Aktivit juga berupaya merapatkan
hubungan dengan guru dan kawan-kawan sekelas atau kawan kawan sekolah. Dengan cara ini mereka
terdidik dalam berkomunikasi dan berinteraksi dengan masyarakat di sekeliling
Ia menghidupkan suasana santai di kalangan
pelajar dan guru yang boleh menghilangkan jurang yang mungkin dirasai selama
ini antara mereka. Ini juga bermanfaat bagi membina iklim persekitaran yang
kondusif bagi mendorong pengajaran dan pembelajaran.
.
Harus
diingatkan bahawa pandangan dan saranan-saranan yang disampaikan dalam ucapan
ini adalah dari sudut pandangan seorang pengamal sastera yang terlibat secara
langsung dalam persembahan puisi. Saranan-saranan ini boleh diperhalusi dan
diperkemaskan oleh para guru yang lebih berkelayakan dan terlatih dalam
pendidikan.
Kementerian
Pendidiakn Malaysia (2010). Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010).
Edisi
Pelancaran
PIPP 2006. Diterbitkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM
Rahman
Shaari, 2008. Anjung Deklamator, Kuala
Lumpur: Pekan Ilmu Publications
Zurinah Hassan, 2011. Puisi Melayu Tradisional-Pantun, Syair,
Gurindam, Seloka. Pekan Ilmu.
No comments:
Post a Comment