ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Tuesday, October 30, 2007


Pada 25hb Oktober, ketika orang masih sibuk berhari raya, aku ke UM untuk mengikuti seminar syair Melayu. Seminar hari itu tertumpu kepada kemerduan lagu-lagu syair. Beberapa orang pendendang syair telah didatangkan khas untuk memperdengarkan suara mereka yang merdu.(tidak termasuk aku, barangkali kerana suaraku tidak merdu)

Baguslah kalau ada pihak yang bersungguh-sungguh. Selama ini aku buat kerja bersyair ini secara sendiri-sendiri. Karang sendiri, baca sendiri, rakam lagu syair sendiri, duit pun keluar sendiri.

Kuucapkan selamat maju jaya kepada pihak yang sedang berusaha untuk melestarikan warisan budaya. Jangan hanya menumpukan perhatian kepada irama. Yang lebih penting ialah isi yang hendak disyairkan kerana aku tak percaya orang-orang dahulu pergi mendengar pembacaan syair (yang kononnya diadakan berhari bermalam) kerana hendak mendengar lagunya. Mereka hendak mendengar cerita. Dan sekarang, kalau warisan ini mahu dipertahankan, kita tidak boleh lagi mendendangkan syair-syair lama seperti Siti Zubaidah dan Dandan Setia. Kita mesti karang syair-syair baru dan gunakan syair untuk memperkatakan hal-hal yang relevan dengan isu semasa.

Untuk pengunjung-pengunjung blog silalah dengan syair ini:

Dengarlah tuan syairnya saya

Syair dikarang di musim raya

Sungguh meriah bersuka ria

Orang kita pandai bergaya

Ke kampung halaman kita pun pulang

Sanak saudara tandang bertandang

Orang tua tersenyum senang

Budah-budak ketawa riang

Di tanah air yang indah ini

Banyak raya setahun sekali

Raya china dan deepavali

Begitu juga Adilfitri

Di musim orang beraya sakan

Izinkan hamba berkhayal-khayalan

Apa terjadi jika ketiga perayaan

Disambut sekali sebulan

Deepavali hari besar

Pekedai buku tentulah sukar

Takut lumpuh syarikat akhbar

Orang India jadi pengedar

Kalau raya china sekali sebulan

Semakin teruk keadaan

Di pasar tak ada sayur dan ikan

Takut-takut mati tak makan

Aidilfitri kalau disambut

Tentu tak ada orang merungut

Apa dijual habis diangkut

Banyak untung boleh dikaut

Bila Melayu berhari raya

Penuh sesak pasaraya

Orang kita suka bergaya

Orang lain kaya raya

Bengkel kereta banyak pelanggan

Kereta berlanggar sepanjang jalan

Bertambah hasil kerajaan

polis, jpj banyak kutipan

Lemang dan daging bersambung-sambung

Kuih manis bertong-tong

Darah tinggi naik melambung

Klinik swasta kaut untung

Main mercun putus jari

Kemalangan maut setiap hari

Apakah ini budaya dan tradisi

Bangsaku memusnahkan diri sendiri

Saturday, October 20, 2007

SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATIN. PADA HARI MULIA INI HAMBA NAK TULIS SATU SELOKA. DENGAR YA........

Dengarlah tuan satu seloka

seloka dikarang di musim raya

hari raya hari yang mulia

orang kita suka bergaya


Yang beraya tentulah suka

beraya di kampung bertemu keluarga

saudara mara tandang bertandang

yang tak beraya pun tak lepas peluang

travel juga ambil kesempatan cuti panjang

lebuh raya sesak memanjang.

Oh Malaysia negara perpaduan

banyaklah sungguh perayaan

Tahun Baru China, Aidilfitri

tambah pula Deepavali

Hamba ini nak berimaginasi

katakanlah ada kuasa yang menetapkan

salah satu raya disambut sekali sebulan

agak tuan-tuan manakah yang jadi pilihan?

Bagi hamba tak was-was lagi

yang dipilih tentulah Aidilfitri

sebabnya ? biar hamba ceritakan

Kalau dipilih tahun baru cina

semua orang kesusahan

takut-takut kebuluran

di pasar tak ada ikan

tak ada barang di kedai

orang tak boleh menjual

kerana tak ada pembekal

Kalau setiap bulan deepavali

orang tak berapa gemar

pun akan sukar

payahlah nak baca buku dan akhbar

kerana tak cukup pengedar

Tapi kalau Hari Raya Aidilfitri sebulan sekali

semua orang suka hati

penuh sesak pasaraya

orang Melayu suka membeli

orang Melayu suka bergaya

bangsa lain bertambah kaya

bengkel kereta ramai pelanggan
kerana banyak kemalangan di jalan
tak payah sebut tentang yang terkorban
hospital swasta kaut untung
orang sakit berduyun-duyun
darah tinggi naik melambung
makan lemang dan daging bersambung-sambung
putus tangan main mercun
apakah sudah jadi tradisi
bangsaku suka menghancurkan diri sendiri



Saturday, September 29, 2007

Pada 19 sept 2007, aku disahkan lulus oleh Lembaga Pemeriksa. Syukur Alhamdulillah. Pengerusi viva yang juga Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya memuji kegigihanku. Aku mendaftar Universiti Malaya pada bulan November 2003 dan berjaya menyerahkan tesis 3 tahun 3 bulan kemudian. Kata mereka ini masa yang dikira pendek.( Aku bertongkos lomos menyiapkan tesis secepat mungkin kerana yuran mahal. Lagi lama lagi banyak kena bayar).

Alhamdulillah, Alhamdulillah. Syukur.....Lega, lega, lega. Namun Tuhan sahaja yang tahu betapa kelam kabutnya aku. Maklumlah mengerjakan tesis di hari tua bukannya mudah. Aku menulis sambil jaga cucu, basuh kain, jemur kain, memasak, tumbuk sambal belacan. Mujurlah tesis pun tak jadi belacan. Tapi sedap juge lah kena tenyeh dengan pemeriksa. Ayat-ayatku banyak yang tidak kemas, terutama dari segi nahu dan tanda baca yang berterabur sana sini. Itulah asyik tulis sajak, mana nak ambil kira semua ini.

Ramai yang menganggap tindakan untuk belajar pada hari tua ini sesuatu yang ganjil. Tapi aku jawab, apa ganjilnya? Ini hobi saya, ada orang pergi belajar buat cake, belajar masak, belajar menjahit tak ada pula orang kata ganjil. Ada juga yang komen aku dah tua, sepatutnya tumpukan masa beribadat, belajar agama, baca Al-Quran, baca kitab. Tapi mereka tak tahu sejak aku buat Ph.D ni lah aku banyak mentelaah tafsir Al-Quran dan baca buku-buku agama. Sebabnya? Aku mengerjakan kajian terhadap unsur-unsur alam dan dakwah di dalam puisi-puisi Melayu moden. Beribadat? Mereka lupa bahawa menuntut ilmu juga adalah ajaran Islam dan dikira ibadat. Semua perbuatan baik dan memberi kebaikan adalah ibadat dalam Islam, walaupun memasak untuk keluarga atau mengemas rumah.

Rasanya aku tidak mengabaikan anak-anak semasa belajar. Bahkan mereka merasa lebih bersemangat untuk mengikut jejakku. Dua orang anak sedang melanjutkan pelajaran di peringkat pascasiswazah.

Ramai yang tanya, apa yang aku nak buat dengan ijazah kedoktoran? Kataku yang lebih penting bukan ijazah tetapi hasil atau tesisnya.Sebenarnya sebagai seorang penulis, kepuasaan sebenar ialah apabila selesai menyiapkan tesis iaitu selesai menghasilkan satu tulisan dengan harapan agar tesis ini dapat menyumbang kepada kesusasteraan Melayu.

Untuk anak-anak di luar sana yang masih muda jadikanlah kes bondamu ini sebagai iktibar. JANGAN BUANG MASA, JANGAN TUNGGU SAMPAI TUA ............

Wednesday, September 12, 2007

Kali ini aku ingin bercerita tentang Penyair dan Wang.

(Ha,ha,ha,mungkin ada orang yang komen, ah Zurinah Hassan tak habis-habis dengan kisah ini). Semoga kisah ini menjadi iktibar

Begitu lama aku tidak dapat menulis sebaris pun di dalam blog ini. Barangkali ramai orang yang berpaut telah melepaskan pautannya. Namun aku masih teringin menulis. Dan hari ini aku berjanji pada diri yang aku akan menambah catatan interpretasi. Aku berharap mulai hari ini dapat kulakukan seminggu sekali. Bagi yang masih sudi menjenguk kuucapkan terima kasih Aku akan mencoretkan sesuatu yang kunamakan Dari Fail Kisah Benar. Kerana aku akan menulis tentang hal-hal yang benar berlaku di dalam hidupku. Mungkin aku terpaksa menukar nama watak dan tempat tetapi percayalah segalanya benar dan berdasarkan kebenaran, biarpun kelak ada orang yang tidak percaya atau mengatakan ada yang tidak logik.. Itu perkara biasa kerana tidak semua yang berlaku di hadapan mata dapat kita fahami dengan akal dan logika.

Kisahnya begini. Sekali peristiwa, aku dan beberapa penyair dijemput mendeklamasi puisi. Selepas majlis, datanglah pihak penganjur membawa sampul-sampul yang berisi wang tunai . Kami pun merasa amat lega kerana dibayar secara tunai pada malam itu juga. Hal ini tidak semestinya berlaku pada setiap majlis kerana ada yang akan membuat bayaran dengan chek entah beberapa bulan kemudian.

Seperti biasa sebelum sampul dihulur kami mesti menurunkan tandatangan di surat akuan penerimaan. Jangan terkejut kerana kulihat kebanyakan penyair cepat-cepat menyaian tanpa mengambil masa untuk membaca. Barangkali juga kerana sudah keletihan kerana maklumlah sudah larut malam. Ada yang datang dari jauh dan telah meredah hujan. telah meredah hujan. Gembiranya hati kerana mendapat sedikit habuan. Sampul diambil dan dimasukkan ke dalam saku tanpa membilang kepingan-kepingan yang ada di dalam

Aku pernah bertanya beberapa penyair, misalnya Ahmad Sarju, adakah mereka membuka sampul saguhati yang diberi. Katanya tidak dibuka di hadapan ramai kerana malu berbuat demikian. Hal inilah yang menghairankan.aku. Mengapa penyair malu membuka sampul yang berisi wang saguhati .

Aku juga begitu dahulu sehinggalah suatu peristiwa berlaku kira-kira lima tahun yang lalu. Selepas menjalankan tugas seni budaya, di Taiping, aku diberikan sampul dan surat akuan terima. Aku menandatangani akuan menerima rm empat ratus. Malangnya bila dibuka hampir empat minit kemudian, ternyata hanya rm dua ratus lima puluh sahaja yang ada. Lalu aku mencari orang yang memberi Si pemberi tidak mengaku bersalah. Dia tidak tahu bila wang berkurangan dari jumlah yang tercatat. Maka terjadilah tuduh menuduh sesama mereka. Aku juga takut kalau ada yang menuduh aku yang cuba menipu.

Soalnya sekarang, bukankah lebih mudah kalau aku telah membuka sampul yang diterima serta merta di hadapan petugas. Bukankah mudah kalau petugas itu sendiri meminta aku kira wang di hadapannya sebelum menurunkan tandatangan. Dengan ini kalau ada sesuatu yang tidak kena, kita akan dapat bersemuka. Mungkin si petugas sudah berhati-hati menjaga begnya tetapi sang penjenayah mempunyai pelbagai cara untuk menjalankan kerja-kerja jenayahnya. Kalau dibuka awal-awal pihak yang tidak bersalah akan terselamat dari tuduhan dan syak wasangka.

Hingga sekarang aku masih bertanya. Penyair ini adalah golongan yang sangat pemalu. Dia mesti malu bercakap tentang wang ringgit. Bila dijemput membaca dia tidak pernah bertanya tentang bayaran yang akan diberi sedangkan di dalam setiap bidang yang lain, kerja hanya dimulakan setelah pelanggan dan pemberi khidmat bersetuju dengan terma dan syarat bayaran. Sehinggakan setelah selesai kerja pun penyair harus malu untuk membuka sampul upahan yang diterima. Kenapa ini dianggap kurang sopan? Sedangkan di dalam business lain setiap transaksi wang ringgit akan dikira dan dikira dan dikira berulang-ulang kali.

Wednesday, June 20, 2007

menjelang 50 tahun kemerdekaan negara, mengapa aku tidak dapat menulis dengan bersemangat tentang kejayaan dan kegemilangannya? Mengapa aku merasa sayu ketika menulis sajak ini?


Senandung Bunda Kandung

(setelah 50 Tahun Merdeka)


50 tahun telah berlalu ayuhai bunda kandung

sejak kali pertama kau berdiri di anjung

memakai kerudung

mahkota,

dan kalung.


Betapa anggun wajahmu,bunda kandung

dihiasi kerudung termahal tenunan halus

dalam seri benang-benang peribadi

gubahan warna pancaran panji-panji

yang pernah berkibar pada tiang

empayar silam

mercutanda bangsa yang gemilang


Betapa berserinya wajahmu, bunda kandung

memakai mahkota dan kalung

bertatah mutiara paling berharga

yang digelidah dari laut sejarah

mahkota yang pernah terhempas

oleh taufan ganas

tangan-tangan kejam

kuku-kuku tajam

yang mencakar luka pantai Nusantara


Betapa merdu suaramu, bunda kandung

menyanyikan merdeka yang agung

memuja bumi yang dipijak

dan langit yang dijunjung

dengan suara yang lantang

dan lafaz yang terang

mengungkap kasih sayang

mengenang ribuan pahlawan yang hilang

darah dan airmata yang berguguran

di sepanjang perjalanan

menuju kemerdekaan sebuah watan

Dan di pagi Ogos ini

setelah setengah abad,

kau bersenandung di pentas agung

suaramu mulai serak

bertanyakan tentang anak-anak

tentang rimba, pantai dan ombak

dalam rangkap-rangkap yang tersayat

mencari putera-puteri yang tersesat

menangisi lidah bangsa yang cacat

Setelah lima puluh tahun merdeka

kau masih memanggil anak-anakmu

yang sedang ghairah menyusun aksara

menghias dataran dan pentas

kau memanggil anak-anakmu

yang hampir hilang

dalam hingar-bingar laungan

dan riuh rendah perarakan

dalam hiruk pikuk

ribuan slogan dan sepanduk

Dan pagi ini ayuhai bunda kandung

kau masih bersenandung

tentang merdeka

merdeka bukan susunan aksara

merdeka bukan dataran yang terhias

merdeka bukan bunga-bunga di pentas

merdeka setelah menghalau penjajah

adalah keberanian melangkah

ke pentas dunia berdiri megah

dengan fasih lidah

berhiaskan kerudung peribadi

dan mutiara harga diri

yang tidak dijualbeli.


ZURINAH HASSAN

Shah Alam, Selangor.

Saturday, March 31, 2007

Maafkan saya kerana lama tidak berkesempatan memasukkan apa-apa ke blog ini. Terima kasih kepada teman-teman yang menziarah , lebih-lebih lagi yang mengadakan pautan.

Pada 18 Mac yang lalu saya berada di Kelantan atas undangan Dewan Bahasa Cawangan Timur untuk berceramah di Maktab Perguruan Kota Bharu. Pada sesi pertama yang bermula kira-kira 9 pagi, saya memperkatakan antologi puisi Seberang Diri yang memuatkan karya Abham T.R. dan Mazli Husma. Turut sama ialah Mohamad Shahidan yang bercakap tentang sajak-sajak Abdul Hadi Yusof. Pada sesi kedua saya berkongsi pentas dengan Ariffin Said untuk membicarakan Puisi Melayu Tradisional. Saya berterima kasih kepada DBP Timur, khasnya Saidul Azam. Atas kesempatan ini dapatlah saya bertemu rakan-rakan penulis Kelantan seperti Nor Hisham Mustafa, Abham T.R., Mazli Husma, Abdul Hadi, Meriam Awang Lah, Wan Aisyah Wan Nawang, Cik Gu Suki dan rakan-rakan lain yang melayan dengan mesra.

Suasana di Dewan nampak santai dan meriah. Hadirin menunjukkan minat yang tinggi. Seperti biasa di mana-mana ceramah, ramai yang mengatakan mereka amat memerlukan pendedahan kepada Puisi Tradisional. Keperluan ini nampaknya cukup disedari oleh DBP Utara. Mereka telah menganjurkan acara Syarahan Perdana di Kuala Kangsar (21 Mac.07) dan Sungai Petani (22 Mac.07). khas untuk memperkatakan Puisi Tradisional.Terima kasih kepada DBP Utara (khasnya Pengarah Tuan Haji Arshad dan Puan Khairiah yang telah mengatur acara ini sejak tahun lalu). Di bawah ini adalah serba sedikit sedutan dari kertas kerja yang disampaikan di Kota Bharu, Sungai Petani dan Kuala Kangsar.

CABANG-CABANG SASTERA MELAYU TRADISIONAL

Rajah di atas menunjukkan kedudukan puisi tradisional di dalam Sastera Melayu iaitu sebagai sastera rakyat yang disebarkan melalui tradisi lisan.

Puisi Melayu Tradisional:

Puisi tradisional bererti puisi lama. Tradisional mengikut Kamus Dewan ialah bersifat tradisi, sesuatu kebiasaan yang kekal turun-temurun. Bererti untuk jadi tradisional sesuatu itu mestilah telah lama lahir, oleh itu puisi tradisional dipanggil juga puisi warisan, puisi klasik dan puisi lama. Pemisah yang agak mudah ialah tarikh kelahiran karya

Antara ciri penting puisi tradisional ialah ia bersifat lisan. Ini bermakna puisi tradisional diwarisi dan disebarkan melalui tradisi lisan. Sebagai puisi lisan, puisi ini bersifat kolektif dan fungsional, iaitu dicipta oleh pengarang yang tidak bernama dan digunakan dalam kehidupan masyarakat. Kebanyakannya mempunyai bentuk yang terikat seperti pantun dan syair.

MELAGUKAN PUISI TRADISIONAL

Variasi dalam melodi bergantung kepada untuk apa puisi misalnya syair dibaca. iaitu samada membaca sendirian atau membaca untuk didengar oleh orang lain. Jika baca sendirian untuk tujuan membaca cerita, mendapat maklumat tentulah menggunakan versi yang cepat.

Saya terlibat di dalam kegiatan melagukan puisi tradisional sebagai seorang penggiat dan peminat. Ia berasal dari kegiatan membaca puisi moden. Sebagai penulis puisi moden saya sering terlibat membaca dan menganjurkan acara baca puisi atau majlis-majlis deklamasi. Sebagai penggiat saya dan kawan-kawan sentiasa mencari cara untuk menjadikan acara baca puisi lebih menarik. Dari situ saya mencuba untuk menggunakan satu variasi agu syair yang pernah saya dengar.Hal ini sama seperti Zubir Ali yang menyampaikan puisi melalui lagu puisinya atau kemudian Rahman Shaari mengemukakan kaedah mestamu (melodi sajak tanpa muzik). Saya memilih versi ini kerana ia tidak terlalu panjang dan mendayu. Versi syair yang biasa didengar akan mengambil masa yang lama dan tidak sesuai untuk menyampaikan mesej. begitu juga iramanya yang mendayu mungkin tidak sesuai bila dimasukkan unsur kritikan sosial dan jenaka.

Pertama kali saya mengenengahkan bacaan ini ialah pada tahun lapan puluhan iaitu di Selangor. Saya membaca puisi tradisional yang saya namakan “Gurindam Selangor” untuk majlis Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan anjuran GAPENA. Bacaan itu telah mendapat sambutan di luar jangkaan. Pihak Radio Selangor telah merakamkannya dan bacaan ini sering dimainkan di radio. Yang menariknya ada mendengar menelefon meminta bacaan tersebut dimainkan. Sejak itu saya dijemput ke sana ke mari untuk membaca versi syair ini. Antara yang saya ingat, saya pernah membaca pada Malam Puisi JAKIM, majlis-majlis anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Perasmian Hari Sastera di Melaka, di Universiti Sains Malaysia, di Universiti Putera Malaysia, di Labuan, Alor Setar Kedah. di Perasmian Hari Peladang Kebangsaan, Hari Wanita, sambutan Merdeka di Putera Jaya dan lain-lain. Pendek kata, nama saya telah dikaitkan dengan puisi tradisional walaupun sebenarnya saya adalah penulis puisi moden atau sajak. Permintaan untuk membaca /mendeklamasi sajak telah berkurangan. Dan buktinya pada hari ini saya diminta menyampaikan Syarahan Perdana tentang Puisi Tradisional walaupun saya sebenarnya mengkaji puisi moden di peringkat ijazah Sarjana dan ijazah kedoktoran.

Seperti yang saya katakan syarahan dan pandangan saya hari ini adalah dari sudut seorang penggiat. Sejak saya terlibat saya telah mengutip respon pendengar yang dapat saya rumuskan seperti di bawah:

  • suka mendengar kerana jarang atau tak pernah dengar
  • tertarik dengan lagu
  • teringat ibu atau nenek pernah melagukannya semasa dia masih kecil terutama untuk mendodoi anak.
  • tertarik dengan mesej yang disampaikan

Dari pengalaman saya, sambutan terhadap pembacaan puisi tradisi tidak hanya bergantung kepada irama dan suara tetapi pada mesejnya. Dari sini dapatlah dirumuskan bahawa untuk mempopularkan puisi tradisional ini dendangan/bacaannya mestilah disertai dengan mesej yang relevan dengan hal ehwal semasa atau audien yang mendengarnya. Seringkali pula saya terpaksa mengarang bait-bait baru untuk disesuaikan dengan keadaan sesuatu tempat. Sambutan penonton boleh diukur dari tepukan dan komen-komen yang diterima selepas bacaan. Misalnya pada majlis Perasmian Hari Sastera di Melaka, penonton bertepuk bila dilagukan:

orang Melaka bualnya ramah

kedengaran kasar kalau tak pernah

tangganya batu masjidnya tanah

mahallah tangga dari lah rumah.

Tarikan juga terjadi bila menyebut nama tempat di mana puisi dibaca atau nama orang penting yang hadir. Bila berhadapan dengan pemimpin negara saya tidak lupa menyelitkan pesanan dan kiasan

kepada tuan pemimpin budiman

ingatlah ini satu pesanan

jika tuan sayang keturunan

jangan jual kuasa di tangan

Di suatu majlis untuk Ibu Tunggal, ada ibu tunggal yang menangis mendengar rangkap ini mengenang anak yang menderita tidak dipedulikan oleh ayah.

kalau pun sudah suratan takdir

atau jodoh sudah berakhir

kebajikan anak samalah fikir

jangan dibuat seperti fakir

atau

cepatnya berubah wajah kotaku

bangunan tinggi tandanya maju

lain pula kampung baru

kampung baru tak baru-baru

orang kita banyak peluang

di tanah air yang kaya raya

sedang kita kaya peluang

orang lain berpeluang kaya

Kegiatan ini nampaknya mendapat perhatian dari beberapa pihak. Dengan kebolehan sedikit sebanyak itu saya sering diundang membaca puisi tradisi. Diikuti pula dengan jemputan untuk memberi bengkel untuk menyebarkan lagu-lagu yang dikira semakin hari semakin pupus itu. Ini adalah satu aktivit atau gerakan secara peribadi untuk menghidupkan lagu-lagu tersebut. Lagu-lagu yang digunakan oleh saya adalah lagu-lagu yang pernah saya dengar di Kedah dan beberapa tempat lain. Ada yang pernah saya dengar di radio dan sebagainya semasa masih kecil. Lagu-lagu ini sering dibawa di majlis-majlis baca puisi atau bila dijemput ke acara-acara rasmi dan sebagainya.

Saya mengemukakan beberapa irama yang digunakan untuk mendendangkan syair, gurindam, nazam dan seloka. Syarahan ini tidak menolak bahkan mengalu-alukan irama-irama atau versi-versi yang lain. Sehingga kini kita tidak ada cara untuk mengesahkan bahawa sesuatu lagu itu adalah lagu syair, nazam, gurindam, seloka yang sebenar-benarnya dinyanyikan pada zaman silam kerana tidak ada rakaman yang telah dilakukan pada masa dahulu.

Beberapa pihak telah mengadakan seminar, bengkel dalam usaha memantapkan pembacaan syair, gurindam dan sebagainya. Misalnya GAPENA dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengadakan Bengkel Pemantapan Syair dan Gurindam pada 15 Mac – 17 Mac 2005 di Kuala Lumpur. Pihak KekkWa juga giat di dalam usaha ini dan kabarnya bengkel puisi tradisional akan diteruskan setiap tahun. Di samping itu satu penyelidikan sedang diusahakan oleh pensyarah-pensyarah Universiti Malaya iaitu Dr.Indirawati Zahid, Prof.Madya Dr.Zahir Ahmad (keduanya dari Akedemi Pengajian Melayu) dan Dr. Mohd Nasir Hashim (dari Pusat Kebudayaan).yang menyumbangkan kepakaran muziknya untuk menyediakan notasi irama syair.

Sesungguhnya kita sangat mengalu-alukan usaha mereka. Dengan usaha ini dapatlah kita menjawab pelbagai persoalan tentang syair khasnya tentang ragam mana yang dapat dianggap standard untuk digunakan pakai dalam penyampaian lagu syair Melayu. Adakah apa yang sedia diwarisi dan diajarkan selama ini kepada pelajar-pelajar itu merupakan yang sepatutnya mereka ketahui. Namun begitu,ini tidak bererti kita harus menunggu sehingga segala persoalan ini dijawab. Kegiatan membaca dan memeriahkan puisi tradisional harus diteruskan sebelum dua tiga lagu yang masih ada ini hilang lenyap dan dilupai.

Persediaan Membaca Syair dan Puisi Tradisional yang Lain

1- Baca teks syair. Baca perlahan untuk memahami dan mendalami teks, menghayati dan membangkitkan suasana yang diperlukan

2- Baca teks secara kuat. Ini ialah untuk memperbaiki sebutan. Setiap perkataan hendaklah disebut dengan baik. Sebutan yang tidak jelas akan menjejaskan persembahan.Bahkan boleh membawa suasana lain. Melucukan dan sebagainya. Misalnya penjajah disebut penjaja. Martabat disebut murtabak. Mujahid disebut Mujahat. Beri perhatian kepada perkataan yang didapati sukar disebut (tentu ada).

3- Sebutan baku. Iaitu disebut seperti kebiasaan bertutur di Malaysia bukan Indonesia.

4- Uji kemampuan suara dan penerbitan suara. Syair versi memerlukan range yang luas dan kemampuan yang lebih tinggi.

5- Buat senaman untuk membaiki pernafasan dan penerbitan suara.

6- Buat latihan dan hadapilah penonton dengan yakin.

Di dalam syarahan/ceramah tersebut saya memainkan CD untuk memperdengarkan variasi di dalam bacaan syair.

1- Irama syair Versi I. Syair Menyambut Pelajaran bacaan Rogayah Abd.Hamid Ini adalah irama biasa yang kita dengar dari radio. Radio Malaya yang kemudiannya dikenali sebagai RTM pernah menggunakan syair versi ini dalam rancangan “Bangsawan Di Udara”, “Purbawara”, dan “Drama Bersyair”. Irama ini disebut juga sebagai irama Syair Selendang Delima.

2- Irama syair Versi 2 Syair Pesanan Ibu dibaca oleh Zurinah Hassan. Irama ini disebut juga sebagai irama Dandan Setia

3- Irama syair Versi 3. Syair Badrul Zaman: Bacaan oleh Zurinah Hassan. Irama ini biasanya digunakan untuk membaca kitab khasnya kitab agama bagi memudahkan hafalan.

4- Irama syair Versi 4 .Syair Dandan Setia dalam versi Narasi oleh Meriam Awang Lah. Irama ini dikenali juga sebagai Syair Sarawak

5- Irama syair Versi 5. Syair Tok Kenali bacaan Meriam Awang Lah.

Terdapat ragam-ragam di dalam irama syair. Versi pertama lebih memerlukan kekuatan atau power pada suara dan pernafasan. Di dalam melagukan puisi moden saya memilih versi kedua. Iramanya tidak terlalu mendayu. Pitching atau harakahnya tidak terlalu panjang lebih sesuai untuk penyampaian maklumat dan kritik sosial. Durasi bacaan yang terlalu lama pada versi pertama boleh menghilangkan serba sedikit maklumat yang hendak disampaikan.

Selain dari syair, saya juga memainkan lagu Dodoi, (sebagai satu versi Nazam), Dendang Siti Fatimah ( satu versi Nazam), Seloka Pak Kaduk dan Gurindam 12. Saya juga ada mengeluarkan CD Demo (hanya untuk tujuan pembelajaran sahaja). CD yang saya edarkan telah terjual. Kalau ada permintaan saya berhajat untuk mengedarkan CD yang boleh disebarkan secara meluas.

Jenis-jenis Puisi Tradisional.

Tidak semua puisi tradisional masih popular dan dikenali pada hari ini. Kebanyakannya tidak dikarang lagi kecuali pantun dan syair. Barangkali secara kasar ada beberapa yang masih bernafas iaitu:

  • pantun
  • syair
  • nazam
  • gurindam
  • seloka

Pantun hidup subur Syair dan gurindam masih menyambung hayat terutama bila majalah Dewan Sastera terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka membuka ruangan Ujana Klasik. Beberapa orang penulis kontemporari menulis pantun, gurindam dan syair di ruangan ini. Nazam dalam pelbagai versi masih berkumandang di kampung-kampung misalnya dalam majlis-majlis berendoi dan kenduri kahwin seperti di Perak.

PANTUN

Pantun, terutama pantun empat kerat masih popular. Pantun adalah tradisi lisan yang mudah dikenali iaitu mempunyai dua baris pembayang dan dua baris maksud dengan skima rima abab. Kita mendengar pantun setiap hari melalui lirik lagu dan sebagainya, bukan hanya lagu-lagu Melayu Asli atau lagu Melayu tradisional seperti Seri Mersing, Patah Hati, Gunung Banang, Tudung Saji. malah lagu-lagu masakini (termasuk kumpulan Rock Amuk). Antara pantun yang terkenal dalam lagu Melayu asli ialah

Lagu Patah Hati

patah hati teruslah merajuk

merajuk lari ke hutan belukar

hatiku yang panas kembali lah sejuk

burung terbang balik ke sangkar

Pantun juga bertaraf komersial seperti yang digunakan di dalam iklan walaupun dari nilai estetikannya tidak dapat dipertahankan. Prof Muhammad Haji Salleh mengkaji perkembangan pantun di internet. Sekarang ini pantun berkembang pula melalui sms. Pelbagai jenis pantun untuk hari raya, berjenaka dengan komen-komen nakal, disebar melalui sms. tanpa diketahui siapa pengarang asalnya sama seperti tradisi sastera rakyat.

Dengan kesuburan ini mungkin kita tidak bimbang tentang survival pantun. Namun begitu apa yang membimbangkan tentang pantun ialah semakin kurang orang yang menghayatinya. Ramai yang membaca pantun dan menggunakannya tetapi berapa kerat yang mahu menyelami maksud pantun walaupun yang sering didengar. Lihat sahaja pantun kurik kundi/yang merah saga/ yang baik budi/ yang indah bahasa. Tidak ramai pula yang tahu apa itu kurik dan kundi. Demikian juga dengan pantun kajang tuan kajang berlipat. Kurang juga orang yang mahu mengambil tahu bagaimana rupa kajang dan apakah perbezaan kajang yang berlipat dan kajang yang tidak berlipat. Hal ini bertolak dari sifat dan sikap take for grunted

Syair

Kata Syair adalah ambilan dari bahasa Arab. Tetapi para pengkaji berpandangan bahawa ambilan hanya setakat istilah sahaja.dari segi struktur ia adalah puisi asal dari Dunia Melayu. Kata yang bermaksud syair atau penyair disebut di dalam Al-Quran. Bahkan ada Surah Al-Quran yang dinamakan Al-Syuaara. yang bermaksud Ahli Syair Satu ayat dari Surah Yasin (ayat 69) berbunyi Wama ‘Alamnahu Syi’ra. bermaksud “Tidak aku memberi ilmu syair kepada Muhammad”. Ayat ini diturunkan setelah orang-orang Musyrikin menuduh Nabi Muhammad seorang penyair. Tuduhan ini dibuat kerana walaupun mereka menolak kerasulan Muhammad saw, mereka tidak dapat menafikan keindahan bahasa Al-Quran dan menganggapnya sebagai syair yang indah. Ini jelas dari reaksi orang Arab yang telah diceritakan dalam Al-Quran melalui ayat: “Mereka menuduh dengan berkata, “Al-Quran itu perkara karut yang dimimpikan oleh Muhammad, bahkan perkara yang diada-adakan olehnya, bahkan Muhammad sendiri seorang penyair” (Al-Anbiyaa’, ayat 5).

Syair adalah genre yang sangat popular pada masa dahulu. Syair mula dicetak pada akhir kurun ke 19. Ada sekitar 300 judul syair yang telah dicetak. Antara yang terkenal ialah Syair Dandan Setia, Syair Bidasari, Syair Burung Pungguk, Syair Dagang, Syair Juragan Budiman, Syair Ken Tambuhan, Syair Siti Zubaidah Perang Cina. Saya ingat bagaimana nenek sangat suka mendengar syair bila sesekali disiarkan di radio. Dia akan mendengar dengan penuh apresiasi seorang perempuan membaca syair di radio walaupun tidak suka saya benyanyi di tengah khalayak.

Pengambilan syair dari Arab hanyalah dari sudut istilahnya sahaja. Dari sudut struktur ia menyerupai puisi yang tumbuh di wilayah Nusantara.Begitu juga dengan irama syair. Ia tidak berasal dari irama yang diambil dari Timur Tengah. .Dari segi struktur syair mempunyai empat baris dalam serangkap, dalam satu baris syair terdapat 4 perkataan dengan 8-12 sukukata. Rima akhir adalah a-a-a-a

Nazam

Nazam juga adalah perkataan Arab. Perkataan nazam digunakan sebagai istilah teknik kepada suatu jenis puisi ditemui dalam Tajus Salatin. Hamka mengatakan nazam tidak berbeza dengan syair dari segi strukturnya. Nazam lebih sesuai untuk tema keagamaan. Lagu nazam berbeza dari syair kerana mempunyai tempo dan boleh diiringi dengan muzik percussion atau ketukan gendang dan rebana. Pada masa ini terdapat kumpulan-kumpulan rebana yang bergerak di kampung-kampung. Sesetengah mereka menyanyikan lagu nazam. Boleh dinyanyikan secara beramai sedangkan syair disampaikan secara solo dan memerlukan vokal yang baik.

Gurindam

Pengkaji sastera tradisional berpendapat bahawa gurindam tidak mempunyai bentuk atau skima rima yang tertentu atau tetap. Ia tidak mudah dikenalpasti seperti pantun atau syair. Walaupun gurindam tidak tertentu atau tidak tetap bentuknya tetapi dari segi bahasa terdapat ciri-ciri khusus. Bahasa gurindam biasanya padat dan bernas. Isinya lebih menekankan nasihat, moral, pengajaran atau kebenaran. Hal ini dipersetujui oleh Sutan Takdir Alisjahbana dalam bukunya, Puisi Lama (1971). Beliau menulis: “Gurindam ialah nasihat, pengajaran yang mengandungi kebenaran”.

Kepadatan serta kebenaran bahasa terletak pada pemilihan dan penyusunan kata-katanya yang berhasil menimbulkan pengertian yang tepat dan mendalam. Ini diperkuatkan lagi dengan penggunaan pengulangan pernyataan isi atau pemikirannya. Dengan bahasa seperti inilah dapat dirasakan unsur-unsur nasihat, pengajaran dan kebenaran secara jelas serta berkesan, unsur-unsur tersebut disampaikan melalui penegasan bahawa manusia dan aspek kehidupannya mempunyai kelebihan keistimewaan serta kemuliaan yang diasaskan oleh sikap, bekerjasama dan mematuhi peraturan.

Gurindam dapat dilihat terbahagi kepada dua jenis, iaitu ada yang terikat dan ada yang tidak terikat atau bebas. gurindam berbentuk terikat terdiri daripada dua baris dan berima aa. Kedudukan atau peranan baris 1 itu sebagai isyarat dan baris 2 sebagai jawab. Ini dapat diteliti dari gurindam yang ditulis oleh Raja Ali Haji. gurindam Dua belas. Yang mudah dilagukan ialah gurindam dua baris terikat yang mempunyai rima dan sukukata yang hampir tetap dalam sebaris. Kita boleh membaca gurindam dengan menggunakan irama Gurindam Bangsawan atau irama Syair Versi Kedua

Seloka

Zaaba dalam Pelita Bahasa Melayu (1957) menulis ”Gurindam dengan seloka itu boleh dikatakan lebih kurang sama sahaja pada fahaman orang Melayu, iaitu sejenis syair melarat yang tidak tentu skima rimanya. Perbezaan antara gurindam dan seloka dapat dilihat pada isinya Isi gurindam berunsur nasihat dan falsafah sementara seloka mengemukakan gurauan, ejekan termasuk kritik sosial dalam sindiran yang tajam

Contoh:

Baik budi emak Si Rendang

anak di pangku diletakkan

kera di hutan disusui

dagang pergi awak terhutang

beras habis padi tak jadi

contoh ke 2

Aduhai malang Pak Kaduk

Ayamnya menang kampung tergadai

ada nasi dicurahkan

awak pulang kebuluran

mudik menongkah surut

hilir menongkah pasang

ada isteri dibunuh

nyaris mati oleh tak makan

masa belayar kematian angin

sauh dilabuh bayu berpuput

ada rumah bertandang duduk.

Seloka ini adalah kesimpulan dari cerita Pak Kaduk. Cerita itu sendiri penuh sindiran yang tajam dan sehingga hari ini digunakan untuk kiasan terhadap nasib bangsa yang menumpang di rumah sendiri. Saya sendiri menulis sajak “Pak Kaduk di Gelanggang Raja” dan “Pesan Pak Kaduk” . Ayamnya menang kampung tergadai. orang yang merasa dirinya telah menang. kta rang s hilang alah sabung menang sorak.

Mengapa orang berlagu?

  • Untuk menghibur juga melegakan kesakitan dan stress. berkait rapat dengan lagu bekerja
  • Pada zaman dahulu ada lagu untuk bekerja. Sambil menjalankan tugas berat ketika bekerja beramai-ramai mereka melaungkan sesuatu seperti menyanyi. Ini berperanan mendapatkan ritma supaya dapat bergerak serentak. Lagu ini juga dapat melegakan kepenatan ketika menjalankan kerja berat.
  • Menghilangkan mengantuk ketika bekerja. Contohnya ibu mendodoi anak dengan nyanyian, selain menghiburkan anak, mereka juga tidak jadi mengantuk dan tertidur.
  • Menarik perhatian. Misalnya seorang penglipur lara menggunakan irama untuk bercerita. Dalam budaya lisan seorang penutur dilingkungi oleh audiensnya yang buta huruf yang menghayati cerita secara pendengaran. Oleh itu tukang cerita harus menguasai beberapa teknik seni persembahan seperti lakonan dan gerak badan, seni bunyi, ritma, lagu dan alat muzik untuk bercerita. Mereka ini termasuklah Tok Selampit, dalang wayang kulit dan Awang Belanga. Peranan tukang cerita ini amat penting sebelum cerita-cerita dapat dibukukan. Contoh cerita penglipur lara ialah Hikayat Malim Deman, Malim Dewa, Awang Sulung Merah Muda, Terung Pipit. Begitu juga cerita binatang, cerita-cerita jenaka seperti Lebai Malang.
  • Memudahkan hafalan. Irama lagu digunakan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran, misalnya untuk menghafal nama-nama Tuhan (AsmulHusna) dan nama nabi-nabi.

Sekian, semoga bertemu lagi.

Wednesday, February 14, 2007

Assalamualaikum kawan-kawan,

Hari Ahad, 11 Februari, saya membaca tulisan Siti Jarum di Mingguan Malaysia. Saya memang selalu ikuti ruangan ini kerana topik-topiknya selalu menyengat. Hari itu ada satu topik yang disentuh yang menyebabkan saya benar-benar tersentuh.

Siti Jarum bercerita tentang orang sukan yang bergaya sakan dengan hadiah ganjaran yang diberikan oleh negara bila mereka berjaya meraih tempat di peringkat antarabangsa. Hadiah itu bukan calang-calang hadiah. Wang RM beratus-ratus ribu. Hal ini memang perkara biasa. Ahli sukan dianugerahi wang ringgit beratus-ratus ribu dan macam-macam. Ingat lagi tak Misbun Sidik dan adik-adiknya yang mendapat tanah berekar-ekar dari kerajaan Selangor yang makmur dan pemurah itu?

Lalu Siti mengeluh kerana ahli-ahli seni (maksudnya pelakon-pelakon dan pembuat-pembuat filem) yang tak diberikan ganjaran setinggi itu bila mereka menang award di peringkat antarabangsa. Khalid Saleh dan Rosyam Nor misalnya pernah terima award festival internasional (sekurang-kurangnya untuk wilayah Asia).Apakah ini tanda dua darjat? Tanya Siti Jarum.

Siti Jarum memang benar. Tapi Siti, nasib orang-orang seni filem dan seni-seni lain tidaklah seburuk nasib orang sastera. Orang filem, penyanyi dan apa saja yang berurusan dengan dunia glamour dan dunia hiburan berpeluang mendapat macam-macam hadiah. Ada anugerah bintang popular, ada juara lagu, ada AIM, planet muzik, macam-macam lagi lah. Itu tak termasuk pelbagai pertandingan menyanyi yang menyediakan kereta mewah, wang ringgit beratus ribu malah sejuta ringgit, dan macam-macam kemewahan duniawi. Ribu2 juga bila buat show. Mawi tu, dalam dua tahun dapat 5 biji kereta. (Bukan nak marah, aku pun undi Mawi dulu –atas sebab-sebab dan faktor-faktor sosial )

Tapi pernahkah anda dengar orang sastera dapat sebanyak itu? Ada tak ada pun Anugerah Sastera Negara dan Hadiah Sastera Perdana. Perkara ni lah yang sebenarnya saya nak cakap. Anugerah Sastera Negara sekarang ni menyediakan RM 60 ribu. Itupun baru dinaikkan. Dulu cumaRM 30. Itupun dah kira banyak sangatlah. Diminta berkali, macam-macam justifikasi dikemukakan barulah dinaikkan. Jumlah ini sama dengan Anugerah Seni Negara. Tapi yang tak sedapnya ASN bukan selalu ada sedangkan Anugerah Seni dengar juga acaranya diadakan setiap tahun.

Hadiah Sastera Perdana, dulunya dikenali sebagai Hadiah Sastera Malaysia. Mula-mula setahun sekali.. Saya pun selalu menang. Dapat hadiah RM 300 untuk satu sajak. Itupun seronok tak kira-kira. Setahun sekali pergi majlis . Bersalam dengan Perdana Menteri dan jumpa kawan-kawan. Masuk TV (Tahun-tahun awal ,siaran langsung you, tak percaya?) Masuk suratkhabar. Bukan apa, sekurang-kurangnya itulah harinya para sasterawan diraikan oleh kerajaan. Masyarakat pun dapat serba sedikit maklumat tentang dunia sastera kerana publisiti yang diberikan.

Wang hadiah dinaikkan ke seribu sekarang ini. Itu pun orang nak komplen. Saya sendiri dengar. Satu hari akhir tahun 2004, beberapa hari selepas dapat hadiah, saya pergi UM nak dengar Syarahan Perdana Rahman Shaari. Rasa lapar pula lalu ke kantin. Order makanan. Baru suap ke mulut, tiba-tiba datang seorang Profesor dan berkata, “kerajaan banyak bagi duit pada sasterawan, apa faedahnya?” Masya Allah, tercekik saya.

.

Saya tak sangka. Sebagai orang intelektual dia sepatutnya sokong. Tak kan orang hiburan dan sukan sahaja boleh terima hadiah. Tidakkah dia berfikir. Untuk melahirkan seorang ahli sukan kerajaan kena belanja beribu juta untuk training dan sebagainya? Dan berapa lama ahli sukan boleh sumbang untuk kesukanan? Berapa lama pelari pecut boleh beraksi. Sampai masa, usia tak mengizinkan lagi, berhentilah dia. Tapi seorang sasterawan, tetap berbakti selagi hayat dikandung badan. A.Samad Sadi, Shahnon Ahmad , Arena Wati dan ramai lagi para sasterawan masih berkarya dan masih bergeliga otak mereka walaupun usia semakin meningkat.

Kita juga selalu berbincang tentang anak-anak muda kita yang lebih cenderung ke hiburan. Kita kata ini gejala tak baik kerana mereka sepatutnya mengutamakan ilmu. Tapi kita bagaimana? Adakah kita memberi contoh teladan yang baik? Kalau kita sendiri mengagung-agungkan hiburan, bagaimana nak mendidik generasi muda agar mencintai amal dan ilmu? Lihat, siapa yang mengagungkan dunia glamour dan hiburan? Ramainya penghibur yang dapat anugerah datuk. Hingga tak sampai 30 tahun pun dah dapat datuk. Ramai penulis tak dapat apa-apa sampai ke tua. AMN pun tak ada.

Bila diadakan sesuatu seminar sastera dan pemikiran, para pembentang kertaskerja pun dipanggil memerahkan otak untuk menyebarkan buah fikiran. Mereka pun dibayar sekitar RM300 atau RM400. Okay lah konon. Tetapi sebelum berseminar biasanya diadakan majlis perasmian. Di situ biasanya ada sedikit hiburan. Seorang dua penyanyi akan dijemput dan dibayar sekurang-kurang RM 2-3 ribu.

Tak pa lah, apa nak buat. Sasterawan tulen akan terus menulis tak kira ganjaran. Cuma malangnya Hadiah Sastera Perdana yang sekarang dah jadi 2 tahun sekali itu pun menimbulkan tanda tanya. Suatu ketika dulu hadiah disampaikan di pertengahan tahun. Misalnya, untuk tahun 94/95, hadiah disampaikan di pertengahan tahun 96. Lepas tu lambat sedikit, akhir tahun baru diumumkan. Apa jadi untuk 2004/2005? Sepatutnya hadiah sudah disampaikan di akhir tahun 2006. Tapi ini belum dengar apa-apa cerita walaupun dah masuk 2007. Apa dah jadi? Sama-samalah kita tunggu. Ini kerja biasa bagi sasterawan. TUNGGU!!!

.

Friday, February 02, 2007

Hari Isnin lalu, kami baca puisi di UPM. Acara berjalan dengan baik. Sungguh menghiburkan. Banyak gambar yang diambil. Sehari dua lagi baru nak masukkan ke dalam blo ni. Belum ada masa nak duduk buat kerja-kerja ni. Salam kepada semua kawan-kawan terutama pelawat blog.

ASALAMUALAIKUM PADA WAN A RAFAR. Terima kasih kerana masih sudi menyambung silaturrahim. Nanti kita bersembang ya.

Sunday, January 14, 2007




PERLAMBANGAN ALAM DALAM PUISI-PUISI SABAH
Oleh: Zurinah Hassan
Alam amat penting di dalam proses kreatif seorang penyair. Dari renungan terhadap alam penyair menemui makna kewujudan dan makna kehidupan Misalnya sungai yang mengalir deras mengingatkan kepada perjalanan waktu dan perjalanan usia yang berlalu pantas. Ombak dan gelombang di laut mengingatkan kepada cabaran yang dihadapi di dalam hidup. Pulau yang jauh mengingatkan kepada impian yang tidak mudah dicapai. Maka lahirlah puisi sebagai reaksi atau tafsiran kreatif penyair terhadap alam yang direnungnya. Puisi yang dicipta akan memperlihatkan pandangan hidup dan pemikiran penyair yang dicorakkan oleh agama dan budayanya.