SEDUTAN DARI
Kertas kerja Seminar SUTERA disampaikan di Universiti Thaksin, 23.8.2023.
bertajuk: ALAM DAN LEGENDA DALAM METAFORA DAN ANALOGI SASTERAWAN UTARA.
LEGENDA
Sastera Melayu tradisi terbahagi kepada sastera istana dan sastera rakyat. . Dalam kategori sastera rakyat terdapat mitos, legenda dan cerita rakyat. Legenda ialah cerita yang terkenal atau menjadi identiti sesuatu tempat atau sesebuah negeri. Ia mungkin berkisah tentang seorang tokoh yang dipercayai pernah hidup pada zaman dahulu walaupun kisahnya mungkin diolah mengikut citarasa si tukang cerita sehingga ada beberapa bahagian yang tidak dapat diterima akal dalam ukuran masa kini seperti memiliki sifat-sifat keramat, berdarah putih dan sebagainya. Cerita-cerita ini juga mengalami tokok tambah ataupun pengurangan menerbitkan pelbagai variasi di tempat yang berlainan. Legenda dan cerita rakyat diperturun dari datuk kepada cucu-cucu atau diceritakan oleh tukang cerita seperti selampit yang terkenal di Perlis. Selain itu terdapat penglipur lara, yang juga digelar "pawang", yang menyampaikan cerita dengan cara yang menarik sebagai hiburan rakyat.
Legenda sering dikaitkan dengan sejarah walaupun kedua-dua bidang ini saling menampilkan perbezaan antara satu sama lain. Dalam bidang kesusasteraan, terdapat karya sastera yang menggunakan sejarah sebagai isi utama. Khasnya dalam novel yang dikenali sebagai novel sejarah yang terlalu banyak untuk disebut di sini. Sekadar contoh ialah novel Kalbu Qalha oleh Amelia Hashim (Dewan Bahasa dan Pustaka 2017), Anak Kedah oleh Tajuddin Abdul Rahman.( DBP 1990). Novel Sejarah menggabungkan fiksyen dan fakta sejarah untuk melahirkan sebuah karya kreatif.
Bagi sasterawan, kisah-kisah legenda lazimnya mengisi ingatan mengusik perasaan dan mencorakkan pemikiran. Ingatan kepada kisah lama membenih karya-karya, antaranya oleh Usman Awang, Shaharom Husain, Muhammad Haji Salleh dan Faisal Tehrani. Sejarah dan legenda bukan sekadar kenangan tetapi menjadi iktibar dan teladan. Tulisan ini lebih tertumpu kepada legenda yang diberi interpretasi baharu. Hal ini disebut sebagai kemunculan pensejarahan baharu atau New Historicism. Pensejarahan baharu melihat fakta lama tetapi dikontruksikan semula kepada bentuk realiti baharu. Dalam perkataan Mana Sikana “Menyusur masalalu untuk menyisir makna baharu”.(Mana Sikana 2008)
Negeri Kedah dan Perlis adalah negeri yang penuh legenda. Terdapat banyak cerita rakyat dan cerita-cerita bertaraf mitos berkaitan sesebuah tempat masyhur seperti Pulau Langkawi dengan legenda Mahsuri dan Kota Siputeh dengan kisah Puteri Lindungan Bulan. Ada cerita cerita yang diklasifikasi sebagai hikayat dan bertaraf karya agung, seperti Merong Mahawangsa. Legenda lagenda ini sering merangsang pemikiran kritis seorang penulis dalam proses kreatif penulis-penulis kontemporari .
Pemikiran Kritis membangkitkan rangsangan untuk melahirkan karya baharu. Apakah yang dimaksudkan dengan Pemikiran Kritis ? Ciri-ciri Pemikiran Kritis dapat dirumuskan seperti di bawah:
1- Berlaku Interpretasi semula serta memberi pemikiran yang berlainan dari apa yang diterima sebelum ini.
2.Pemikiran yang baharu dan belum dikemukakan dalam mana-mana karya baik oleh penulis berkenaan atau penulis-penulis lain.
3. Menyimpang atau bercanggah daripada pendapat umum yang diterima dan digunapakai oleh masyarakat turun temurun.
4. Membawa pemikiran dan pandangan yang baharu dan lebih bernas serta lebih relevan, misalnya dengan isu semasa.
(Zurinah Hassan, 2020)
Mahsuri dan Raja Bersiung:
Sebagai anak Kedah, penulis membesar dengan cerita orang tua-tua tentang Mahsuri dan Raja Bersiung. Ada cerita dari mulut nenek yang dikaitkan dengan Pulau Langkawi pada zaman dahulu. Kononnya Putera Rom ditunangkan dengan Puteri China dan burung garuda telah bertekad untuk memisahkan mereka berdua supaya perjodohan itu tidak terjadi. Si garuda menyampaikan hasratnya kepada Nabi Sulaiman dan baginda berkata garuda tidak akan berjaya . Si garuda memukul bahtera yang membawa Putera Rom ke negeri China untuk menenggelamkannya. Mengikut cerita seterusnya, kapal yang membawa Putera Rom telah hanyut terdampar di Pulau Langkawi di mana Puteri China sedang berada. Tidak begitu jelas bagaimana hal ini berlaku tetapi keduanya telah berjumpa. Oleh kerana tidak berjaya, garuda malu kepada Raja Sulaiman lalu terbang menghilangkan diri dari dunia ini.
Legenda termasyhur Pulau Langkawi ialah Mahsuri. Ada dua perkara tentang Mahsuri yang menjadi sebutan dan perbahasan, iaitu sumpahnya ke atas Pulau Langkawi dan darahnya yang dikatakan putih. Kewujudan manusia berdarah putih tentu sahaja sukar diterima oleh akal dan logika, menyebabkan ramai yang tidak mempercayai cerita tersebut. Pemikiran kembali tentang darah putih itu melahirkan sajak “Darah Putih Mahsuri” . Sajak ini cuba memberi jawapan mengapa Mahsuri berdarah putih. Darah putih itu adalah sesuatu yang disengajakan oleh tukang cerita untuk tujuan dan niatnya yang tersendiri. Dalam pemikiran penyair, darah putih itu sengaja dimasukkan agar cerita itu dapat menangkap perhatian dan menjadi ingatan ramai. Motif cerita ialah untuk menonjolkan fitnah dan kekejaman. Si tukang cerita memerlukan sesuatu yang unik dan berunsur kepalsuan untuk menonjolkan kebenaran. Kebenaran yang dimaksudkan ialah wujudnya fitnah dan kekejaman di kalangan manusia.
Darah Putih Mahsuri
(Apologia tukang cerita)
Maafkan aku Mahsuri
mengheretmu ke dalam kontroversi
lantaran pengakhiran yang kupilih
kau berdarah putih
hingga mereka terus bertengkar
itu tidak mungkin benar.
Tapi bagaimana
kalau kuceritakan seadanya
demi menjaga batas logika
kau sebenarnya tidak terlalu jelita
biasa dan sederhana
adakah mereka akan begitu bersimpati
apakah kau akan disayangi
dan dijadikan puteri
sanjungan Langkawi.
Darah putih adalah taktik kejutan
supaya kau menjadi sebutan
lalu mereka turut mengingati
racun fitnah hasad dengki
yang telah membunuhmu Mahsuri.
Fitnah dan kekejaman
adalah suatu kebiasaan
mungkin tak tersentuh di fikiran
untuk menonjolkannya
aku perlukan keganjilan
seperti darah putih daripada jasadmu
walaupun itu palsu.
Dan, aku memerlukan kepalsuan
untuk menonjolkan kebenaran.
(Zurinah Hassan, 2006:119)
Sebuah lagi sajak berjudul ‘Mahsuri’, memberi tumpuan kepada kedudukan Langkawi sebagai pusat pelancongan dan sumpah Mahsuri yang dikatakan telah mengakibatkan Pulau Langkawi berada dalam kemunduran selama tujuh keturunan. Pemikiran kembali adalah bercanggah dengan pendapat umum sebelum ini . Puisi ini melontar pendapat bahawa sumpah itulah yang sebenarnya membesarkan Langkawi.
Mahsuri
Selendangmu mengibar di pantai
Menyambut tetamu pulau
Setiamu menjadi lagu nyanyian ombak pagi
Rambutmu menjadi jalur hitam
Terapung di laut malam
Airmatamu dingin embun
Jatuh ke tujuh telaga
Dendam tujuh keturunan
Melengkung tujuh tanjung
Putihlah pulau ini
Disimbah darah Mahsuri
Mahsuri
Sumpah itulah yang telah menghidupkan langkawi
Kerana tanpamu
Langkawi tidak sebegini bererti.
Kata orang Mahsuri tidak pernah hidup
Ia hanya bermula dari khayalan seorang seniman
Pun kata orang mahsuri pernah hidup
Tetapi bahasa seorang pencerita
membuatnya lebih hidup daripada kehidupannya
Sastera mewarnai tanah air kerana tanpa mahsuri
Langkawi tidak sebegini bererti
Mahsuri membesarkan langkawi
Sastera membesarkan tanahair.
( Zurinah Hassan, 1994: 67)
Mahsuri digambarkan dengan kecantikan dan keindahan pantai, pulau dan ombak. Bercanggah dengan pandangan biasa Sumpah Mahsuri ditafsir semula sebagai sesuatu yang sebenarnya menghidupkan Langkawi. Tanpa legenda Mahsuri Langkawi tidak menjadi begitu bererti seperti hari ini. Justeru itu, penulis melontarkan pandangan bahawa cerita-cerita rakyat dan sastera pada keseluruhannya, dapat membesarkan tanah air. Begitulah pemikiran kritis dan proses kreatif sajak Mahsuri.
Sebuah lagi ialah legenda yang melalui pemikiran kritis ialah kisah Raja Bersiung.
JUJURNYA SEORANG HAMBA
Pada suatu malam yang celaka
Raja Ong Maha Prita Daria
Mengecapi kelazatan semangkuk bayam
Dengan nikmat yang luas biasa
Setelah mendengar cerita sebenar
Dia pun ketawa bergegar
Ketawanya menggila
Dan bermulalah huru-hara
Pada suatu pagi yang amat hiba
Wan Anum yang sarat mengandung
Merayu belas kasihan datuk penghulu
Meminta seulas nangka
Yang sedang dibawa menghadap raja
Setelah melihat nangka yang tercedera
Raja terlalu murka
Dengan marah tak terkawal
Raja kehilangan akal
Dikoyaknya perut isteri Laksamana
Hanya kerana seulas Nangka
Dipancungnya rakyat sesedap rasa
Hanya untuk menjamu selera
Segalanya mungkin tidak berlaku
Jika si tukang masak itu
Tahu menyembunyikan rahsia
Dan tidak terlalu jujur
Tentang darah yang tercampur
Ke dalam mangkok sayur
Datuk penghulu itu juga
Boleh mencipta seribu helah
Tentang Nangka yang terbelah
Tapi apakan daya
Kerana setia yang tiada tara
Mereka hanya tahu berkata ya
Kerana taat yang tidak terhad
Mereka mengangguk dan menunduk
Walau raja sedang menjilat-jilat
Semangkok lazat daripada darah rakyat
Apa yang berlaku telah berlaku
Kerana datuk penghulu
Dan si tukang masak itu
Adalah antara beribu-ribu
Hamba Melayu.
(Salasilah, dbp 2005, 76-77)
Ini adalah kisah masyhur dan ngeri. Raja Ong Maha Prita Daria yang merasa sayur bayamnya lebih enak daripada yang pernah disantapnya.. Dia bertanya mengapa sayurnya lebih sedap daripada biasa. Si tukang masak dalam ketakutan memberitahu yang semasa momotong bayam dia terhiris jari lalu darah dari jarinya tertitis ke dalam mangkuk sayur. Setelah mendengar kata-kata tukang masak itu, raja pun ketawa dan di sinilah bermulanya huruhara.
Proses kreatif sajak ini digerakkan oleh pemikiran yang melintas iaitu si tukang masak itu tidak sepatutnya memberitahu raja tentang darah yang tertitis ke dalam mangkuk sayur. Sepatutnya si tukang masak tidak berterus terang . Akibat daripada sikap terlalu jujur kepada raja banyak mala petaka yang menimpa rakyat. Hal yang sama berlaku dalam kisah Sultan Mahmud mangkat dijulang. Kisah ini sudah diketahui ramai. Wan Anum, isteri Laksamana yang sarat mengandung dan mengidam, telah merayu meminta nangka yang sedang dibawa oleh Tok Penghulu untuk dipersembahkan kepada Sultan. Setelah melihat nangka yang terbelah, dan diberitahu oleh datuk penghulu akan hal yang terjadi, Raja terlalu murka lalu menghukum isteri Laksamana sekejamnya.
Intipati dari legenda itu ialah pemikiran bahawa segala penderitaan hidup rakyat selama ini adalah berpunca dari sikap terlalu taat kepada raja. Mentaliti fuedalisma adalah punca segala penderitaan. Ia menghalang rakyat daripada berfikir untuk menyelamatkan diri menyebabkan kuasa raja terus kekal tanpa kawalan.
Cerita legenda dan penyampainya tok selampit menjadi ingatan rakyat. Bagi Penyair veteran Perlis, Rejab F.I. (penerima SEA Write Award 2016 ), Selampit ialah lambang unsur-unsur tradisi yang semakin menghilang. Bagi Rejab F.I. Selampit membawa penduduk kampung, iaitu petani-petani untuk berkumpul dan merasa dekat sesama mereka. Selampit dan penceritaannya juga adalah jalan pelarian daripada kenyataan hidup rakyat marhaen yang getir. Dalam sajak Selampit, penyair menggambarkan musim selepas menuai dan kemiskinan rakyat diungkap pada “tika malam berlaguh suram”.
Selampit
Musim panen yang ghairah
Angin timur membelai mesra
Suara pungguk sayup berhiba
Tika malam berlabuh suram:
Berkumpullah petani-petani purba
Menghayati cita rasa-ceritera
Menjangkau alam Firdausi
Bersama bidadari kayangan
Dan Sang Dewata Mulia Raya.
(Rejab F.I. 1986: 64,65)
No comments:
Post a Comment