ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Thursday, March 02, 2023

BIODATA SASTERAWAN NEGARA ZURINAH HASSAN

BIODATA ZURINAH HASSAN




 Zurinah Hassan merupakan sasterawan wanita pertama yang dianugerahi gelaran Sasterawan Negara. Selain itu beliau menerima Hadiah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award ) pada 2004 dan Hadiah Puisi Sunthorn Phu (Hadiah Puisi Negara ASEAN) pada 2013.

Zurinah Hassan dilahirkan pada 13 Jun 1949 di Alor Setar, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu Tikam Batu, Sekolah Inggeris Sungai Layar, Sekolah Convent Sungai Petani dan Sekolah Sultanah Asma Alor Setar, sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.  Zurinah memperolehi ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dari Universiti Sains Malaysia, Sarjana Sastera dari Universiti Putra Malaysia, dan Ph.D  dari Universiti Malaya pada tahun 2008. 

Zurinah menulis dalam pelbagai genre. Hingga kini menghasilkan kumpulan puisi, kumpulan cerpen, novel, kajian sastera dan memoir. Zurinah banyak memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan , Hadiah Cerpen Islam Jabatan Perdana Menteri, dalam bidang puisi dan cerpen. 

Di samping karya eceran, beberapa buku-buku yang memenangi hadiah ialah:

Keberangkatan (kumpulan puisi), Dewan Bahasaa dan Pustaka memenangi Hadiah Puisi Putra 1984. 

Pujangga Tidak Bernama. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1994. Hadiah Sastera Perdana untuk buku puisi

Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi, Penerbit UKM Hadiah Buku Perpustakaan Negara dan Hadiah Sastera Perdana 2003.

Membina Bakat Kreatif , UniMap Press,2020,  terpilih  antara 50 judul buku terbaik untuk tahun 2020 oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia. 

Murka Lautan, 2016. kumpulan cerpen terbaik,  Anugerah Sastera Darul Aman 2022 .

Karyanya telah diterjemahkan ke beberapa bahasa, misalnya buku Menghadap ke Pelabuhan ITBM, telah terbit dengan terjemahan Bahasa Inggeris, Bahasa Spanish, Bahasa Russia dan Peranchis. Dengan kepakaran dalam bidang penulisan puisi moden dan tradisional, beliau telah dilantik oleh beberapa Institusi Pengajian Tinggi sebagai  Karyawan Tamu di Universiti Kebangsaan Malaysia, Karyawan Tamu, Felo Penyelidik dan Pakar Perunding di Universiti Malaya, Karyawan Tamu Utama di Universiti Utara Malaysia dan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Perlis.


Atas sumbangan yang bermakna dalam bidang penulisan dan khidmat masyarakat, beliau dianugerahi Bintang Kebesaran Darjah Setia Diraja Kedah pada 2014, membawa gelaran Dato’

 

Menerima SEA Write Award, di Bangkok Thailand, pada tahun 2004. Foto kenangan bersama Haji Jawawi penerima dari Negara Brunei Darussalam dan Presiden SEA Write Award yang kemudian menjadi Dato' Bandar Bangkok.

Buku kumpulan puisi terkini PAK KADUK PULANG KE KAMPUNG. Kuali Hitam , 2022. 


No comments:

Post a Comment