ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Monday, September 06, 2021

CATATAN PROSES KREATIF :  PUISI 

Ilham dari Cerita Jenaka. 

Cerita Pak Kaduk boleh dilihat dari sisi yang lain. Masyarakat menganggap Pak Kaduk sangat bodoh kerana bertukar ayam dengan raja.Yang terlintas di fikiran saya, adakah Pak Kaduk boleh membantah bila Raja mengajak dia bertukar ayam. Seterusnya inilah “Pak Kaduk di Gelanggang Raja”

 

Pak Kaduk di Gelanggang Raja

    

    Aku medengar mereka mencaci

     Pak Kaduk tidak pandai

     Ayam menang kampung tergadai

     Pak Kaduk tidak bijak

     Alah sabung menang sorak

     Pak Kaduk memalukan bangsa

     Tidak sedar ditipu raja.

 

     Itu tidak benar

     Kerana aku terlalu sedar

     Bila raja berkata

    “Mari kita bertukar ayam”

     Itu bukan satu candangan

     Tapi satu perintah

     Bagaimana aku membantah

     Apa hakku untuk tidak setuju

      Rela atau terpaksa tentu tak ada beza

      Seribu ayam boleh mengalahkan ayam raja

     Tetapi rakyat tidak akan menang sampai bila-bila

     Gelanggang ini milik raja

     Semua kampung pun kampung raja

     Segala ayam pun ayam raja

     Jadi apa benar yang aku tukarkan

     Apa benar yang aku gadaikan

     Segalanya sudah tergadai sejak mula

 

 Sajak ini sudah tentu berasal dari cerita rakyat atau cerita jenaka Pak Kaduk yang kehilangan kampung halaman itu. Selama ini masyarakat menganggap Pak Kaduk sangat bodoh kerana bertukar ayam dengan raja. Apabila ayamnya si kunani menang di dalam persabungan Pak Kaduk bersorak riang. Dia lupa bahawa rajalah yang menang kerana si kunani telah diberi kepada raja buat sementara. Pak Kaduk terpaksa menyerahkan tanahnya  kepada raja.

Cerita ini sangat menyentuh perasaan saya. Adakah seorang raja yang sudah kaya raya sanggup mengambil tanah rakyat miskin yang tidak mempunyai apa-apa lagi selain rumah dan tanah sekangkang kera.  Masyarakat mengejek Pak Kaduk kerana kebodohannya bertukar ayam dengan raja. Tetapi apa yang akan jadi jika Pak Kaduk tidak setuju? Dia mungkin dibunuh kerana dianggap menderhaka. Oleh itu saya menulis “rela atau terpaksa tentu tak ada beza”

No comments:

Post a Comment