CATATAN PROSES KREATIF : PUISI
Ilham dari Cerita Jenaka.
Cerita
Pak Kaduk boleh dilihat dari sisi yang lain. Masyarakat menganggap Pak Kaduk
sangat bodoh kerana bertukar ayam dengan raja.Yang terlintas di fikiran saya,
adakah Pak Kaduk boleh membantah bila Raja mengajak dia bertukar ayam.
Seterusnya inilah “Pak Kaduk di Gelanggang Raja”
Pak Kaduk di Gelanggang
Raja
Aku medengar mereka mencaci
Pak Kaduk tidak pandai
Ayam menang kampung tergadai
Pak Kaduk tidak bijak
Alah sabung menang sorak
Pak Kaduk memalukan bangsa
Tidak sedar ditipu raja.
Itu tidak benar
Kerana aku terlalu sedar
Bila raja berkata
“Mari kita bertukar ayam”
Itu bukan satu candangan
Tapi satu perintah
Bagaimana aku membantah
Apa hakku untuk tidak setuju
Rela atau terpaksa tentu tak ada beza
Seribu ayam boleh mengalahkan ayam raja
Tetapi rakyat tidak akan menang sampai bila-bila
Gelanggang ini milik raja
Semua kampung pun kampung raja
Segala ayam pun ayam raja
Jadi apa benar yang aku tukarkan
Apa benar yang aku gadaikan
Segalanya sudah tergadai sejak mula
Sajak ini sudah tentu berasal dari cerita rakyat
atau cerita jenaka Pak Kaduk yang kehilangan kampung halaman itu. Selama ini masyarakat
menganggap Pak Kaduk sangat bodoh kerana bertukar ayam dengan raja. Apabila
ayamnya si kunani menang di dalam persabungan Pak Kaduk bersorak riang. Dia
lupa bahawa rajalah yang menang kerana si kunani telah diberi kepada raja buat
sementara. Pak Kaduk terpaksa menyerahkan tanahnya kepada raja.
Cerita ini sangat menyentuh perasaan
saya. Adakah seorang raja yang sudah kaya raya sanggup mengambil tanah rakyat
miskin yang tidak mempunyai apa-apa lagi selain rumah dan tanah sekangkang
kera. Masyarakat mengejek Pak Kaduk
kerana kebodohannya bertukar ayam dengan raja. Tetapi apa yang akan jadi jika
Pak Kaduk tidak setuju? Dia mungkin dibunuh kerana dianggap menderhaka. Oleh
itu saya menulis “rela atau terpaksa tentu tak ada beza”