ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Monday, September 06, 2021

CATATAN PROSES KREATIF :  PUISI 

Ilham dari Cerita Jenaka. 

Cerita Pak Kaduk boleh dilihat dari sisi yang lain. Masyarakat menganggap Pak Kaduk sangat bodoh kerana bertukar ayam dengan raja.Yang terlintas di fikiran saya, adakah Pak Kaduk boleh membantah bila Raja mengajak dia bertukar ayam. Seterusnya inilah “Pak Kaduk di Gelanggang Raja”

 

Pak Kaduk di Gelanggang Raja

    

    Aku medengar mereka mencaci

     Pak Kaduk tidak pandai

     Ayam menang kampung tergadai

     Pak Kaduk tidak bijak

     Alah sabung menang sorak

     Pak Kaduk memalukan bangsa

     Tidak sedar ditipu raja.

 

     Itu tidak benar

     Kerana aku terlalu sedar

     Bila raja berkata

    “Mari kita bertukar ayam”

     Itu bukan satu candangan

     Tapi satu perintah

     Bagaimana aku membantah

     Apa hakku untuk tidak setuju

      Rela atau terpaksa tentu tak ada beza

      Seribu ayam boleh mengalahkan ayam raja

     Tetapi rakyat tidak akan menang sampai bila-bila

     Gelanggang ini milik raja

     Semua kampung pun kampung raja

     Segala ayam pun ayam raja

     Jadi apa benar yang aku tukarkan

     Apa benar yang aku gadaikan

     Segalanya sudah tergadai sejak mula

 

 Sajak ini sudah tentu berasal dari cerita rakyat atau cerita jenaka Pak Kaduk yang kehilangan kampung halaman itu. Selama ini masyarakat menganggap Pak Kaduk sangat bodoh kerana bertukar ayam dengan raja. Apabila ayamnya si kunani menang di dalam persabungan Pak Kaduk bersorak riang. Dia lupa bahawa rajalah yang menang kerana si kunani telah diberi kepada raja buat sementara. Pak Kaduk terpaksa menyerahkan tanahnya  kepada raja.

Cerita ini sangat menyentuh perasaan saya. Adakah seorang raja yang sudah kaya raya sanggup mengambil tanah rakyat miskin yang tidak mempunyai apa-apa lagi selain rumah dan tanah sekangkang kera.  Masyarakat mengejek Pak Kaduk kerana kebodohannya bertukar ayam dengan raja. Tetapi apa yang akan jadi jika Pak Kaduk tidak setuju? Dia mungkin dibunuh kerana dianggap menderhaka. Oleh itu saya menulis “rela atau terpaksa tentu tak ada beza”

Sunday, July 04, 2021

 


Saya  telah berkali-kali juga diberikan ruang untuk memperkatakan tentang perjalanan diri menjadi penulis dan sebahagian darinya telah dibukukan seperti Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi (Penerbit UKM ) dan Catatan Perjalanan Seni Zurinah Hassan (ITBM 2013).

Telah saya catatkan di dalam buku2 tersebut  bahawa saya mula bermesra dengan puisi ketika masih sangat muda iaitu dalam sekitar usia 13 tahun. Saya tinggal di sebuah kampung di Kedah . Saya tidak bebas bermain di luar lalu saya duduk di rumah dan mendengar radio. Saya mendengar lagu-lagu yang disiarkan termasuk lagu-lagu Indonesia dengan senikata sangat puitis. (Di wajahmu kulihat bulan/bersembunyi di balik senyuman). (ibarat gadis desa bunga melur/sederhana) . Saya menggemari lagu-lagu asli yang menggunakan pantun. (Gunung Banang tinggi mengawan). Semua ini mengajar saya bahawa manusia berinteraksi,   berintegrasi dan menginterpratasi  alam. Gambaran alam dari lagu-lagu tersebut tumbuh dalam pemikiran dan perasaan.      Saya. mengembara dengan lagu-lagu tersebut melihat laut, pantai dan gunung yang tergambar di dalamnya.. Aktiviti mendengar nyanyian ini memberi asas pengenalan kepada metafora   dan menumbuhkan minat untuk menulis puisi..

 Percakapan  tentang perjalanan diri di dunia seni akan dapat mendedahkan kepada proses kreatif seorang pengarang seperti saya. Di samping itu dapat memberi maklumat tentang perkembangan dunia penulisan kreatif khasnya untuk memperlihatkan kemajuan dan perbezaan dahulu dan sekarang.

 Tentu sahaja banyak perbezaan yang telah berlaku. Pada masa sekarangTeknologi semakin canggih, pemikiran manusia juga semakin tinggi, pelbagai buku boleh diterbitkan dengan pantas.. Di Malaysia penulis novel, cerpen puisi bertambah ramai dan karya-karya sastera berkembang subur. Ramai penulis baru telah berjaya menerbitkan buku di arus perdana atau bukan arus perdana. Saya terfikir kalau mereka telah menghasilkan 10 buku sebelum berusia 40 tahun atau 35 tahun bayangkan berapa yang dihasilkan setelah mencapai usia emas. Mungkin mengatasi Shahnon dan Arena Wati. ( Ini belum lagi mengambil kira  penulis Indonesia yang saya rasa lebih hebat dan dikenali di peringkat dunia).

 Kiranya apa terlintas di fikiran saya itu terlintas juga di fikiran anak-anak muda yang kreatif dan lantang itu, sehingga ada yang menjadi sinis dan mula menyoal di manakah kehebatan seorang Sasterawan Negara. Hal seperti telah ditulis oleh seorang penulis muda di akhbar Berita Harian pada akhir tahun lepas.

 Sememangnya ramai anak muda yang lantang dan kreatif, namun begitu sepatutnya mereka  dapat melihat kedudukan SN yang ada berdasarkan waktu dan zaman.  Semua SN yang berusia lebih 60 tahun berkarya semasa sebuah buku mengambil masa sehingga lapan tahun untuk diterbitkan. Satu tahun  mengetuk mesin taip hingga sakit jari dan pedih urat bahu. Penerbit akan mengambil masa 4 tahun untuk membaca dan menilai, 3 tahun untuk menyunting, mengatur huruf, membaca  pruf, membetul itu dan ini, buat format, lay out dan cetak. Akhirnya buku terbit. Walaupun akan terdapat kesalahan di sana sini) penulis terasa mendapat nyawa yang baru.

Itu keadaan secara general. Sebagai perempuan  saya menghadapi kepayahan yang tersendiri. Saya berhadapan dengan latar masa dan budaya yang berbeza yang mungkin tidak dikenali lagi pada hari ini. Saya mula mencintai buku dan penulisan   ketika orang tua-tua masih bertengkar adakah wajar membenarkan anak perempuan belajar di sekolah menengah yang semuanya jauh di bandar. Masyarakat  hanya menghargai anak perempuan yang cekap membuat semua kerja rumah. Anak anak perempuan sentiasa akan dipanggil ke dapur dan hal ini mengganggu perjalanan idea. Orang2 tua tidak faham tentang dunia kepengarangan. Mereka mula hairan melihat saya gemar duduk bersendirian dan berjalan dari pokok ke pokok terutama pada hari petang hingga ke senja. Orang2 tua mula bimbang apakah saya dirasuk makhluk halus yang memanggil saya dari pokok ke pokok. Saya mulakan dengan menulis sajak dan menulis dengan tangan untuk dipos kepada akhbar di Kuala Lumpur. Saya belum menulis cerpen apatah lagi novel kerana ketiadaan mesin taip.

 Bila sudah bekerja, berkahwin saya memiliki mesin taip dan kemudian komputer, saya terus menulis. Namun kekangan tetap ada. Barangkali tidak perlu dicurahkan di sini kerana semua orang tahu masalah yang dihadapi oleh pengarang wanita. Kita biasa mendengar pengarang lelaki berkata “bila saya menulis isteri dan anak anak tidak akan ganggu”. Apakah keistimewaan ini dapat dirasai oleh penulis wanita?. Dengan sebab itu saya kurang berkarya semasa anak-anak masih kecil. Kerana itulah ramai penulis wanita telah hilang setelah berumahtangga.

 Usaha gigih telah membuahkan hasil dan saya telah diisytiharkan sebagai Sasterawan Negara.  Sudah tentu merasa bahagia dana mat bersyukur.  SN diberi sedikit imbuhan walaupun  jauh lebih rendah dari jumlah yang diperolehi oleh Maharaja Lawak dan hadiah hadiah lain yang tersedia untuk artis-artis hiburan.  Kabarnya dari tahun ke tahun ada permohonan dibuat oleh jawatankuasa ASN supaya kerajaan menaikkan jumlah wang tetapi jawapannya sentiasa ‘tak ada bajet” walaupun kerajaan sentiasa ada wang untuk menghulurkan jutaan rm sebagai hadiah kepada ahli sukan yang mendapat medal di olimpik.. Kalau diamati habuan untuk SN bukan bertambah, malah semakin berkurangan. Apa tidaknya, pada zaman Keris Mas, Usman Awang dengan hadiah rm 30ribu sudah boleh membeli rumah, sekurang-kurangnya rumah teres setingkat dan kalau ada tanah di kampung sudah dapat membina sebuah banglo. Hadiah itu naik menjadi rm 60 dan semua itu jauh dari mimpi.

Bukan soal wang yang hendak saya perkatakan di sini. Nikmat sebenar ialah apabila Dewan Bahasa dan Pustaka mencetak ulang  buku-buku yang pernah mereka terbitkan yang sekarang mereka labelkan Edisi Sasterawan Negara. Sudah berpuluh tahun saya memendam rasa kerana karya2 umpamanya sajak-sajak yang dikarang dengan susah payah terperuk dan terperam begitu sahaja, tidak ada di pasaran dan tidak pula diulangcetak.

Di negara saya, kemungkinan untuk buku puisi dicetak ulang amat tipis  kerana ia hanya akan membebankan penerbit.  Hal ini menyebabkan Pusat-pusat pengajian yang  menggunakan mana-mana buku saya untuk kuliah, terpaksa membuat salinan fotocopy. Mereka beritahu saya mereka sudah cari dan terpaksa buat fotocopy. saya tidak pernah marah  Kalau tidak dapat ganjaran kewangan, cukuplah karya-karya saya terus dibaca dan tidak mati begitu saja.

 Sajak2 tidak diulangcetak dan tidak dapat disiar kembali melainkan dengan menulis surat dan melalui proses yang meletihkan. .Ini semua kerana ikatan Akta Hakcipta yang memperuntukkan  Hakcipta dipegang  oleh pengkarya dan penerbit berkuatkuasa dari tarikh karya itu diterbitkan sehingga  lima puluh tahun setelah pegkarya meninggal dunia. 

 Klausa ini termaktub di dalam perjanjian World Intellectual Property Organization (WIPO) yang merupakan organisasi antara kerajaan. WIPO mengambil kira Konvensyen Berne untuk perlindungan karya Sastera dan Seni (Berne Convention for the Protection of Literary and Artistic Works 1886) dan dikemaskini pada tahun 1970.

Akta ini menjadi amalan di beberapa buah negara. Malaysia adalah salah sebuah negera yang turut menandatangani persetujuan persetujuan untuk mengguna pakai dan mematuhinya tersebut. 

 

Di dalam bidang seni hiburan klausa ini ternyata telah menguntungkan pengkarya. Di Malaysia, misalnya karya-karya muzik, termasuk senikata lagu ciptaan Allahyarham Loloq masih menerima bayaran sekitar belasan ribu sebulan  Hal ini tentu sahaja besar manfaatnya kepada pewaris  Tetapi apakah kesan Akta tersebut kepada bidang penghasilan karya sastera?  Setakat ini belum terdengar ada penulis yang menikmati royalti sebegitu banyak yang dapat ditinggalkan untuk pewaris. Sebaliknya Akta tersebut dilihat telah mendatangkan lebih banyak  kesusahan dan kerumitan berbanding keuntungan.

 PENUTUP

Saya telah melalui perjalanan yang panjang dan berliku. Setelah menjadi seorang muda yang ghairah dengan laut, saya kini umpama Seorang Tua di kaki gunung.  Masih banyak harapan yang belum terdaki . Namun begitu saya menadah tangan berdoa , Semoga Allah mengizinkan saya menulis lagi kerana gelaran dan Anugerah adalah satu amanah.

 

 

 

 

 

 

Thursday, June 10, 2021

 

                    TULISAN ini pada keseluruhannya adalah petikan daripada tesis Siti Raihani Mohamed Saaid: Skrip Filem Terpilih P.Ramlee: Suatu Bacaan Kritik Feminis, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 2016.

          Pengenalan kepada Feminisme,

            Feminisme , ialah aliran yang menyokong kuat hak asasi dan emansipasi atau pembebasan Wanita berdasarkan kepercayaan bahawa wanita menderita dan terkongkong  kerana kejadiannya sebagai wanita. Keadaan ini amat menyedihkan kerana sebagai manusia, wanita juga memerlukan ruang untuk bergerak bebas dalam masyarakat dan wanita juga turut menyumbang kepada perkembangan negara.  Hal ini boleh dirujuk kepada  Mitchel (1971:65) dan Rosnah Baharudin dalam Zalila Sharif (2003:12).

             Menurut Tuttle, L. (1986:107), feminisme berasal daripada bahasa Latin, femina iaitu wanita. Aliran Feminisme bermula di Barat sejak abad ke-18 tetapi mula merebak ke merata pelosok dunia sejak tahun 1960-an dan 1970-an. Pada peringkat awalnya, feminisme merupakan gerakan atau fahaman yang menuntut kesamarataan seperti yang dinikmati oleh kaum lelaki. Feminisme melihat wanita sebagai golongan manusia yang tertekan dan dizalimi oleh institusi sosial dan budaya yang semuanya dibina dan diperintah oleh lelaki. Pemerintahan ini digelar patriarki. Berdasarkan teori-teori yang tersendiri, feminisme membongkar dan menganalisis ketidakadilan dalam sistem patriarki, mengajukan critique dan memeranginya, di samping memperjuangkan hak dan martabat wanita untuk hidup bebas dan bahagia (Md.Salleh Yaapar dalam Zalila Sharif, 2003: 4-5).

                     Sistem patriarki secara umumnya ditafsirkan sebagai  satu sistem di mana lelaki berkuasa. Dalam masyarakat patriaki, lelaki berkuasa ke atas institusi institusi sosial, politik dan ekonomi yang menindas kaum wanita.  Humm (1989:159) menyimpulkan patriaki sebagai “a system of male authority which oppresses women through its social, political and economical instituitions’’. Millet, Beechay & Rowbotham (1989:159) pula mentakrifkan patriarki sebagai “male domination and the power relationships by which men dominate women’’. Petikan ini membawa maksud lelaki mendominasi dan mengawal semua kehidupan wanita.  Di Asia, seorang ayah mengawal dan mengatur kehidupan semua ahli keluarga, berkuasa ke atas harta benda dan mempunyai kata pemutus dalam setiap perkara. Keadaan ini digambarkan oleh  Kamla Bhasin dan Nighat Said Khan sebagai “a social system where the father controls all members of family, all property and other economic resoures, all makes all major decisions’’ (1986: 9). Oleh yang demikian, dapatlah difahami bahawa patriarki membawa maksud segala nilai, adat, kepercayaan dan peraturan dalam pelbagai aspek kehidupan yang dirangka oleh lelaki dan dilihat sebagai melebihkan lelaki serta menindas kaum wanita.

                        Dominasi dan kecenderungan patriarki turut mempengaruhi bidang kritikan sastera dan filem sehingga Kritik Feminis muncul sebagai satu cabang disiplin dalam ilmu kritikan sastera dan filem untuk mengimbangkan teori dan amalan kritikan yang bersifat patriarki. Kritikan ini bermula dengan kesedaran betapa peranan wanita sebagai pengarang tenggelam dalam tradisi penguasaan lelaki. Kebangkitan feminisme semakin mendapat tumpuan kerana kesedaran terhadap tindakan prejudis kaum lelaki yang menjadikan karya sastera sebagai wadah untuk menaburkan pengalaman yang tidak menepati jiwa dan perasaan wanita. Bahkan kedudukan wanita juga sering disalahtafsirkan. Teori ini cuba membantah, membongkar, dan menentang segala kezaliman patriarki dengan memperjuangkan hak, kedudukan, martabat dengan memperkasakan ideologi kuasa feminis untuk sebuah dunia yang sejahtera , bahagia dan bermaruah (Humm,1989: 112-113)

                       Pengarang terkemuka ialah Elaine Showalter. Showalter berpendapat bahawa dengan membaca karya-karya pengarang lelaki, pembaca tidak dapat mengetahui perasaan wanita yang sebenarnya. Wanitalah yang lebih mengetahui tentang diri mereka. Hasil tulisan kaum lelaki biasanya menampilkan stereotaip wanita sebagai isteri dan ibu yang setia dan berbakti, wanita manja, pelacur dan wanita dominan. Sedangkan pada hakikatnya wanita memiliki perasaan-perasaan yang sangat peribadi seperti penderitaan, kekecewaan atau rasa tidak aman yang dapat diungkap secara tepat oleh wanita, seperti kenyataan berikut:

If we study the stereotype of women, the sexism of male critic and the limited roles women play literary history, we are not learning what women have felt and experienced, but only what men have thought women should be.

 (Showalter, 1987:238).

 

                        Showalter menjelaskan tentang Kritik Feminis:

It is concerned with the feminist as reader,and it offers feminist readings of texts which considers the images and stereotypes of women in literature, the omissions and misconceptions about women in criticism, and woman-as-sign-in in semiotic systems.

(1987:234).

 

           Kehadiran pengkritik feminis dalam bidang sastera adalah untuk membetulkan persepsi lelaki yang sering menganggap wanita sebagai objek atau simbol dalam karya-karya mereka. Dalam membahaskan takrif dan konsep “kritik feminis’ yang disebutkan oleh Showalter, Mary Ellmann dalam Thinking About Women (1968) membincangkan pemikiran tentang wanita oleh kebanyakan pengarang lelaki dan mengkritik penampilan ciri-ciri stereotaip tersebut serta tanggapan stereotaip mereka terhadap wanita. Showalter berpendapat bahawa kebiasaannya pengarang lelaki akan melukiskan watak wanita dengan sifat-sifat yang stereotaip itu boleh disimpulkan sebagai Formless, Passive, Unstable, Confined, Pious, Materialistic, Spiritual, Irrational, Compliant, The Witch dan The Shrew ( Ellmann dalam Moi (1985:34).

           Ciri-ciri stereotaip yang lazimnya ditemui di dalam karya-karya pengarang lelaki telah disenaraikan seperti di bawah. Sifat-sifat itu bolehlah diterjemah dan diperjelaskan seperti berikut:

              Formless - Dari segi terjemahan literal, formless ialah “tidak berbentuk”. Hal ini merujuk kepada pengertian bahawa watak wanita mempunyai sifat, pemikiran dan pendirian yang tidak menentu atau tidak jelas.

2.                      Unstable - Unstable bererti tidak stabil atau tidak tetap pendirian. Sifat ini merujuk kepada watak wanita yang tidak kukuh, tidak berprinsip dan mudah berubah fikiran. Keadaan unstable ini juga adalah akibat dari sifat wanita yang mudah dipengaruhi oleh orang lain. Mereka mudah berubah mengikut arus. Oleh hal yang demikian wanita tidak boleh diharap untuk mengendalikan sesuatu urusan penting. Mereka tidak boleh diharap untuk berfikir dan bertindak di dalam sesuatu perkara yang melibatkan kepentingan ramai. Justeru wanita tidak diberikan tanggungjawab yang penting di dalam segala hal. Tanggungjawab atau peranan penting diserahkan kepada lelaki.

3.                 Passive - Passive atau tidak aktif merujuk kepada perlukisan watak wanita sebagai tidak memainkan peranan penting dalam mengawal situasi dan seterusnya menggerakkan cerita. Hal ini terjadi kerana sifat mereka yang lebih banyak berserah kepada lelaki dan mengharap kepada orang lain untuk membuat keputusan. Oleh itu dalam kebanyakan karya sastera, watak lelaki lebih mendominasi keadaan dan pergerakan jalan cerita.

4.      Confined - Confined merujuk kepada tidak berfikiran terbuka. Perkara ini berkaitan dengan sifat wanita yang ditunjukkan sebagai tidak menerima perubahan di sekelilingnya. Sifat ini juga berpunca daripada  perasaan takut untuk keluar dari zon selesa atau tidak bersedia untuk menghadapi risiko. Oleh yang demikian, confined juga boleh disifatkan sebagai kolot sedangkan kemajuan dan permodenan dikaitkan dengan kesediaan menerima perubahan. Mereka yang memiliki sifat ini tidak akan maju.

5.      Pious - Pious atau warak merujuk kepada kecenderungan untuk menyerahkan segala-galanya kepada takdir dan hanya menerima keadaan yang terjadi tanpa berusaha untuk melawan. Perkara ini juga membawa maksud watak wanita adalah lemah dan tidak boleh berusaha sendiri dalam menghadapi sesuatu situasi. Mereka hanya berserah kepada apa yang ditentukan oleh takdir. Sifat atau ciri ini mempunyai kaitan dengan ciri ke-4 dan menjadi faktor watak wanita kurang bertindak untuk mengawal keadaan.

6.      Materialistic – Materialistik merujuk kepada sifat wanita yang mementingkan kebendaan. Hal ini boleh diertikan sebagai tidak berfikiran tinggi dan jauh dari memikirkan hal-hal yang intelektual. Sebagai contoh, terdapat watak ibu-ibu yang mementingkan kebendaan semata-mata sehingga memaksa anak gadis berkahwin dengan orang yang berharta kerana orang seperti ini dianggap boleh menjamin kebahagiaan.

7.      Spritual - Spiritual merujuk kepada perlukisan watak wanita yang sering berpaut kepada hal-hal spiritual dan bukan kenyataan. Contohnya, watak wanita yang lebih mempercayai ramalan dan amalan perbomohan dalam mengambil sesuatu tindakan. Wanita dengan ciri sebegini menggunakan amalan spiritual untuk mencapai sesuatu yang dikehendakinya, terutama dalam hal yang berkaitan rumahtangga.

8.      Irrational - Irrational merujuk kepada sifat wanita sering melakukan perkara-perkara yang tidak rasional dan tidak munasabah. Perkara-perkara tersebut dilakukan untuk mencapai matlamat mereka atau terpaksa dilakukan untuk memenuhi keperluan lelaki.

9.      Compliant - Compliant merujuk kepada ciri watak wanita yang sering digambarkan sebagai compliant atau bersedia mengikut telunjuk orang lain. Hal ini adalah satu kelemahan yang menyebabkan wanita tidak dapat diharap atau diminta pertolongannya.

10.   Shrew - Shrew merujuk kepada perlukisan watak wanita yang kuat berleter, sering merungut dan cepat marah. Perwatakan seperti ini sering terdapat pada isteri-isteri atau ibu yang pemarah.

11.  Witch - Witch adalah sifat keras hati dan suka menyakiti orang lain. Perwatakan ini ditonjolkan, misalnya melalui wanita penghibur, yang tergamak merampas suami orang dan meruntuhkan rumahtangga orang lain.

           

                        Siti Raihani Mohamed Saaid seterusnya melakukan analisis  ke atas skrip-skrip filem P. Ramlee dengan mengambil kira  ciri-ciri stereotaip watak- watak yang digariskan oleh Mary Ellman tersebut. . Beliau memperlihatkan bagaimana P.Ramlee sebagai karyawan lelaki membina watak-watak wanita dalam filem-filemnya, khasnya adakah P.Ramlee juga turut membina watak-watak wanita yang memiliki sifat-sifat stereotaip tersebut. . 

                    Siti Raihani merumuskan bahawa P. Ramlee telah menggunakan skrip filemnya sebagai wadah untuk menyuarakan beberapa pandangan terhadap penindasan yang dialami oleh wanita. P. Ramlee mengangkat wanita-wanita dalam filemnya ke satu tahap yang lebih positif.  Filem-filem bergenre komedi  telah menyerlahkan kekuatan watak wanita dalam mengharungi isu dan persoalan masyarakat.

                                                           

 

 

Wednesday, April 07, 2021




 

Media baharu dan normal baharu, dua ungkapan nampak seperti dua perkara yang berlainan. Media baharu pastinya berkaitan  dengan teknologi.  IT, komputer, internet, jaringan yang mendekat dan menghubung manusia atau warga dunia.

Normal baharu pula adalah akibat  dari pendemik yang melanda dunia. Dan kita dikenakan PKP. Kena ikut SOP.

Kedunya mempengaruhi semua aspek kehidupan manusia. Tetapi yang kita fokuskan hari ini hanyalah kepada lapangan penulisan dan kesusasteraan.

 Normal baharu mempertingkat penggunaan media baharu. Pendemik ini membuat kita lebih bergantung kepada internet. (Beli barang online dsbnya)

Kalau tiada pendemik, masih ada  yang tidak begitu pedulikan media baharu. Masih ada yang merasa boleh hidup tanpa talian internet.

 Media baharu adalah bersangkutan dengan perkembangan teknologi. Teknologi mempengaruhi kehidupan. Termasuk sastera dan seni yang lain. Kehidupan sentiasa berubah.

 Sastera telah wujud sebelum adanya teknologi. Sebelum manusia kenal aksara, tahu menulis dan membaca, sastera telah berkembang, iaitu dalam bentuk yang dikenali sebagai sastera lisan. Dalam konteks sastera Melayu, ribuan pantun dan peribahasa yang bernilai tinggi tumbuh subur di samping pelbagai cerita dalam bentuk  cerita jenaka, cerita asal usul atau cerita penglipur lara.

PANTUN DAH TERSEBAR LUAS WALAUPUN KITA BELUM ADA WATSAP UNTUK FORWARD. Itupun satu yang menghairankan.

 Kemudian datang TULISAN . Tradisi tulisan muncul apabila dunia Melayu mula menerima  AKSARA. DENGAN INI BOLEH MEMBACA DAN MENULIS.

Tapi, Tradisi tulisan hanya di istana.

 Lalu sastera terbahagi kepada SASTERA RAKYAT DAN SASTERA ISTANA

Atau LISAN dan TULISAN.

SASTERA ISTANA….tulisan

SASTERA RAKYAT…….lisan

 SETERUSNYA ketibaan teknologi mesin cetak pada kurun ke-19.

 Buku-buku boleh dicetak dengan banyak dan mudah dimiliki. Surat khabar berkembang. Tahap celik huruf juga semakin meningkat. Dengan ini sastera bertulis tidak lagi dimonopoli oleh golongan istana atau golongan atasan

PERINGKAT PERKEMBANGAN SASTERA..

1-    Sebelum tulisan dan aksara

2-    Datangnya tulisan dan aksara. Sastera terbahagi kepada bertulis dan tidak bertulis.

3-    Datangnya MESIN CETAK seiring dengan itu MESIN TAIP . sastera bertulis tidak lagi dimonopoli oleh golongan istana.

4-    Ketibaan computer= memudahkan proses menulis dan menerbitkan.

5-    Ketibaan internet, ledakan IR 4.0.

 Kemasukan mesin cetak dan perkembangan percetakan terutama di negeri-negeri Selat, khasnya Pulau Pinang dan Singapura telah membawa kepada perkembangan pesat dunia persuratkhabaran, Sastera berkembang melalui suratkhabar dapat di capai oleh rakyat terbanyak.

Seiring dengan mesin cetak ialah kedatangan mesin taip (baharu pada masa itu). Sebelum ada mesin taip tulis tangan.

Zaman itulah saya lahir. . tiada komputer, malah mesin taip pun sukar ditemui lebih-lebih lagi kerana saya membesar di sebuah kampung yang boleh dianggap masih kolot dan belum dimasuki bekalan elektrik serta air. Telefon pun tak ada.

Sebagai gadis kampung, pergerakan terhad. Saya suka membaca tetapi sukar mendapat buku. Tetapi mujurlah ada teknologi yang sudah masuk ke rumah iaitu RADIO.(kira media baharu masa itu).  Kegiatan yang dapat saya buat ialah mendengar radio. Dari radio saya mendengar lagu-lagu yang indah senikatanya dan ini mendekatkan saya kepada keindahan bahasa Saya mendengar pantun dalam lagu-lagu kanak-kanak dan lagu Melayu Asli.  Kira pengenalan kpd sastera.

 Ketibaan Komputer Membawa Perbezaan

Sekitar 2000 penggunaan Komputer memudahkan proses penulisan dan memendekkan proses pracetak.

Menulis menjadi sesuatu yang mudah, tidak seperti kami yang susah hendak menaip sebuah cerpen pun. SAKIT BAHU DAN URAT. Ramai orang boleh menulis.

Ini membawa kepada kemunculan novel2 popular, Kemudian apa yang disebut  novel-novel indie  yang mendapat sambutan hangat dan berjaya diulang cetak berpuluh-puluh kali. Kita lihat Pengarang-pengarang novel dapat membeli kereta dan kondominium secara tunai. Pendapatan lumayan dari hasil jualan seperti ini tidak pernah dinikmati oleh penulis-penulis seperti A. Samad Said, Arenawati, Keris Mas sebelum ini, kecuali mungkin Shahnon Ahmad kerana bukunya menjadi teks di sekolah-sekolah. 

Lapangan penulisan sastera seterusnya dilanda oleh ledakan dunia digital Industri Revolusi 4.0.. Kehidupan bertumpu di skrin telefon bimbit. Semakin kurang orang membaca buku. .jadila keadaan  PASARAN BUKU TERJEJAS.  Syarikat akhbar tutup. Kedai buku tak semeriah dulu.

Dalam keadaan ini TIMBULLAH PERSOALAN: 

1-Adakah media baharu dan dunia digital merupakan ANCAMAN kepada perkembangan sastera dan penulisan.

 2- Adakah penulisan dan sastera masih relevan.

 Kalau ditanya pendapat peribadi saya, Teknologi lebih banyak membawa kebaikan.

Kalau dikatakan perkembangan media baharu menjejaskan pasaran buku sastera. Jawapan saya, buku sastera terutama buku puisi sejak dari dahulu lagi memang bermasalah. Sejak awal saya masuk dunia sastera inilah yang menjadi rintihan.  Pasaran buku sastera terutama puisi yang menyedihkan. bila datang penyata jualan.   Penulis merasa hampa kerana apa yang dikarang dengan susah payah dan sepenuh jiwa raga tidak dibaca tak sampai kepada masyarakat. SEDIH SEBENARNYA Sebuah sajak yang dikarang dengan susah payah, tak ada orang baca.

MUATNAIK SAJAK DI FACEBOOK.

Keadaan yang menyedihkan ini diubati oleh Facebook. Saya mula menyiarkan kembali beberapa buah puisi dari antologi lama di Facebook. Saya merasa gembira bila puisi saya mendapat ratusan likes dan di’share’ oleh ramai. Walaupun tidak sampai puluhan ribu orang seperti superstar.  

31 Julai 2017, saya menghantar puisi “Pulang Tun Perak” yang dikongsi oleh 69 orang. Puisi ini terbit pertama kalinya dalam kumpulan puisi Salasilah (DBP, 2005).   Puisi saya “Sebuah Kapal Dari Jeddah” telah dikongsi oleh 31 orang pengguna Facebook.

Pada 2 Julai 2018 saya memuatnaik puisi “Malam Kebakaran”. Puisi ini dikongsi oleh 425 orang. Ekoran isu kenaikan tarif elektrik pada tahun 2020, saya menghantar puisi yang sama sekali lagi ke facebook pada 16 Jun 2020. Kali ini mendapat 380 perkongsian. Puisi ini turut dibaca oleh seorang YB  di Facebooknya secara live dan ditular melalui whatsapp. Sebelum itu, ‘’Malam Kebakaran’’  telah dilakonkan dalam Festival Seni 2019 di Universiti Malaya dan disiarkan di youtube. Apa yang mahu ditekankan di sini ialah perbezaan yang terjadi bila karya sastera disiarkan di media digital atau media baharu..

Sajak “Lebai Malang” ditularkan melalui FB dan whatsapp. Semasa menulis ‘’Lebai Malang’’, saya tidak menujukan kepada mana-mana parti politik secara spesifik. Tetapi puisi ini menjadi viral dalam hubungan perpecahan dalam Parti PAS yang melahirkan Parti Amanah. Mereka menggunakan puisi ini untuk kata-mengata siapakah sebenarnya Lebai Malang.

KOMSAS DAN RAKAMAN PUISI TRADISIONAL

Teknologi sangat besar peranannya dalam mengembang seni budaya. Pada tahun 2000 KOMSAS  dilaksanakan, Guru2 menghadapi masalah mengajar puisi tradisional seperti syair.

 Masalah ini diatasi dengan bantuan individu2 yang memuat naik dendangan puisi tradisional terutama di Youtube. Individu seperti Roslan Madon bukan saja rajin berjalan dan membuat peyelidikan dan mengutip irama Syair, beliau merakam syair dan puisi-puisi tradisional di youtube. Di sini dilihat bantuan  media baharu dalam penyebaran sastera tradisional. Kalau tidak ramai yang sudah lupa syair, seloka, nazam dan sebagainya.  

 PENDEMIK MELANDA. Media baharu bercampur pula dengan normal baharu. Kegiatan sastera di luar mula tertumpu di rumah.

 PKP tidak menamatkan aktiviti sastera bahkan kegiatan jadi lebih rancak dan meriah. Pelbagai pihak menganjurkan Sayembara, Diskusi dan acara Baca Puisi yang terlalu banyak untuk disebut semuanya di sini.

 LEBIH RAMAI LANGGAN Netflix - mengambil alih siaran dari stesyen televisyen konvensional. Pelbagai filem, animasi, dokumentari dan aneka permainan dapat dinikmati di telefon bimbit dengan bayaran yang murah dan sudah tentu tidak perlu bersusah payah untuk keluar dari rumah. Paling menyenangkan kerana filem-filem boleh ditonton pada bila-bila masa ikut kesesuaian masing-masing.

Setiap hari di facebook , media sosial yang lain kita boleh ikuti kegiatan yang antaranya sangat bermanfaat. Ada yang bermula sebelum PKP meneruskan. Roslan Madon dan kumpulannya yang sudah rancak di internet, you tube, terus menggandakan usaha. Ada usaha mengumpul pendendang2 syair seluruh nusantara untuk mendendangkan syair berkaitan covid.

 PERTANDINGAN DEKLAMASI DAN LAIN2. Sekadar contoh ialah Cabaran Deklamasi oleh Perpustakaan Negara dan Pertandingan Pantun oleh MBSA. Universiti Malaysia Perlis menganjurkan deklamasi sempena sambutan kemerdekaan dan saya menjadi juri tanpa perlu ke sana.

 DBP dan ITBM juga aktif. Program Canai Bahasa dengan diskusi menarik boleh diikuti tanpa perlu bersusah payah hadir ke DBP.  MISAL PROGRAM CANAI BAHASA.  Contoh diskusi tentang loghat Kedah ditonton oleh hampir 50 ribu. Kalau ikut normal lama, sesuatu acara tidak akan diikuti oleh seramai itu. 

Organisasi besar seperti dbp ada peruntukan atau menyalurkan peruntukan yang ada bagi kegiatan senibudaya . Saya hubungi MBSA memberi maklumat. Secara ringkas 6 ribu satu program, untuk hadiah, bayaran juri,  grafik dan sebagainya.

 Sering juga diadakan acara baca sajak, pantun dan syair yang melibatkan peserta seluruh Nusantara malah seluruh dunia. Barangkali jika tiada kejadian pendemik ini tidak terfikir kita untuk mengadakan peluang sedemikian. UUM AKTIF DALAM DEKLAMASI  PANORAMA KEHIDUPAN.

 Penulis memanfaatkan masa PKP. Dari segi berkarya, ramai penulis yang mengambil peluang dari perintah duduk di rumah dan jadi lebih produktif.. Duduk di rumah bukanlah masalah bagi penulis kerana menulis itu sendiri perlukan pengasingan diri daripada orang ramai.

Ramai individu terlibat

 Contoh: Ummuhani Abu Hassan

Cerpen Bebenang Pandemik . Setakat ini dibaca dan dikongsi oleh 12400. Kalau buku susah dapat begitu ramai.

Ada beberapa keadaan yang penulis kena ambil kesempatan cepat.

 Saya juga diminta memberi kuliah tentang Bahasa Puisi oleh Persatuan Penyair. Persatuan PEMUISI yang diketuai oleh Datuk Radzuan Ibrahim juga sangat aktif. Dengan pelbagai acara baca puisi online. Rasa lebih berbaloi kerana pendengarnya tidak terhad, malah ianya abadi dalam you tube.

 Dengan pendemik, kegiatan online ini menjadi-jadi. Seperti yang katakana tadi, Masa dulu saya susah nak keluar ke forum2 sastera. Orang tua akan banyak bertanya dan cuba menghalang.  Sekarang click sahaja.

Ramai individu yang bergiat dalam seni penulisan sejak sebelum PKP, menulis pantun , syair, seloka dalam FB mereka.. Contoh:  Shamsudin Puteh dan  Ghazali Latih. Mungkin ramai lagi.  Sdra Yeo Hock Lim atau Harlum Yeo. ialah orang yang mengambil inisiatif mengadakan Deklamasi Panorama Kehidupan. Rakan strategic UUM.  Lebih menarik ialah ayah kepada Yeo Hock Lim iaitu YEO KIM KEE mencatat peristiwa harian dengan pantun lebih2 lagi pada musim PKP ini.

Yeo dilantik oleh USM menjadi jurulatih pelajar2 dari China dalam deklamasi puisi. Beliau melatih online Pelajar dari 6 buah university China .

 Banyak perkara dibuat online. Siaran TV buat sahaja interview dengan personality tanpa mereka perlu datang ke stesen TV. Kalau dulu rasa terbeban bila dipanggil untuk diinterview. 

 Biasanya, Kalau nak buat sesuatu event, macam2 nak buat, Nak cari orang, orang tub oleh datang, orang ni tak boleh datang.  nak cari crowd, nak cari tempat, booking makanan dan lain2,

 DBP menyiarkan sajak2 dan pantun di FB. Ada yang menjadi tular, misalnya .Shopie menggunakan pantun untuk mempromosi blender.



RUMUSAN: SASTERA BUKAN SEMATA-MATA BUKU.

Ledakan IR 4.0 membawa Media baharu yang membantu perkembangan sastera . PKP tidak menamatkan aktiviti sastera bahkan pada pandangan saya  aktiviti yang berkait dengan sastera dan penulisan semakin rancak sejak kebelakangan ini.  Lapangan ini menjadi  lebih meriah bila dijalankan dalam  bentuk digital dan kegiatan dalam talian. 

Kita semua berdoa agar keadaan pandemik yang sukar ini segera tamat. Namun begitu, kita berharap kegiatan-kegiatan dalam talian akan diteruskan kerana ia sangat bermanfaat untuk semua,