ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Tuesday, November 05, 2019


Di







MALAM PUISI AIRMATA WATANKU telah diadakan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka pada 3 November 2019. Acara ini diterajui oleh Sahibus Samahah Mufti Perlis. Malam yang menyentuh rasa dengan baris-baris puisi tentang luka bangsa.

DI sana sini ada airmata yang mengalir. Malam itu saya membaca sebuah syair untuk Utusan Melayu.


Maka tibalah keputusan
itulah hari yang penghabisan
kami bersalam bertangis-tangisan
melangkah pergi tinggalkan utusan.

Di sini kami telah berjuang
tangan politik cuba dihalang
kini tibalah hari yang malang
kami menjadi orang terbuang.

- Zurinah Hassan.

Thursday, October 24, 2019


ZURINAH HASSAN dilahirkan di tengah bandar iaitu Alor Setar tetapi dibesarkan di dalam kampung terpencil bernama Tikam Batu, Kedah. Beliau yang dilahirkan pada 13 Jun 1949 dipelihara oleh ibu saudara dan neneknya kerana ayahnya meninggal dunia ketika beliau berumur enam bulan dan ibunya meneruskan kerjaya sebagai seorang jururawat.
Zurinah mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu Tikam Batu, kemudian memasuki Sekolah Inggeris Sungai Layar melalui Special Malay Class. Di peringkat menengah Zurinah bersekolah di Sekolah Convent Sungai Petani dan kemudian berpindah ke Sekolah Sultanah Asma Alor Setar. Pada tahun 1971 beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dan memperolehi ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1974.
Sebagai anak gadis Melayu yang dibesarkan di kampung, Zurinah merasa kurang  beruntung kerana tidak berpeluang bergerak aktif di luar rumah.  Dia juga merasa cemburu kepada orang-orang yang tinggal di bandar yang mempunyai bekalan elektrik terutama untuk membaca . Lalu apa yang dapat dibuat ialah mengisi waktunya dengan mendengar radio. Dari radio beliau mendengar lagu-lagu yang pada masa itu biasanya mempunyai senikata yang indah penuh bermakna. Dari senikata lagu beliau belajar untuk berseni dengan kata-kata. Beliau mengenali pantun  dari lagu Melayu Asli seperti Siti Payung, Mas Merah, Gunung Banang, Seri Mersing, Bunga Tanjung dan sebagainya. Selain pantun, Zurinah mula menggemari syair yang didengar melalui rancangan Bangsawan Di Udara yang disiarkan dari Radio Malaya yang bersiaran dari Singapura.
Radio jugalah yang membuka ruang pertama untuk menghantar karya. Pada tahun 60han itu terdapat Rancangan radio yang bernama Taman Kanak-kanak . Rancangan ini mengajak murid-murid sekolah untuk menghantar karya yang berupa puisi dan cerita-cerita. Puisi-puisi karangannya mula mendapat tempat di rancangan tersebut. Selepas radio Zurinah menghantar sajak-sajak ke Ruangan Pelajar Berita Harian.  Mulai tahun 1967 karya Zurinah mula disiarkan di akhbar-akhbar mingguan dan majalah bulanan seperti Utusan Zaman, Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Dewan Masyarakat, Mastika dan sebagainya.
Pada tahun 1971, Zurinah memulakan pengajian di Universiti Sains Malaysia (yang ketika itu dikenali sebagai Universiti Pulau Pinang).   Tulisan2 beliau  menarik perhatian Naib Cnselor Tan Sri Hamzah Sendut lalu menyarankan sajak-sajak beliau diterbitkan oleh USM Press.  Hasil dari itu  terbitlah  kumpulan puisi beliau yang pertama, iaitu Sesayup Jalan. Penerbitan ini adalah satu sejarah di dalam perkembangan kesusasteraan Melayu moden kerana buku tersebut merupakan antologi sajak penyair wanita yang pertama di Malaysia. Walaupun sebelum ini nama-nama penyair Salmi Manja dan Anis Sabirin telah muncul terlebih dahulu mereka hanya berpeluang membukukan puisi dalam antologi bersama penyair-penyair lain.
   
Zurinah melanjutkan pengajian pasca ijazah tetapi gagal. Setelah impian untuk menjadi Pensyarah tidak kesampaian, Zurinah membuka lembaran baru sebagai Pegawai Kerajaan. Zurinah berkhidmat sebagai Pegawai Penerangan di Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia sambil tetap tekun menghasilkan karya kreatif. Beliau menerbitkan kumpulan puisi, kumpulan cerpen dan novel.  Akhirnya beliau memilih untuk bersara bagi menumpukan masa di bidang penulisan dan keluarga.  Setelah bersara Zurinah menyambung semula kerja yang dianggap terbengkalai iaitu melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana di Universiti Putra Malaysia dan peringkat kedoktoran di Universiti Malaya. Beliau dilantik menjadi Karyawan Tamu di Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan dan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya.
Walaupun lebih dikenali sebagai Penyair, Zurinah juga pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana, Hadiah Sastera Utusan, Hadiah Buku Perpustakaan Negara untuk cerpen dan memoir.  Beliau menerima Hadiah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award ) pada 2004 dan Hadiah Puisi Sunthorn Phu (Hadiah Puisi Negara ASEAN) pada 2013. Selain menulis, Zurinah giat dalam aktiviti membaca syair dan pernah mempersembahkan syair di India, Jepun, Thailand, Indonesia dan Brunei.
Karyanya telah diterjemahkan ke beberapa bahasa, misalnya bukunya Menghadap ke Pelabuhan telah terbit dengan terjemahan Bahasa Inggeris, Bahasa Spanish, Bahasa Russia, Jepun dan Peranchis. 
Pada tahun 2015, Zurinah telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara yang ke 13 membawa gelaran Sasterawan Negara.  Dengan ini beliau merupakan penulis wanita yang pertama meraih gelaran tersebut.
Beliau dianugerahi Bintang Kebesaran Darjah Setia Diraja Kedah pada 2013 membawa gelaran Dato’.

APA KATA MEREKA TENTANG ZURINAH
Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh, di dalam bukunya, An Anthology of Contemporary Malaysia Literature,DBP.1988 : 362, .  “the really vocal and individual woman poet is a rare person.  Her poems not only show that she is a different woman from other woman writers but also a person who finds in poetry the opportunity to speak out her innermost soul without the decorum of the past literary practices”
Mana Sikana meletakkan Zurinah Hassan sebagai di antara empat orang penyair yang terbaik di Malaysia di samping Muhammad Haji Salleh, Kemala dan Baha Zain.  Menurut Mana Sikana Muhammad Haji Salleh  adalah di antara penyair terbaik Malaysia. Ini diikuti dengan Kemala, Baha Zain dan Zurinah Hassan. Zurinah Hassan sebagai penyair terbaik, justeru di kalangan penyair wanita dialah yang paling terkemuka dan puisi-puisinya menjadi lambang kelembutan wanita Melayu”, Mana Sikana “Penyair-Penyair Terkemuka Malaysia: Analisis Puitika Tekstual, Perisa (Jurnal Puisi Melayu)  Bil. 3.1995:56)
Shafie Abu Bakar memberi pandangan bahawa Zurinah Hassan sesungguhnya mempunyai kedudukan yang kukuh di dalam perpuisian tanah air, bukan sahaja sebagai penyair wanita terbaik di dalam persajakan moden, tetapi salah seorang penyair terkemuka tanah air sebaris bersama Usman Awang, Kassim Ahmad, Latiff Mohidin, Muhammad Haji Salleh dan Kemala. (Shafie Abu Bakar, Perjalanan Kualiti Persajakan Melayu dalam  Peradaban Melayu (1997:163-166)

Sasterawan Negara Usman Awang  menganggap Zurinah penyair wanita berbakat besar yang lahir selepas Anis Sabirin. ( Usman Awang, Ismail Ahmad Titian Zaman, Dewan Bahasa dan Pustaka: 97). Akhbar The Star, melaporkan: “Literary Laureate Usman Awang says “Zurinah has made a significant contribution to Malay literary development. She brings meaning to the Malay language, breathes life into her words. Her use of language is captivating, poetic and harmonious “.(The Star, 30 Jun 1988).

Sasterawan Negara Shahnon Ahmad berpendapat “Zurinah Hassan adalah penyair wanita yang besar bakatnya. Nada dan irama puisi-puisi Zurinah amat lembut dan manis terutama puisi puisi sepinya. Ini disebabkan pemilihan kata-katanya yang amat sesuai dengan gerakan sumber alam yang menjadi imej puisi-puisinya.  ( Shahnon Ahmad “Sastera sebagai Seismograf Kehidupan”, Dewan Bahasa dan Pustaka 1993: 226).

Arbak Othman menegaskan bahawa kekuatan karya puisi ZH diukur berdasarkan dua faktor, iaitu nilai estetik yang tinggi dan kualiti yang mengangkat puisi-puisinya sebagai genre puitik yang meningkatkan kesan pada aras kesedaran pembaca. Puisi-puisi yang  beliau cipta berhasil mengekalkan kesatuan fikiran dalam sifatnya yang indah.  Idea-idea yang diungkapkan kelihatan tersusun, menyentuh perasaan dan logik.  Kata-kata dalam diksi dibentuk dalam susunan yang berseni.  Unsur rasa dan emosi paling kuat memberikan sifat kepada puisi yang dicipta.  Puisi dibentuk dengan menggunakan gaya yang tersendiri dengan kata-kata yang sesuai dan relevan dengan mesej yang disampaikan. Kebanyakan puisi beliau berhasil membentuk mesej yang berkesan.  Kata-kata yang digunakan menyentuh perasaan dan akal budi.(“Idealisma Budaya dan Jatidiri Bangsa yang Tercalar” kertaskerja Seminar Bersama Tokoh Penulis Tanah Air, Zurinah Hassan, UKM. 23 Nov.2011)

Rahman Shaari menulis untuk blurb buku Puisi Melayu Tradisional: Pantun, Syair, Gurindam, Nazam, Seloka , Pekan Ilmu Publication 2012 “ Zurinah Hassan ialah penyair Malaysia yang telah mencapai kecemerlangan. Beliau juga merupakan sarjana Kesusasteraan yang berwibawa.”

Senarai Karya (Buku)
1.   Sesayup Jalan.  Minden:  Universiti Sains Malaysia Press, 1974. (kumpulan puisi)
2.   Di sini Tiada Perhentian.  Kuala Lumpur:  Penerbitan Pewarna, 1977. (kumpulan puisi)
3.   Keberangkatan.  Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 1985 (kumpulan puisi)
4.   Sasterawan Negara Usman Awang, Dewan Bahasa dan Pustaka 1986 (Kajian Sastera)
5.   Meneruskan Perjalanan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989 (kumpulan cerpen)
6.   Hatimu Aishah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1991 (novel remaja)
7.   Nota Waktu, Kuala Lumpur, Citra Publishing,2000 (kumpulan puisi bersama Lim Swee Tin).
8.   Menjelang Pemilihan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2004 (antologi cerpen)
9.   Salasilah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2005 (kumpulan puisi)
10.                Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi, Penerbit UKM 2003.
11.                Unsur  Alam  Dalam  Puisi  Melayu Moden.  Bangi: Penerbit Universiti            Kebangsaan Malaysia, 2010 (kajian sastera)
12.                Menghadap ke Pelabuhan/ Facing the Harbour, (kumpulan puisi  dengan terjemahan  Bahasa Inggeris), 2010. Kuala Lumpur. Institut Terjemahan Negara Malaysia
13.                Puisi Melayu Tradisional- Pantun, Syair, Gurindam, Seloka , 2012, Kuala Lumpur. Penerbit Pekan Ilmu .
14.                Menghadap ke Pelabuhan/Frente el Puerto 2012 Kuala Lumpur. Institut Terjemahan Negara Malaysia (kumpulan puisi dengan terjemahan  Bahasa Sepanyol)
15.                Menghadap ke Pelabuhan/(terjemahan B.Russia), ITBM 2013 Kuala Lumpur. Institut Terjemahan Negara Malaysia (kumpulan puisi dengan terjemahan  Bahasa Russia)
16.                Cerita Dalam Cerita,ITBM 2014 (Kumpulan Puisi)
17.                Menghadap ke Pelabuhan, (dan terjemahan ke Bahasa Jepun),  2016 ITBM Kuala Lumpur.
18.                 Murka Lautan, Kuala Lumpur, 2016, ITBM (kumpulan cerpen)
19.                Mestika Pantun (buku panduan menulis pantun), 2018, Shah Alam, Kuali Hitam.
20.                A Journey Through Prose and Poetry, 2018 Kuala Lumpur, IIUM Press dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

.



Bahasa amat penting lebih-lebih lagi bila dikaitkan dengan orang Melayu. Saya rasa ramai di sini yang pernah menonton bahkan membesar dengan filem P.Ramlee. Ingatkah tuan-tuan  satu adegan dalam filem Seniman Bujang Lapok (arahan P.Ramlee, 1961) ketika Ramlee, Sudin dan Aziz pergi ke studio Jalan Ampas untuk meminta kerja sebagai pelakon filem. Sudin mendekati  Pengawal Keselamatan (Jaga)  yang bertugas,  memanggilnya ”hoi, hoi” untuk bertanya sesuatu. Jaga (seorang Singh)   tidak menjawab tetapi kemudian merungut ”Nama saja Melayu, sedikit bahasa pun tak ada. Orang adakah panggil hoi hoi”.  Sudin merasa malu dan berkata ”Alamak ...Singh tu bahasakan kita lah” Ramlee berkata ”Betul kata Singh itu, bahasa menunjukkan bangsa tau”.
            Walaupun dialog ini dituturkan di dalam filem komedi, ia sebenarnya mempunyai makna dan implikasi yang penting. Dialog ’nama saja Melayu, sedikit bahasa pun tidak ada” menunjukkan bahawa si Jaga (walaupun bukan Melayu) sangat terkejut dengan perangai Sudin yang tidak menunjukkan ciri-ciri keMelayuan kerana pada anggapannya (dan anggapan umum) orang Melayu biasanya bertutur dengan bahasa yang baik dan sopan dan sangat mengambil berat dengan hal-hal bahasa..
            Mengambil berat tentang bahasa tidak bermakna menjadi pakar bahasa atau sasterawan. Yang perlu ialah ada kesedaran, kebanggaan, menghormati dan menjaga bahasa sebagai hak pusaka bangsa. Tidak sekali-kali bererti kita tidak perlu mempelajari bahasa lain. Saya juga menulis di dalam bahasa Inggeris.  Jangan risau jika ada perkataan yang kita kurang faham. Misalnya perkataan bitara dan kebitaraan,
Kita tidak perlu bimbang jika kurang memahami sesuatu perkataan asalkan ada usaha kemudiannya untuk mengambil tahu. yang tidak tahu sebenarnya apa makna bitara. Pemahaman dan kemahiran akan bergantung kepada persekitaran di mana kita dibesarkan. Seingat saya pada masa kecil dahulu tidak pernah dengar perkataan bitara ini. Barangkali ada di tempat lain tapi tidak di tempat saya dilahirkan iaitu di Kedah. Ada tidak pun ialah perkataan “Tara”  yang bermaksud tahap.
Menurut Kamus Dewan (2005:195) bitara bermaksud tiada taranya atau satu-satunya. Perkataan ini terbentuk daripada cantuman awalan bi campur tara. Awalan bi bermaksud tiada. Perkataan lain yang terbentuk ini ialah perkataan biadab, iaitu cantuman awalan bi campur adab yang bermaksud tiada adab, biadat. Dari perkataan bitara, terbentuk pula perkataan kebitaraan yang bermaksud ciri atau sifat bitara.
Hubungan Bahasa/Sastera dan Insan.
Syarahan ini meliputi isu-isu bahasa , sastera dan hubungannya dengan insan dan keinsanan atau manusia dan kemanusiaan.   Apa hubungan bahasa dan nilai insan? Apakah sifat2 seorang insan yang bukan hanya seorang manusia?
Insan itu berfikir dan merasa. Atau memiliki dua komponen penting, fikiran dan perasaan.
Bahkan dalam bahasa Melayu fikir dan rasa itu sangat hampir. Apabila berkata rasa ia sudah merangkumi kata fikir. Dalam bahasa Melayu kita sering berkata ‘saya rasa’ bukan “saya fikir”. Sebenarnya rasa itu sudah bermakna fikir atau membawa pengertian fikir. Seseorang  tidak merasa tanpa berfikir. Contohnya “saya merasa bimbang terhadap masa depan bangsa kita”. Ayat ini sudah bermaksud yang dia telah berfikir tentang masa depan bangsa, berfikir tentang situasi yang mencabar bangsanya. Dalam BI I think and I feel itu mungkin benda yang berasingan.

Apakah hubungan bahasa dan manusia? Kita mudah faham bahawa manusia memerlukan bahasa untuk berkomunikasi antara satu sama lain kerana setiap insan memerlukan insan lain untuk membina kehidupan..,
Hubungan bahasa dan manusia adalah berkait rapat.   Di dalam kitab suci Al Quran kejadian manusia diceritakan bersama yakni seiring dengan kejadian bahasa.  Di sini kita ambil Surah Ar Rahman.
Dalam bahagian pertama surah ini  Allah memperkenalkan sifatnya sebagai Ar Rahman (memberi rahmat, kasih sayang)
Arrahman,

عَÙ„َّÙ…َ الْÙ‚ُرْءآنَ

Dialah yang mengajarkan Al-Qur’an.

Ini diikuti dengan
Ayat 3

Ø®َÙ„َÙ‚َ الْØ¥ِنسٰÙ†َ

Dialah yang telah menciptakan manusia; –

عَÙ„َّÙ…َÙ‡ُ الْبَÙŠَانَ

(Dialah yang)Mengajar berkata2.  Berkata-kata adalah dilakukan dengan perantaraan bahasa.

Di sini dilihat bahawa pengajaran Al Quran itu didahulukan daripada kejadian manusia. Ini menunjukkan sebelum menjadikan manusia Allah telah menjadikan Al Quran terlebih dahulu,

BAHASA wujud sebelum manusia. Walaupun al-Quran diturunkan   kepada Nabi Muhammad pada akhir zaman tetapi peristiwa itu disebut Nuzul Quran. Al Quran diNUZULkan atau diturunkan. Bermakna Allah menurunkan sesuatu yang sudah ada tercipta..
Ayat kedua: kholakholinsan iaitu menjadikan insan dari tidak ada kepada ada.
Kata  INSAN  juga membawa maksud ‘kasih sayang’. Manusia mempunyai sifat kasih sayang dan memerlukan kasih sayang. Oleh kerana itu al-Qur’an juga mengajar manusia sifat kasih sayang. Al-Qur’an itu bukan sahaja kitab tentang hukum halal dan haram tapi juga mengandungi ajaran bagaimana berurusan dengan manusia (human relations) yang lain dengan sifat keinsanan (berkasih sayang). Atau yang kita sebut sebagai berperikemanusiaan,
Ayat seterusnya
“Dia lah yang telah mengajar manusia berkata-kata.”
Untuk melakukan sifat insan iaitu berhubungan dan kasih sayang, manusia diajar bayan. ‘Allamahul bayan. Mengajar ilmu bayan atau menggunakan bahasa. Dengan bahasa manusia menyampaikan apa yang ada di dalam pemikirannya dan perasaannya.   Allah telah memberikan manusia kebolehan berkata-kata dan memahami konsep yang kompleks. Kemahiran berbahasa tidak diberikan kepada makhluk lain.
ADAM DIAJAR NAMA-NAMA BENDA.

Allah menjadikan manusia pertama yang diberi nama Adam. Ternyata sebelum terciptanya Adam telah ada makhlok-makhlok lain seperti malaikat dan iblis. Allah SWT mengajar kepada Adam nama-nama benda yang berada di alam semesta.
Dalam Surah al-Baqarah 2:31, Allah berfirman “Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar”.”
Ayat ini menunjukkan bahawa ketinggian sifat Adam (atau sifat manusia) ialah kerana mereka berkebolehan dalam menyebut nama-nama benda yang juga selaras dengan  kemampuan berbahasa
Terdapat ayat lain, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikan itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.  (AR RUM:22).
Manusia dalam bidang apapun termasuk kejuruteraan telah membina tamadun dengan bahasa.  Makhluk lain tidak mempunyai bahasa, buku dan perpustakaan. Hanya manusia boleh mendokumentasi dan menyebar ilmu pengetahuan. Oleh itu hargailah kurniaan Tuhan ini.
Kepandaian manusia dalam bidang binaan telah memungkinkan terdirinya monumen monumen termasyhur seperti Borobudur di Jogjakarta. Monumen ini terus menjadi sumber pendapatan pelancongan negara. Bolehkah monumen segagah dan seindah itu disempurnakan tanpa bahasa untuk memberi arahan yang berkesan?
  BOROBUDUR
Lihatlah pada Borobudur ini
Keagungan karya seni
Kukuh  batu batuan
Rapinya  susunan

Bermula dari pemikir
dikumpulkan para pengukir
Pengangkut batu batan
Rapi susunan mengikut tepat arahan
Dan arahan harus turun
Dengan bahasa tersusun

Lihatlah pada Borobudur ini
Apakah lagi yang akan kau nafi
Tentang kemampuan bahasa kami
(dari kumpulan puisi yang sedang dalam proses penerbitan).

Makhluk lain tidak mempunyai bahasa tetapi tidak bererti mereka tidak  berkomunikasi. Haiwan juga menghantar berita sesama sendiri tetapi bezanya haiwan hanya boleh menyampaikan kenyataan-kenyataan yang benar sahaja. Bermakna haiwan tidak pandai bercakap bohong seperti manusia. Misalnya bila terjumpa manisan semut akan memanggil kawan-kawan tetapi manusia bila terjumpa keuntungan belum tentu berkongsi dengan sesiapa.
Semut
Sedikit manisan tertumpah di lantai
Seekor semut pun sampai
Beberapa detik lagi
Bertambah ramai menghampiri
Lama-kelamaan
Beratus-ratus berderetan
Berduyun berbarisan

Aku melihat dan merasa hairan
Tanpa suara dan tanpa kata
semut memanggil kawan-kawan
Bila tercium makanan
Memang telah kupelajari
Haiwan juga berkomunikasi

Sedang aku leka
Terdengar semut berkata
“janganlah lupa semut cuma haiwan
Sekadar tahu menyampai berita
Yang benar sahaja
Tidak secanggih manusia
Kerana manusia adalah makhluk Tuhan
Yang memiliki kepandaian
Untuk mereka-reka cerita
Dan menyebar dusta”
(Cerita Dalam Cerita, ITBM 2014)

Sesungguhnya Bahasa mempunyai peranan yang penting dalam kemajuan kemanusian dan keinsanan. Di antara yang membicarakan hal ini ialah Syed Muhammad Naguib Al-Attas dalam bukunya “Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu” Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1972

Setelah memperkatakan hubungan manusia dan bahasa,  bagaimana pula hubungan manusia dengan sastera?. Apakah peranan sastera di dalam hidup kita?.  Adakah sastera diperlukan.
Perkataan sastera dan kesusasteraan merujuk kepada segala pengucapan yang indah-indah untuk  menyampaikan buah fikiran dan meluahkan perasaan dengan menggunakan  bahasa.  
Secara ringkasnya, hasil Sastera terdiri daripada prosa dan puisi. Penggunaan prosa terdapat di dalam novel, cerpen, hikayat dan sebagainya. Puisi terdiri daripada frasa-frasa yang disusun dalam bentuk rangkap. Contoh puisi termasuklah Syair, Pantun, Gurindam, Seloka, Nazam, Mentera, Teromba,  dan puisi moden yang lebih dikenali sebagai Sajak. Setiap jenis mempunyai struktur dan fungsi masing-masing dan memerlukan wacana pula untuk menghuraikannya.
Pada lazimnya, puisi merupakan bahasa yang bersulam kiasan dan perlambangan. Ia disusun mengikut skima rima, mempunyai unsur bunyi dan bila dibaca terasa ada rentak dan irama.
Baru-baru ini dalam forum di Universiti seseorang berkata bahawa perkembangan sastera telah terjejas kerana proses Islamisasi. Untuk mereka yang menganggap bahawa Islam dan sastera itu dua perkara yang bertentangan silalah baca suatu surah yang pendek dan mudah iaitu surah Al-Ikhlas.. (Khulhuwallahuahad/ Allahussomad/ Lamyalidwalamyulad/ Walamyakullahkufuwanahad.). Kalau Islam menentang sastera mengapakah unsur bunyi atau rima diberi keutamaan? Ini adalah satu contoh unsur puisi di dalam al-Quran.. Di dalam al-Quran akan ditemui penggunaan  metafora dan perlambangan atau apa yang disebut sebagai amthal dan misal perbandingan. Mithalnya Al-Quran meletakkan nilai yang tinggi kepada ayat baik:.
 Kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit. Pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan izin Rabbnya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi, tidak dapat tetap (tegak) sedikit pun.  Petikan ini adalah dari Surah Ibrahim ayat  24-26)


Saya sering bertemu dengan individu-individu yang menyatakan tidak menyukai puisi kerana katanya puisi  mengandungi metafora yang menyebabkan ianya sukar difahami.  Suatu ketika seorang anak muda berkata, “I do not like poets, instead of using the highway they choose the long road”.
Saya faham tapi buat-buat tak faham. “Mana ada, saya lebih suka guna highway dan tak suka guna jalan kampung. Mana awak tahu penyair tak menggunakan highway?. Semua orang nak cepat sekarang”. Barangkali dia bengang dengan saya “Bukan begitu,  maksud saya,  penyair suka guna metaforalah apa-apalah. Kan susah nak faham?” “Oh begitu, kenapa tak cakap terus terang, kenapa nak sebut penyair guna highway? Bukankah awak juga menggunakan metafora untuk lebih mudah menyampaikan apa yang dimaksudkan?”.
Kisah ini adalah contoh bagaimana orang yang berkata tidak suka metafora memerlukan metafora untuk menyampaikan maksudnya.  Sesuatu ayat atau frasa di klasifikasikan sebagai  metafora apabila terdapat perkataan yang membawa makna lain daripada makna biasa yang telah diterima oleh massa atau makna yang berbeza daripada yang diberikan oleh Kamus. Ini dikenali juga sebagai Bahasa figuratif  atau  bahasa kiasan.(Harun Mat Piah,1981:224).  
Ya memang benar, puisi sering menggunakan metafora dan perlambangan. Ia adalah untuk menggambarkan sesuatu yang biasanya abstrak dan sukar ditentukan dalam ukuran matematik. Misalnya bagaimana mengukur berapa tingginya harapan? Lalu disebut ”gunung harapan”. Untuk menggambarkan keresahan dicipta metafora ombak resah dan lain-lain.
Walaupun dikaitkan dengan puisi, kita menggunakan bahasa figuratif di dalam percakapan seharian dan di dalam tulisan tulisan yang bukan puisi, misalnya berita dan rencana di dalam akhbar. Adalah perkara biasa apabila  seseorang  berjumpa dengan kawan  yang jarang-jarang ditemui untuk  berkata  “Kau ni ke mana tenggelam timbul, tenggelam timbul”. Ini adalah bahasa figuratif kerana tidak mungkin orang yang kita maksudkan atau kawan itu hidup di dalam air. “Belanja aku makan, tak bolehlah aku tengah kering ni”.
Media masa terutama akhbar sentiasa memerlukan metafora untuk menyampaikan maksud dengan lebih berkesan. Bahkan akhbar dan media masa memainkan peranan di dalam mencipta dan memperluaskan penggunaan bahasa figuratif tetapi khalayak menyalahkan penyair.  Metafora baru muncul antaranya pengundi hantu, banjir kilat, syarikat gergasi, perhimpunan raksasa, lompat parti dan sebagainya.  
             “Pengundi hantu” adalah metafora kerana  hantu tidak bermaksud hantu sebenar. Syarikat gergasi itu tidak dikendalikan oleh gergasi. Dan dalam lompat parti tiada yang membuat aksi lompatan secara fizikal. Tajuk berita “Aceh bermandi darah”  digunakan untuk memperlihatkan betapa parahnya kejadian di Aceh, dalam istilah sastera disebut hiperbola kerana tidak mungkin seluruh Aceh dilumuri atau dimandikan dengan darah. Bila dikatakan “Negara Islam bercakaran sesama sendiri” yang merupakan penggunaan personifikasi. Objek yang tidak bernyawa iaitu negara digambarkan melakukan perbuatan sebagai objek bernyawa iaitu bercakaran. Frasa lain ialah seperti ‘pertemuan empat mata’ untuk menyatakan perbincangan biasanya di antara Ketua Negara yang diadakan secara tertutup.


RUMUSAN: :  
Bahasa tetap penting walaupun untuk insan yang mengendali kejuruteraan, misalnya IT. Hal inilah yang saya sampaikan dalam sajak bertajuk RUMAH MERDEKA ciptaan tahun 1997 yang pertama kali dibaca di perhimpunan sambutan Hari Kemerdekaan.
Petikan:
Anak-anak tercinta
Jangan kau sangka di era modenisasi
Kota siber dan canggih IT
Kita tidak perlu berbudaya dan berbudi
Akhlak mulia adalah warna peribadi
Tanpa peribadi kau hanyut tak berpaut
Tenggelam di lautan tidak bertepi
Karam di daratan tanpa sempadan
Sesat dan terjerat di timbunan maklumat
Buta meraba di simpang siur lebuh raya kota siber
Anak2 tercinta
rimbun tamadun ditunjangi akhlak mulia
Komunikasi berkesan oleh tutur yang sopan
terpaut rasa oleh santun bahasa
Pedoman bangsa adalah rukun Susila.

SHAH ALAM (tentang pembinaan bandar)


Apakah yang kita cari! di tasik tenang ini
sedikit waktu untuk mengajar anak-anak
mengenal lembut air
hijau rumput dan teduh daun
ramah angin dan sejuk embun
mengajar anak-anak
mengenang tanah kerana budinya
bukan atas nilai dagangannya.

Apakah yang kita cari di padang permai ini
sedikit waktu untuk mengasuh anak-anak
agar mereka tidak membesar
sebagai pembina yang meluaskan kota
tapi menyempitkan ruang kehidupan.

Apakah yang kita harapkan
dayi nama ini, Shah Alam
satu persetujuan untuk kembali kepada alam
kerana alam tidak dapat dikalahkan oleh pembinaan.



Kepentingan berbahasa dengan baik telah dijelaskan oleh Rahmn Shaari, seorang Penyair anak jati Perlis.
Bahasa adalah pengatur
Pucuk fikiran yang bertabur
Bahasa adalah pelentur
Ranting perasaan yang bersiur

Mari kita berbahasa sebaiknya
Dengan bahasa
Terlihat fakta padu
Terlihat sinar ilmu
Terlihat cinta biru

Dengan bahasa
Pemimpin memaparkan arah
Di pentas siasah
Dengan bahasa orang beriman
Menikmati ibadah
Khusyuk dan pasrah
Mari kita berbahasa sebaiknya.

dengan bahasa
Budi dipertingkat
Mesra diperlebar
Dengan bahasa kita
menjadi kita bersama

Rahman Shaari.

Seorang pembina kota mesti mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi. Bolehkah seorang yang tidak tahu menikmati keindahan bunga-bungaan diminta membuat sebuah taman bunga/. Apakah gunanya membina sebuah taman perumahan dan sebuah kota yang bangunannya mencakar langit tetapi didiami oleh pencuri dan perosak harta awam?. Melalui bahasa yang sopan kita akan mendidik anak-anak mengenal nilai kemanusiaan.

             
           


 .