ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Thursday, May 05, 2016

HATIMU AISYAH- APA KATA ANA BALQIS

PETIKAN DARI STATUS ANA BALQIS


HATIMU AISYAH - suatu hari lebih sepuluh tahun lalu teman saya (seorang pelukis profesional) meminta saya membelikan novel ini untuknya. Katanya sebagai rujukanperilaku. Saya ke DBP dan hanya ada tiga naskah di rak. Sebelum menghantar kepada teman itu, saya terlebih dahulu membacanya. Dan, saya terpikat.
Novel ini buah tangan sasterawan terkenal Malaysia Dr Zurinah Hassan Membaca novel ini seolah-olah saya sedang menonton visual. Membacanya novel ini seolah-olah saya sedang menatap kembali kisah-kisah nenek. Gaya pakaian nenek, cara nenek berkawan, berhubung dengan orang-orang di sekelilingnya malah kehidupan nenek di awal remaja hingga ke alam perkahwinannya juga dapat saya baca dengan rinci. Murninya kehidupan dan alaminya kehidupan nenek yang dimulai dengan dunia pingitannya, kemudian dipinang, seterusnya bertunang, berkahwin hinggalah mengandung, bersalin, berpantang dan membesarkan anak-anak.
Bahasa yang digunakan oleh Zurinah amat memikat barangkali kerana keterikatan beliau dengan dunia puisi. Lalu tidak hairanlah jika novel ini sangat selesa dibaca. Ceritanya mengalir lembut ke sukma justeru itu saya tidak berasa ingin mengetahui kesudahan cerita sebaliknya dilalaikan untuk meneliti persekitaran yang dilukiskan beliau. Malah berharap cerita ini tidak segera selesai. Aneh, kan?
Begitulah keistimewaan 'novel remaja' kecil ini. Novel terbitan DBP ini pada saya sangat bermanfaat untuk remaja hari ini memahami budaya dan tata hidup masyarakat Melayu dulu-dulu. Andainya mahu dipromosi, saya fikir novel ini sangat sesuai untuk diberi perhatian. Dan, setelah satu koleksi peribadi saya dipinjam oleh seseorang (yang saya lupa), saya kembali ke DBP untuk mencari ganti. Namun hampa. Beberapa orang kawan yang terlibat dengan kerja seni juga ada bertanya tentang novel ini kepada saya, dan berkali-kali lagi saya ke kedai buku DBP tetapi juga hampa - jawapan mereka novel itu sudah tiada.
Tumpang tanya kepada rakan-rakan FB di DBP, bagaimana cara untuk mendapat novel ini? Dato Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa, Puan Siti Aisah Murad, Dr Hanafi IbrahimMohd Jusoh MajidChe Hanie, lain-lain?

No comments:

Post a Comment