ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Saturday, January 12, 2013

Pak Kaduk di Gelanggang Raja



HARI INI saya gembira kerana Tuan Yusuf Muhammadd dari Kucing menulis tentang sajak saya "Pak Kaduk di Gelanggang Raja" . Untuk beliau dan untuk kawan-kawan yang sudi membaca saya perturunkan cerpen KADUK, AYAM DAN RAJA. Ini adalah hasil fikiran dan imaginasi tentang tanah pak kaduk yang dirampas raja. Sekarang tak ada lagi raja yang merampas tanah secara menyabung ayam tapi ada pelbagai cara menipu dan merampas tanah dan segala milik rakyat.SELAMANYA KAH KITA MENJADI KADUK YG MEMBELA AYAM DAN MEREKA MENJADI RAJA YG MENDAPAT TANAH.

KADUK, AYAM DAN RAJA
Oleh: Zurinah Hassan



Kau kenal Kaduk bukan? Ya, Kaduk itulah, Kaduk yang mana lagi. Kaduk yang kau ejek siang dan malam dari tahun ke tahun dari zaman ke zaman.  Kau kata dia bodoh kerana bertukar ayam dengan raja. Kau ejek dia kerana ayamnya  menang tetapi kampungnya tergadai.

Tetapi kau tidak pernah marah kepada raja yang sanggup mengambil tanah Kaduk. Raja sanggup mengambil tanah rakyatnya yang miskin. Bukan hanya tanah Kaduk malah ramai lagi rakyat yang ditipu dan dirompak di siang hari.

Kau tahu apa terjadi kepada Kaduk selepas tanahnya diambil? Dia dan isterinya serta seorang anak lelaki, hidup merempat dan menumpang di atas tanah yang sebenarnya tanahnya sendiri.  Dari miskin menjadi bertambah miskin. Dari susah menjadi lebih susah. Masa berganti masa, anak lelakinya pun  dewasa dan berumahtangga.  Kaduk sudah bercucu, seorang lelaki juga.




Zaman sudah berubah. Si Kaduk telah meninggal dunia.  Raja yang zalim itupun sudah mati, eh silap, sudah mangkat. Anak dan  cucu Kaduk  hidup di zaman merdeka dan sempat mengecapi kemajuan negara . Kotaraya semakin megah dengan  bangunan-bangunan yang tinggi menjulang. Ya mereka hidup di zaman kita yang serba maju. Pada zaman ini  tiada lagi raja yang pergi ke kampung-kampung mengajak rakyat menyabung ayam.

Kaduk menamakan anaknya Hassan  atas nasihat  seorang ustaz yang  datang mengajar di madrasah  kampungnya.  Hassan membawa  pengertian ‘yang baik’. Hassan juga telah  memilih nama yang baik untuk anaknya selaras dengan ajaran Islam, iaitu  Hakim yang bererti “bijaksana”.  Kau lihat, nama juga mencerminkan kemajuan. Mereka tidak mempunyai  nama-nama yang primif dan jelek seperti  Si Kaduk, Si Kacong, Si Bulat, Si Buntal, Si Labu, Si Labi atau Si Hodoh.

Hakim,  cucu  Kaduk adalah seorang yang terpelajar. Hal Hakim  inilah yang hendak kuceritakan di sini. Dia belajar hingga ke universiti, barangkali berkat namanya yang bermaksud bijaksana itu. Hakim   semakin sedar betapa banyaknya ketidakadilan yang sedang berlaku di sekeliling. Dunia ini penuh dengan penginaayaan. Pengajiannya memberikan dia pencerahan  terutama di dalam kes tanah datuknya yang telah terlepas ke tangan raja. Dia bercerita dan berbincang dengan sahabat baiknya Azam, seorang mahasiswa jurusan undang-undang. Mereka bersetuju bahawa ini adalah satu penginaayaan dan  mula mengatur strategi untuk menuntut hak yang dirampas.


Setelah  bekerja, Hakim memfailkan saman menuntut hak milik tanah Kaduk. Dia melantik Azam sebagai peguamnya. Mereka mengatur langkah dengan tekun dan teliti mencari segala bahan bukti, menulis dengan kemas dan terperinci, berbahas dengan fasih dan bernas .Hakim merasa bertuah kerana mempunyai seorang sahabat sejati seperti Azam yang  menangani kes itu dengan penuh dedikasi. Ini semua kerana  Azam juga menganggapnya sebagai  perjuangan sendiri dan satu misi peribadi.  Azam kesal dan sedih bila mengenangkan betapa ramai orang-orang sekuturunannya yang telah kehilangan tanah pusaka.

Azam dengan lidah yang fasih telah berhujjah di mahkamah “ Yang Ariff,  bila raja meminta bertukar ayam,  adakah Pak Kaduk  boleh membantah perintah raja? Dia akan dituduh sebagai perderhaka dan mungkin kepalanya akan dipancung. Ini bermakna  Kaduk telah menyerahkan ayamnya si kunani kepada raja tanpa kerelaannya. Tidak wujud   sebarang bukti, atau sebarang tandatangan, atau MOU yang mengesahkan pertukaran ayam itu.  Jadi, bila si kunani menang di dalam persabungan, bererti Pak Kaduklah yang menang dan berhak menerima apa-apa hadiah yang telah ditawarkan dalam perjanjian persabungan mengikut  terma dan syarat yang diperuntukkan, termasuklah  mengekalkan hak milik tanah yang dituntut oleh anak guam saya.” 



Mahkamah mengumumkan keputusannya pada hari ini. Tidak payah aku ceritakan tentang butiran hujjah dan berapa helaian muka surat yang dibaca oleh tuan hakim di kamar pengadilan. Yang pentingnya, tanah empat ekar di hujung kampung dan di tepi belukar itu kini sah menjadi milik Hakim bin Hassan bin Kaduk. Alhamdulillah.

Hakim sedar bahawa tanah empat  ekar itu bukanlah  luas kalau dibandingkan dengan tanah yang dimiliki oleh para orang kaya yang ada di seluruh negara. Tanah itupun tidaklah tinggi  nilainya  seperti tanah-tanah di bandar yang melambung dan melambung naik. Namun dia amat bersyukur kerana berjaya menebus kembali tanah itu dan lebih penting lagi  dia juga dapat membersihkan nama dan menebus maruah  datuknya Kaduk yang sudah bertahun-tahun menjadi ejekan bangsa.  

Hakim pernah berseloroh, "Kalau aku berjaya menebus kembali tanah itu, Aku nak dirikan sebuah memorial. Aku akan namakannya Memorial Pak Kaduk. Biar memorial itu  menjadi peringatan kepada semua umat Melayu agar berhati-hati dengan tanah mereka. Maksud aku biar mereka menjaga hak-hak mereka agar tidak terlepas ke tangan  orang lain”.

“Kau nak buat tugu Pak Kaduk ke?  Apa gunanya membina tugu di dalam kampung ni. Mana ada pelancong yang nak datang melawat?”. Tanya Azam.


“Aku bergurau saja. Lagi pun ini tanah kampung yang berstatus tanah pertanian. Apa lagi yang wajar dibuat selain berkebun dan menternak. Aku sudah mendapat nasihat dan bebincang dengan beberapa orang. Aku sudah berbincang dengan agensi kerajaan yang bertanggung jawab memajukan bidang pertanian.

Hakim  merancang  agar tanah Pak Kaduk dapat dimanfaatkan. Dia memutuskan untuk menternak ayam secara pertanian kontrak dengan sebuah syarikat besar. Syarikat ini beroperasi dan terkenal di seluruh sebagai Global Chicken.  Global Chicken menubuhkan  cawangan di Malaysia  dengan nama Rangkaian Jasa Agrikultur atau nama singkatnya RAJA.  Hakim   membuat keputusan memasuki bidang penternakan  bersandarkan beberapa faktor. Dia selalu sangat mendengar para menteri dan pakar ekonomi berkata, “Pada masa sekarang ini kerajaan sangat mementingkan aktiviti pengeluaran makanan. Negara mesti mengeluarkan lebih banyak makanan.”

Sejak dari dahulu dia sering mendengar pidato, “Tuan-tuan dan Puan-puan,  sebahagian besar bahan makanan rakyat kita, adalah diimport, sedangkan kita ada ratusan ribu ekar tanah yang terbiar kosong dan tidak produktif.  Mengapa kita bergantung kepada negara lain untuk mendapatkan beras, ikan, daging, ayam, sayur-sayuran dan sebagainya.  Keadaan ini akan membahayakan kita kalau terjadi sesuatu bencana. Kerajaan mengutamakan bidang  pengeluaran makanan kerana ini adalah  soal keselamatan negara.”

Pemimpin tertinggi sendiri  pernah berkata,  “ Rakyat mesti membuka mata dan melihat potensi yang ada di dalam bidang pertanian. Saya berseru kepada rakyat sekelian untuk merebut peluang ini, terutama ribuan siswazah Melayu yang masih menganggur. Kerajaan menyediakan banyak peluang terutama kepada kaum yang mendapat keistimewaan dalam Dasar Ekonomi Baru.”

“Ada pelbagai bantuan dan skim pembiayaan untuk projek pertanian yang  dikendalikan oleh sebuah bank khusus. Nah, semuanya ada di hadapan anda. Yang diperlukan sekarang ialah kesanggupan anda untuk bekerja kuat, Ingat slogan ini,  pertanian adalah perniagaan.”  

Hakim  telah mendengar dengan penuh minat. Segala kata-kata itu membakar semangatnya untuk memajukan tanah yang ditebusnya.  Dia juga berharap kejayaannya nanti akan menjadi contoh teladan kepada orang orang yang seketurunan dengannya yang mendapat kelebihan dari Dasar Ekonomi Baru dan pelbagai projek pembangunan sebuah kerajaan yang prihatin.

Hakim  perlu membina sebuah reban tertutup. Dia memulakan segala kerja menebang pokok dan meratakan tanah.. Berlori-lori tanah telah diangkut untuk menambak kawasan  yang memang rendah dan berair itu. Wang simpanannya hampr habis di situ.


Kos pembinaan sebuah reban ayam tertutup dengan sistem penyaman udara  dan peralatan  memberi makanan semi automatic  melebihi  dua ratus ribu RM. Hakim sudah beberapa kali turun naik tangga bank untuk berbincang tentang pinjaman projek pertanian.  Kertaskerja sudah beberapa kali  dipinda sehingga akhirnya pinjaman diluluskan. Pinjaman sebanyak itu memerlukan cagaran dan dia tidak ada harta yang lain selain tanah Pak Kaduk yang baru ditebusnya dengan susah payah. Itupun jenuh dia bertelagah dengan pihak bank kerana kata mereka tanah empat ekar di tepi belukar tidak ada nilai komersial. Hakim hampir putus asa. Mujurlah seorang Yang Berhormat sanggup campur tangan dan memujuk pihak bank untuk meluluskan pinjamannya.Dengan pertolongan itu terbinalah sebuah reban  yang boleh memuatkan sepuluh ribu ekor ayam.

 Hakim menandatangani kontrak dengan pihak RAJA . Maka jadilah dia seorang petani moden merangkap anak muda yang berjasa pada nusa dan bangsa dengan menyumbang ke arah penambahan pengeluaran makanan negara. 

“ Tahniah. Aku doakan kau  berjaya. Setahun  lagi Insya Allah aku akan pulang. Kita jumpa di reban ini untuk  merayakan ulangtahun kau menjadi penternak ”. Kata Azam sambil menggenggam tangannya erat-erat tanda member semangat. Mereka akan berpisah buat sementara kerana Azam akan mengikuti kursus selama sepuluh  bulan di luar negara.

Masa pun berlalu. Genap setahun usia Hakim sebagai penternak, Azam sampai ke reban. “Assalamualaikum, apa kabar taukeh ayam?” Mereka berpelukan lalu duduk di bangsal rehat Hakim menghadap ke reban.   Seterusnya marilah kita ikuti dialog mereka. Segalanya menceritakan tentang realiti seoang petani moden di negara yang megah dengan dasar pembangunan ekonominya.

“Dah berapa kali kau menjual ayam?” Tanya Azam.
“ Sudah enam kali. Ayam-ayam kecil yang kita lihat di dalam reban tadi ialah pusingan yang ke tujuh.”

“Bagaimana hasilnya. Aku harap semuanya berjalan dengan baik.”.

Hakim mengeluh sebelum member jawaban, “Aku tahu membela ayam ni satu risiko.  Tetapi kalau semua orang takut bagaimana manusia hendak mendapatkan barang makanan?  Cuma..kadang-kadang aku rasa terlalu banyak masalah yang menimpa.”

Azam memandang ke wajah sahabatnya “Apa masalahnya? Bukankah kau boleh mendapatkan bantuan. Kerajaan sudah berjanji akan menolong penternak  sebagai insentif kerana  menambah bekalan  makanan untuk rakyat.?”

“ Azam, tanah ini sesuai untuk ternakan kerana ia  jauh dari kawasan perumahan.  Tetapi hal ini membawa  masalah yang lain. Kau tengok jalan masuk ke reban ini.  Jalan itu  tidak berturap dan  becak pada musim hujan.  Pernah lori tersangkut di dalam selut. Aku sudah menulis surat memohon jalan itu dinaikkan taraf.  Aku sudah berusaha ke sana ke mari untuk menemui orang-orang yang berpengaruh tetapi  jawapannya tetap sama,  Kementerian berkenaan tiada peruntukan untuk menurap jalan itu buat masa ini. Aku dicaci maki oleh orang kampung  kerana kemasukan lori-lori itu memburukkan lagi keadaan jalan.”

Azam menggeleng-gelengkan kepada , “ Bagaimana hasil jualan ayam?”

Hakim terus menjawab, “ Mujur juga ada hasilnya. Tetapi hidupku dikelilingi hutang. Aku berhutang dengan bank.  Aku berhutang dengan   Syarikat  RAJA. Mereka menghantar anak anak ayam, mereka menghantar dedak, mereka menghantar ubat ubatan. Semua itu akan dipotong dari hasil jualanku. Kau tengok ni (Hakim menunjukkan salah satu penyata yang dikeluarkan oleh syarikat RAJA.  Nilai jualan dari rebanku ialah lapan puluh lima ribu RM . Tetapi akhirnya hanya  tiga belas ribu sahaja yang masuk ke kantungku. Tujuh puluh dua ribu adalah untuk RAJA  kerana membayar harga anak-anak ayam, harga dedak dan ubat-ubatan. Dari tiga belas ribu itulah aku  membayar hutang bank, gaji pembantu,  upah penangkap ayam, membayar bil letrik dan air  yang cukup tinggi dan segala kos penyelenggaraan yang lain ”


 Azam terus memerhati penyata dari syarikat RAJA dari halaman ke halaman. Hakim berjalan mundar mandir.  Lama juga mereka tenggelam di dalam pemikiran masing-masing. Hanya angin petang yang sesekali datang menyapa.

Hakim meneruskan perbualan, “ Nampaknya  aku tersalah perkiraan. Aku memilih ternakan kontrak ini kerana aku fikir  penternak dan syarikat payung  berada pada situasi menang-menang. Kalau aku untung, pihak RAJA juga akan untung. Rupa rupanya tidak. Syarikat besar seperti RAJA  itu  akan untung berlipat ganda biarpun aku  rugi “  

Hakim menarik nafas dan mengatur kata-kata yang memang sudah sedia terpeta di dalam midannya “ Sekarang baru aku sedar tujuan sebenar RAJA  ialah untuk memasarkan makanan dan ubat-ubatan mereka sedang aku tidak ada  hak untuk menentukan harga dedak dan harga ubat yang dihantar. Aku harap  mereka tidak sengaja memberi ubat yang salah  supaya ayamku bertambah sakit . Dengan cara ini mereka boleh memberikan lebih banyak  ubat dan lebih banyak wangku yang boleh dipotong.”  


Azam menggeleng-geleng lagi, “ Tetapi Jabatan Haiwan kan ada. Tak kan mereka tidak memantau? Kau boleh adukan kepada mereka. Minta nasihat doktor Veterina bila ayam kau sakit.”

“Aku pun harap begitu.  Aku harap kerajaan boleh buat sesuatu. Janganlah membiarkan penternak  kecil terperangkap di dalam jerat syarikat besar”

Azam memujuk pula  “Menternak cara kontrak ini ada kelebihannya, bagus juga.  Kau tidak payah  mencari anak-anak ayam. Kau tidak payah  keluar mencari dedak. Setiap musim syarikat payung akan mengatur lori-lori untuk mengangkut ayam-ayam yang sudah besar.”

Hakim menjawab  “ Ya mereka hantar segalanya dengan  harga yang mereka tentukan. Kini hidupku bergelumang dengan hutang. Setiap saat aku berhutang dengan RAJA . Kau fikirkan,pula, kalau  nasibku malang dan nilai  jualanku kurang daripada harga dedak dan ubat yang mereka bekalkan, bererti aku  akan menanggung hutang  kepada RAJA.  Berhutang dan berhutang.


Azam memandang wajah sahabatnya penuh simpati  “ Jadi apa cadanganmu sekarang?”

Hakim terus mengeluh, “ Apa lagi yang boleh aku buat selain meneruskan kerja-kerja  membela ayam dan mengharapkan hasil yang baik. Aku sudah berhutang dengan bank. Hutang mesti dibayar kalau tidak tanah aku akan dirampas. Kau ingat kan,  tanah inilah yang kita  tuntut di mahkamah  dengan susah payah.    Bank  akan merampas tanahku tidak ubah seperti  raja merampas tanah datukku dahulu.


Hakim meluahkan segala yang telah bersarang di dadanya “Banyak persamaan antara aku dengan datukku. Kami sama-sama membela ayam dan kami sama-sama menggadai tanah.  Kami sama-sama berada di bawah cengkaman orang berkuasa. Walaupun namaku tidak lagi berunsur kolot dan kuno seperti nama datukku tetapi itu tidak bererti apa-apa. Sepatutnya namaku ialah Kaduk bin Kaduk bin Kaduk.”

“ Pada zaman ini tiada lagi raja yang menyabung ayam  tetapi raja baru telah muncul. Raja itu tetap menguasai seluruh hidup kita. Kita tidak dapat berbuat apa-apa selain mengikut telunjuk mereka. Mereka adalah golongan  yang memegang kuasa ekonomi negara. Kita tetap kaduk dan mereka tetap raja.”

No comments:

Post a Comment