ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Monday, November 26, 2012

ALAM DALAM PANTUN


ALAM, PEMIKIRAN DAN EMOSI DALAM PANTUN MELAYU
Zurinah Hassan
(makalah ini disampaikan di Seminar/Festival Pantun Nusantara anjuran MASTERA di Brunei DArussalam, 27- 2 November 2012


Pantun adalah warisan bangsa yang dikagumi di seluruh dunia dan diiktiraf sebagai karya sastera yang unik dan bermutu. Sebagai sastera rakyat, ribuan pantun yang diwarisi adalah khazanah bernilai yang  tidak diketahui penciptanya.



Boleh dikatakan Pantun adalah bentuk puisi warisan yang paling popular  dan hidup subur pada masa ini mengatasi  syair, seloka, nazam dan gurindam.  Pantun tersebar luas melalui pelbagai media seperti lirik lagu, majlis perkahwinan, majlis rasmi dan pelbagai acara kemasyarakatan. Sering juga diadakan pertandingan berbalas pantun baik di peringkat sekolah hingga ke peringkat kebangsaan.  Pantun bukan sahaja disiarkan dalam majalah ilmiah dan budaya  seperti Dewan Budaya, Dewan Sastera dan Pelita Bahasa malah dalam majalah-majalah jenaka dan komik seperti  Ujang dan Din Lawak. Pantun bukan saja menjadi lirik lagu Melayu Asli malah lagu Rock. Turut digunakan oleh Pengiklan
Kek lapis dan kuih bahulu,
      Menjadi juadah di Hari raya;
Kalau puan-puan ingin tahu,
     Semua perkakasan ada di IKEA.
(Utusan Malaysia 13 Oktober 2006 dalam iklan IKEA )
Pantun juga berkembang di internet. melalui beberapa laman web khas. Di facebook ada pelbagai page yang tertumpu kepada pantun seperti Pantun Nusantara, Puisi dan Pantun, Pantun Minang dll di mana ahli boleh menghantar pantun setiap masa. Di samping itu pantun turut  disebar luas melalui sms sempena hari raya atau peristiwa-peristiwa tertentu. Pantun sms ini biasanya bernada jenaka dan bertujuan untuk menyampaikan komen-komen yang nakal. Dari sini kita melihat teknologi moden mengembalikan unsur-unsur sastera rakyat yang tersebar tanpa diketahui pengarang asalnya.
Melihat kepada keadaan ini, kita tidak bimbang tentang survival pantun. Ia bukan hanya hidup  tetapi berkembang mekar. Walau bagaimanapun  hal yang membimbangkan ialah tentang  penghayatan pantun. Masyarakat mengucapkan pantun tetapi kurang menghayati maksud dan kata-kata yang digunakan menyebabkan nilai, maksud dan falsafah yang  tinggi itu tidak dikenali oleh masyarakat.

PEMIKIRAN dan PERASAAN dalam pantun
Pantun adalah sebuah karya kreatif, oleh itu, memiliki komponen penting pemikiran dan perasaan/emosi  PEMIKIRAN merangkumi pandangan hidup, nasihat, pedoman, falsafah . PERASAAN/EMOSI  termasuk sedih, suka, bahagia, kagum, sayu dsbnya

Sebuah karya kreatif berbeza dari sebuah rencana sebagaimana sebuah filem cereka berbeza daripada sebuah filem dokumentari. Seorang sasterawan mengungkap tentang sesuatu yang bermain di fikiran dan perasaannya. Oleh itu dia mereka-cipta karya yang dapat menyentuh perasaan pembaca dan dari sentuhan emosi ini pembaca akan terangsang untuk turut berfkir  tentang apa yang diutarakan oleh penulis tersebut.

Sebagaimana hasil sastera Melayu yang lain, Emosi dan Pemikiran itu tidak dicurahkan dengan berterus terang tetapi dengan menggunakan unsur-unsur alam sebagai perlambangan. Penggunaan unsur alam ini pula menambah keindahan atau estetika sesebuah pantun.

Menggunakan alam sebagai perlambangan bermaksud menyamakan sesuatu dengan alam. Kata ‘pantun’ itu sendiri adalah dari kata “sepantun” iaitu  menyamakan atau mengumpamakan seperti terlihat di dalam baris pantun: “kami sepantun telur itik, kasihan ayam maka menjadi’.
Karya sastera mengemukakan Pemikiran melalui sentuhan emosi atau deria.Karya sastera yang bermutu adalah jalinan yang harmonis di antara penggunaan bahasa, gaya penceritaan dan subjek yang disampaikan.Unsur alam memberikan Kesan audio,dan kesan visual.  Dan kedua ini berpadu menyampaikan makna pantun.

Kesan audio atau kesan bunyi merujuk kepada cara penyair menyusun kata-kata dengan menggunakan unsur-unsur rima (rima akhir, rima awalan, dalaman) , asonansi dan aliterasi, ulangan perkataan , bilangan sukukata pada setiap baris dan bilangan baris pada setiap rangkap.
Metafora berlaku apabila perkataan-perkataan yang digunakan mempunyai makna yang menyimpang dari maknanya yang asal atau makna yang literal. Bererti telah terdapat pemindahan atau penyimpangan makna di dalam kata-kata. Ia tidak lagi dapat dirujuk secara literal . Contoh metafora dalam pantun

Buah langsat kuning mencelah,
    Keduduk tidak berbunga lagi;
Sudah dapat gading bertuah,
    Tanduk tidak berguna lagi.


Pantun ini menyatakan kepada yang ditujukan tentang rasa kesal, kecewa dan duka cita. Jelas di sini bahawa pantun menyembunyikan maksud atau perasaan dengan penyusunan kata-kata yang indah. Si penutur pantun mungkin mengharapkan agar dia dapat dihargai dan tidak dilupakan begitu saja dengan kehadiran orang baru.
Contoh metafora yang lain: Dilambung ombak, (kalau takut dilambung ombak/jangan berumah di tepi pantai) Ditimang gelombang (kecil-kecil ditimang ibu/sudah besar ditimang gelombang).
CONTOH SIMILE
Berburu ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Bagi bunga kembang tak jadi
Cahaya redup menyegar padi
Ayam berkokok mengirai tuah
Jika hidup tidak berbudi
Umpama pokok tidak berbuah.

Contoh Hiperbola
Sekuntum bunga dalam padi
Ambil barang cabut uratnya
Tuan sepantun langit tinggi
Bolehkan berlindung di bawahnya
(sepantun langit tinggi juga contoh simile)

Buah jering di atas para
Diambil budak sambil berlari
Keringlah laut Selat  Melaka
Barulah dinda mungkirkan janji
Hiperbola berlaku di dalam ungkapan “keringlah laut Selat Melaka”

CONTOH PERSONIFIKASI
bacang masak mempelam manis
makanan anak bidadari
bintang teresak, bulan menangis
hendak bertemu si matahari.
Pokok pakis tumbuh di hutan
Tumbang melepa di atas duri
Pulau menangis kering lautan
Ikan juga menghempas diri.

Pulau menangis kering lautan juga contoh hiperbola

Pantun menggunakan pelbagai unsur alam untuk mengungkap pemikiran dan emosi/perasaan. Di antara unsur yang dominan ialah alam laut dan lautan dan unsur waktu, peralihan hari dan cuaca. Tinjuan penulis  mendapati  bahawa:
·         Alam laut dan lautan sering digunakan untuk menyatakan PEMIKIRAN (falsafah, pandangan hidup, nasihat dan pedoman)
·         Unsur waktu, peralihan hari dan cuaca digunakan untuk menyatakan PERASAAN menggambarkan  emosi (sedih, sayu, bahagia, gembira, rindu dendam).

LAUT DALAM PANTUN
Secara keseluruhannya laut digunakan di dalam pantun untuk menyampaikan pemikiran , memberi nasihat dan pedoman hidup. Dalam pantun2 ini akan terdapat gambaran laut sebagai simbol  perjalanan hidup manusia. Menempuh hidup disamakan dengan mendayung perahu atau melayari bahtera di lautan. Manusia akan menempuh pelbagai peristiwa, suka dan duka, bahagia dan sengsara umpama pelbagai perkara yang ditemui di dalam pelayaran. Cabaran dan dugaan yang dilalui digambarkan sebagai ombak, gelombang, badai dan batu karang yang mengganggu perjalanan. Setiap orang perlu berhati-hati di dalam hidupnya sepertimana seorang pelaut mesti berhati-hati di tengah lautan. Kehidupan yang hancur disamakan dengan kapal yang karam.
Laut adalah cabaran yang mesti ditempuh oleh seorang yang telah dewasa seperti mana yang dinyatakan di dalam pantun ini:
Rumah kecil tiang seribu
Rumah besar tiang sbatang
Kecil2 ditimang ibu
sudah besar ditimang gelombang

Pantun ini sering diselitkan di dalam lagu2 rakyat atau nyanyian kanak-kanak. Melalui pantun ini orang2 tua menyediakan minda anak2 untuk menempuh alam kedewasaan . ia menyedarkan bahawa dalam hidup ini tidak boleh selamanya berharap atau bergantung kepada ibubapa dan orang lain. Juga adalah tanggungjawab ibu menimang atau member kasih sayang dan tunjuk ajar secukupnya kepada si anak ketika ia masih kecil. Bila meningkat dewasa anak mesti dilepaskan untuk pergi mencari penghidupannya sendiri. Tibalah waktunya untuk berdikari. Keluar membina kehidupan biasanya melibatkan perjalanan menyeberang lautan . segala susah payah akan dialami bagaikan menempuh gelombang di tengah lautan.
 Angin barat gelombang barat
Barat ditiup si angin timur
Tidak dirintang muatan sarat
Akibat laut tempat berkubur

Pantun ini menyentuh  perihal membuat pilihan dan menentukan prioritas di dalam kehidupan. Orang yang berjaya dan selamat adalah mereka yang bijak membuat pilihan.Sudah dikatakan bahawa hidup adalah pelayaran, maka pilihlah yang terbaik dan yang diperlukan sahaja untuk dibawa.  Terlalu banyak muatan yang tidak diperlukan akan menyebabkan perahu karam di lautan. Orang tua-tua menasihati agar kita berpada-pada di dalam segala segi. Kalau mahu selamat mestilah  menjaga batas dan sempadan. Hidup adalah umpama pelayaran maka belayarlah dengan bekalan yang mencukupi dan  bawalah hanya yang diperlukan.

Contoh-contoh lain penggunaan laut untuk mengungkap pemikiran
·         Nasihat kepada guru supaya bersabar dalam mengajar dan mendidik kerana pekerjaan itu bukanlah mudah. Cubaan dan dugaan akan terus dihadapi seperti ombak yang tidak berhenti-henti menghempas ke pantai.

Orang haji dari Jeddah
Buah kurma berlambak-lambak
Pekerjaan guru bukanlah mudah
Bagai kerja menolak ombak.
·         Seseorang diberi amaran supaya Lebih baik menjauhkan diri dari bahaya dengan  tidak  menumpang biduk yang tiris dan menanti karam.

Orang Padang ke Sukabumi
Berangkat dari Pulau Karam
Jangan ditumpang biduk kami
Biduk tiris menanti karam

·         Menyatakan Falsafah kempimpian. Sebuah negara tidak akan aman jika ditadbir oleh dua orang apatah lagi yang bercanggah pendapatnya.

Duduk berbual di remang senja
Angin taufan bertiup kencang
Kalau kapal dua nakhoda
Alamat karam dipukul gelombang.

·         Seaeorang mestilah mengukur kemampuannya dan benar-benar faham sebelum mengambil risiko mencuba nasib misalnya melabur dan memulakan perniagaan.
Kalau mengail di lubuk dangkal
Dapat ikan penuh seraga
Kalau kail panjang sejangkal
Jangan laut hendak diduga

·         Jika tidak berani atau tidak bersedia menempuh dugaan dan cabaran jangan melibatkan diri di dalam sesuatu lapangan yang berisiko. Di sini ombak diibaratkan sebagai kesukaran-kesukaran di dalam menjalani kehidupan.
Jika dilurut padi masak
Jatuh ke tanah berderai-derai
Kalau takut dilambung ombak
Jangan berumah ditepi pantai


·         Untuk berjaya seseorang mesti melengkapkan diri dengan peralatan dan ilmu pengetahuan. Persiapan yang tidak sempurna adalah umpama biduk yang tidak ada pengayuh . Keadaan ini akan menyebabkan seseorang gagal di dalam cita-cita,  tidak mencapai sesuatu matlamat umpama orang yang tidak sampai ke pulau yang diingininya..
Beringin di kampung Pulau
Pautan ayam tedung Gombak
Hati ingin memandang pulau
Biduk ada pengayuh tidak




UNSUR WAKTU   DAN EMOSI
Pertukaran malam dan siang adalah ketentuan Allah yang membuktikan kebijaksanaanNya. “Bahawa sesungguhnya dalam kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal (Surah Ali-Imran, ayat 190). Peredaran waktu iaitu pagi, petang, malam turut mempengaruhi perasaan dan kreativiti pengarang pantun.

Apa digulai orang di ladang
             Pucuk kacang bersela2
Apa untung anak dagang
            Hari petang  tangga berhela           

Kalau nak tahu rumpun padi
            Lihatlah rumput di permatang
Kalu nak tahu diuntung kami
            Lihatlah laut petang2           

Pucuk pauh berulam pauh
Petang-petang kacau inti
Sayang saya berkasih jauh
Petang-petang hancur hati

Pantun pantun di atas dipetik dari Kumpulan Pantun Melayu susunan Zainal Abidin Bakar (DBP 1984). Pantun yang dikategorikan sebagai pantun percintaan ini mempunyai maksud dan kisah yang jelas mengenai seseorang yang merindui kekasihnya pada waktu petang. Kisah percintaan, perpisahan dan rindu-rinduan seperti ini memang banyak terdapat di dalam pantun Melayu. Tetapi soalnya mengapa perasaan rindu itu semakin hebat dirasai pada hari petang hingga ke tahap “petang-petang hancur hati”.
Pantun ini adalah salah satu pantun yang memperlihatkan hubungan waktu atau peralihan hari dengan emosi manusia. Mengapakah emosi seseorang terusik pada waktu petang? Ini mungkin akibat dari dua faktor. Pertama, pada waktu petang lazimnya orang akan duduk berehat setelah penat bekerja di sebelah pagi.
Di dalam keadaan sibuk bekerja biasanya kita melupakan hal lain atau sebarang masalah yang mungkin dihadapi. Tetapi apabila tidak membuat apa-apa, pelbagai perkara mula memenuhi ruang fikiran. Di sinilah datangnya kenangan dan rasa rindu kepada orang yang dikasihi.
Kedua pada waktu petang matahari tidak lagi terang benderang. Mata hari yang cerah dianggap sebagai ‘keadaan cuaca yang baik’ dan diasosiasikan dengan suasana ceria. Kecerahan atau keceriaan ini menghilang pada waktu petang. Hari semakin redup dikaitkan dengan kemuraman dan kesedihan. Dalam hubungan yang sama kita melihat bagaimana teknik penataan cahaya digunakan di dalam pementasan teater untuk membina suasana gembira atau sedih. Oleh itu tidak hairanlah jika orang yang berjauhan dengan kekasih merasa amat rindu apabila hari petang.
Pencipta pantun sering menggunakan peralihan hari bagi menggambarkan perasaan selain petang, waktu pagi, tengah hari, senja dan malam juga digunakan bagi membawa pengertian tertentu. Berkait rapat dengan waktu atau peralihan hari ialah keadaan cuaca dan pertukaran musim. Hal ini dapat dilihat didalam beberapa buah pantun.
Pantun Melayu amat banyak menggunakan unsur alam. Salah satu objek alam yang sering terdapat di dalam pantun ialah laut. Selain melambangkan cabaran hidup, laut juga membawa rasa sayu kerana laut yang luas adalah pemisah di antara insan. Laut yang terbentang membawa rasa sayu. Kesayuan ini semakin meningkat apabila hari petang. Ini digambarkan oleh pantun di bawah:
Antara  fenomena cuaca yang sering digambarkan di dalam pantun ialah hujan. Hujan menjadi perlambangan yang amat ketara di dalam puisi Melayu baik puisi tradisi atau puisi moden.Perkara ini terjadi kerana hujan menyekat perjalanan atau aktiviti .Di dalam hujan  terpaksa menghentikan aktiviti dan mengurung diri di dalam rumah. Sekali lagi, di dalam keadaan tidak bekerja  mula mengenang sesuatu yang mungkin dapat di lupakan semasa bekerja. Keadaan semakin samar dan kabur dan dikaitkan dengan rasa tidak menentu. Hujan yang menitis juga menyerupai air mata yang mengalir. Lalu terciptalah pantun di bawah ini:
Dari ladang pergi ke gurun
Buluh duri melingkar kota
Hari petang hujan pun turun
Dagang berurai air mata

Mata hari yang cerah dikaitkan dengan suasana yang ceria. Kehilangan matahari membawa suasana muram. Awan dan mendung juga mempengaruhi perasaan manusia dan digunakan oleh pencipta puisi bagi membina suasana sedih dan sayu. Ini terlibat di dalam pantun di bawah:
Singkorak kotanya tinggi
Buah pauh dari seberang
Awan berarak tangisi
Badan jauh di rantau orang
Suasana cerah melambangkan kebahagiaan manakala mendung dan hujan dikaitkan dengan sesuatu yang menyedihkan. Dengan keadaan ini seseorang yang cuba menyembunyikan perasaan sedihnya di sebalik senyuman digambarkan sebagai ‘panas yang mengandung hujan’. Keadaan ini dijelaskan oleh pantun:
Meninjau berpadi masak
Batang kapas bertimpal jalan
Hati risau dibawa gelak
Bagai panas mengandung hujan

Seperti yang disebut di atas, di dalam pantun dan puisi Melayu yang lain, sinar matahari diasosiasikan dengan kebahagiaan atau sesuatu yang membawa harapan di dalam hidup seseorang. Oleh itu kebahagiaan yang tidak kekal lama dianggap sebagai ‘hujan di tengah hari’. Hujan yang turun diumpamakan sesuatu yang datang untuk menggangu kebahagiaan seseorang. Inilah yang dimaksudkan oleh pantun di bawah:
Panjanglah rumput di permatang
Disabit orang Inderagiri
Disangka panas hingga ke petang
Rupanya hujan di tengah hari.

Walau bagaimanapu hujan di dalam pantun bukanlah semestinya membawa konotasi yang tidak menyenangkan seperti gangguan kepada kebahagiaan. Hujan juga digunakan bagi membawa pengertian rahmat dan rezeki sesuai dengan sifatnya sebagai sumber air untuk meneruskan kehidupan manusia. Hujan menyuburkan tanaman lalu ia diasosiasikan dengan sesuatu yang membawa harapan baru atau membawa sinar kebahagian.
Sehubungan dengan itu seseorang yang sedang menunggu dan mengharapkan kebahagiaan diumpamakan sebagai sedang menunggu hujan turun. Apabila sesuatu yang diharapkan tidak menjadi kenyataan, maka keadaan itu diibaratkan sebagai hujan tak jadi.
Di dalam peribahasa Melayu, hujan tak jadi membawa pengertian impian yang tidak kesampaian khasnya pertunangan yang putus di tengah jalan dan perkahwinan tidak berlangsung seperti yang diheboh-hebohkan. Situasi ini tergambar di dalam pantung di bawah. Pantun ini dinyanyikan di dalam sebuah lagu yang dipetik dari filem keluaran Cathay Keris,Puteri Gunung Ledang, arahan S.Romai Noor.
Pergi ke hutan memotong nibung
Parangnya tumpul tidak diasah
Petir berdentum kliat bersabung
Hujan tak jadi bajuku basah

Oleh kerana itu orang tua sering menasihatkan  supaya jangan terlalu yakin dan terlalu mengharapkan sesuatu. Sikap terlalu mengharap atau terlalu yakin dianggap sebagai mengharapkan hujan di langit. Lebih buruk lagi jika kita membuang sesuatu yang  telah dimiliki kerana mengharapkan sesuatu yang belum tentu. Ini digambarkan di dalam pantun:
Harapkan si untung menggamit
Kain di badan didedahkan
Harapkan guruh di langit
Air tempayan dicurahkan

 Gangguan emosi ini menjadi lebih hebat pada waktu malam ketika suasana lebih senyap dan sunyi. Hal ini dapat dilihat di dalam dua pantun di bawah:
Riuh rendah di tepi telok
Lihat orang duduk bertenun
Tengah malam ayam berkokok
Serasa tuan datang membangun

Terang bulan di Pulau Pinang
Anak Belanda turun ke kapal
Tengah malam bangkit terkenang
Air mata turun ke bantal.

Penggunaan unsur alam dalam karya sastera termasuk pantun  memberikan identiti kepada sastera Melayu; malah menjadi alatan terpenting sastera Melayu, sejak awal lagi hinggalah ke zaman mutakhir . Penggunaan lambang atau  bahasa kiasan juga berpunca daripada sifat orang-orang Melayu yang menghargai orang-orang tua, ibu bapa, raja, pembesar, jiran, kawan sebaya, dan saudara seagama, justeru itu tidak menegur dan mengkritik secara tidak berlapik . Sehingga ke hari ini Penyair-penyair Melayu kontemporari menggunakan objek-objek alam fizikal sebagai lapisan tersurat yang mengandungi maksud yang tersirat. Ini bermakna hasil sastera Melayu tidak dapat dihayati atau dinilai selagi tidak ditafsir dan difahami perlambangan yang digunakan.


Rujukan:
1.    Harun Mat Piah, Puisi Melayu Tradisional: Satu Perbincangan Genre dan Fungsi, 1989, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka
2.    Zurinah Hassan, Unsur Alam dalam Puisi Melayu , 2010 . Penerbit UKM.
3.    Zurinah Hassan. Puisi Melayu Tradisional- Pantun, Syair, Gurindam, Seloka , 2012, Kuala Lumpur. Penerbit Pekan Ilmu .

3 comments:

  1. Assalamu alaikum...

    Banyak belajar dari tulisan Cik Puan...

    ReplyDelete
    Replies
    1. TERIMA KASIH PUAN, MOHON MAAF TAK MENJAWAB. SAYA TERLEPAS PANDANG.

      Delete
  2. Maaf sebelumnya nama saya Valeria Armita Rahayu TKI dari Hong-Kong jika lewat Tempat ini saya menceritakan kisah hidup saya niat saya hanyalah semata ingin berbagi tapi semua tergantung Anda percaya atau tidak yg jelasnya ini kisah nyata saya...
    Syukur alhamdulillah kini saya bisa menghirup udara segar di indonesia karnah sudah sekian lama saya ingin pulang ke kampung halaman namun tak bisa sebab,saya harus bekerja di negri orang (HongKong) karna ada hutang orang tua yang harus saya lunasi...Singkat cerita namun saya tidak pusing lagi sebab kemaring saya di berikan Info oleh seseorang yang tidak saya kenal,katanya kalau mengalami kesulitan baik dalam Kesehatan atau Ekonomi,Terlilit hutang silahkan minta bantuan sama MBAH WIRANG di Nomer telfon ( 082_346_667_564 ) di jamin bantuan beliau 100% …Jadi saya beranikan diri menghubungi beliau dan menyampaikan semua masalah saya dan alhamdulillah saya bisa di bantu,,,Singkat cerita kini semua hutang orang tua saya sama rentenir semua sudah terlunasi dan punya modal besar untuk buka usaha di indon dan rencana bulan depan saya balek ke indon...
    Jadi buat yang pengen seperti saya silahkan hubungi MBAH WIRANG di nomer ( 082_346_667_564 ) Anda tidak usah ragu akan adanya penipuan atau hal semacamnya sebab saya dan yg lainnya sudah membuktikan keampuhan bantuan beliau mungkin sudah waktunya giliran Anda...salam saudara-saudari TKI semua...





    ReplyDelete