ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Saturday, May 05, 2012

BERSYAIR DI MALAM PUISI RIONG SHAH ALAM 4 MEI 2012

TAK TERCAPAI AKAL INSANI

Syair ini kudendangkan semalam. Ada seseorang yang minta sangat2 nak menatapnya kerana katanya dia sangat terkesan. "Ada dibukukan ke? Kalau ada saya nak beli". Saya beritahu syair ini adalah diantara syair, pantun, gurindam etc etc yang terkandung di dalam buku PUISI MELAYU TRADISI dengan keterangan2nya. Manuskrip yang dijanjikan oleh penerbit akan terbit tapi tak terbit-terbit. Mungkin penerbit ini berpendapat aku tidak akan mengkayakannya spt seorang penulis novel popular. Oleh itu tunggu dulu lah..lain tahun pun boleh terbit.

Jadi untuk yang mengaku sangat meminatinya itu , bacalah dulu di sini. Orang yg kumaksudkan itu adalah seorang penyanyi yang menyanyi dengan iringan pelbagai jenis gendang. Sangat menarik persembahan mereka malam tadi.

Terima kasih kepada Datuk Bandar Shah Alam yang turut hadir.


Marilah kita bertafakur

Luas alam tidak terukur

Berputar cakerawala dengan teratur

Segala kejadian tunduk dan akur


Lihat langit seperti bumbung

Bulan bintang bagai terapung

Bintangnya banyak tidak terhitung

Dalam edaran tidak bertembung


Burung dan serangga pelbagai warna

Dengan tekun sarang dibina

Namun teguh seperti istana

Kita memandang terpesona


Dari gunung setitis air

Mencipta sungai terus mengalir

Batu yang keras menjadi pasir

Maknanya dalam jika ditafsir


Lihatlah bijian halus dan kering

Jatuh ke tanah dibawa angin

Dari benih hanya sekeping

Menjadi pohon tumbuh beranting


Di waktu siang suria memancar

Bila malam bulan bersinar

Hari berganti minggu bertukar

Supaya kita insaf dan sedar


Takjublah lagi kejadian diri

Setitis darah sedenyut nadi

Tak terjangkau akal insani

Segalanya dalam ilmu Ilahi


Segala pohon menjadi kalam

Segala lautan dakwat yang hitam

Tidak tertulis tidak terakam

Ilmu Allah luas dan dalam


Walaupun manusia diberi akal

Ilmu dikurnia hanyalah dangkal

Jika tidak bertawakal

Sesat hujung hilanglah pangkal


Alam menyimpan hikmah dan rahsia

Tiap kejadian tak sia-sia

Allah menjadikan kita manusia

Untuk berbakti sepanjang usia


Kita ini umpama tetamu

Di atas dunia tempat bertemu

Umat terbaik antara kamu

Yang bertakwa dan berilmu


Bila ajal sampai diambang

Ke negeri abadi kita pun pulang

Bagai pohon rebah dan tumbang

Meningalkan buah untuk ditimbang

No comments:

Post a Comment