ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Sunday, February 22, 2009

Tuan Yang Berhormat

menang ayam kerana taji

menang tuan kerana undi

menang hamba jangan diulang

menang sorak di tengah gelanggang

sedang tanah diambil orang.


 

Tuan Yang Berhormat

jangan meniru cerdik raja memangsakan rakyat

jangan ulangi bodoh hamba

tamakkan habuan yang cepat

termakan pujuk terbelit muslihat

kurang ilmu buta hakikat

tumpul akal tidak melihat

kalah orang kalah mendapat.


 

Silap Pak Kaduk bertukar ayam

maka tergadai kampung halaman

silap tuan bertolak ansur

maka tercagar nasib keturunan.


 

Menang Pak Kaduk tidak bertanah

menang tuan tidak bertuah

kalau menunduk pada yang kalah

menang suara jangan kalah digertak

menang budaya jangan kehilangan watak

menang sorak jangan kalah sabungan

menang kerusi jangan hilang perjuangan.

APA GUNA MENGUNDI DALAM PILIHANRAYA KALAU……….

Satu perkara yang saya tidak suka dan tidak sokong dari dahulu, kini dan selamanya ialah perbuatan melompat pati. . Saya fikir hal melompat parti ini mesti segera diharamkan oleh undang-undang.

Bagi saya, apa-apa pun yang terjadi pada kepimpinan negara mestilah ditentukan oleh pilihan raya. Rakyat sudah memilih demikian, maka demikianlah sepatutnya berlaku. Kalau lompat parti dibolehkan apalah gunanya kita keluar mengundi?

Setiap kali pilihanraya seluruh negara dibanjiri dengan poster-poster. . Semua parti yang bertanding akan mempamerkan gambar atau lambang parti masing-masing, sebanyak-banyak dan sebesar-besar yang mungkin. Keadaan jadi meriah dan penuh dengan gambar-gambar dacing, roket, bulan dan sebagainya. Suasana diwarnai oleh biru BN dan biru PKR, diselangseli dengan hijau Pas dan merah DAP... Ya, ketika itu kita berkata dan kita merasa inilah simbol kebebasan rakyat. Rakyat bebas memilih mana saja lambang yang dia suka. Rakyat berhak memilih dacing, bulan , roket atau apa saja.

Tapi apalah gunanya dan apalah maknanya jika selepas mengundi sesuatu simbol esok lusa calon itu sesuka hati bertukar untuk mewakili simbol yang lain pula. Apatah lagi simbol yang kita tidak suka.

Pada tahun lalu, ketika Anwar Ibrahim mengheboh-hebohkan bahawa kerajaan Malaysia akan bertukar tangan pada 16 September seluruh rakyat Malaysia menunggu dengan debaran apakah ini akan benar-benar berlaku.

Biarlah saya berterus terang di sini, bahawa saya adalah di antara orang yang mendoakan ianya tidak terjadi dan nampaknya doa itu telah termakbul. Jangan salah faham, saya bukan anti Anwar atau pro Barisan. Itu bukan sebabnya.


 

Sebab utama saya tidak mahu kerajaan pusat bertukar tangan pada 16 September ialah kerana saya sekali-kali tidak menyokong perbuatan melompat parti.

Nah, sekarang suasana panas terutama di Perak. BN dan PKR macam sedang bermain bola. Tak tau siapa yang menang akhirnya. Mengapa semua ini boleh berlaku?. Bagi saya tak lain tak bukan kerana undang-undang tidak menyekat YB-YB melompat parti atau meninggalkan parti .Kalau perkara lompat melompat ini diharamkan dari dulu maka tidak siapa boleh memujuk, menggertak, mengugut mengancam mana-mana YB untuk berpindah parti.

Kalau lompat melompat ini dibolehkan apalah gunanya kita mengundi. Tak payahlah kita susah payah keluar mengundi dalam PRU ke 13 nanti. Perbuatan ini boleh dianggap sebagai menghina pilihan raya.

Ini pandangan saya. Pandangan anda mungkin berbeza.

Friday, February 20, 2009

Asamualaikum . Sudah lama tidak berkesempatan menulis di sini. Dua tiga bulan ini saya sibuk dengan urusan mencari rezeki. Ini juga tanggungjawab kita sebagai makhluk Allah yang dijadikan di atas muka bumi ini. Allah berfirman "Kemudian setelah selesai solat maka bertebaranlah kamu di muka bumi untuk menjalankan urusan masing-masing dan carilah limpah kurniaan Allah serta ingatilah Allah sebanyak-banyak dalam setiap keadaan. Supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat". Surah Al Jumu'ah ayat 10.

Gambar ini di ambil di kebun saya di Sementa, Selangor. Saya kini cuba memasuki bidang pertanian. Tak salah kan? Bukankah selama ini saya pun ada menulis tentang kepentingan bidang pertanian demi menambah bekalan makanan untuk rakyat, misalnya sajak "Wasiat Seorang Petani" dan "Bendang Lahuma"
Insya Allah akan ada cerita lagi dari kebun .